lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

Che Alias Hamid Dilantik Sebagai Senator
Che Alias Hamid Dilantik Sebagai Senator
KUALA TERENGGANU, 22 November – Che Alias Hamid, mantan Ahli Parlimen Kemaman, telah dilantik sebagai ahli Dewan Negara dalam Sidang Dewan Undangan Negeri mewakili Negeri Terengganu. Pelantikan ini melengkapkan barisan kepimpinan negeri di peringkat persekutuan. Che Alias, yang berasal dari Kampung Semayor, Kemasik, lahir pada 2 Jun 1966 mempunyai tujuh orang anak hasil perkahwinan dengan Rashidah Awang merupakan seorang tokoh yang kaya dengan pengalaman dalam pelbagai bidang.  Che Alias telah bertanding dalam beberapa pilihan raya sejak tahun 1999, dan pada Pilihan Raya Umum ke-14, beliau memenangi kerusi Parlimen Kemaman. Atas sumbangannya kepada masyarakat, beliau dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) pada tahun 2002 dan Setia Mahkota Terengganu (S.M.T.) pada tahun 2022. Beliau berkata, isu kepentingan Terengganu akan terus diperjuangkannya demi kesejahteraan rakyat negeri ini. “Saya menyifatkan pelantikan ini sebagai satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab. "Insya-Allah, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk membawa hasrat dan harapan rakyat Terengganu ke peringkat Dewan Negara,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, semalam. Sebagai Senator yang mewakili Dewan Undangan Negeri Terengganu, beliau menekankan kepentingan menyelaraskan perancangan negeri dan persekutuan demi memastikan pembangunan yang lebih seimbang, terutama antara Pantai Timur dan Pantai Barat. “Seperti yang telah dinyatakan, rakyat negeri Terengganu mengharapkan kesejahteraan dan kebahagiaan dalam pelbagai aspek, termasuk kos sara hidup, kepentingan ekonomi, dan penempatan.  “Namun, kerajaan negeri tidak mampu melaksanakan semua perkara ini secara menyeluruh tanpa kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan.  “Oleh itu, keseimbangan dalam peranan yang dimainkan oleh kedua-dua pihak kerajaan negeri dan kerajaan pusat adalah amat penting. Sebagai seorang Ahli Dewan Negara yang dilantik, menjadi tanggungjawab saya untuk memperjuangkan kepentingan rakyat Terengganu.  “Ini kerana aspirasi, cita-cita, dan harapan rakyat negeri kita hanya dapat direalisasikan sepenuhnya dengan sokongan padu daripada Kerajaan Persekutuan,” jelas beliau. Alias menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya mengabaikan kepentingan dan pembangunan yang perlu diberikan perhatian bersama, kerana Terengganu juga merupakan sebahagian daripada Malaysia. Sebagai seorang yang berpengalaman dalam arena politik, beliau berazam untuk membawa isu-isu utama rakyat Terengganu ke perhatian Dewan Negara. “Sebagai wakil yang membawa isu-isu negeri Terengganu, menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan hasrat dan harapan rakyat negeri ini didengari oleh kepimpinan serta dilaksanakan dengan sebaik mungkin.  “Antara isu utama adalah tuntutan royalti minyak, yang telah lama dibincangkan dan sering disuarakan oleh YAB Menteri Besar, termasuk melahirkan rasa kecewa terhadap sikap Kerajaan Persekutuan,” katanya. Alias menambah, dalam sistem federalisme, perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku dimana ia menjadi tanggungjawab Persekutuan untuk membantu Kerajaan Terengganu apatah lagi apabila melibatkan hak negeri yang wajar dihormati dan dilaksanakan.
