Artikel "Sidang DUN" Terkini
Parkir MBKT Diswastakan, Apa Rasionalnya?
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Kerajaan negeri menjelaskan penswastaan parkir berbayar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) merupakan langkah terbaik bagi mengatasi kerugian pihak berkuasa tempatan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak berkata, MBKT berdepan kerugian selama beberapa tahun disebabkan sistem manual yang digunakan banyak mengalami kerosakan.
"Sejak tahun 2016, MBKT mengalami kerugian bersih melibatkan parkir sahaja berjumlah RM170 ribu, RM484 ribu bagi tahun 2017, RM850 ribu (2018) dan sebanyak RM918 ribu pada 2019.
"Memang betul, sebelum ini MBKT memperoleh hasil sekitar tiga ke empat juta setahun berbanding RM1.3 juta yang diterima dari pihak pengurusan swasta. Tetapi, kos operasi berterusan kita tinggi sehingga menyebabkan defisit," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dr Alias turut memaklumkan, kerajaan negeri mengambil inisiatif memperbaharui sistem kepada digital dengan penjimatan melalui penswastaan.
"Langkah ini lebih efisien dan memberi untung tetap kepada MBKT serta kita tidak dibebankan dengan cas servis.
"Daripada 70 orang kakitangan, 34 kakitangan dikekalkan dan 36 yang lain diserapkan ke jabatan lain serta pihak pengurusan swasta berkenaan namun, masih kekal berstatus kakitangan kerajaan yang tetap dan berpencen," katanya.
Terdahulu, syarikat Vista Summerose Sdn. Bhd. terpilih melalui tender terbuka untuk menguruskan sistem digital parkir berbayar MBKT bagi lebih 6,000 tapak parkir di ibu negeri itu.
10 Aug 20
2490
Selesaikan Masalah Pembinaan Rumah PR1MA Di Rantau Abang
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun mendesak supaya kerajaan menyegerakan pembinaan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) seperti yang dijanjikan sebelum ini kerana sudah tertangguh sekian lama.
Menurut beliau, dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2016 telah dimaklumkan bahawa projek PRIMA akan dibina di Rantau Abang.
“Malangnya sehingga ke hari ini belum menjadi kenyataan dan kemungkinan ia masih dalam perancangan.
“Diharapkan pihak kerajaan dan agensi berkaitan menyegerakan pembinaannya kerana ia terlalu lama tertangguh sedangkan tapaknya sudah ada,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Ke Bawah DYMM Sultan Terengganu pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Sementara itu, Alias merakamkan ucapan penghargaan kepada kerajaan negeri atas usaha memenuhi keperluan rakyat khususnya golongan B40 di Terengganu berkait dengan perumahan untuk rakyat .
“Tahniah kepada kerajaan negeri kerana memperkenalkan dasar perumahan patuh syariah, yang mana ini suatu yang perlu kita tonjolkan kepada umum bahawa kita betul-betul melaksanakan perintah Allah supaya sesiapa saja yang mendapat rumah sekurang-kurangya ada tiga bilik.
“Terima kasih juga kerana berusaha merealisasikan janji untuk membina sebanyak 20,000 unit rumah menjelang 2022 walaupun ketika ini sesetengahnya masih dalam pembinaan dan perancangan tetapi diharapkan ia disegerakan demi kepentingan rakyat,” ujarnya.
10 Aug 20
783
Pejabat DUN Terengganu Terbit Buku Pertama
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Pejabat Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini melancarkan buku pertama terbitan institusi tersebut yang berjudul Perkembangan Dewan Undangan Negeri Terengganu : Pemantapan Dan Cabaran.
Buku yang mengandungi 221 muka surat merangkumi 14 bahagian, serta turut diterjemahkan ke dalam tulisan jawi itu mendapat kerjasama Jawatankuasa Terpilih Pengurusan Dewan Undangan Negeri Terengganu.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, terbitan edisi sulung berkenaan mampu menambah pengetahuan dan pendidikan politik bukan sahaja dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) malah kepada masyarakat luar.
“Pada masa sama mampu mengubah persepsi orang ramai di mana sebelum ini menganggap Speaker Dewan hanya berfungsi ketika persidangan dewan, sedangkan tugas dan tanggungjawabnya cukup luas.
“Antaranya secara inklusif menjalin hubungan baik dengan pelbagai pihak, sebab itu dewan sentiasa dikunjungi pelbagai termasuk daripada pimpinan belia, golongan pelajar dan pelbagai agensi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurut Yahaya, buku tersebut akan diedarkan secara percuma mulai hari ini kepada ketua-ketua jabatan dan pelbagai agensi media, selain bakal menjadi cenderahati kepada tetamu pejabat DUN.
“Saya berharap, apa yang dikongsikan dalam buku itu terutama berkaitan penambahbaikkan badan legislatif dimafaatkan sebaik mungkin oleh pembaca.
