lightning-solid
Berita :

Artikel "Sukan" Terkini

Empty Image
SUKMA 2018: Kibaran Bendera Terengganu Penguat Semangat Raih Emas- Darul Najmi
Darul Najmi meraih emas dalam  acara 69 kg Clean & Jerk Oleh: Mohd Irsyadi Abu Bakar TAPAH: Kibaran bendera Terengganu dan tepukan daripada rakan seperjuangan sewaktu berlangsungnya  acara 69 kilogram (kg) Clean & Jerk sempena Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19  Perak semalam menjadi penguat semangat bagi atlet angkat berat, Muhamad Darul Najmi Dollah, 21 meraih pingat emas dalam acara itu.Lebih menarik kutipan emas ketiga bagi  pasukan Terengganu itu berjaya memadam rekod kejohanan SUKMA di Perlis empat tahun lalu yang dipegang bekas atlet kebangsaan, Mohd Hafifi Mansor .Darul Najmi, berkata dia bagaikan bermimpi mampu meraih pingat emas hasil angkatan bebanan seberat 164 kg kerana  pada sesi latihan kemampuan angkatannya tidak melebihi 155 kg.“Saya sememangnya berharap kutipan pingat dalam acara ini, sekurang-kurangnya  pingat gangsa sebagai hadiah buat Terengganu, tetapi apa yang diperoleh saya adalah emas, bertambah gembira mampu pecah rekod kejohanan.“Kejayaan itu cukup bermakna buat diri saya  kerana belum pernah mengenggam sebarang pingat  dalam kejohanan  sama yang disertai sebanyak tiga kali sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Teganukita pagi ini. Menurutnya, kejayaan yang diraih itu adalah kejayaan bersama, hasil sokongan dan dorongan semua pihak, terutama sekali doa ibu dan ayah serta jurulatih Zulkifli Joseph yang tidak pernah putus memberi  suntikan semangat.“Saya mula timbul minat menceburi sukan angkat berat sejak di bangku sekolah rendah, kemampuan semakin terserlah apabila ke Sekolah  Menengah  Kebangsaan Sultan Ismail, Kelantan sehingga terpilih mewakili  SUKMA di Sarawak pada 2012. “Pendorong saya ketika itu adalah abang sulung, Muhamad Fadli Dollah yang juga seorang atlet angkat berat dan kini bertugas sebagai Pembantu Jurulatih SUKMA Terengganu,”katanya.Dalam pada itu, pengurus pasukan, Muhammad Hilmi Haris berkata, kejayaan itu memberikan semangat buat kontinjen Terengganu secara umumnya."Oleh kerana SUKMA Perak ini adalah yang terakhir buat Darul, beliau tidak melepaskan peluang untuk mencatatkan sejarah buat dirinya."Alhamdulillah, Darul meraih pingat dan rekod yang istimewa buat diri dan kariernya dalam sukan angkat berat," katanya.
16 Sep 18
552
Empty Image
SUKMA 2018: Lawn Bowls Tepati Sasaran Emas
Pingat emas disampaikan ketua kontijen, Samiun Salleh.IPOH- Dua emas yang diperoleh daripada pasukan boling padang Terengganu menepati sasaran pingat emas pasukan tersebut bagi Sukan Malaysia (SUKMA) kali ini.Acara perseorangan lelaki diwakili Muhammad Idham Amin Ramlan, meraih emas setelah menewaskan lawan dari Selangor yang juga pelapis pemain kebangsaan, Muhammad Haiqal Azami dengan skor 21-14 di Kompleks Sukan MBI di sini semalam.Manakala dalam acara Triples wanita, trio Nor Zamziezah Ahmad, Nur Nadhirah Mohamad Taufik dan Nurul Balqis Anisha Bakar menewaskan trio Pahang dengan skor 15-10, meningkatkan pungutan pingat emas.Pasukan boling padang akan bersaing pada hari ini dalam saingan berpasangan lelaki, Triples lelaki, berempat wanita, perseorangan wanita dan  berpasangan campuran.Pada SUKMA edisi ke-18 di Sarawak, pasukan boling padang berjaya membawa pulang dua emas dan dua gangsa. Pasukan Lawn Bowls Terengganu.
