lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

Terengganu Ambil Pendekatan Strategik Bangunkan TOD di Stesen ECRL
Terengganu Ambil Pendekatan Strategik Bangunkan TOD di Stesen ECRL
KUALA TERENGGANU, 15 April – Kerajaan Negeri Terengganu mengambil langkah serta pendekatan strategik dengan melaksanakan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di enam stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Hanafiah Mat berkata, perancangan pembangunan kawasan di enam stesen tersebut telah diselaraskan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan akan dilaksanakan mengikut tiga fasa. Menurut beliau, penyelarasan turut melibatkan peringkat daerah serta agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Malaysia Rail Link (MRL) bagi meningkatkan daya tarikan pasaran pembangunan kepada pihak swasta. “Secara asasnya, setiap kawasan di stesen ECRL mempunyai pelan induk serta perancangan guna tanah yang akan dibangunkan mengikut fasa yang telah ditetapkan. “Anggaran kos pembangunan bagi fasa pertama TOD dalam tempoh satu hingga tiga tahun adalah sebanyak RM228 juta, meliputi enam stesen. Ia merangkumi komponen seperti penyediaan infrastruktur, pengambilan balik tanah, kerja tanah dan pembinaan terminal transit,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharudin Zahid semasa Mesyuarat Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, perancangan pembangunan di kawasan TOD yang bermula tahun ini adalah bagi memastikan kerajaan mendapat manfaat yang optimum daripada pembinaan ECRL. “Pelan pembangunan yang dirangka ini bertujuan memastikan pelaksanaan TOD di stesen ECRL negeri Terengganu dilakukan dengan terancang dan berkesan. “Ia juga akan menjadi sumber maklumat penting bagi menarik pelabur untuk melabur di kawasan pembangunan tersebut sekali gus memberi manfaat maksimum kepada masyarakat setempat,” tambahnya.
15 Apr 25
733
Kos Baik Pulih Jalan Aring-Kenyir RM36 Juta
Kos Baik Pulih Jalan Aring-Kenyir RM36 Juta
KUALA TERENGGANU, 15 April - Kerja bagi membaik pulih laluan jalan yang menghubungkan Felda Aring, Gua Musang dan Tasik Kenyir akan dimulakan sebaik sahaja menerima peruntukan sebanyak RM36 juta daripada Kementerian Ekonomi. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, permohonan bagi kerja pembaikan itu telah diangkat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu. Katanya, kerajaan negeri akan terus memantau perkara tersebut dengan serius bagi memastikan kerja-kerja baik pulih dapat disiapkan mengikut jadual demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat. "Kos keseluruhan sebanyak RM36 juta ini melibatkan kerja pembinaan jambatan baharu (sepanjang 150 meter) di lokasi terjejas serta kerja pemulihan cerung yang mengalami runtuhan. "Kerja-kerja baik pulih akan dimulakan sebaik sahaja peruntukan diterima daripada Kementerian Ekonomi. "Pada masa ini pihak JKR sedang menyediakan pelan teknikal, dokumen reka bentuk serta menjalankan kerja-kerja awal bagi memastikan proses pelaksanaan dapat dimulakan tanpa kelewatan setelah peruntukan diluluskan,"ujarnya. Beliau berkata demikan ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr  Mamad Puteh semasa Mesyuarat Pengal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, beberapa langkah alternatif telah diambil bagi menyelesaikan kejadian runtuhan cerung yang mengakibatkan berlaku kerosakan jalan sepanjang 100 meter sekali gus menjejaskan kelancaran perhubungan antara negeri Terengganu dan Kelantan. "Sebagai langkah interim, pengguna jalan raya yang terkesan dari kedua-dua arah (menggunakan laluan persekutuan FT036) sama ada dari Hulu Terengganu atau Kota Bharu bolehlah menggunakan laluan alternatif FT247 ke FT03. "Hebahan berkaitan perkara itu telah disampaikan melalui saluran rasmi media sosial dan hebatan tempatan bagi memastikan maklumat sampai kepada orang ramai," ujarnya. Dalam pada itu katanya, kerja-kerja penambahbaikan yang dicadangkan selain pembinaan jambatan baharu adalah membaik pulih Jalan Tuju sepanjang 300 meter. "Bagi memastikan sambungan kepada jambatan baharu (selain itu) kerja-kerja geoteknikal dan perlindungan cerun termasuk pembinaan struktur penahan, pemasangan lampu sepanjang jalan kawasan terlibat untuk keselamatan pengguna dilaksanakan. "Pemasangan perabot jalan seperti papan tanda, pengadang jalan dan kemudahan untuk keselamatan, pembinaan sistem perparitan jalan bagi memastikan saliran air yang baik dan dapat mengelakkan hakisan," jelas beliau.
