lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Pelita Kekabu Curi Perhatian di Pelita Raya 2025
Pelita Kekabu Curi Perhatian di Pelita Raya 2025
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Acara Pelita Raya 2025 (Peliter @ KSNT) yang berlangsung di Terengganu baru-baru ini menyaksikan pelbagai jenis pelita tradisional dipamerkan oleh agensi-agensi yang terlibat.  Antara yang mencuri perhatian ramai adalah pelita kekabu, yang diperkenalkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Besut (PDT Besut). Kakitangan PDT Besut dan wakil kepada reruai bagi pelita kekabu, Mazalin Mohd Lazim berkata, pelita tradisional itu dipilih sebagai bahan pameran mereka kerana keunikan serta nilai sejarahnya.   "Kami mahu memperkenalkan alat klasik yang pernah digunakan oleh generasi terdahulu kepada generasi muda. Ramai pengunjung yang datang ke booth kami tidak pernah melihat pelita kekabu sebelum ini.   "Zaman dahulu, hampir 90 atau 100 tahun sebelum merdeka lagi pelita kekabu ini sudah ada. Tapi bila dah masuk merdeka, zaman pun dah semakin moden, ia sudah tidak ada kegunaan pada zaman itu," jelasnya. Namun, dengan adanya program seperti ini pihaknya dapat memberi pendedahan untuk inovasi klasik itu kepada orang awam, terutamanya golongan muda. Beliau menambah bahawa usaha memperkenalkan pelita kekabu mendapat sambutan yang luar biasa daripada pengunjung. Setiap malam, reruai mereka menggunakan kira-kira tiga guni buah kekabu. Tambahnya, sepanjang empat malam acara berlangsung, sejumlah 12 guni kekabu telah diagihkan secara percuma kepada para pengunjung. Setiap guni dianggarkan mengandungi antara 160 sehingga 170 biji buah kekabu. "Kami bukan mahu berniaga, tetapi kami lebih cenderung untuk mendidik. Jika kami menjual pelita kekabu, mungkin orang ramai kurang berminat untuk datang melihat.  "Tujuan utama kami adalah memberi pendedahan kepada orang ramai, bukan cari keuntungan," jelasnya ketika sesi demonstrasi cara menghasilkan pelita kekabu. Demonstrasi tersebut turut memberikan pengalaman interaktif kepada pengunjung, di mana mereka dapat melihat sendiri bagaimana pelita kekabu dihasilkan menggunakan buah kekabu, minyak sebagai bahan bakar, dan teknik tradisional yang digunakan oleh masyarakat dahulu. Dengan sambutan positif daripada orang ramai, inisiatif Pejabat Daerah dan Tanah Besut ini berjaya mengangkat kembali warisan tradisional serta memberi pengalaman baharu kepada generasi muda mengenai penggunaan alat pencahayaan klasik yang hampir dilupakan.
23 Mar 25
177
USWa Perkasa Wanita: Fokus Ilmu, Kebajikan dan Sokongan Berterusan
USWa Perkasa Wanita: Fokus Ilmu, Kebajikan dan Sokongan Berterusan
KUALA TERENGGANU, 23 Mac – Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) komited dalam memperkasakan wanita di Kuala Besut dan Kota Putera melalui program berterusan yang memberi tumpuan kepada pembangunan ilmu, kebajikan serta sokongan dalam bidang ekonomi, sosial dan pendidikan. Pengarahnya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, USWa mengambil langkah proaktif dengan merangka pelan jangka pendek dan panjang bagi memastikan wanita di kawasan tersebut mendapat bimbingan berterusan. "Perbincangan tertumpu kepada pembangunan wanita, dengan penekanan kepada pengisian ilmu dan cakna kebajikan. "Hasil perbincangan dengan pihak berkaitan akan dibawa ke peringkat Exco Kebajikan dan Syariah bagi memastikan pelaksanaan inisiatif yang lebih menyeluruh," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di Dataran Alamanda, hari ini. Menurutnya, ilmu dan kebajikan menjadi tunjang utama dalam usaha membangunkan wanita yang lebih berdaya saing. "Insya-Allah, USWa merangka program jangka pendek dan panjang bagi memastikan wanita di kawasan ini mendapat bimbingan berterusan dalam pelbagai aspek kehidupan. "Kami percaya bahawa dengan ilmu, sokongan, dan inisiatif berterusan, wanita di kawasan ini menjadi lebih berdaya saing, berpengetahuan, dan sejahtera," ujarnya. Oleh itu ujar beliau, program-program bermanfaat akan terus dilaksanakan bagi membantu mereka mencapai potensi terbaik. Tambahnya, USWa juga akan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi bagi memastikan golongan wanita menerima manfaat daripada program yang disediakan.