16 Sep 18
937
Empty Image
SUKMA 2018: Angkatan Emas Darul Pecah Rekod Kejohanan
Pasukan angkat berat meraikan kejayaan Darul.TAPAH- Atlet angkat berat, Muhamad Darul Najmi Dollah, 21, meraih pingat emas buat Terengganu dalam acara 69 kg Clean & Jerk sempena Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 di Dewan Merdeka Majlis Daerah Tapah, semalam.Angkatan seberat 164 kilogram (kg) itu sekaligus memecahkan rekod kejohanan yang dipegang bekas atlet kebangsaan, Mohd Hafifi Mansor  seberat 163 kg ketika di Perlis empat tahun lalu.Pengurus pasukan, Muhammad Hilmi Haris menyifatkan kemenangan Darul Najmi sesuatu keputusan luar jangka."Kita hanya mensasarkan pingat perak bagi snatch dan gangsa bagi clean & jerk bagi Darul. Tetapi beliau berjaya merangkul emas dalam kedua-duanya.Hilmi menyampaikan insentif MSNT kepada Darul atas pungutan pingat emas."Paling manis, Darul merakam sejarah baru buat pasukan angkat berat apabila memecahkan rekod Clean & Jerk SUKMA yang kita miliki."Saya bangga dengan keputusan dan prestasi atlet-atlet negeri terengganu kerana berjaya merebut peluang yang yang ada dalam meraih sebanyak mungkin pingat yang ditawarkan," katanya.Sehingga hari ini, Terengganu mendahului negeri negeri lain dengan pungutan pingat 3 emas 2 perak dan 5 gangsa bagi sukan angkat berat.Beberapa atlet baru telah menunjukkan pencapaian pertandingan seperti Ahmad Faiz Imran Mohd Narizan (kategori 62kg) yang berjaya menyumbang gangsa dalam penyertaan pertamanya.Muhammad Saiful Irfan (kiri) dan Ahmad Faiz Imran (kanan) sumbang gangsa buat Terengganu.
16 Sep 18
1199
Empty Image
SUKMA 2018: Pembangunan Sukan Terengganu Serlah Pencapaian
Samiun Salleh.Pembangunan dan pelan strategik yang dilaksanakan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) memperlihatkan hasil dalam pencapaian atlet negeri itu dalam Sukan Malaysia (SUKMA) ke- 19 di Perak.Ketua Kontijen SUKMA Terengganu, Samiun Salleh berkata, pembangunan sukan di Terengganu terdiri daripada pelbagai peringkat."Selepas SUKMA di Sarawak dua tahun lalu, kita terus melaksanakan pelan strategik untuk SUKMA 2018 dan SUKMA 2020."Hasilnya kita berjaya mengekalkan pencapaian walaupun dibarisi ramai atlet muda."Saya selaku ketua kontijen berterima kasih kepada Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan pimpinan negeri yang memberi sokongan penuh kepada pembangunan sukan negeri," katanya ketika ditemubual pihak RTM, semalam.Beliau turut berpuas hati dengan pungutan pingat  dari kontinjen  Terengganu yang melebihi sasaran bagi 10 hari pertama kejohanan."Kami mengadakan mesyuarat setiap dua hari, selain sentiasa berkomunikasi dan memberi kata-kata semangat menggunakan aplikasi yang ada antara atlet dan ketua pasukan. "Ini membantu kita mengetahui sebarang keperluan, perkembangan dan isu-isu yang timbul dapat diatasi segera," katanya.
