lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Bayar RM1,000 Dapat Tanah dan Rumah RM200,000
Bayar RM1,000 Dapat Tanah dan Rumah RM200,000
SETIU, 25 Mac – Memiliki rumah sendiri biasanya memerlukan perbelanjaan besar, tetapi bagi peserta Projek Besut-Setiu Agropolitan (BSA), mereka hanya perlu membayar RM1,000 untuk mendapatkan rumah dan tanah bernilai RM200,000. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri memberikan keistimewaan khas ini kepada golongan e-Kasih, penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan Orang Kurang Upaya (OKU). "Setiap peserta menerima lot tanah seluas 300 meter persegi beserta rumah dengan bayaran premium hanya RM1,000.  "Premium tanah ini biasa dikira 10 peratus daripada nilai tanah, tapi oleh kerana tuan puan ada dalam senarai e-kasih, Kerajaan Terengganu beri keistimewaan.  "Bayar nominal ni bayar ambil syarat, tanpa mengira berapa nilai sebenar tanah dan rumah tersebut,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Dokumen Hakmilik kepada Peserta Projek BSA Daerah Setiu di Taman Agropolitan Panchur Berderu, di sini kelmarin. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof serta Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Ahmad Rizal Mamat. Tambah Azman, selain menyediakan kediaman yang selesa, Projek Agropolitan Besut-Setiu juga memberi peluang kepada peserta untuk menjana pendapatan melalui penternakan kambing dan pertanian. "Peserta projek menjalankan aktiviti penternakan kambing sebagai sumber pendapatan utama, dengan sokongan kemudahan kandang ternakan serta infrastruktur yang lengkap. "Selain menyediakan tempat tinggal, projek ini turut memberi kestabilan hidup kepada peserta dengan peluang ekonomi yang mampan.  "Secara keseluruhannya, Projek BSA yang dilaksanakan oleh Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) merupakan satu usaha berterusan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Melalui pembangunan sektor pertanian dan penternakan, para peserta kini menikmati kehidupan yang lebih selesa dan menyambut Hari Raya dalam rumah milik sendiri buat kali pertama," ujarnya.
25 Mar 25
10983
Lapan Kesalahan Dikesan dalam OPS Pantau 2025 di Terengganu
Lapan Kesalahan Dikesan dalam OPS Pantau 2025 di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Sebanyak lapan tindakan telah diambil sepanjang pelaksanaan OPS Pantau 2025 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu yang bermula sejak 2 Mac lalu. OPS tersebut dijalankan sempena bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan harga dan timbang sukat yang ditetapkan. Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, empat kes daripada jumlah tersebut dikesan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 (AKHAP), manakala empat lagi di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972. "Sebanyak 2,888 pemeriksaan telah dijalankan dalam tempoh 2 hingga 22 Mac, dengan 118 anggota dan 57 pegawai serta pegawai pemantau harga (PPH) turun padang. "Kerahan melalui OPS ini bertujuan bagi memastikan pematuhan terhadap penetapan harga secara sepenuhnya oleh pihak peniaga. Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas Majlis Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025 di Sabasun cawangan Dungun. Menurut Mufsi, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan, khususnya melibatkan harga barangan kawalan dan ketepatan alat timbang dan sukat. "Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.  "Selain itu, kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh menyebabkan individu didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun RM5,000, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau dikompaun RM10,000," tegas beliau. Tambahnya lagi, pengguna digalakkan untuk menyalurkan aduan kepada KPDN sekiranya mendapati terdapat peniaga yang melanggar peraturan ini. Kami akan terus melakukan pemeriksaan bagi memastikan hak pengguna terpelihara. Dalam pada itu, sempena bulan Ramadan ini, KPDN turut mengadakan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di seluruh Terengganu dengan 211 siri jualan diadakan, melibatkan lebih 206,903 pengunjung.  Katanya, program itu bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan, dengan hasil jualan melebihi RM8 juta sepanjang pelaksanaannya. “Kami akan terus menganjurkan siri PJRM bagi membantu masyarakat mendapatkan barangan pada harga yang lebih rendah terutama menjelang perayaan Aidilfitri,” ujarnya. OPS Pantau 2025 akan diteruskan sehingga Aidilfitri bagi memastikan harga dan bekalan barangan terkawal serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
25 Mar 25
182
Kerajaan Lancar Skim Harga Maksimum Aidilfitri 2025
Kerajaan Lancar Skim Harga Maksimum Aidilfitri 2025
