lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

Sidang DUN : MB Hadir Bertongkat
Sidang DUN : MB Hadir Bertongkat
KUALA TERENGGANU, 23 November – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hadir ke Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini dalam keadaan bertongkat. Beliau yang masih dalam tempoh rawatan dan penyembuhan dijangka membentangkan Belanjawan 2021 pada pukul 11.10 pagi nanti. Belanjawan itu menjadi tumpuan ramai lebih-lebih dalam keadaan dunia dilanda wabak COVID-19. Difahamkan beberapa inisiatif khas akan diumum Ahmad Samsuri khusus bagi membantu rakyat yang terjejas dalam sektor ekonomi dan pertanian.  Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 Terengganu yang bermula hari ini akan berlangsung selama tiga hari sehingga 25 November.
23 Nov 20
328
Eksport Pasir : Asal Jasa Dilantik Kerana Miliki AP
Eksport Pasir : Asal Jasa Dilantik Kerana Miliki AP
KUALA TERENGGANU, 13 Ogos – Pemilihan Asal Jasa Sdn Bhd sebagai pengambil dan pengeksport pasir di muara sungai Merang, Terengganu dilakukan secara professional di samping hanya syarikat tersebut yang mempunyai lesen eksport (AP). Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, tambahan pula semua pemilik konsesi pasir di muara sungai di negeri ini termasuk syarikat Terengganu Dredging (T-Dreg) tidak memiliki AP. “Dalam isu pasir ini ia melibatkan dua bahagian iaitu pemilik konsesi dan pemilik AP. Jadi T-Dreg selaku pemilik konsesi untuk eksport pasir telah melantik Asal Jasa untuk melaksanakan projek itu, ia menjadi hak pemilik konsesi untuk melantik syarikat mana yang memilki AP sebagai plaksana projek itu. “Sebelum kelulusan diberi kepada Asal Jasa, sebanyak lima syarikat telah dipanggil dan dianalisa kemampuan-kemampuan mereka, namun lima syarikat itu tiada AP. Kita juga tidak ada ‘favour’ untuk melantik mereka hanya kerana mereka dari Kelantan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 di Wisma Darul Iman kelmarin. Menjawab kekeliruan yang ditimbulkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Kijal), Dato’ Seri Dr Ahmad Said itu, Nurkhuzaini turut menjelaskan, cita-cita besar T-Dreg sememangnya untuk menjadi payung kepada projek-projek berkenaan. “Namun, T-Dreg masih di peringkat awal penubuhan, jadi cita-cita besar itu akan berlaku melalui proses-proses secara berperingkat,” tambah beliau.  
13 Aug 20
2529
Terengganu Lulus Belia 18 Tahun Jadi Calon Pilihan Raya
Terengganu Lulus Belia 18 Tahun Jadi Calon Pilihan Raya
  KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Terengganu menjadi negeri terbaharu yang menurunkan had usia calon pilihan raya daripada 21 kepada 18 tahun apabila Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu meluluskan pindaan Enakmen Undang-Undang bagi diri Kerajaan Negeri Terengganu (Bab Yang Pertama) (Pindaan) 2020 hari ini. Usul yang dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat itu diterima sebulat suara 32 ADUN. Satiful berkata, pindaan itu selaras dengan perkembangan di peringkat Parlimen yang memberikan kelulusan kepada individu yang berusia 18 tahun menjadi calon Parlimen. "Jadi kita menuruti langkah itu dengan meluluskan pindaan ini sekali gus memberi kelayakan kepada mereka yang berusia 18 tahun menjadi calon ADUN mana-mana parti "Kita bersedia untuk melaksanakan ini walaupun ada negeri-negeri yang tidak bersedia dan menolak untuk melaksanakannya," katanya ketika ditemui media selepas penangguhan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga DUN Ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. Menurut beliau, pindaan itu boleh digunapakai sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang turut melibatkan DUN. "Ini pengiktirafan kepada orang muda dengan menjadi calon dan boleh mengundi pada usia 18 tahun," ujarnya.
