Artikel "Sidang DUN" Terkini
Sultan Terengganu Sukacita Usaha Kerajaan Tawar Pekerjaan
KUALA TERENGGANU, 21 Mac – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa sukacita terhadap usaha kerajaan negeri menyediakan peluang pekerjaan buat rakyat.
Perkara tersebut dititah dalam titah ucapan baginda bagi Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14, hari ini.
Baginda mengambil maklum usaha pihak kerajaan menyelesaikan isu pengangguran dalam fasa dunia dilanda pandemik yang mengakibatkan ketidakstabilan ekonomi dunia dan negara.
“Inisiatif anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu TDM Plantation Sdn Bhd dengan menawarkan 800 peluang pekerjaan merupakan usaha yang harus dicontohi oleh pemain industri lain.
“Justeru, program seumpama ini perlu diteruskan dan ditingkatkan supaya isu pengangguran dapat diatasi dan kebergantungan kepada pekerja asing dapat dikurangkan,” titah baginda.
Berdasarkan rekod semasa, jumlah pencari kerja yang telah ditawarkan pekerjaan bagi tahun 2021 adalah seramai 8,500 orang.
Titah Sultan Mizan disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sewaktu sesi pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke Empat Belas yang dijadualkan bermula hari ini hingga 24 Mac.
21 Mar 22
2163
Terengganu Showcase Platform Bantu Usahawan Berkembang Maju
KUALA TERENGGANU, 21 November - Dalam memastikan usahawan kecil dan sederhana dapat mengembangkan perusahaan mereka kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan usahawan dan Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) telah menganjurkan 'Terengganu Showcase'.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, program itu menjadi platform dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan promosi produk yang diusahakan melalui Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam negara.
"Ia dapat menambahkan jualan mereka sekali gus bagi menambahkan pendapatan mereka, dalam masa terdekat ia akan diadakan di Mesra Mall yang akan berlangsung pada 22 hingga 26 Disember yang akan melibatkan seramai 20 orang usahawan.
"Manakala pada Mac 2022 kita merangka untuk mengadakan 'Terengganu Showcase' di Aeon Mall Nilai Negeri Sembilan yang akan melibatkan 35 usahawan Terengganu, kita akan melaksanakannya tiga kali dalam setahun," ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai usaha kerajaan untuk memastikan usahawan negeri ini berkembang maju katanya, pihak kerajaan juga akan turut menyertai apa jua aktiviti karnival keusahawanan samada dianjurkan oleh kerajaan mahupun swasta.
"Bagi pasaran luar negara pula pihak kerajaan negeri akan menyertai aktiviti promosi dan jualan yang dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sebagai agensi peneraju untuk mempromosikan produk tempatan di pasaran luar negara.
"Bagi tujuan berkenaan pihak YPU juga akan meneruskan beberapa program usahawan yang sedang diadakan bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka serta meningkatkan kapasiti keluaran mereka dimana ia melibatkan kerjasama pengusaha yang berada di luar negara.
"Baru-baru ini walaupun dalam menghadapi pandemik kita telah berjaya menghantar empat produk kita ke Dublin dan United Kingdom (UK), insya-Allah kita akan susuli selepas pintu negara dibuka nanti," ujarnya.
18 Nov 21
528
SIDANG DUN : Hampir Enam Ribu Warga Tani Nikmati Manfaat Bernilai RM3 Juta
KUALA TERENGGANU, 17 November – Pelaksanaan pelbagai program dan bantuan daripada Kerajaan Negeri dari Januari hingga November tahun ini telah memberi manfaat kepada sejumlah 5,949 orang warga tani dengan nilai RM3 juta.
Data tersebut dilaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim yang memperincikan jumlah tersebut melibatkan 3,447 orang petani.
“Disamping itu, seramai 622 penternak dan 1880 nelayan turut menerima nikmat pelbagai bantuan sejak bermulanya Tahun Pertanian Terengganu (TPT) 2021.
“Apabila tamat pelaksanaan TPT 2021 pada Januari 2022 nanti, Sekretariat TPT bertanggungjawab mengukur pencapaian dan keberkesanan kepada semua golongan sasar melalui soal selidik di lapangan.