16 Sep 18
127
Empty Image
SUKMA 2018: Rejaman Emas Ceriakan Skuad Terengganu
Pasukan sepak takraw Terengganu.ULU KINTA - Pasukan sepak takraw lelaki menghadiahkan pingat emas buat Terengganu setelah terpaksa berhempas-pulas sebelum menumpaskan Pulau Pinang dalam perlawanan akhir yang berkesudahan 2-1 di Institut Latihan Kesihatan Sultan Azlan Shah, di sini, petang tadi.Pengurus pasukan, Muhammad Alauddin Wahab berkata, kekuatan dan keyakinan mental pemain berjaya mengikat pasukan lawan untuk mengheret perlawanan ke penentuan mata regu ketiga."Perlawanan agak sengit namun syukur kita berjaya memenangi perlawanan tersebut," katanya.Mohd Futra.Dalam pada itu, ketua jurulatih, Mohd Futra Abd Ghani mengakui perlawanan regu ketiga yang diheret ke 'tie break' berlangsung dalam debaran."Tetapi saya percaya kepada pemain-pemain saya bahawa mereka akan mengatasi pihak lawan hasil fokus dan bijak mencuri peluang." Rasa bimbang itu ada cuma syukur pemain mendapat semangat mengejar dari ketinggalan untuk memenangi perlawanan," katanya.Futra yang merupakan bekas pemain sepak takraw negara menyatakan sasaran pingat buat skuad Terengganu juga akan cuba dicapai dalam acara regu dan 'double' yang akan dipertandingkan esok.Pada SUKMA edisi ke-16 di Sarawak lalu, pasukan sepak takraw berjaya menyumbang dua emas melalui acara berpasukan dan 'double' serta satu perak melalui acara regu.
16 Sep 18
737
Empty Image
SUKMA 2018: Bola Sepak Langkah Kanan
Pemain Terengganu yang beraksi menentang Perlis.IPOH- Ketiadaan tiga tonggak yang digantung tiga perlawanan nyata tidak menjejaskan pasukan Terengganu apabila berjaya menewaskan Perlis 1-2 dalam saingan suku akhir, dalam persaingan di Stadium TLDM Lumut, malam tadi.Sebelum ini, Mohammad Rahmat Makasuf, Shafawi Mohamad dan Muhamad Fakhrul Wahid digantung tiga perlawanan selepas didapati bersalah berkelakuan ganas dalam aksi menentang Johor, pada Isnin lalu.Pengurus pasukan, Mohd Khoderi A. Rahman berkata, meskipun ketiadaan trio berkenaan sedikit terkesan kepada pasukan, tetapi ia tidak mendatangkan masalah dan menjejaskan persembahan sepenuhnya."Kita percaya, pemain yang dibawa ke kejohanan ini adalah yang terbaik dan mampu memikul tanggungjawab diberikan."Setiap pemain memberikan aksi terbaik dan kami sentiasa memastikan pemain dapat mengawal emosi dan berjuang sehingga wisel akhir," katanya.Pasukan Terengganu mengesahkan laluan ke separuh akhir malam tadi, dengan dua gol dijaringkan oleh Wan Mohammad Fadhi Wan Ghazali dan Muhammad Ridzuan Mohd Ghazali.Laluan Terengganu semakin cerah untuk mencapai sasaran emas pada temasya kali ini sekali gus menebus kekecewaan pada SUKMA 2016 Sarawak yang pulang tanpa kilauan pingat.
