lightning-solid
Berita :

Artikel "Sidang DUN" Terkini

Bekalan Air Bersih di Marang Terjamin
Bekalan Air Bersih di Marang Terjamin
KUALA TERENGGANU, 24 April – Kerajaan Negeri komited dalam memastikan bekalan air bersih yang mencukupi bagi penduduk di Marang dan sekitarnya.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, dengan tegas menyatakan bahawa pembangunan bekalan air bersih yang telah siap sepenuhnya di kawasan tersebut adalah bukti jelas komitmen Kerajaan Terengganu dalam meningkatkan kualiti hidup rakyatnya. “Setiap rakyat Terengganu hendaklah diberi peluang, dilayan dengan adil dan dihormati atas nilai-nilai dan kepercayaan mereka. “Dengan adanya akses yang lebih baik air bersih, penduduk Marang dan sekitarnya dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti serta meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan keluarga,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam. Tambah Sulaiman, kejayaan ini tidak tercapai tanpa kerjasama dan sokongan pelbagai pihak termasuk kakitangan kerajaan, agensi yang berkaitan dan masyarakat setempat. “Semangat yang inginkan kejayaan dihayati oleh semua pihak adalah kunci kepada kejayaan pembangunan ini. “Terima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana telah memberi keutamaan kepada keperluan asas rakyat,” ujarnya. Beliau berharap usaha ini dapat diteruskan bersama untuk kebaikan bersama sekali gus menjadi contoh teladan dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.                  
24 Apr 24
146
Penubuhan JPKKP Persenda Rakyat
Penubuhan JPKKP Persenda Rakyat
KUALA TERENGGANU, 24 April - Idea-idea yang dikeluarkan oleh wakil Kerajaan Persekutuan hari ini mengenai penubuhan jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) telah menimbulkan kekeliruan di kalangan penduduk serta dianggap mempersendakan gaya hidup rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, rakyat turut menyuarakan rasa kecewa terhadap kerajaan persekutuan kerana dianggap tidak peka terhadap keperluan serta aspirasi rakyat. "Kerajaan PH BN telah mewujudkan pengasingan pengurusan di peringkat kampung dengan menubuhkan pengurusan baru iaitu JPKKP.  "Di peringkat Kerajaan Negeri, telah lama wujudnya JPKK lantikan Kerajaan Negeri bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dapat dijaga dengan baik serta objektif tersebut tercapai," jelasnya. Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan ke atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, pada hari ini. Hanafiah turut menyoal, mengapa perlu ada dua entiti untuk satu tujuan dan matlamat yang sama. "Ini merupakan satu elemen dan anasir luar serta persepsi bagi memecah belahkan keharmonian hidup rakyat.  "Sebagaimana kita semua tahu, kehidupan rakyat semakin tertekan dan tersepit akibat peningkatan kos sara diri yang kian meningkat," tambah Hanafiah lagi.
24 Apr 24
5613
Kerajaan Persekutuan Digesa Matang Dalam Mentadbir
Kerajaan Persekutuan Digesa Matang Dalam Mentadbir
KUALA TERENGGANU, 24 April - Kerajaan Persekutuan digesa agar menunjukkan kematangan yang lebih tinggi dalam mentadbir negara, dengan mengutamakan kepentingan rakyat melebihi pertikaian politik tidak berfaedah. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, tindakan seperti membakar kelambu kerana nyamuk hanya akan membuang masa dan sumber yang boleh digunakan untuk perkara lebih penting. "Kerajaan Persekutuan sepatutnya menjadi lebih matang dalam sektor mentadbir negara di mana fahaman politik perlulah diketepikan. "Rakyat telah memilih dan hormatilah keputusan rakyat dan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 yang lepas juga iaitu di Kemaman, rakyat Terengganu telah menghantar isyarat jelas. "Di mana rakyat telah memberikan kepercayaan penuh kepada pemerintahan PAS di Terengganu khususnya dan Perikatan Nasional (PN) amnya bagi mentadbir negeri ini dengan Keputusan 40-0," jelasnya. Beliau berkata demikian pada sesi Penggulungan Ke Atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke -15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, pada hari ini. Oleh itu, beliau berharap Kerajaan Negeri berusaha segala upaya untuk memastikan royalti minyak, iaitu hak rakyat, dikembalikan kepada rakyat dan Kerajaan Negeri Terengganu. "Kerajaan Negeri sentiasa memberikan kerjasama yang erat dengan agensi Kerajaan Persekutuan di peringkat negeri. "Namun demi kepentingan rakyat dan kelancaran memacu kerancakan pembangunan negeri, permintaan royalti minyak oleh Kerajaan Negeri dijadikan satu alasan kerjasama ini terganggu," katanya.  Justeru itu, beliau menyeru agar hubungan dengan kerajaan pusat perlu diperkasakan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.
