lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

Kerajaan Digesa Tambah Baik Infrastruktur Pelancongan Besut
Kerajaan Digesa Tambah Baik Infrastruktur Pelancongan Besut
KUALA TERENGGANU, 24 April – Kerajaan Negeri disaran menambah baik kemudahan asas dengan tujuan memajukan sektor pelancongan di daerah Besut khususnya DUN Kuala Besut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, penambahbaikan infrastruktur itu bagi menarik lebih ramai pelancong ke kawasan tersebut. "Saya ingin menyentuh tentang prasarana untuk kemudahan pelancong, ada yang datang menaiki bas yang sedikit menyukarkan mereka kerana tidak ada sistem pengangkutan yang lebih efisien.  "Pelancong hanya berjalan kaki ke jeti untuk ke Pulau Perhentian dan jarak dari stesen bas ke jeti ialah sekitar 850 meter iaitu mengambil masa lebih kurang 15 minit. "Hal ini menyebabkan pelancong berpanas dan berhujan untuk ke jeti tersebut," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam Perbahasan Dewan Undangan Negeri Terengganu mesyuarat pertama penggal kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 2024, Wisma Darul Iman, semalam. Oleh itu, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri menyediakan kemudahan asas seperti yang terdapat di Hatyai, Thailand, di mana perkhidmatan kereta atau van dikenali sebagai Tuk-Tuk disediakan. "Manakala Pekan Lama Kuala Besut yang terletaknya jeti pelancong dicadangkan untukndiperindahkan dengan warna-warna bangunan ceria dan menarik. "Jalan raya ditukar dari tar berturap kepada tapak gajah dan disarankan juga membina pintu gerbang sebagai salah satu mercu tanda gerbang pelancongan di Besut," ujarnya lagi.
24 Apr 24
172
Gerakkan Kempen Indahnya Hidup Bersyariat Hingga ke Kampung
Gerakkan Kempen Indahnya Hidup Bersyariat Hingga ke Kampung
KUALA TERENGGANU, 24 April - Kerajaan Negeri diseru memberikan penekanan yang lebih besar kepada agenda 'Indahnya Hidup Bersyariat' dengan menggerakkan program berkaitan ke setiap daerah, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kampung. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, penduduk setempat percaya bahawa langkah ini dapat memastikan kehidupan mereka lebih selaras dengan prinsip-prinsip Islam. "Kerajaan Negeri mengumumkan inisiatif tahun indahnya hidup bersyariat pada tahun ini, disambut baik oleh penduduk Batu Rakit, Terengganu, serta rakyat seluruh negeri.  "Semua program kerajaan, pastikan ia bertepatan dengan syariat terutama dalam sektor hiburan dan sukan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam. Beliau turut menjelaskan bahawa setiap agenda solat perlu dimasukkan dalam apa sahaja program kerajaan kerana solatlah yang dapat mengubah sikap masing-masing. "Supaya tujuan kita sampai kepada setiap masyarakat," katanya.
24 Apr 24
132
Kualiti RMM Dorong Terengganu Terpilih Bandar Paling Bahagia
Kualiti RMM Dorong Terengganu Terpilih Bandar Paling Bahagia
KUALA TERENGGANU, 24 April – Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) berkualiti merupakan antara sebab Terengganu menerima anugerah bandar paling bahagia. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, mengucapkan tahniah kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Majlis Daerah Besut (MDB), Majlis Daerah Marang (MDM), dan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) atas anugerah yang diperoleh. “Penghargaan tersebut merupakan pengiktirafan kepada usaha bersama pihak berkuasa tempatan dalam meningkatkan kesejahteraan penduduk dan keharmonian masyarakat di seluruh Terengganu.  "Saya berharap agar momentum ini dapat menjadi pemangkin untuk usaha lebih gigih dalam pembangunan dan penyelenggaraan bandar di masa hadapan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam. Tambah Sulaiman, pembangunan tonggak utama dalam mengejar impian kegemilangan dan kesejahteraan. Jelasnya lagi, seiring dengan perjalanan masa, Terengganu terus melangkah ke hadapan dengan gagah dan bersemangat. “Melalui usaha gigih dan kesungguhan, kita menyaksikan pembangunan pesat di pelbagai bidang, dari pembangunan infrastruktur yang memudahkan mobiliti penduduk sehingga kepada peningkatan pendidikan, ekonomi dan kebudayaan. “Namun, pembangunan sejati tidak hanya diukur melalui kemajuan fizikal semata-mata, ia juga terletak kepada persepaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
24 Apr 24
2467
Promosi Nilai Syariah Dalam 'Islamic Tourism'
Promosi Nilai Syariah Dalam 'Islamic Tourism'
