Artikel "Semasa" Terkini
Kerajaan Ambil Alih Kuala Kijal Bela Nasib Nelayan
Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan mengambil alih kawasan Kuala Kijal sebagai usaha membela nasib para nelayan dan memelihara alam sekitar di kawasan berkenaan.
Kuala Kijal merupakan kawasan strategik yang menjadi nadi ekonomi komuniti nelayan setempat, terutamanya di sekitar Kampung Penunjuk dan Kampung Che Wan, yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan utama.
Pada zaman kerajaan terdahulu, tanah ini telah dipajak kepada Resort World Awana selama 90 tahun, dan kini telah berlalu 30 tahun. Jika kerajaan ingin mengambilnya semula, pampasan perlu dibayar.
Namun, kini kerajaan berjaya mendapatkan semula tanah ini dengan cara tertentu.
Dengan pengambilalihan ini, nelayan kini mempunyai akses lebih baik kepada sumber rezeki, dan pantai Kijal akan kekal terpelihara untuk generasi akan datang.
Sebelum ini, nelayan dibenarkan mencari rezeki di situ, tetapi mereka menghadapi pelbagai cabaran. Antaranya, kekurangan infrastruktur yang sesuai kerana tiada tempat parkir bot yang selesa serta kemudahan asas untuk nelayan.
Selain itu, mereka sering berdepan masalah muara tertutup akibat pasir yang berkumpul dari Kampung Che Wan dan Penunjuk Kijal, menyebabkan laluan keluar masuk bot terganggu.
Disebabkan hal ini, kerajaan tidak dapat menggunakan bajet rasmi untuk membuka muara tersebut, menyebabkan nelayan terpaksa bergotong-royong serta mengeluarkan wang sendiri bagi menyelesaikan masalah ini.
Layout kawasan Kuala Kijal selepas proses pengukuran
Resort Awana hanya menjalankan program CSR sekali setahun, sedangkan muara tertutup sebanyak dua hingga tiga kali setahun, menjadikan bantuan tersebut tidak mencukupi.
Beban kewangan ke atas nelayan semakin berat kerana jika mereka ingin mempercepatkan proses membuka laluan, mereka perlu mengeluarkan wang sendiri. Oleh itu, kerajaan mengambil tindakan untuk membetulkan keadaan dan memastikan kebajikan nelayan terbela.
Mengapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris memperjuangkan pengambilalihan ini? Hal ini kerana terdapat dua sebab utama yang mendesak kerajaan mengambil langkah tersebut.
"Pertama, pembinaan struktur pemecah ombak (breakwater) yang bukan sahaja memberikan perlindungan kepada bot nelayan daripada ombak besar, tetapi juga menyediakan kawasan parkir bot yang lebih selamat.
"Kedua, keperluan untuk mengawal hakisan pantai yang semakin serius di Penunjuk dan Kampung Che Wan, dengan kehilangan tanah antara tujuh hingga sepuluh kaki setiap tahun," katanya dalam kenyataan media pada hari ini.
Tambahnya lagi, dengan adanya breakwater, hakisan dapat dikawal, sekali gus memelihara keindahan pantai di Kijal.
Muhammad Hafizuddin Rosli/Wartawan TRDI
06 Apr 25
734
Terengganu Asas Rangkaian Gas Negara, Petronas Kawal Ketat Keselamatan
KUALA TERENGGANU, 5 April - Negeri Terengganu memainkan peranan penting dalam sistem pengedaran gas negara, dengan memproses gas dari pelantar luar pesisir sebelum disalurkan ke seluruh semenanjung melalui paip bawah tanah.
Peranan ini meletakkan negeri itu di bawah tekanan besar untuk memastikan keselamatan infrastruktur yang amat kritikal kepada masyarakat.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili berkata, sebarang kegagalan dalam sistem tersebut boleh memberi kesan besar kepada negara kerana gas yang diproses di Kerteh dibekalkan kepada kawasan industri seluruh semenanjung.
“Sebarang kecuaian di sini boleh memberi kesan pada peringkat nasional.
“Memandangkan sebahagian besar gas metana yang disalurkan ke seluruh Semenanjung datang dari negeri ini, kerajaan negeri berdepan tekanan besar untuk memastikan keselamatan saluran paip gas tersebut.