23 Mar 25
68
Guru PASTI Hulu Terengganu Terima Duit Raya
Guru PASTI Hulu Terengganu Terima Duit Raya
HULU TERENGGANU, 23 Mac – Seramai 125 orang guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dari seluruh Hulu Terengganu menerima duit raya sebagai tanda penghargaan atas dedikasi dan usaha mereka dalam mendidik anak-anak generasi masa depan. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim, dalam satu majlis yang berlangsung pada 22 Mac di perkarangan Pejabat PAS Kawasan Hulu Terengganu. Menurut Maliaman, inisiatif itu sebagai tanda penghormatan kepada guru-guru PASTI yang bertugas di 25 pusat pendidikan di Hulu Terengganu. “Sumbangan ini merupakan satu bentuk penghargaan kepada para guru yang berkhidmat tanpa jemu dalam mendidik anak-anak kita. Majlis ini juga memberi peluang kepada mereka untuk bertukar pandangan dan memperkukuh hubungan dalam usaha memperkasakan pendidikan PASTI. “Walaupun sumbangan ini tidak seberapa, ia sedikit sebanyak sebagai tanda penghargaan buat para guru PASTI Hulu Terengganu yang setia mencurah bakti tanpa mengenal lelah,”katanya. Tambah beliau, majlis tersebut bukan sekadar simbolik penyampaian sumbangan, malah menjadi ruang bagi pemimpin dan pendidik untuk menjalin hubungan lebih erat serta berkongsi pandangan mengenai peranan pendidikan PASTI di kawasan tersebut. Para guru yang hadir kelihatan teruja dan berbesar hati menerima sumbangan tersebut dan berharap program sebegini dapat diteruskan bagi membakar semangat mereka dalam menjalankan amanah sebagai pendidik. Maliaman turut menzahirkan harapan agar para pendidik terus bersemangat dan komited dalam menyampaikan ilmu, sekaligus menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti di Hulu Terengganu. "Majlis ini mencerminkan sokongan berterusan terhadap sektor pendidikan serta menunjukkan keprihatinan pemimpin setempat dalam menghargai peranan guru-guru yang menjadi tunjang dalam membentuk generasi akan datang,"katanya.  
23 Mar 25
309
Kerajaan Negeri Jamin Ruang Buat Buskers, Asalkan Patuh SOP
Kerajaan Negeri Jamin Ruang Buat Buskers, Asalkan Patuh SOP
KEMAMAN, 21 Mac – Kerajaan Negeri Terengganu menegaskan bahawa pihaknya tidak berniat untuk menghalang penghibur jalanan (buskers) mencari rezeki, namun pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan adalah wajib bagi memastikan kelancaran serta keharmonian dalam aktiviti busking. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, tindakan segelintir buskers yang melanggar SOP menyebabkan komuniti mereka terpalit dengan pelbagai kritikan. “Kita tidak mahu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Inilah yang berlaku hari ini, pihak persatuan kena main peranan untuk memastikan ahli mereka tidak melampaui batas yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT). “Kita dan mereka bercakap soal cari makan, jadi jawatankuasa persatuan kena main peranan membantu kerajaan memastikan ahli-ahli mereka ikut SOP dan ada adab untuk ‘busking’. “Mereka perlu pilih dan kelaskan yang mana ‘busker’ yang betul-betul cari makan dengan hiburan jalanan, yang mana separuh masa dan ‘busker’ mana yang bermain sekadar ‘enjoy’ supaya tiada yang terjejas. “Persatuan perlu jelaskan kepada kerajaan negeri supaya sekiranya berlaku (isu) lagi, kita boleh kuatkuasakan pihak yang terlibat sahaja,” katanya ketika ditemui beberapa wakil Persatuan Buskers Terengganu diketuai setiausaha agungnya, Mohd Fazli A Rahman di hentian Rehat dan Rawat (RnR) Perasing, semalam. Tambahnya, kerajaan