22 Nov 24
107
Semua PBT Terengganu Capai Status Bandar Mampan
Semua PBT Terengganu Capai Status Bandar Mampan
KUALA TERENGGANU, 22 November - Kesemua tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri Terengganu telah mencapai status bandar mampan. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan & Kesihatan Negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, status itu diperolehi hasil analisa penilaian kemampanan bandar atau MURNInets yang telah dijalankan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLAN Malaysia), baru-baru ini. "Selain itu, melalui Sistem Penarafan Bintang (SPB) PBT 2024, Alhamdulillah semua PBT di Terengganu mendapat pengiktirafan empat hingga lima bintang. "Sistem ini bertujuan menilai prestasi dan kecekapan PBT yang berfungsi sebagai mekanisme menilai sejauh mana ia memenuhi standard yang ditetapkan," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini kelmarin. Dalam pada itu, Wan Sukairi sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri KPKT, Nga Kor Ming kerana telah mengumumkan kelulusan projek naik taraf Pasar Borong Gong Pauh di bawah rolling plan kelima Rancangan Malaysia ke-12 (RMK) dengan kos RM15 juta. "Terima kasih juga kepada ahli parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim yang telah membawa usul ini di peringkat parlimen. "Tidak lupa juga kepada Datuk Bandar MBKT, Dato' Rosli Latif dan pasukannya atas tindakan dan kecaknaan dalam menyelesaikan isu pasar borong ini," katanya.
22 Nov 24
92
RM280,000 Peruntukan Bagi pembangunan Dan Promosi Usahawan
RM280,000 Peruntukan Bagi pembangunan Dan Promosi Usahawan
KUALA TERENGGANU, 22 November - Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM280,000 bagi pembangunan dan promosi usahawan pada tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, sebanyak RM140,000 digunakan khusus bagi pembangunan usahawan, manakala bakinya diperuntukkan untuk aktiviti promosi yang turut merangkumi usahawan dalam industri kraftangan.  Katanya, langkah tersebut bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan memberikan sokongan yang lebih kukuh kepada usahawan tempatan, termasuk mereka yang terlibat dalam sektor kraftangan, agar dapat berkembang dan memperluaskan pasaran produk mereka.   "Kerajaan Negeri juga menyokong usaha yang dijalankan oleh pihak Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Terengganu dalam pelaksanaan Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK)  dengan memfokuskan latihan dalam pelbagai bidang kraf, termasuk anyaman daun getah, tenunan, batik, dan logam. "Serta membantu dari segi promosi dengan membawa pengusaha kraf ke ekspo-ekspo atau karnival keusahawanan bagi memasarkan produk-produk kraftangan," ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini semalam. Ghazali mengemukakan soalan mengenai adakah peruntukan kewangan atau kursus latihan bagi industri kraftangan oleh kerajaan negeri jika ada, berapakah jumlah peruntukan yang diberikan. Menurut beliau, projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) yang diinisiatifkan oleh Kraftangan Malaysia melibatkan komuniti yang terdiri daripada suri rumah, asnaf dan anak muda secara langsung dengan perusahaan kraf bagi menjana pendapatan utama atau sampingan berjaya melahirkan 99 pengusaha kraf di Terengganu. “Seramai 14 Adiguru Kraf dalam bidang tekstil, logam dan hasil rimba dari negeri ini telah dilantik untuk menyumbang kepakaran dan berkongsi kemahiran dengan komuniti, dalam usaha meningkatkan taraf sosioekonomi menerusi penghasilan kraf. “PPKK telah diwujudkan pada 2020 susulan serangan pandemik COVID-19 yang menyebabkan ramai rakyat terkesan akibat kehilangan kerja dan punca pendapatan,” ujarnya.  
