lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

JPKK Terengganu Bakal Dianggotai PAS, Umno Dan Bersatu
JPKK Terengganu Bakal Dianggotai PAS, Umno Dan Bersatu
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Keanggotaan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Terengganu atau sekarang dikenali sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) akan dianggotai oleh PAS, Umno dan Bersatu mulai tahun depan. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha itu adalah selaras dengan hasrat pihaknya untuk maju ke hadapan bersama rakan-rakan gabungan baharu. “Saya juga telah berbincang dan memaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim bahawa cadangan penambahan komposisi dalam JPKK adalah dengan bilangan yang sesuai, insya-Allah ia akan dimuktamadkan dan dilaksanakan bermula pada awal tahun 2021. “Dalam debaran ini, kita mengharapkan keharmonian baharu dapat diwujudkan dan ditambah baik dalam JPKK yang dijenamakan semula nanti.  "Sekiranya ini dapat dicapai, saya yakin kita mampu untuk membuka ruang di struktur pentadbiran masyarakat di segmen yang lain pula,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menjelaskan, pemerkasaan kerjasama itu juga akan berterusan ke peringkat tertinggi apabila wakil rakyat semua parti dilibatkan dalam jawatankuasa-jawatankuasa khas bagi membincangkan pemerkasaan ekonomi dan industri Terengganu. "Perubahan ini perlu dilakukan dengan cermat agar ia tidak menyebabkan sebarang kejutan di bawah sana. "Hal ini perlu dirundingi secara berlapang dada, kerana parti-parti yang ada dalam Dewan ini juga perlu berkira-kira dengan suasana rakan-rakan kita di negeri-negeri lain juga, seperti Johor, Melaka, Pahang, Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan," ujarnya. Tambah beliau, pihaknya akan terus memperkukuhkan saluran pertemuan, dan perbincangan sesama rakan gabungan, supaya setiap perbezaan dapat dirungkaikan.
11 Aug 20
6724
Terima Kasih ‘Front Liners’ – MB Terengganu
Terima Kasih ‘Front Liners’ – MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Kerajaan Terengganu hari ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan yang membantu mengawal penularan wabak COVID-19. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengorbanan dan jasa bakti petugas ‘front liners’ sepanjang ‘tempoh sukar’ pandemik wajar diberi penghormatan. “Saya juga ingin mengambil kesempatan ini, untuk menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga atas pengorbanan dan jasa bakti petugas barisan hadapan iaitu Majlis Keselamatan Negara, para doktor dan seluruh petugas kesihatan. “Tidak dilupakan juga Anggota Keselamatan dan Beruniform  seperti Polis, Tentera, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Bomba dan Penyelamat, anggota RELA, MPKK, NGO-NGO dan orang perseorangan yang telah berkorban masa dan tenaga, merisikokan diri untuk memastikan kawalan terhadap Pandemik COVID19 dapat diurus dengan baik,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.
11 Aug 20
429
Kerajaan Negeri Komited Maksimakan Potensi Tanah Terbiar
Kerajaan Negeri Komited Maksimakan Potensi Tanah Terbiar
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Terengganu komited memaksima potensi tanah-tanah terbiar dan tanah kerajaan yang belum dieksploitasi sepenuhnya. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa (Task Force) Pemulihan Tanah Terbiar bagi mencari solusi untuk memajukan kira-kira 8,000 hektar tanah terbiar di seluruh negeri pada 6 Mei lalu.  Katanya, fungsi jawatankuasa berkenaaan antaranya bertujuan mengenal pasti tanah terbiar dan pemilikan di setiap daerah yang melebihi 0.4 hektar dalam satu kawasan. "Selain mengenalpasti punca dan faktor yang menyumbang kepada tanah-tanah tersebut terbiar tidak diusahakan, jawatankuasa ini juga bertanggungjawab menyediakan pengkalan data dan pelan tindakan tanah terbiar. “Termasuk mengemukakan cadangan ‘business model’ yang bersesuaian bagi pemulihan tanah terbiar termasuk aspek pemasaran, penyertaan petani tempatan dan pelabur luar,” ujarnya. Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut Dr Azman berkata, setakat ini ia sudah berada di peringkat akhir penyedian pengkalan data. Sementara itu katanya, Pelan Strategik Pertanian Negeri 2019-2023 sedang diterjemahkan di tapak tanah pertanian, laut, kolam, tasik, ladang, kandang dan kilang.  “Kerja keras di peringkat pentadbiran disokong arahan atasan yang jelas akan membawa sektor pertanian negeri melangkah ke hadapan dengan lebih kemas,” ujarnya.