“Untuk mempelbagaikan bahan terbitan, pihak kami turut bercadang akan menerbitkan buku Sejarah DUN, bermula dari awal sehingga kini. Buku itu kini masih di peringkat kajian dan mengumpul bahan,” katanya.
10 Aug 20
390
YPU Sasar Perniagaan Emas Sebagai Hasil Baharu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) berhasrat untuk menceburi perniagaan emas secara khusus bagi menjana pendapatan negeri pada masa depan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman memaklumkan, usaha tersebut sedang dinilai berikutan harga emas yang kini melonjak tertinggi dalam sejarah.
"Pada peringkat awal ini tidaklah, tetapi penglibatan awal adalah untuk mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan fungsi dan tanggungjawab YPU. Sekiranya ia baik untuk kerajaan negeri, pelan ini akan dibentangkan.
"Ketika ini, perniagaan ini diusahakan oleh syarikat Terengganu Metal Ex-Trade Sdn Bhd (TMEx) dan YPU menyokong serta bersetuju menawarkan seorang pegawai kanan sebagai ketua pegawai eksekutif bagi memandu TMEx," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.
ADUN Kota Putera itu turut menjelaskan modal berbayar YPU dalam syarikat itu ialah sebanyak RM1 juta dengan pegangan saham 20 peratus bernilai RM200,000.
Terdahulu, harga emas mencapai harga tertinggi dalam sejarahnya sendiri dan bernilai RM275.51 hari ini, meningkat lagi berbanding RM274.96 semalam.
10 Aug 20
998
Kadar Pengangguran Di Terengganu Terus Berkurang
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Kadar pengangguran di Terengganu terus berkurang kepada 3.3 peratus pada suku pertama tahun ini iaitu sehingga Mac 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan memperlihatkan kadar pengangguran itu berkurang 0.2 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 2019.
“Pada tahun 2018 kadar penganguran di Terengganu adalah 4.8 peratus, kemudian pada tahun 2019 ia terus menurun kepada 3.5 dan suku pertama tahun ini sebanyak 3.3 peratus.
“Untuk tahun ini, Jabatan Perangkaan telah mengeluarkan data pengangguran untuk suku pertama sahaja, data bagi suku kedua dijangka akan dikeluarkan pada Ogos,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan bertulis yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Abd Rahman pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
10 Aug 20
972
Pindaan Enakmen Keluarga Islam Selesai Masalah Perceraian - ADUN Wanita Terengganu
Zuraida Md Noor.
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan pindaan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 mampu menyelesaikan pelbagai masalah perceraian apabila diluluskan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata, pindaan itu melibatkan seksyen 27 yang bertujuan mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Pendaftar bagi melaksanakan tugas-tugas Ketua Pendaftar.
Jelasnya, lambakan dokumen yang perlu diuruskan dengan segera terutamanya apabila keuzuran dan ‘ketidakupayaan’ Ketua Pendaftar untuk menandatangani dokumen berkaitan menyebabkan berlaku tunggakan Surat Perakuan Cerai (SPC)
“Ini menyebabkan Bahagian Undang-Undang Keluarga Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menghadapi masalah mengeluarkan surat perakuan cerai. Apatah lagi, secara purata sehari, sebanyak 10 permohonan cerai dikemukakan termasuk permohonan cerai taklik dan perceraian luar mahkamah.
“Juga tiada apa-apa peruntukan dalam Enakmen Ibu yang memberi kuasa kepada Ketua Pendaftar untuk menurunkan kuasanya kepada orang lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berbahas menyokong pindaan usul berkenaan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, semalam.
Mengulas lanjut tentang kesan jika enakmen itu tidak dipinda, beliau menegaskan akan berlaku implikasi besar yang akan menambahkan lagi masalah dan beban keluarga.
Katanya, antara masalah yang akan timbul ialah pemohon tidak dapat memohon untuk berkahwin semula atau berkahwin lain memandangkan proses memohon kebenaran berkahwin perlu dilampirkan bersama SPC.
“Pemohon tidak dapat memohon Bantuan Sara hidup (BSH), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) dalam masa yang ditetapkan memandangkan pihak berkuasa menghendaki lampiran SPC jika pemohon berstatus ibu atau bapa tunggal.
“Urusan persekolahan anak juga akan terkesan jika penjaga membuat pemohonan pertukaran sekolah dan bantuan sekolah kerana perkara-perkara ini perlulah dikepilkan bersama SPC,” tambah beliau.
RUU yang bernama Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) (Pindaan) 2019 itu telah diluluskan sebulat suara dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14 Tahun 2019, semalam.
17 Jul 19
422
Taman Burung Tarikan Terbaru Taman Tamadun Islam
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Projek taman burung yang merupakan antara tiga produk pelancongan baharu yang bakal diperkenalkan di Taman Tamadun Islam (TTI) sebelum akhir tahun ini dilihat mampu menjadikan lokasi berkenaan destinasi pelancongan ‘wajib singgah’.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, selain itu taman tema mini dan muzium tiga dimensi juga antara yang diusahakan kerajaan negeri untuk direalisasikan di TTI bagi melonjakkan kehadiran lebih ramai pelancong.