“Sekretariat TPT turut bertanggungjawab memantau pelaksanaan serta menyediakan perancangan untuk menambahbaik Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan bajet 2022 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri, semalam.
Tambahnya, Terengganu turut menyediakan perancangan kearah penubuhan Perbadanan Pertanian Negeri Terengganu.
“Negeri-negeri lain yang menjadikan pertanian sebagai teras ekonomi rakyat mempunyai perancangan yang bersistematik melalui Perbadanan Pertanian Negeri.
“Terengganu juga mempunyai perancangan ke arah penubuhan Perbadanan ini melalui perancangan yang tuntas dan berbekalkan data yang tepat,” katanya lagi.
18 Nov 21
209
SIDANG DUN : Hospital Dungun Dijangka Siap April Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 18 November - Projek pembinaan Hospital Dungun yang baharu bernilai RM118 juta dijangka siap April tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, hospital yang beberapa kali tertangguh pembinaannya itu akan diserahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada Januari tahun depan.
Katanya, penyebab utama kelewatan adalah disebabkan berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Apabila terpaksa berdepan dengan keaadaan itu, pekerja asing terpaksa dihantar ke negara asal dan masih tidak dapat kembali untuk berkerja ke negara ini, kelewatan penerimaan barang kerana masalah pengangkutan dan terpaksa berdepan dengan guna tenaga kerja,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Untuk rekod Hospital Dungun yang dibina di atas tanah seluas 6.13 hektar dengan kapasiti 110 buah katil itu bakal yang dilengkapi kemudahan termasuk wad pesakit, wad bersalin, dewan bedah serta perkhidmatan doktor pakar.
Apabila siap kelak, ianya dapat mengatasi kesesakan dan masalah banjir yang sering berlaku di hospital lama.
18 Nov 21
602
SIDANG DUN : Terengganu Haramkan Penjualan Telur Penyu Sepenuhnya
KUALA TERENGGANU, 18 November - Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini telah meluluskan pindaan Enakmen Penyu (Pindaan 2021).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, pindaan ini dibuat bagi memastikan aktiviti penguatkuasaan dan pemuliharaan penyu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
"Pindaan ini akan dikuatkuasakan pada 1 Jun 2022 nanti.
"Ia juga bertujuan untuk mengekalkan khazanah berharga negeri yang menjadi ikon kepada negeri ini.
Dr. Azman Ibrahim
Tambah Dr. Azman, Enakmen yang telah diluluskan pada 1951 ini telah dipinda buat pertama kali pada tahun 1987 dan pada tahun 1989 ia telah dipinda buat kali kedua.
"Jika dahulu kita hanya melarang penjualan telur penyu belimbing sahaja.
"Melalui pindaan ini, kita telah melarang penjualan telur bagi semua spesies penyu di negeri ini.
"Pindaan ini juga membolehkan penubuhan sesuatu tabung pemuliharaan dan
penggenaan sesuatu caj dapat dilaksanakan melalui penubuhkan Tabung Amanah Pemeliharaan Penyu," katanya ketika ditemubual selepas Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri hari ini.
Jelas Dr. Azman, pindaan ini juga telah menaikkan kadar hukuman sedia ada kepada RM 50,000 hingga RM 250,000.
"Pindaan kadar hukuman ini adalah bertujuan untuk mencegah, bukan untuk menghukum rakyat kita," katanya.
18 Nov 21
294
Nuridah Dipilih Semula Sebagai Ahli Dewan Negara Terengganu
KUALA TERENGGANU, 18 November - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini bersetuju memilih semula, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Senator Nuridah Mohd Salleh sebagai Ahli Dewan Negara bagi mewakili negeri berkenaan.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan pelantikan beliau apabila Speaker DUN, Dato' Yahaya Ali mengumumkan usul Pemilihan Ahli Dewan Negara selepas terdapat kekosongan jawatan berkenaan.
“Semoga dengan penyertaan beliau sebagai mewakili negeri Terengganu dalam Dewan Negara akan dapat memberikan suatu sumbangan kepada agama, negara dan negeri," ujar Ahmad Samsuri pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Nuridah yang merupakan ibu kepada 10 orang anak dan lapan cucu mendapat pendidikan awal di Sekolah Agama Kuala Rompin.
