Artikel "Sidang DUN" Terkini
Terengganu Negeri Kedua Terbaik Bangunkan Tanah Terbiar
KUALA TERENGGANU, 17 April – Terengganu kini berada pada kedudukan kedua terbaik di Malaysia selepas Pahang dalam usaha memajukan semula tanah terbiar dengan pelbagai jenis tanaman pertanian sejak 15 tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kejayaan ini hasil usaha berterusan sejak tahun 2008 sehingga 2021 dengan pembangunan semula lebih 1,122 hektar tanah terbiar di semua daerah negeri ini.
"Maksud tanah terbiar dari segi taarif Jabatan Pertanian ialah tanah milik samada ia milik individu atau syarikat yang berkeluasan melebihi 1 ekar, keadaannya terbiar tidak diusahakan selama 3 tahun berturut-turut.
"Sebanyak 1,122.09 hektar telah dibangunkan dari 2008 - 2021 dengan pelbagai tanaman, lokasinya di semua daerah.
"Untuk rekod Terengganu ialah negeri yang kedua terbaik selepas Pahang dari segi kejayaan memajukan tanah terbiar," katanya semasa menggulung perbahasan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, semalam.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri menubuhkan Task Force Pembangunan Tanah Terbiar pada tahun 2020 dan kini memiliki pangkalan data khas atau 'land bank' bagi menyelaraskan tindakan pemulihan tanah yang tidak diusahakan.
"Tahun 2020 Kerajaan Negeri telah menubuhkan Task Force Pembangunan Tanah Terbiar.
"Kita telah mempunyai ‘land bank’ data tanah terbiar.
"Sehingga 2021 keluasan tanah terbiar dikenal pasti berjumlah 8,263.05 hektar," jelasnya.
17 Apr 25
174
Pekerja Premis Makanan Tiada Kod Pakaian Khusus, Tapi Wajib Sopan
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan Negeri menekankan pemakaian sopan selaras dengan nilai budaya tempatan, sejajar dengan prinsip Indahnya Hidup Bersyariat bagi pekerja kedai makan atau restoran walaupun tiada garis panduan khusus mengenai kod pakaian terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, tiada sebarang garis panduan rasmi mengenai kod pakaian khusus bagi pekerja wanita di kedai makanan dan francais.
"Tiada sebarang garis panduan kod pakaian pekerja wanita di kedai makanan dan kedai francais kerana ia adalah di luar bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Namun begitu, pekerja-pekerja wanita adalah dinasihatkan berpakaian sopan untuk mematuhi nilai-nilai budaya tempatan serta prinsip kesopanan yang ditekankan oleh kerajaan negeri," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Namun begitu, pekerja premis makanan diwajibkan mematuhi peraturan kebersihan dan keselamatan makanan yang ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 281), termasuk pemakaian penutup kepala, apron dan kasut.
Katanya, peraturan ini dikuatkuasakan melalui syarat lesen yang diberikan oleh pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Dalam masa yang sama, isu berpakaian tidak sopan di tempat awam boleh dikenakan tindakan di bawah bidang kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
"Mengikut Seksyen 34, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001, individu yang berpakaian tidak sopan di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali," tambah beliau lagi.
17 Apr 25
99
Terengganu Perkukuh Usaha Perluas Pemilikan Sijil Halal
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan Negeri Terengganu kini giat memperkukuh usaha bagi meningkatkan jumlah pengusaha yang memiliki sijil halal melalui pelbagai inisiatif tersusun dan strategik.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, usaha ini penting memandangkan Terengganu masih berada di kedudukan kedua terendah dalam pemilikan sijil halal di Malaysia.
“Sehingga Januari 2025 hanya seramai 317 pengusaha yang mempunyai sijil halal di mana 6 daripada daripada senarai tersebut adalah pusat penyembelihan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Menurutnya, Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri dan juga Yayasan Pembangunan Terengganu serta Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu diberi peranan bagi menyelaras dasar serta pelaksanaan berkaitan pensijilan halal.
“Antara program yang akan dilaksanakan secara bersiri adalah bengkel kesedaran halal dan juga seminar kesedaran halal Terengganu,” ujar beliau.
Selain itu, YPU akan berperanan sebagai pusat sehenti rujukan halal menerusi pegawai-pegawai bertindak sebagai penasihat dan sumber rujukan kepada usahawan yang ingin mendapatkan pensijilan halal.