15 Apr 25
2379
Pemergian Tun Abdullah: Terengganu Sanjung Pemimpin Berjiwa Tenang
Pemergian Tun Abdullah: Terengganu Sanjung Pemimpin Berjiwa Tenang
KUALA TERENGGANU, 15 April – Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini menzahirkan penghormatan tertinggi atas pemergian Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri kelima yang dikenang sebagai pemimpin berjiwa sederhana dan penuh integriti.  Ucapan takziah disampaikan dalam suasana penuh hiba di Wisma Darul Iman, memperingati jasa besar Allahyarham kepada negara dan negeri Terengganu. Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara. "Saya mewakili seluruh warga Dewan Undangan Negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi," katanya dalam ucapan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Beliau menggambarkan Allahyarham sebagai pemimpin berjiwa tenang, rendah hati dan berpegang pada prinsip amanah serta kesederhanaan sepanjang memimpin negara dari tahun 2003 hingga 2009. "Beliau dikenali sebagai pemimpin berjiwa tenang, merendah diri serta menekankan prinsip integriti, kesederhanaan dan amanah dalam pentadbiran negara," ujar beliau. Mohd Nor turut mengiktiraf sumbangan Allahyarham dalam memperkukuh hubungan Persekutuan dan negeri, khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur dan pendidikan di Terengganu. "Kepimpinan beliau turut meninggalkan kesan signifikan kepada negeri Terengganu, termasuk dalam memperkukuh hubungan Persekutuan dan negeri," jelasnya. Tambah beliau, Allahyarham juga berjasa dalam memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam dan menekankan ketelusan dalam pentadbiran. "Sumbangan Allahyarham dalam memperluas dialog antara rakyat dan kerajaan serta ketelusan urus tadbir memberi manfaat besar kepada rakyat," kata beliau. Sebagai penutup, beliau menyeru seluruh dewan untuk mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham. "Marilah kita mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin," katanya sebelum memohon semua berdiri bagi menghormati pemergian tokoh negarawan itu.
15 Apr 25
103
188 Soalan Dikemuka Zahir Kecaknaan ADUN Pilihan Rakyat
188 Soalan Dikemuka Zahir Kecaknaan ADUN Pilihan Rakyat
KUALA TERENGGANU, 15 April - Sebanyak 188 soalan lisan dan bertulis telah dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada kali ini. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, berlalu peningkatan sebanyak 27 peratus terhadap penambahan soalan yang mencerminkan tahap kecaknaan dan keaktifan ADUN yang semakin tinggi dalam membawa isu-isu berkatan rakyat untuk diperjuangkan. "Analisis dalaman mendapati bahawa 40 peratus daripada soalan tertumpu kepada isu-isu infrastruktur dan kemudahan asas, diikuti oleh isu ekonomi dan pekerjaan sebanyak 25 peratus serta sosial dan kebajikan sebanyak 15 peratus. "Hal ini menunjukkan keseimbangan tumpuan antara pembangunan fizikal dan kesejahteraan rakyat dan ia perlu dipandang serius oleh pihak kerajaan negeri," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini Dalam pada itu, Mohd Nor mengucapkan tahniah kepada semua ADUN atas keprihatinan yang ditunjukkan. "Peranan sebagai ADUN bukan sekadar menyokong atau menentang, tetapi juga menjadi pemikir dasar, penyampai aspirasi rakyat dan pemantau pelaksanaan dasar awam. "Teruskanlah budaya sihat ini dengan semangat wacana yang matang, adab perbahasan yang tinggi dan semangat kolektif membina negeri," ujarnya.
