lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

Galak Wanita Ceburi Bidang Sains, Kejuruteraan
Galak Wanita Ceburi Bidang Sains, Kejuruteraan
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Kaum wanita digalakkan untuk menceburi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara lebih aktif. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata peratus keterlibatan wanita dalam bidang tersebut jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kaum lelaki.  Menurut beliau, data daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mendedahkan lebih 70 peratus penyelidik dalam STEM adalah lelaki manakala wanita pula kurang 30 peratus. "Begitu juga di peringkat pengajian tinggi, direkodkan hanya 30 peratus pelajar perempuan memilih untuk menceburkan diri dalam bidang STEM. "Saya mencadangkan agar kerajaan memanfaatkan kewujudan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dengan merangka program yang bersesuaian, yang mana kumpulan fokusnya adalah wanita dengan mengambil model daripada MOSTI untuk turut diaplikasi di PSKT. "Suka saya mencadangkan satu insentif khas diberikan buat wanita Terengganu yang menceburi bidang ini," tambahnya. Beliau berkata demikian ketika dalam berucap dalam Perbahasan Ucapan Titah Tuanku dalam Sidang DUN di Wisma Darul Iman, sebentar tadi. Zuraida menegaskan bahawa perlunya wujud usaha untuk menarik wanita bagi menceburi bidang STEM. "Saya teguh dengan pendirian sepertimana yang telah dilontarkan dalam sidang yang lalu, mereka ini wajar mendapat galakan serta diberi bimbangan sebagai pemangkin untuk menceburi bidang ini," ulasnya lagi.  
23 Mar 22
397
Kerajaan Digesa Tubuh Pusat Pemurnian Akidah, Akhlak
Kerajaan Digesa Tubuh Pusat Pemurnian Akidah, Akhlak
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Cadangan penubuhan Pusat Pemurnian Akidah dan Akhlak, Baitul Iman akan membantu mengatasi masalah ketiadaan pusat pelindungan kepada pesalah syariah wanita Negeri Terengganu. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor, Mahkamah Syariah memerintahkan pesalah ditahan di suatu rumah kebajikan yang diluluskan oleh Majlis selama tempoh tidak melebihi enam bulan. Namun, masalah utamanya adalah sehingga kini, masih belum ada mana-mana pusat atau rumah yang diluluskan bagi tujuan tersebut dalam Negeri Terengganu. "Sekiranya Mahkamah Syariah Terengganu memutuskan pesalah dikenakan tahanan di pusat pemulihan atau rumah diluluskan, maka pesalah akan dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor. "Manakala bagi pesalah lelaki, mereka akan dihantar ke Baitul Iman, Hulu Yam, Selangor," ujarnya. Zuraida berkata demikian ketika dalam berucap dalam Perbahasan Ucapan Titah Tuanku dalam Sidang DUN di Wisma Darul Iman, pada hari ini. Kata Zuraida Kos untuk menghantar pelatih ke sana akan ditanggung oleh pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), dengan kadar RM7,080 bagi tempoh enam bulan untuk seorang pelatih. "Antara rasional mengapa perlunya pusat ini diwujudkan di Terengganu ialah kerana pesalah wanita akan ditempatkan ke pusat pemulihan yang terletak di Selangor yang sudah tentu akan memakan masa perjalanan yang panjang dan jarak yang jauh serta pesalah juga terpaksa dimasukkan ke lokap sebelum dibawa ke pusat pemulihan. "Di samping itu, pesalah berhadapan dengan risiko kemalangan di jalan raya kerana menggunakan pengangkutan darat selain kos tanggungan dapat dijimatkan. "Saya dimaklumkan bahawa kerajaan negeri di bawah Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Ustaz Satiful Bahari Mamat bercadang untuk membina pusat pemulihan akhlak dan aqidah di Marang dan saya mencadangkan agar pusat tersebut turut membawa fungsi sebagai Pusat Pemurnian Aqidah dan Akhlak untuk pesalah wanita, dengan cadangan nama Baitul Iman," katanya.  