“Gas dari kawasan luar pesisir terlebih dahulu disalurkan ke Kerteh di Terengganu dan kemudian diproses menjadi gas metana tulen sebelum dihantar ke Segamat di Johor melalui saluran paip gas berdiameter 36 inci.
“Gas itu kemudiannya disalurkan ke destinasi di seluruh Semenanjung ke kawasan perindustrian.
“Saluran paip gas ini amat selamat bagi memastikan tiada kebocoran berlaku.
“Kebiasaannya, saluran ini dibina di bawah tanah dan melalui kawasan yang jauh dari sebarang gangguan.
“Sekiranya terdapat kawasan perumahan berhampiran, sistem pemantauan dan penyelenggaraan akan berada pada tahap optimum,” katanya dalam satu kenyataan yang telah dilaporkan oleh akhbar The Star pada 3 April lalu.
Jelasnya lagi, tiada sebarang pembangunan dibenarkan di kawasan paip gas melainkan mendapat kelulusan daripada PETRONAS.
“Sebagai contoh, apabila kita mahu membina Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang melalui kawasan saluran paip gas tertanam, pihak berkepentingan telah diarahkan untuk bekerjasama dengan PETRONAS.
“Sebuah jambatan yang merentasi kawasan saluran paip gas di Kemasik, Terengganu hanya boleh dibina selepas kajian terperinci dijalankan.
“Proses ini mengambil masa kerana PETRONAS perlu menilai sebarang risiko dalam pembangunan sebegitu,” kata Saiful Azmi yang merupakan jurutera elektrikal bertauliah.
Beliau berkata semua pihak berkuasa tempatan perlu lebih berhati-hati terhadap sebarang pembangunan atau kerja-kerja berhampiran saluran paip gas bagi mengelakkan tragedi seperti yang berlaku di Putra Heights.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan kejadian letupan paip gas PETRONAS di Putra Heights, Selangor yang memusnahkan harta benda lebih 300 keluarga dan menimbulkan persoalan mengenai keselamatan laluan paip bawah tanah di kawasan berpenduduk.
Saiful Azmi (kanan).
Sementara itu, bekas Pegawai Keselamatan dan Kesihatan PETRONAS, Zakariah Yusoff, berkata semua aktiviti, termasuk kerja mudah seperti memotong rumput, memerlukan kebenaran pemilik paip.
"Jika pemilik saluran paip tidak membenarkan sebarang pembangunan dilakukan di kawasan terbabit, yang mana kebiasaannya di Malaysia dimiliki oleh PETRONAS, tiada pihak boleh ingkar kepada arahan tersebut kerana mereka lebih arif terhadap bahaya yang akan berlaku.
“Selagi kawasan paip tidak diganggu dan zon yang digazetkan dihormati, penduduk tidak perlu risau.
“PETRONAS menggunakan sistem pemantauan berteknologi tinggi yang boleh mengesan penurunan tekanan dan mengaktifkan langkah pemindahan segera,” katanya.
Zakariah yang berpengalaman selama 24 tahun dalam penyelenggaraan paip gas juga menjelaskan bahawa keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan PETRONAS dan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dan syarikat itu amat penting.
Dalam masa sama, beberapa pakar keselamatan menegaskan bahawa peningkatan pembangunan memerlukan perancangan yang lebih teliti untuk mengelakkan risiko terhadap infrastruktur penting negara.
06 Apr 25
3750
150 Asnaf Terima Agihan Zakat di KMI
KUALA TERENGGANU, 3 April - Seramai 150 asnaf dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk dan golongan memerlukan di Hospital KMI Kuala Terengganu (KMIKT) menerima agihan zakat wakalah dalam satu program penuh bermakna.
Sumbangan ini hasil inisiatif kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, TDM Berhad, yang semakin menunjukkan prestasi memberangsangkan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada TDM Berhad, KMIKT, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), serta semua yang terlibat dalam menjayakan program petang ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perkongsian Dalam Keberkatan, di KMIKT.
Beliau menegaskan bahawa kepimpinan negeri menganggap kekayaan negeri sebagai amanah yang mesti dikembalikan kepada rakyat.
"Semenjak Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menerajui kerajaan negeri, kita berpegang pada tema 'Maju, Berkat, Sejahtera'.
