lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Empty Image
‘Kerajaan Negeri Prihatin Komuniti Kami’ - OKU
Sebahagian pelajar tekun menggunakan al-Quran Braille untuk mempelajari kalam Allah di Pertis Wilayah Terengganu.KUALA NERUS, 16 Disember - Bertemakan ‘Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera’, Bajet Negeri Terengganu 2019 disifatkan berimbang, menyeluruh serta memperluaskan kumpulan sasar.Belanjawan 2019 yang berjumlah RM2.015 bilion dibentangkan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar baru-baru ini, dilihat sebagai bajet yang inklusif kepada semua kumpulan sasar termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) selari dengan usaha kerajaan memperkasa golongan itu.Pengerusi Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Terengganu, Mohd Fauzi Mansor berkata, peruntukan yang mencecah kira-kira RM4 juta untuk OKU amat bermakna buat komuniti terbabit di negeri ini.“Alhamdulillah, hasil daripada pembentangan Bajet 2019 yang dibentangkan baru-baru ini, saya mewakili OKU penglihatan amat berterima kasih kepada kerajaan negeri yang sangat prihatin terhadap komuniti OKU Terengganu.“Antaranya, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi mengembangkan program pengajian al-Quran Braille di negeri ini dengan menyediakan Pusat Pengajian Braille di Kemaman dan Besut sebagai tambahan pusat sedia ada di Kuala Nerus ini,” ujarnya kepada wakil Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di Pejabat Pertis, di sini baru-baru ini (4 Disember).Mohd Fauzi berkata, dengan peruntukan yang diberikan itu diharap Negeri Terengganu dapat melahirkan lebih ramai golongan cacat penglihatan yang boleh menguasai al-Quran selaras dengan visi Pertis sendiri untuk melahirkan golongan buta yang celik al-Quran.“Malah dengan pertambahan pusat pengajian sebegini kita mengharapkan program pengajian al-Quran Braille ini dapat terus dikembangkan dan lebih menyeluruh sekali gus memudahkan golongan OKU penglihatan mempelajari al-Quran di kawasan masing-masing dan tidak hanya bertumpu di Pertis sahaja,” ujarnya.Sementara itu, salah seorang pelajar Pertis, Anis Sakinah A. Azizi, 21, turut menyokong penambahan pusat pengajian Braille di negeri ini.“Saya sokong apa yang akan dilaksanakan kerajaan kerana dengan adanya pusat pengajian Braille yang baharu, ianya akan memberi manfaat kepada rakan-rakan yang senasib dengan saya untuk mempelajari al-Quran.“Ini akan memudahkan golongan istimewa yang berada jauh dari Kuala Nerus untuk mendalami kalam Allah ini khususnya mereka yang tinggal di sekitar Kemaman dan Besut,” ujarnya.Bagi tukang urut sambilan pula, Muhamad Azri Nasruddin Abd Rashid, 21, berpendapat Bajet 2019 yang memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi membantu OKU menerusi Dana Prihatin Terengganu (D-HATI) untuk usahawan OKU sangat bermakna buat golongan senasib sepertinya yang terlibat dengan  perniagaan.Katanya, beliau amat berbesar hati kerana kerajaan prihatin terhadap komuniti OKU malah peruntukan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu usahawan OKU mengembangkan lagi perniagaan sedia ada.
