lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

Bantuan Kepada Usahawan Terengganu Naik Mendadak Sejak 2019
Bantuan Kepada Usahawan Terengganu Naik Mendadak Sejak 2019
KUALA TERENGGANU, 17 November – Jumlah usahawan yang menerima bantuan kerajaan Terengganu seljak 2019 meningkat dengan ketara berbanding tahun-tahun sebelum itu. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, ia membuktikan bahawa kerajaan sedia ada prihatin dan bersedia membantu usahawan. Katanya, kami di Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan berusaha sehabis daya bagi mencapai hasrat kerajaan.  “Sebelum 2018 hanya sekitar 100 orang sahaja setahun yang menerima bantuan kerajaan melaui YPU tetapi sejak 2019 lebih 400 orang setahun usahawan Terengganu telah disantuni. “Jumlah peruntukan kali ini yang diluluskan sekali ganda dari tahun sebelumnya, saya yakin dan percaya lebih ramai lagi usahawan yang dapat kita bantu, insya-Allah,” katanya. Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan Bajet 2022 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri, hari ini. Nurkhuzaini turut berkata, peruntukan RM10 juta untuk tabung usahawan sejahtera (TUGAS) tahun depan membolehkan pihaknya membantu lebih ramai usahawan terjejas akibat COVID-19. 
17 Nov 21
291
SIDANG DUN : Ungkit Isu Lapuk Rosakkan Muafakat
SIDANG DUN : Ungkit Isu Lapuk Rosakkan Muafakat
KUALA TERENGGANU, 17 November – Mengungkit isu lapuk dan terpencil yang tidak menggambarkan sikap sebenarnya satu-satu pihak hanya akan merosakkan hubungan terjalin sedia ada.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim menegaskan isu seperti solat dua imam yang diungkit ADUN Hulu Besut menyebabkan kita dihimpit masalah dalam membuka lembaran sejarah baru atau perpaduan lebih meyakinkan. “Sebenarnya pintu perpaduan melayu tidak pernah tertutup. Saya mendapat pendidikan di Maahad Darul Quran, Rusila dalam tempoh 7 tahun. Mengikuti pengajian dengan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hampir setiap minggu melalui kuliah pagi Jumaat.  “Saya sering kali mengunjungi masjid-masjid kerajaan walaupun waktu itu bukan PAS yang memerintah negeri. Saya bermakmumkan imam yang bertugas.  “Kerana sepanjang kami menuntut ilmu tidak pula diberikan ajaran seperti yang didakwa Hulu Besut.  Malah kami menjadi makmum di belakang Imam di masjid-masjid kerajaan sebelum Muafakat Nasional dilangsungkan lagi. Sewaktu kami dahulu di kerusi pembangkang,” jelasnya menjawab tuduhan Nawi Mohamad. Menurut beliau lagi, tidak cukup dengan itu, Almarhum Tuan Guru Ustaz Harun Taib bersolat Jumaat di masjid-masjid kerajaan di kawasannya sewaktu bergelar wakil rakyat Manir pada waktu itu. “Ini menunjukkan, ulama PAS tidak pula melakukan dua imam dan seumpamanya. Walaupun begitu, kita tidak menafikan ada segelintir yang memainkan sentimen ini. Sebahagian mereka ada yang telah pun meninggalkan PAS, ini sejarah,” jelasnya menafikan solat dua imam adalah ajaran PAS. Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar semua pihak tidak lagi membangkitkan isu yang tidak jelas intipatinya kerana boleh menjejaskan muafakat. “Sangat wajar untuk kita melihat masa depan Melayu dan Islam sebagai keutamaan dalam negara kita. Bukan sahaja melihat dalam neraca negeri Terengganu, malah perlu dilihat secara lebih holistik di peringkat nasional,” ujar beliau.
