Artikel "Sidang DUN" Terkini
Isu Kepentingan Rakyat Diambil Tindakan Segera
KUALA TERENGGANU, 20 November - Pelbagai isu melibatkan kepentingan rakyat di Telemong perlu diambil tindakan segera oleh pihak berwajib.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Zawawi Ismail berkata, antara yang menjadi rungutan penduduk ialah gangguan hidupan liar, masalah banjir, dan pembangunan pelancongan.
"Masalah gajah dan hidupan liar kerap kali sebut dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), mesyuarat Tindakan Daerah pada setiap bulan dan juga dalam media sosial.
"Banyak harta benda rosak, tolonglah ambil tindakan tuntas," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dalam perbahasan bajet 2025 pada Mesyuarat ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, semalam.
Zawawi turut menyuarakan kebimbangan terhadap kehadiran gajah dan hidupan liar yang semakin kerap mengganggu penduduk.
Tambah beliau, punca utama dikenal pasti adalah penerokaan hutan akibat pembinaan empangan, aktiviti pembalakan, dan pembukaan tanah secara tidak terkawal.
“Pihak bertanggungjawab jangan hanya fikir keuntungan,” tegasnya.
Masalah banjir turut menjadi perhatian, khususnya di kawasan rendah seperti Telemong yang terkesan setiap tahun.
Beliau mencadangkan beberapa langkah mitigasi seperti pembinaan tebatan banjir, pendalaman sungai, dan pembinaan "monsoon drain".
"Biarpun memerlukan kos besar, langkah ini mampu mengurangkan kerugian besar yang ditanggung kerajaan dan rakyat setiap kali banjir melanda," katanya.
Selain itu, beliau menekankan pentingnya memajukan kawasan pelancongan seperti Tasik Kenyir dan Hutan Lipur dan Taman Pertanian Sekayu.
"Kawasan nampak layu dan tidak serancak dulu sejak akhir-akhir ini.
"Punca utama ialah kurang diberi perhatian, terbiar - mari kenyir main air suasana sunyi dan kekurangan perhatian," ujarnya.
Zawawi turut mengingatkan kerajaan tentang janji-janji berkaitan pembangunan perumahan di Bukit Tadok dan pembinaan Masjid Kampung Palas.
Justeru itu, beliau berharap
isu-isu ini diberi perhatian serius dan projek ini dapat dilaksanakan segera bagi memenuhi keperluan rakyat.
20 Nov 24
68
Kerajaan Negeri Terus Komited Atasi Isu Gajah Liar
KUALA TERENGGANU, 21 November - Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan peruntukan one-off sebanyak RM10 juta bagi inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) untuk menyelesaikan isu gajah liar termasuk di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris berkata peruntukan tersebut melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia / Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) / Sarawak Forestry Corporation (SFC).
“Tumpuan kepada kumpulan sasar yang mengalami kerugian berbentuk kerosakan dan kemusnahan harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar berdasarkan terma dan syarat yang telah ditetapkan.
“Sehingga Oktober 2024, sebanyak RM77,120 telah disalurkan kepada 24 pemohon di Terengganu bagi bantuan BKHT, ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu mangsa kerosakan yang disebabkan oleh serangan gajah liar.” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini, semalam.
Menurut Razali, RM6.5 juta telah diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) untuk membangunkan sistem pagar elektrik gajah (SPEG) di empat lokasi baru, termasuk Kampung Ban Hoo dan Kampung Air Putih di Kemaman, serta Kampung Gerdong dan Kampung Lubuk Periuk di Hulu Terengganu, bertujuan menghalang gajah daripada memasuki kawasan penempatan.
Tambah beliau, tindakan lain seperti pemantauan, kawalan, dan tembak halau juga dijalankan bagi menangani masalah gajah liar ini.
“Jika perlu, kaedah tangkap-pindah gajah akan dilaksanakan untuk mengurangkan ancaman yang dihadapi oleh penduduk di kawasan terlibat.
“Kerajaan negeri dan persekutuan terus komited untuk memastikan keselamatan penduduk dan kelestarian alam sekitar, sambil menangani isu konflik manusia dan hidupan liar dengan lebih berkesan,” jelasnya.