15 Dec 18
463
Empty Image
Kerajaan Bela Nasib Golongan B40
Oleh : Safwan SyakirKUALA NERUS,16 Disember 2018 - Kerajaan negeri sentiasa mengambil berat mengenai kebajikan golongan B40 yang merujuk kepada pendapatan isi keluarga di bawah 40 peratus.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak berkata, terdapat banyak keistimewaan yang bakal dinikmati oleh golongan ini."Antara yang telah kita laksanakan ialah membuka semula dan meluluskan permohonan khususnya lot-lot tapak rumah serta mengembalikan semula tanah yang dirampas pada tahun 2004."Proses tersebut sedang berjalan dan diharap pemohon bersabar menunggu giliran mereka,"katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Baucer Persekolahan kepada 150 Pelajar Miskin Dun Bukit Tunggal di Dewan Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Bukit Tunggal, kelmarin.Turut hadir, Pegawai Kebajikan dan Hal Ehwal Masyarakat Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Tunggal Wan Faudzi Wan Harun. Mengulas lanjut berkenaan manifesto Pilihanraya yang lalu, Dr Alias berkata, kerajaan negeri akan berusaha menunaikan 12 perkara dalam tempoh dua tahun iaitu 2018 dan 2019.“Selebihnya akan dilaksanakan pada tahun 2020 dan 2021. Kerajaan juga akan membina 5,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) pada tahun ini dan keseluruhan tidak kurang 20,000 unit dalam tempoh empat tahun.“Projek RMM ini memakan masa selama setahun jika menggunakan teknologi IBS dan 18 hingga 24 bulan sekiranya menggunakan cara biasa."Target kita semua rakyat yang sudah berumahtangga dapat miliki rumah sendiri menjelang tahun 2030," ujarnya.Tambah beliau lagi, kerajaan akan melaksanakan wad kelas tiga percuma pada tahun hadapan untuk rakyat Terengganu yang dibiayai oleh kerajaan negeri sebanyak RM5 juta untuk membayar caj yang dikenakan oleh kementerian kesihatan."Kerajaan sedang mengenal pasti kira-kira 20,000 buah keluarga daripada golongan berpendapatan rendah yang bakal dapat manfaat menggunakan kad sejahtera."Kad ini bernilai RM500 dan rakyat boleh menggunakan kad ini di klinik swasta untuk mendapat rawatan yang cepat tanpa perlu dibayar,” ujarnya.Selain itu katanya, antara tawaran buat anak anak muda puala kerajaan negeri memperuntukkan RM300 untuk memastikan golongan yang berumur 16 tahun keatas dapat memiliki lesen motosikal percuma."Saya menyeru kepada semua yang cukup umur nanti supaya tidak melepaskan peluang dengan tawaran ini agar anak-anak kita selamat menunggang motosikal tanpa insiden yang tidak diingini berlaku. Kaedah pendaftaran sedang dibincang dengan EXCO Belia, Sukan dan NGO negeri,” ujarnya.Antara janji kerajaan yang telah dilaksanakan juga katanya, termasuk karnival kahwin percuma yang di setiap DUN selain daripada tabung usahawan sebanyak RM 15 juta yang bakal dilaksanakan dan memberi manfaat kepada usahawan tempatan."Sektor awam agak terhad peluang pekerjaan yang disediakan. Oleh itu, saya menggesa agar rakyat melibatkan diri dalam perniagaan yang juga dianjurkan dalam agama Islam dan mewarisi Sunnah Nabi."Seterusnya, mengenai air percuma mestilah golongan yang berdaftar dengan e- kasih dan Majlis pengurusan Komuniti kampung (MPKK) mestilah memainkan peranan mereka dengan mengenalpasti golongan ini," tegasnya.Di samping itu katanya, bermula tahun depan kerajaan akan menghapus cukai pintu rumah kediaman dengan kos ditanggung kerajaan sebanyak RM 14 juta setahun."Turut menggembirakan para ibu bapa di sektor awam ialah akan diwujudkan pusat penjagaan anak-anak yang berumur empat tahun ke bawah di setiap jabatan kerajaan. Hal ini secara tidak langsung ibu bapa dapat berjumpa anak anak mereka walau di pejabat," ujarnya.Tambah beliau, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM 5 juta setahun untuk memberi biasiswa kepada pelajar-pelajar cemerlang di negeri Terengganu yang ingin melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.Menurutnya lagi, kerajaan juga memberi bantuan kepada sekolah sekolah agama dan pondok bagi memperkasakan institusi tersebut yang mempunyai keistimewaan tersendiri serta telah banyak mencurah jasa mengajar agama kepada rakyat Terengganu.“Kerajaan juga akan menambah cawangan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) di setiap DUN seluruh negeri,” ujarnya.Menyentuh mengenai peluang pekerjaan katanya, kerajaan akan membuka kilang silika seluas kira-kira 4,000 hektar di Jambu Bongkok dan bakal memberi 7,000 peluang pekerjaan disamping kerajaan juga akan mewujudkan Bandar Baru Lestari bermula tahun 2020.“Semoga segala hasrat dan perancangan kerajaan berjalan dengan baik untuk memberi kebajikan kepada rakyat serta menjadikan negeri ini Maju Berkat dan Sejahtera,” ujarnya.
