Artikel "Sidang DUN" Terkini
Sidang DUN : Portal e-Learning Perkasa Pendidikan Norma Baharu
KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu telah mengambil beberapa langkah yang proaktif bagi memperkasakan sektor pendidikan di Terengganu selaras dengan budaya norma baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, Portal e-Learning Terengganu yang dilancarkan pada bulan Mei 2020 lalu sehingga 3 November 2020, mencatatkan 67 aktiviti secara dalam talian melibatkan 20,876 orang peserta.
Katanya, antara aktivitinya adalah meliputi penganjurkan pelbagai webinar, bengkel, sesi perkongsian dan kursus secara dalam talian melalui portal tersebut.
“Terdapat banyak bahan pengajaran dan pembelajaran yang dibangunkan oleh guru-guru ditempatkan dalam portal berkenaan yang boleh diakses oleh semua guru dan murid-murid sekolah rendah dan menengah di negeri Terengganu.
“Pada masa sama, kerajaan turut menggalakkan bahan pembelajaran (softcopy) kepada murid murid menggunakan kemudahan media sosial seperti aplikasi Telegram, Whatsapp, e-mel dan lain-lain lagi.
“Bekalan bahan pembelajaran (hardcopy) secara fizikal kepada murid-murid melalui serahan tangan atau dipungut di stesen-stesen yang disediakan oleh pihak sekolah. Contoh, seperti SMK Pengkalan Berangan yang menyediakan bahan-bahan pembelajaran di sebuah pondok di luar pagar sekolah untuk diakses oleh murid-murid atau penjaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet) semalam.
Satiful turut berkata, Jabatan Pendidikan Negeri juga bekerjasama dengan radio Terengganu FM untuk mengadakan sesi bersama sama Guru AKRAM Bahasa Melayu, Sejarah dan Sains yang bersiaran semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
24 Nov 20
306
Belanjawan 2021 : Kawasan Perdagangan Bebas Diwujudkan
KUALA TERENGGANU, 23 November - Bagi menggalakkan lagi aktiviti import dan eksport serta pergudangan dan perniagaan secara pukal, kerajaan negeri bakal mewujudkan kawasan perdagangan bebas di Teluk Kalong, Kemaman.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha melalui anak syarikat kerajaan, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) turut berpeluang merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan masyarakat setempat.
"Bagi memenuhi keperluan pelabur-pelabur baharu seperti Emerald USA dan Malaysia Phosphates, Pelabuhan Kemaman juga akan diperbesarkan.
"Ini kerana pada masa sekarang kadar purata pengendalian kargo di Dermaga Timur adalah melebihi 50 peratus kapasiti iaitu bersamaan dengan 4 juta metrik tan kargo setahun dan dijangka melebihi 14 juta metrik tan kargo pada tahun 2024; melangkaui kapasiti kemudahan sedia ada.
"Diharapkan pembesaran ini dapat memenuhi keperluan pelabur-pelabur baharu," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas mengenai kemajuan perkhidmatan kesihatan pula, beliau berkata ia telah berkembang sebanyak 13 peratus dalam kumpulan Terengganu Incorporated di bawah Kumpulan Medic Iman.
"Ia juga dilihat maju setapak lagi apabila kita bakal menyaksikan Pusat Jantung akan dibuka di Kuala Terengganu Specialist Hospital, dalam suku pertama tahun 2021. Kerajaan Negeri juga akan membina hospital baharu di Chukai, Kemaman dengan kapasiti sebanyak 150 katil dan pembesaran Kuantan Medical Centre serta Kelana Jaya Medical Centre.
"Selain itu, pengambilalihan dan pembesaran Tawau Specialist Hospital dengan kapasiti sebanyak 75 katil akan dilaksanakan dalam suku kedua tahun 2021," jelasnya.
23 Nov 20
723
Sidang DUN : UC TATI Cadang Buka Kampus Di Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kolej Universiti TATI (UC TATI) merancang untuk membuka kampus baharu di Kuala Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, UC TATI sekarang ini sedang berusaha untuk mewujudkan kampus yang menawarkan kursus bersesuaian dengan persekitaran bandar raya ini.