"Keuntungan yang diraih bukan untuk kepentingan syarikat semata-mata, tetapi dipulangkan kepada rakyat," jelas beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin, turut menzahirkan komitmen syarikat dalam membantu masyarakat setempat, khususnya golongan asnaf.
"Sebagai syarikat yang beroperasi di DUN Batu Buruk, menjadi tanggungjawab sosial kami untuk membantu mereka yang memerlukan," ujar beliau.
Menurut beliau, program ini bukan sekadar inisiatif kebajikan, tetapi juga manifestasi nilai Islam yang menitikberatkan keprihatinan terhadap golongan yang kurang berkemampuan.
"Kami amat berbangga dapat bersama-sama meraikan asnaf yang terpilih pada petang ini.
"Semoga sumbangan ini dapat membantu mereka menyambut Ramadan dengan lebih tenang dan bahagia," tambahnya.
Beliau turut berkongsi kejayaan TDM Berhad dalam dua sektor utama, iaitu perkhidmatan hospitaliti dan perladangan.
"Pada tahun lepas, operasi keseluruhan hospital KMI mencatat hasil sebanyak RM340 juta, dengan KMI Kuala Terengganu (KMI KT) antara yang paling cemerlang.
"Manakala dalam sektor perladangan, TDM mengusahakan lebih 40,000 hektar tanaman kelapa sawit di seluruh Terengganu, menghasilkan pendapatan sekitar RM290 juta.
"Secara keseluruhan, TDM berjaya memperoleh hasil melebihi RM600 juta," jelasnya.
Tambah Najman, hasil keuntungan ini turut dikongsi bersama masyarakat melalui pembayaran zakat.
"Kami berjaya menyalurkan sebanyak RM2 juta dalam bentuk zakat pada tahun lalu.
"Untuk Ramadan ini sahaja, lebih 3,000 penerima di seluruh Terengganu menerima manfaat daripada sumbangan ini," tambahnya.
Menurut beliau, kejayaan sesebuah syarikat bukan diukur semata-mata melalui pencapaian kewangan, tetapi juga melalui impak positif yang diberikan kepada masyarakat.
"TDM Berhad sentiasa komited dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan memastikan kejayaan yang diperoleh dikongsi bersama masyarakat, khususnya golongan yang kurang bernasib baik," kata beliau.
Pengurus Besar KMIKT, Salina Long, menyatakan bahawa ini merupakan kali pertama pihaknya bekerjasama dengan Pusat Khidmat ADUN Batu Buruk dalam program sebegini.
"KMIKT sentiasa proaktif dalam menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat. Kami berharap program seperti ini dapat diperluaskan lagi pada masa akan datang," ujarnya.
03 Apr 25
152
KMI Sasar Jadi Hospital Pertama di Malaysia Patuh Syariah Sepenuhnya
KUALA TERENGGANU, 3 April - Hospital yang bukan sahaja menawarkan rawatan berkualiti, tetapi juga menepati prinsip syariah sepenuhnya, itulah sasaran utama Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare).
Sebagai sebahagian daripada kumpulan TDM Berhad, KMI kini dalam usaha menjadi hospital pertama di Malaysia yang benar-benar patuh syariah dalam semua aspek operasinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin, menegaskan bahawa semua hospital di bawah rangkaian KMI telah mengamalkan prinsip syariah, namun mereka berusaha untuk mencapai tahap pematuhan yang lebih menyeluruh.
"Semua hospital KMI adalah hospital patuh syariah.
"Dan matlamat kami adalah untuk menjadi yang pertama di Malaysia yang benar-benar mematuhi prinsip syariah sepenuhnya dalam setiap aspek perkhidmatan kami," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perkongsian Dalam Keberkatan, di KMIKT baru-baru ini.
Turut bersama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengurus Besar KMIKT, Salina Long.
Dalam pada itu menurut Najman, inisiatif hospital patuh syariah ini juga selaras dengan misi TDM untuk menjadi model ‘corporate citizenship’ yang sejati.
"Kami percaya bahawa model perniagaan yang berpaksikan prinsip syariah bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan," ujarnya lagi.
Sementara itu, KMI dan TDM Berhad sebelum ni telah menzahirkan keprihatinan terhadap masyarakat dengan menyantuni 150 asnaf melalui program agihan zakat di Hospital KMI Kuala Terengganu.