22 Nov 24
54
Konsortium Koperasi Khariah Masjid Negeri Bakal Diwujudkan
Konsortium Koperasi Khariah Masjid Negeri Bakal Diwujudkan
KUALA TERENGGANU, 21 November - Konsortium Koperasi Khariah Masjid Negeri Terengganu akan ditubuhkan bagi menggabungkan koperasi khariah masjid yang menjalankan aktiviti kedai runcit.  Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, ia akan berperanan sebagai penggerak utama bagi membekalkan barangan harian kepada kedai runcit milik ahli gabungan. Katanya, ia sekali gus memastikan bekalan sentiasa tersedia pada harga berpatutan serta 'halalan tayibah'. “Selain itu, konsortium ini akan menyelaras dan menyusun atur kedai-kedai tersebut menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sama di bawah jenama (K4mart).  “Bagi merealisasikan hasrat ini satu jawatankuasa pemandu telah diwujudkan yang terajui oleh Exco Usahawan dan Koperasi serta dianggotai oleh pihak-pihak berkepentingan iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan pakar dalam industri,” ujarnya.  Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini semalam. Katanya, jawatankuasa tersebut akan memantau serta menyelaras penubuhan dan perjalanan konsortium agar selaras dengan matlamat penubuhannya.
21 Nov 24
191
Terengganu Semai Minda Keratif & Inovatif di Segenap Peringkat Umur
Terengganu Semai Minda Keratif & Inovatif di Segenap Peringkat Umur
KUALA TERENGGANU, 21 November - Kerajaan Terengganu telah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk mengintegrasikan pendidikan dalam menekankan kreativiti dan inovasi dalam kurikulum sekolah. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, antara usaha yang dibuat ialah menganjurkan aktiviti di sekolah-sekolah setiap daerah melalui kerjasama Yayasan Terengganu untuk mencungkil bakat dan menarik minat pelajar dalam bidang inovasi. "Di semua peringkat, kerajaan negeri menyokong industri kreatif dan teknologi digital antaranya menerusi penubuhan zon ekonomi digital dengan menyediakan ruang bagi syarikat teknologi berkembang termasuk dalam bidang animasi, reka bentuk grafik digital. "Begitu juga dalam mempromosikan budaya kreatif dalam komuniti masyarakat melibatkan pameran-pameran seni, bengkel kraf dan pentandingan inovasi serta pembangunan desa kreatif," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) Wisma Darul Iman, semalam. Menurut Satiful, usaha menyokong kawasan luar bandar menonjolkan keunikan tradisi dan kraf tempatan melalui inovasi terkini dapat meningkatkan tradisi dan kraf tradisional sekaligus menjana pendapatan penduduk desa. Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri melalui Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS) menganjurkan 'Media Engagement Strategy' yang melibatkan bidang teknologi maklumat dan media baru selain beberapa pelan kerjasama melibatkan institusi pengajian tinggi (IPT).
21 Nov 24
83
Tindakan Sekat Hak Royalti Suburkan Dendam
Tindakan Sekat Hak Royalti Suburkan Dendam
KUALA TERENGGANU, 21 November - Kerajaan Negeri tiada autoriti ke atas hampir 60 peratus hak royalti Terengganu sebagaimana keadaan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) November 2022. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, tindakan politik kuno itu sudah pasti menyebabkan rakyat Terengganu mempunyai perasaan tidak puas hati terhadap kepimpinan kerajaan di peringkat Persekutuan. "Jangan kita mendera pilihan rakyat yang dijamin oleh perlembagaan. Dek kerana rakyat tidak memilih kita, kita dera rakyat dengan sekatan dan penyempitan pelbagai perkara. "Tindakan politik kuno yang dilakukan ini telah mencetuskan suasana tidak harmoni dan akan membangunkan dendam lebih dalam. "Sedangkan kita di peringkat kerajaan negeri, bertahun-tahun berusaha memadam api dendam dan permusuhan dalam kalangan masyarakat," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) Wisma Darul Iman, hari ini. Tambahnya, disebabkan itu segala urusan perbelanjaan negeri yang berkait dengan peruntukan daripada royalti dipaksa untuk mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan terlebih dahulu. "Lebih menyusahkan, pegawai kewangan negeri terpaksa berulang alik setiap minggu ke Putrajaya untuk membuat permohonan satu per satu, 'case by case' kepada MOF bagi mendapatkan kelulusan peruntukan royalti yang merupakan hak kita. "Sehingga Oktober 2024, secara atas kertas diluluskan RM1.265 bilion wang royalti, akan tetapi hanya RM528 juta sahaja yang disalurkan ke akaun kerajaan negeri, itu pun sebahagian besarnya melibatkan emolumen. "Manakala selebihnya iaitu RM737 juta dibayar terus oleh MOF kepada pihak-pihak berkenaan," katanya.  