DUNGUN, 24 Mac - Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kerajaan meneruskan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025 bagi memastikan kestabilan harga barangan keperluan utama.  Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, pelaksanaan skim ini telah bermula hari ini dan akan berkuat kuasa sehingga 7 April 2025. "Jadi ia akan meliputi tempoh selama 15 hari iaitu tujuh hari sebelum hari perayaan, satu hari pada hari perayaan, dan tujuh hari selepas perayaan.  "Sebanyak 24 jenis barangan telah diwartakan di bawah skim ini bagi peringkat negeri Terengganu, meningkat berbanding 20 barangan pada tahun lalu.  "Antara tambahan baharu bagi tahun ini ialah bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (ros), lobak merah dan santan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran SHMMP di Sabasun cawangan Dungun, petang semalam. Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri Terengganu, Mohd Mufsi Lat dalam menyempurnakan majlis itu. Beliau menjelaskan bahawa harga barangan telah dipantau di pasar raya dan kedai di sekitar Terengganu, termasuk di Sabasun Cawangan Dungun, bagi memastikan ia tidak melebihi harga runcit yang telah dicadangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).  "Sebagai contoh, harga daging lembu tempatan ditetapkan pada RM39 sekilogram, dan harga santan yang sebelum ini dijual sehingga RM20 kini dikawal pada RM17.50. "Isu bekalan beras juga mendapat perhatian apabila stok beras tempatan dijual secara terbuka di pasaran seperti yang kita boleh pada hari ini. "Kita dapat lihat beras tempatan keluaran Pokok Sena, Kedah, dijual pada harga siling RM26, dan harga ini dipatuhi oleh pihak peruncit. SHMMP dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, yang membolehkan penetapan harga dilakukan di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit. Semua peniaga diwajibkan menggunakan label merah jambu bagi menandakan barangan yang tertakluk di bawah skim ini. Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peniaga agar mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang.  "Mana-mana peniaga yang melanggar peraturan skim ini boleh dikenakan tindakan tegas dan penalti mengikut peruntukan yang terdapat dalam AKHAP 2011," tegasnya.
25 Mar 25
177
280 Calon STPM Hulu Terengganu Dan Marang Terima Bantuan Pendidikan RM500
280 Calon STPM Hulu Terengganu Dan Marang Terima Bantuan Pendidikan RM500
HULU TERENGGANU, 25 Mac - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM140,000 Bantuan Pendidikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2024/2025 kepada 280 penerima bagi daerah Hulu Terengganu dan Marang. Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Terengganu, Megat Samsudin Megat Yusof berkata, bantuan sebanyak RM500 setiap seorang itu merupakan inisiatif Yayasan Terengganu dalam menghargai pelajar sekali gus mendorong mereka melakukan yang terbaik khususnya dalam peperiksaan STPM nanti. “Kemajuan dan kejayaan sesebuah negara dalam abad ke-21 ini bergantung kepada tahap pendidikan serta kualiti modal insan rakyatnya. “Menyedari hakikat tersebut, Yayasan Terengganu telah berusaha secara konsisten melahirkan modal insan berkaliber bagi memastikan pembangunan serta kesejahteraan negeri terus terjamin di masa hadapan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan STPM Yayasan Teregganu Tahun 2024/2025 Daerah Hulu Terengganu & Marang di Dewan Sivik Ajil, di sini, hari ini. Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil. Seramai 122 pelajar Tingkatan Enam dari empat buah sekolah menengah di daerah HuluTerengganu dan 158 pelajar dari enam buah sekolah menengah di daerah Marang menerima bantuan berkenaan. Sementara itu, Maliaman berkata, kerajaan negeri membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun melalui pelbagai insentif pendidikan untuk melahirkan pelajar berilmu pengetahuan tinggi, berakhlak mulia serta berdaya saing di peringkat nasional mahupun global. “Bantuan Pendidikan STPM ini contohnya adalah salah satu manifestasi kerajaan negeri untuk terus memacu kecemerlangan modal insan berpaksikan slogan ‘Terengganu Maju Berkat Sejahtera’. “Justeru kita mengharapkan pelajar dapat menggunakan (bantuan) secara bijaksana, penuh amanah dan bertanggungjawab. Teruslah tekun dalam pelajaran, tingkatkan displin diri serta tanamkan semangat untuk sentiasa menjadi insan yang terbaik,” ujarnya. Salah seorang penerima bantuan Noor Mazidah Aleeya Tiaramun, 20, dari Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu meluahkan rasa gembira dan bersyukur kerana menerima sumbangan ini. “Saya sangat teruja dan berterima kasih kepada Kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu di atas sumbangan yang diberikan dapat membantu menampung kos pengajian nanti,”katanya. Sementara itu, seorang lagi penerima sumbangan Rafiq Hafizin Muhamad Rafi, 21,dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Durian Guling (SMKA) berkata bantuan tersebut amat bermakna buat dirinya dan keluarga memandangkan hanya ibunya yang bekerja setelah kehilangan bapa dua tahun lalu. “Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, bantuan ini sangat membantu kami dan saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat,” ujarnya yang bercita cita menjadi seorang guru.  