11 Aug 20
527
Terengganu Lucut Hak Tanah Tidak Diusahakan Pemaju
Terengganu Lucut Hak Tanah Tidak Diusahakan Pemaju
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Kerajaan negeri melaungkan ketegasan untuk bertindak melucutkan hak dan merampas tanah-tanah kawasan industri yang tidak diusahakan pemaju di seluruh negeri. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar memaklumkan,Terengganu ketika ini secara keseluruhannya memiliki sebanyak 29 kawasan industri berkeluasan 10,621 hektar. "Mengikut Jawatankuasa Perancangan Negeri Terengganu pada tahun 2018, kita dapati hampir 45 peratus kawasan industri yang diberi milik tidak diusahakan di seluruh negeri. "Peratusan ini melibatkan 776 daripada 1,705 lot tanah dan jika mereka masih tidak mengusahakannya dalam masa terdekat, kita akan ambil semula dan menawarkannya kepada mereka yang berminat untuk mengusahakannya," katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, kerajaan negeri juga tidak dijelaskan akan masalah yang menyebabkan tanah-tanah terbabit terbiar. Oleh demikian, kerajaan negeri juga bersetuju untuk melaksanakan sistem 'Smart Map' yang akan mengemukakan status dan kedudukan tanah secara lebih terperinci sebagai penambahbaikan berhubung isu tanah.  
11 Aug 20
4709
Tidak Bertanggungjawab Punca Cerai
Tidak Bertanggungjawab Punca Cerai
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Sikap tidak bertanggungjawab sama ada lelaki atau wanita terhadap pasangan dan anak masing-masing menjadi punca utama yang mengakibatkan penceraian di Terengganu. Turut menjadi punca penceraian adalah lemah didikan agama, campur tangan pihak ketiga, perbezaan budaya, masalah seksual, masalah ekonomi, kerjaya, masalah kesihatan, masalah akhlak dan sosial serta masalah komunikasi. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, Terengganu merekodkan 13,157 kes penceraian membabitkan pasangan muslim dalam tempoh lima tahun bermula 2015 di samping 181 penceraian ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini Katanya, berdasarkan pecahan, sebanyak 2,682 pasangan dilaporkan bercerai pada 2015 diikuti 2,715 pasangan (2016), 2,758 (2017), 2,553 (2018) dan 2,449 pasangan (2019). "Memang banyak faktor yang mengakibatkan penceraian ini namun punca utama isu adalah disebabkan pasangan tidak bertanggungjawab yang akhirnya membawa kepada masalah-masalah lain,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ab Razak Ibrahim pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman hari ini. Menurut Mohd Nor, kerajaan mengambil pelbagai langkah dalam menangani isu penceraian dengan memberi tumpuan kepada tiga golongan sasaran iaitu pasangan yang belum berkahwin, pasangan sudah berkahwin dan pasangan yang mempunyai konflik dalam perkahwinan. Katanya, kumpulan itu diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). “Antara program dilakukan adalah kursus pra perkahwinan, pra perkahwinan Islam, seminar kekeluargaan, kursus kepada pasangan yang berkahwin lebih lima tahun dan khidmat nasihat cara keluarga Islam bagi membantu masalah rumahtangga,” katanya sambil berkata sebanyak 2,409 pernikahan direkodkan Bahagian Undang-Undang keluarga bagi Pernikahan dan Penceraian dalam tempoh (PKP).  