24 Apr 24
176
Kerajaan Negeri Salur Hampir RM1 Juta Baik Pulih Sekayu
Kerajaan Negeri Salur Hampir RM1 Juta Baik Pulih Sekayu
KUALA TERENGGANU, 24 April - Kerajaan Negeri menggunakan dana sebanyak RM926,670 pada tahun 2022 bagi membaik pulih Taman Pertanian Negeri (TPN) Sekayu yang mengalami kerosakan akibat banjir. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri komited untuk mengembalikan semula kegemilangan taman terbabit yang pernah menjadi lokasi tumpuan pelancong di Hulu Terengganu. Katanya, ketika ini Kerajaan Negeri menerusi agensi dan jabatan berkaitan sedang merangka pelan bagi membangunkan semula TPN Sekayu sebagai pusat agrotourism. "Salah satu punca pengurangan pengunjung ke TPN Sekayu kerana banyak fasiliti rosak teruk akibat banjir besar pada Disember 2021 dan Februari 2022 sehinggakan sebahagian Taman Pertanian negeri itu terpaksa ditutup. "Justeru itu, Kerajaan Negeri  telah menyalurkan peruntukan RM926,670 ribu pada tahun 2022 bagi tujuan baik pulih kolam taman tema dan fasiliti yang rosak akibat banjir yang dijangka siap sepenuhnya pada 21 April 2024," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Zawawi Ismil (BERSATU-Telemong) yang ingin tahu apakah punca pengurangan pengunjung ke TPN Sekayu dan langkah Kerajaan Negeri untuk mengembalikan kegemilangan Sekayu dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. Dr Azman juga berkata, pajakan disambung kepada syarikat swasta sedia ada beroperasi di TPN Sekayu bagi mengendalikan program-program 'outdoor' dan perkhemahan oleh pihak sekolah, agensi dan jabatan serta kelab dan persatuan luar. Jelasnya, kerajaan negeri akan meneliti kembali pelan agrotourism yang dapat diketengahkan oleh TPN Sekayu untuk menarik minat syarikat swasta atau pelabur dengan kelebihannya. Tambah beliau, pandemik Covid-19 juga menyebabkan pengurangan drastik pengunjung ke taman negeri itu dan terdapat fasiliti utama rosak akibat serangan haiwan liar.