negeri tiada niat untuk sekat sesiapa cari makan, tetapi apabila sudah jadi isu kepada kerajaan, maka tindakan perlu diambil. “Jadi, saya harap buskers di Terengganu ini bersabar dan kita akan cari satu penyelesaian terbaik, namun buat masa ini terpaksa akurlah sementara ini,” ujarnya. Sementara itu, Mohd Fazli dan rakan-rakan mengambil maklum situasi yang berlaku dan berharap pertemuan dengan pihak berkaitan dapat menghasilkan penyelesaian yang terbaik bagi kedua-dua pihak. “Pertamanya, dari segi tindakan yang dibuat terlampau drastik dan mengejut, menyebabkan kesusahan sedikit di pihak kami. “Kita sebenarnya sudah maklum sangat apa kehendak kerajaan dan orang ramai, gaya persembahan, ‘volume’ bersesuaian dan sebagainya. “Jadi, saya juga kurang pasti kenapa (ada busker) jadi begini, mungkin saya akan bertanya kembali kepada ahli-ahli dalam persatuan,” katanya yang menyambut baik saranan supaya memperkemaskan SOP dikalangan ahli-ahli mereka. Sebagai info, seramai 179 ahli penghibur jalanan yang berdaftar dengan Persatuan Buskers Terengganu di seluruh negeri Terengganu.                        
22 Mar 25
310
Larangan 'Busking' Ekoran Rungutan Rakyat, Kerajaan Bantu Buskers
Larangan 'Busking' Ekoran Rungutan Rakyat, Kerajaan Bantu Buskers
KEMAMAN, 22 Mac – Kerajaan Terengganu menjelaskan bahawa larangan sementara aktiviti hiburan jalanan (busking) sepanjang 10 malam terakhir Ramadan bukan bertujuan menyekat rezeki penggiat seni, tetapi sebagai langkah menghormati suasana ibadah dalam tempoh tersebut yang juga disuarakan rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira rungutan netizen yang menyuarakan kebimbangan mengenai gangguan bunyi dan kesesuaian hiburan pada malam-malam terakhir Ramadan. Sehubungan dengan itu juga katanya, tindakan susulan membantu buskers akan dibuat selepas ini bagi mengurangkan kesan yang mereka hadapi. "Kerajaan negeri tiada niat untuk menyekat sesiapa mencari rezeki, tetapi apabila ia menjadi isu yang menimbulkan keresahan rakyat, maka tindakan perlu diambil sebagai penyelesaian," katanya. Beliau berkata demikian selepas program Peliter@Perasing di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Perasing, malam tadi. Menurutnya, kumpulan buskers adalah sebahagian daripada ekosistem pelancongan negeri, begitu juga pesta moreh yang turut merancakkan ekonomi setempat. Namun jelasnya, tindakan menghentikan sementara 'busking' dibuat kerana terdapat persembahan yang dianggap kurang sesuai dalam tempoh ibadah yang sangat dihormati ini. "Ada persembahan yang dikatakan agak keras. Apabila rakyat mengkritik, kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih konkrit. "Maka, pihak berkuasa tempatan mengambil langkah menghentikan sementara aktiviti 'busking' bagi memberi ruang kepada masyarakat memperbanyakkan ibadah," jelasnya. Menurut beliau, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah, serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Dato' Rosli Latif sudah memberi respon positif mengurangkan bebanan buskers dalam menyambut Aidilfitri. "Saya yakin buskers memahami keputusan kerajaan. Selepas Hari Raya Aidilfitri, mereka boleh meneruskan aktiviti seperti biasa. "Kita juga akan meneliti garis panduan yang lebih baik untuk Ramadan akan datang," tambahnya. Wakil Persatuan Buskers Terengganu diketuai setiausaha agungnya, Mohd Fazli A Rahman yang sempat bertemu Tokli di RnR Perasing menyampaikan memorandum sebagai penjelasan dan memohon pertemuan dengan pihak berkaitan.  