21 Nov 24
228
TSV Sebagai Hab Strategik Silika dan Kuarza di Terengganu
TSV Sebagai Hab Strategik Silika dan Kuarza di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 November - Lembah Silika Terengganu (TSV) berpotensi dijadikan sebagai hab strategik untuk industri silika dan kuarza, di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, lokasinya strategik dan  mempunyai simpanan silika dan kuarza yang besar, menyokong strategi pertumbuhan ekonomi mampan. "TSV bertujuan menjadi pusat aktiviti hiliran berasaskan silika dan kuarza, dengan kawasan perindustrian seluas 4,000 hektar yang dirancang di Marang, Terengganu. "Ia mempunyai infrastruktur lengkap, termasuk akses kepada gas asli, elektrik, dan air, serta pelabuhan dan jaringan logistik berdekatan (Pelabuhan Kemaman dan Kuantan, Lebuhraya Pantai Timur, dan Laluan Rel Pantai Timur yang akan datang). "TSV disusun untuk aktiviti huluan (perlombongan dan pemprosesan silika) serta hiliran (pembuatan kaca, panel solar, elektronik)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli  Dewan Undangan Negeri (ADUN)Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini. Tambahnya, pelan induk melibatkan pembangunan secara berfasa untuk memenuhi pelbagai keperluan industri, termasuk kawasan seluas 1,272 hektar untuk fasa awal. "TSV akan disokong oleh bekalan utiliti yang kukuh, termasuk elektrik berkuasa tinggi, gas, dan air.  "Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menawarkan insentif seperti pengecualian cukai, elaun pelaburan, dan pengecualian duti import untuk menarik industri pembuatan dan penyewa utama," ujarnya lagi. Menurutnya, TSV juga mewakili peluang besar untuk industri silika dan kuarza di Asia Tenggara, menyediakan ekosistem perindustrian yang lengkap untuk pelabur tempatan dan antarabangsa.
21 Nov 24
921
Terengganu Model Perpaduan Kaum Yang Inklusif
Terengganu Model Perpaduan Kaum Yang Inklusif
KUALA TERENGGANU, 21 November – Terengganu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai satu negeri contoh dalam perpaduan kaum menerusi pendekatan inklusif yang merangkumi semua aspek kehidupan masyarakat. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata usaha ini dilaksanakan secara berterusan tanpa mengira waktu atau keadaan. “Apabila kita turun padang ke daerah-daerah untuk menyantuni golongan memerlukan, saya turut melibatkan pelbagai kaum yang berbeza. “Walaupun sasaran utama ziarah ini adalah golongan susah kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu, kehadiran masyarakat Cina, India, dan juga Orang kurang Upaya  (OKU) dalam majlis ini mencerminkan semangat perpaduan yang tinggi. “Konsep kebajikan kita adalah bersifat merentas, tidak semestinya hanya pada program semasa perayaan seperti Tahun Baru Cina dan Deepavali sahaja,” jelas beliau. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, semalam. Menurut Maliaman, Terengganu dilihat sebagai model perpaduan yang berjaya di Malaysia kerana tiada isu pergeseran kaum dilaporkan. Beliau percaya pendekatan menyeluruh yang dilaksanakan mampu mengekalkan keharmonian serta memberi inspirasi kepada negeri-negeri lain. “Untuk mengukur kejayaan ini, kita tidak mempunyai kayu ukur yang khusus. Namun, matlamat utama aktiviti perpaduan adalah untuk mewujudkan jalinan mesra antara pelbagai kaum di Terengganu. “Ketiadaan isu pergeseran dan ketegangan kaum di negeri ini menjadi bukti bahawa program-program perpaduan yang dilaksanakan telah mencapai matlamat dan sasarannya. “Bahkan, isu-isu ketegangan kaum yang berlaku di luar Terengganu tidak wujud di sini, dan ini menunjukkan bahawa Terengganu boleh dijadikan model perpaduan,” ujarnya. Justeru itu, beliau menyifatkan perpaduan di negeri ini sebagai bersifat merentas dan tidak terhad kepada isu atau masa tertentu. “Segala aktiviti berkaitan kebajikan dilaksanakan secara menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada musim perayaan seperti Deepavali atau Tahun Baru Cina sahaja,” tambah Maliaman.