15 Apr 25
80
Projek Perumahan Kuala Ping Dalam Proses Kajian Semula
Projek Perumahan Kuala Ping Dalam Proses Kajian Semula
KUALA TERENGGANU, 25 November- Projek Perumahan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu masih berada dalam tindakan pemaju dan kini sedang dalam proses kajian semula.  Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, berdasarkan maklumat daripada pihak pemaju, kajian awal mendapati bahawa pasaran jualan dan permintaan rumah di kawasan tersebut tidak memuaskan, mengakibatkan keputusan untuk menghentikan sementara kerja-kerja pembinaan di tapak. “Tindakan ini mungkin bertujuan untuk memastikan pelaksanaan projek sejalan dengan permintaan pasaran yang sebenar bagi mengelakkan lebihan rumah yang tidak terjual.  “Keputusan ini juga memberi ruang kepada pihak pemaju untuk mempertimbangkan strategi yang lebih sesuai, termasuk potensi perubahan dalam perancangan projek atau penyesuaian harga jualan mengikut kemampuan dan permintaan masyarakat setempat,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Katanya, pihak SPNB mungkin akan mengkaji pelbagai aspek termasuk faktor ekonomi, kemampuan pembeli di kawasan tersebut, serta prospek pembangunan lain yang dapat menarik minat pembeli.   
26 Nov 24
335
PMINT Peroleh 18 Kelulusan Tapak Berkait Silika
PMINT Peroleh 18 Kelulusan Tapak Berkait Silika
KUALA TERENGGANU, 25 November- PMINT dan anak syarikatnya, Permint Granite Sdn. Bhd telah memperoleh 18 kelulusan tapak (lesen pengambilan pasir atau lombong silika) secara keseluruhan sehingga Oktober lalu. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, 18 kelulusan itu merangkumi 16 kelulusan pasir silika dan dua kawasan batuan silika.  “Daripada 18 kawasan ini juga empat kawasan sedang beroperasi dan 14 kawasan yang lain di peringkat kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) dan lain-lain kelulusan agensi teknikal,” ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Khazan ingin tahu berapakah lesen pengambilan pasir silika atau lombong silika yang telah diluluskan sehingga tahun 2024 dan adakah kerajaan negeri bercadang membina pusat penapisan atau kilang memprosesnya. Dalam pada itu menurut beliau, secara asasnya, kilang sedia ada PMINT di kawasan Bukit Senyamok, Dungun telah mematuhi kehendak pasaran dengan kualiti pasir yang dikeluarkan melalui pengeluaran mineral lombong yang konsisten. “Kawasan Perlombongan di kawasan Bukit Senyamok ini juga dirancang untuk dijadikan kawasan pembangunan perlombongan yang lestari dan mampan. “PMINT kini merancang untuk membangunkan kawasan perlombongan mampan merangkumi aspek pematuhan kepada garis panduan alam sekitar dan pembangunan kilang yang berteknologi tinggi serta berdaya saing bagi pembangunan produk hiliran,” jelasnya.  