24 Apr 24
185
Terengganu Tubuh Pasukan Khas Jaga Kepentingan OKU
Terengganu Tubuh Pasukan Khas Jaga Kepentingan OKU
KUALA TERENGGANU, 24 April – Kerajaan Negeri Terengganu telah membentuk Pasukan Khas yang akan bertindak sebagai wakil bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam usaha memperjuangkan hak dan keperluan golongan terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim menyatakan bahawa gabungan daripada lapan anggota Badan Bukan Kerajaan (NGO) OKU dan juga Jabatan-Jabatan Persekutuan dan Negeri telah dipilih untuk membentuk pasukan khas bertindak bagi menjaga kepentingan OKU. “Pada 6 Mac 2024, kita telah melancarkan Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu (MTOT). “Usaha tersebut bertujuan untuk menjadi platform penting bagi menyatukan usaha dan sumber daya dari lapan anggota tersebut,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, hari ini. Tambah Maliaman, untuk sama-sama membantu OKU, pihaknya juga telah menubuhkan Skuad Upaya sebagai satu entiti baru yang bertujuan untuk mengangkat golongan OKU dari kedudukan sebagai golongan penerima kepada golongan pemberi.  “Skuad ini akan menjadi golongan 'frontliner' yang diberi kebenaran oleh gerakan kebajikan untuk turun ke lokasi bagi menyampaikan bantuan kepada golongan sasar dengan lebih cepat dan berkesan," katanya. Beliau berharap kerjasama yang harmoni dalam pemerkasaan MTOT daripada semua Jabatan Kerajaan yang terlibat. “Hal ini kerana hanya dengan usaha bersama dan sinergi di antara semua pihak, kita dapat mencapai matlamat untuk meningkatkan kualiti hidup dan menyokong keperluan OKU dengan lebih baik di Negeri Terengganu,” ujarnya.                  
24 Apr 24
150
Usaha Berterusan Realisasi Pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal Baharu
Usaha Berterusan Realisasi Pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal Baharu
KUALA TERENGGANU, 25 April- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan memanjangkan permohonan pengambilan tanah kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pertimbangan dan seterusnya memulakan proses perolehan setelah mendapat kelulusan berhubung pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal yang baharu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, terdahulu satu lawatan tapak bagi cadangan tapak baru untuk Klinik Kesihatan Bukit Tunggal telah dibuat pada 14 FebruAri lalu melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal iaitu Sr. Zaharuddin Zahid, wakil Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, wakil Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus dan wakil Klinik Kesihatan Bukit Tunggal. "Hasil daripada lawatan tersebut, JKNT mendapati kedudukan dan keluasan tanah (7.080 ekar) yang dicadangkan oleh ADUN Bukit Tunggal iaitu di Kampung Banggul Baruh, Kuala Nerus adalah strategik bagi pembinaan klinik kesihatan baharu. "Pihak JKNT mendapati kedudukan dan keluasan tanah yang dicadangkan oleh beliau adalah strategik dan kawasan sekitar di dalam tempoh pembangunan (perumahan)," ujarnya. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan ADUN Bukit Tunggal, Sr. Zaharuddin Zahid berhubung setakat mana perkembangan berkenaan cadangan tapak baru untuk Klinik Kesihatan Bukit Tunggal pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, semalam. Katanya, Zaharuddin turut bersetuju untuk tapak berkenaan diberikan khas kepada KKM setelah didapati Klinik Kesihatan sedia ada berlaku kesesakan dan padat, bagi kepentingan perkhidmatan kesihatan yang lebih optimum dan efisien. "Sehubungan itu, pihak JKNT ini akan memanjangkan permohonan pengambilan tanah kepada pihak KKM untuk pertimbangan. Namun begitu, terdapat keperluan untuk menaik taraf infrastruktur jalan ke lokasi tapak cadangan, " ujarnya. Menurut beliau, cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal bagi menggantikan klinik kesihatan sedia ada akan dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-14 [RMK-14 (Tahun 2031-2035)]. "Pembinaan klinik ini akan dapat menampung pertambahan populasi melebihi 50,000 orang dengan kedatangan pesakit sehingga 800 orang sehari di kawasan Bukit Tunggal, " jelasnya.   