Inisiatif ini menjadi sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan golongan yang kurang berkemampuan turut menikmati hasil kejayaan syarikat, sekaligus memperkukuhkan nilai berkongsi rezeki dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
03 Apr 25
423
Rakyat Pelbagai Kaum 'Serbu' Rumah Terbuka Dr. Sam
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyantuni rakyat negeri Terengganu bersempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini dalam sebuah majlis rumah terbuka Hari Raya bertempat di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, hari ini.
Majlis tahunan yang bermula jam 11.00 pagi sehingga pukul 2.00 petang itu meriah dengan kedatangan pengunjung dari pelbagai latar belakang serta kaum, tidak terkecuali komuniti bukan beragama Islam yang turut hadir menambahkan kemeriahan suasana majlis.
Seorang suri rumah yang berasal dari Seberang Takir kini menetap di Besut, Maimunah Bakar, 56, menzahirkan rasa terima kasih kepada Menteri Besar kerana saban tahun selalu menganjurkan majlis keraian yang sering menjadi persinggahan utama keluarganya pada satu Syawal.
"Saya dan keluarga setiap tahun memang akan berkunjung ke rumah Mnteri Besar dan masuk tahun ini merupakan tahun keempat kami ke sini.
"Antara salah-satu sebab kerana kami sekeluarga selalu berkunjung ke majlis rumah terbuka perayaan ini adalah permintaan dari suami saya untuk singgah di sini," ujarnya kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, di sini, pagi tadi.
Penduduk setempat berbangsa cina berasal dari Kampung Tiruk, Hoo Chin Foo, 68, berkata bahawa dia dan isterinya turut akan selalu datang berkunjung ke Kediaman Seri Iman setiap kali majlis rumah terbuka diadakan.
"Saya dan isteri mesti akan datang jika ada majlis ini kerana makanan yang sedap-sedap semua. Tadi pun kami dah pergi jamuan rumah terbuka di istana
"Makanan yang paling saya suka bila datang sini adalah ini (tapai)," kata Chin.
Pelbagai juadah dan minuman telah disajikan kepada pengunjung antaranya termasuklah nasi minyak, laksa penang, martabak, sate ikan dan lain-lain.
Tidak dilupakan juga hidangan ikonik kaum melayu bagi sambutan Aidilfitri seperti tapai, ketupat, lemang dan rendang, juga disediakan dalam majlis itu tadi.
Pengunjung juga mengambil peluang untuk beramah-mesra serta berswafoto bersama menteri besar dan isterinya, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman.
Manakala, bagi pengunjung cilik pula mereka dihadiahi duit raya sebagai tanda mesra meraikan kehadiran mereka.
Majlis rumah terbuka ini bukan sahaja menjadi platform untuk rakyat Terengganu bertemu dan beramah mesra dengan pemimpin negeri, tetapi juga mencerminkan semangat perpaduan serta keharmonian antara kaum dalam menyambut Aidilfitri.
Keakraban yang terjalin di antara masyarakat pelbagai lapisan turut menggambarkan keunikan budaya dan nilai kebersamaan yang terus subur di negeri ini.
Dengan sambutan pada kali ini yang juga meriah dan menggalakkan, majlis ini sekali lagi membuktikan bahawa Aidilfitri adalah waktu terbaik untuk mengeratkan silaturahim serta berkongsi kegembiraan bersama.
31 Mar 25
348
Lemang Kijal Laris Setiap Kali Menjelang Aidilfitri
KEMAMAN, 30 Mac – Setiap kali menjelang Aidilfitri, Lemang Kijal terus menjadi pilihan utama pencinta makanan tradisional.
Salah satu gerai yang terkenal dengan keenakan Lemang Kijal ialah Lemang Warisan Adik Beradik, yang diusahakan oleh Zainab Yahya, 67, di Kampung Kijal.
Zainab yang telah berniaga selama 32 tahun terus mengekalkan resipi turun-temurun yang menjadikan lemangnya digemari ramai.
katanya, permintaan terhadap lemangnya meningkat setiap kali musim perayaan, dengan pelanggan membanjiri gerainya setiap hari.
“Biasanya menjelang hari raya, saya menerima antara 30 hingga 70 pelanggan sehari.
