lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Pertandingan Pelita Raya Dun Ajil Meriahkan Sambutan Aidilfitri
Pertandingan Pelita Raya Dun Ajil Meriahkan Sambutan Aidilfitri
HULU TERENGGANU, 29 Mac – Tradisi menyalakan pelita panjut sempena Aidilfitri terus disemarakkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil apabila buat pertama kalinya diadakan Pertandingan Pelita Raya peringkat DUN.  Inisiatif ini digerakkan oleh komuniti setempat dengan penyertaan lebih 15 kampung di sekitar DUN Ajil, yang masing-masing menghiasi kawasan pekan Ajil dengan pelita raya pelbagai reka bentuk dan susunan kreatif. Sebanyak 3,000 pelita dipasang sepanjang bangunan Ajil Trade Centre ( ATC ), mencetuskan suasana yang memukau dan mengimbau kenangan lama. Lima Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setiap mukim telah menyertai pertandingan ini, menampilkan kreativiti dan usaha dalam mengekalkan tradisi pelita panjut. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim, pertandingan itu bukan sahaja bertujuan untuk mengembalikan nostalgia tetapi juga untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk setempat. Selain itu katanya, program pelita turut diadakan sebagai sambutan penuh mesra kepada para perantau yang pulang ke kampung halaman, menjadikan suasana Aidilfitri lebih bermakna dan berwarna-warni. “Tradisi pelita panjut ini adalah warisan nenek moyang yang semakin dilupakan. "Dengan penganjuran pertandingan ini, kita bukan sahaja menghidupkan kembali budaya tersebut tetapi juga memberi ruang kepada anak muda untuk turut serta dalam aktiviti komuniti,” katanya ketika merasmikan pertandingan tersebut. Pertandingan ini dinilai berdasarkan kreativiti susunan pelita, keunikan reka bentuk, dan elemen tradisional yang diterapkan. Pemenang utama akan membawa pulang hadiah wang tunai serta trofi khas sebagai penghargaan atas usaha dan komitmen mereka dalam mengekalkan warisan tradisi ini. Pertandingan tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah serta Ahli Parlimen Hulu Terengganu, YB Dato' Rosol Wahid. Johan pertandingan telah dimenangi oleh pasukan dari Mukim Penghulu Diman yang diwakili oleh JPKK Bukit Apit, Cerang Nibong dan Jaba yang membawa hadiah wang tunai sebanyak RM 700. Kemenangan ini mengukuhkan lagi semangat gotong-royong dan perpaduan dalam kalangan penduduk kampung. Sementara itu, seorang peserta, Rulasmawi A.Wahab, 48, meluahkan rasa bangga dapat turut serta dalam pertandingan ini dan berharap ia akan menjadi acara tahunan.
29 Mar 25
106
Aidilfitri : Pengguna Perlu Rancang Perbelanjaan Dengan Berhemah
Aidilfitri : Pengguna Perlu Rancang Perbelanjaan Dengan Berhemah
KUALA TERENGGANU, 28 Mac- Orang ramai dinasihatkan fokus kepada keperluan dan tidak mudah terpengaruh dengan taktik promosi jualan murah di musim perayaan Aidilfitri.  Ketua Cawangan Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) Terengganu, Mohd Azizuddin Abdullah berkata, bukan suatu kesalahan untuk berbelanja di musim perayaan tetapi biarlah berpada-pada dan mengikut kemampuan. "Kebanyakkan pengguna yang terlebih belanja pada musim perayaan disebabkan tidak membuat perancangan perbelanjaan yang rapi selain mudah dipengaruhi dengan tawaran jualan murah. "Ditambah sekarang ini penggunaan kemudahan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) yang semakin popular di platform e-dagang mendorong mereka berbelanja mengikut nafsu tanpa memikirkan risiko dikemudian hari," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung di TV Darul Iman menerusi segmen Selamat Pagi Terengganu, di sini, baru-baru ini. Mengulas lanjut katanya, BNPL sepatutnya digunakan untuk keperluan bukan sekadar memenuhi kehendak, terutama dalam musim perayaan. Susulan itu katanya, AKPK memperkenalkan formula SAHUR bagi membantu pengguna menguruskan kewangan secara berhemah sekali gus dapat membimbing masyarakat dalam membuat keputusan. "Maksud untuk singkatan bagi formula ini ialah semak keperluan sebelum membeli (S), awasi perbelanjaan dan bandingkan harga BNPL dengan harga asal (A), hadkan pembelian mengikut kemampuan bukan mengikut kredit tersedia (H), usah terburu-buru, fikir alternatif lebih murah (U) dan rancang pembayaran balik dengan teliti (R)," jelasnya.
