lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

Terengganu Lancar Strategi Ampuh Tangani Isu OKU Mental
Terengganu Lancar Strategi Ampuh Tangani Isu OKU Mental
KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan Negeri Terengganu terus mempamerkan komitmen tinggi dalam memperjuangkan nasib golongan orang kurang upaya (OKU), khususnya OKU kategori bipolar, menerusi pendekatan berperikemanusiaan yang lebih proaktif dan menyeluruh. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, kerajaan memahami cabaran unik yang dihadapi pesakit bipolar dan tidak meletakkan mereka sebagai penjenayah, sebaliknya sebagai pesakit yang perlu diberi rawatan dan perhatian khusus. "OKU bipolar ini bukan penjenayah, mereka adalah pesakit.  "Yang penting ialah kawalan keluarga supaya mereka ini mendapat rawatan yang sepatutnya,” katanya ketika menjawab soalan lisan ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman hari ini. Katanya, kerajaan telah mengadakan mesyuarat khas pada 5 Februari lalu yang melibatkan pelbagai agensi termasuk KKM, JPJ dan PDRM, bagi membincangkan pelan tindakan khas yang lebih bersifat holistik bagi menangani isu OKU mental. Beliau turut merujuk insiden di Dungun yang melibatkan pelajar UiTM, dan menegaskan pentingnya sokongan keluarga dan masyarakat bagi mengelakkan tragedi berulang akibat keciciran rawatan. Sebagai langkah jangka panjang, katanya, kerajaan turut melancarkan Majlis Tindakan OKU Terengganu (MTOT) pada 6 Mac lalu, yang berfungsi sebagai pemantau dasar dan pelan tindakan berkaitan golongan OKU. "Kita mahu buat pengesyoran yang berimpak positif kepada agensi-agensi supaya tumpuan diberi kepada penjagaan, perlindungan, rehabilitasi dan peluang kerjaya untuk OKU," katanya lagi. Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan tetap tegas terhadap sebarang bentuk keganasan terhadap OKU, dan tindakan undang-undang seperti di bawah Akta 323 akan diambil terhadap mana-mana individu yang melampaui batas. "Orang awam perlu bertindak lebih waras daripada pesakit.  "Kesabaran ini perlu ditingkatkan kerana kita semua bertanggungjawab dalam membentuk masyarakat yang lebih penyayang dan prihatin," ujarnya.
16 Apr 25
87
Penyu Terengganu : Jangan Biar Hanya Tinggal Nama
Penyu Terengganu : Jangan Biar Hanya Tinggal Nama
KUALA TERENGGANU, 15 April – Kerajaan negeri perlu terus memulihara dan melindungi kawasan pendaratan penyu agar ikonik Negeri Terengganu yang semakin terancam itu tidak pupus. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, Kerteh adalah lokasi tertinggi pendaratan penyu (Maa Da’erah dan Cakar Hutan) untuk bertelur dan seterusnya menetas sebelum dilepaskan kembali ke laut. "Namun, terlalu banyak ancaman yang perlu diberi perhatian bagi memastikan ia mampu membesar hingga dewasa dan kembali bertelur di perairan Terengganu. "Apakah perancangan kerajaan negeri dalam mengatasi masalah ini dan pada masa sama merancakkan lagi sektor pelancongan berkaitan penyu khususnya di beberapa lokasi yang tinggi pendaratan di Terengganu?,” soalnya pada sesi perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Udangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut katanya, setiap tahun, semakin banyak kematian penyu direkodkan termasuk di sekitar kawasan Kerteh. Oleh itu, beliau mahu melihat satu langkah terbaik dilakukan bukan sahaja untuk menjaga nasib nelayan yang mencari rezeki dengan memasang pukat malah untuk kelangsungan hidup penyu yang kebanyakannya mati lemas akibat terperangkap dalam alat tersebut. "Apa tindakan yang telah dilakukan bagi mengawal kematian penyu di perairan Terengganu yang disebabkan oleh pukat-pukat tersebut. "Apa usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan bagi memastikan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk bekerjasama bagi memastikan usaha pemuliharaan penyu ini berjaya?," soalnya lagi.