"Ada yang datang dari jauh semata-mata untuk membeli lemang kami,” katanya kepada pemberita di Kampung Bukit Anak Dara, Kijal semalam.
Tambah Zainab, Istana Negara turut membuat tempahan sebanyak 500 batang lemang pada musim perayaan ini.
"Ini satu penghormatan besar buat kami dan membuktikan kualiti lemang yang kami hasilkan.
"Selain pelanggan tempatan, ramai perantau yang pulang bercuti turut singgah ke gerai kami untuk membeli lemang dan menikmati rasa Lemang Kijal," katanya.
Zainab menambah, bagi mereka yang ingin merasai sendiri keenakan Lemang Kijal, boleh berkunjung ke gerai Lemang Warisan Adik Beradik di Kampung Kijal sepanjang bulan Ramadan dan hari-hari biasa
30 Mar 25
176
Lemang Popular Kini Boleh Didapati Di R&R Kijal
KEMAMAN, 29 Mac - Lemang kijal yang popular dan laris setiap kali menjelang perayaan kini berpeluang untuk dirasai oleh semua pelancong serta pengunjung yang melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) apabila ia dijual di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kijal.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, semalam menjadi sejarah baru apabila lapan pengusaha telah mula menjual lemang di kawasan rehat itu.
Katanya, kedua-dua arah Timur dan Barat ada dijual lemang popular itu sekali gus ia memudahkan sesiapa sahaja untuk mendapatkan Lemang Kijal.
"Jadi, hari ini (semalam) merupakan hari pertama dan ia menjadi satu sejarah apabila lemang yang begitu terkenal di Kijal, sebut Kijal sahaja maka lemang mesti nombor satu yang menjadi tumpuan.
"Saya dapat lihat pengunjung dah mula mengetahui lemang dah mula dijual di lebuhraya, maka orang ramai tidak perlu lagi pergi ke Kampung Darat Kijal untuk membeli lemang dan ini merupakan satu kejayaan kepada kita (kerajaan negeri) dan juga pengusaha,"jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menyempurnakan perasmian Kiosk Lemang Kijal di R&R, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata pihaknya telah berkerjasama dengan Pengerusia Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman dalam usaha membawa lemang yang sinonim dengan Kijal itu dapat dijual di Lebuhraya Pantai Timur.
"Pihak DUN kijal telah menyumbang kiosk dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menyumbang pemanas bagi memastikan orang ramai akan dapat merasai lemang sepertimana di Kampung Darat, kerana ia tidak boleh dibakar di sini tetap kena bakar di kampung.
"Tetapi dimasak dan dibakar di Kampung Darat dan dibawa ke sini menggunakan pemanas yang disumbang oleh YPU.
"Dengan usaha yang kita jalankan ini secara tidak langsung kita telah mengembangkan lagi lemang ini ke peringkat antarabangsa jadi beberapa perkara telah disampaikan kepada pengusaha supaya menjaga kualiti supaya keaslian lemang itu terpelihara serta perlu menggandakan usaha menjaga kebersihan," ujarnya.
29 Mar 25
247
TDM Santuni 200 Asnaf DUN Bukit Besi
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad (TDM) menyantuni 200 orang asnaf melalui program TDM Bersama Masyarakat DUN Bukit Besi di Dewan Sivik Jerangau Sungai.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, TDM telah memperuntukkan sebanyak RM40,000 untuk agihan kepada 200 asnaf Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi melalui kerjasama strategik antara TDM dan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Bukit Besi.
"Program ini adalah manifestasi hasrat kami untuk bersama-sama membangunkan komuniti, khususnya di Bukit Besi, ke arah masa depan yang lebih berkat.
"Kami percaya bahawa kejayaan sesebuah syarikat bukan hanya diukur melalui keuntungan kewangan semata-mata, tetapi juga melalui sumbangan dan impak positif yang dapat kami kongsi kepada masyarakat," katanya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi; Ghazali Sulaiman, Pegawai MAIDAM Daerah Zon Selatan; Hamidah Abd Latif dan Ketua Pegawai Eksekutif TDM Plantation Sdn Bhd; Hamdan Ibrahim.
Tambah beliau, program itu juga merupakan sebahagian daripada usaha syarikat dalam memperkukuhkan hubungan dengan komuniti setempat serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi yang mampan.