“Perancangan tersebut merupakan salah satu usaha untuk menambah bilangan pelajar dan berdikari dari segi sumber kewangan di mana ketika ini UC TATI masih bergantung kepada sumber kewangan kerajaan negeri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Hilmi Harun (PAS-Manir) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Satiful berkata, UC TATI juga giat mengadakan kempen dan promosi secara atas talian dan turun padang untuk menarik lebih ramai pelajar menyambung pengajian di kolej universiti tersebut.
“Seperti universiti-universiti teknikal lain, masalah kekurangan pelajar antaranya disebabkan pelajar lepasan SPM khususnya tidak berminat untuk memilih jurusan membabitkan pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM),” ujarnya.
Justeru katanya, pelbagai usaha dirancang oleh pentadbiran UC TATI antaranya akan menambah kursus diploma atau ijazah yang menjadi keperluan dan diminati pelajar.
Sementara itu katanya, sekiranya mampu menarik 3,000 pelajar UC TATI mampu berdikari dan tidak lagi bergantung kepada kerajaan negeri.
“Kapasiti pelajar di kampus sedia ada adalah sebanyak 3,500 hingga 5,000 pelajar. Sekarang ini, kita mempunyai seramai 1,305 pelajar dan sedang berusaha untuk menambah bilangan pelajar dari semasa ke semasa,” ujarnya.
23 Nov 20
710
Belanjawan 2021: Tabung Perumahan, RM50 Juta Disediakan
KUALA TERENGGANU, 23 November - Dalam menjamin kesejahteraan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) di Terengganu, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif mewujudkan Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu bermula tahun hadapan.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif tersebut merupakan salah satu manifesto kerajaan negeri yang bertujuan untuk membantu rakyat membina rumah atas tanah sendiri dengan lebih mudah.
"Bagi menjayakan tabung pinjaman ini dan merealisasikan manifesto Kerajaan Negeri, sebanyak RM50 juta akan diperuntukkan," katanya ketika berucap membentang Belanjawan 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, Terengganu turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana meluluskan tiga projek perumahan baharu melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) iaitu Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Gasing, Marang, PPR Bukit Puteri, Besut dan Projek Program Pemajuan Kawasan di Mak Kemas, Marang melibatkan kos sebanyak RM166.5 juta.
Dalam usaha mencapai sasaran 20,000 Rumah Mampu Milik (RMM) di Terengganu, kerajaan negeri juga berusaha menyediakan lebih banyak Rumah Darul Iman (RAHMAN) untuk golongan B40 melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) selain Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS) bagi membaik pulih rumah yang mengalami kerosakan di seluruh DUN Negeri Terengganu.
23 Nov 20
2921
Belanjawan 2021 : Pusat Terapi Autisme Dibina
KUALA TERENGGANU, 23 November - Terengganu bakal memiliki Pusat Rawatan dan Terapi Austisme sendiri selepas kerajaan negeri bersetuju meluluskan pembinaannya.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pusat ‘Baitul Ummi’ dan ‘Raudhatul Jannah’ juga akan dibina dengan peruntukan RM1.4 juta.
"Kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah pusat jagaan harian warga emas Baitul Ummi, khusus untuk golongan wanita di Kuala Terengganu dan menubuhkan Terengganu Autism Care and Therapy Centre (TACTC).
"Kerajaan Negeri juga akan memulakan operasi Raudhatul Jannah, bagi melindungi golongan wanita dan kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi rumah tangga," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, bagi memastikan institusi keluarga di Terengganu terjamin pula, kerajaan negeri memberi perhatian penuh kepada Program Pemutihan 4P (Perintah Pengesahan dan Pendaftaran Perkahwinan).
"Sebanyak RM145 ribu diperuntukkan untuk program pemutihan status perkahwinan rakyat Terengganu.
"Selain itu, kerajaan negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM200 ribu untuk pembukaan tiga buah taska baharu di premis jabatan seluruh negeri Terengganu," jelasnya.