25 Nov 24
452
Ahli Parlimen Gesa Kerajaan Persekutuan Baiki Jalan Raya di Besut
Ahli Parlimen Gesa Kerajaan Persekutuan Baiki Jalan Raya di Besut
KUALA LUMPUR, 24 November – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menggesa Kerajaan Persekutuan agar segera menaik taraf jalan-jalan rosak di sekitar daerah Besut Kata beliau, usaha itu penting bagi mengelakkan masalah banjir ekoran keadaan jalan yang rosak. Jelasnya, ia juga bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya memandangkan kawasan terbabit menjadi laluan utama orang ramai. "Dua projek utama, pertama, pembinaan dan penyiapan longkang U-Drain serta kerja menaik taraf jalan di FT189 antara Seksyen 17.85 hingga 18.75, dengan anggaran kos RM11.7 juta.  "Kedua, pembaikan jalan FT65 dari Kampung Tembila hingga Kampung Pengkalan Gaduh, termasuk pembinaan jambatan baru untuk mengatasi masalah limpahan air, yang dianggarkan memerlukan peruntukan sekitar RM43 juta. “Setiap kali musim tengkujuh, jalan ini ditenggelami air, menyebabkan penduduk terputus hubungan tanpa laluan alternatif. Ini memberi kesan besar kepada aktiviti harian dan ekonomi setempat,” katanya.  Beliau berkata demikian semasa perbahasan peringkat Jawatankuasa bagi Belanjawan 2025 bagi Kementerian Kerja Raya.  Che Mohamad Zulkifly turut menekankan bahawa reka bentuk jalan yang kurang selamat di kawasan itu sering mengakibatkan kemalangan, terutama melibatkan kenderaan berat. Beliau menjelaskan bahawa projek tersebut akan memberi impak positif dari segi ekonomi, sosial, dan keselamatan.  "Ia bukan sahaja meningkatkan aksesibiliti, tetapi juga menyokong pertumbuhan sosioekonomi penduduk, sejajar dengan pembangunan kawasan yang semakin pesat. "Saya menyeru Kementerian Kerja Raya untuk segera meluluskan peruntukan demi kesejahteraan rakyat.  “Putus kasih boleh dirawat, tetapi kalau jalan terputus, kesannya kepada rakyat amat besar,” tegasnya.
24 Nov 24
1097
LRA Hulu Terengganu Akan Dinaik Taraf Dalam Masa Terdekat
LRA Hulu Terengganu Akan Dinaik Taraf Dalam Masa Terdekat
KUALA TERENGGANU, 24 November- Loji Rawatan Air (LRA) Hulu Terengganu akan dinaik taraf dalam masa terdekat. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, projek menaik taraf LRA terbabit telah diluluskan di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kos keseluruhan sebanyak RM14 juta. “Status terkini projek ini adalah di peringkat akhir pelantikan Jurutera Perunding. “Projek menaik taraf LRA Hulu Terengganu telah dibuat permohonan di bawah RMKe-12 RP4 kepada KKDW dan telah mendapat kelulusan pada tahun 2023,” ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman. Dr Mamad mengemukakan soalan mengenai bilakah kerajaan negeri akan  segera menaik taraf loji air SATU di Hulu Terengganu bagi mengatasi masalah tekanan air rendah. Katanya, projek naik taraf loji berkenaan dijangka siap pada tahun 2027 dengan tambahan kapasiti pengeluaran daripada 55 Juta Liter Sehari (JLH) kepada 65 JLH. Dalam pada itu Hanafiah memaklumkan, terdapat juga projek pembinaan LRA Baharu Kenyir berkapasiti 20 JLH di bawah pinjaman Kerajaan Persekutuan dengan kos sebanyak RM30 juta. “Status kemajuan terkini adalah di peringkat penyediaan dokumen tender oleh pihak perunding dan proses pengambilan tanah untuk sebahagian tapak cadangan LRA tersebut yang dijangka dapat disiapkan pada penghujung tahun 2029,” ujarnya. Jelas beliau, dengan siapnya LRA Baharu Kenyir ini dan naik taraf LRA Hulu Terengganu kelak, penstrukturan zon bekalan air akan dibuat semula di mana LRA di daerah Hulu Terengganu akan mempunyai rizab tambahan bekalan air sebanyak 15 JLH bagi menampung keperluan pada masa hadapan. Sementara itu, mengulas mengenai rancangan pihak Kerajaan Negeri mengatasi masalah paip air yang sentiasa pecah di Hulu Terengganu beliau berkata, antaranya dengan membuat penukaran meter aliran elektromagnetik di 20 kawasan di daerah Hulu Terengganu. “Selain itu ,penukaran paip utama bersaiz 300 mm yang kerap pecah daripada Tangki Air Kepah hingga ke Kampung Matang. "Serta langkah sementara yang diambil oleh SATU dengan Pressure Reduce Valve (PRV) dan mengawal tahap paras tangki air secara optima bagi mengawal tekanan air," ujarnya. Tambah beliau, kerajaan Negeri melalui pihak Jabatan Bekalan Air (JBA) dan Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) dalam fasa pelaksana Program Pengurangan Air Tak Terhasil (NRW) dengan membuat penukaran Meter Aliran di seluruh kawasan Hulu Terengganu.  
