Artikel "Sidang DUN" Terkini
Terengganu Kaji Kaedah Dalamkan Pelabuhan Chendering
Azman Ibrahim.KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Kerajaan Terengganu sedang mengkaji kaedah terbaik untuk mendalamkan dan menaik taraf pelabuhan Chendering yang berada di bawah selian Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi nelayan.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, formula baharu dirangka berikutan kos untuk tujuan itu adalah sekitar RM23 juta dan ia berada di luar kemampuan kerajaan negeri buat masa ini. Jelasnya, masalah tersebut berpunca daripada pemendapan pasir mengakibatkan air menjadi cetek dan menyukarkan bot untuk berlabuh terutamanya bot laut.“Kerajaan negeri dicadang untuk membuka tawaran bagi pengalihan pasir kepada pihak yang berminat, dengan syarat kajian hidrologi harus disempurnakan dahulu oleh Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dan juga kajian struktur pelabuhan dari Jabatan Kerja Raya (JKR). “Jadi melalui langkah diambil ini, kos kepada kerajaan negeri akan dijimatkan dan dalam masa yang sama boleh menambah hasil negeri dalam bentuk cukai pengalihan pasir,” ujarnya.Muhammad Khalil Abdul Hadi.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi pada Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, semalam.Tambah Azman lagi, mendapan pasir mengakibatkan benteng pemecah ombak rendah dan dilepasi oleh ombak. Katanya, masalah pelabuhan itu turut mengakibatkan pemilik bot mengalihkan operasi mereka ke Tok Bali, Kelantan dan Pelabuhan Perikanan Kuantan, Pahang.“Kita terpaksa mengambil respon ini apabila tiada tindakan drastik daripada pihak Kerajaan Pusat untuk mendalamkan dan juga menaik taraf infrastruktur-infrastruktur lain.“Antara yang menjadi sungutan nelayan seperti kilang air batu yang tidak mampu memberi bekalan yang mencukupi kepada nelayan. Kita sudah turun berbincang dengan pihak persatuan nelayan,” tambah beliau lagi.
16 Jul 19
367
Seni Halus, Sukan Tradisi 'Pucuk Muda' Pelancongan Terengganu
Wan Sukairi nyata kesediaan semarak sukan-sukan lama.KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Pelan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman untuk mengetengahkan perusahaan seni halus dan tradisional sebagai salah satu aspek tarikan pelancong ke Terengganu disambut baik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.Mengulas keputusan tersebut, Wan Sukairi turut menyatakan kesediaan mengangkat sukan-sukan tradisi menjadi elemen penting dalam pelancongan negeri.“Kita akan menghidupkan kembali sukan-sukan lama lebih-lebih lagi sebahagiannya mempunyai kaitan dengan sukan-sukan moden.“Saya jangka pada awal tahun 2020, kita akan mengadakan program-program sukan tradisi ini di seluruh kampung dalam Terengganu,” katanya.Beliau berkata demikian selepas ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Pelancaran Kad Sejahtera di Wisma Darul Iman, hari ini.Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berharap agar usaha itu berfungsi sebagai antara aspek yang mengangkat Terengganu sebagai negeri penuh budaya dengan identiti tersendiri.Mohd Nurkhuzaini ketika menjawab soalan lisan ADUN Wanita.Dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belas hari ini, Mohd Nurkhuzaini yang menjawab soalan ADUN Wanita, Zuraida Md. Noor menjelaskan, seni halus dan tradisional memliki potensi untuk dibangunkan.“Justeru, pihak kami melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah mendaftarkan Perbadanan Harta Intelek (myIPO) bagi industri tembaga, batik, songket dan sebagainya bagi menjayakan hasrat ini.“Kami turut bekerjasama dengan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) mencari pewaris yang menyambung kesinambungan seni tembaga negeri itu,” katanya.
