Artikel "Semasa" Terkini
Dugaan Ramadan, Mangsa Rumah Terbakar Sebak Anak-Anak Dapat Baju Raya
HULU TERENGGANU, 26 Mac – Seorang ibu tunggal yang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran baru-baru ini terharu selepas dibawa membeli pakaian raya di sebuah pasar raya oleh Exco Kerajaan Negeri.
Zuraidah Muhammad, 40, yang menetap di Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong bersama empat anaknya, tidak dapat menahan sebak apabila menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim, yang sebelum itu turun padang melihat sendiri kemusnahan rumahnya akibat kebakaran.
“Selepas rumah kami musnah dalam kebakaran isnin lalu, saya buntu memikirkan bagaimana mahu menyediakan kelengkapan raya buat anak-anak.
"Sumbangan ini amat bermakna buat kami sekeluarga,” kata Zuraidah dengan nada sebak.
Menurut Maliaman, bantuan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif beliau untuk membantu keluarga yang ditimpa musibah, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri yang bakal tiba.
“Kami prihatin dengan nasib yang menimpa Puan Zuraidah dan anak-anaknya.
"Selain membawa mereka membeli pakaian raya, kami juga sedang mengusahakan bantuan rumah sementara serta keperluan lain untuk memastikan mereka dapat menyambut Syawal dengan lebih selesa,” katanya.
Dalam kejadian kebakaran yang berlaku Isnin lalu, rumah Zuraida hangus dijilat api dipercayai akibat litar pintas.
Walaupun tidak mengalami kecederaan, beliau dan anak-anaknya kini menumpang di ibunya sementara menunggu bantuan perumahan daripada pihak berkuasa.
Turut hadir dalam sesi membeli baju raya Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Telemong, Zawawi Ismail dan Pengerusi NGO SCM Hulu Terengganu, Safari Abu.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Zuraida dan keluarganya boleh berbuat demikian dengan menghubungi Pusat Khidmat Adun Telemong.
26 Mar 25
363
Iftar Perdana DUN Kijal Himpun Ribuan Penduduk
KEMAMAN, 26 Mac – Majlis Iftar Perdana peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal mencatat kehadiran hampir 3,000 orang apabila diadakan secara berperingkat di empat zon berbeza.
Pengarah program, Wan Mohd Redzuan Mohd Kamar, berkata penganjuran di empat lokasi utama bertujuan memastikan keselesaan dan penyertaan lebih meluas dalam kalangan penduduk.
“Iftar Perdana bermula di Masjid Titian Berayun dengan kehadiran sekitar 700 orang, diikuti Masjid Kampung Ibok yang mencatat jumlah tertinggi seramai 900 orang.
"Seterusnya, Masjid Bukit Kuang menerima 700 orang, manakala Masjid Seri Bandi merekodkan 500 orang yang turut serta dalam majlis berbuka puasa ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Iftar Perdana bertempat di Masjid Seri Bandi semalam.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, menzahirkan rasa syukur atas kejayaan program yang bukan sahaja mengeratkan hubungan penduduk, tetapi juga menyemarakkan semangat perpaduan.
“Alhamdulillah, kita telah menyempurnakan Iftar Perdana di keempat-empat zon seperti dirancang.
"Sambutan yang diterima amat menggalakkan, membuktikan semangat kasih sayang dan perpaduan dalam masyarakat Kijal masih utuh.
"Insya-Allah, kita akan meneruskan penganjuran program seumpama ini pada masa akan datang," katanya.
25 Mar 25
54
Ibu Tunggal Hiba Lihat Rumah Hangus Sebelum 1 Syawal
HULU TERENGGANU, 26 Mac - "Saya kena kuat dan reda dengan ketentuan Illahi walaupun rumah dan barangan kelengkapan persiapan Aidilfitri musnah terbakar," kata tukang jahit, Zuraidah Muhammad, 40, dari Kampung Lubuk Batu, Kuala Telemong, dekat sini, selepas rumahnya musnah terbakar dalam kejadian malam tadi.
Lebih menyedihkan, lebih 200 helai pakaian pelanggan turut musnah tanpa dapat diselamatkan.
Menurutnya, dia berhasrat untuk memasuki rumah yang terbakar bagi menyelamatkan pakaian tersebut, namun usahanya dihalang oleh jirannya, Norsiah Sharif, 40, yang tinggal berhadapan rumahnya.