11 Aug 20
1710
Kerajaan Negeri Perjelas Isu Rumah Mampu Milik Pulau Redang Tergendala
Kerajaan Negeri Perjelas Isu Rumah Mampu Milik Pulau Redang Tergendala
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Berdasarkan komitmen pemaju, projek perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Pulau Redang akhirnya dijangka siap sepenuhnya Oktober tahun ini setelah tergendala hampir lapan tahun. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri optimis isu terbabit akan berakhir secepat mungkin dengan tindak balas yang dilakukan pemaju. Sehingga kini melalui tinjauan yang dilakukan pihaknya, sebanyak 160 unit RMM Pulau Redang sedang dalam pembinaan dengan sebanyak 88.7 peratus rumah sudah siap dibina. "Ini adalah projek 'sakit' yang telah lama bermula sejak tahun 2012 sewaktu pemerintahan kerajaan sebelum ini. Pada ketika itu, pemaju memberi komitmen untuk menyiapkan projek dalam jangka masa setahun setengah dan dijangka siap pada 22 Julai 2013. "Bagaimanapun setelah tiga kali Lanjutan Masa (EOT) diberikan, pemaju masih gagal menyiapkan projek tersebut. Akhirnya kerajaan negeri pada waktu itu membuat keputusan untuk 'terminate' dan bawa ke mahkamah. "Setelah melalui prosedur-prosedur yang ditetapkan, keputusan mahkamah bertindak mengekalkan pemaju yang sama dan akhirnya kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan isu ini di luar mahkamah dengan perjanjian baharu dipersetujui. "Kita telah menyambung dan memberikan EOT sehingga 1 Mac 2021 kepada pemaju dan kita optimis isu ini akan berakhir secepat mungkin insya-Allah," jelasnya dalam satu kenyataan, menjawab soalan tambahan wakil Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini. Untuk rekod, hanya tinggal satu blok rumah RMM Pulau Redang sedang dalam pembinaan dengan tiga blok rumah sudah siap dibina.
11 Aug 20
1794
Terengganu Tubuh Pasukan Khas Pantau Projek ECRL
Terengganu Tubuh Pasukan Khas Pantau Projek ECRL
  KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Kerajaan negeri menubuhkan pasukan pemantau di peringkat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi memastikan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu mendapat manfaat secara menyeluruh. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr  Mamad Puteh berkata, beliau akan memastikan rakyat di negeri ini akan mendapat peluang pekerjaan daripada serendah-rendah jawatan iaitu sebagai buruh sehingga ke peringkat profesional. “Pada masa yang sama mampu membuka peluang perniagaan baharu dan pertumbuhan bandar-bandar kecil di kawasan sekitar,” katanya. Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Katanya, kerajaan memandang serius perkara itu dengan turut mengadakan beberapa langkah lain “Kita sudah mengadakan perbincangan dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bagi memastikan pelbagai peluang yang bakal perolehi. “Perbincangan turut dibuat antara tiga negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan untuk menjadikan kita ini pasukan yang kuat bagi tujuan yang sama,” katanya. Dr Mamad turut memberitahu, disebabkan peruntukan untuk membina jajaran projek ECRL itu dikecilkan daripada RM66 bilion kepada RM44 bilion, Stesen Bukit Besar berkemungkinan  dibatalkan dan dicadangkan dipindah ke Durian Guling. "Oleh kerana stesen Pengkalan Berangan dekat dengan Durian Guling maka Stesen Pengkalan Berangan dipindahkan ke Bandar Permaisuri. “Perbincangan dengan MRL sudah dibuat supaya ada kemudahan sistem pengangkutan canggih antara Bukit Besar dan Durian Guling,”katanya menjawab soalan tambahan ADUN Seberang Takir, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman.  