23 Mar 22
582
Kes Jenayah Syariah Terengganu Menurun Lebih 50 Peratus
Kes Jenayah Syariah Terengganu Menurun Lebih 50 Peratus
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Jumlah kes kesalahan jenayah syariah yang dihadapkan ke Mahkamah Syariah menurun sebanyak 50 peratus bagi tahun 2021 berbanding 2020. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, statistik kes kesalahan tersebut menurun dengan ketara bagi tahun 2021.  “Berdasarkan laporan statistik yang direkodkan, jumlah kes kesalahan jenayah syariah bagi tahun 2020 adalah sebanyak 969 kes manakala bagi tahun lepas (2021) menurun hingga 426 kes. “Bagi tahun 2021, kesalahan tertinggi yang direkodkan adalah kes khalwat iaitu sebanyak 297 kes diikuti kesalahan berhubung akad nikah 26 kes,” tambah beliau ketika menjawab soalan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). Satiful Bahri menyebut angka tersebut bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkenaan bilangan kes jenayah syariah di negeri.  Menurutnya juga, kesalahan-kesalahan jenayah syariah itu termaktub dalam Enakmen Kesalahan jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
23 Mar 22
833
Tidak Bubar DUN Selamat Duit Rakyat
Tidak Bubar DUN Selamat Duit Rakyat
KUALA TERENGGANU, 23 Mac- Langkah kerajaan Terengganu untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri sehingga tamat tempohnya adalah tepat bagi 'menyelamatkan' duit rakyat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kebajikan masyarakat perlu dijadikan fokus utama ketika ini berbanding  kepentingan individu-individu tertentu. "Sekarang adalah masa untuk memberikan kebaikan kepada rakyat dengan menunaikan janji-janji, kita tidak mahu rakyat terjejas sebagaimana yang berlaku di Melaka dan Johor kerana ratusan juta duit rakyat dihabiskan begitu sahaja sedangkan kerajaan sudah berada dalam keadaan stabil pada ketika ini. "Tiba-tiba dibubarkan DUN jadi kita tidak mahu rakyat dipergunakan dan diperkotak-katikan oleh ahli-ahli politik untuk mencapai kepentingan peribadi," ujarnya, Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, pada sidang akhbarnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, pada semalam.  
22 Mar 22
939
Tingkat Ekonomi Rakyat Melalui Sektor Pertanian
Tingkat Ekonomi Rakyat Melalui Sektor Pertanian
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Kerajaan negeri telah melaksanakan sebanyak 93 program dan menyiapkan 45 projek sepanjang Tahun Pertanian Terengganu 2021 demi mempertingkatkan ekonomi rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, seramai 13,702 orang golongan sasar telah menerima manfaat langsung daripada program tersebut. “Sektor pertanian merupakan sumber ekonomi kepada kira-kira 70 peratus rakyat Terengganu. “Antara langkah kerajaan negeri dalam membantu taraf ekonomi penduduk termasuk menyelesaikan isu utama berkaitan tapak tanah pertanian, perikanan dan penternakan,” ujarnya. Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato' Rozi Mamat dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri, Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, semalam. Katanya, menyedari ramai rakyat tiada tapak untuk diusahakan, kerajaan membuka ruang untuk rakyat memanfaatkan tanah kerajaan secara Lesen Menduduki Sementara (LMS).  “Turut dilakukan, pemutihan tanah-tanah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dengan menamatkan peserta yang tidak produktif dan mengisi lot-lot kosong dengan peserta baru. “Menyelesaikan isu penerokaan haram melalui pemberian LMS, membangunkan tanah terbiar dan lain-lain lagi,” ujarnya. Tambah beliau, kerajaan turut menyediakan bantuan serta latihan kemahiran untuk sektor pertanian.  “Salah satunya bantuan perkhidmatan pengembangan seperti khidmat nasihat teknikal dan kursus kemahiran. “Manakala bantuan pula seperti bekalan makanan ikan kepada penternak terjejas PKP, warga tani positif COVID-19,bantuan one off  input pertanian kepada 227 penanam cili terjejas kejatuhan harga, RM300,000 bantuan one off mekanisasi ladang kepada 52 petani seluruh negeri serta bantuan input dan peralatan sepert baja,racun, foliar, benih, plastik UV, pam air, GPS, kawat bubu, pukat tangsi, kit memancing,” ujarnya.
22 Mar 22
224
Dakwaan Adun Hulu Besut Tak Betul
Dakwaan Adun Hulu Besut Tak Betul
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut yang mengatakan kerajaan Terengganu di bawah PAS tidak membina sebarang masjid di Besut dalam tempoh empat tahun adalah tidak betul. Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, Nawi Mohamad perlu membuat ‘kerja rumah’ dahulu sebelum membuka mulut. “Wakil Hulu Besut bangkitkan dalam Dewan Undangan Negeri, dalam masa empat tahun tak ada sebuah pun masjid yang dibina di Besut. Kerajaan Islam apa macam ini. “Sebenarnya ada, buat ‘homework’ sikit sebelum berucap YB.  “Masjid Kampung Bukit Tanah Besut mula dibina tahun 2021 dengan dana Kerajaan Negeri RM3.6 juta dan kini telah siap sekitar 70 peratus,” tegasnya.  