"Ada pakaian yang baru siap dijahit dan ada juga yang sedang dibaiki. Saya hanya menyedari kebakaran setelah pulang dari rumah jiran untuk mengambil pakaian yang perlu dibaiki.
"Setibanya di perkarangan rumah, saya melihat api sudah marak dan terus menjerit meminta pertolongan. Saya cuba untuk menyelamatkan pakaian pelanggan, tetapi jiran segera menarik saya ke kawasan rumahnya," katanya.
Sementara itu, anaknya, Muhammad Muqri Mat Rahim, 15, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8.25 malam ketika dia sedang menonton televisyen manakala adiknya, Muhammad Aiman Hakimi, 12, berada di dapur.
"Dua adik lain, Muhammad Amiruddin Harullah, 9, dan Zara Delisha, 5, berada di luar rumah. Tiba-tiba terdengar bunyi dari bilik ibu dan api terus marak sebelum beberapa letupan kedengaran.
"Saya segera menjerit meminta Muhammad Aiman keluar dari rumah, dan ketika itu ibu tiba di tempat kejadian," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, PBK 1 Mohd. Zaharim Yusof, memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian sekitar jam 8.30 malam.
"Seramai 14 anggota, termasuk bantuan dari BBP Wakaf Tapai, Marang, telah dikerahkan ke lokasi kejadian. Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separa kekal yang didiami lima sekeluarga.
"Kejadian ini menyebabkan rumah tersebut musnah sepenuhnya. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi.
25 Mar 25
125
Politik Simplistik Merosakkan Persekutuan Malaysia
Permainan politik murahan dan simplistik mengaitkan KDNK, kemunduran dan kemajuan negeri-negeri semata-mata kerana kelemahan atau kehebatan parti politik tertentu sebenarnya memberi kesan negatif kepada kesatuan persekutuan Malaysia yang telah dibina oleh pemimpin-pemimpin negara sewaktu kemerdekaan dahulu.
Sewaktu pembentukan sebuah persekutuan Tanah Melayu atau kemudiannya Malaysia, secara kasarnya semua negeri menyerah kuasa dan hasil sekitar 80 peratus kepada Kerajaan Persekutuan untuk diuruskan, manakala yang kekal di negeri hanyalah sekitar 20 peratus.
Sebagai timbal balik, Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab membangunkan negeri-negeri ini dengan ADIL dalam pelbagai sektor seperti infrastruktur, pelaburan, pendidikan, kesihatan, keselamatan, pengangkutan dan lain-lain.
Maksudnya, jika berlaku jurang yang besar dari segi kemajuan dan kemunduran negeri-negeri (anak) dibawah sebuah persekutuan (keluarga), ia petanda kelemahan pengagihan kekayaan dan pembangunan dibawah Kerajaan Pusat (bapa) yang ditangannya kuasa dan hasil yang diperah daripada ‘anak-anak’ nya.
Malah, ahli-ahli akademik bidang federalisma mendapati sistem persekutuan Malaysia ini antara sistem yang paling berpusat di dunia dalam kuasa dan hasil berbanding negara-negara berkonsep federalisma yang lain. Contohnya Australia, negeri-negeri di dalamnya boleh mengutip hasil melalui cukai jalan, dan di Canada pula cukai korporat turut dikutip oleh negeri-negeri.
Namun, di Malaysia, negeri-negeri hanya dibenarkan mengutip hasil cukai yang rendah dan terhad kepada tanah, sumber alam dan kerajaan tempatan sahaja.
Jadi, tidak mengejutkan, secara purata, perbelanjaan SEMUA negeri sebenarnya lebih tinggi dari hasil cukai sendiri. Lalu, semua perlukan kepada dana bantuan Pusat untuk kelangsungan termasuklah negeri-negeri kaya yang dibangunkan sejak zaman penjajah seperti Selangor dan Pulau Pinang. Tinggal lagi, mahu dipolitikkan ataupun tidak sahaja.
Sistem Persekutuan Malaysia sekarang ini yang terlalu berpusat kutipan hasil dan kuasanya juga terdedah kepada kelemahan yang boleh meruntuhkan kesatuan itu sendiri. Antaranya pengagihan peruntukan yang tidak bertanggungjawab dan tidak berdasarkan merit serta dijadikan alat penderaan politik.
Malah, data-data menunjukkan negeri-negeri kaya dan tinggi KDNK terus menerima peruntukan terbesar, manakala negeri-negeri miskin sebaliknya sehingga melebarkan jurang perbezaan.
