Artikel "Semasa" Terkini
16 Keluarga Terjejas Akibat Banjir Kilat Di Kg Gong Tok Nasek
Antara mangsa yang masih ditempatkan di PPSOleh: Fidee AzizKUALA TERENGGANU 17 Disember- Penduduk Kampung Gong Tok Nasek di sini terkejut apabila kampung mereka dilanda banjir kilat setelah hujan lebat selama beberapa jam, malam kelmarin.Hujan lebat bermula jam 3 pagi dan berterusan lima jam mengakibatkan banjir yang sebelum ini tidak pernah di alami di sekitar kampung tersebut turut disebabkan faktor pertembungan air pasang serta masalah perparitan.Berikutan itu, 16 keluarga mangsa terpaksa dipindahkan terdiri daripada 68 orang termasuk kanak-kanak, bayi, dan warga emas ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan(SK) Gong Tok Nasek sejak petang semalam.Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dalam satu kenyataan berkata hujan yang direkodkan di stesen-stesen sekitar daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang menunjukan keamatan hujan yang sangat lebat melebihi 100 milimeter (mm) dalam tempoh tiga jam.Sementara itu, Penyelia Institut Modal Insan Sejahtera Dewan Undangan Negeri(DUN) Batu Buruk, Ustaz Abu Bakar Salleh mengarahkan semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) untuk turun rumah ke rumah supaya berpindah ke PPS bagi mengelakkan sebarang kemalangan nyawa berlaku.“Kita minta orang ramai tidak panik dan sentiasa peka dengan pengumuman dan arahan pihak berkuasa,”katanya ketika melawat mangsa banjir yang berada di PPS SK Gong Tok Nasek.Turut hadir,Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) Gong Tok Nasek,Mohamad Hanafi Ismail.Setakat jam 10 pagi tadi, sebanyak lapan PPS masih diaktifkan membabitkan dua daerah iaitu Kuala Terengganu dan Marang melibatkan 853 mangsa daripada 218 keluarga dipindahkan ke PPS sejak pagi semalam berikutan kawasan perumahan mereka ditenggelami air.
17 Dec 18
305
Terengganu Rangka Tindakan Susulan Banjir
Tengku Hassan tinjau rumah dan saliran yang dinaiki air.KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar berkesempatan meninjau banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang pagi semalam.Beliau yang ditemani kakitangan Pusat Khidmat DUN melihat keadaan rumah mangsa dan saliran di lokasi kejadian memaklumkan, keadaan itu telah beberapa kali berlaku dan memerlukan tindakan yang sistematik.“Banjir kilat awal pagi ini di DUN Ladang disebabkan hujan lebat semalam dan dijangkakan akan berulang dua tiga kali lagi pada musim ini.“Punca utamanya ialah longkang yang tidak mampu menampung jumlah air yang banyak daripada kawasan lain melalui kawasan ini sebelum turun ke sungai dan laut. “Penduduk di sini mengatakan air tersekat di punca saliran sama ada di Kuala Ibai atau Tok Andis dan kita akan mengesahkan puncanya,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Alamanda semalam.Keadaan Zainun akan diberi perhatian.Dalam tumpuan sama, beliau sempat menziarahi rumah ibu tunggal, Zainun Yusof, 76, yang turut dinaiki air sehingga ke ruang tamu rumah. Zainun yang baru menjalani pembedahan di kepala terlantar ditemani anak-anaknya.Tengku Hassan yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri menegaskan akan melaksanakan tindakan susulan untuk membantu penduduk supaya kejadian ini tidak berulang di masa akan datang.“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan buat laporan teknikal untuk kita ambil tindakan. Untuk kawasan ini, kita dapati air berjalan tetapi tidak dapat mengalir dengan deras menyebabkannya bertakung selama dua tiga jam.“Kita mahu laksanakan penyelesaian segera dan berkesan. Tetapi, JPS lebih tahu teknikalnya untuk tindakan susulan dan kita terpaksa menunggu laporan tersebut.“Bagi situasi ini, pemindahan tidak diperlukan. Cuma ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) telah diarahkan bersedia untuk membantu sebarang masalah yang berlaku dengan segera,” katanya.