“Kita mempunyai beberapa produk untuk memberi nafas baharu kepada TTI termasuk projek taman burung ini tetapi semuanya bergantung kepada sumber kewangan.
“Kita akan perjuangkan perkara ini untuk mendapatkan kelulusan bajet daripada kerajaan negeri agar ianya dapat dilaksanakan secepat mungkin,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, semalam.
Ariffin berkata, pihaknya sedang giat mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkaitan berhubung projek berkenaan termasuk soal konsep serta kesesuaian lokasi.
“Ianya merupakan antara usaha kerajaan negeri bagi membaik pulih dan memberi nilai tambah produk pelancongan sedia ada yang didapati kurang berdaya maju bagi meningkatkan hasil pulangan sektor tersebut kepada ekonomi negeri,” ujarnya.
17 Jul 19
645
Terengganu Peruntuk RM410,000 Program Pembangunan Tanah Terbiar
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pertanian Negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM410,000 bagi program pembangunan tanah terbiar tahun ini.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, berdasarkan data Bahagian Perancangan Strategik Jabatan Pertanian Malaysia, Terengganu merupakan negeri kedua tertinggi yang mengusahakan tanah terbiar.“Terengganu memiliki seramai 1,051 orang pengusaha tanah terbiar dan kita merupakan negeri kedua dari segi kejayaan mengusahakan tanah terbiar selepas daripada Pahang yang memiliki seramai 1,130 orang,” ujarnya.Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Alias Harun (PAS-Rantau Abang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, semalam.Menurut Dr. Azman, Terengganu mempunyai lebih daripada 10,000 hektar tanah terbiar dan mempunyai insentif dari segi pembangunan tanah terbiar sebanyak kadar maksimumnya RM20,000 untuk satu hektar.“Ianya boleh digunakan untuk tujuan pembersihan kawasan, penyediaan sistem perparitan, membeli utiliti sama ada baja, racun, anak pokok dan sebagainya sehinggalah kepada peringkat pemasaran,” ujarnya.
16 Jul 19
239
RM30 Juta Peruntukan Baik Pulih Rumah Dan PPTS Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) dan membaik pulih rumah rakyat di Terengganu untuk tahun ini.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, jumlah maksimum untuk setiap pembaikian (baik pulih) rumah sebanyak RM11,000.“Kerajaan negeri masih lagi meneruskan peruntukan baik pulih rumah, bahkan bukan sahaja baik pulih tetapi kita juga meneruskan PPTS yang dahulunya dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT),” ujarnya.Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Bazlan Abd Rahman (BN-Batu Rakit) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, semalam.Menurut beliau, jumlah yang diberikan kepada pemohon bergantung kepada jenis kerosakan yang dibuat penilaian oleh pegawai dan juruteknik di pejabat daerah dan diselaraskan oleh Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri di kawasan masing-masing.
16 Jul 19
364
Terengganu Negeri Pertama Wujud Jawatan Timbalan Ketua Pendaftar
Oleh : Mohd Haniff AbasKUALA TERENGGANU, 17 Julai - Terengganu menjadi negeri pertama di Malaysia yang mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Pendaftar apabila meluluskan satu rang undang-undang baharu berkaitan pindaan Enakmen Undang - Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017.Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, pindaan ini melibatkan seksyen 27 yang bertujuan mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Pendaftar bagi melaksanakan tugas-tugas Ketua Pendaftar.Jealsnya, ia khusus dalam hal mendaftarkan perceraian dan mengeluarkan surat perakuan cerai dan ianya masih tertakluk kepada syarat-syarat sebagaimana termaktub pada enakmen ibu seksyen 52(6) (pindaan) 2019.“Syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri kerana dengan pindaan ini, Terengganu merupakan negeri pertama di Malaysia yang mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Pendaftar.“Ini dapat memastikan urusan pendaftaran cerai dan pengeluaran surat perakuan cerai dapat berjalan lancar dan efektif terutama berkaitan kuasa menandatangani dan mendaftarkan surat perakuan cerai.Dengan ini, surat perakuan cerai dapat dikeluarkan dan diserahkan kepada pemohon dalam tempoh waktu yang ditetapkan,”katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ditangguhkan semalam.Rang undang - undang yang bernama Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu)(Pindaan) 2019 ini telah diluluskan dengan mendapat sokongan sebulat suara dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas Tahun 2019 yang bersidang selama dua hari bermula 15 hingga 16 Julai di Wisma Darul Iman.Mengulas tentang pindaan enakmen ini, Ridzuan menegaskan bahawa ini menunjukkan betapa serius dan tingginya komitmen kerajaan negeri dalam usaha untuk memartabat dan memperkasakan lagi perlaksanaan syariat Islam di Terengganu.
16 Jul 19
186