Negeri-negeri yang kaya sejak zaman penjajah hasil pembinaan infrastruktur pelaburan seperti pelabuhan antarabangsa di Selangor dan Pulau Pinang terus mendapat manfaat terbanyak daripada agihan persekutuan ini. Malah apabila digabungkan dengan faktor bias politik dalam agihan, jurang pembangunan semakin buruk.
Antara solusinya adalah melaksanakan reformasi fiskal yang lebih bersifat penyamaan horizontal (horizontal equalization) dengan Kerajaan Persekutuan menurunkan lebih banyak kuasa kutipan hasil kepada negeri-negeri.
Pada masa yang sama meningkatkan proses audit dan integriti agar perbelanjaan yang diuruskan negeri lebih cekap dan sampai secara maksimum kepada rakyat. Ini bertepatan dengan falsafah sains politik iaitu ‘the best government is the closest to its people.’ Kerajaan negeri berserta jentera-jenteranya lebih rapat dan mengetahui permasalahan rakyat masing-masing.
Sebarang kelemahan yang terbuka kepada pencabulan dan penyalahgunaan politik seperti yang berlaku kepada perjanjian royalti minyak Terengganu juga perlu diperbaiki secara perundangan untuk mengembalikan kepercayaan bahawa sistem persekutuan Malaysia ini masih bermaruah dan tidak lagi menjadi permainan politikus-politikus usang.
Jika tidak, sebarang parti politik yang berjaya menguasai Kerajaan Persekutuan akan berterusan menyalahguna dan menjadikannya sebagai alat politik dendam.
Jika berterusan dijadikan alat politik murahan negeri mundur vs negeri kaya berpunca daripada ketidakcekapan atau kepandaian parti politik semata-mata, sedangkan tanggungjawab utama bermula di Persekutuan ditambah pula negeri-negeri itu maju sejak zaman penjajahan British dan wujud kelemahan struktural sistem persekutuan, ia berisiko memberi kesan negatif kepada falsafah pembentukan persekutuan Malaysia yang kita cintai ini.
Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob,
Ketua Pegawai Eksekutif TSIS.
(Rujukan bahan slides: Prof. Madya Dr. Tricia Yeoh, University of Nottingham Malaysia dan Dr. Judhiana Abdul Ghani, pakar fiskal federalisma, Universiti Putra Malaysia)
25 Mar 25
435
Terengganu Berhasrat Jadikan Jijoe Sebagai Mentor
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Kerajaan Terengganu berhasrat melantik Jaguh Trek Berbasikal Negara, Dato' Azizulhasni Awang sebagai mentor buat atlet di negeri ini bagi membentuk lebih ramai pelapis yang boleh mewakili Malaysia ke temasya sukan di peringkat antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, hasrat kerajaan negeri itu disampaikan ketika beliau bertemu dengan 'The Pocket Rocket Man'.
"Di samping itu, kami turut berkongsi pandangan dan idea mengenai usaha penggunaan fasiliti velodrom berbasikal di Dungun.
"Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk meneruskan agenda pembangunan sukan berbasikal secara lebih komprehensif supaya sentiasa berjaya melahirkan pelapis pelumba basikal di kalangan generasi muda Terengganu," ujarnya melalui suatu kenyataan, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Hishamuddin berkata sebelum ini pihaknya sentiasa bertemu dengan Azizulhasni untuk mengetahui perkembangan semasa prestasi sukan berbasikal negara.
"Rakyat Malaysia khususnya Terengganu berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan beliau.
"Atlet negara yang menerima julukan sebagai 'The Pocket Rocketman' sentiasa positif dan terus berusaha untuk diri beliau dan semua atlet berbasikal negara untuk terus maju jaya," ujarnya.
25 Mar 25
4081
Aidilfitri, SATU Jamin Bekalan Air Mencukupi
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Syarikat Air Terengganu (SATU) memberi jaminan bekalan air untuk kegunaan ketika perayaan Aidilfitri mencukupi di seluruh negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Abdul Karim Endut berkata, persiapan rapi sudah dilaksanakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bekalan air terputus luar jangkaan.
Menurutnya, terdapat 15 loji rawatan air (LRA) seluruh negeri berkenaan yang mempunyai kapasiti pengeluaran air bersih lebih tinggi iaitu kira-kira 1,030 juta meter padu sehari (MLD).
"Ketika ini kadar penggunaan air di Terengganu sekitar 830 hingga 890 juta meter padu sehari.