20 Nov 24
59
Sukan Air dan Karnival Pantai Warnai Kalendar Pelancongan Terengganu 2025
KUALA TERENGGANU, 20 November - Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan untuk memasukkan program sukan air seperti pertandingan lumba perahu panjang ke dalam Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu Tahun 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris mempertimbangkan cadangan dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim yang turut menawarkan DUN Buluh Gading sebagai tuan rumah bagi acara tersebut.
“Kerajaan Negeri sedia maklum akan cadangan ini dan insyaallah akan mempertimbangkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Menurutnya, kejayaan Karnival Pantai Terengganu 2024, yang mencatat kehadiran lebih 100,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri, menjadi bukti betapa pentingnya acara sebegini dalam menarik pelancong dan merancakkan ekonomi setempat.
“Pencapaian ini menunjukkan potensi besar karnival pantai sebagai acara utama negeri.
“Ia bukan sahaja mempromosikan pelancongan tetapi juga memberikan manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat, terutamanya usahawan kecil dan penggiat Industri Kecil Sederhana (IKS),” jelas beliau.
Dalam masa sama, kerajaan negeri turut mengumumkan bahawa Karnival Pantai Terengganu akan diteruskan pada tahun 2025 yang dijangka menjadi salah satu acara tanda aras (signature) dalam kalendar pelancongan dengan penyertaan dari dalam dan luar negara.
“Langkah ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan untuk mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama sambil memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat,” ujarnya.
20 Nov 24
537
Kerajaan Negeri Jangka Peroleh RM32 Juta Melalui Enakmen Sumber Air 2020
KUALA TERENGGANU, 20 November - Kerajaan Negeri menjangkakan pendapatan sebanyak RM32 juta pada tahun 2025 hasil pelaksanaan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020 menerusi Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris, berkata daripada jumlah tersebut, RM12 juta dijangka diperoleh melalui caj pengabstrakan air, manakala RM20 juta lagi daripada caj aktiviti penggubahan sumber.
“Ini merupakan langkah penting untuk meningkatkan pendapatan negeri sambil memastikan sumber air kita diurus dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Tambah Razali, selain hasil utama ini, LAUT juga sedang meneroka potensi pendapatan baharu, antaranya melalui caj pendaftaran vesel untuk aktiviti navigasi di sumber air, dengan kutipan dianggarkan sebanyak RM67 ribu pada tahun 2025.
Selain itu katanya, ia meliputi pembangunan industri pelancongan berasaskan sumber air, termasuk aktiviti rekreasi serta, kajian pelaksanaan Zero Discharge Policy untuk memelihara sumber air dan memanfaatkan penggunaan semula air pulih guna.
Beliau turut menjelaskan bahawa caj-caj ini hanya dikenakan kepada aktiviti komersial.
“Kita ingin menegaskan bahawa caj ini tidak akan membebankan rakyat biasa.
“Sebagai contoh, kegunaan air untuk pertanian atau peternakan sara diri di bawah 10,000 liter sehari, atau untuk isi rumah yang menggunakan kurang daripada 2,500 liter sehari, dikecualikan daripada caj,” jelasnya.
Justeru itu, Razali berharap langkah ini dapat menyeimbangkan antara peningkatan hasil negeri dan pemeliharaan alam sekitar, khususnya sumber air yang menjadi aset penting bagi negeri Terengganu.
20 Nov 24
120
TSG Dinobat Pasukan Terbaik Asia Kali Keenam
KUALA TERENGGANU, 20 November - Terengganu Cycling Team (TSG) sekali lagi mencipta sejarah apabila merangkul gelaran Pasukan Terbaik Asia pada tahun 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim meluahkan penghargaan dan tahniah kepada TSG atas usaha gigih selama ini.
"Kejayaan gemilang kali keenam itu diraih setelah TSG mengumpulkan 1,879 mata, mengatasi cabaran sengit pasukan JCL Team Ukyo dari Jepun yang menduduki tempat kedua, serta Roojai Insurance dari Thailand di tempat ketiga.