17 Dec 18
52
Kelab Ibu Tunggal Tingkat Kendiri Wanita
Oleh: Sulaiman, Adli MohamadDUNGUN, 18 Disember - Ibu-ibu tunggal digalakkan bekerjasama dalam Kelab ibu Tunggal agar nasib mereka terbela.Ahli Jawatankuasa Persatuan Isteri Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa'), Siti Zaliha Mohd berkata, dengan menyertai persatuan akan memudahkan urusan pihak yang berwajib untuk membantu."Ibu tunggal perlu berdikari bagi mengharungi kehidupan yang penuh ranjau. Adalah menjadi hasrat kami agar ibu tunggal setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapat pembelaan yang sewajarnya dengan penubuhan kelab ini."Menjadi ibu tunggal bukanlah satu pilihan. Namun takdir telah menentukan segala yang dihadapi bagi menguji keimanan menjadi wanita yang tabah menjalani kehidupan," katanya ketika dihubungi kelmarin.Menurut Siti Zaliha, dalam meningkatkan ekonomi dan memenuhi segala keperluan, ibu tunggal boleh melibatkan diri dalam bidang keusahawanan melalui peluang dan bantuan yang disediakan pihak kelab."Antara perniagaan yang boleh diceburi ialah perniagaan berasaskan 'frozen', katering, jahitan serta kemahiran urutan dan kecantikan."Ibu tunggal boleh membuat pinjaman melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), TEKUN Nasional dan sebagainya."Kami berharap Kelab Ibu Tunggal akan terus maju dan hebat tanpa dipandang negatif oleh masyarakat," jelasnya.
17 Dec 18
424
Bengkel Bina Strategi Dan Perancangan Kerajaan Negeri
Dalam Bajet 2019 YAB Menteri Besar menyebut bahawa rakyat Terengganu yang mahukan keberkatan mestilah beriman dan bertakwa. Foto - Hadi HarunKEMAMAN, 17 Disember - Bengkel Strategi dan Perancangan Penggubalan Dasar-dasar berkait portfolio Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri yang diadakan bermula kelmarin hingga hari ini diharap akan dapat menambah baik tiga dasar penting kerajaan negeri.Pengerusinya, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, ia perlu dirangka dan disusun bagi menjayakan hasrat Menteri Besar (MB) Terengganu.Katanya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membentangkan Bajet 2019 mahu melahirkan rakyat yang memiliki empat sifat iaitu ubudiyah, mas’uliah, itqan dan islah.“Portfolio ini merangkumi tiga dasar. Yang pertama dasar pembangunan insan, yang kedua dasar dakwah dan yang ketiganya (dasar) penerangan.“Bahkan dalam bajet MB menyebut bahawa rakyat Terengganu yang mahukan keberkatan daripada Allah mestilah beriman dan bertakwa. Sudah tentu dua perkara ini merupakan asas dalam membina dan membangunkan insan di negeri Terengganu,” jelasnya.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung berkata demikian ketika ditemui pemberita pada bengkel tersebut di Darul Iman Training Centre (DITC) kelmarin.Katanya, pergerakan dakwah hendaklah dibuat kepada seluruh sasaran, dalam dua keadaan. Yang pertama, kepada Muslim yang sudah berada dalam ruang lingkup kesedaran Islam. Mereka sentiasa memenuhi masjid-masjid, surau-surau, rumah Allah dan mereka berminat dengan agama.“Yang kedua Muslim yang kemungkinan berada dalam kejahilan, kelalaian, kelekaan. Kita perlu mendekatkan mereka kepada agama Islam itu sendiri. Manusia yang lupa tanggungjawab mereka kepada keluarga, penagih dadah, LGBT dan berbagai isu yang ada,” ujarnya.Sementara itu, jelas Ustaz Mohd Nor, usaha penerangan adalah satu kerja yang besar untuk memberitahu apa sahaja yang hendak dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.“Ianya bertujuan supaya rakyat mengambil peluang daripada apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan dan rakyat sedar bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah untuk kepentingan dan kebaikan kepada mereka.“Yang kedua untuk mengelakkan rakyat daripada terpengaruh dengan fitnah yang buruk,” tambahnya.Justeru, beliau berharap rakyat dapat menilai segala maklumat berasaskan Islam dengan tabayyun (selidik) dan cari penjelasan dan penerangan daripada sumber rasmi kerajaan negeri sendiri untuk menangkis fitnah.
17 Dec 18
147
Enduro Challenge 4x4 Promosi Bukit Besi
Oleh: Adli MohamadDUNGUN, 17 Disember - Kejohanan sukan lasak, Enduro 4x4 Championship 2018 yang bermula 15 hingga 16 Disember baru-baru ini dapat mempromosikan Bukit Besi menjadi satu destinasi untuk dilawati.Penyelas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, acara ini sering menjadi tumpuan serta sentiasa mendapat penyertaan dari dalam dan luar negeri."Kita mengalu-alukan program sebegini diadakan di Bukit Besi."Kita ada trek-trek yang menarik yang kaya alam semulajadi di sini."Disamping itu, ia juga memberi impak ekonomi kepada penduduk Bukit Besi kerana merek diberikan peluang dan ruang berniaga secara percuma," katanya kepada pemberita semasa ditemui dalam acara berkenaan di Tasik Puteri baru-baru ini (15 Disember).Tirai kejohanan dibuka seawal pagi dengan aksi motocross di litar basah dan licin.Ghazali berharap semangat kejohanan yang tinggi akan menjadikan perlumbaan lebih menarik."Hujan tidak henti-henti sejak semalam menjadikan litar sedikit licin dan becak, namun acara tetap diteruskan."Keadaan ini tentu menjanjikan aksi dan cabaran yang tersendiri," katanya.Acara anjuran Alam Perkasa Group bersama Terengganu Four Wheller Team itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman.