17 Nov 21
678
Tiada Hutan Simpan Kekal Terengganu Dijadikan Kawasan Pembalakan – MB
Tiada Hutan Simpan Kekal Terengganu Dijadikan Kawasan Pembalakan – MB
KUALA TERENGGANU, 17 November – Tiada Hutan Simpan Kekal (HSK) di Terengganu yang dijadikan kawasan pembalakan, kata Menteri Besar. Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan perkara itu bagi menjawab soalan yang dibangkitkan ADUN Langkap, Sabri Mohd Noor. “Tiada kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) yang telah diwartakan dan berfungsi sebagai Hutan Tadahan Air terlibat atau telah dibatalkan bagi tujuan pembalakan,” katanya. Beliau berkata demikian dalam di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
17 Nov 21
500
SIDANG DUN : Liputan 4G Di Terengganu Bakal Capai 96 Peratus
SIDANG DUN : Liputan 4G Di Terengganu Bakal Capai 96 Peratus
KUALA TERENGGANU, 17 November – Terengganu menjangkakan peratusan liputan jalur lebar mudah alih 4G akan mencapai 96.18 peratus bagi kawasan berpenduduk di dalam negeri setelah semua projek di bawah pelan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa 1 siap. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, sebanyak 112 struktur komunikasi baharu akan dibina dalam fasa 1 tersebut. “Ini termasuk 1,109 stesen pemancar akan dinaik taraf kepada liputan 4G/LTE dan 123,246 premis akan diliputi gentian optik (FTTH) dan dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2022. “Sehingga suku ke 3 tahun 2021, sebanyak 33 struktur pemancar baharu telah siap dan 762 struktur pemancar telah dinaik taraf kepada liputan 4G/LTE demi memastikan kesalinghubungan liputan rangkaian 4G. “Perkembangan ini bakal menggantikan secara tetap liputan rangkaian 3G yang akan ditutup pada hujung tahun ini,” katanya. Beliau berkata demikian semasa penggulungan bajet 2022 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri, hari ini. Tambahnya, bagi liputan talian tetap sebanyak 26,398 premis telah diliputi gentian optik (FTTH) yang mampu memberikan liputan internet yang lebih pantas dan stabil berkelajuan sehingga 100 Gigabit per second (Gbps). “Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini telah menyumbang kepada peningkatan peratusan liputan rangkaian 4G di kawasan berpenduduk di Negeri Terengganu dari 93.68 peratus pada suku kedua tahun 2020 kepada 94.22 peratus setakat suku kedua tahun 2021. “Sasaran telah ditetapkan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) iaitu 100 peratus kawasan berpenduduk akan mendapat rangkaian liputan 4G berkelajuan purata 100 Megabyte per second menjelang tahun 2025 termasuk di Negeri Terengganu.
17 Nov 21
51
Kerajaan Belanja Lebih RM6 Juta Baiki Paip ‘Usang’, Tertinggi Sejak 2015
Kerajaan Belanja Lebih RM6 Juta Baiki Paip ‘Usang’, Tertinggi Sejak 2015
KUALA TERENGGANU, 17 November - Kerajaan Terengganu membelanjakan RM6.313 Juta pada tahun 2019 bagi menggantikan paip air lama yang kebanyakannya berusia lebih 40 tahun di banyak lokasi seluruh negeri. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, berdasarkan semakan yang dibuat peruntukan itu adalah tertinggi sejak 2015. Katanya, langkah itu sangat penting bagi mengatasi masalah paip-paip lama yang sering pecah sehingga menyebabkan berlaku gangguan bekalan air. “Saya rakamkan ucapan terima kasih buat kerajaan negeri yang telah berusaha untuk menyokong kerja-kerja penggantian paip lama. “Rekod yang saya terima untuk kerja-kerja gentian paip lama bermula tahun 2015-2020 adalah seperti berikut, RM486,894 pada 2015, 2016 tiada peruntukan, 2017 sebanyak RM1.181 juta dan 2018 juga tiada peruntukan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika perbahasan Bajet 2022 di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini. Hishamuddin turut berharap agar pengumuman peruntukan sebanyak RM40 juta bagi perbelanjaan bekalan air dalam Belanjawan 2022 dapat dilaksanakan kerajaan negeri bagi memastikan masalah air tidak berlaku. “Seingat saya peruntukan pada tahun ini juga agak tinggi untuk bekalan air dana berterusan sehingga tahun hadapan.  “Komitmen ini menunjukkan bawah Kerajaan Negeri Terengganu kini meletakkan keutamaan yang tinggi dalam memastikan kesejahteraan rakyat,” tambah beliau.