KUALA TERENGGANU, 23 April - Kerajaan negeri disaran untuk terus mempromosikan nilai-nilai syariah dalam usaha membangun industri pelancongan Islam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, dengan menerapkan prinsip-prinsip syariah dalam produk dan perkhidmatan pelancongan, kerajaan Terengganu dapat menarik lebih ramai pelancong Muslim untuk melancong ke sini. "Saya ingin mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu khususnya Exco Pelancongan untuk terus kekal dengan negeri yang mendokong syariat atau mesra syariat untuk berusaha mempopular dan mempromosi 'Islamic tourism' bagi menarik pelancong Muslim dari negara China khususnya," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini. Tambahnya, selain daripada sektor pertanian, Terengganu juga menjadi destinasi pelancongan utama bagi pelancong dalam dan luar negara, terutamanya dengan tumpuan kepada produk pelancongan alam semula jadi. "Usaha mempromosi 'Islamic tourism' perlu diselaraskan dan diatur melalui kerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan di sana mungkin kita dapat mengambil manfaat daripada bajet Kementerian Pelancongan," katanya. Sementara itu, fenomena 'moreh' semasa bulan Ramadan merupakan satu tradisi yang diamalkan oleh masyarakat di Malaysia perlu diangkat dalam memperhebatkan 'Islamic Tourism'. "Banyak tempat dan lokasi khususnya di tempat peranginan menjadi lokasi moreh yang popular," katanya. Justeru itu, belia mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar menjadikan aktiviti sebegini sebagai satu daya tarikan pelancongan khususnya pada bulan Ramadan.
23 Apr 24
256
Terengganu Cipta 5,000 Peluang Pekerjaan Melalui Pelaburan
Terengganu Cipta 5,000 Peluang Pekerjaan Melalui Pelaburan
KUALA TERENGGANU, 23 April – Terengganu berjaya menyediakan lebih 5,000 peluang pekerjaan melalui hasil pelaburan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Noor berkata Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah mengumumkan Terengganu merealisasikan nilai pelaburan berjumlah RM2.4 bilion di negeri ini sehingga Mac lalu.  “Nilai tersebut telah melebihi 50 peratus daripada RM4.2 bilion yang disasarkan bagi tahun ini. “Selain merancakkan industri berorientasikan eksport dan domestik, saya berharap Kerajaan negeri juga mengoptimumkan peluang ini untuk mengukuhkan rantaian perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di peringkat nasional dan global,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini. Zuraida juga menyuarakan kebanggaannya terhadap usaha yang diketuai oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Unit Perancang Ekonomi Negeri, dan beberapa pihak lain dalam merancang untuk memajukan industri nadir bumi (REE).  Menurutnya, langkah ini disambut baik sebagai upaya bersama dalam meningkatkan potensi ekonomi serta pembangunan industri strategik di Terengganu. “November tahun lepas, Menteri Besar menyebutkan perkara ini dalam Ucapan Belanjawan 2024, Januari tahun ini sudah diadakan perbincangan dengan pihak pelabur dan pada Mac lalu pula disusuli dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU).  “Saya mewakili seluruh rakyat memberikan sokongan dan dukungan penuh kepada Kerajaan Negeri dalam menjayakan agenda ini supaya dapat menjana hasil yang maksimum kepada negeri, selain dapat menarik lebih banyak pelaburan serta mengukuhkan pasaran pekerjaan di negeri ini.  Tambah Zuraida, melihat kepada momentum yang semakin baik dalam sektor perindustrian, perdagangan, dan pelaburan, serta peningkatan prestasi produktiviti pekerja negeri, beliau optimis bahawa ini akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri mencapai sasaran yang ditetapkan. “Namun, Kerajaan Negeri juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati agar sumber mineral kita tidak dirompak seperti yang berlaku ke atas hasil daripada minyak dan gas asli negeri kita bak kata pepatah sekalilah si buta kehilangan tongkat,” ujarnya.                      
23 Apr 24
1400
Terengganu Catat Gred Purata STAM Lebih Tinggi daripada Gred Nasional
Terengganu Catat Gred Purata STAM Lebih Tinggi daripada Gred Nasional
KUALA TERENGGANU, 23 April - Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 Negeri Terengganu mencatatkan Gred Purata Negeri 2.79 sekali gus mengatasi Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 3.09. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata peningkatan itu secara tidak langsung menonjolkan potensi STAM untuk terus bersaing dalam ekosistem Kementerian Pendidikan Malaysia.  “Lebih membanggakan ialah apabila Gred Purata Sekolah (GPS) Sekolah Agama Negeri Terengganu mencatatkan prestasi yang lebih baik iaitu 2.48 berbanding Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia, 2.52.  “Tahniah saya ucapkan kepada pelajar-pelajar STAM 2023 dan juga kepada para pendidik atas pencapaian ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini. Tambah Zuraida, beliau percaya bahawa sektor pendidikan akan terus menjadi perhatian utama dan keutamaan Kerajaan Negeri dalam usaha untuk memperkasakan potensi pendidikan di Terengganu. “Ia dizahirkan melalui titah ucapan Tuanku Al-Sultan semalam yang sentiasa menekankan kepentingan kecemerlangan pendidikan yang berterusan. “Sehubungan dengan itu, saya berharap agar infrastruktur dan kurikulum Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) dapat ditambah baik dari semasa ke semasa menerusi sokongan kewangan daripada sumbangan semua pihak," ujarnya.                  