24 Apr 24
197
Kontinjen SUKMA Terengganu Kini Sedia Bangkit, Rampas Gelaran Juara
Kontinjen SUKMA Terengganu Kini Sedia Bangkit, Rampas Gelaran Juara
KUALA TERENGGANU, 25 April- Dengan slogan 'Hanelang Bangkit 2024', kontijen SUKMA Terengganu disasarkan untuk merampas kembali gelaran juara keseluruhan Temasya SUKMA XXI di Sarawak dengan pelbagai persediaan. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata justeru itu latihan awal telah dimulakan pada 1 November 2022 dan kini kontinjen telah memasuki fasa tiga latihan sejak 1 Januari 2024 yang merupakan fasa akhir bagi persediaan atlet dan pasukan. "Sebanyak 20 strategi persediaan atlet fasa tiga telah dirangka dan sebahagiannya telah dilaksanakan bagi memastikan kontinjen bersedia sepenuhnya. "Antaranya mengemas kini unjuran sasaran pingat emas kontijen negeri serta atlet saingan secara bulanan yang mana atlet sasaran emas diberikan penumpuan khusus dalam pemantauan, sokongan sains sukan, kebajikan serta ujian-ujian kecergasan dan kemahiran," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Husaimi Hussin  (PAS- Hulu Besut) yang ingin tahu bagaimana persediaan kontigen SUKMA Terengganu bagi menghadapi persaingan SUKMA 2024 dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN). Tambahnya, program pemantapan pasukan turut diadakan seperti bengkel, kursus, ceramah, ujian kecerdasan serta sesi taklimat kepada pegawai dan atlet yang terlibat sepanjang tahun 2024. Untuk rekod, SUKMA 2022 menyaksikan kontinjen Terengganu bergelar naib juara dengan meraih 64 pingat emas, 49 perak dan 56 gangsa dalam temasya sukan terbesar tanah air itu bukan sahaja melebihi sasaran, malah ia menjadi sejarah kerana berjaya meraih kutipan pingat emas terbanyak sejak SUKMA 19 edisi lalu. Penganjuran SUKMA XXI akan diadakan di sembilan bahagian Sarawak yang menempatkan sebanyak 37 kejohanan sukan. Bagi daerah Kuching, sebanyak 25 sukan akan berlangsung dan selebihnya akan diadakan di Samarahan, Sri Aman, Serian, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.
24 Apr 24
252
Pembawaan Politik Kuno Pecah Belah Masyarakat
Pembawaan Politik Kuno Pecah Belah Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 24 April - Segelintir pihak telah mencuba membawa kembali idea politik kuno yang menggalakkan pecah belah dan kekacauan dalam pentadbiran masyarakat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, tindakan itu disifatkan sebagai langkah mundur dalam pembangunan politik negara. "Sekarang bukan lagi Terengganu zaman 80-90 an, di mana perpecahan berlaku dalam masyarakat kerana parti berbeza, ada yang ditarik  bantuan, ada ditukar kerja dan ada dipulau kerana warna politik berbeza.  "Politik anak muda pada hari ini tidak lagi melihat parti dan ideologi parti di depan.  "Yang penting bagi mereka adalah politik idea dan ahli politik yang ikhlas menabur bakti untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri ini," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, pada semalam. Katanya, ketika rakyat masih bergelut dengan cabaran ekonomi dan sosial, pemimpin tidak boleh membiarkan politik menjadi permainan bagi golongan yang hanya mementingkan diri sendiri. "Cukup-cukuplah permainan politik dan nasib rakyat negeri ini ditentukan oleh pemimpin yang pentingkan diri. "Biarlah nasib politik kita ditentukan oleh kita sendiri, berpolitiklah secara fastabiqul khairat, iaitu berlumba-lumba untuk memberi kebaikan kepada rakyat jelata, bukan berpolitik secara balas dendam.  "Duli Yang Maha Mulia tuanku telah menyatakan berkenaan cabaran ekonomi yang semakin rencam pada tahun ini disebabkan oleh ketidaktentuan pasaran dan geopolitik global.  "Antara saranan yang telah diberikan oleh Tuanku adalah jalinan kerjasama bersama kerajaan dan agensi persekutuan dalam negara. Namun katanya, pimpinan tertinggi kerajaan Madani pada hari ini bukan seumpama kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan,  tempat berlindung kehujanan tapi mereka adalah pemimpin yang enggan berbagi, sama saja ingin menang sendiri.  "Bila egoisme tak diakhiri, pasti ditutup dengan pecah kongsi," tambahnya.