17 Nov 21
290
SIDANG DUN : Terengganu Galakkan Penggunaan Sistem Penuaian Air Hujan
SIDANG DUN : Terengganu Galakkan Penggunaan Sistem Penuaian Air Hujan
KUALA TERENGGANU, 17 November – Kerajaan Negeri amat menggalakkan penggunaan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) dalam projek-projek pembangunan khususnya projek perumahan dan bangunan kerajaan. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, SPAH merupakan salah satu kaedah Best Management Practice (BMP) dalam pengurusan air larian permukaan secara kawalan dipunca (control at source). “Selain melambatkan aliran air larian permukaan, SPAH juga dapat mengoptimumkan penggunaan air secara efisien. Antara bangunan yang menggunakan SPAH adalah pejabat JPS Daerah Dungun dan Kilang Eletronik LED di Perindustrian Gong Badak. “Kerajaan Negeri melalui JPS juga telah mensyaratkan pematuhan kepada pemakaian garis panduan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) edisi ke-2 tahun 2012. “Dalam setiap permohonan pembangunan bagi tujuan pengurusan air larian permukaan yang berkesan dengan menyediakan struktur-struktur kawalan dipunca seperti On-site detention (OSD), kolam takungan dan lain-lain struktur,” katanya. Beliau berkata demikian semasa menjawab perkara berbangkit oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi semasa perbahasan bajet 2022 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri, semalam. Terdahulu, Muhammad Khalil mencadangkan penggunaan Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH) yang lebih banyak di Terengganu seperti negara-negara maju seperti Jepun dan Australia. “Bagi menukar musibah kepada kebaikan melalui rawatan air tersebut, antara manfaat sistem tersebut adalah ia mengurangkan kesan banjir kilat dan mengatasi krisis bekalan air dengan bekalan asas digunakan semula. “Kita perlu manfaat dan maskimakan sumber air supaya dapat dimanfaat oleh rakyat,” katanya lagi.
17 Nov 21
257
SIDANG DUN : Tunggakan Hutang LPT2 RM1.43 Bilion Masih Dituntut
SIDANG DUN : Tunggakan Hutang LPT2 RM1.43 Bilion Masih Dituntut
KUALA TERENGGANU, 17 November - Kerajaan Persekutuan masih mempunyai tunggakan hutang dengan Terengganu sebanyak RM1.43 bilion bagi pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2). Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah sebenar yang dibiayai oleh Kerajaan Terengganu bagi pembinaan lebuh raya itu ialah sebanyak RM1.85 bilion. Katanya, ketika ini kerajaan negeri sedang berunding dengan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan semula wang kerajaan negeri yang digunakan untuk projek berkenaan. "Keadaan terkini ada dinyatakan menerusi satu surat ditandatangani oleh seorang individu di Kementerian Kewangan yang beranggapan Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai apa-apa hutang dengan kerajaan negeri sehingga 2021. "Namun, kerajaan negeri berpandangan masih ada urusan kewangan yang belum diselesaikan Kerajaan Persekutuan. "Apa yang ada dalam makluman kerajaan negeri ia sudah dipersetujui dan ada kertas kabinet pada waktu itu yang memberi kelulusan pembayaran balik kepada kerajaan negeri,” katanya. Beliau berkata demikian dalam jawapan lisan bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini. Katanya, perkara itu dapat dilihat apabila sejumlahnya telah diberikan dalam bentuk 'in-kind' kepada kerajaan negeri yang sekiranya tidak bayar 'in-kind itu mestilah tidak mengiktiraf sebagai satu hutang. “Insya-Allah, kita komited untuk terus berusaha memastikan baki itu diperoleh kerajaan negeri," kata Ahmad Samsuri. Menjawab soalan tambahan ADUN Telemong, Dato’ Rozi Mamat mengenai persetujuan Kerajaan Persekutuan membayar sejumlah hutang kepada kerajaan negeri setiap tahun, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri sedang berusaha memperoleh pembayaran LPT2 daripada Kerajaan Persekutuan. "Apa yang dibangkitkan adalah pembayaran LPT1 yang mana pembayaran LPT1 berjumlah kira-kira RM200 juta itu berakhir tahun lalu. "Sebab itu kita sedang berusaha memperoleh pembayaran LPT2 daripada Kerajaan Persekutuan," katanya. Untuk rekod, jumlah sebenar yang dibiayai Kerajaan Negeri Terengganu bagi pembinaan lebuh raya itu ialah sebanyak RM1.85 bilion, manakala jumlah yang sudah disalurkan kepada kerajaan negeri sehingga Jun 2019 berjumlah RM418.5 juta.  