23 Nov 20
1139
Sidang DUN : PEUTER Jadi Pemudahcara
KUALA TERENGGANU, 23 November - Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) bertekad untuk menjadi peneraju utama bagi memudahcara antara agensi berkaitan dengan para usahawan dalam usaha membangunkan usahawan negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sejak ditubuhkan 23 April 2014, sebanyak 39 agensi keusahawanan pusat dan negeri telah menganggotai PEUTER.
“PEUTER dibawah kelolaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Negeri Terengganu berperanan untuk menyelaras dan mengumpul maklumat berkait aktiviti keusahawan yang dilaksanakan khusus di negeri ini terutamanya membabitkan pembiayaan, geran perniagaan, latihan dan promosi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ridzuan Hashim (PAS-Buluh Gading) mengenai objektif penubuhan PEUTER dan pencapaian sejak ianya ditubuhkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Katanya, antara pencapaian PEUTER bagi tahun ini iaitu sehingga 31 Oktober lalu, seramai 12,304 usahawan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) menikmati pembiayaan berjumlah RM130,783,494 yang diperuntukkan oleh agensi berkaitan di bawah PEUTER.
“Manakala, 713 PKS memperoleh geran berjumlah RM3,326,151 sementara untuk latihan pula sebanyak 123 program melibatkan 4,363 usahawan dan promosi 43 program dengan 6,697 usahawan,” ujarnya.
Sementara itu katanya, dalam usaha membantu usahawan PKS yang terjejas ekoran COVID-19, Bantuan Pembiayaan COVID-19 berjumlah RM4.3 juta dikeluarkan kepada 327 usahawan.
“YPU juga turut memberi insentif menerusi pengecualian sewa kepada lebih 100 penyewa premis yang dianggarkan bernilai lebih RM500,000 dalam tempoh April hingga Mei 2020,” ujarnya.
23 Nov 20
574
Sidang DUN : Tiga Strategi Utama Pacu Sektor Pelancongan Yang Terjejas
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu telah merangka Pelan Pemulihan COVID-19 dengan pendekatan tiga strategi utama bagi menyelamatkan industri pelancongan ekoran daripada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman negeri berkata, tiga strategi utama ini adalah menangani impak COVID-19 terhadap sektor pelancongan, melestari pelancongan dalam tempoh COVID-19 dan juga memacu pertumbuhan sektor pelancongan negeri.
“Pelan pemulihan ini terbukti berkesan dengan statistik kedatangan pelancong ke Terengganu selepas pandemik COVID-19 dengan pertambahan kedatangan pelancong ke produk-produk pelancongan seperti di pulau-pulau, Tasik Kenyir, Zoo Kemaman, Taman Tamadun Islam, Lata Kolam Air Deru EcoPark dan lain-lain
“Data Kadar Purata Penginapan (Average Occupancy Rate) yang telah dikeluarkan oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) juga menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soal bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato’ Rozi Mamat di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas(Bajet), hari ini.
Katanya lagi, selain tiga strategi Pelan Pemulihan COVID-19, pelbagai program aktiviti dan promosi pelancongan telah diadakan, dalam usaha untuk mengembalikan kerancakan ekonomi dalam sektor pelancongan di negeri ini semasa tempoh PKP sehinggalah PKPP .
“Kita memberi keyakinan kepada pelancong-pelancong yang sektor pelancongan negeri Terengganu seperti produk pelancongan hotel dan tempat penginapan dan lain-lain adalah selamat dari COVID-19 (building safety confidence) apabila berakhirnya Perintah Kawalan Perjalanan.
“Aktiviti promosi di media cetak dan elektronik serta meningkatkan penggunaan media sosial rasmi Beautiful Terengganu Malaysia di facebook, instagram, telegram, twitter, youtube dan We Chat diteruskan termasuk menggunakan sepenuhnya platform teknologi maklumat.
“Dan seterusnya menjadikan media sebagai media rasmi rakan strategik dan banyak lagi langkah-langkah yang telah diambil bagi merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri ini,”katanya.