24 Apr 24
222
Pembangunan Insan Perlu Jadi Keutamaan Terengganu
Pembangunan Insan Perlu Jadi Keutamaan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 April - Pembangunan Modal Insan perlu menjadi agenda utama kerajaan negeri dan boleh mengambil contoh dari Korea Selatan dan Jepun yang telah berjaya membuktikan bahawa usaha itu dapat memajukan negara. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, pembentukan individu berketerampilan dan berkualiti akan memastikan Terengganu memiliki masyarakat yang maju, berkat dan sejahtera. "Misi modal insan ini dijalankan adalah untuk membangunkan insan yang berpengetahuan, berkemahiran, inovatif, memiliki nilai jati diri, beretika, mempunyai pendidikan, terlatih dan mempunyai pekerjaan sewajarnya. "Pembangunan modal insan bukan saja penting kepada pertumbuhan individu sahaja, malah ia juga penting untuk pertumbuhan masyarakat dan memberi kesan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara (dan negeri khususnya)," katanya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, Ir Saiful Azmi berkata itulah yang dilakukan oleh Jepun dan Korea Selatan kerana kedua-dua negara itu hanya memiliki aset material yang rendah tetapi berjaya mencapai kemajuan setanding negara-negara maju yang lain. "Kejayan yang dicapai kedua-dua negara itu sering dijadikan model oleh negara lain, termasuk pesaing dalam menangani aspek nilai dan jati diri sebagai pemacu kepada pertumbuhan negara. "Dengan modal insan yang tinggi, rakyat Jepun dan Korea Selatan berjaya membuka mata dunia terhadap kemajuan yang dicapai. "Rakyatnya mempunyai kesetiaan yang tinggi bukan sahaja terhadap negara, malah pekerjaan. Sikap rakyat di kedua-dua negara ini patut dicontohi untuk turut serta memperkembangkan lagi sektor ekonomi negara," ujarnya.
24 Apr 24
319
Kerajaan Negeri Sokong Tingkat Bantuan Pendidikan Anak-Anak Asnaf
Kerajaan Negeri Sokong Tingkat Bantuan Pendidikan Anak-Anak Asnaf
KUALA TERENGGANU, 24 April – Kerajaan negeri menyokong seruan untuk meningkatkan pemberdayaan pendidikan dengan membantu anak-anak asnaf, seperti yang ditekankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam titah diraja pada pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, Isnin lalu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, dalam upaya mewujudkan akses pendidikan yang adil dan merata, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyeru semua pihak untuk bersama-sama memberi sokongan kepada golongan asnaf dalam memastikan mereka mendapat peluang pendidikan yang setara dengan yang lain.  “Dengan menggariskan kepentingan pemberdayaan melalui pendidikan, titah diraja ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri Terengganu bagi memastikan setiap anak-anak terus mendapat akses kepada pendidikan berkualiti," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini. Tambah Riduan, pendidikan dianggap sebagai alat transformasi sosial yang penting serta sebagai wahana pelengkap sesebuah ketamadunan.  Menurutnya, Terengganu sejak zaman berzaman, dikenali sebagai tempat yang memperjuangkan jihad pendidikan. “Jajaran pondok dan madrasah di sini dianggap sebagai benteng akidah dan ruang untuk penegasan jatidiri sebagai seorang muslim.  “Oleh itu, adalah wajar bagi kerajaan Terengganu untuk memberikan bantuan sebanyak mungkin kepada semua pelajar dan tenaga pengajar,” ujarnya. Dengan langkah ini katanya, diharapkan pendidikan di Terengganu akan terus berkembang pesat, menyumbang kepada pembangunan individu dan masyarakat yang lebih cemerlang dan berdaya saing.              
24 Apr 24
160