lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

34,827 OKU Berdaftar di Terengganu
34,827 OKU Berdaftar di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 April - Seramai 34,827 orang kurang upaya (OKU) didaftarkan di Terengganu sehingga 31 Mac 2024. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata data itu diperolehi berdasarkan pendaftaran dalam Sistem Maklumat OKU (SMOKU). "Kuala Terengganu mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 11,002 orang, diikuti Besut seramai 5,553, Kemaman (5,242), Dungun (4,537), Marang (3,693), Hulu Terengganu (2,607) dan Setiu (2,193). "Masalah pembelajaran merupakan kategori OKU  tertinggi yang didaftarkan iaitu seramai 15,390, fizikal (9,664), penglihatan (2,952), pendengaran (2,556), mental (2,513), pelbagai (1,564) dan pertuturan (187)," ujarnya. Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Buluh Gading , Ridzuan Hashim di Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Sementara itu, Maliaman berkata terdapat 47 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang menjalankan program kepada kanak-kanak OKU dengan bilangan pelatih 1,178 orang. "Kita juga mempunyai enam buah pusat jagaan OKU yang berdaftar dengan Akta Pusat Jagaan (APJ) 1993 yang menempatkan 117 orang," ujarnya.  
23 Apr 24
253
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Sidang DUN
Sultan Mizan Berkenan Rasmi Sidang DUN
KUALA TERENGGANU, 22 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini. Keberangkatan Baginda diiringi Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin. Ketibaan baginda disambut Menteri Besar Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Yang Dipertua DUN, Dato' Mohd Nor Hamzah. Turut menyambut ketibaan baginda, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja; Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia Ke-29, Brigedier Jeneral Muzamil Ali dan Ketua Polis Negeri DCP, Datuk Mazli Mazlan.   Istiadat dimulakan dengan berkumandangnya lagu kebesaran Negeri Terengganu  sebelum Sultan Mizan berkenaan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama Kawalan Kehormatan terdiri daripada Unit 6, Pasukan Simpanan Persekutuan Terengganu dan Pancaragam Rejimen 512 (Askar Wataniah) Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kali ke-15 akan bermula hari ini hingga 25 April 2024.  
22 Apr 24
229
Pendaratan Ikan Meningkat, Sultan Mizan Hargai Usaha Kerajaan
Pendaratan Ikan Meningkat, Sultan Mizan Hargai Usaha Kerajaan
KUALA TERENGGANU, 22 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan atas kejayaan perancangan Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Perikanan secara mampan melalui Pelan Strategi Pertanian 2019 hingga 2023 yang mencatatkan peningkatan sebanyak 39 peratus pendaratan ikan marin. Titah baginda, sebanyak 13,143 tan berjaya direkod sepanjang tahun 2023. "Justeru itu, program yang dirancang harus diperkasakan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan menerusi pemfokusan kepada program pembangunan tukun ke arah mewujudkan tukun tiruan garis sempadan dan pesisir pantai perairan Terengganu," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini. Baginda juga bertitah Banci Pertanian kali ke-4 yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi pada tahun ini turut memberikan fokus pengumpulan data secara menyeluruh untuk industri pertanian negara. "Hasil dapatan daripada bancian ini, diharap mampu memberi sumbangan terhadap isu struktur ekonomi import makanan yang tinggi, kenaikan harga dan seterusnya bakal membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Beta di dalam industri ini," titah baginda.
22 Apr 24
159
Sultan Mizan Sukacita Perkembangan Pelaburan Terengganu
Sultan Mizan Sukacita Perkembangan Pelaburan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa sukacita apabila Terengganu masih kekal antara destinasi utama pelaburan di Malaysia. Baginda bertitah, walaupun berhadapan dengan suasana ekonomi dunia  yang penuh dengan cabaran pada tahun 2023, kerajaan negeri masih berjaya menarik ramai pelabur  ke Terengganu. "Dengan pelaburan sebanyak RM3.75 bilion dalam sektor pembuatan, pelancongan, dan logistik, Terengganu masih kekal sebagai antara destinasi utama pelaburan," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini. Sultan Mizan juga bertitah keberhasilan dalam pelaburan itu dipacu oleh ekosistem industri yang sudah terbentuk dengan baik melalui dasar dan peraturan yang menyokong perkembangan industri.
22 Apr 24
1761
Kebajikan Imam Dan Bilal Terus Dijaga
Kebajikan Imam Dan Bilal Terus Dijaga
KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan negeri akan terus memastikan kebajikan imam dan bilal di negeri ini terjaga. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri juga dalam usaha bagi memberikan peruntukan 'one off' kepada imam ke-3 memandangkan peruntukan daripada JAKIM hanyalah kepada  imam 1 dan imam 2 sahaja. "Kita juga sedang mengkaji untuk memberikan kenaikan imbuhan dan elaun imam bilal yang tiada pendapatan tetap dan juga kemudahan-kemudahan lain yang boleh dipertimbangkan.  "Di samping itu, turut dilaksanakan juga program Tahsin Pegawai Masjid bagi memastikan imam dan bilal dapat menambahbaik mutu bacaan dan tugas masing-masing, " ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, baru-baru ini. Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan meneruskan kerja-kerja menyelenggara dan menaik taraf masjid-masjid sedia ada di seluruh negeri.  "Pembinaan masjid negeri yang baharu berkonsepkan 'smart township mosque' juga akan dilaksanakan kerja-kerja awal pembinaan dan bakal menjadi pusat bagi Bandar Baru Bukit Besar," ujarnya.