"Pada musim perayaan, peningkatan kita dapati lebih kurang sama dengan musim cuti sekolah atau cuti hujung minggu yang panjang yang dijangka berlaku peningkatan sekitar empat peratus.
"Secara keseluruhan, kita ada bekalan yang mencukupi atau rizab sehingga 22 peratus untuk tampung peningkatan penggunaan terutama di beberapa daerah seperti Besut dan Hulu Terengganu,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama media dan anak yatim di sini semalam.
Tambah beliau, antara daerah yang mempunyai permintaan tinggi pada musim perayaan ialah Besut dan Hulu Terengganu.
Dalam masa sama, Abdul Karim juga berkata, seramai 180 petugas bersiap sedia bagi menangani gangguan bekalan air sekiranya berlaku di mana-mana tempat.
“Kita juga memohon kebenaran polis untuk pergerakan 26 rakan niaga atau vendor di atas jalan raya jika berlaku kes kecemasan seperti kebocoran paip dan sebagainya,”ujar nya.
25 Mar 25
102
450 Keluarga Asnaf Terima Pek Perayaan Yayasan Petronas
KUALA TERENGGANU, 25 Mac – Yayasan PETRONAS, dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat menyantuni 450 keluarga kurang kemampuan di Terengganu bagi menceriakan sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata “Program Memacu Kehidupan: Aidilfitri itu antara komitmen berterusan melalui Yayasan PETRONAS, bagimembantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan sebagai persiapan menyambut lebaran.
“Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban golongan memerlukan dan membawa kegembiraan sempena Aidilfitri.
” Program Memacu Kehidupan Aidilfitri bakal memanfaatkan lebih 4,850 keluarga dan 21 rumah kebajikan dari seluruh negara, membolehkan mereka merasai kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga dan rakan-rakan tersayang,”ujarnya pada program Memacu Kehidupan: Aidilfitri, di sini semalam.
Majlis tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim.
Menurut Mohammad Ahmad Shazly , setiap keluarga terpilih menerima sumbangan pek perayaan yang mengandungi barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, kari ayam dalam tin, gula, garam, serbuk minuman coklat dan teh.
”Selain daripada itu, mereka juga turut menerima barangan bertemakan perayaan seperti, kacang tanah, santan kotak, pes rendang dan pes kuah kacang,”jelas beliau.
Dalam pada itu, Yayasan PETRONAS turut menyampaikan biskut raya yang disediakan khas oleh peserta Program MEKAR (Memampankan Ekonomi Asas Rakyat) anjuran Yayasan PETRONAS.
“Ianya merupakan salah satu daripada usaha PETRONAS membantu meningkatkan taraf kehidupan usahawan Industri Kecil dan Sederhana,” katanya
25 Mar 25
185
Exco Seru Mahasiswa Hayati Setiap Tindakan
KEMAMAN, 24 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, menyeru mahasiswa supaya betul-betul menghayati dan mendalami setiap perkara yang mereka lakukan.
Beliau berkata, ia termasuk dalam semua bidang yang mereka ceburi sama ada dalam pendidikan, pertanian, atau pelancongan.
“Kita nak mahasiswa buat sesuatu dengan kesungguhan dan jiwa. Kalau belajar, fahami ilmu dengan mendalam, bukan sekadar nak lulus periksa.
"Jika terlibat dalam pertanian, hayati kepentingannya untuk makanan dan ekonomi.Begitu juga dalam pelancongan, pastikan ia memberi kesan baik kepada negeri kita," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Meja Bulat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) belia Kemaman bertempat di Safina Resort di sini semalam.
Turut hadir dalam sidang tersebut ADUN Belia Kijal, Chukai dan Kemasik yang terdiri daripada Khairul Anas Harun, Aina Adam, dan Muhammad Fakhruddin Nordin
Razali yang juga ADUN Kijal berkata contohnya, dalam sektor pelancongan, Terengganu memberi penekanan kepada Islamic Tourism, selaras dengan dasar kerajaan negeri yang menitikberatkan Enakmen Etika Pematuhan Pemakaian dan Dasar Pematuhan Islam.
Beliau turut menegaskan kepentingan pemikiran Glokal (Global + Lokal), di mana mahasiswa digalakkan untuk berfikir secara global, tetapi dalam masa yang sama tidak melupakan akar budaya dan identiti tempatan.
“Selain itu, saya mencadangkan supaya satu Simposium Belia diadakan bagi mengumpulkan anak muda di bawah 40 tahun untuk berbincang dan bertukar pendapat, sekaligus membentuk jaringan kepimpinan masa depan.