"Namun, kejayaan TSG tidak hanya terhenti di Asia, pasukan ini mencipta rekod baharu apabila dinobatkan sebagai Pasukan Kontinental Terbaik Dunia untuk kali ketiga, menewaskan 178 pasukan lain yang berdaftar di bawah UCI Continental Team.
"Selain itu, TSG berjaya menempatkan diri dalam senarai 30 Pasukan Terbaik Dunia, mengatasi lebih 213 pasukan yang bertanding sepanjang musim ini," jelas beliau.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini semalam.
Tambah Hishamuddin, pencapaian ini bukan sahaja membanggakan Terengganu tetapi juga Malaysia di pentas dunia, ia mencerminkan usaha konsisten TSG dalam membawa nama negara ke peringkat antarabangsa.
“TSG telah membuktikan bahawa Terengganu adalah kuasa besar dalam arena sukan berbasikal.
“Dengan komitmen dan semangat juang yang tinggi, tidak mustahil lebih banyak kejayaan menanti mereka pada masa akan datang.
“Tahniah diucapkan kepada TSG atas kejayaan luar biasa ini! Teruskan mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia di persada dunia,” ujarnya.
20 Nov 24
122
Portal Terengganu Talent Kumpul Bakat Anak Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 November – Kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) akan membangunkan Portal Terengganu Talent bagi mengumpulkan data mengenai bakat-bakat Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, portal khas tersebut bertujuan untuk membantu pencari kerja rakyat Terengganu mendaftar dan mengumpulkan data pencari kerja.
Menurutnya, portal itu juga akan menjadi platform bagi majikan di Terengganu terutama anak syarikat (GLC) Terengganu untuk mengiklankan jawatan kosong, memudahkan pencari kerja membuat permohonan, dan menyediakan pelaporan statistik pasaran buruh kepada kerajaan negeri.
“Objektif utama portal ini adalah bagi tujuan pengumpulan data maklumat dan data bakat modal insan di Terengganu.
“Portal ini juga menyediakan platform bagi majikan yang terdiri dari syarikat berkaitan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan di Terengganu untuk mengiklankan jawatan kosong,”ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Tambahnya lagi, selain itu ia memudahkan pencari kerja untuk mencari dan memohon pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran mereka.
Di samping itu juga, Ariffin berkata kewujudan portal berkenaan membolehkan kerajaan negeri membuat pelaporan statistik mengenai pasaran buruh yang merangkumi permintaan iaitu tawaran kerja kosong serta penawaran iaitu data pencari kerja.
Justeru itu, beliau berharap dengan adanya portal tersebut, semua bakat anak negeri Terengganu samada yang memiliki pendidikan tinggi atau rendah dan berkemahiran tinggi mahupun tidak mahir dapat dikumpul bagi tujuan membantu pengurusan bakat jangka panjang.
20 Nov 24
168
Kerjasama Awam-Swasta Bangunkan Kawasan Sekitar ECRL
KUALA TERENGGANU, 20 November – Kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan kerjasama awam-swasta bagi membangunkan kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di sekitar stesen East Coast Rail Link (ECRL).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, pendekatan itu bukan sahaja dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan, malah mempercepatkan proses pembangunan demi manfaat rakyat dan ekonomi negeri.
Menurutnya, pelbagai projek telah dirangka dan dicadang bagi dilaksanakan pada tahun hadapan demi memastikan permasalahan dan keselesaan kehidupan rakyat lebih terjamin.
“Kerjasama awam-swasta (Public-Private Partnership, PPP) berfungsi sebagai platform untuk memanfaatkan sumber dan kepakaran kedua-dua pihak.
“Dalam model ini, kerajaan akan menyediakan tanah atau insentif seperti pengecualian cukai, manakala pihak swasta akan menyumbangkan modal, teknologi, dan kepakaran teknikal.
“Pembahagian tanggungjawab dan risiko ini membolehkan pembangunan berjalan dengan lebih cekap tanpa membebankan kewangan kerajaan secara berlebihan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Menurut Hanafiah, pembangunan kawasan TOD di sekitar stesen ECRL juga akan membawa pelbagai manfaat kepada rakyat dan ekonomi negeri Terengganu dengan mengambil kira keperluan komuniti setempat dan kelestarian alam sekitar.