25 Mar 25
247
23 Usahawan Terima Pinjaman Tanpa Caj Tambahan
23 Usahawan Terima Pinjaman Tanpa Caj Tambahan
KUALA TERENGGANU, 25 Mac – Seramai 23 usahawan bertuah daripada ratusan pemohon berjaya menerima pembiayaan Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) bagi siri pertama tahun ini. Dengan jumlah keseluruhan RM478,893.20, skim ini menawarkan pinjaman tanpa faedah sehingga RM50,000 bagi membantu perkembangan perniagaan usahawan tempatan. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman berkata, walaupun jumlah permohonan amat tinggi, hanya mereka yang benar-benar layak diberikan peluang buat masa ini. "Kita ada 23 orang usahawan yang berjaya. Ramai lagi yang mohon, tapi bila kita buat analisa, masih ada kekurangan di premis mereka yang perlu dinaik taraf sebelum lulus di masa akan datang. Hari ini, saudara bertuah kerana dipilih daripada kalangan yang ramai,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) kepada penerima Skim Pembiayaan TUGAS Kali ke-1/2025, di Dewan Serbaguna Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), di sini semalam. Beliau menjelaskan, pembiayaan ini dilaksanakan secara berperingkat sebanyak tiga hingga empat kali setahun. "Pinjaman TUGAS ini tanpa faedah. Bayar hanya mengikut jumlah yang dipinjam.  "Pada hari ini, skim yang terlibat adalah seperti Skim Pinjaman Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T) dan Tabung Siti Khadijah (TSK).  "Tahun ini, jumlah pinjaman maksimum yang ditawarkan telah dinaikkan daripada RM30,000 kepada RM50,000, memberikan peluang lebih besar kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka,” tambahnya.
25 Mar 25
1186
Kerajaan Negeri Sasar Salur RM3 Juta Kepada Usahawan Terengganu Tahun Ini
Kerajaan Negeri Sasar Salur RM3 Juta Kepada Usahawan Terengganu Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Kerajaan Negeri Terengganu menyasarkan untuk menyalurkan RM3 juta melalui Skim Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) tahun ini, sebagai usaha memperkasa usahawan tempatan. Sejak diperkenalkan pada 2019, TUGAS telah menyalurkan lebih RM29 juta kepada 5,101 usahawan di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman berkata, peningkatan jumlah pembiayaan ini berbanding RM2 juta tahun lalu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong pertumbuhan ekonomi usahawan. "Skim ini bukan sekadar memberi pinjaman, tetapi menjadi pemangkin kepada perkembangan perniagaan ke pasaran lebih luas, termasuk digital dan antarabangsa," katanya dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran TUGAS di sini, semalam. Selain pinjaman, kerajaan negeri turut merancang untuk menghidupkan semula pemberian geran dalam bentuk barang menerusi pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sebagai tambahan kepada peruntukan wakil rakyat. "Dulu kita pernah beri RM50,000 setiap DUN. Insya-Allah, kita akan usahakan supaya bantuan ini dapat diteruskan," jelasnya.