23 Apr 24
458
Zuraida Usul Tiga Langkah Elak Tragedi Lemas Berulang
Zuraida Usul Tiga Langkah Elak Tragedi Lemas Berulang
KUALA TERENGGANU, 23 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mengusulkan tiga langkah bagi mengelakkan tragedi lemas di pantai berulang kembali di negeri ini. Beliau berkata antara langkah yang perlu diambil ialah memperbanyakkan pemasangan papan tanda bahaya setiap 100 meter di kawasan tumpuan, memasang bendera merah ketika laut bergelora dan menubuhkan lebih ramai skuad pasukan penyelamat pantai atau 'lifeguard' di pantai yang berisiko. “Serta di kawasan tumpuan terutamanya ketika laut bergelora serta melaksanakan langkah keselamatan yang tinggi apabila melibatkan aktiviti rekreasi di air.  “Skuad penyelamat pantai ini tidak terhad kepada Angkatan Pertahanan Awam (APMM) sahaja, tetapi perlu melibatkan agensi penyelamat, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan sebagai satu gabungan tenaga yang komprehensif untuk memastikan keselamatan di pantai,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini. Tambah Zuraida, situasi kehilangan nyawa melibatkan kejadian lemas boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak mengenal latar belakang individu.  Selain kesedaran individu katanya, agensi berkaitan perlu bertanggungjawab dan lebih cakna berkenaan aspek-aspek keselamatan dalam setiap perancangan pembangunan di manamana sahaja lokasi.  “Saya ingin berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah mewujudkan zon selamat yang dikhususkan untuk pengunjung mandi manda di kawasan rekreasi pantai Pulau Kekabu, Marang. “Elok sekiranya zon selamat ini diperluas ke pantai-pantai kawasan panas atau ‘hotspot’ (dengan izin) yang selalu berlakunya kejadian lemas,” ujarnya.                
23 Apr 24
191
Sidang DUN Terengganu Rakam Takziah Nahas Helikopter TLDM
Sidang DUN Terengganu Rakam Takziah Nahas Helikopter TLDM
KUALA TERENGGANU, 23 April- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)Terengganu hari ini memberi  penghormatan terakhir dan membacakan surah Al Fatihah  terhadap mangsa-mangsa insiden dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut, Perak pagi tadi. Ucapan rakaman takziah itu dinyatakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi. ketika membahaskan titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena pembukaan penggal persidangan kedua Dewan Undangan Negeri ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini. "Kita baru sahaja dikejutkan dengan insiden pelanggaran dua helikopter milik TLDM di Lumut sebentar tadi dan ada beberapa perajurit kita terkorban.  "DUN Sura ingin mengambil perhatian sidang dewan agar kita semua dapat membaca al-Fatihah untuk perajurit kita yang terkorban. Salam takziah daripada kami, ADUN Terengganu," katanya. Dalam kejadian tersebut, dua helikopter yang sedang menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut dilaporkan bertembung dan terhempas. Seramai 10 kru terbabit insiden iaitu tujuh kru Helikopter HOM TLDM manakala tiga kru Fennec TLDM. Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.