24 Nov 24
628
Perkenalkan Inisiatif Baru Buat Atlet Para SUKMA
Perkenalkan Inisiatif Baru Buat Atlet Para SUKMA
KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan negeri memperkenalkan inisiatif baru seperti memberi insentif segera kepada semua atlet Para Sukan Malaysia (SUKMA) yang mendapat pingat. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata pihaknya berhasrat menyediakan cadangan memberikan insentif yang sama seperti atlet SUKMA bagi yang mendapat pingat dalam kejohanan Para SUKMA baru-baru ini. “Sehubungan itu satu Kertas Cadangan insentif akan dibawa ke dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk memulakan inisiatif atlet SUKMA dan Para SUKMA,” ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Tepoh) berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Ladang, Zuraida Mohd Noor dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Hishamuddin turut berkata pihaknya akan memastikan penyediaan fasiliti sukan secara lebih bermanfaat kepada golongan OKU untuk mereka terlibat dalam latihan. “Manakala sumbangan peralatan-peralatan melalui Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu,” katanya.
24 Nov 24
111
DUN Terengganu Lulus Pindaan Enakmen Tanah Simpan Orang Melayu
DUN Terengganu Lulus Pindaan Enakmen Tanah Simpan Orang Melayu
KUALA TERENGGANU, 24 November – Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Pindaan 2024 pada bacaan kali ketiga, menandakan langkah signifikan dalam meminda Enakmen Tanah Simpan bagi Orang-Orang Melayu 1360. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr. Azman Ibrahim, telah mencadangkan Rang Undang-Undang tersebut yang bertujuan untuk meminda subseksyen 9(iii) enakmen berkenaan.  "Pindaan ini akan membolehkan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) diiktiraf sebagai badan yang layak menerima pemindahan pegangan tanah Melayu. "Rang Undang-Undang ini bertujuan meminda subseksyen 9(iii) Enakmen Tanah Simpan bagi Orang-Orang Melayu 1360, supaya Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) diiktiraf sebagai entiti yang layak untuk menerima pemindahan pegangan tanah Melayu," jelasnya. Dr. Azman membentangkan Rang Undang-Undang ini dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, yang berlangsung di Wisma Darul Iman baru-baru ini. Menurutnya lagi, pelaksanaan Rang Undang-Undang ini tidak akan melibatkan sebarang implikasi kewangan tambahan kepada kerajaan negeri. "Saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang untuk meminda Enakmen Tanah Simpan bagi Orang-Orang Melayu 1360 ini dibaca sebanyak tiga kali," katanya. Cadangan tersebut turut disokong oleh ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim.  Selepas perbahasan, Rang Undang-Undang ini diluluskan sebulat suara dan akan berkuat kuasa sebagai pindaan kepada Enakmen Tanah Simpan bagi Orang-Orang Melayu 1360.
24 Nov 24
1349