“Kerjasama strategik turut dijalinkan dengan Halal Development Corporation bagi mempergiatkan lagi kesedaran serta menekankan kepentingan pensijilan halal dalam kalangan pengusaha,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap dengan usaha ini dapat menarik orang berdaftar untuk mendapatkan pensijilan halal.
17 Apr 25
93
Peniaga 'Tidak Sah' Punca Pasar Bukit Besar Terus Kosong
KUALA TERENGGANU, 17 April – Isu kekosongan ruang niaga di Pasar Bukit Besar terus membelenggu operasi pasar tersebut walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kemunculan peniaga-peniaga tidak sah di tepi jalan dikenal pasti sebagai punca utama kekosongan bangku dan lot kedai yang ditawarkan kepada umum.
“Punca utama kekosongan ruang-ruang pasar ini dan pasar-pasar lain adalah kemunculan peniaga-peniaga secara tidak sah di tepi jalan. Pihak MBKT dan kerajaan perlu berhati-hati dalam menangani isu ini kerana peniaga-peniaga ini sebahagian besarnya adalah golongan B40 dan Bumiputera Islam.
“Dalam masa yang sama, Kerajaan dan MBKT sedar akan impak operasi perniagaan tidak sah ini termasuklah dari segi keselamatan pengguna jalan raya, kebersihan tandas dan persekitaran serta keekosongan ruang niaga yang sah di pasar-pasar milik PBT dan kesan kepada pendapatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berikutan kekosongan ruang niaga ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Menurutnya, MBKT telah menerima peruntukan sebanyak RM500,000 untuk menaiktaraf Pasar Bukit Besar, termasuk kerja-kerja mengecat semula dan membaiki tandas.
Namun begitu, usaha menaiktaraf tidak akan memberi impak jika isu kekosongan ruang niaga tidak ditangani secara serius.
“MBKT telah beberapa kali mengeluarkan iklan untuk pengisian ruang-ruang niaga yang kosong. Malah, MBKT telah ambil inisiatif menswastakan kepada peniaga-peniaga di tepi jalan untuk memindahkan perniagaan mereka ke dalam pasar ini.
“Namun demikian, peniaga-peniaga ini enggan terima tawaran MBKT,” ujar Wan Sukairi.
Justeru itu, kerajaan Negeri dan MBKT akan mengadakan perbincangan khas dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian menyeluruh yang bukan sahaja menjaga kepentingan peniaga sah, tetapi turut mempertimbang kebajikan peniaga kecil yang bergantung kepada hasil jualan harian.
17 Apr 25
525
Terengganu Peruntuk RM450 Ribu Tambah Baik Pasar Payang 1
KUALA TERENGGANU, 17 April – Sebanyak RM450,000 dibelanjakan untuk kerja-kerja penambahbaikan kemudahan di Pasar Payang 1 bagi meningkatkan keselesaan peniaga dan pengunjung pasar ikonik itu pada fasa pertama.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan tiga buah tangga baharu serta struktur pelindung (shading) untuk mengurangkan tempias hujan dan panas.
“Kerajaan sentiasa sensitif dengan tuntutan dan cadangan daripada peniaga-peniaga di Pasar Payang 1.
“Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM750,000 untuk pelaksanaan fasa kedua,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Tambah beliau, langkah tersebut diharap dapat menambah seri Pasar Payang sebagai ikon pelancongan utama di negeri ini serta memudahkan lagi urusan pengunjung.
“Semoga dengan inisiatif daripada MBKT ini dapat menyerikan lagi dan memudahkan kedatangan pelancong ke Pasar Payang ini,” kata Wan Sukairi.
16 Apr 25
90
103 Usahawan OKU Terima Manfaat Skim D-HATI
KUALA TERENGGANU, 16 April – Seramai 103 usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) telah menerima manfaat daripada pelaksanaan Skim Dana Prihatin Terengganu (D-HATI) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM444,095.72.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman, berkata kerajaan negeri terus komited dalam usaha memperkasa golongan usahawan OKU.
"Skim ini menyediakan geran maksimum sehingga RM5,000 dengan konsep 80 peratus dibiayai oleh Yayasan Pembangunan Keluarga (YPU) dan selebihnya oleh usahawan sendiri.
"Dana ini bertujuan untuk pembelian mesin dan peralatan bagi membantu usahawan OKU memperkembangkan perniagaan mereka," jelasnya.