17 Dec 18
235
Kem Solat Medium Didikan Agama Anak Terengganu
Kem Solat bantu anak-anak lebih faham agama.Oleh: Syed KamalKUALA TERENGGANU, 17 Disember - Ibu bapa seharusnya memberi didikan agama seawal mungkin kepada anak-anak agar tidak mudah terjebak dengan gejala sosial yang banyak berlaku pada hari ini. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, penganjuran Kem Solat 1.0 yang diadakan boleh digunakan sebagai medium pembelajaran untuk anak-anak ketika cuti sekolah."Didikan agama di peringkat awal penting untuk membendung anak-anak daripada terlibat dalam gejala tidak sihat."Kebanyakan jenayah remaja yang dapat dilihat hari ini berpunca kerana tidak mendapat didikan agama sejak kecil."Salah didikan semasa kecil bakal menjadikan mereka orang yang tidak baik pada masa akan datang."Ingatlah pepatah ada mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya," katanya kepada pemberita ketika hadir dalam program tersebut di Masjid Lama Durian Burung, kelmarin.Kira-kira 100 orang peserta daripada penduduk sekitar menjayakan program selama sehari tersebut yang dianjurkan Pejabat Parlimen Kuala Terengganu.
17 Dec 18
134
Petani Dan Peniaga Perlu Celik Revolusi Industri 4.0
Oleh: Afiq M. ZaidBESUT, 17 Disember - Revolusi Industri (RI) 4.0 perlu dimanfaatkan oleh setiap individu khususnya dalam bidang keusahawanan dan pertanian bagi mengurangkan penggangguran.Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, RI 4.0 yang telah diadaptasikan di negara-negara maju seperti Jepun mampu memberi peluang kepada petani dan usahawan baru."RI ini telah diamalkan di Jepun tapi tidaklah mengurangkan tenaga kerja sampai orang mengganggur."Ianya kerana revolusi ini dimanfaatkan oleh semua individu dan mereka membangun bersama industri (keusahawanan dan pertanian)," ujarnya.Katanya, beliau mengharapkan petani juga tidak ketinggalan dalam pembaharuan industri ini.Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan Kedai Pertanian ZMTanijaya di Program Keusahawanan Pertanian di Alor Lintang, Besut baru-baru ini (14 Disember).Menurut Mohd Norkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, ianya juga perlu diadaptasi dalam perniagaan."Asasnya sebagai contoh, peniaga ini ada kedai, dan bila RI 4.0 berjalan dengan baik, perniaga-peniaga tak perlu ke kedai. Orang boleh beli di mana sahaja, dengan telefon pintar dia boleh 'order' dan barang boleh dihantar terus."Jadi, anak muda khususnya perlu bangunkan bisnes kita ini supaya seiring dengan RI 4.0," jelasnya.
17 Dec 18
33
Dana Bantuan Persekolahan Ringankan Beban Rakyat
Ustaz Mat Daik Mohamad menyerah beg sekolah kepada salah seorang pelajar yang layak menerima Dana Bantuan Persekolahan di Hulu Besut Oleh : Norekwan MamatHULU BESUT 17 Disember -Dana Bantuan Persekolahan yang mula diagihkan bermula hari ini mampu meringankan beban rakyat yang kurang berkemampuan.Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri(DUN) Hulu Besut, Ustaz Mat Daik Mohamad, berkata bantuan dana ini dapat meringankan beban keluarga yang memerlukan kerana persiapan untuk memasuki penggal persekolahan yang baharu juga adalah kos yang perlu difikirkan."Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah menyediakan bantuan I-DANA walaupun tidak sebesar mana tetapi ianya satu pemberian yang perlu kita syukuri.“Bantuan yang diberi kerajaan negeri ini membuktikan keprihatinan terhadap bidang pendidikan agak anak-anak keluarga kurang berkemampuan ini dapat memasuki sesi persekolahan baharu dengan pakaian lengkap sama seperti anak yang lain,” katanya ketika Majlis Perasmian I-DANA di Dewan Sivik Kampung Pasir Akar, di sini hari ini.Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada pihak Institusi Modal Insan Terengganu Sejahtera(i-MiTS) Dun Hulu Besut kerana bertungkus lumus dalam membuat persiapan untuk program ini. Untuk rekod, kerajaan Pas meneruskan pemberian Dana Bantuan Persekolahan yang sudah menjadi tradisi tahunan semasa kerajaan terdahulu dengan memperuntukkan RM12 juta bagi sesi persekolahan 2019.Dianggarkan 116,000 pelajar akan mendapat manfaat daripada dana itu yang digerakkan bagi meringankan bebanan keluarga.