22 Mar 22
3389
Bayaran Baiki Taman Ilmu Lebih Mahal Berbanding Kos Bina
Bayaran Baiki Taman Ilmu Lebih Mahal Berbanding Kos Bina
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Kos baik pulih Taman Ilmu di Tembila, Besut memakan belanja sebanyak RM400 juta, jauh lebih tinggi berbanding semasa awal pembinaan projek iaitu RM300 juta. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, susulan itu, kerajaan negeri tidak bercadang meneruskan pembinaan projek yang terbelengkalai lebih dari 10 tahun itu sebaliknya akan mencari penyelesaian terbaik sebaik urusan perundangan selesai. "Selain memakan kos yang tinggi, ia juga berdepan dengan kes mahkamah. "Setakat ini kita tunggu selesai kes mahkamah dahulu, kerajaan negeri ada dua lagi kes mahkamah pada 22 Mac dan 4 April ini melibatkan saman yang dikemukan kontraktor kepada POSC TI Sdn Bhd. "Tapi kerana syarikat itu telah gulung tikar jadi mereka telah kemukakan saman kepada kerajaan negeri. Kemudian kita juga ada buat lawatan dan diberitahu kos nak baiki projek itu sangat tinggi, jadi memandangkan terlalu banyak isu kita rasa sukar untuk kita lakukan pembangunan semula di situ," katanya. Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Wan Hapandi Wan Nik dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri, Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, hari ini. Difahamkan, Taman Ilmu merupakan projek sakit kerajaan negeri yang terbengkalai sejak 2004. Ia merupakan projek pembangunan  Wilayah Ekonomi Pantai timur (ECER) semasa pentadbiran Barisan Nasional bagi menempatkan enam buah institut pengajian tinggi (IPT) dengan melibatkan kawasan seluas 280 hektar. Pada 2013 kerajaan negeri melantik syarikat POSC TI untuk membangunkan semula dan menguruskan  projek Taman Ilmu itu. POSC TI  kemudiannya telah melantik 17 lagi syarikat (sub kontraktor) dibawahnya. Namun menteri besar ketika itu telah menamatkan kontrak syarikat POSC T1. Pada 2016 kerajaan negeri membayar kepada POSCT TI sebanyak RM45 juta selepas syarikat itu mahu menyaman kerana isu penamatan kontrak. Selepas 2018, PAS mengambil alih kerajaan negeri, enam sub kontraktaktor di bawah syarikat POSCT TI meneruskan saman terbabit. Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Satiful berkata kerajaan negeri ada memberi tawaran kepada kepada enam sub kontraktor itu pada 2020 untuk membaik pulih projek tersebut dengan kos bernilai RM24 juta namun ditolak oleh syarikat berkenaan. Pada masa sama beliau berkata ketika ini hanya dua blok bangunan asrama Taman Ilmu yang dapat digunakan dan ia diserahkan kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Justeru katanya, kerajaan negeri juga akan menukarkan tapak bangunan kolej universiti milik kerajaan negeri yang sepatutnya dibina di Taman Ilmu. "Seperti yang kita kata kos itu terlalu tinggi RM400 juta berbanding nak buat kolej universiti dengan kos RM350 juta sahaja baik kita buat di kawasan baharu," katanya. Tambahnya  kolej universiti itu akan ditempatkan di Durian Mentangau, Dungun dan proses pembinaankan akan bermula pada tahun ini juga.
22 Mar 22
2886
RM100 Juta Nilai Kerosakan Akibat Banjir Di Hulu Terengganu
RM100 Juta Nilai Kerosakan Akibat Banjir Di Hulu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Mac- Dianggarkan kira-kira RM100 juta nilai kerosakan infrastruktur membabitkan jalan raya dan jambatan akibat banjir di Hulu Terengganu baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata, jumlah berkenaan turut termasuk nilai kerosakan akibat kegelinciran tanah di kawasan Sungai Terengganu berhampiran Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud. “Untuk infra sahaja, di Hulu Terengganu ini lebih daripada RM100 juta kerugian kita. “Kawasan TNB sahaja, kita dimaklumkan baru-baru ini semasa kita buat lawatan ke sana, daripada pintu pagar tu lebih kurang RM60 juta dah,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sesi Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut katanya,  kerajaan negeri masih menunggu laporan nilai kerosakan serta kerugian harta benda penduduk dan harta awam susulan kejadian banjir buruk yang melanda Terengganu.