16 Jul 19
112
Kerajaan Negeri Kaji Kawasan Berisiko Banjir Kilat
Dr Mamad Puteh.KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Kerajaan negeri akan mengkaji secara menyeluruh untuk menyelesaikan masalah kawasan yang berisiko mengalami banjir kilat di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijaunegeri, Dr Mamad Puteh berkata, ini termasuk merangka pelan induk bagi mengatasi masalah banjir kilat di dua daerah tersebut.Bagaimanapun katanya, kerajaan telah berjaya menyiapkan saliran di Padang Negara dengan kos RM15.8 juta.Kerajaan juga merancang untuk membina kawasan kolam tadahan hujan di Gong Kiat dengan kos RM7 juta dan di Tok Jiring Kuala Nerus dengan kos RM100 juta."Kerajaan negeri belum membuat kajian secara menyeluruh bagaimana menyelesaikan masalah pelan induk itu kerana ia melibatkan masa yang lama dan kajian beberapa aspek di kawasan terbabit," jelasnya.Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belam, di Wisma Darul Iman, di sini semalam.Jelasnya, kerajaan negeri telah membuat kajian untuk menyiapkan kolam tadahan hujan di Kubang Ikan, Chendering berhampiran kawasan sekitar Istana Syarqiyah.Menurut beliau, untuk merangka pelan induk sahaja, kerajaan negeri terpaksa menyediakan kos sebanyak RM1.2 juta membabitkan kajian dan gerak kerja di lapangan.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang berkata, kolam tadahan ini membabitkan banyak tempat termasuk di Kampung Kubang Ikan, Chendering dan Batu Burok serta kawasan berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kuala Nerus.
16 Jul 19
76
Nilai Pelaburan Di Kemaman Paling Tinggi
KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Kerajaan negeri berjaya menarik pelaburan berjumlah RM801,546,578 sejak Jun 2018 sehingga kini yang membuktikan Terengganu terus kekal kukuh sebagai sebuah destinasi pilihan bagi pelaburan asing dan domestik dalam sektor perindustrian.Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, nilai pelaburan tersebut melibatkan hampir keseluruhan daerah di negeri ini.“Nilai pelaburan di Kemaman paling tinggi iaitu sebanyak RM661,729,087. “Manakala, Dungun (RM35,797,732), Marang (RM4,424,165), Kuala Terengganu (RM15,486,520), Hulu Terengganu (RM49,391,647), Kuala Nerus (RM980,000) dan Besut (RM3,373,427),” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Roslee Daud (BN-Bukit Besi) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.Tengku Hassan berkata, pihaknya yakin dengan adanya kemasukan pelabur dari luar, ianya mampu memudahkan usaha kerajaan menunaikan janji manifesto menyediakan 20,000 peluang pekerjaan dalam masa 4 tahun.“Peluang pekerjaan dalam sektor industri sahaja sehingga 2019 adalah sebanyak 7,057, kita unjurkan pada 2024, jumlah pekerjaan dalam sektor ini yang kita dapat janakan sebanyak 16,750 orang,” ujarnya.
16 Jul 19
160
106 Pemohon Terima Manfaat Dari Skim Bantuan Modal Tani Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Seramai 106 pemohon telah diluluskan permohonan mereka untuk menerima manfaat dari Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) melibatkan dana berjumlah RM2.82 juta sejak mula dilancarkan pada 29 Januari 2019.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, jumlah dana ini sudah melebihi separuh daripada keseluruhan peruntukan SMBT sebanyak RM5 juta yang diperuntukkan kepada golongan petani, nelayan dan penternak bagi 2019.“Sektor utama yang mendapat tumpuan pemohon adalah pertanian secara fertigasi, perusahaan akuakultur, penternakan ayam, itik, lembu, kerbau dan kambing serta peralatan dan kelengkapan nelayan termasuk pengusaha pembenihan kerapu hybrid.“SMBT menawarkan kepada rakyat pinjaman patuh syariah tanpa faedah dengan hak pembiayaan maksimum RM50,000,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim pada Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.Tambahnya, isu utama yang menjadi fokus kepada Urusetia SBMT adalah maklumat dari kewujudan dana ini perlu sampai kepada rakyat yang mana mereka perlu tahu bahawa kerajaan negeri berusaha membantu menangani masalah dan kekangan modal yang dihadapi untuk memulakan projek dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan.“Setelah dilancar pada 29 Januari, Urusetia SBMT telah turun ke serata negeri sebanyak 22 lokasi dalam program jelajah SBMT dengan membuat 'billboard', siaran media, siaran di masjid dan surau serta memanfaatkan ruang yang ada dalam media baru supaya maklumat boleh sampai kepada rakyat.“Ini kerana kita belajar dari pengalaman kegagalan DUTA (Dana Usahawan Tani) yang telah diperuntukkan sebanyak RM500 ribu namun tidak mampu dihabiskan dalam tempoh tiga tahun. Antara isu utama adalah rakyat tidak pernah dengar perkataan DUTA itu,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Ridzuan.Jelasnya, biarlah kelompok masyarakat tani mendapat maklumat yang jelas dan mereka boleh pergi kepada saluran yang betul untuk memohon bantuan yang diperlukan.Azman berkata, SBMT menyediakan bantuan dalam bentuk barangan kelengkapan, peralatan atau kemudahan untuk memulakan sesuatu projek dan bukannya wang tunai kerana berdasarkan kajian daripada beberapa skim pinjaman mudah yang disediakan oleh pihak kerajaan sebelum ini menemukan kegagalan yang berpunca daripada salah guna.“Dalam borang, pemohon isi nak pelihara kambing, bila tengok rumah ada motor baharu, bukan kita marah rakyat beli motor tetapi tidak sampai kepada matlamat untuk kita bantu rakyat mulakan projek mereka dan sebab itu Urusetia SBMT akan membekalkan barangan sehingga rakyat boleh bekerja,” ujarnya lagi.Menurut beliau, antara langkah yang diambil bagi memastikan kejayaan SBMT termasuklah pasukan teknikal dari jabatan-jabatan berkaitan akan melakukan lawatan ke tapak supaya dapat memastikan bahawa ada tapak untuk diusahakan dan pemohon ada keupayaan dan kesungguhan walaupun mereka tidak mempunyai dokumen yang lengkap. Atas kesungguhan tersebut, kerajaan negeri akan membantu mereka yang memerlukan.