11 Aug 20
1695
Tiga Strategi Terengganu 'Lupus'kan Kemiskinan Nelayan
Tiga Strategi Terengganu 'Lupus'kan Kemiskinan Nelayan
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Terengganu menggariskan tiga tumpuan utama bagi menangani isu kemiskinan di kalangan nelayan negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim menyatakan, kerajaan negeri menilai isu kemiskinan membelenggu sebahagian daripada 8,985 nelayan negeri itu iaitu nelayan pantai akibat kekurangan hasil tangkapan. "Oleh itu, daripada tahun 2018 hingga tahun ini kita telah melabuhkan 51 tukun konkrit di seluruh perairan negeri melibatkan nilai RM1 juta untuk meningkatkan sumber perikanan. "Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM190,000 untuk melabuhkan 245 unjam dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia di seluruh daerah," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya, langkah itu berhasil meningkatkan sumber perikanan serta menyumbang kepada pertumbuhan dalam sektor pertanian sebanyak enam peratus. "Isu kemiskinan juga berkaitan dengan kediaman dan tempat tinggal yang mewujudkan kedaifan hidup. "Tahun ini, 150 buah rumah bakal dibangunkan kerajaan negeri bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)  sebagai penempatan semula para nelayan Terengganu dengan kerjasama modal berjumlah RM34 juta iaitu sebanyak RM13 juta daripada kerajaan pusat dan bakinya RM21 juta dari negeri," katanya. Tambah ADUN Jabi itu, seramai 800 nelayan tempatan juga berdepan isu pemilikan lesen nelayan sampan. "Ketiadaan lesen menyebabkan mereka tidak layak mendapatkan bantuan perikanan, elaun sara hidup, subsidi minyak dan pelbagai kemudahan lain. "Jadi, kerajaan negeri telah menubuhkan  jawatankuasa khas dan pemutihan dibuat untuk memastikan mereka berdaftar. Kita dipuji Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dengan menjadi negeri tunggal menyelesaikan hal ini melalui jawatankuasa khas," katanya. Menurutnya, hasil inisiatif itu pihak kementerian juga bertindak mengumumkan pembukaan kembali lesen nelayan sampan. Terdahulu, kerajaan negeri juga menyediakan pinjaman mudah melalui Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) untuk pembelian sampan dan enjin yang kini telah berhasil membantu lebih 30 nelayan pantai.
11 Aug 20
1254
Masalah Dadah Kalangan Pelajar Perlu Ditangani Secara Serius
Masalah Dadah Kalangan Pelajar Perlu Ditangani Secara Serius
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos- Masalah dadah di kalangan pelajar perlu ditangani secara serius semua pihak termasuk kerajaan bagi memastikan agenda Transformasi Pendidikan Sekolah 2050 (TS 25) dapat dicapai Kementerian Pendidikan Malaysia.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, untuk itu kerajaan negeri perlu membentuk satu jawatankuasa bertindak yang lebih serius. "Beri peruntukkan yang banyak untuk menangani kes ini supaya tidak menjadi satu barah. Kita tahu bagaimana Perang Candu di China boleh memusnahkan sebuah negara. Kita bimbang takut negeri dan negara kita suatu masa nanti akan dipenuhi oleh penagih dadah dan penagih-penagih dadah ini bukan sahaja melibatkan golongan yang tidak cerdik malah termasuklah pelajar-pelajar universiti. "Jadi saya ingin mencadangkanlah disini kalau boleh ambil satu inisiatif dengan kapasiti kita sekarang ini sebagai kerajaan negeri dengan libatkan semua pihak untuk kita mencegahnya sebelum parah," ujarnya.  Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Ke Bawah DYMM Sultan Terengganu pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darui Iman, di sini, semalam.  Katanya, merujuk pada statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) penglibatan pelajar didalam masalah penyalahgunaan dadah terutama jenis 'Methaphetamine' atau pil kuda menunjukkan berlaku peningkatan yang sangat mengejutkan.  "(Tahun) 2014, 6036 kes baru dicatatkan manakala tahun 2019 mencatat satu peningkatan luar biasa iaitu 16,154 kes seluruh negara termasuklah Negeri Terengganu.  "Satu peningkatan yang sangat mengejutkan kita dan inilah pasaran-pasaran masyarakat, samada pasaran dalam pekerjaan ataupun didalam industri dimana remaja kita ini akan menempatkan diri mereka didalam pelbagai sektor sedangkan bina insan didalam diri mereka tidak menjadi,"ujarnya.  Justeru katanya penglibatan semua pihak termasuk wakil rakyat, Majllis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK) perlu memainkan peranan disamping AADK dan PDRM.  "Dari segi kesungguhan semua pihak perlu diaktifkan dengan lebih serius. (Justeru) saya mengajak semua ahli dewan yang ada di sini daripada atas, pertengahan sampai ke bawah kita cuba serius dan turun padang dengan cara lebih tersusun untuk menangani kes ini, "katanya. Diantara faktor berlaku hal demikian katanya 50 peratus daripada  27, 000 kes yang berlalu adalah disebabkan pengaruh rakan.  "Sebenarnya dapat disekat pertamanya oleh ahli keluarga, oleh kerana keluarga yang ada dalam masyarakat kita ini pelbagai jenis pendidikan, cara dan gaya mereka anak dan sebagainya menyebabkan berlakunya kelompangan dalam kawalan (akhirnya) anak-anak terbiar bebas dan akhirnya terjebak masalah dadah, "ujarnya. Tambah beliau, di sekolah proses kemenjadian murid selari dengan program TS 25 dilihat berkesan dan mencapai standard yang diingini dalam mendidik para pelajar kerana sarat disiplin dan penerapan nilai-nilai murni tetapi masalah berlaku apabila diluar sekolah. Bagi menjayakan TS25 itu juga katanya perlu dibina hubungan diantara PIBG dan PIBK bagi memastikan kemenjadian murid yang bebas dari gejala buruk.
10 Aug 20
547
Pusat Pemulihan Dadah Holistik Beroperasi Januari Depan
Pusat Pemulihan Dadah Holistik Beroperasi Januari Depan
  KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Pusat pemulihan dadah secara holistik yang menggunakan pendekatan lebih komprehensif dijangka beroperasi mulai Januari tahun depan di Kem Chador, Marang dengan pengambilan 100 pelatih. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri akan mengadakan kerjasama dengan pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kebangsaan berkaitan pemilihan pelatih. Katanya, mereka yang dipilih termasuk yang tinggal di kawasan pendalaman dan benar-benar mahu berubah kepada kehidupan lebih baik. "Pusat pemulihan dadah itu berada dalam peringkat penyelesaian isu tanah dan pemilikan bangunan sedia ada antara Lembaga Tabung Warisan Negeri Terengganu dan Sri Miah Sdn Bhd melibatkan kos RM1.5 juta. Permohonan tapak sebagai cadangan adalah tapak Program Latihan Khidmat Negara PLKN Kem Chador, Marang, Terengganu sebelum ini yang berkeluasan kira-kira 40 ekar. “Dalam konteks pemilihan pelatih, kita tidak akan memaksa mereka  untuk berubah sebaliknya menggunakan pendekatan  kerohanian dan mendalami ilmu agama, mengaji al-Quran, pentingnya solat apabila pelatih ke pusat itu kelak,”katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Wan Hapandi Wan Nik (Sura-PAS) pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, di Wisma Darul Iman hari ini. Mengulas lanjut, beliau memaklumkan anggaran kos perbelanjaan pengurusan bulanan yang akan ditanggung oleh pihak kerajaan RM1.499 juta, termasuk kos gaji, emolumen, pengurusan dan operasi. Konsep secara holistik yang dimaksudkan adalah secara bersepadu, kerana itu pemilihan pelatih adalah daripada bukan penagih tegar kerana penagih tegar diuruskan oleh AADK "Hanya mana-mana pelatih yang sudah dikeluarkan daripada pihak penjara, kita akan ambil dan dibuka secara sukarela serta dididik di pusat ini. "Sistem itu nanti merangkumi dua segmen, pertama adalah melalui konsep kerohanian, iaitu rawatan secara dalaman. "Kedua adalah membuat perkampungan melalui projek-projek dari sudut kemahiran, seperti pertanian, penternakan sehingga mereka sesuai untuk keluar bersama-sama masyarakat setempat dan jika sebaliknya, mereka akan kekal di situ sehingga akhir hayat," tambah beliau.
10 Aug 20
2289