12 Aug 20
3024
Parkir MBKT : Jana Untung Baharu, Hapus Kerugian
Parkir MBKT : Jana Untung Baharu, Hapus Kerugian
  KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Keputusan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menswastakan kira-kira 6,000 tempat letak kereta bahu jalan adalah untuk menjana keuntungan baharu di samping menghapuskan kerugian yang dialami pihak berkuasa tempatan itu sejak empat tahun terdahulu.  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, MBKT kerugian lebih RM2.4 juta ekoran peningkatan kos perbelanjaan operasi termasuk membaiki kerosakan. Katanya, dengan penswastaan tersebut pihak berkuasa tempatan itu tidak lagi perlu menanggung kerugian sebaliknya akan menerima bayaran sekitar RM1.3 juta setahun manakala segala kerosakan pula akan ditanggung oleh syarikat terbabit. "Sejak tahun 2016, MBKT mengalami kerugian bersih melibatkan parkir sahaja berjumlah RM170 ribu, RM484 ribu bagi tahun 2017, RM850 ribu (2018) dan sebanyak RM918 ribu pada 2019. "Memang betul, sebelum ini MBKT memperoleh hasil sekitar tiga ke empat juta setahun berbanding RM1.3 juta yang diterima dari pihak pengurusan swasta, tetapi, kos operasi (OPEX) yang tinggi menyebabkan defisit, tidak betul kalau kita hanya kira pendapatan tanpa mengira OPEX," katanya. Beliau berkata demikian semasa membuat penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman semalam. Dr Alias turut memaklumkan, pihaknya telah melakukan beberapa inovasi dalam sistem tersebut namun MBKT tetap mengalami kerugian. "Jadi atas sebab itu kita memikirkan kaedah lain iaitu penswastaan, ditambah pula kita tidak dibebankan dengan servis dan kerosakan,” katanya sebagai menjawab kekeliruan yang ditimbulkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Seri Dr Ahmad Said. Tambahnya lagi, daripada 70 orang kakitangan asal pengurusan parkir MBKT, 34 kakitangan dikekalkan dan 36 yang lain diserapkan ke jabatan lain serta pihak pengurusan swasta berkenaan namun, masih kekal berstatus kakitangan kerajaan yang tetap dan berpencen.
12 Aug 20
3239
DUN Terengganu Lulus Enakmen Baharu Untuk Penggunaan Sumber Air
DUN Terengganu Lulus Enakmen Baharu Untuk Penggunaan Sumber Air
  KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini meluluskan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020, bagi meluaskan lagi penguatkuasaan kerajaan negeri terhadap penggunaan dan pengeluaran air di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Teknologi Hijau dan Utiliti negeri, Dr Mamad Puteh berkata, enakmen baharu di bawah Lembaga Air Negeri Terengganu itu dijangka dikuatkuasakan Januari tahun hadapan. Katanya, apabila dikuatkuasa kelak, mana-mana industri yang mahu mengguna pakai sumber air Terengganu untuk perniagaan masing-masing akan dikenakan bayaran dengan kadar tertentu. “Sebelum ini, pihak itu menggunakan air secara percuma sahaja. Negeri lain, sudah lama memperkenalkan enakmen sama, jika Terengganu tetap menawarkan air secara percuma dianggap satu kerugian sedangkan  ia boleh menjana pendapatan untuk negeri," katanya ketika memgemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020 pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini. Jelasnya lagi, kewujudan enakmen air ini memungkinkan kerajaan negeri meraih pendapatan sehingga RM100 juta setahun dan apa yang bakal diperkenal itu tidak membabitkan Syarikat Air Terengganu (SATU). “Jadi takrif air pengguna bagi penduduk di negeri ini tidak terjejas, masih dikekalkan  dengan kadar yang sama,” katanya.  
12 Aug 20
3426
Aplikasi GanuShop Kini Dalam Proses Penambahbaikan
Aplikasi GanuShop Kini Dalam Proses Penambahbaikan
  KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Kerajaan negeri kini dalam proses membuat penambahbaikan terhadap aplikasi GanuShop yang dijangka kembali beroperasi pada Oktober ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata pihak Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) sedang merangka strategi untuk mempromosikan aplikasi GanuShop untuk menambah ciri-ciri perkhidmatan yang lebih menarik.  "Kita akan mengadakan promosi GanuShop secara berterusan untuk meningkatkan bilangan penjual dan pembeli dari masa ke masa, mengadakan kursus secara berkala kepada penjual dan vendor-vendor. "Di samping itu juga kita akan mengadakan program tawaran hadiah menarik kepada penjual dan pembeli bagi royalti ke atas pengguna Ganu Shop," katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili di Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas, hari ini. Menurutnya lagi, melalui penambahbaikan yang bakal dilakukan, aplikasi ini dijangka akan mendapat peningkatan lebih daripada 50 peratus daripada bilangan penjual yang ada.  "Kita jangka sekurang-kurangnya 4,500 bilangan penjual akan menyertai GanuShop dan dengan adanya penambahbaikan bilangan penjual, dijangka transaksi penjual dalam aplikasi ini juga turut meningkat sekurang-kurangnya 50 peratus berbanding dengan jualan sebelum ini.  "Kita akan perkenalkan GanuShop ini bukan sekadar jadi platform untuk menjual dan membeli tetapi kita jadikan ia lebih luas daripada itu seperti kita masukkan sekali perkhidmatan teksi, e-hailing, perkhidmatan lori, trak dan sebagai logistik perkhidmatan bergerak seperti mekanik, tampal tayar motosikal dan begitu juga perkhidmatan 'food truck'," ujarnya. Nurkhuzaini juga berkata setelah kerajaan menetapkan bazar Ramadan tidak dapat beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sehingga kini 3,111 usahawan telah berdaftar sebagai penjual atau pembeli perkhidmatan termasuk 2,000 orang telah berdaftar sebagai pembeli atau pengguna dalam aplikasi GanuShop.     