15 Dec 18
123
Empty Image
Kerajaan Peringat Orang Ramai Jangan Tinggal Solat Fardu
Ustaz Satiful Bahri (tengah) ketika menyertai Himpunan Bantah ICERD di Kuala Lumpur baru-baru ini.KUALA TERENGGANU, 16 Disember - Orang ramai diperingatkan supaya menunaikan solat jumaat dan solat fardhu kerana mereka yang tidak berbuat demikian masing-maisng boleh didenda antara RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan hingga tiga tahun.Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, menurut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 Bahagian III - Seksyen 18 menyatakan bahawa mana-mana orang, yang mukallaf, yang tidak menunaikan sembahyang fardhu tanpa keuzuran syarie adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau di penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.Sementara Seksyen 16 enakmen yang sama menyatakan mana-mana orang lelaki, yang mukallaf, yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat di masjid dalam mukim masjidnya tiga kali berturut-turut tanpa uzur syarie atau tanpa sebab yang munasabah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.Ketika dihubungi beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, kerajaan negeri mahu memastikan rakyat negeri Terengganu bebas dari kesalahan jenayah tersebut kerana kesalahan tidak solat jumaat dan fardhu adalah satu kesalahan dosa besar.Menurut beliau rakyat beragama Islam di negeri ini wajib menjaga hubungan mereka dengan Allah melalui solat fardhu kerana ia amat penting bagi melahirkan masyarakat madani berteraskan hubungan mereka dengan pencipta manusia itu sendiri (Allah SWT)."Kita mahu menjadikan negeri Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera, bererti hubungan dengan Allah melalui solat tidak boleh sekali-kali diabaikan kerana ia adalah kunci segala keberkatan hidup umat Islam."Pengabaian tanggungjawab itu merupakan satu kesalahan besar dan dengan tujuan itulah kerajaan menguatkuasakan enakmen berkenaan," tegas beliau.Sementara solat jumaat, satu manifestasi himpunan perpaduan umat Islam secara mingguan di masjid agar arahan, peringatan dan maklumat penting mengenai hal ehwal Islam dan umatnya dapat disampaikan kepada mereka."Mereka perlu kepada kesatuan, kesedaran dan sensitif terhadap perkembangan terkini permasalahan Islam dan umatnya dalam dan luar negara."Justeru itu Allah SWT menjadikan hari Jumaat sebagai hari mereka berhimpun di masjid sekaligus menjelaskan bahawa mereka perlu ada hubungan dengan masjid sebagai lambang kesatuan dan syiar umat Islam," jelasnya lagi. Dalam perkembangan yang sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika ditemui pemberita di Paya Bunga (PB) Square di sini kelmarin berkata, undang-undang yang telah diwartakan sentiasa dikuatkuasakan dan penguatkuasaan sedang berjalan.Ustaz Mohd Nor (dua dari kanan) berbincang sesuatu dengan seorang pengusaha pawagam di PB Square semasa Kempen "Street Dakwah' di Kuala Terengganu kelmarin."Kita (kerajaan) serah kepada pihak penguatkuasa untuk melaksanakan undang-undang yang sudah sedia ada, jika ada tangkapan berlaku kita serah kepada pihak kehakiman menentukan keputusannya, kita tidak ganggu mereka. "Bahagian kuasa kerajaan ialah menentukan garis panduan, kerajaan buat pemantauan, bidang kuasa kerajaan ialah beri nasihat dan ingatan supaya jangan melakukan kesalahan ini.Beliau yang juga ADUN Bukit Payung berkata, jika ada aduan boleh maklum kepada pihak penguatkuasa dan penguatkuasa menjalankan siasatan dan memantau mana-mana kawasan yang dianggap ada orang yang tidak menunaikan sembahyang jumaat."Tetapi tidak boleh tangkap terus, ada juga orang yang tidak sembahyang dia musafir, termasuk di kawasan-kawasan pelancongan," ujarnya.Sementara itu, Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Nik Zuhaiza Ismail berkata, seramai lapan lelaki Islam dicekup kerana didapati ponteng solat Jumaat sepanjang tempoh 2016 hingga November lalu.Kesemua mereka ini didakwa di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.Nik Zuhaiza berkata, penguatkuasaan itu juga adalah bagi meningkatkan kesedaran umat Islam mengenai kewajipan melaksanakan solat fardhu yang lain bermula dengan penekanan solat Jumaat secara berjemaah."Mungkin ada umat Islam yang seumur hidup tidak pernah solat. Menerusi penguatkuasaan ini secara tidak langsung akan membuatkan dia hadir ke masjid walaupun bukan secara sukarela dan siapa tahu hadirnya hidayah dan memberi kesedaran kepadanya," ujarnya.Beliau berkata, kempen dan kesedaran perlu diteruskan dan diperkasa lagi supaya selari dengan tindakan undang-undang yang diambil."Di bahagian penguatkuasaan, kami akan pastikan kempen kesedaran kepada umat Islam selari dengan penguatkuasaan yang diambil," katanya.
