Artikel "Sidang DUN" Terkini
Belanjawan 2021 : Bayaran Cukai Pintu Terus Dikecualikan
KUALA TERENGGANU, 23 November – Pengecualikan bayaran cukai pintu rumah kediaman yang dimulakan pada 2019 diteruskan tahun hadapan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi meringankan beban yang ditanggung rakyat kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan RM13 juta bagi tujuan itu.
"Memahami kesempitan rakyat ketika pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri akan meneruskan pengecualian bayaran Cukai Taksiran untuk rumah kediaman yang menelan belanja melebihi RM13 juta pada tahun ini.,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.
23 Nov 20
4202
Sidang DUN : Enam Projek Melon Manis Telah Beroperasi
KUALA TERENGGANU, 23 November - Pengoperasian Projek penanaman Melon Manis Terengganu (MMT) di Ladang Rimbunan Kaseh kini sedang berjalan dengan penggunaan sebanyak enam buah Struktur Perlindungan Hujan (SPH) bermula pada awal April 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata projek ini dibawah seliaan Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC) dengan usahasama MCT Agriculture Sdn Bhd bermula pada April 2020 di kawasan pertanian dengan keluasan 8.462 hektar
“Sehingga Ogos 2020, jumlah penanaman pokok MMT adalah sebanyak 26,000 pokok telah ditanam dengan anggaran hasil pendapatan sehingga Oktober 2020 sebanyak 10.172 tan yang bernilai RM80,000 .
“Setakat ini terdapat sepuluh orang pekerja tempatan terdiiri daripada seorang Pengurus Ladang, Seorang Penyelia dan lapan orang Pekerja Am dimana meraka merupakan peserta Rumah Rimbunan Kaseh,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas(Bajet), hari ini.
Sementara itu, kerajaan negeri turut mengambil langkah untuk mengoptimumkan prasana yang ada di Ladang Rimbunan Kaseh yang mana 20 Struktur Perlindungan Hujan (SPH) lagi sedang dalam proses membaikpulih dan dijangka akan siap sepenuhnya untuk penanaman pada akhir Januari 2021.
“Kesemua 26 buah SPH akan mula beroperasi sepenuhnya pada Februari 2021 dengan anggaran penanaman keseluruhan adalah sebanyak 53,000 pokok.
Manakala tangki ikan sebanyak 400 buah tidak dapat digunakan untuk penternakan ikan disebabkan oleh masalah air, TADC mencadangkan untuk membuat projek tanaman buah Markisa menggunakan kaedah hidroponik.
“TADC juga telah mengeluarkan modal bagi kerja-kerja membaikpulih, kos tenaga kerja, memasang CCTV, menaiktaraf, membaiki paip, menambah tangki graviti dan sistem pembesaran auto menggunakan teknologi digital serta kos input-input pertanian telah menelan belanja lebih kurang RM600,000.00 (penggunaan teknologi baru sistem penanaman),”ujarnya ketika menjawab soalan tambahan daripada ADUN Rantau Abang, Alias Harun.
23 Nov 20
500
Belanjawan 2021 : Pengecualian Bayaran Lesen Peniaga Kecil, Penjaja
KUALA TERENGGANU, 23 November – Bayaran lesen perniagaan untuk peniaga kecil dan penjaja di Terengganu tidak akan dikutip sepanjang tahun 2021.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri memahami tekanan yang dihadapi oleh golongan terbabit lebih-lebih dalam tempoh COVID-19.
"Dengan ini kerajaan negeri mengumumkan tiada kutipan lesen peniaga kecil dan penjaja bagi tahun 2021. Kita mengharapkan dengan inisiatif ini dapat merancakkan lagi ekonomi Negeri Terengganu dan membantu meringankan beban yang dihadapi oleh para peniaga dan penjaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.
Menurut beliau, golongan warga emas tidak akan dipinggirkan apabila program Pencen Rakyat diperkenalkan bermula tahun depan.
“Bayaran sebanyak RM600 setahun bakal memberi manfaat kepada golongan terbabit,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Samsuri turut memaklumkan, kerajaan negeri bersetuju memberikan bantuan Tunai Cakna Rakyat Terengganu bernilai RM200 kepada golongan B40.