12 Aug 20
733
Jawatan GLC : ‘Individu Dilantik Untuk Selesaikan Kepincangan’
Jawatan GLC : ‘Individu Dilantik Untuk Selesaikan Kepincangan’
  KUALA TERENGGANU, 12 Ogos – Pelantikan beberapa individu ke jawatan penting dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri adalah untuk menyelesaikan kepincangan, termasuk pengurusan dan tatacara kewangan syarikat selepas mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2018. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelantikan itu dibuat secara kontrak berdasarkan pengalaman dan kelayakan individu berkenaan. "Individu berkenaan dilantik secara kontrak antara dua dan tiga tahun untuk membantu kerajaan menyelesaikan pelbagai permasalahan dihadapi GLC. "Mereka mempunyai keluarga dan menetap di negeri ini dan pernah memegang jawatan beberapa GLC sebelum ini. "Individu berkenaan juga mampu menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi GLC dalam tempoh yang singkat," katanya ketika ditemui media selepas penangguhan Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, di Wisma Darul Iman semalam. Mengulas lanjut dakwaan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said itu, beliau menegaskan selepas segala permasalahan itu yang dihadapi berjaya diselesaikan kerajaan negeri akan menyusun semula GLC dengan melibatkan anak tempatan. "Apabila syarikat milik kerajaan itu kembali pulih, kerajaan negeri akan memberi peluang kepada anak tempatan untuk menerajuinya," katanya. Untuk rekod, antara pelantikan jawatan GLC yang dipersoalkan Ahmad Said, TDM Berhad mengumumkan peningkatan pendapatan sebanyak tujuh peratus kepada RM425.1 juta bagi tahun 2019 berbanding RM397.9 pada tahun sebelumnya. Pengerusi TDM, Raja Dato’ Idris Raja Kamarudin berkata, pihaknya berpuas hati dengan prestasi tersebut meskipun 2019 adalah tahun yang penuh cabaran termasuk perang perdagangan, ketidaktentuan ekonomi global dan pemulihan harga minyak sawit mentah pada suku berakhir 2019. TDM juga memaklumkan akan memulakan penanaman pertama secara rasmi tahun ini di Ladang Pelung. “Selepas Ladang Pelung, program penanaman semula yang seterusnya adalah di Ladang Fikri, Jerangau, Pinang Emas, Pelantoh, Tebak dan Jernih dengan jumlah keluasan 1,440 hektar,” tambah Raja Dato’ Idris baru-baru ini.
12 Aug 20
4971
B40 Kini Layak Mohon Kad Sejahtera
B40 Kini Layak Mohon Kad Sejahtera
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Golongan B40 dengan pendapatan purata perkapita keluarga di bawah RM280 setiap bulan kini layak membuat permohonan untuk mendapatkan manfaat kesihatan melalui program Kad Sejahtera yang dilancarkan pada Julai tahun lepas. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata ketika ini proses permohonan sedang dilakukan untuk golongan B40 melalui pelbagai termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). "Sejak dilancarkan pada Julai 2019, penerima manfaat Kad Sejahtera ialah seramai 12,126 bagi tempoh  hingga Disember 2019. "Pembayaran yang telah dituntut atas penggunaan yang dibuat oleh pemilik kad sejahtera pula ialah sebanyak RM364,388 bagi tempoh September 2019 hingga 31 Disember 2019 pula," katanya menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wan Hapandi Wan Nik pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini. Menjawab soalan tambahan Wan Hapandi yang mahukan penjelasan mengapakah jumlah tuntutan sangat sedikit sehingga menggambarkan seolah-olah program itu tidak mendapat sambutan daripada rakyat Terengganu, Dr Alias berkata ia adalah program baharu dan terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi jumlah tuntutan yang sedikit itu. "Ini mungkin ada yang masih tidak tahu tentang program ini dan saya minta Yang Berhormat perlu berperanan untuk beri penerangan supaya rakyat dapat nikmati manfaat ini. "Selain itu, jumlah penyertaan klinik swasta juga masih kurang, mungkin sebab mentaliti yang menganggap bayaran kerajaan nanti lambat dan ambil masa tiga atau empat bulan, jadi tak banyak yang mahu jadi klinik panel program ini,"katanya lagi. Menurutnya lagi, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk program Kad Sejahtera itu dengan anggaran penerima seramai 20,000 orang setahun.     