22 Mar 25
3341
125 Asnaf Dirai, Terima Sumbangan
125 Asnaf Dirai, Terima Sumbangan
BESUT, 24 Mac – Seramai 125 golongan asnaf menerima sumbangan dalam Majlis Iftar Perdana Parlimen Besut yang berlangsung di Dewan Haji Salleh, Alor Lintah baru-baru ini. Program itu dianjurkan bagi membantu mereka yang memerlukan serta mengeratkan ukhuwah antara pemimpin dan masyarakat setempat. Sumbangan disampaikan oleh Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, bersama Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman. Menurut Che Mohamad Zulkifly, inisiatif tersebut merupakan tanda keprihatinan kepada golongan yang memerlukan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan. “Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban mereka serta membawa kegembiraan dalam menyambut Ramadan,” katanya. Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada asnaf, diikuti tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Adam Said bagi memberikan peringatan rohani kepada para hadirin. Acara diteruskan dengan bacaan tahlil dan doa, sebelum majlis berbuka puasa serta solat Maghrib berjemaah. Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan majlis tersebut. “Kehadiran ramai penduduk menyemarakkan lagi majlis ini. Terima kasih kepada semua petugas dan sukarelawan yang bekerja keras. Semoga usaha ini diberkati,” katanya.  
22 Mar 25
51
Anwar, Dr. Sam Santuni Peniaga Bazar Ramadan
Anwar, Dr. Sam Santuni Peniaga Bazar Ramadan
KEMAMAN, 22 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengunjungi Bazar Ramadan Padang Astaka di Chukai, Kemaman, di sini, semalam. Ketibaan mereka disambut mesra oleh orang ramai, yang turut mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan kedua-dua pemimpin tersebut. Terdahulu, Ahmad Samsuri bersama Anwar telah menghadiri satu Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Terengganu (JPP) di pusat latihan Chukai, INTAN Kampus Wilayah Timur (INTIM). Cuaca mendung dan berangin dengan hujan sebelum itu tidak menghalang kehadiran pengunjung yang ramai di bazar berkenaan. Lawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar bermula sekitar jam 6.32 petang  Di sebalik hiruk-pikuk bazar yang meriah dengan laungan peniaga mempromosikan makanan mereka, kelibat Perdana Menteri dan Menteri Besar mula mencuri tumpuan. Tokoh-tokoh awam terkemuka itu melanjutkan kunjungan mereka dengan meluangkan masa menyantuni peniaga tempatan serta meninjau pelbagai jenis juadah yang ditawarkan. Kunjungan yang mengambil tempat di salah satu bazar Ramadan terbesar di Chukai itu diteruskan dengan acara berbuka puasa di Masjid Sultan Ahmad sebagai sebahagian daripada agenda rasmi beliau di Terengganu petang tadi. Majlis berbuka puasa tersebut dihadiri lebih 1,500 tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pemimpin tempatan, para ulama, pelajar, dan penduduk setempat.  
22 Mar 25
216
600 Keluarga Asnaf Terima Bantuan Zakat
600 Keluarga Asnaf Terima Bantuan Zakat
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Seramai 600 keluarga asnaf menerima bantuan dalam Majlis Agihan Zakat Noor Arfa yang diadakan di NACC Batik Pavilion semalam. Pengasas Noor Arfa Holdings Sdn Bhd, Wan Mohd Ariffin Wan Long berkata program anjuran Noor Arfa Holdings Sdn Bhd ini merupakan inisiatif tahunan bagi menyampaikan sumbangan hasil keuntungan syarikat kepada golongan yang memerlukan sempena bulan Ramadan. "Sebanyak 100 keluarga hadir secara langsung ke majlis ini untuk menerima bantuan berupa beras dan sumbangan tunai. "Manakala baki 500 penerima lain akan menerima sumbangan mereka melalui agihan di kawasan masing-masing dan sebanyak tujuh buah madrasah terpilih turut menerima sumbangan wang tunai bagi membantu keperluan para pelajar," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan. Program tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi yang hadir bersama isteri bagi menyempurnakan penyerahan bantuan kepada para penerima.  Dr. Khalil berkata program seperti ini bukan sahaja membantu meringankan beban golongan asnaf, malah ia menggalakkan lebih ramai pihak termasuk individu, syarikat dan organisasi untuk turut serta dalam usaha kebajikan.  "Saya menyokong penuh program ini dan saya berharap agar program sebegini diteruskan untuk tahun-tahun akan datang kerana pentingnya berkongsi rezeki terutama dalam bulan yang penuh keberkatan ini," ujarnya.