15 Dec 18
62
Empty Image
Guru Lemas Di Setiu Akhirnya Ditemui
Oleh: Abd Muhaimin muhammed, Ariss AliasSETIU, 15 Disember 2018 - Mayat seorang guru yang lemas di Sungai Setiu, Bandar Permaisuri pada dua hari lepas akhirnya ditemui pada jam 10.15 pagi tadi.Mangsa, Abdul Rauf Zulkurnain, 27, yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Tiara Permai di Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mustafa Ismail berkata, mangsa telah ditemui terapung dua kilometer dari tempat terakhir mangsa kelihatan oleh Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu."Mayat akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut," ujar beliau lagi.Operasi pencarian terdiri daripada 74 anggota pelbagai jabatan dan agensi termasuklah PDRM Daerah Setiu, PPDA JBPM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Setiu, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Setiu, dan Jabatan Amal Setiu.Terdahulu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Ustaz Zul Bhari A Rahman menghadiri sesi taklimat operasi menyelamat bersepadu di bilik gerakan operasi."Saya berharap operasi pagi ini berjalan dengan lancar serta berdoa pada Allah agar mangsa segera ditemui memandangkan cuaca pada hari ini hujan turun tidak henti-henti," katanya.Pada 13 Disember yang lalu, mangsa mandi bersama adik dan dua rakan di Sungai Setiu, Bandar Permaisuri. Mangsa tidak dapat berenang dengan baik akibat arus kuat dan telah hilang dari pandangan dikhuatiri lemas.
14 Dec 18
357
Empty Image
Aras Air Waspada Di Sungai Utama Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Disember - Hujan menyeluruh dan kadangkala lebat direkodkan di antara 70mm hingga 150mm di kawasan Hulu Terengganu, Marang dan Hulu Dungun.Timbalan Pengarah Pembangunan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Osman Abdullah berkata, sehingga kini, 1 sungai melepasi aras bahaya dan 7 sungai melepasi aras amaran atau waspada."Sungai melepasi bahaya, Sungai Penih di Felda Mengkawang melepasi bahaya 0.38m (bahaya 37.50m)."Manakala sungai melepasi amaran atau waspada termasuklah Sungai Besut di Kampung Keruak, Besut, Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu dan Sungai Telemong di Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu."Selain itu, Sungai Kemaman di Paya Paman, Sungai Setiu di Kampung Besut dan Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiuturut melepasi amaran atau waspada," katanya.Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita hari ini, mengulas tentang info terkini keadaan banjir Terengganu.Dalam pada itu, menurut Osman, sekiranya keadaan hujan berterusan sehingga malam ini, banjir boleh berlaku sekali lagi di kampung-kampung yang berada di kawasan rendah dan berpotensi banjir terutama di sepanjang Sungai Penih, Sungai Berang, Sungai Tersat dan Sungai Telemong.Dalam tumpuan sama, katanya, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) telah meramalkan  banjir akan berlaku bermula esok, 16 Disember 2018 mulai jam 12.00 tengah hari di daerah Hulu Terengganu yang melibatkan 22 buah kampung kesemuanya."13 buah kampung di sepanjang Sungai Penih, Sungai Berang dan Sungai Tersat melibatkan Kampung Pengkalan Ajal, Kampung Paya Besar, Kampung Batu 24, Kampung Menerong, Bukit Balik Hidung, Kampung Pasir Pelata, Kampung Kua, Kampung Padang Stor, Kampung Lubuk Periuk, Kampung Cheting, Kampung Pelandan, Kampung Penih dan Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Gunung Menerong."9 buah kampung di sepanjang Sungai Telemong termasuklah Kampung Teris, Kampung Tok Lawit, Kampung Tengkawang, Kampung Kuala Ping, Kampung Kepah, Kampung Matang, Kampung Nibong, Kampung Paloh Nyior dan Kampung Bukit Tadok," tambahnya.Semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan sentiasa berhubung dengan Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) yang berhampiran."Keselamatan perlu dijaga terutama anak-anak perlu dielakkan daripada bermain air banjir," tegasnya.