“Bantuan ‘one-off’ itu akan memberi manfaat kepada 48,500 isi rumah dengan jumlah RM9.7 juta,” jelasnya yang memaklumkan ketiga-tiga bantuan tersebut adalah inisiatif khas COVID-19.
23 Nov 20
2141
Sidang DUN : Rantaian Ekonomi Projek Dipantau
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kawalan dan pemantauan terhadap keseluruhan rantaian ekonomi bagi projek yang akan dilaksanakan kelak antara usaha dan penambahbaikan dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkata, langkah itu bagi memanfaatkan sepenuhnya industri petroleum termasuk sektor hiliran bagi kepentingan rakyat dan negeri ini.
Jelasnya, PETRONAS sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menambah nilai kepada sumber hidrokarbon negara dalam sektor hiliran dan petrokimia yang berpotensi tinggi di negeri ini melalui beberapa projek mengikut kesesuaian.
“Bagi industri petroleum dan gas sedia ada, kerajaan negeri dengan kerjasama PETRONAS sentiasa berusaha memastikan rantaian ekonomi sehingga kepada produk akhir berasaskan petroleum dan gas dihasilkan di dalam negeri ini.
“Produk-produk lain yang mengguna pakai bahan mentah daripada gas dan petroleum dan gas juga boleh berkembang seperti yang dapat dilihat di Taman Biopolimer Kertih yang terletak bersebelahan dengan Kompleks Petrokimia Bersepadu Kertih (KIPC),” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Katanya, bagi syarikat anak tempatan pula, kerajaan negeri memanfaatkan peranan Terengganu Petroleum Council (TPC) untuk membida tender-tender yang dikeluarkan oleh pihak PETRONAS.
“TPC diwujudkan di bawah seliaan Terengganu Inc yang menjadi payung kepada syarikat-syarikat yang dimiliki oleh anak- anak negeri Terengganu dan saling bekerjasama untuk mendapatkan kerja-kerja kontrak yang ditawarkan.
“Peranan TPC yang menjadi medium kerajaan negeri bagi memastikan kedaulatan Negeri Terengganu sebagai pengeluar minyak dan gas yang utama di Malaysia dapat dilindungi haknya dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, kerjasama secara 'smart partnership dengan PETRONAS secara berterusan dengan memperkasakan Jawatankuasa Kerja Bersama Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS atau Joint Working Committee (JWC) yang mempunyai objektif bagi pengukuhan hubungan dua hala dan penjajaran kepentingan di antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS melalui saluran kerjasama rasmi untuk merealisasikan lanjutan faedah bersama daripada pembangunan petroleum di negeri ini.
“Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan rakyat tempatan menerusi penetapan syarat sebanyak 70 peratus daripada pekerja dalam mana-mana perusahaan di kawasan perindustrian di negeri ini perlulah terdiri daripada rakyat negeri Terengganu.
“Secara tidak langsung pelaksanaan projek berpotensi tinggi dalam sektor hiliran dan petrokimia ini akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan memberi keutamaan kepada rakyat Terengganu,” jelasnya.
Katanya, peluang pekerjaan yang tersedia akan ditambah nilai dengan latihan bagi memastikan tenaga kerja ini berkemahiran tinggi dan memenuhi keperluan industri.
“Dengan penambahbaikan berterusan secara komprehensif dan kerjasama secara 'smart partnership dengan PETRONAS, kerajaan negeri yakin usaha ini akan memberikan hasil yang positif serta manfaat jangka panjang kepada rakyat dan Terengganu terutamanya menerusi pertambahan peluang pekerjaan dan perniagaan,” ujarnya.
23 Nov 20
357
Belanjawan 2021 Terengganu Peruntuk RM1.375 Bilion
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan Terengganu mengumumkan peruntukan RM1.375 bilion bagi perbelanjaan mengurus dalam Belanjawan 2021 berbanding anggaran hasil yang bakal diperoleh sebanyak RM1.25 bilion dengan defisit RM125 juta.