04 Dec 23
809
Atlet Terengganu Ikuti Pengajian Agama
Atlet Terengganu Ikuti Pengajian Agama
KUALA TERENGGANU, 30 November - Bagi memastikan atlet Terengganu berkualiti tinggi serta tidak hanya cemerlang dalam lapangan sukan kerajaan negeri turut menekankan pendidikan agama. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri telah melantik seorang pegawai khas melalui unit bimbingan di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) yang bertanggungjawab memastikan perkara itu terlaksana. "Antara program yang dilaksanakan oleh MSNT ialah Kelas Fardu Ain secara berkala bagi atlet yang menginap di asranama, Solat Zohor dan Asar secara berjemaah setiap hari bekerja di dalam dewan arena MSNT dan program motivasi kerohanian secara berasingan untuk setiap sukan. "(Selain itu) kelas pengajian al-Quran setiap Isnin dan Rabu, Solat Duha dan Solat Hajat setiap Khamis, pengajian berkitab setiap pagi Khamis. "Melaksanakan qiamulali setiap kali kem diadakan, amalan doa dan zikir harian, program 'Ihya Ramadan', Solat Tasbih dan seumpamanya, inilah di antara beberapa program yang dikelolakan untuk membentuk atlet yang berkualiti," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim, pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, kesungguhan melahirkan para atlet adalah mengikut bimbingan Rasulullah SAW. "Semangat kesukanan ini sudah tentu kita mengambil bimbingan daripada Nabi Muhammad SAW yang telah memberi ajaran ajarkan anak melalui aktiviti memanah, menunggang kuda ini dari sudut fizikal. "Dari sudut kerohanian Nabi SAW ada menyebut bukan dikatakan seseorang itu hebat kerana pandai bergusti tetapi dikatakan kuat apabila dia mampu mengawal dirinya ketika marah. "Ini yang diterapkan dalam memastikan kecemerlangan sukan di negeri Terengganu, dengan menekankan semua aspek latihan (mencakupi) fizikal, kekuatan mental dan juga pemantapan rohani," katanya.  
30 Nov 23
608
Pembuatan Bot Tradisional Pulau Duyong Akan Kembali Bersinar
Pembuatan Bot Tradisional Pulau Duyong Akan Kembali Bersinar
KUALA TERENGGANU, 30 November - Kerajaan negeri memberi jaminan perusahaan pembuatan bot tradisional di Pulau Duyong akan kembali bersinar. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, usaha membangunkan semula perusahaan warisan itu akan dibuat melalui pelan penyelarasan kolaborasi produk-produk pelancongan pesisir sungai Terengganu. "Termasuklah Shah Bandar, Pesisir Payang, Seberang Takir, Pulau Duyong, Pulau Warisan, Kampung Budaya Terengganu, Taman Tamadun Islam dan lain-lain. "Bagi memartabatkan industri pembuatan bot tradisional di negeri ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr. Zaharudin Zahid, pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Ariffin berkata kerajaan negeri turut mempunyai perancangan untuk menyediakan latihan dan kursus bagi pembuatan bot tradisional bagi memastikan lebih ramai yang akan terlibat dalam industri terbabit. Katanya, kerajaan negeri juga turut merancang untuk berkerjasama dengan Jabatan dan Kementerian Pelancongan serta Malaysian Timber Industry Board (MTIB) bagi penyediaan latihan serta kursus-kursus yang berkaitan pembuatan bot tradisional. "Buat masa ini kerajaan negeri telah menyediakan latihan ukiran kayu di Desa Ukiran Kayu, Besut. "Bagi Tabung Pusingan Modal, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) ada menawarkan skim pembiayaan tanapa riba di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) dengan had maksima sebanyak RM50,000 tertakluk kepada terma dan syarat. "Antara skim pembiayaan dan perniagaan yang boleh dipohon termasuklah Sektor Warisan (Pembuatan Bot Tradisional)," katanya.  