Beliau yang juga berpendidikan dalam pengajian Ijazah Perubatan Islam Darusyifa’ dan Diploma Pendidikan Islam Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta berpengalaman dalam misi kemanusiaan ke Syria, Bangladesh, Myammar, German dan lain-lain.
Tambah lagi, beliau turut aktif dalam bidang politik sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat sebagai Timbalan Pengerusi Lajnah Penguatkuasaan dan Ketua Dewan Muslimat Wilayah Persekutuan serta giat dalam pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO).
18 Nov 21
701
SIDANG DUN : Proses Pemuliharaan Muara Sungai Dungun Sedang Berjalan
KUALA TERENGGANU, 17 November – Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengangkat permohonan bagi cadangan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun yang kini telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, kelulusan di dalam Rolling Plan-4 dianggarkan bernilain RM250 juta.
“Kini projek tersebut berada di peringkat penyediaan reka bentuk terperinci oleh perunding bermula Disember 2020.
“Jangkaan siap sepenuhnya reka bentuk pada Mac tahun hadapan.
“Projek ini akan dilaksanakan setelah semua prosedur perolehan kontrak diselesaikan sewajarnya yang dijangka pada pertengahan tahun 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab perkara berbangkit oleh Rantau Abang semasa perbahasan bajet 2022 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri, semalam.
Menjelaskan status terkini cadangan Projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), Dr Mamad menambah, projek ini sedang dalam peringkat pelaksanaan kerja-kerja awalan melibatkan kajian, ujian tanah dan sebagainya.
“Laporan bagi kerja-kerja awalan ini telah telah di peringkat akhir penyediaan dan dijangka dibentangkan kepada Kementerian Kewangan pada Mac 2022.
“Kerajaan Negeri telah dimaklumkan bahawa Projek Lebuh Raya Pantai Timur (Fasa 3) LPT 3 telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Projek ini melibatkan jajaran laluan daripada Gemuruh - Pemaisuri Kampung Raja-Tok Bali sepanjang 100KM. Anggaran awal bagi kos pelaksanaan projek ini adalah RM2.8 bilion,” katanya lagi.
18 Nov 21
890
Sidang DUN : Nasib Perantau Terbela, Tidak Dipinggir
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan negeri melalui Sekretariat Kepimpinan Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan yang telah ditubuhkan berperanan untuk memantau kebajikan golongan terbabit dan membela nasib mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata melalui penubuhan sekretariat berkenaan pada Februari 2020 pelbagai perancangan telah diatur termasuk mengadakan jelajah seluruh Malaysia membabitkan kepimpinan utama negeri.
"Namun ia hanya sempat diadakan di Johor bersama Menteri Besar,Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di mana untuk negeri-negeri lain ia terpaksa ditangguhkan kerana Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Namun begitu kerajaan mengambil langkah sepanjang berlakunya PKP dimana kerajaan meluluskan bantuan dua tahun berturut-turut dimana melalui persatuan anak-anak Terengganu pada tahun 2020 ketika mula-mula PKP dilaksanakan telah menyalurkan bantuan RM50,000.
"Manakala bagi tahun 2021 kerajaan telah menyediakan bantuan kewangan secara 'one-off' menerusi bantuan Covid-19 2.0 pada pertengahan Jun dengan jumlah RM100,000 dimana sebanyak 500 keluarga di seluruh Malaysia.
"Termasuk Sabah dan Sarawak terdiri daripada isi rumah yang berpendapatan rendah, kurang daripada RM3,000 setiap bulan telah menerima bantuan berkenaan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN PAS) Ajil, Maliaman Kassim pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Pada tahun hadapan katanya, kerajaan berhasrat menganjurkan suatu program khusus untuk mengadakan pertemuan dengan perantau seluruh negara.
"Kita akan adakan mengikut zon bagi memberi penerangan berkenaan kejayaan yang telah dicapai melalui inisiati yang telah dilaksanakan oleh kerajaan menerusi kerjasama agensi yang ada," katanya.