17 Nov 21
1237
Terengganu Bentuk Modul Kursus Kahwin Baharu Bendung Kes Cerai
Terengganu Bentuk Modul Kursus Kahwin Baharu Bendung Kes Cerai
KUALA TERENGGANU, 16 November – Kerajaan negeri akan membentuk satu modul baharu berkaitan dengan kursus pra-perkahwinan bagi mengelakkan peningkatan kes penceraian daripda terus berlaku. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, sememangnya angka kes perceraian menjadi kebimbangan kepada semua pihak terutama apabila melibatkan pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan.  “Oleh itu kerajaan negeri juga bersama-sama mengambil langkah untuk membendung kes perceraian daripada berlaku untuk masa akan datang.  “Antara langkah lain yang akan dilaksanakan oleh kerajaan ialah mewujudkan mentor mentee dalam kalangan penjawat awam atau koperat dan orang awam, membina modul khas kemahiran menguruskan kewangan menganjurkan program kesedaran motivasi bulanan dan meneruskan program bulan madu,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media ketika Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini. Terdahulu, Mohd Nor memaklumkan terdapat 6,656 kes pembubaran perkahwinan atau penceraian di Terengganu sepanjang tempoh dua tahun bermula tahun lalu.  Katanya, banyak faktor yang menyebabkan perkara itu berlaku antaranya campur tangan keluarga, kurangnya penghayatan pendidikan agama Islam, tiada persefahaman, masalah kewangan, faktor ekonomi, pengaruh media sosial, tidak bertanggungjawab dan campur tangan keluarga. “Ada juga berkaitan kehadiran orang ketiga, kegagalan komunikasi, tidak adil dalam berpoligami, masalah penagihan dadah, keganasan rumahtangga, penderaan mental dan fizikal serta cemburu. “Kategori umur yang terbabit dengan kes penceraian adalah dalam lingkungan 21 sehingga 65 tahun,” katanya.