27 Mar 25
86
Keuzuran Bekas Pengamal Media Dapat Perhatian Exco Terengganu
Keuzuran Bekas Pengamal Media Dapat Perhatian Exco Terengganu
KUALA TERENGGANU, 27 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris, menzahirkan rasa simpati terhadap bekas jurugambar Utusan Malaysia, Azlan Bahrum, 41, yang menderita gout kronik sehingga menjejaskan pergerakan dan sumber pendapatannya.   Razali berkata, beliau memahami kesukaran yang dihadapi Azlan selepas kehilangan pekerjaan dan berdepan dengan masalah kesihatan.   “Ia bukan sesuatu yang mudah untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan ini.  "Saya berharap bantuan Aidilfitri dalam bentuk keperluan asas seperti bakul makanan serta sumbangan kewangan dapat meringankan beban keluarga Azlan,” katanya ketika program Ziarah Kasih di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, di sini, hari ini.   Azlan kehilangan pekerjaan pada 2019 selepas syarikat akhbar tempatnya bekerja ditutup.  Kini, pergerakannya semakin terbatas akibat kelemahan sendi kaki dan tangan, memaksanya bergantung kepada tongkat dan kerusi roda. Keadaan ini menyukarkannya untuk bekerja dan menampung kehidupan.   Menurut Azlan, dia terpaksa menolak tawaran kerja kerana ketidakpastian terhadap serangan penyakitnya.   “Bukan saya tak mahu bekerja, tetapi saya tidak tahu bila gout akan menyerang.  "Jika saya tidak dapat menyiapkan kerja, pelanggan pasti kecewa,” katanya.   Kini, dia bergantung sepenuhnya kepada isterinya, Norhaspida Yatim, 39, yang bekerja sebagai wartawan untuk menyara keluarga dan menguruskan keperluan harian.  Pasangan itu mempunyai tiga anak, Muhammad Aqif Rayyan, 12, Awatif Nur Adawiyah, 11, dan Awfiyah Nur Umairah, 9.
27 Mar 25
542
Jual Makanan Kepada Orang Tidak Berpuasa, Wanita Dipenjara
Jual Makanan Kepada Orang Tidak Berpuasa, Wanita Dipenjara
SETIU, 27 Mac – Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Setiu selepas mengaku bersalah atas kesalahan menjual makanan kepada individu yang tidak berpuasa dalam bulan Ramadan. Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie Mahkamah Syariah Setiu selepas wanita terbabit mengaku bersalah mengikut Seksyen 19(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001 kerana tidak menghormati bulan Ramadan. Mengikut keputusan mahkamah, sekiranya pesalah gagal membayar denda RM2,000, hukuman penjara akan ditambah selama 15 hari, menjadikan jumlah keseluruhan 20 hari penjara. Bagaimanapun, pesalah berjaya membayar denda yang dikenakan dan kini menjalani hukuman penjara selama lima hari di Pusat Tahanan Wanita Pengkalan Chepa, Kelantan, bermula 24 Mac 2025 sehingga 28 Mac 2025. Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustaffa.