Beliau berkata demikian sesi penggulungan sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Selain itu, YPU turut membuka akses kepada golongan OKU untuk memohon pelbagai skim pembiayaan lain seperti Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T).
"Tabung Siti Khadijah (TSK) khas untuk usahawan wanita, Skim Pembiayaan Perantau untuk usahawan di luar Terengganu.
"Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT), fokus kepada perniagaan digital, Skim Pembiayaan ‘Mobile Truck’ (SPMT) – Khusus untuk pembelian trak perniagaan," ujar beliau.
Selain itu, program peningkatan kapasiti Perniagaan Terengganu (T’CAP) untuk usahawan berprestasi tinggi dengan had maksimum RM200,000.
16 Apr 25
477
Lesen Perniagaan Vape Tidak Akan Diluluskan
KUALA TERENGGANU, 16 April – Kerajaan Negeri Terengganu mengambil pendirian tegas dalam menangani isu penggunaan vape atau rokok elektronik dengan tidak meluluskan sebarang lesen perniagaan vape di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan vape khususnya dalam kalangan remaja dan golongan dewasa muda, yang kini dilihat sebagai satu ancaman serius kepada kesihatan awam.
“Mengekalkan pelaksanaan semasa dengan tidak meluluskan lesen perniagaan kepada semua premis perniagaan produk rokok elektronik atau vape dan pada masa hadapan selaras dengan Undang-Undang Kecil yang berkuatkuasa di PBT masing-masing.
“Jika perniagaan masih dibuka dan beroperasi tanpa lesen diberikan, PBT akan menguatkuasakan undang-undang dengan menyita dan merampas barang-barang yang dijual serta apa jua penguatkuasaan selaras dengan undang-undang kecil peraturan berkuatkuasa termasuk mengenakan kompaun dan denda,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Berdasarkan kajian Tobacco and E-Cigarette Survey Among Adolescent (TECMA) 2016 dan Kajian Kesihatan Remaja (ADH) 2017, walaupun terdapat penurunan kadar merokok dalam kalangan remaja, penggunaan vape dalam kalangan remaja perempuan meningkat dua kali ganda – dari 2.6% kepada 5.3%.
“Masalah ini menjadi semakin serius apabila penggunaan vape turut berkembang dalam kalangan individu berumur 20 hingga 49 tahun, iaitu golongan paling produktif dalam masyarakat.
“Keadaan ini menggagalkan usaha mengurangkan kadar merokok secara keseluruhan dan menimbulkan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang terhadap kesihatan serta ekonomi negara,” tambah Wan Sukairi lagi.
16 Apr 25
188
Terengganu Ambil Langkah Drastik Lindungi Penyu
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan mengambil langkah penguatkuasaan yang menyeluruh di kawasan berisiko tinggi termasuk zon pendaratan dan perairan terlarang bagi menangani ancaman terhadap spesies penyu di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim,berkata diantaranya, operasi penguatkuasaan pukat pari sama ada di Pengkalan-Pengkalan Nelayan atau di laut, terutama Daerah Kemaman dan Dungun yang telah dikenalpasti banyak menggunakan pukat pari.
"Yang kedua, operasi penguatkuasaan terhadap nelayan yang menceroboh kawasan santuari penyu," jelasnya.
"Yang ketiganya, penguatkuasaan undang-undang di bawah Enakmen Pemuliharaan Penyu Terengganu 1951 pindaan 2021 dengan hukuman yang lebih berat terhadap kesalahan yang melibatkan kematian penyu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili, dalam sesi pergulungan Usul Menjunjung Kasih sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas yang berlangsung di Wisma Darul Iman, semalam.
Dr Azman juga turut menegaskan bahawa penguatkuasaan turut dilaksanakan di bawah peruntukan negeri.
Tambahnya, di sebalik usaha besar-besaran melepaskan lebih tiga juta anak penyu sejak 2018, hanya seekor daripada setiap 1,000 yang berjaya kembali semula ke pantai untuk bertelur.
"Penyu ialah spesis haiwan zaman dinasour yang masih survive sehingga hari ini.
"Rekod perlepasan anak penyu Terengganu dari tahun 2018-2024 ialah sebanyak 3,025,735 ekor, banyak yang kita lepas.
"Statistik bagi setiap 1,000 ekor anak penyu yang dilepaskan, 1 ekor akan berjaya hidup sehingga dewasa dan kembali semula ke pantai di mana ia menetas, dengan nisbah 1/1000," katanya.