16 Jul 19
665
Kerajaan Pusat Belum Putus 'Option' Bayaran Balik 'Hutang' Kepada Terengganu - MB
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Kerajaan Persekutuan masih belum membuat keputusan terhadap pilihan (option) bayaran hutang kerajaan negeri secara sekali gus dan kerajaan negeri tidak berputus asa untuk meneruskan rundingan bagi menyelesaikan masalah tersebut.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri telah mencadangkan 'option' tersebut untuk melangsaikan semua hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Pusat secara sekali gus tetapi tidak ada keputusan dibuat sama ada menerima atau menolak 'option' itu sehingga hari ini."Memang antara 'option' yang kerajaan negeri berikan kepada pihak Kerajaan Persekutuan adalah menerima cadangan bayaran sekali gus dengan mengambil kira jumlah hutang Lebuh Raya Pantai Timur (LPT2) belum dibayar Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.43 bilion dan Dana Khas (RM440 juta)."Bagaimanapun tidak ada keputusan dibuat untuk bayaran pilihan tersebut sehingga sekarang," katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di sini hari ini.Katanya, Kerajaan Persekutuan masih 'berhutang' dengan kerajaan negeri sebanyak RM1.43 bilion dari jumlah keseluruhannya RM1.65 bilion untuk projek LPT2."Ingin saya jelaskan bahawa berdasarkan kepada penyata memorandum di dalam penyata kewangan negeri, Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai hutang dengan kerajaan negeri."Bagaimanapun terdapat bayaran balik yang masih belum dijelaskan oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri," jelasnya.Bayaran balik itu juga disifatkan sebagai 'hutang' Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri yang berjumlah RM1.65 bilion.Katanya, ini termasuk bayaran balik LPT2 berdasarkan surat yang diterima dari Kementerian Kewangan bertarikh 15 Mac 2018 berjumlah RM1.43 bilion.Menurut beliau, bayaran balik Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) berdasarkan minit Mesyuarat DKKP Bilangan 1 Tahun 2012 yang bertarikh 15 Januari 2012 adalah berjumlah RM220 juta."Jumlah sebenar penggunaan wang kerajaan negeri bagi pembinaan LPT2 adalah sebanyak RM1.85 bilion."Jumlah yang telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan pada kerajaan negeri bagi melunaskan bayaran 'hutang' tersebut sehingga Jun 2019 adalah berjumlah RM418.5 juta," ujarnya.Justeru katanya, yang belum dilunaskan oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri bagi pembinaan LPT2 adalah sebanyak RM1.43 bilion.Beliau yang juga ADUN Rhu Rendang berkata, jumlah keseluruhan bayaran balik DKKP adalah sebanyak RM2.20 bilion berdasarkan keputusan Jemaah Menteri dan Mesyuarat DKKP Bilangan 1 tahun 2012 yang telah diadakan pada 15 Januari 2012.Mesyuarat itu memutuskan bahawa setiap tahun kerajaan negeri menerima pembayaran balik DKKP berjumlah RM220 juta bermula tahun 2011 dan akan berakhir pada tahun 2020."Bagaimanapun sehingga kini, kerajaan negeri belum lagi menerima bayaran tersebut, hanya berbaki untuk tahun 2019 dan 2020."Bagi tahun 2019 dengan merujuk kepada surat yang dihantar oleh Kementerian Kewangan kepada kerajaan negeri bertarikh 28 Februari 2019, Menteri Kewangan menyatakan penangguhan bayaran tersebut," jelas beliau.Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri tidak berhasrat untuk mengambil alih LPT2 untuk menyelesaikan bayaran balik 'hutang' Kerajaan Pusat itu.