23 Apr 24
95
‘Jaga REE, Jangan Biar Dirompak Seperti Royalti Minyak’
‘Jaga REE, Jangan Biar Dirompak Seperti Royalti Minyak’
KUALA TERENGGANU, 23 April - Kerajaan Negeri dinasihat supaya sentiasa berjaga-jaga dengan memelihara sebaik mungkin sumber unsur nadir bumi (REE) agar ia tidak ‘dirompak’ seperti hasil petroleum. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor memberi peringatan itu di sebalik usaha dan momentum berterusan Kerajaan Terengganu untuk memacu ekonomi negeri dalam sektor terbabit. “Melihat kepada momentum perindustrian, perdagangan dan pelaburan yang semakin baik ini, ditambah pula dengan peningkatan prestasi produktiviti pekerja negeri kita yang memberangsangkan, saya optimis ia berupaya memacu pertumbuhan ekonomi negeri kita mencapai sasaran yang ditetapkan. “Namun, Kerajaan Negeri juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati agar sumber mineral kita tidak dirompak seperti yang berlaku ke atas hasil daripada minyak dan gas asli negeri kita bak kata pepatah sekalilah si buta kehilangan tongkat,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini. Terdahulu Zuraida berkata, beliau amat berbangga usaha proaktif Kerajaan Terengganu dalam memajukan industri REE di negeri. Ujarnya, keseriusan Terengganu kini sudah mula menampakkan hasil melalui dua perjanjian memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat gergasi luar negara. “Saya mewakili seluruh rakyat memberikan sokongan dan dukungan penuh kepada Kerajaan Negeri dalam menjayakan agenda ini supaya dapat menjana hasil yang maksimum kepada negeri, selain dapat menarik lebih banyak pelaburan serta mengukuhkan pasaran pekerjaan di negeri ini,” jelasnya. Semalam, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah, Terengganu berpotensi menjadi negeri pengeluar serta pemprosesan utama REE di Malaysia jika hasil itu berjaya diurus dengan baik. Baginda bertitah, dengan memiliki sumber REE paling banyak iaitu sekitar 7,187,500 tan daripada 15.2 juta yang ada di negara ini, kerajaan negeri perlu menentukan kaedah terbaik perlombongan sumber baharu itu. Dalam perkembangan berkaitan, Zuraida berkata, pelaksanaan Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu (NIT) merupakan satu langkah bijak bagi menguatkan ekonomi negeri. “Saya melihat ini merupakan satu langkah yang tepat setelah kita berdepan dengan tekanan bayaran royalti yang sentiasa dipermainkan oleh pihak yang tidak menghormati semangat federalisme. “Apatah lagi permintaan terhadap minyak dijangka akan menurun sekitar 25 peratus menjelang 2030 ekoran daripada polisi dunia untuk beralih kepada kenderaan elektrik (EV) atau kenderaan hidrogen bagi menjaga kelestarian alam sekitar. Ini akan memberi kesan kepada pendapatan Negeri Terengganu dalam tempoh masa yang panjang,” tambah beliau.
23 Apr 24
880
Wujudkan Majlis Tindakan OKU, Bukti Kerajaan Negeri Cakna
Wujudkan Majlis Tindakan OKU, Bukti Kerajaan Negeri Cakna
KUALA TERENGGANU, 23 April - Kerajaan negeri mewujudkan Majlis Tindakan Orang kurang Upaya (OKU) Negeri Terengganu (MTOT) pada 6 Mac 2024 selaras dengan Dasar Orang Kurang Upaya dan Pelan Tindakan Orang Kurang Upaya 2016-2022. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata penubuhan majlis tersebut bagi memastikan OKU mendapat kesaksamaan hak dan peluang bagi penyertaan penuh dalam masyarakat. Katanya, ahli Majlis terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pakar perubatan dan ahli akademik yang berkaitan dengan OKU serta wakil OKU daripada Pertubuhan Sukarela Kebajikan OKU. "Antara fungsi dan peranan MTBOKUNT seperti menyelia pelaksanaan dasar negara, dasar negeri dan pelan tindakan yang berhubungan dengan OKU, membuat syor kepada kerajaan mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan OKU seperti sokongan, penjagaan, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan OKU. "Kita juga memantau aktiviti semua jabatan, agensi, badan atau pertubuhan, kerajaan dan sektor swasta yang terlibat dalam pelaksanaan, dasar negara dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan OKU. "Majlis ini juga boleh mengesyorkan kepada Kerajaan perubahan kepada undang-undang sedia ada dan juga mencadangkan undang-undang baru bagi menjamin penyertaan penuh OKU dalam masyarakat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ridzuan Hashim (PAS-Buluh Gading) yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri bagi membantu golongan OKU di Terengganu dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. Menurut Maliaman lagi,  MTBOKUNT juga berperanan membangunkan program dan strategi yang bertujuan untuk mendidik masyarakat bagi meningkatkan kesedaran berhubung dengan OKU. Dalam masa sama, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Bengkel Pemulihan Kebajikan Marang bagi memberi latihan kemahiran dan pemulihan kepada OKU khususnya anak-anak klien jabatan yang keciciran dalam pelajaran. "Kita telah memperuntukkan sebanyak RM1,404,410.50 pada tahun 2023 dan RM1,199,618.40 bagi tahun 2024 bagi perbelanjaan mengurus dan pengoperasian bengkel ini.  "Ini membuktikan kerajaan negeri sangat komited dan cakna terhadap golongan orang kurang upaya dalam memastikan kebajikan mereka terjamin dan dapat menjalani kehidupan dengan sejahtera serta mampu berdikari," ujarnya.
23 Apr 24
194