21 Nov 24
151
Terengganu Rekod 53 Kes Perkahwinan Bawah Umur
Terengganu Rekod 53 Kes Perkahwinan Bawah Umur
KUALA TERENGGANU, 21 November - Sebanyak 53 kes perkahwinan bawah umur melibatkan remaja perempuan di Terengganu dari tahun 2022 hingga 2024. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Terengganu, Maliaman Kassim berkata, daripada jumlah tersebut, 15 kes direkodkan di Kemaman. "Daerah Besut pula merekodkan sebanyak 13 perkahwinan bawah umur diikuti Dungun (tujuh), Kuala Terengganu (lima), Setiu (lima), Hulu Terengganu (tiga), Marang (tiga) dan Kuala Nerus (dua). "Antara sebab keperluan perkahwinan tersebut terdapat segelintir ibu bapa mahu membendung dan batas menjaga anak anak mereka daripada terus melakukan masalah sosial seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, dadah dan sebagainya. "Oleh itu, ibu bapa berpendapat bahawa perkahwinan ialah jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini sekaligus dapat mengurangkan masalah sosial dalam kalangan anak-anak mereka," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri,Yusop Majid dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini. Tambahnya, kekurangan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan seksual dan reproduktif (SRH) juga antara punca utama berlakunya perkahwinan kanak-kanak.
21 Nov 24
97
MBI Terengganu Komited Terokai Potensi Gas Cecair Asli
MBI Terengganu Komited Terokai Potensi Gas Cecair Asli
KUALA TERENGGANU, 21 November - Mentri Besar Trengganu (Incorporated), MBI Terengganu sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam meneroka potensi projek pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG). Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, MBI Terengganu telah menjalankan kajian kebolehlaksanaan cadangan pembangunan loji hidrogen hijau dan ammonia hijau di Hulu Terengganu, Besut dan Dungun. “Pihak kerajaan pada ketika ini telah selesai melaksanakan libat urus bersama agensi-agensi kerajaan dan syarikat yang berpotensi bagi memperhalusi cadangan pembangunan loji hydrogen hijau dan ammonia hijau pada bulan Oktober dan bulan ini.  “Hasilnya, perkara yang berkaitan dengan teknikal akan diteliti oleh agensi yang berkaitan seperti Pejabat Daerah dan Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), PLANMalaysia, Jabatan Perhutanan Negeri serta agensi-agensi lain yang berkaitan,” ujarnya. Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini, semalam. Tambah beliau, kerjasama sepenuhnya dari agensi bagi memastikan permohonan oleh pelabur serta perincian teknikal oleh agensi harus juga diberi penelitian mengikut lunas undang- undang agar ia dapat berjalan dengan lancar dan sempurna. Dalam pada itu katanya, Terengganu sedang memperkenalkan industri CCUS yang dijangka akan menjadi sumber baharu pendapatan negara dan negeri serta menyumbang kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui.  “Selain itu, projek solar terapung di Tasik Kenyir dijangka menjana tenaga solar sehingga satu gigawatt (GW) dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan projek permulaan dijangka akan dibina pada tahun 2025 secara berfasa. “Dengan semua inisiatif ini di bawah portfolio pelaburan, kerajaan negeri berusaha untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan penggunaan bahan api fosil, serta mencipta peluang pekerjaan dan pendapatan baharu bagi negeri,” ujarnya.  
21 Nov 24
963