17 Dec 18
243
Syarikat Perlombongan Janji Bayar Ganti Rugi
Oleh : Adli MohamadDUNGUN, 17 Disember - Sebuah syarikat perlombongan bijih besi, di sini berjanji akan membayar kerugian yang dialami penduduk berikutan banjir lumpur akibat kolam takungan kerja perlombongan milik syarikat itu pecah, semalam.Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Cawangan Perumahan Bukit Besi, Abas Ghani berkata, pihaknya mengunjungi syarikat itu bagi menyiasat perkara sebenar sebalik isu yang berlaku.Katanya, hasil pertemuan dengan pihak pengurusan syarikat, mereka berjanji akan membayar ganti rugi kepada pemilik tiga rumah yang terjejas akibat banjir lumpur itu."Hasil pertemuan itu, pengurus syarikat, Mr Khoo memberitahu bahawa apa yang terjadi adalah di luar jangkaan dan pihaknya berjanji membayar ganti rugi serta meminta supaya mangsa membuat nilai tafsiran jumlah kerugian sebenar."Kita datang ini adalah untuk mencari jalan penyelesaian dan tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak.Selama 60 tahun tidak pernah lagi terjadi banjir lumpur sedemikian. Ini adalah pertama kali dalam sejarah di Bukit Besi,"katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan dengan pengurusan syarikat itu, di sini, semalam.Menurutnya, takungan air yang digunakan membasuh bijih pecah disebabkan kelajuan kepala air serta menyebabkan limpahan banjir lumpur ke kawasan sekitar."Kita mengharapkan agar syarikat berkenaan mengotakan janji demi kebaikan penduduk setempat yang terjejas akibat kejadian itu," katanya lagi.Kejadian itu juga menyebabkan satu gelanggang futsal turut rosak dan syarikat berkenaan turut berjanji untuk membaik pulih semula kemudahan sukan kepada orang ramai itu.Penjaga dewan futsal, Ibrahim Jusoh berkata, kemudahan sukan itu menjadi platform anak muda sekitar mengadakan aktiviti sukan dan riadah terutama berfutsal pada setiap hari terutama hujung minggu sehinggakan kutipan sewa gelanggangnya mampu mencecah sehingga RM400 sehari."Jadi kerja baik pulih itu perlu disegarakan supaya tidak menjejaskan aktiviti .anak muda di Bukit Besi ini," katanya.
16 Dec 18
105
Tiga Daerah Di Terengganu Dilanda Banjir
Air naik di hadapan bangunan Yayasan Islam Terengganu.KUALA TERENGGANU, 17 Disember - Hujan lebat yang bermula jam 3.00 pagi tadi dan berterusan sehingga jam 8.00 pagi ini menunjukan keamatan hujan yang sangat lebat melebihi 100mm dalam tempoh 3 jam dan ada yang melebihi 200mm/6 jam di stesen-stesen sekitar daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.Timbalan Pengarah Pembangunan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Osman Abdullah berkata, kebiasaan hujan 200mm ini direkod untuk tempoh sebulan musim biasa. Keadaan ini dikhuatiri boleh menyebabkan banjir kilat."Beberapa kawasan telah dilaporkan berlaku banjir kilat di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus melibatkan sekitar Jalan Sultan Omar, sekitar Jalan Kamarudin, hadapan sekolah di Kuala Ibai, Taman Sri Intan, Jalan Tekukur Taman Dahlia, Simpang 4 Chendering, selekoh Kubang Ikan dan berdekatan Sekolah Menengah Datuk Razali."Manakala kawasan terjejas di Marang termasuklah Kampung Kijing, Kampung Rhu Muda, Kampung Gong Merawang, Kampung Seberang Marang, Kampung Serating, Kampung Pulau Rusa dan Kampung Kelulut," katanya.Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita hari ini, mengulas tentang keadaan banjir di Terengganu."Untuk makluman, kebanyakan sungai-sungai masih lagi berada di aras normal kecuali Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu dan Sungai Chalok, Setiu yang baru melepasi waspada jam 10.00 pagi ini."Daripada jadual pasang surut yang dikeluarkan oleh Pusat Hidrografi Nasional Malaysia, air laut pasang besar bermula akan bermula 20 hingga 28 Disember 2018," jelasnya.
16 Dec 18
712