"Sebagai sebuah syarikat yang menitikberatkan pembangunan mampan, inisiatif ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).
"Matlamat 11: Bandar dan Komuniti Mampan, yang bertujuan memastikan kawasan penempatan dan komuniti menjadi lebih inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan.
"TDM menyokong matlamat ini demi memperkukuh kesejahteraan komuniti..
"Sebagai syarikat yang bertanggungjawab, kami bukan sahaja menumpukan kepada pertumbuhan perniagaan tetapi juga kepada kesejahteraan masyarakat.
"Program ini adalah salah satu cara untuk kami memahami keperluan komuniti dan memastikan bantuan yang disalurkan memberi manfaat jangka panjang," tambah Najman.
Dalam pada itu, beliau juga menyatakan hasrat untuk memperluaskan inisiatif yang sama ke kawasan-kawasan lain di Terengganu bagi memastikan lebih ramai golongan mendapat manfaat daripada program seumpama itu.
29 Mar 25
124
Peniaga Lemang Kijal Bersyukur Diberi Peluang Berniaga di RNR Kijal
KEMAMAN, 29 Mac – Peniaga lemang Kijal melahirkan rasa syukur setelah diberi peluang berniaga di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Kijal hasil inisiatif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris.
Salah seorang peniaga, Aini Faizah Botok, 42, yang meneruskan warisan perniagaan keluarganya sejak 35 tahun lalu, terharu sokongan yang diberikan oleh ADUN Kijal.
“Kami peniaga lemang Kijal di Jalan Lama ingin mengucapkan terima kasih kerana memberi peluang kepada kami untuk berniaga di RnR Kijal.
“Ini peluang besar untuk kami mengembangkan perniagaan kami," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Kiosk Lemang Kijal di Hentian Rehat Kijal, semalam.
Tambah Aini, lokasi yang diberikan jugak sangat strategik kerana tempat ini sering menjadi tumpuan orang ramai dari dalam dan luar negeri.
“Kami menyediakan pelbagai makanan tradisional seperti lemang, serunding, sambal, sata, dan rendang,” katanya.
Sementara itu, Noraini Abdullah, 59, berkata peluang ini sangat bermakna, terutama bagi peniaga muda yang ingin meneruskan legasi keluarga dalam bidang perniagaan,
"Saya berharap inisiatif ini dapat memperkenalkan tradisi lemang Kijal kepada generasi sekarang.
“Bagi anak-anak perantau yang pulang ke kampung, bolehlah singgah ke gerai Lemang Kijal di RnR Kijal ini," ujarnya.
29 Mar 25
172
Tasik Bungkus Bakal Dikenali Kawasan Tanaman Buluh Lemang
KEMAMAN, 29 Mac - Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Tasik Bungkus di Kijal, sebagai kawasan untuk dibangunkan industri penanaman buluh dalam usaha memastikan ia dapat menampung keperluan pembuatan lemang yang begitu sinonim dan popular di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali berkata, buluh lemang itu akan diusahakan di atas tanah berkeluasan 150 ekar dan akan bermula tahun hadapan.
"Sekarang ini kita cuba cari benih yang sesuai dan berkualiti serta boleh diambil dengan cepat untuk dijadikan lemang.
"Dengan adanya usaha ini nanti ini saya jangka masalah kekurangan buluh untuk dijadikan lemang yang dihadapi oleh pengusaha tidak akan berlaku lagi," ujarnynya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Program Peluncuran Kiosk Lemamg Kijal di Hentian Rehat dan Rawat (R&R), di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman.
Mengulas lebih lanjut , Razali berkata sebelum ini pihaknya menyedari masalah yang berlaku di kalangan pengusaha lemang di daerah ini adalah disebabkan kekurangan buluh untuk dijadikan lemang yang menerima permintaan begitu tinggi terutamanya menjelang perayaan.
"Kesan kekurangan buluh lemang ini menyebabkan beberapa pengusaha tidak boleh lagi berniaga bukan kerana tidak laku tetapi kerana ketiadaan bahan tersebut.
"Oleh itu, perkara ini dianggap serius dan kerajaan telah meneliti dan insya-Allah pada tahun hadapan kita akan mulakan projek ini," jelas beliau.
29 Mar 25
481