14 Dec 18
274
Empty Image
Ustaz Mohd Nor Pimpin Kempen 'Street Dakwah' Terengganu
Ustaz Mohd Nor (tengah) ketika menemui golongan belia dalam Kempen Street Dakwah di PB Square petang semalam.KUALA TERENGGANU,  15 Disember - Kerajaan negeri sentiasa memantau pusat-pusat hiburan agar pengusahanya mematuhi garis panduan hiburan patuh syariah yang ditetapkan bagi mengelak berlakunya kejadian maksiat di premis berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri,  Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan telah melihat garis panduan yang sedia ada dan akan memperkemaskan lagi garis panduan tersebut di masa akan datang. "Jadi kita (kerajaan) sudah meninjau pusat hiburan di bandar Kuala Terengganu dan melihat sendiri operasi hiburan dijalankan. "Ini termasuk melihat dari segi kekuatan lampu dan susunan kerusi  yang ada dalam panggung wayang di Paya Bunga (PB) Square yang bertujuan untuk menambah baik garis panduan hiburan yang sedia ada, " katanya. Ustaz Mohd Nor (tengah) memasuki pintu sebuah pawagam di PB Square bagi meninjau operasi pawagam berkenaan. Menurut beliau, kerajaan telah membentuk satu jawatankuasa khusus pelaksanaan syariah,  yang mana di bawahnya terdapat beberapa orang exco yang sedang berusaha memperkemaskan garis panduan kesenian,  kebudayaan dan hiburan di negeri Terengganu. Ustaz Mohd Nor berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai Program 'Street Dakwah' anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT)  di Bangunan PB Square di sini petang semalam. Turut serta dalam masa sejam program itu, 20 orang anggota penguatkuasa syariah diketuai oleh Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) JHEAT, Ustaz Nik Zulhaiza Ismail. Ustaz Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata, program itu adalah kempen kepada pengunjung-pengunjung di pawagam PB Square, bertujuan untuk memberi kesedaran kepada mereka agar tidak lupa untuk menunaikan solat fardhu. "Yang keduanya untuk memberi kesedaran kepada mereka tentang kesalahan-kesalahan dalam agama seperti bercumbuan dengan 'ajnabiyyah' (di tempat awam), pergaulan bebas dan sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang jenayah syariah. "Jadi kita turun atas asas untuk memberi kesedaran kempen dan melaksanakan program street dakwah kepada warga yang ada di panggung ini, " jelas beliau. Katanya, di waktu yang sama, kerajaan sedang membuat pemantauan tentang pelaksanaan garis panduan hiburan di panggung wayang di premis berkenaan sekali gus berusaha memperkemaskan garis panduan yang sedia ada. "Kerajaan akan sediakan garis panduan hiburan lebih kemas dan kita akan kemukakan kepada syarikat-syarikat yang mengadakan panggung wayang atau yang telah buat industri panggung wayang di negeri Terengganu ini agar ia bertepatan dengan syariat dan tidak akan berlaku sesuatu yang mencemari kemuliaan dan kemurnian nilai-nilai Islam itu sendiri, " jelasnya lagi. Di samping itu katanya,  kerajaan berharap masyarakat awam tidak hanya mengutamakan hiburan semata-mata tanpa menjaga dan mengambil kira nilai-nilai Islam dalam aktiviti tersebut.Mengenai kempen street dakwah, beliau menjelaskan, ia bertujuan untuk memberi kesedaran kepada anak-anak muda yang datang menonton di pawagam berkenaan tanpa rasa takut terhadap kedatangan rombongan kempen itu. Ini kerana ia hanya untuk menyebar risalah kempen semata-mata bukan bertujuan menjalankan operasi cegah maksiat. "Kami  harap dengan risalah yang kami edar itu,  mereka terima dan mereka balik baca dan mereka ada kesedaran (untuk jauhkan diri dari kesalahan jenayah syariah), insya-Allah, " jelas beliau lagi. 