Dr. Azman turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kematian penyu yang dipercayai berpunca daripada perbuatan manusia serta pelbagai ancaman yang dihadapi spesies tersebut.
"Walaupun penyu mempunyai kemampuan berenang merentasi lautan antara benua, survival penyu terdedah kepada banyak ancaman.
"Dari tahun 2015 - 2025 sebanyak 592 ekor kematian penyu direkodkan.
"Pada tahun 2024 sahaja, sebanyak 52 ekor kematian penyu dilaporkan, jumlah kematian yang sama pada tahun 2023, dari Januari sehingga Mac 2025 sebanyak 22 kematian penyu telah dilaporkan,” jelas beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa meskipun punca sebenar kematian penyu sukar dipastikan, corak penemuan bangkai menunjukkan elemen perbuatan manusia yang mencurigakan.
"Bangkai penyu yang hanyut ditemui terperangkap dalam pukat nelayan, terdapat tali yang membelit disekeliling bangkai penyu.
"Terdapat batu yang diikat pada bangkai penyu bertujuan menengelamkan penyu yang mati ke dasar lautan.
"Bolehlah disimpulkan kematian yang berlaku dalam kes-kes di atas adalah angkara perbuatan tangan-tangan manusia,” tegas beliau. ADUN Jabi itu turut menambah, bagi menangani ancaman terhadap penyu,
16 Apr 25
105
Pasar Payang Dijadikan Hab Digital Produk IKS
KUALA TERENGGANU, 16 April – Pendigitalan pemasaran dan penyelarasan antara agensi menjadi kunci utama dalam memperkukuh peranan Pasar Payang sebagai pusat rujukan dan hab utama produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, penggunaan platform digital secara meluas membolehkan produk usahawan Terengganu dipasarkan ke pasaran yang lebih luas, termasuk ke luar negara.
“MARA Terengganu sejak 2022 telah mewujudkan Payang Mall menerusi kaedah digital yang menyasarkan produk-produk usahawan Terengganu untuk dipasarkan secara dalam talian.
“Ia membantu usahawan memasarkan produk mereka dan seterusnya memudahkan orang ramai mendapatkan produk tulen Terengganu menerusi kaedah digital,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Katanya, perbincangan sedang diadakan antara MARA dan Cakna Sdn. Bhd. bagi menambahkan bilangan usahawan yang ingin memasarkan produk mereka secara digital.
“Kerajaan negeri wajar memainkan peranan penting dalam menjadikan Pasar Payang sebagai hab pemasaran, sama ada secara langsung atau menerusi kaedah masa kini iaitu secara digital,” ujarnya.
Ariffin menambah, Pasar Payang merupakan pusat sehenti bagi mendapatkan pelbagai produk usahawan Terengganu.
“Ia meliputi produk batik, songket, kraftangan, makanan tradisional, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), dan pelbagai lagi,” tambah beliau.
16 Apr 25
83
ADUN Terima Aduan Penduduk Tidak Boleh Buat Live TikTok
KUALA TERENGGANU, 16 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin memaklumkan bahawa beliau telah menerima aduan daripada penduduk di kawasannya yang menghadapi kesukaran untuk menjalankan urusan perniagaan secara langsung di media sosial seperti TikTok.
Menurutnya, keadaan ini berlaku kerana rangkaian internet di kawasan tersebut masih lemah, sekali gus menyukarkan penduduk untuk memanfaatkan platform digital yang kini bukan lagi dianggap sebagai kemudahan tambahan, tetapi satu keperluan asas dalam aspek pendidikan, ekonomi dan komunikasi harian.
“Sehubungan itu, saya mendesak agar pemancar tambahan dibina segera di kawasan-kawasan yang masih berstatus ‘kelabu’ dan ‘gelap’ dari segi liputan internet.
“Kerajaan negeri juga perlu memperkemaskan kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi (telco) agar semua kampung menerima liputan internet yang kukuh dan stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Ucapan Perbahasan Titah Diraja dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri Terengganu tidak sepatutnya membiarkan rakyat terus ketinggalan dalam era digital yang serba mencabar ini.
“Isu liputan telekomunikasi ini menjadi antara rungutan utama rakyat. Keadaan internet yang masih lemah menyebabkan terdapat pelajar yang terpaksa keluar rumah dan pergi ke kawasan yang jauh semata-mata untuk mengikuti kelas dalam talian seperti Google Meet,” ujarnya.
16 Apr 25
343