“Saya juga mengalu-alukan belia untuk datang berjumpa saya bila-bila masa untuk berbincang tentang pelbagai isu.
“Jangan takut untuk bersuara dan berkongsi idea, sebab belia hari ini adalah pemimpin masa depan,” tambahnya.
25 Mar 25
145
Imam dan Bilal Tonggak Terengganu Sejahtera
Foto : Hanif Abbas
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Imam dan bilal menjadi tonggak penting dalam memastikan masyarakat negeri ini terus berada dalam keadaan sejahtera melalui peranan yang dijalankan oleh mereka.
Timbalan Pengerusi Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Ridzuan Hashim berkata, bertepatan dengan tema 'Pembangunan Masyarakat Berlandaskan Kepada Syariat', imam dan bilal bukan sahaja sahaja memimpin ibadah tetapi juga berfungsi sebagai pendidik, penasihat, pemimpin sosial yang menghubungkan masyarakat dengan nilai-nilai Islam.
"Prinsip-prinsip syariat yang ditegakkan oleh imam dapat membantu menjadikan masyarakat saling menghormati dan bertanggungjawab serta saling bantu membantu serta memperkuat hubungan 'Ukhwah Islamiyyah' antara ummah.
"Saya menyeru agar setiap imam dan bilal dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan disiplin agar dapat menjadi rujukan kepada masyarakat setempat.
"Saya juga mengharapkan agar para imam dan bilal ini juga dapat memainkan peranan untuk menarik golongan muda supaya dekat hampir dengan masjid dan melazimi solat berjemaah dan memandu para belia ini untuk hidup berpandukan syariat Islam," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Multaqa Imam dan Bilal Peringkat negeri, di Masjid Tengku Tengah Zaharah, di sini semalam.
Dalam pada itu Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), M.Rozi Bidin berkata, multaqa itu menjadi wadah penting dalam memperkasakan imam dan bilal di negeri ini.
"Sebagaimana kita maklum bahawa imam dan bilal adalah orang yang dihormati dalam komuniti bukan sahaja memimpin dalam ibadah tetapi juga membawa amanah yang besar sebagai penasihat, pembimbing dan pendidik untuk memperkasakan ummah dengan ilmu akhlak dan kepimpinan yang berlandaskan syariat.
"Semoga multaqa ini dapat memberi gambaran serta menerangkan tentang tugas dan tanggungjawab imam dan bilal," katanya.
25 Mar 25
201
Harga Santan Menjelang Aidilfitri Jadi Kebimbangan
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Pengguna di Terengganu tidak perlu bimbang tentang bekalan santan untuk sambutan Aidilfitri tahun ini, kerana ia dijangka mencukupi bagi memenuhi permintaan tinggi di musim perayaan.
Walau bagaimanapun, harga santan yang semakin meningkat seperti baru-baru ini menjadi kebimbangan utama pihak berkuasa dan kalangan pengguna.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman, berkata pemantauan ketat akan dijalankan bagi memastikan harga santan tidak melebihi harga maksimum yang ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Aidilfitri 2025.
"Bekalan santan dijangka mencukupi, namun kita akan pantau betul-betul harga dia kerana ada peniaga yang menjual santan sehingga RM20 sekilogram.
"Dalam senarai harga kawalan, harga maksimum ditetapkan pada RM17.50. Syukur, di premis seperti Sabasun, mereka tidak melebihi harga yang telah ditetapkan oleh KPDN.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas majlis Pelaksanaan SHMMP Aidilfitri 2025 di Sabasun cawangan Dungun semalam.
"Selain santan, kelapa parut dan kelapa biji juga termasuk dalam senarai barangan kawalan SHMMP kerana bahan ini sering digunakan dalam penyediaan juadah Aidilfitri," tambahnya.
Ariffin turut memberi jaminan bahawa bekalan beras tempatan dan minyak masak juga mencukupi bagi menampung keperluan pengguna sempena musim perayaan ini.
Dalam pada itu, Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat, memaklumkan bahawa walaupun stok minyak masak mencukupi, pihaknya tetap menghadkan jumlah pembelian bagi memastikan bekalan dapat diagihkan secara adil kepada semua pengguna.
"Stok minyak masak terhad, tetapi masih mencukupi untuk keperluan Aidilfitri. Oleh itu, pembelian dihadkan kepada dua unit bagi minyak paket dan satu botol bagi minyak botol untuk setiap keluarga," jelasnya.
25 Mar 25
114