15 Apr 25
243
Pembangunan Tidak Seimbang: Hulu Terengganu ‘Ciput’ Dalam Senarai Projek
Pembangunan Tidak Seimbang: Hulu Terengganu ‘Ciput’ Dalam Senarai Projek
KUALA TERENGGANU, 15 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan projek pembangunan fizikal yang dilaksanakan di Hulu Terengganu berbanding kawasan lain di negeri ini. Beliau berkata, semasa meneliti senarai perancangan pembangunan negeri, daerah Hulu Terengganu kelihatan kurang diberi perhatian dan tidak seimbang dari segi agihan projek.  "Bila tengok senarai yang keluar itu, tiada di kawasan Hulu Terengganu, kalau ada pun ‘ciput’ je,” katanya secara berseloroh ketika berucap dalam perbahasan titah DYMM Sultan Terengganu di Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Menurut beliau, keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan semangat rakyat di kawasan pedalaman yang juga mahu menikmati kemajuan dan pembangunan yang adil.  "Kita berharap selepas ini jangan dipinggirkan kawasan Hulu Terengganu," katanya. Beliau turut menyatakan bahawa kawasan Hulu Terengganu mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian dan pelancongan, dan seharusnya dilibatkan secara aktif dalam perancangan pembangunan masa depan negeri.
15 Apr 25
356
Lata Hot Spring, Lata Tembakah Perlu Diberi Nafas Baharu Jadi Mercu Tanda Pelancongan
Lata Hot Spring, Lata Tembakah Perlu Diberi Nafas Baharu Jadi Mercu Tanda Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 15 April - Kerajaan Terengganu digesa agar memberikan nafas baru kepada dua lokasi pelancongan di Hulu Besut iaitu Lata Hot Spring dan Lata Tembakah yang berpotensi menjadi mercu pelancongan negeri.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Hussaimi Hussin berkata, dua lokasi terbabit merupakan khazanah alam semula jadi yang mengagumkan namun kemudahan asas yang ada masih daif dan infrastruktur pelancongan belum mencapai standard yang meyakinkan. "Justeru, sudah sampai masanya kerajaan negeri memberikan keutamaan kepada menaik taraf kemudahan asas pelancongan termasuk jalan, tandas, surau, ruang rehat dan juga aspek keselamatan. "Dalam masa yang sama, perlu ada satu pelan induk lanskap pelancongan agar pembangunan tidak merosakkan alam malah memuliakan keindahan alam semula jadi yang dimiliki di Hulu Besut kerana apabila alam dihargai pelancong akan kembali.  "Apabila pelancong datang ekonomi akan berkembang," ujarnya ketika menyampaikan Ucapan Perbahasan Titah Ucapan Diraja sempena Mesyuarat Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Hussaimi juga berharap agar dilaksanakan satu kempen Hulu Besut bersih dalam menjaga khazanah alam semula jadi yang ada sebagai satu pendekatan komuniti agar kebersihan menjadi budaya hidup rakyat. "Bukan sekadar kempen bermusim, semua agensi berkaitan perlu mengambul peranan masing-masing secara aktif,"katanya.
15 Apr 25
169
Industri LNG : Anak Terengganu Tidak Ketinggalan
Industri LNG : Anak Terengganu Tidak Ketinggalan
KUALA TERENGGANU, 15 April – Kerajaan Negeri Terengganu memberi jaminan bahawa pembangunan industri LNG turut memberi fokus kepada pembangunan modal insan tempatan serta penjenamaan semula Terengganu sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, projek LNG yang sedang dirancang akan membuka peluang latihan dan pembangunan kemahiran kepada rakyat tempatan.  "Kita akan menyediakan latihan dalam bidang teknologi LNG kepada tenaga kerja negeri ini,” katanya.  "Ini penting bagi memastikan anak Terengganu dapat terlibat secara langsung dan menjadi aset penting kepada industri tenaga masa hadapan.” katanya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Menurut Nurkhuzaini, selain meningkatkan kemahiran tenaga kerja, projek ini juga akan memperkukuh imej Terengganu sebagai negeri pelaburan yang dinamik dan berdaya saing.  "Kehadiran hab LNG akan menjadikan negeri ini lebih menarik kepada pelabur antarabangsa. "Sektor perkhidmatan, pelancongan dan perniagaan tempatan juga bakal menerima limpahan manfaat secara langsung daripada pembangunan ini," tambahnya.
15 Apr 25
543
Subsidi 150 Juta Diberi, Kebajikan Pesawah Masih Tidak Terbela?
Subsidi 150 Juta Diberi, Kebajikan Pesawah Masih Tidak Terbela?