22 Mar 22
511
Tiada Keperluan Bubar DUN Terengganu
Tiada Keperluan Bubar DUN Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Mac- PAS menegaskan tiada keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan, Terengganu dan Kedah dalam tempoh terdekat. Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar senada dengan pendirian  Presiden parti, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasainya itu sehingga habis penggal tahun depan. "Kita telah buat keputusan hari itu, sebagaimana kenyataan media yang dikeluarkan oleh Presiden PAS. “Terengganu, Kelantan dan Kedah tidak ada keperluan untuk bubar DUN. "Saya juga ada terbaca kenyataan daripada Pakatan Harapan (PH) untuk negeri-negeri di bawah PH juga tidak akan membubarkan (DUN) atas sebab-sebab mereka," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membacakan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini. Laporan media sebelum ini memaklumkan, pendirian yang dimuktamadkan Abdul Hadi itu adalah bagi menumpukan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat. “Pas mengikuti perkembangan semasa politik tanah air, di samping fokus yang perlu diberikan terhadap usaha pemulihan kesihatan dan ekonomi negara yang bakal memasuki fasa endemik. “Justeru, Pas berpendirian DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempohnya,” katanya.
21 Mar 22
946
Buka Sempadan : Sultan Mizan Syor Kerajaan Laksana Kajian Impak
Buka Sempadan : Sultan Mizan Syor Kerajaan Laksana Kajian Impak
KUALA TERENGGANU, 21 Mac- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengesyorkan supaya kerajaan negeri melaksanakan satu kajian impak untuk Negeri Terengganu dengan mengambil kira persekitaran global. Titah baginda, kajian impak itu termasuk kesan langsung terhadap sektor-sektor penting ekonomi negeri seperti perkhidmatan dan pelancongan, apabila sempadan negara dibuka semula nanti. "Kajian impak perlu mengenalpasti bukan sahaja kesan ke atas pembangunan Negeri Terengganu malah menghasilkan cadangan khusus bagi mengurangkan impak langsung ke atas isi rumah yang berpendapatan Rendah B40 dan berpendapatan sederhana M40," titah Sultan Mizan. Titah ucapan baginda dibaca Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Sultan Mizan bertitah, kedua-dua golongan tersebut sudah terkesan dan terbeban dengan harga barangan khasnya makanan, yang meningkat dan kesan sampingan ke atas punca pendapatan ekoran penularan wabak COVID-19. "Misalnya, data terkini merekodkan terdapat 985 orang golongan miskin tegar dan 26,526 orang golongan miskin di Terengganu yang memerlukan perhatian daripada semua pihak," titah baginda. Baginda turut menzahirkan keyakinan, kerajaan negeri akan meneruskan usaha untuk membantu golongan lemah dan terkesan. Terdahulu, baginda bertitah Bank Dunia dalam satu laporannya pada Januari lalu telah membuat unjuran bahawa ekonomi dunia dijangka masih berkembang secara positif untuk tahun 2022. "Walaubagaimanapun, perkembangan ekonomi dunia ini dijangka menunjukkan trend atau arah aliran yang menurun iaitu pada kadar  (5.5 peratus) pada tahun 2021, (4.1 peratus) pada tahun 2022 dan (3.2 peratus) pada tahun 2023. "Trend penurunan dijangka berlaku ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia yang bakal menyebabkan banyak negara terkesan khasnya negara-negara membangun seperti Malaysia.  "Perbelanjaan kerajaan dan penggubalan dasar kewangan di negara-negara ini memerlukan pemikiran yang segar dan pendekatan yang berbeza kerana kita kini berada dalam satu keadaan yang belum pernah kita hadapi sebelum ini," titah baginda. Baginda bertitah, peperangan yang berlaku berikutan serangan tentera Rusia ke atas Ukraine akan mendatangkan impak yang sangat teruk kepada ekonomi dunia dan sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas negara Rusia  turut menyebabkan harga komoditi di pasaran dunia seperti bahan api, dan bahan makanan seperti gandum dan jagung meningkat. Titah baginda, peningkatan  harga bahan mentah makanan seperti gandum dan bijirin lain seperti jagung turut akan mendatangkan kesan langsung kepada harga bahan makanan tempatan dan hal ini perlu ditangani.
21 Mar 22
1148