15 Sep 18
506
Empty Image
SUKMA 2018 : Bidikan Emas Qamarul Pecah Rekod
Muhamad Qamarul Naim Abu Aziz berjaya membidik pingat emas dan sekali gus mencipta rekod baharu temasya Sukan Malaysia (SUKMA)ke-19 Perak.IPOH - Bersaing sebagai penembak bukan pilihan dan tidak meletakkan sebarang sasaran pingat, tidak menggugat Muhamad Qamarul Naim Abu Aziz untuk mencipta magis tersendiri apabila bidikannya mencipta pingat emas untuk Terengganu, hari ini.Qamarul mengumpul 541 mata menerusi acara 50 meter (m) pistol individu lelaki mengatasi pencabar terdekatnya dari Perak yang meraih pingat perak dengan ketinggalan 11 mata.Atlet berusia 21 tahun itu juga mencipta rekod baharu temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 Perak selepas memadam rekod atlet dari Negeri Sembilan yang mengumpul 540 mata, di SUKMA Perlis  2014.Qamarul berkata, dia tidak pernah menyangka akan memenangi emas kerana hanya mengharapkan gangsa dan keputusan di luar jangkaan semua itu sebagai bonus kepada Terengganu."Saya tahu acara saya tidak diletakkan sebagai sasaran pingat tetapi itu yang membakar semangat untuk diri membuktikan kepada ramai yang saya mampu menjadi antara yang terbaik."Saya cuma berharap mendapat salah satu pingat sahaja dan tidak menjangka turut memecah rekod kejohanan sebelum ini," ujarnya ketika dihubungi, di sini, hari ini.Menurut atlet itu lagi, beliau sebelum ini pernah menyertai acara 50m Free Pistol berpasukan di SUKMA 2016 Sarawak dengan membawa pulang pingat gangsa.Katanya, penyertaan di SUKMA Perak merupakan kali ketiga dan terakhir kerana usia telah mencapai had umur yang ditetapkan oleh peraturan penyertaan.Bercerita lanjut penglibatan dalam acara itu, anak kelahiran Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu itu mula meminati menembak ketika di Tingkatan Tiga apabila rakan-rakannya memujuknya untuk bersama mencuba sukan yang berbeza dari kebiasaan dan lebih mencabar."Bila kawan ajak, saya pun terus mencuba dan akhirnya menjadi sukan kegemaran tetapi tidak pernah menjangka akan pergi sejauh ini,"ujarnya lagi.Beliau juga mahu mendedikasikan pingat emas itu sebagai hadiah istimewa buat ayah dan ibunya yang tidak pernah jemu memberi sokongan malah menjadi sumber inspirasi utama pencapaiannya.
15 Sep 18
152
Empty Image
SUKMA 2018 : Terengganu Kekal Mendahului
IPOH - Terengganu terus mencongak untuk bertahan sebagai pendahulu kedudukan pungutan pingat pada hari kelima temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 Perak 2018, hari ini.Sehingga jam 4 petang ini, Kontinjen Hanelang mengumpul keseluruhan 35 pingat dengan 13 emas, 12 perak dan 10 gangsa makin menjarakkan kedudukan dengan Pulau Pinang, di tangga kedua dengan kutipan 10 pingat emas, enam perak dan lima gangsa.Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu berkata,  tiga emas terbaharu diraih masing-masing dari acara berbasikal lelaki dan wanita (kriterium) serta menembak.Katanya, acara kriterium yang berlangsung di Taman Tasik Taiping, pada sebelah pagi tadi turut menghadiahkan dua pingat perak."Alhamdulillah atlet kita menunjukkan prestasi yang sangat luar biasa dan membuktikan keupayaan masing-masing termasuk melepasi sasaran ditetapkan kontinjen."Pada hari ini juga, ada beberapa sukan yang kita sudah melangkah ke suku akhir seperti futsal wanita dan ke separuh akhir bagi acara pentanque lelaki dan wanita. Doakan kejayaan atlet kita sekali gus misi bergelar juara keseluruhan tercapai,"katanya.Terengganu yang muncul juara keseluruhan empat kali berturut-turut SUKMA bermula 2008, 2010, 2011 dan 2012 menyasarkan kutipan keseluruhan 53 pingat emas, 32 perak dan 50 gangsa dalam temasya di Perak kali ini.