Bertemakan 'Melestarikan Kesejahteraan Bersama', belanjawan kali ini didokong dengan lima teras utama iaitu meneguhkan pelaksanaan agenda Islam dan pembangunan modal insan, menjana semula ekonomi dan pendapatan rakyat, menjamin kesejahteraan keluarga dan sosial, mendigitalisasikan perkhidmatan awam dan melestarikan alam sekitar.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, demi kesejahteraan penduduk, kerajaan mencadangkan peruntukan sebanyak RM1.375 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala perbelanjaan pembangunan dan Kumpulan Wang Bekalan Air masing-masing sebanyak RM615 juta dan RM20.17 juta.
“Sementara itu, pendapatan hasil cukai adalah sebanyak RM58.56 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM130.64 juta dan terimaan bukan hasil sebanyak RM1.06 bilion termasuk RM933.33 juta royalti petroleum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.
23 Nov 20
955
Belanjawan 2021: Bantuan Tambahan RM200 Bagi Rakyat Berpendapatan Rendah
KUALA TERENGGANU, 23 November- Seramai 48,500 isi rumah golongan berpendapatan rendah (B40) akan menerima bantuan tambahan berjumlah RM200 daripada kerajaan negeri.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan secara one-off itu melibatkan peruntukan berjumlah RM9.7 juta di bawah program Cakna Rakyat Terengganu.
"Selain itu, bantuan bagi menyokong kumpulan isi rumah B40 serta golongan yang ditimpa musibah kesihatan dan bencana turut diperuntukkan melalui bantuan persekolahan sebanyak RM7 juta dan RM5 juta bagi Tabung Darul Iman.
"Kerajaan Negeri juga memahami tekanan yang dihadapi oleh peniaga kecil dan penjaja. Dengan ini, kerajaan negeri mengumumkan tiada kutipan lesen peniaga kecil dan penjaja bagi tahun 2021," katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM3.5 juta bagi Tabung Pemulihan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) sebagai sokongan kepada pengusaha-pengusaha kecil negeri itu.
"Kita mengharapkan dengan inisiatif ini dapat merancakkan lagi ekonomi Negeri Terengganu dan membantu meringankan beban yang dihadapi oleh para peniaga dan penjaja," katanya.
23 Nov 20
3531
Terengganu Diiktiraf Negeri Berprestasi Baik
KUALA TERENGGANU, 23 November - Terengganu tersenarai antara tujuh negeri yang merekodkan prestasi yang lebih baik pada tahun 2019 dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 3.3 peratus berbanding 2.5 peratus pada tahun 2018.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini menjadikan nilai KDNK kita meningkat daripada RM34.8 bilion pada tahun 2018 kepada RM36.0 bilion pada tahun 2019.
“Sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal menjadi penyumbang terbesar dengan nilai RM18.5 bilion dan RM13.1 bilion masing-masing.
“Walaupun begitu, kita tidak wajar untuk berasa selesa dengan kedudukan tersebut memandangkan pertumbuhan KDNK kita masih di bawah paras nasional,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Wisma Darul Iman hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata hampir semua sektor ekonomi di Terengganu mencatatkan pertumbuhan positif.
“Sektor pembinaan dan sektor pertanian merekodkan pertumbuhan paling memberangsangkan iaitu masing-masing daripada -9.2 peratus dan -2.5 peratus pada tahun 2018 kepada 0.4 peratus dan 6.0 peratus pada tahun 2019,” tambah beliau.
23 Nov 20
2637
Belanjawan 2021: Latihan Kemahiran Percuma Bagi Golongan Terjejas
KUALA TERENGGANU, 23 November- Memahami kebimbangan rakyat yang berdepan isu pengangguran akibat pandemik Covid-19, kerajaan Terengganu menawarkan peluang kepada rakyat negeri itu untuk mendapatkan latihan kemahiran secara percuma bagi meningkatkan tahap kemahiran diri serta meneroka bidang baru.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penawaran tersebut merupakan strategi jangka masa panjang kerajaan negeri bagi meningkatkan kemahiran pekerja dalam bidang yang diceburi.
"Sebanyak RM7.52 juta diperuntukkan di bawah inisiatif ini bagi meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehgajian golongan graduan, penganggur dan pekerja yang terjejas akibat diberhentikan, diberikan cuti tanpa gaji dan dipotong gaji.