30 Nov 23
595
Dasar Pelaburan Baharu Bakal Diwarta Suku Kedua 2024
Dasar Pelaburan Baharu Bakal Diwarta Suku Kedua 2024
KUALA TERENGGANU, 29 November – Kerajaan negeri akan melaksanakan  Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu yang dijangka dapat diwartakan pada suku kedua 2024 nanti Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Khuzaini Ab Rahman berkata langkah tersebut bagi mewujudkan ekosistem mesra pelabur untuk meningkatkan pelaburan ‘Domestic Direct Investment’ (DDI) dan ‘Foreign Direct Investment’ (FDI) ke Negeri Terengganu Katanya, walau bagaimanapun, pelabur yang berminat untuk melabur di Negeri Terengganu perlulah dipastikan bahawa pelabur yang ‘genuine’ (tulen) bagi menjaga kepentingan Kerajaan Negeri dan rakyat. “Sebagaimana kerangka, matlamat pelaksanaan dasar tersebut adalah dengan memberi penekanan kepada mengurangkan kerenah birokrasi yang berlaku.  “Tujuan pelaksanaan dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian ini adalah bagi melancarkan proses pelaburan perindustrian di Negeri Terengganu sama ada dari pihak pelabur yang berminat dan juga kepada Kerajaan Negeri dan agensi atau jabatan berkaitan,”ujarnya.  Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Tambahnya, antara intipati  kepada pelaksanaan dasar mesra pelabur dengan mengadakan perbincangan langsung dengan pelabur berminat bagi mendapatkan lebih input dan keperluan pelabur.  “Pihak PMINT akan melaksanakan ‘due diligence’ kepada pelabur yang berminat bagi melabur di Negeri Terengganu.  “Ini termasuk kolaborasi yang baik dijalinkan antara Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan seperti MIDA dan ECERDC melalui perkongsian informasi bagi menarik pelabur berpotensi melabur ke Terengganu,” ujarnya.  Beliau juga berkata  proses permohonan pajakan tanah oleh pelabur juga akan dipercepatkan dengan mewujudkan Jawatankuasa Pembangunan Industri Negeri Terengganu (MJPINT) yang dipengerusikan olehnya dengan ahli jawatankuasa melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Teknikal dan MIDA.  “Kita akan mempercepatkan proses permohonan dan kelulusan ‘submission’ oleh pelabur dengan mewujudkan kemudahan khidmat runding melalui ‘pre-consult’/’fast lane’ di Peringkat PBT bagi kelulusan pelan. “Selain itu, kita akan melaksanakan ‘Trade Mission’ serta Ekspo Industri seperti MIDA Series dan ECERDC Invest@ECER Series bagi promosi pelaburan,”katanya.
30 Nov 23
186
Jalan Kampung Bukit Aman Perlu Dinaiktaraf
Jalan Kampung Bukit Aman Perlu Dinaiktaraf
KUALA TERENGGANU, 29 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof mencadangkan kerajaan negeri menaik taraf laluan jalan Kampung Bukit Aman, Setiu. Azmi berkata, jalan hampir sejauh 15 kilometer (km) ini adalah laluan utama menghubungkan kawasan sekitar sejak sekian lama. "Kapasiti penggunaan jalan ini semakin meningkat, tidak lagi mampu ditanggung dengan keadaan jalan yang sempit dan banyak laluan selekoh tajam. "Ia semestinya membahayakan kepada pengguna jalan raya dan menyukarkan kenderaan berat seperti lori dan bas untuk lalu," katanya. Beliau berkata demikian ketika membahas menyokong Belanjawan 2024 pada persidangan Dewan Undangan Undangan (DUN) Terengganu, di sini hari ini. Jelas Azmi, operasi naik taraf laluan ini secara tidak langsung akan memberikan keselesaan dan manfaat kepada masyarakat sekitar Kampung Bukit, Sungai Las, Alor Lek, Bukit Munduk dan Bukit Aman. "Saya amat mengharapkan kerajaan negeri untuk menilai cadangan menaiktaraf jalan ini dengan kadar segera," tambah beliau.  
29 Nov 23
641
Hilang Hasil RM82.5 Juta Selepas Kecualikan Cukai Pintu
Hilang Hasil RM82.5 Juta Selepas Kecualikan Cukai Pintu
KUALA TERENGGANU, 29 November- Kerajaan negeri telah kehilangan hasil sebanyak RM82.5 juta dari kutipan cukai pintu rumah kediaman bagi tempoh 2018 hingga 2023. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pengecualian cukai pintu rumah kediaman adalah antara manifesto PAS yang ditawarkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018. “Sebaik sahaja memenangi PRU14, kita terus melaksanakan janji tersebut. "Sepanjang tempoh itu, kerajaan negeri telah kehilangan hasil RM82.5 juta yang sepatutnya dikutip oleh tujuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Khazan Che Mat katanya pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Belanjawan) di Wisma Darul Iman, hari ini Mengikut data, pada tahun 2018, kutipan cukai pintu rumah kediaman yang sepatutnya dikutip ialah RM9.7 juta, tahun 2019 (RM12.73 juta), 2020 (RM13.87 juta) dan tahun 2021 (RM14.56 juta). Pada tahun 2022 pula, hasil yang sepatutnya dikutip meningkat kepada RM15.27 juta dan tahun 2023 sebanyak RM16.38 juta. Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata pihaknya akan mengkaji dan meneliti cadangan pelbagai pihak agar melaksanakan semula cukai pintu secara bersasar. Kata beliau, pihaknya telah menerima banyak cadangan dan perkara tersebut akan dipertimbangkan. "Kerajaan negeri menerima banyak cadangan dari pelbagai pihak agar melaksanakan semula cukai pintu ini secara bersasar. "Kita akan mengkaji cadangan-cadangan itu terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan muktamad," katanya.
29 Nov 23
427