“Kawasan ini akan mengintegrasikan perumahan, perniagaan, dan kemudahan pengangkutan awam, sekali gus memudahkan penduduk setempat untuk bergerak dan menjalankan aktiviti harian.
“Pada masa yang sama, pembangunan ini juga mampu meningkatkan nilai hartanah, menarik pelaburan asing, dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, terutama golongan belia,” katanya lagi.
Tambah beliau, kerjasama awam-swasta untuk membangunkan kawasan TOD di sekitar stesen ECRL mencerminkan visi kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri maju dan mesra pelabur.
Dalam masa sama, peluang daripada projek berskala besar seperti ECRL, negeri dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan membawa perubahan positif kepada rakyat.
“Saya berharap kerjasama ini adalah contoh terbaik bagaimana kerajaan dan sektor swasta boleh berganding bahu untuk membangunkan negeri demi kesejahteraan Bersama,” jelasnya.
20 Nov 24
218
PBT Terengganu Diarah Tidak Keluarkan Lesen Perniagaan Vape
KUALA TERENGGANU, 20 November- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diarahkan untuk tidak membenarkan lesen perniagaan vape atau rokok elektronik di negeri ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan semua PBT di Terengganu supaya tidak mengeluarkan lesen untuk perniagaan tersebut.
"Kalau dari segi pengharaman, memang negeri-negeri sudah terima pakai fatwa daripada sebelum ini bahawa vape itu haram.
"Di peringkat negeri, kita ada kuasa di bawah PBT untuk tidak membenarkan premis perniagaan milik PBT digunakan sebagai tempat penjualan vape selepas ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, keputusan untuk tidak membenarkan PBT memperbaharui lesen perniagaan vape adalah untuk menjaga kemaslahatan umum terutama golongan muda.
Baru-baru ini Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah menyarankan agar penggunaan rokok elektronik atau vape diharamkan secara total.
Baginda bertitah, saranan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap penyalahgunaan dadah yang semakin meningkatkan di Pahang terutamanya dalam kalangan belia berdasarkan statistik oleh Agensi Anti Dadah Kebangsan (AADK).
Namun begitu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menegaskan Kerajaan Persekutuan berpendirian belum tiba lagi masa untuk pihaknya mengharamkan penjualan vape seperti yang sudah dilaksanakan beberapa negara maju di dunia.
Bagaimanapun, beliau tidak keberatan jika ada negeri-negeri yang mahu melarang penjualan produk tersebut.
20 Nov 24
1265
Pelabuhan LKIM Chendering dan Pulau Kambing Bakal Siap Sepenuhnya Pada 2031
KUALA TERENGGANU, 20 November - Pelabuhan LKIM Chendering (PLC) akan kembali menjadi pusat pendaratan utama hasil laut Terengganu apabila projek pembangunan bernilai RM192 juta yang dijadualkan siap sepenuhnya pada 2031.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek tersebut bertujuan menyelesaikan isu mendapan pasir dan kekurangan infrastruktur yang menyebabkan banyak bot laut dalam terpaksa mendaratkan hasil tangkapan di luar negeri.
"Projek terdiri dari dua fasa iaitu yang pertama kerja-kerja di daratan oleh JKR dan kedua kerja-kerja dalam air oleh JPS.
"Kerja di daratan merangkumi skop menaik taraf infrastruktur pelabuhan manakala kerja-kerja dalam air merangkumi skop merobohkan jeti sedia ada.
"Pengorekan untuk mendalamkan pelabuhan serta menaiktaraf dan membina benteng pemecah ombak," jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Bandar pada Mesyuarat ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurutnya, kerja fasa pertama di kawasan daratan dijadualkan siap pada Oktober 2028, manakala fasa kedua di kawasan air pada Ogos 2031.
Menurut Dr. Azman, usaha ini adalah hasil resolusi Bengkel Transformasi Perikanan Negeri Terengganu 2021, dengan sokongan Kementerian Ekonomi yang meluluskan peruntukan pada Februari 2023.