16 Nov 21
437
Kerajaan Negeri Tanggung RM6.46 Juta Kecualikan Sewa Premis Kerajaan
Kerajaan Negeri Tanggung RM6.46 Juta Kecualikan Sewa Premis Kerajaan
KUALA TERENGGANU, 16 November - Kerajaan Terengganu menanggung kos kira-kira RM6.46 juta susulan pengecualian bayaran sewa premis milik kerajaan negeri akibat penularan Covid-19. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri menerusi Majlis Bandar Raya dan Majlis Daerah sepatutnya mengutip sewaan kira-kira RM10.76 juta bagi tempoh lima bulan iaitu April hingga Jun 2020 serta Jun dan Julai lalu. Jelasnya, terdapat 8,116 premis di bawah kerajaan negeri yang membabitkan kutipan sewa sebanyak RM5,974,665 juta namun, diberikan pengecualian sewaan sebanyak RM3,150,315 juta bagi tempoh tiga bulan bermula April tahun lalu. Beliau berkata, pengecualian diberikan kepada peniaga khususnya yang menyewa premis di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Terengganu. “Untuk rekod, PBT yang paling terkesan adalah Majlis Bandar Raya Kuala Terengganu (MBKT) dengan pengecualian sewaan sebanyak RM832,500 berbanding RM1.665 juta jumlah sewaan yang sepatutnya dikutip diikuti Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) membabitkan pengecualian sebanyak RM578, 670 (RM1,157,340 jumlah sewaan). “Kita sekali lagi membuat pengecualian kutipan sewa terhadap 8,529 premis bagi tempoh dua bulan bermula Jun lalu dengan menanggung kos kira-kira RM3.314,913.74 juta berbanding RM4,790,282.80 juta jumlah sewaan yang sepatutnya dikutip. “Bagi tempoh dua bulan itu, MBKT turut merekodkan jumlah pengecualian tertinggi iaitu sebanyak RM846,004 berbanding RM1.1 juta sewaan yang sepatutnya dikutip diikuti Majlis Perbandaran Dungun yang merekodkan pengecualian sebanyak RM530,538.50 berbanding RM911,407 jumlah sewaan yang sepatutnya dikutip,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut) berhubung jumlah kutipan sewa premis milik Majlis Bandaraya dan Majlis Daerah yang sepatutnya dikutip namun diberi pengecualian atau potongan susulan penularan Covid-19. Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tunggal berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga bersetuju menanggung 50 peratus bagi membayar hasil sewaan premis PBT dan bersetuju menghapus kira 50 peratus hasil sewaan premis akibat PKP bagi tempoh tiga bulan bermula April tahun lalu. “Pengecualian bayaran sewa premis perniagaan bagi tahun ini hanya diberikan kepada premis yang memenuhi kriteria-kriteria yang diputuskan MMKN iaitu premis-premis perniagaan yang terkesan akibat penutupan ekonomi berikutan PKP 3 dan premis-premis dengan kadar sewa tidak melebihi RM5,000 sebulan kecuali sewaan tapak Menara komunikasi,” katanya. - Harian Metro.    
16 Nov 21
252
SIDANG DUN : Campur Tangan Keluarga Antara Punca Penceraian
SIDANG DUN : Campur Tangan Keluarga Antara Punca Penceraian
KUALA TERENGGANU, 16 November - Campur tangan keluarga merupakan antara punca berlakunya 6,656 kes pembubaran perkahwinan atau penceraian di Terengganu sepanjang tempoh dua tahun bermula tahun lalu.  Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, merujuk kepada statistik itu sebanyak 4,132 kes didaftarkan pada 2020, manakala bagi tahun ini sehinga 27 Oktober lalu adalah sebanyak 1,753 kes. Katanya, mengikut pecahan daerah, Mahkamah Syariah (MS) Kuala Terengganu merekodkan jumlah kes peceraian tertinggi iaitu melibatkan 1,923 pasangan, dikuti MS Kemaman (1,151 kes), MS Dungun (1,003 kes), MS Besut (971 kes) MS Marang (751 kes) MS Hulu Terengganu (381 kes) dan MS Setiu pula mencatatkan 372 kes. “Kategori umur yang terbabit dengan kes penceraian adalah dalam lingkungan 21 sehingga 65 tahun. “Antara sebab menjadi punca perceraiaan kurangnya penghayatan pendidikan agama Islam, tiada persefahaman, masalah kewangan, faktor ekonomi, pengaruh media sosial, tidak bertanggungjawab dan campur tangan keluarga. “Ada juga berkaitan kehadiran orang ketiga, kegagalan komunikasi, tidak adil dalam berpoligami, masalah penagihan dadah, keganasan rumahtangga, penderaan mental dan fizikal serta cemburu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud di Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Belas (Bajet) di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini. Melihat keadaan itu, kerajaan negeri akan menambahkan baik Kursus Pra Perkahwinan sedia ada untuk tahun depan. “Wujud modul khas berkaitan perancangan ekonomi dan  kewangan keluarga,  meneruskan program bulan madu kedua anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan melantik kaunselor bertauliah,” ujarnya.  
16 Nov 21
429