23 Nov 20
378
Sidang DUN : RM57 Juta Atasi Hakisan Pantai Teluk Lipat
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM57 juta bagi menyelesaikan masalah hakisan pantai yang berlaku di Pantai Teluk Lipat, Dungun sejak beberapa tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri Dr Mamad Puteh berkata, peruntukan itu antaranya melibatkan kerja-kerja penyuburan pantai serta pembaikian struktur awam seperti laluan pejalan kaki yang rosak akibat hakisan.
“Projek ini dijangka siap akhir Ogos 2022 di mana kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja tersebut telah pun dilantik,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wan Hapandi Wan Nik (PAS-Sura) mengenai status terkini dan langkah yang diambil kerajaan negeri bagi mengatasi masalah hakisan di Pantai Teluk Lipat di Dungun, Pantai Rhu Rendang (Marang) dan kawasan pantai di sekitar Kuala Nerus pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mamad Puteh.
Sementara itu katanya, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengatasi masalah hakisan di Pantai Rhu Rendang sebagai penyelesaian jangkamasa sederhana yang dijangka dilaksanakan awal tahun hadapan.
“Cadangan projek yang melibatkan kerja- kerja penyuburan pantai sepanjang 2.5 kilometer ini sedang di peringkat penyediaan reka bentuk terperinci oleh JPS.
Bagi Pantai Kuala Nerus pula, beliau berkata JPS Negeri Terengganu sedang melaksanakan projek kawalan hakisan pantai di kawasan Kampung Telipot, Kuala Nerus.
“Projek yang menelan biaya sebanyak RM 6.147 juta ini melibatkan kerja-kerja penyuburan pantai sepanjang 500 meter dan dijangka siap pada Ogos 2021,” ujarnya.
23 Nov 20
1513
Belanjawan 2021 : RM25.5 Juta Rancakkan Pembinaan Rumah
KUALA TERENGGANU, 23 November – Peruntukan sebanyak RM25.5 juta bakal merancakkan lagi pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, projek itu adalah kesinambungan daripada tahun-tahun terdahulu bagi mencapai sasaran 20,000 RMM.
"Melalui kerjasama dengan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan memperuntukkan sebanyak RM25.5 juta bagi menyediakan lebih banyak Rumah Darul Iman (RAHMAN) untuk golongan B40 termasuklah pelaksanaan dua projek baharu iaitu RMM Bukit Gasing II, Marang dan RPMM Bukit Tumbuh, Kuala Nerus," katanya.
Ahmad Samsuri.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang ke-14 di Wisma Darul Iman hari ini.
Menurut beliau, pihaknya juga prihatin dengan keadaan rumah rakyat yang kurang berkemampuan.
“Untuk itu, kita memberi peruntukan sebanyak RM16 juta dalam projek Perumahan Terengganuku Sejahtera bagi membaik pulih rumah yang rosak,” tambah beliau.
23 Nov 20
1489
Sidang DUN : RM85,000 Naik Taraf Mahkamah Syariah
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM85,000 bagi proses pembaikian seluruh Mahkamah Syariah daerah tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, peruntukan tambahan itu diluluskan selepas kerajaan negeri melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) dan Perbendaharaan mengadakan satu siri lawatan ke seluruh Mahkamah Syariah di Terengganu.
“Tujuannya meninjau secara terperinci keperluan infrastruktur dan juga cadangan pembangunan bagi Mahkamah Syariah secara menyeluruh,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Muhammad Khalil Abdul Hadi (PAS-Batu Burok) mengenai sejauh mana tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri dalam membuat penambahbaikan Mahkamah Syariah dari segi pembangunan dan penstrukturan di seluruh Negeri Terengganu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dari segi penstrukturan pula katanya, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu sedang menyediakan satu kertas cadangan bagi menaiktaraf tiga peringkat mahkamah melibatkan yang sedia ada iaitu Mahkamah Rendah Syariah Daerah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah dengan ditambah satu lagi tingkatan mahkamah yang lebih atas.
“Tujuan penstrukturan dibuat untuk memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan hak dan pembelaan dengan lebih meluas,” ujarnya.
23 Nov 20
1461