KUALA TERENGGANU, 15 April - Kerajaan telah mengumumkan penyediaan subsidi RM150 juta dalam tempoh 6 bulan untuk mengekalkan harga beras tempatan RM2.60 namun dilaporkan ia masih belum mampu menyelesaikan kemelut yang dihadapi pesawah.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim mempersoalkan pihak manakah yang menerima banyak manfaat melalui penyediaan subsidi RM150 juta yang sepatutnya menghasilkan 24 juta kampit beras. "Kepada siapakah subsidi ini akan dibayar? tentu sekali bukan kepada pesawah. Mereka yang mendapat manfaat daripada RM150 juta ini ialah pihak kartel industri yang sebelum ini telah mengaut keuntungan daripada manipulasi beras tempatan kepada beras import. "Sebelum ini mereka telah mendapat untung yang besar dan sekarang mereka juga yang untung besar," ujarnya ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor, semasa Mesyuarat Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut, Dr. Azman berkata sehingga kini derita pesawah yang menanggung beban akibat kenaikan kos pengeluaran masih kekal tidak terjawab. "Beras tempatan yang dijanjikan akan ada di pasaran masih malu-malu untuk munculkan diri," katanya. Tegasnya, selama ini beliau mengikuti dengan sangat teliti setiap penjelasan dari Menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengenai penyelesaian terhadap isu beras yang melanda negara kebelakangan ini termasuk harga lantai padi yang dinaikkan. "Ketika harga lantai padi RM1,300 per tan pada musim lepas, rata-rata kilang padi sudah membeli dengan harga melebihi RM1,500 per tan. Bagi musim kedua tahun 2024 purata harga padi di kilang-kilang padi di Terengganu ialah RM1,550 per tan. "Di beberapa negeri lain, harga belian padi sudah mencecah antara RM1,800-RM2,000 bagi setiap tan. "Berdasarkan senario trend pembelian padi dan pasaran beras sebelum ini, saya boleh menjangkakan pengumuman harga lantai padi RM1,500 per tan tidak banyak memberikan impak kepada pemain industri ini terutama pesawah kerana faktanya padi sudah dibeli melebihi paras harga lantai,"jelasnya. Dalam pada itu beliau mempersoalkan siapa yang memainkan peranan sehingga beras tempatan lenyap terus dari pasaran. "Faktanya ialah, pihak kartel industri yang menukar beras tempatan menjadi beras super import telah meraih keuntungan yang sangat lumayan atas beban yang dipikul oleh pesawah, rakyat dan pengguna," ujar beliau.
15 Apr 25
134
1,637 Ekar Ladang Solar: Terengganu Terus Pacu Tenaga Baharu
1,637 Ekar Ladang Solar: Terengganu Terus Pacu Tenaga Baharu
KUALA TERENGGANU, 15 April – Terengganu kini memiliki keluasan ladang solar mencecah 1,637 ekar atau bersamaan 662.47 hektar, menjadikannya antara negeri yang aktif mengembangkan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, perkembangan ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyokong agenda tenaga hijau.  "Sehingga kini, keluasan keseluruhan ladang solar negeri Terengganu adalah berjumlah 1,637 ekar. "Ini menunjukkan perkembangan positif dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di negeri ini," beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Manir, Hilmi Harun dan ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Menurut beliau, projek ladang solar di daratan diberi keutamaan khususnya di kawasan yang tidak dapat dibangunkan dengan industri lain.  "Kalau pelabur berminat untuk di daratan, kita sangat memberi keutamaan jika tanah itu kawasan banjir atau berpaya. "Ini kerana kita dapat menebus guna tanah yang tidak sesuai untuk pembangunan lain," jelasnya.
15 Apr 25
937
Terengganu Sasar Jadi Hab LNG Serantau Menjelang 2028
Terengganu Sasar Jadi Hab LNG Serantau Menjelang 2028
KUALA TERENGGANU, 15 April – Terengganu kini berada di landasan untuk muncul sebagai hab gas asli cecair (LNG) utama di rantau Asia Tenggara menjelang tahun 2028, susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dan E&H Energy Sdn Bhd baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kerjasama itu merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan ekosistem LNG di negeri ini.  "E&H Energy yang berpengalaman lebih 15 tahun akan menyumbang kepakaran dalam membangunkan infrastruktur seperti terminal regasifikasi dan rangkaian paip. "Antara peralihan daripada bahan api fosil kepada tenaga hijau, LNG adalah medium paling sesuai ketika ini," katanya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Menurut beliau, projek berimpak tinggi ini kini berada di peringkat rundingan lanjutan bersama agensi Persekutuan, pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri.  "Majlis pertukaran MoU antara pelabur dan Menteri Besar Incorporated (MBI) telah berlangsung pada Februari lalu, termasuk perjanjian pajakan tanah bersama EPIC Berhad.  "Keputusan pelaburan akhir dijangka dimuktamadkan menjelang akhir 2025, manakala tempoh pembinaan dijangka mengambil masa 30 bulan sebelum operasi dimulakan pada suku pertama 2028," jelasnya.