16 Jul 19
95
Kerajaan Negeri Buka Kembali Permohonan Tanah Rentahan Haram Pertanian
ADUN Jabi, Dr. Azman Ibrahim.KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Kerajaan Terengganu bersetuju membuka kembali permohonan Tanah Rentahan Haram Pertanian bagi memberi peluang kepada rakyat untuk memajukannya.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, permohonan berkenaan dibuka bermula Mei lalu (2019) sehingga 31 Disember 2020."Setelah tujuh tahun iaitu kali terakhir dibuka pada tahun 2012, pejabat-pejabat tanah daerah bersedia memproses permohonan baharu."Jadi, rakyat yang mempunyai tanah rentahan haram dan memenuhi syarat ditetapkan boleh ke pejabat tanah daerah untuk mengisi Jadual Satu dan perlu didaftarkan sebelum tamat tarikh pada tahun hadapan," katanya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Kedua DUN Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.Dr. Azman berharap, keputusan itu menjadi satu rangsangan untuk memajukannya sebagaimana syarat yang ditetapkan kerajaan."Kami yakin perkara ini akan mendapat sambutan hangat daripada rakyat," katanya.Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri turut memanjangkan tempoh hak milik sementara tanah rentahan pertanian daripada 60 tahun kepada 99 tahun demi kelangsungan penghasilan sumber makanan negeri.
16 Jul 19
1113
Dua GLC Ditamatkan Operasi - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Kerajaan negeri menamatkan operasi dua buah anak syarikat kerajaan negeri (GLC) di bawah Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (TI) bagi tahun 2019.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, manakala lapan buah syarikat kini dalam proses pembatalan pendaftarannya melalui pertimbangan asas penutupan GLC berdasarkan faktor-faktor tertentu.Antaranya syarikat yang telah lama ditamatkan operasinya, yang berstatus 'dormant' dan pendapatan yang dijana oleh operasi syarikat tidak dapat menampung kos operasi.Katanya, ini termasuklah mengakibatkan kerugian yang berterusan, aliran tunai bulanan negatif yang membebankan syarikat induk, jenis perniagaan yang tidak lagi sesuai, tidak menguntungkan dan bukan merupakan perniagaan teras (core business) Terengganu Inc.“Dua buah GLC yang ditamatkan adalah Permint Bina Bahan Sdn Bhd yang mengeluarkan bata merah dari tanah liat pada Februari 2019 dan TI Food Ventures Sdn Bhd yang mengendalikan 'outlet' Chicken Cottage di Ladang Tok Pelam pada Julai 2019.“Manakala lapan lagi syarikat yang dalam proses pembatalan pendaftaran syarikat secara ‘winding up’ ialah PTB Global Sdn Bhd, PTB Nominee Tempatan Sdn Bhd, PTB Property Developer Sdn Bhd, Kenyir Outdoor Leadership Academy Sdn Bhd, TI Overseas Investment Limited, TI Overseas Resources Limited, Chicken Cottage Holding Sdn Bhd dan TI Global Food Holding Management Limited,” katanya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pada Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.Mengulas lanjut tentang jumlah kakitangan yang terlibat dalam penutupan GLC dan apakah nasib mereka, Ahmad Samsuri berkata, terdapat 32 orang kakitangan yang terlibat dalam penutupan dua GLC iaitu seramai 17 orang dari Permint Bina Bahan Sdn Bhd dan 15 orang dari TI Food Ventures Sdn Bhd.“Bagi Permint Bina Bahan Sdn Bhd, kakitangan yang telah ditamatkan perkhidmatan pada Februari 2019 akan menerima bayaran pemberhentian iaitu lima kakitangan tetap sebanyak RM40,450 setiap orang dan 12 kakitangan berstatus sementara sebanyak RM35,539 seorang.“TI Food Ventures Sdn Bhd yang merupakan syarikat yang mengendalikan outlet Chicken Cottage di Ladang Tok Pelam melibatkan kakitangan tetap seramai 10 orang di mana dua orang telah ditawarkan dengan pekerjaan baru (new offer) dengan syarikat lain di Kumpulan Terengganu Inc dan lapan orang lagi akan dipinjamkan (secondment) di entiti lain," jelasnya ketika menjawab soalan tambahan Tengku Zaihan.Tambahnya lagi, bagi lima kakitangan yang berstatus kontrak pula, seorang ditawarkan pekerjaan baru (new offer) dengan TI Properties Sdn Bhd dan empat orang akan dipinjamkan (secondment) di GLC lain.Sementara itu, TI Global Food Management Limited yang merupakan syarikat pengurusan kepada Chicken Cottage di Malaysia dan beroperasi di Kuala Lumpur akan dihentikan operasinya pada 31 Julai 2019 melibatkan pemberhentian enam orang kakitangan tetap yang melibatkan bayaran pemberhentian pekerjaan sebanyak RM142,000.Jelas Ahmad Samsuri, jumlah GLC yang masih dalam penilaian untuk ditutup adalah GLC yang dormant dan tidak lagi beroperasi yang sedang dalam proses penilaian sama ada akan diwinding up atau akan digunakan sebagai Special Purpose Vehicle (SPV) bagi perniagaan baru berjumlah 39 buah syarikat.