18 Nov 21
154
Pelaksanaan Program Pendidikan Pengundi Libatkan 7,006 Pelajar
KUALA TERENGGANU, 17 November - Seramai 7,006 orang pelajar di negeri ini membabitkan 14 buah institusi pengajian tinggi dan enam buah sekolah telah dilibatkan dalam pelaksanaan Program Pendidikan Pengundi (Voter Education-VE).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia bertujuan untuk memberi kefahaman golongan berkenaan terhadap proses pilihan raya yang dijalankan di Malaysia.
"Bagi mempersiap siaga golongan belia agar menjadi warganegara yang bertanggungjawab dengan melibatkan diri dalam Pilihan Raya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Penggulungan Bajet 2022, di Mesyuarat kedua Penggal Ke-14, Dewan Undangan Negeri, di sini, pada hari ini.
Selain itu katanya, kerajaan negeri melalui Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu turut memperkenalkan Program Generasi Muda Terengganu Sejahtera (GMTS).
"Program ini diharapkan agar melahirkan anak muda yang berkepimpinan dan mempunyai pengikut.
"Serta menerapkan minda mereka kepada politik matang dan sejahtera," ujarnya.
18 Nov 21
114
‘Abang Long Sebuah Parti Mahukan Tiga Penjuru’
KUALA TERENGGANU, 17 November – Sikap ‘abang long’ ketua sebuah parti politik menjadi punca kegagalan perundingan dua penjuru dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka meskipun persetujuan telah dicapai.
Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pada awalnya perbincangan untuk membentuk kerjasama tiga parti dalam PRN Melaka berjaya menemui jalan penyelesaian setelah pertemuan tiga parti berjaya diadakan.
“Saya kena sebut bahawa pertemuan ini mendapat mandat ketua parti masing-masing, ia diadakan pada Rabu 27 Oktober 2021 yang diwakili lima pemimpin UMNO, dua PAS dan dua Bersatu kemudian kali kedua pada Jumaat 29 Oktober 2021 dihadiri enam UMNO, dua PAS, tiga Bersatu.
“Dalam pertemuan itu beberapa persetujuan telah dicapai, dan cadangan 'pre-election agreement' dirangka untuk kerjasama berlaku di PRN Melaka.
“Namun begitu, langit tidak selalu cerah. Rabu, 3 November 2021, pasukan perunding dalam kekecewaan dimaklumkan bahawa ada seorang ketua parti yang akhirnya tidak bersetuju dan tetap mahu tiga penjuru.
“Memang semua kecewa, tapi apa nak buat, sikap Abang Long inilah yang mengganggu kerjasama bersama kita,” katanya ketika Ucapan Penggulungan Bajet 2022 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Justeru, bagi menjayakan agenda perpaduan beliau berkata semua pihak perlu berlapang dada, ikhlas dan mampu untuk mengelakkan dari mempunyai beberapa ciri yang boleh merosakkan usaha.
“Ciri yang boleh merosakkan usaha perbincangan atau perundingan antaranya ialah, sikap Abang Long dalam apa jua perundingan, sikap samseng Kampung Dusun, iaitu watak Sarip Dol dalam filem Seniman Bujang Lapok, dan sikap tamak haloba mementingkan diri seperti watak Abdul Wahab dan Abdul Wahib, iaitu anak Ismet Ulam Raja dalam Filem Tiga Abdul,” ujarnya.
Terdahulu Ahmad Samsuri berkata, generasi muda berumur 18 tahun dan ke atas kebanyakannya tidak berparti, mereka hanya mahu masalah mereka dibela dan dijaga oleh kita semua yang menjadi pemimpin.
Oleh itu amat penting katanya, ketiga-tiga parti Melayu ini berganding bagi mengelakkan kerajaan ‘scammer’ yang memerintah 22 bulan kembali.
“Kita semua ada kelemahan. Kita harus melihat bahawa sekiranya kita gagal berpakat, ia adalah kerana kelemahan kita juga. Sekiranya tiga parti ini gagal merendahkan egonya, akan kembalinya sengsara 22 bulan semasa kerajaan 'scammer'.
“Adakah kita lupa tempoh 22 bulan kita dikelirukan oleh mereka yang menjanjikan bulan dan bintang dalam PRU-14 dan apabila mereka menang mereka mengaku gagal melaksanakan janji pilihan raya,” tambah beliau.
17 Nov 21
3005