"Apabila projek ini siap, PLC dijangka mengembalikan kegemilangan sektor perikanan negeri dan memperkukuh ekonomi Terengganu," katanya.
Tambahnya lagi, Kompleks LKIM Pulau kambing merupakan antara kompleks yang aktif dan mencatatkan rekod pendaratan tertinggi di Terengganu.
"Bukan hanya jeti pendaratan, di sini juga ada Pasar Nelayan, Pusat Pembekalan Air Batu, Pusat Jualan Minyak Diesel dan Pusat Pengistiharan Pendaratan Ikan," katanya.
Beliau juga berkata, Kompleks Perikanan Pulau Kambing turut menerima penambahbaikan naik taraf dan peningkatan infrastruktur sebanyak RM2.188 juta pada 2022.
Selain itu, katanya, projek naik taraf dan peningkatan infra telah siap sepenuhnya pada Oktober 2024.
20 Nov 24
332
Lumba Perahu Panjang Berpotensi Tarik Pelancong, Lonjak Ekonomi Tempatan
KUALA TERENGGANU, 20 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim, mencadangkan penganjuran kejohanan lumba perahu panjang sebagai salah satu aktiviti sukan air tahunan di Terengganu.
Cadangan itu dikemukakan beliau semasa membahaskan Belanjawan Terengganu 2024 di Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15, di Wisma Darul Iman, semalam.
Beliau terlebih dahulu mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri atas kejayaan mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pilihan utama pelancong domestik melalui pelbagai aktiviti menarik yang disusun sepanjang tahun.
Menurutnya, usaha tersebut telah berjaya memastikan negeri itu terus relevan sebagai lokasi pelancongan.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Kerajaan Negeri, melalui portfolio Jawatankuasa Pelancongan, yang merupakan ADUN Kijal, Datuk Razali Idris dan jabatan-jabatan, serta agensi-agensi yang terlibat, hasil kerja keras mereka, Terengganu kini menjadi destinasi pilihan pelancong,” katanya.
ADUN Buluh Gading itu mencadangkan Sungai Nerus sebagai lokasi utama penganjuran kejohanan lumba perahu panjang.
“Kawasan DUN Buluh Gading, bersedia menjadi tuan rumah bagi menjayakan acara ini, seiring dengan pengalaman mereka menganjurkan program serupa sebelum ini.
“Pertandingan lumba perahu panjang mampu menarik perhatian pelancong, dengan aktiviti sampingan yang sesuai, ia boleh menjadi tarikan utama,” jelasnya.
Tambah beliau, program terdahulu yang telah dianjurkan di kawasan itu ialah Kejohanan Perahu Naga Beautiful Terengganu 2022, yang berlangsung pada 29 dan 30 Julai 2022 di Jeti Pengkalan Perahu Kampung Buluh Gading.
“Acara tersebut berjaya menarik penyertaan dari dalam dan luar negeri, termasuk pasukan dari Pulau Pinang, Perbadanan Putrajaya, UniSHAMS Kedah, pasukan SUKMA Perak dan beberapa pasukan lain lagi.
“Yang terdekat, Festival Monsoon Challenge Perahu Panjang Tanjung Sabtu 2024 akan diadakan pada 29 hingga 30 November ini. Ia bertujuan merebut gelaran Raja Monsoon,” katanya lagi, merujuk kepada acara yang akan berlangsung di Jeti Tanjung Sabtu.
Dalam pada itu, Ridzuan yakin penganjuran sukan air berskala besar seperti ini akan memberi impak positif kepada ekonomi penduduk tempatan.
“Aktiviti seperti gerai jualan dan perkhidmatan sokongan lain sepanjang acara dapat menyediakan peluang pendapatan tambahan.
“Jika acara ini diperluaskan, penyertaan dari dalam dan luar negeri pasti akan memeriahkan lagi industri pelancongan kita. Kesannya, penduduk setempat dapat meraih manfaat melalui aktiviti ekonomi sampingan,” katanya.
Ridzuan berharap cadangan ini mendapat pertimbangan Kerajaan Negeri, demi memanfaatkan potensi besar sektor pelancongan sukan air di Terengganu.
20 Nov 24
271