15 Jul 19
285
Kad Sejahtera Alternatif Dapatkan Rawatan Di Klinik Swasta - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam program e-kasih di negeri ini bakal menikmati bantuan subsidi rawatan kesihatan asas menerusi program Kad Sejahtera yang dilancarkan hari ini.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penerima yang terpilih layak untuk mendapatkan rawatan kesihatan berjumlah maksimum sehingga RM500 setahun di klinik swasta terpilih yang dilantik oleh kerajaan selewatnya Ogos ini.“Seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, kerajaan negeri komited merealisasikan program ini berdasarkan keperluan kebajikan dari aspek kesihatan yang merupakan salah satu tanggungjawab kerajaan memastikan rakyat hidup sihat dan sejahtera.“Secara tidak langsung, Kad Sejahtera mampu memberi pilihan kepada golongan sasar untuk mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik-klinik swasta terpilih sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di pusat kesihatan mahupun hospital kerajaan,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kad Sejahtera Terengganu 2019 sempena Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.Menurut beliau, penerima yang memenuhi syarat akan diberikan kad tersebut melalui pejabat Dewan Undangan Negeri masing-masing dan perlu dikemukakan sewaktu mendapatkan rawatan di klinik swasta terpilih dengan kos maksimum RM70 setiap rawatan.“Bagi peringkat awal, sebanyak 10 klinik swasta di setiap daerah akan menawarkan perkhidmatan ini yang mana sekarang ini adalah proses pendaftaran klinik-kilinik berkenaan.“Kita sasarkan 20,000 keluarga bakal menerima manfaat menerusi program Kad Sejahtera ini dan sebagai permulaan, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM10.9 juta pada tahun ini,” ujarnya.Dr Samsuri berkata, program ini bersifat penyelesaian jangka masa pendek supaya dapat memberi kemudahan kepada rakyat Terengganu bagi mendapatkan rawatan kesihatan seoptimum mungkin.
15 Jul 19
299
Terengganu Sedia Pelan Induk Saliran Mesra Alam Tangani Banjir Kilat
KUALA TERENGGANU, 15 Julai - Kerajaan negeri kini dalam proses penyediaan satu pelan induk yang merupakan perancangan jangka panjang bagi menangani masalah banjir kilat yang sering melanda beberapa daerah di Terengganu.Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, pelan yang dinamakan sebagai Pelan Induk Saliran Mesra Alam dijangka siap pada akhir tahun ini dengan peruntukan lebih daripada RM1.2 juta.“Pelan ini bermula pada 2016 dan apabila ia siap pada akhir tahun ini, ia boleh dijadikan rujukan kepada semua jabatan termasuk Jabatan Pengairan dan saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Muhammmad Khalil Abdul Hadi pada Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.Tambahnya, selain dari pelan induk berkenaan, kerajaan negeri hendaklah membina sistem saliran yang baharu bagi menangani masalah banjir kilat sekali gus membantu menangani fenomena alam yang tidak dapat dijangka itu.“Pada tahun lepas, kita telah menyiapkan satu sistem saliran di Padang Negara dengan kos RM15.8 juta.“Dalam pembinaan sekarang ialah sistem saliran di Tok Jiring dan yang akan ditender pada akhir tahun ini adalah tebatan banjir di Gong Kiat di mana airnya akan dialirkan ke Sungai Ibai,” kata Dr. Mamad.Menurut beliau, kerajaan negeri juga telah memperuntukan RM30 juta untuk kerja memperdalam serta membaik pulih sungai dan saliran di Terengganu.
14 Jul 19
361