25 Mar 25
90
Calon STPM Terengganu Dapat Bantuan RM688,000
Calon STPM Terengganu Dapat Bantuan RM688,000
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM688,000 Bantuan Pendidikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2024/2025 kepada 1,376 penerima di seluruh negeri ini. Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata, bantuan sebanyak RM500 setiap seorang itu merupakan inisiatif Yayasan Terengganu dalam menghargai pelajar sekali gus mendorong mereka melakukan yang terbaik khususnya dalam peperiksaan STPM nanti. “Kemajuan dan kejayaan sesebuah negara dalam abad ke-21 ini bergantung kepada tahap pendidikan serta kualiti modal insan rakyatnya. “Menyedari hakikat tersebut, Yayasan Terengganu telah berusaha secara konsisten melahirkan modal insan berkaliber bagi memastikan pembangunan serta kesejahteraan negeri terus terjamin di masa hadapan,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan STPM Yayasan Teregganu Tahun 2024/2025 Daerah Kuala Terengganu & Kuala Nerus di Dewan Terbuka Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, di sini, hari ini. Dalam majlis yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, seramai 272 pelajar Tingkatan Enam dari lapan buah sekolah menengah di daerah Kuala Terengganu dan 137 pelajar dari tiga buah sekolah menengah di Kuala Nerus menerima bantuan berkenaan. Sementara itu, Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri membelanjakan puluhan juta ringgit setiap tahun melalui pelbagai insentif pendidikan untuk melahirkan pelajar berilmu pengetahuan tinggi, berakhlak mulia serta berdaya saing di peringkat nasional mahupun global. “Bantuan Pendidikan STPM ini contohnya adalah salah satu manifestasi kerajaan negeri untuk terus memacu kecemerlangan modal insan berpaksikan slogan ‘Terengganu Maju Berkat Sejahtera’. “Justeru kita mengharapkan pelajar dapat menggunakan (bantuan) secara bijaksana, penuh amanah dan bertanggungjawab. Teruslah tekun dalam pelajaran, tingkatkan displin diri serta tanamkan semangat untuk sentiasa menjadi insan yang terbaik,” ujarnya.
24 Mar 25
1284
12 Tahun Menanti Akhirnya Miliki Rumah Sendiri
12 Tahun Menanti Akhirnya Miliki Rumah Sendiri
SETIU, 24 Mac – Perasaan gembira dan syukur menyelubungi penerima hak milik rumah di Besut-Setiu Agropolitan (BSA) apabila impian mereka untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya menjadi kenyataan selepas 12 tahun menunggu. Fauzi Draman, salah seorang penerima dari Kampung Chalok, tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya. "Pada tahun 2013, saya ditawarkan menyertai projek ini. Pada awalnya, memang sangat sukar. Pendapatan rendah, anak-anak masih bersekolah, semuanya sangat mencabar," luahnya. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan semua pihak yang membantu dalam proses pemilikan ini. "Dari status projek kepada pemilikan kekal, ia satu perjalanan yang panjang.  "Kami bersyukur akhirnya semua ini menjadi realiti," tambahnya. Mohd Roslan Mohd Noor, seorang lagi penerima, mengakui perjalanan untuk mendapatkan geran hak milik bukanlah sesuatu yang mudah. "Kami sudah terlalu lama menunggu. Ia bukan sekadar rumah, tetapi masa depan kami.  "Akhirnya, hari ini kami bukan lagi penumpang di rumah sendiri," katanya sebak. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri, Pejabat Tanah Setiu, Pejabat Daerah, ADUN Langkap dan semua pihak yang terlibat dalam usaha merealisasikan impian mereka.
24 Mar 25
248
Aidilfitri Bermakna, 69 Peserta BSA Akhirnya Miliki Rumah Sendiri
Aidilfitri Bermakna, 69 Peserta BSA Akhirnya Miliki Rumah Sendiri
SETIU, 24 Mac – Syawal tahun ini pastinya lebih istimewa buat 69 peserta Projek Besut-Setiu Agropolitan (BSA) apabila impian mereka untuk memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan. Setelah lebih sedekad menetap di kawasan ini, mereka kini secara rasmi menerima geran hak milik rumah dan tanah yang sekian lama dinantikan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim, berkata penyerahan hak milik ini adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap pengorbanan serta kesabaran para peserta selama ini. "Sejak mereka menetap di sini pada tahun 2013, kali ini Aidilfitri pastinya lebih bermakna kerana rumah ini kini benar-benar menjadi milik sendiri," katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Dokumen Hakmilik kepada Peserta Projek BSA Daerah Setiu di Taman Agropolitan Panchur Berderu, di sini semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof serta Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Ahmad Rizal Mamat. Menurut Azman, daripada 84 peserta yang terlibat dalam projek ini, seramai 69 orang telah menerima dokumen hak milik mereka. "Bakinya masih menunggu proses teknikal selesai sebelum geran dapat diserahkan. "Ada yang belum menyelesaikan bayaran premium dan ada juga beberapa dokumen yang masih perlu dilengkapkan mengikut peraturan tanah di Terengganu," jelasnya. Beliau turut menjelaskan bahawa projek seumpama ini bukanlah yang pertama kali dilakukan di negeri ini. "Sebelum ini, kerajaan negeri juga telah memberi hak milik kepada peserta Projek Rimbunan Kasih di Rantau Abang, Dungun. "Projek seperti ini juga melibatkan pembinaan rumah dan penyertaan peserta, cuma bezanya adalah dari segi aktiviti ekonomi.  "Di sini (BSA), peserta menjalankan projek penternakan kambing, manakala Projek Rimbunan Kasih pula melibatkan penanaman melon manis Terengganu dan penternakan ikan. "Walau apa pun bentuk kegiatan ekonomi yang dijalankan, apabila projek ini diserahkan kepada kerajaan negeri, perkara pertama yang difikirkan adalah untuk memberi hak milik kepada peserta," katanya. Menurutnya lagi, apabila Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menyerahkan Projek BSA kepada kerajaan negeri pada tahun 2022, beliau telah menyatakan bahawa tugas utama yang perlu dilakukan adalah memberikan hak milik kepada penghuni-penghuni projek tersebut. "Alhamdulillah, setelah melalui pelbagai proses yang tidak mudah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan Pejabat Daerah Setiu, Pejabat Tanah Setiu, ADUN Langkap serta semua pihak yang telah bekerjasama bagi merealisasikan hari yang bersejarah ini.  "Akhirnya, peserta dapat memegang geran hak milik mereka, menyambut Syawal dengan lebih tenang, dan menikmati suasana Hari Raya di rumah sendiri buat kali pertama," ujarnya.
24 Mar 25
425
Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Perlu Dibuat Berterusan - MB
Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Perlu Dibuat Berterusan - MB
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri yang mempertemukan pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan perlu dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesepakatan dalam merancang dan melaksanakan pembangunan negeri. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihak Kerajaan Negeri memerlukan mesyuarat penyelarasan seperti itu menjadi ruang perbincangan antara pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. "Dalam mesyuarat terdahulu yang diadakan, saya ada mencadangkan agar Akta Penyerahan Duti Eksport Biji Mineral 1964 dalam Perlembagaan Persekutuan dikaji semula dan dinilai bagi meningkatkan peratusan hasil negeri.  "Peningkatan ini penting bagi memastikan negeri memperoleh manfaat yang lebih besar berdasarkan sumber asli yang dimiliki. "Kami di Terengganu Darul Iman ini juga menaruh harapan yang sangat tinggi agar peruntukan pertanian dan keterjaminan makanan, projek tebatan banjir dan kawalan hakisan pantai serta kerja-kerja berkaitan industri pelancongan bagi menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026. Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Berbuka Puasa Madani Bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Terengganu yang berlangsung di Masjid Sultan Ahmad, Kemaman. Dalam sektor ekonomi dan industri pula, Dr. Ahmad Samsuri menegaskan perlunya langkah memperkasakan kawasan industri sedia ada, di samping membangunkan industri yang berpotensi besar untuk diusahakan di negeri itu. "Dalam sektor ekonomi dan industri, kita memerlukan langkah bagi memperkasakan kawasan industri minyak dan gas (Oil and Gas). "Dalam masa yang sama, membangunkan industri lain seperti farmaseutikal, pemberdayaan pelabuhan serta peranan negeri dalam teknologi Carbon Capture Utilisation and Storage (CCUS) dan projek hidrogen hijau (Green Hydrogen Project)," ujarnya. Beliau berharap agar semua cadangan ini dipertimbangkan dan diberi keutamaan oleh Kerajaan Pusat bagi memastikan pembangunan yang lebih mampan dan inklusif di Terengganu. Dr. Ahmad Samsuri turut merakamkan penghargaan atas beberapa keputusan penting yang dicapai dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara, yang melibatkan Menteri-Menteri Besar, Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.  "Antara keputusan utama yang diumumkan adalah peningkatan sebanyak 25 peratus kadar pemberian mengikut bilangan penduduk yang akan mula dilaksanakan pada tahun 2026," tambah beliau. Selain itu, beliau juga menyambut baik beberapa kelonggaran yang diberikan dalam perbelanjaan di bawah program 'Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation' (BFT), yang akan membolehkan negeri menggunakan dana secara lebih fleksibel dalam usaha pemeliharaan biodiversiti.  
23 Mar 25
105