12 Aug 20
4635
Kerja Pembinaan Menara NFCP Fasa Pertama Di Terengganu Siap Suku Pertama 2021
Kerja Pembinaan Menara NFCP Fasa Pertama Di Terengganu Siap Suku Pertama 2021
KUALA TERENGGANU, 12 Ogos - Kerja-kerja pembinaan menara dan penyediaan rangkaian gentian optik di bawah program Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) bagi fasa pertama yang bermula tahun lepas, dijangka siap pada suku pertama tahun hadapan dengan melibatkan 13 lokasi di negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata, kerja-kerja pembinaan menara dan gentian optik NFCP bagi fasa kedua pula, dijangka akan bermula pada tahun ini dan akan siap pada suku keempat 2021, dengan melibatkan 34 lokasi seluruh negeri. "Kerajaan negeri telah mengambil inisiatif dalam meningkatkan jalur lebar dengan menambah baik dan meluaskan liputan rangkaian melalui NFCP di bawah Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP Fund) yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasidan Multimedia Malaysia (SKMM). "Kesemua 47 kawasan pembinaan menara dan penyediaan rangkaian NFCP ini, melibatkan kawasan luar bandar. Pelaksanaan NFCP yang dikawal selia SKMM adalah bagi meningkatkan jalur lebar khususnya di kawasan pedalaman,” katanya ketika ucapan penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Penggal Ketiga Kali Ke-14, semalam. Dalam perkembangan sama katanya, sebanyak 400 lagi menara telekomunikasi baharu akan dibina di seluruh negeri pada masa hadapan, bagi menampung 855 menara sedia ada, sebagai usaha meningkatkan liputan internet di negeri ini. “Setakat ini liputan 4G di kawasan berpenduduk di seluruh negeri adalah 87.7 peratus, liputan 3G, 95.5 peratus dan 2G, 97.8 peratus. Jadi dengan pembinaan menara telekomunikasi baharu nanti rakyat Terengganu akan menikmati kemudahan liputan internet yang lebih baik,” katanya.
12 Aug 20
584
Dakwaan Pengusaha Nanas Dihalau Kerajaan Tidak Benar
Dakwaan Pengusaha Nanas Dihalau Kerajaan Tidak Benar
KUALA TERENGGANU, 11 Ogos - Dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kerajaan negeri menghalau pengusaha nanas MD2 di Bujal, Kijal sehingga menyebabkan kerugian RM350,000 adalah tidak benar. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pemilik tanah termasuk pihaknya tidak pernah mengganggu atau menghalau Sofea Pineapple Farm yang sedang mengusahakan 15 ekar tanaman. "Sewa tanah pun pemilik tanah tak ambil daripada pengusaha. Malah pengusaha menambah lagi lima ekar keluasan kawasan bertanam menjadikan 20 ekar kesemuanya. "Kebun nanas tersebut masih ada sampai hari ini. Projek ini dalam kawasan Kijal. Saya pernah menjadi orang tengah bagi mencari titik persepakatan antara tuan tanah dan pengusaha," katanya ketika ucapan penggulungan usul menjunjung kasih perutusan titah Kebawah DYMM Sultan pada Persidangan DUN Terengganu Penggal Ketiga Kali ke-14 hari ini. Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi mengelakkan pengusaha mengalami kesukaran selepas tuntutan tanah oleh pemilik, Sofea Pineapple telah diberi lot tanah kerajaan secara Lesen Menduduki Sementara (LMS) di belakang SM Imtiaz Kijal. "Proses bagaimana tanah tersebut dikembalikan kepada tuan yang berhak telah melalui prosedur yang sepatutnya. Tanah tersebut milik Hamdan Ahmad, Geran Pajakan Negeri bernombor 1815 dengan tempoh pajakan selama 30 tahun, seluas 44.2 ha.  "Tempoh pajakan tamat pada 18 Februari 2009. Tahun 2008 lagi Hamdan sudah mengisi Jadual 1 dan angkat permohonan untuk sambung pajakan tetapi tak ada keputusan.  "Malah sebahagian tanah telah diberi milik kepada orang lain. Selepas pertukaran kerajaan Mei 2018, barulah permohonan diproses semula. Urusan permohonan tanah tersebut dua kali masuk Jawatankuasa Tanah Daerah (JKTD) Kemaman sebelum diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan dibuat keputusan," tambah beliau. Semalam, ketika sesi perbahasan usul perutusan titah Diraja, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato' Seri Dr Ahmad Said turut membangkitkan isu berkenaan dan memohon penjelasan kerajaan.
11 Aug 20
5193