27 Mar 25
198
Surau Bujal Akhirnya Terima Bekalan Elektrik TNB Setelah 20 Tahun Menanti
Surau Bujal Akhirnya Terima Bekalan Elektrik TNB Setelah 20 Tahun Menanti
KEMAMAN, 26 Mac – Selepas 20 tahun menanti, Surau Bujal, yang dahulunya sebuah masjid, akhirnya menerima bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).   Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, berkata sebelum ini surau tersebut hanya bergantung kepada sumber elektrik sementara yang dibekalkan oleh kontraktor.  “Proses permohonan meter TNB telah mengalami kelewatan akibat beberapa masalah teknikal, namun kini isu tersebut telah diselesaikan,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Bantuan Asnaf TNB Berhad bertempat di Surau Bujal, Kampung Payoh di sini semalam. Turut hadir Pengurus Besar TNB Negeri Terengganu, Ir. Mohamad Mohyddin Mohd Noor. Razali berkata, dalam pertemuan bersama wakil TNB, beliau mencadangkan agar bekalan elektrik tidak hanya diberikan kepada surau, tetapi juga kepada seluruh kediaman di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Bujal. “Ketika ini, bekalan elektrik sudah tersedia, namun kapasitinya masih belum mencukupi untuk menampung pertambahan kediaman di kawasan tersebut. “Bagi mengatasi masalah ini, sebuah sub stesen TNB baharu akan dibina dalam masa terdekat bagi memastikan bekalan elektrik lebih stabil dan mencukupi untuk keperluan penduduk di RTB Bujal," ujarnya.  
26 Mar 25
425
LAUT Beri Diskaun 50 Peratus Kepada Pemegang Lesen Rumah Bot
LAUT Beri Diskaun 50 Peratus Kepada Pemegang Lesen Rumah Bot
KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Kerajaan Negeri melalui Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) bersetuju memberikan potongan sebanyak RM500 daripada harga baharu RM1,000 setahun kepada pemegang lesen rumah bot di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu berkuat kuasa pada 6 Mac lalu. Pengarah Laut, Safura Mad Juhari berkata, harga baharu lesen sebanyak RM1,000 itu ditetapkan setelah Peraturan-Peraturan Sumber Air Terengganu (Caj Pendaftaran Vesel) 2025 diwartakan bagi menggantikan Enakmen Lalulintas 1988. Menurutnya, pewartaan peraturan baharu itu  bertujuan mengawal selia aktiviti navigasi di sumber air dalam negeri Terengganu. “Pembayaran caj ini diharap dapat mencerminkan komitmen dan kesepaduan pemegang taruh dalam mengurangkan risiko kepada sumber air seperti risiko pencemaran, pengurusan sampah pepejal yang kurang efisien, hakisan tebing dan lain-lain. “Antara kawasan tumpuan bagi navigasi di sumber air adalah di Tasik Kenyir, yang merupakan sumber bekalan air utama bagi lima buah daerah di negeri ini, selain kawasan penjanaan kuasa hidroelektrik, dan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Kelas 1,”ujar kenyataan itu. Tambahnya, pendekatan itu dirangka melalui beberapa Sesi Libat Urus (SLU) bersama pelbagai pihak berkepentingan sejak tahun 2023 termasuk pengusaha bot, nelayan, NGO, agensi penguatkuasaan dan jabatan kerajaan.  Jelas beliau lagi, hasil kutipan caj pendaftaran vesel akan disalurkan bukan sahaja kepada pembangunan infrastruktur seperti kemudahan pembuangan sisa dan pemantauan kualiti air, tetapi juga kepada kajian had keupayaan penerimaan beban pencemar di Tasik Kenyir. “Keseluruhan usaha ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kelestarian sumber air dan keseimbangan antara keperluan ekonomi, rekreasi, serta pemeliharaan alam sekitar.  “la juga menekankan tanggungjawab kolektif dalam memastikan pengurusan sumber air yang mampan demi manfaat masyarakat dan alam sekitar secara berterusan,” katanya.