21 Mar 25
154
Tragedi Roboh Masjid Bujal Sukar Dilupakan
Tragedi Roboh Masjid Bujal Sukar Dilupakan
KEMAMAN, 21 Mac – Peristiwa perobohan Masjid Bujal pada 19 tahun lalu masih segar dalam ingatan penduduk, namun selepas bertahun-tahun menanti, sebuah surau baharu akhirnya dibina di tapak yang sama pada 2022 dan kini dikenali sebagai Surau Bujal. Pengerusi Surau Bujal, Mohammad Zamri Muda, meluahkan rasa syukur atas pembinaan semula surau tersebut namun tidak dapat menafikan bahawa kenangan pahit perobohan masjid lama masih berbekas di hati. “Dulu, kami bina masjid ini dengan titik peluh sendiri, tetapi ia dirobohkan di depan mata kami. "Kini, walaupun ia telah dibangunkan semula sebagai surau, kami tetap mengimpikan untuk melihatnya kembali berstatus masjid seperti dahulu,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam. Malam tadi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris hadir menunaikan solat tarawih bersama penduduk kampung. Razali berkata bahawa Surau Bujal bukan sekadar tempat solat, tetapi juga berperanan sebagai pusat pengajian agama dan aktiviti kemasyarakatan. “Kita ingin melihat surau ini terus dimakmurkan dengan aktiviti keagamaan seperti kuliah ilmu, majlis bacaan al-Quran, dan program kebajikan. “Insya-Allah, kita akan bantu dari sudut kebajikan supaya surau ini terus berkembang sebagai pusat ibadah dan akan melihat keperluan menaik taraf kemudahan sedia ada agar penduduk dapat beribadah dengan lebih selesa,” katanya. Untuk rekod, pada 26 Mei 2005, Masjid Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Bujal, Kijal itu telah dirobohkan dengan dibantu jentera jabatan kerajaan dan anggota polis. Peristiwa tersebut mencetuskan kesedihan dan kekecewaan dalam kalangan penduduk setempat yang telah bertungkus-lumus membina masjid tersebut hasil sumbangan orang ramai.  
21 Mar 25
1934
ADUN Agih 1,800 Bekas Bubur Lambuk di Kijal
ADUN Agih 1,800 Bekas Bubur Lambuk di Kijal
KEMAMAN, 21 Mac – Sebanyak 1,800 bekas bubur lambuk telah diagihkan dalam Program Gotong-Royong Memasak Bubur Lambuk Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal yang berlangsung di Kompleks Paya Lasir, semalam. Pengarah program, Aliy Zainal Abidin Hazri, berkata, program itu melibatkan penyertaan daripada pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh DUN Kijal, agensi kerajaan serta sukarelawan tempatan.   "Bubur lambuk yang dimasak secara bergotong-royong ini diagihkan ke 26 JPKK yang dibahagikan mengikut lima zon utama.   "Insya-Allah, pada sebelah petang ini akan diedarkan kepada penduduk di setiap JPKK masing-masing.Semoga usaha ini memberi manfaat kepada semua," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan. Sementara itu, ADUN Kijal, Datuk Razali Idris, turut hadir memeriahkan program tersebut dan beramah mesra dengan para peserta.   Razali berkata program gotong-royong dan memasak bubur lambuk ini bukan sahaja mengeratkan hubungan masyarakat tetapi juga mengekalkan tradisi memasak bubur lambuk sebagai simbol perpaduan di bulan Ramadan.   "Program ini yang juga merupakan acara tahunan sentiasa mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai setiap kali diadakan. "Semangat kerjasama seperti ini wajar diteruskan kerana ia mencerminkan budaya masyarakat kita yang saling membantu dan berkongsi rezeki.  
21 Mar 25
155