14 Dec 18
45
Empty Image
50 Orang Asli Terima Bantuan Persekolahan
Oleh: Shahril AswadHULU TERENGGANU, 14 Disember - Seramai 50 orang Asli di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong merupakan antara 410 orang penerima pada hari kedua agihan Bantuan Awal Persekolahan 2019 peringkat DUN Telemong, di sini.Mereka merupakan penduduk Kampung Sungai Berua dan Kampung Tapah di Mukim Jenagor.Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu berkata, bantuan itu merupakan komitmen kerajaan negeri bagi meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan sebagai persiapan musim baru persekolahan.“Keprihatinan kerajaan negeri menerusi skim bantuan ini adalah untuk meringankan beban rakyat khususnya untuk persiapan persekolahan.“Kita layan rakyat dengan adil, kita tidak akan sisihkan orang Asli dan sumbangan daripada agensi kerajaan  akan diteruskan untuk membantu penduduk etnik ini di sini menjalani kehidupan yang lebih selesa  seperti rakyat lain," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Pengagihan Bantuan Awal Persekolahan Sesi 2019 DUN Telemong di Dewan Sivik Kampung Kuala Pueh baru-baru ini (11 Disember).Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Telemong, Ustaz Yusuf Abdullah dan Pegawai Jawatankuasa Kebajikan Orang Asli (JKOA) Sungai Berua, Ghazali Ngah.
14 Dec 18
54
Empty Image
Terengganu Mahu Jadi Hab Batik Dunia
Ukiran kayu mampu beri pulangan lumayan.BESUT, 15 Disember - Kerajaan Terengganu berhasrat menjadi antara negeri ‘gergasi’ dalam pemasaran dan pengeluaran batik di peringkat dunia.Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, hasrat itu diperkukuhkan lagi dengan kursus baharu yang bakal diwujudkan oleh Politeknik Besut pada tahun 2021.“Diploma Industri Kraf dan Batik yang diwujudkan merupakan yang pertama dan satu-satunya di Politeknik Malaysia.“Pengkhususan kepada ukiran kayu dan batik fesyen akan dapat melahirkan bahan baru dalam industri yang berdaya saing.Nurkhuzaini menyampaikan sijil kursus kepada tenaga pengajar politeknik.“Walaupun kedua-dua industri ini kurang popular tetapi ia memberikan pulangan lumayan bagi yang berkemahiran tinggi dalam bidang ini.“Kerajaan negeri sentiasa mencari jalan untuk menjadikan industri ini sebagai salah satu kerjaya pilihan dalam usaha melahirkan lebih ramai ‘player’ di pelbagai peringkat.“Inisiatif yang dilakukan Politeknik adalah usaha yang baik dan perlu diteruskan,” katanya kepada pemberita ketika merasmikan penutup Bengkel Perkongsian dan Pembangunan Ukiran Kayu Tradisi di Desa Ukiran Kayu, Kampung Raja kelmarin.Bengkel tersebut merupakan kursus ‘Training of Trainer’ bagi tenaga pengajar Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual Politeknik untuk pembangunan program baharu yang bakal diwujudkan.Bengkel tersebut berlangsung selama lima hari bermula 9 Disember lalu yang menampilkan pembelajaran secara teori dan praktikal.Seramai enam orang tenaga pengajar dilatih dengan asas ukiran kayu yang bakal dijadikan silibus dalam program baharu itu.Turut hadir dalam majlis itu ialah Eksekutif Latihan Desa Ukiran Kayu, Mohamad Mazran Zakaria, Pengarah Politeknik Besut, Mukhtar Bakar dan Pengurus Kanan Pengurusan Aset dan Pembiayaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Zulkifli Yunus.