26 Mar 25
174
Rebut Peluang Pendidikan untuk Anak Asnaf
Rebut Peluang Pendidikan untuk Anak Asnaf
KUALA TERENGGANU,26 Mac - Pendidikan adalah kunci keluar dari kepompong kemiskinan dan inilah matlamat utama ‘Program Tunas Scholar’ yang diperkenalkan oleh Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMIKT). Program yang menyediakan tajaan penuh dalam bidang kejururawatan kepada anak-anak asnaf ini bukan sekadar membuka peluang akademik, tetapi juga menjanjikan masa depan yang lebih cerah dengan jaminan kerjaya. Pengurus Besar KMIKT, Salina Long, berkata program dilaksanakan memberi peluang kepada anak-anak asnaf untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejururawatan serta menjamin mereka pekerjaan di rangkaian hospital KMI Healthcare. "Kami bukan sekadar menyalurkan zakat dalam bentuk bantuan kewangan, tetapi juga memastikan asnaf mendapat pendidikan dan masa depan yang lebih cerah.  "Sejak dilancarkan, program ini telah menaja seramai 20 pelajar dengan kos pembelajaran sekitar RM65,000 seorang," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perkongsian Dalam Keberkatan, di KMIKT, di sini semalam. Turut bersama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TDM Berhad; Najman Kamaruddin. Beliau menegaskan bahawa program itu bukan hanya satu sumbangan, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang dalam membina generasi yang lebih berdikari dan berdaya saing.  "Kami berharap lebih ramai dapat menyertai dan menerima manfaat program ini.  "Ini adalah komitmen kami dalam memastikan masyarakat setempat terus dibantu dan dibangunkan," tambahnya. Sementara itu, KMIKT dan TDM Berhad sebelum ini turut menyantuni 150 asnaf menerusi program agihan zakat di Hospital KMI Kuala Terengganu. 
26 Mar 25
138
Sidang Meja Bulat ADUN Belia Platform Pemantapan Kepimpinan Muda
Sidang Meja Bulat ADUN Belia Platform Pemantapan Kepimpinan Muda
KEMAMAN, 26 Mac – Sidang Meja Bulat ADUN Belia yang berlangsung di Safina Resort, Kijal menjadi platform penting dalam memantapkan kepimpinan muda serta memberi ruang kepada belia untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai isu-isu semasa.   Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Kijal, Khairul Anas Harun berkata, sidang itu bukan sahaja memperkasakan daya fikir generasi muda, malah membuka peluang kepada mereka untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan komuniti setempat.   "Perbincangan yang diadakan membolehkan para belia mengutarakan idea serta cadangan demi kemajuan daerah Kemaman masing-masing. "Khususnya dalam aspek pembangunan belia dan kepimpinan," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas program berkenaan. Turut hadir, ADUN Kijal, Datuk Razali Idris yang menyempurnakan perasmian serta penggulungan program berkenaan. Sebanyak tiga ahli panel yang terdiri dari ADUN Kijal, Chukai dan Kemasik iaitu Khairul Anas Harun, Aina Adam, dan Muhammad Fakhruddin Nordin. Razali berkata beliau menyokong inisiatif tersebut sebagai langkah penting dalam membentuk pemimpin masa depan yang berkualiti. "Semoga program ini dapat diteruskan lagi di setiap daerah supaya anak muda lebih berani kehadapan untuk menyuarakan pandangan dan idea mereka," ujarnya.  
26 Mar 25
109
287 Pelajar Daerah Kemaman dan Dungun Terima Bantuan RM500
287 Pelajar Daerah Kemaman dan Dungun Terima Bantuan RM500
KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Seramai 287 pelajar tingkatan enam dari daerah Kemaman dan Dungun menerima bantuan pendidikan sebanyak RM500 setiap orang daripada Yayasan Terengganu dalam sebuah majlis yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun. Seramai 189 pelajar dari lima buah sekolah menengah di daerah Kemaman serta 98 pelajar dari lima buah sekolah menengah di daerah Dungun telah menerima bantuan tersebut, semalam.  Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada peruntukan RM688,000 yang disediakan oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu bagi membantu seramai 1,376 pelajar STPM di seluruh negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata kerajaan negeri akan terus komited dalam menyediakan insentif pendidikan kepada pelajar cemerlang.  "Selain bantuan pendidikan, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM5 juta setahun sejak tahun 2018 bagi menyediakan biasiswa kepada pelajar yang layak.  "Peruntukan ini telah meningkat setiap tahun, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM20 juta sehingga kini. "Kita juga memberi keutamaan bukan sahaja kepada kecemerlangan akademik tetapi juga kepada latar belakang pelajar. Pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, terutamanya dalam kategori B40, akan diberikan perhatian khas dalam pemilihan penerima bantuan ini," ujar beliau. Beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah meningkatkan peruntukan biasiswa daripada RM500,000 kepada RM1 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM6 juta setahun. "Kerajaan negeri turut menyediakan RM10 juta untuk pinjaman pendidikan tanpa faedah bagi membantu pelajar yang tidak mendapat pinjaman daripada sumber lain. "Ini kerana, kadang-kadang jika tidak lulus permohonan PTPTN, maka pelajar boleh membuat permohonan pinjaman dengan kerajaan negeri. "Jadi kita berharap pelajar-pelajar kita akan terus berusaha untuk ke peringkat pengajian yang lebih tinggi. Dalam pada itu, pelajar yang telah menerima bantuan ini turut berkongsi rasa syukur dan kegembiraan mereka. Nur Alia Syuhadah Ghazali, 18, dari Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah berkata dia sangat bersyukur kerana wang ini dapat digunakan untuk menyimpan bagi kegunaan ketika memasuki universiti nanti.  Menurut Syuhadah, bantuan ini amat membantunya kerana banyak wang telah digunakan untuk persiapan SPM sebelum ini. Leong Weng Hei, 181, dari Sekolah Menengah Sultan Ismail turut menyatakan kegembiraannya menerima bantuan ini.  "Bantuan ini sangat membantu saya untuk membeli keperluan ketika melanjutkan pelajaran ke universiti. Saya bercita-cita untuk menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM)," ucapnya. Sementara itu, Nur Maisarah Amran dari SMK Sultan Omar berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang TESL di Universiti Sains Malaysia (USM).  "Saya sangat bersyukur atas bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri. Ia dapat membantu saya menampung kos pengajian kelak," katanya. Bantuan ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pelajar di Terengganu sentiasa mendapat sokongan kewangan yang mencukupi untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.  
26 Mar 25
144
Pavilion Tourism Terengganu Dianugerah Premier Marine Heritage Destination Award
Pavilion Tourism Terengganu Dianugerah Premier Marine Heritage Destination Award
KUALA TERENGGANU, 26 Mac- Pavilion Tourism Terengganu telah dianugerahkan Premier Marine Heritage Destination Award pada penganjuran Diving, Resort and Travel (DRT) SHOW Shanghai 2025 sekali gus mengukuhkan status Terengganu sebagai destinasi selaman unggul di rantau ini. Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, kejayaan penyertaan pertama kali itu membuktikan Terengganu mampu bersaing di peringkat antarabangsa sebagai destinasi pelancongan marin pilihan. "Kami amat berbangga dengan sambutan luar biasa yang diterima di DRT SHOW Shanghai 2025. Penyertaan ini membuka mata banyak pihak terhadap keunikan dan keindahan marin Terengganu.  “Kami yakin ini akan meningkatkan kedatangan pelancong antarabangsa serta memperkukuh hubungan dengan pemain industri global dan optimis bahawa inisiatif ini akan meningkatkan kehadiran pelancong dan menggalakkan lebih banyak kerjasama industri,” ujarnya dalam satu kenyataan. Malah katanya, kehadiran Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin secara langsung memberi sokongan moral yang tinggi serta semangat kepada jabatan dan penggiat untuk lebih berusaha mencipta nama Terengganu di peringkat antarabangsa.   DRT SHOW Shanghai 2025 iaitu pameran penyelaman dan pelancongan marin terbesar di Asia Pasifik telah berlangsung dari 21 hingga 23 Mac lalu di Shanghai World Expo Exhibition & Convention Center. Pada pameran tersebut, Terengganu diwakili tujuh penggiat pelancongan yang terdiri daripada hotel serta operator selaman (Coral Redang, Laguna Redang, Tenggol Coral, Summerbay Resort, Nemo Divers, Che Wan Scuba dan NAADHI (Liveaboard) yang diketuai pengarah JPNT. Pavilion Terengganu menawarkan keunikan 128 lokasi selaman terbaik di Terengganu, mempromosi Beautiful Terengganu Malaysia, serta pengenalan Sultan Mizan Underwater Photography Award menjad fokus untuk menarik minat pengunjung, termasuk agensi pelancongan China, jurufoto bawah air profesional, serta penyelam antarabangsa.  
26 Mar 25
1269