15 Apr 25
308
RM1.33 Juta Untuk OKU: Terengganu Serius Mahu Lihat Mereka Berdikari
RM1.33 Juta Untuk OKU: Terengganu Serius Mahu Lihat Mereka Berdikari
KUALA TERENGGANU, 15 April – Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM1.33 juta tahun ini bagi mengurus dan mengoperasikan Bengkel Pemulihan Kebajikan Marang, sebagai langkah nyata membantu golongan orang kurang upaya (OKU) keluar dari kepompong simpati dan bergerak ke arah kehidupan yang lebih berdikari. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, dasar OKU dengan pelan tindakan tersendiri bertujuan membuka ruang ekonomi dan kerjaya untuk golongan ini, termasuk dalam sektor kerajaan dan swasta. “Kita bukan sekadar buat dasar, tapi turut sediakan strategi agar OKU ada tempat dalam sektor awam dan swasta, terutama melalui dasar satu peratus pengambilan kerja,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim, dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Menurut Maliaman, peruntukan RM1.33 juta itu adalah untuk memastikan pengurusan Bengkel Pemulihan Kebajikan berjalan lancar di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu. “Ini bukan bantuan kosong, ini pelaburan untuk hidup mereka,” tegasnya. Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah mengadakan beberapa Seminar Advokasi Kesedaran Kerjaya, khususnya bagi membantu OKU dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah arus perdana. “Kita nak pastikan anak-anak OKU ni tak terperangkap dalam sistem yang lupa pada potensi mereka,” katanya lagi. Selain itu, katanya, Elaun Pekerja Cacat (EPC) sebanyak RM450 sebulan turut disediakan bagi OKU yang bekerja dan mempunyai majikan, sebagai insentif agar mereka kekal aktif bekerja tanpa hanya bergantung kepada bantuan kerajaan. “Bukan semua perlu disuap, ramai OKU sebenarnya nak bekerja, cuma mereka perlukan ruang dan pengiktirafan,” ujarnya.
15 Apr 25
134
Serangan di Gaza – Terengganu Mahu Dunia Sedar
Serangan di Gaza – Terengganu Mahu Dunia Sedar
KUALA TERENGGANU, 15 April – Darah seorang kanak-kanak yang gugur akibat serangan rejim Zionis di Hospital al-Ahli, Gaza, menjadi simbol kezaliman yang mencarik hati umat manusia sejagat. Dalam dunia yang semakin bisu terhadap penderitaan, Dewan Undangan Negeri Terengganu tampil bersuara, menuntut keadilan yang telah lama dinafikan kepada rakyat Palestin yang terus hidup dalam bayang penjajahan dan penderitaan. Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, konflik yang berlarutan di Palestin tidak lagi boleh dianggap isu biasa. "Konflik yang berlarutan di bumi Palestin terus menjadi lambang penderitaan umat yang belum menemui keadilan," kata beliau dalam ucapan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Beliau menegaskan bahawa ketidakadilan ini menuntut kita untuk bangkit dan bersuara.  "Dalam menghadapi ketidakadilan ini, kita dituntut untuk bersuara, menzahirkan solidariti, dan menyatakan pendirian kita demi membela kebenaran," tegasnya. Mohd Nor turut mengutuk keras serangan udara terkini oleh Israel yang berlaku pada April 2025 ke atas Hospital al-Ahli, Gaza, yang telah meragut banyak nyawa serta melumpuhkan sistem kesihatan yang sangat kritikal. "Terbaru pada April 2025, serangan udara oleh rejim Zionis ke atas Hospital al-Ahli di Gaza City telah menyebabkan kehilangan nyawa dan merosakkan infrastruktur kesihatan," katanya. Beliau juga menyelar pelanggaran gencatan senjata oleh Israel pada 18 Mac 2025 yang menyaksikan serangan udara kembali dilancarkan ke atas Gaza. "Pada 18 Mac 2025, Israel telah melanggar gencatan senjata dengan kembali melancarkan serangan udara ke atas Gaza, mengakibatkan kematian warga Palestin," katanya dengan nada kecewa terhadap ketidakpatuhan terhadap perjanjian damai. Mewakili seluruh Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Nor menzahirkan solidariti penuh kepada rakyat Palestin yang tidak pernah mengenal erti aman sejak sekian lama. "Saya ingin merakamkan solidariti penuh bersama rakyat Palestin yang menderita akibat penjajahan yang berterusan dan keganasan yang tidak berkesudahan," ujar beliau. Beliau turut menyambut baik usaha diplomatik beberapa negara yang mempertimbangkan pengiktirafan negara Palestin serta menyeru Kerajaan Persekutuan untuk lebih agresif dalam memperjuangkan isu ini di peringkat antarabangsa. "Kita juga menggesa Kerajaan Persekutuan Malaysia untuk terus memainkan peranan yang lebih aktif di peringkat antarabangsa dalam memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin," tambah beliau. Menutup ucapannya, Mohd Nor mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk tidak hanya berdoa, tetapi bertindak. "Marilah kita bersama-sama menzahirkan solidariti bukan hanya dengan doa dan kata-kata, tetapi juga melalui tindakan diplomatik yang berkesan," ujarnya.
15 Apr 25
95