14 Dec 18
275
Empty Image
Tengkujuh Melanda, Pendapatan Nelayan Tidak Menentu
Oleh: Safwan SyakirKUALA NERUS, 15 Disember - Pendapatan nelayan di negeri Terengganu tidak menentu memandangkan keadaan angin kencang dan laut bergelora sekali gus tidak selamat untuk menjalankan sebarang aktiviti. Salah seorang nelayan, Masrul Efendi Muhammad dikenali sebagai Yo’ berkata, kebiasaannya bermula penghujung November hingga Mac, kebanyakan nelayan memilih untuk tidak mengambil risiko turun ke laut.“Buat masa ini air pasang besar pada waktu malam dan saya sendiri tidak mempunyai sebarang punca rezeki lain selain daripada mencari hasil laut.“Selain daripada angin monsun timur yang sedang melanda pantai timur, pencerobohan daripada nelayan asing juga menjadi masalah buat nelayan tempatan mencari rezeki walaupun bukan musim  tengkujuh," luahnya ketika ditemui pemberita di jeti Sungai Seberang Tuan Chik Haji, Bukit Tunggal, kelmarin.Pembantu Operasi Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Azizan Mohamed berkata, rumah yang dekat dengan pantai berisiko tinggi dinaiki air ketika berlaku 'pasang besar' lebih-lebih lagi pada waktu malam.“Masyarakat khususnya ibu bapa diingatkan supaya memantau aktiviti anak-anak mereka bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini berlaku,” katanya ketika meninjau paras air sungai Nerus kelmarin.
14 Dec 18
75
Empty Image
NADMA-JKM Agih Kit Makanan Bantu Mangsa Banjir
HULU TERENGGANU, 14 Disember - Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Terengganu  mengagihkan Kit Makanan Permulaan (KMP) kepada 392 keluarga mangsa banjir gelombang pertama di daerah ini.Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kebajikan Produktif dan Komuniti JKM negeri, Ghazali Awang berkata, ianya sebagai langkah awal untuk memastikan kebajikan mangsa terbela dalam menghadapi tekanan akibat banjir yang melanda.Menurutnya, kit ini diisi dengan produk-produk berjenama Agromas yang sedia untuk dimakan segera tanpa perlu dimasak.“Ia diberikan kepada setiap keluarga menerusi ketua isi rumah masing-masing sebelum mereka pulang ke rumah."Keperluan asas ini adalah sesuatu yang amat bernilai kepada mangsa, ia dapat memberi keselesaan kepada mangsa dan keluarga sepanjang operasi membersih rumah dari penyediaan makanan segera yang cepat disediakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu, di sini semalam.Seramai 69 keluarga menerima bantuan KMP dan merupakan antara yang terlibat dengan banjir yang melanda kawasan berkenaan sejak kelmarin.Turut hadir, Pegawai JKM Hulu Terengganu, Norazmy Adenan.Menurut Ghazali, antara produk yang dibekalkan ialah biskut gula, bubur nasi, minuman oat, minuman kopi 3 dalam 1, sardin, sapuan kaya, sapuan bilis, serta barangan keperluan seperti cawan dan sudu plastik.Untuk rekod, NADMA menyediakan sebanyak 50,000 KMP bagi mangsa bencana terutama ketika musim tengkujuh yang melanda beberapa negeri tahun ini.NADMA sudah membekalkan sebanyak 67,837 kit itu yang bernilai RM4.3 juta sepanjang tempoh empat tahun sehingga tahun lalu (2014 hingga 2017).Semua makanan  boleh bertahan selama setahun dan jumlah 50,000 kit yang ditambah tahun ini berikutan keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban mangsa bencana.
14 Dec 18
833