15 Sep 18
501
Empty Image
SUKMA 2018: Tiada Kes Beguk Di Kalangan Atlet Terengganu
Samiun Salleh bersama atlet berbasikal kriterium yang  berjaya menuai emas buat TerengganuTAIPING - Tiada penularan jangkitan dan simptom virus beguk di kalangan Kontinjen Terengganu di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 Perak, sepanjang berlangsungnya temasya, sehingga kini.Ketua Kontinjen, Samiun Salleh berkata, pihaknya serius membendung jangkitan virus berkenaan daripada menular, termasuk mengambil langkah tambahan bagi memastikan atlet Terengganu selamat."Kaum keluarga atlet tidak perlu panik berikutan pemantauan dan pemeriksaan berterusan dijalankan bagi tujuan itu dan semua pengurus pasukan sentiasa dalam keadaan bersiap sedia menghadapi pelbagai kemungkinan."Langkah paling utama, kita beri  perhatian yang lebih dalam hal penjagaan kesihatan atlet ini terutama bab kebersihan, pemakanan dan sebagainya untuk pastikan tiada jangkitan berlaku,” katanya ketika ditemui sejurus penyampaian pemenang bagi acara berbasikal kriterium, di Dataran Majlis Perbandaran Taiping, di sini, hari ini.Tambah Samiun lagi, kawalan terhadap pergerakan atlet sepanjang berada di SUKMA turut diperketatkan supaya mereka tidak terdedah dengan virus berkenaan.Antara simptom penyakit beguk ialah demam, sakit kepala, sakit otot, hilang selera, bengkak dan sakit di kelenjar air liur.Sehubungan itu, atlet atau orang ramai yang ada simptom penyakit terbabit dinasihatkan berjumpa doktor bagi pemeriksaan lanjut.Sebelum in, pasukan boling padang wanita Negeri Sembilan menjadi pasukan kedua menarik diri daripada Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 akibat jangkitan virus beguk selepas pasukan futsal wanita dan lelaki Sabah berbuat demikian, awal minggu ini.
15 Sep 18
95
Empty Image
SUKMA 2018 : Dua Emas Berharga Kriterium
TAIPING - Dua lagi emas dituai skuad berbasikal Terengganu, hari ini menjadikan keseluruhan lima pingat emas daripada sukan itu sejak dipertandingkan bermula Rabu lalu sempena Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 Perak 2018.Bonus dua emas itu diraih menerusi acara kriterium 50 kilometer (km) wanita, Nur Aisyah Mohamad Zubir dan kriterium 80km lelaki, Wan Abdul Rahman Hamdan.Kejayaan itu juga merupakan emas peribadi ketiga Nur Aisyah selepas menggengam emas pertama dan kedua masing-masing bagi kategori berbasikal 60km dan 80km individu wanita pada temasya ini.Acara itu juga menyumbang dua pingat perak menerusi 50km (wanita) oleh pelumba, Ezzatie Fifiyana Shazwanie Shaiful Hisham dan 80km lelaki,  Zuladri Amin Zulkurnain di Taman Tasik Taiping, di sini, hari ini.Terengganu tidak meletakkan sebarang  sasaran bagi kategori itu, bagaimanapun kelebihan dua emas berharga dari dua pelumba kebangsaan berkenaan, memberi laluan mudah untuk kontinjen negeri mencapai misi sembilan emas keseluruhan sebelum penamat acara pada 22 September ini.Yang Dipertua Persatuan Lumba Basikal Negeri Terengganu, Zainal Abidin Hussin, berkata sasaran sembilan emas pada hari kemuncak ini lebih mudah dicapai dengan prestasi terbaik semua atlet basikal negeri ketika ini."Biarpun berdepan insiden kemalangan ketika pertandingan (lebuh raya) dua hari lalu, atlet tetap positif dan berada pada tahap dan masa terbaik untuk membuat kejutan sepanjang temasya berlangsung."Kita kekal mendominasi pungutan pingat, malah mengenepikan pencabar lain bagi acara yang tidak disasarkan sebarang pingat seperti hari ini (kriterium),"kata beliau lagi sejurus penyampaian hadiah di Dataran Majlis Perbandaran Taiping, sebentar tadi.Zainal berkata, baki sasaran empat lagi emas dipertaruhkan kepada pelumba BMX yang memulakan saingan esok (16 - 17 September),  MTB (18 - 19 September) dan trek (20-22 September).Untuk rekod, pada SUKMA 2016 Sarawak, Nur Aisyah yang juga pelumba negara, mendominasi lima emas menerusi acara ujian masa individu dan berpasukan, lepas beramai-ramai, individu dan berpasukan serta kriterium.Terengganu yang muncul juara keseluruhan empat kali berturut-turut SUKMA bermula 2008, 2010, 2011 dan 2012 menyasarkan kutipan keseluruhan 53 pingat emas, 32 perak dan 50 gangsa dalam temasya di Perak kali ini.
14 Sep 18
176