"Bagi meningkatkan dan melatih semula kemahiran golongan ini, program perantisan, latihan keusahawanan dan kursus jangka pendek akan dilaksanakan secara usaha sama dengan pelbagai pihak," katanya sewaktu membentangkan Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, sebanyak lapan inisiatif diwujudkan antaranya ialah Terengganu Young Executive Program (TYEP), iaitu program latihan perantisan sebagai laluan kerjaya sebelum ke pasaran kerja.
Selain itu, latihan industri dan peluang pekerjaan kepada anak Terengganu terutamanya dalam bidang kemahiran, termasuk kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) akan turut diadakan melalui T-JOB.
"Terengganu juga akan memperkasakan pusat kemahiran seperti TESDEC dan TATIUC bagi menjadikan Terengganu sebagai hub untuk pekerja mahir dan profesional dalam bidang-bidang strategik melalui Terengganu Training Program (TTP).
"Kita juga berusaha membangunkan keusahawanan T-VET dan membimbing bakal usahawan dalam penyediaan rancangan perniagaan dan kemahiran komunikasi dalam Kursus Keusahawanan Terengganu di bawah seliaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU)," katanya.
Inisiatif-inisiatif lain yang akan dilaksanakan kerajaan negeri ialah Program Jati Diri Generasi Sejahtera oleh Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Terengganu Skill Enhancement Program for School Leavers (TSEP-S), Program Transformasi Pekerja Itqan melibatkan ikon anak Terengganu di perantauan yang berjaya dalam bidang masing-masing serta Karnival Pekerjaan 2021 bagiu dapat dimanfaatkan sepenuhnya rakyat Terengganu.
23 Nov 20
502
Belanjawan 2021: Terengganu Suntik 'Tonik' Buat Pengusaha Kecil
KUALA TERENGGANU, 23 November - Para peniaga Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di Terengganu bakal menerima suntikan baru apabila kerajaan negeri mengumumkan Pusat Bersepadu Pemasaran PKS dalam pembentangan Belanjawan 2021, hari ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, pemerkasaan tersebut bukan sekadar berbentuk latihan kemahiran kepada peniaga-peniaga sebagaimana sebelum ini.
"Inisiatif ini adalah bagi mempercepatkan proses pemulihan PKS dan pertumbuhan ekonomi negeri. Ia sebagai sokongan kepada program-program latihan pemasaran sedia ada.
"Pemilik PKS akan ditawarkan pilihan pakej yang sesuai dengan yuran yang rendah untuk memasarkan barangan dan perkhidmatan mereka dengan lebih berkesan yang akan diurus oleh tenaga pakar dalam bidang pemasaran terutamanya pemasaran digital," katanya ketika berucap pada pembentangan berkenaan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelasnya, inisiatif terbabit melibatkan peruntukan berjumlah RM1.5 juta termasuk RM400 ribu bagi menaik taraf aplikasi GanuShop.
23 Nov 20
280
Belanjawan 2021: Terengganu Tubuh Jawatankuasa Adaptasi COVID-19
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan Terengganu akan mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi mengadaptasi kesan pandemik COVID-19 kepada negeri tersebut.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, penubuhan jawatankuasa itu adalah bagi merencana pendekatan baharu dalam menghadapi COVID-19 di Terengganu.
"Iaitu daripada bertindak balas (response) terhadap impak kepada penyesuaian (adaptation) dengan keadaan memandangkan pandemik COVID-19 ini tiada ketentuan mengenai penghujungnya.
"Jawatankuasa ini akan melibatkan pelbagai Agensi Negeri dan Persekutuan serta berperanan untuk mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri sebarang keputusan dan tindakan yang boleh serta perlu diambil bagi tujuan (i) mempromosikan kesihatan dan pembudayaan kebiasaan baharu, (ii) menjamin ketersediaan dan kebolehcapaian keperluan asas dan (iii) melestarikan kemandirian individu, isi rumah dan perniagaan.
"Peruntukan sebanyak RM100 ribu digunakan bagi melaksanakan kempen norma baharu,” katanya sewaktu membentangkan Bajet Terengganu 2021 dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.
23 Nov 20
378