Artikel "Semasa" Terkini
Penghuni Taman Sinar Harapan Sambut Tun M
Tun M menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penghuni Taman Sinar Harapan Bukit Besar, hari ini.KUALA TERENGGANU, 7 Januari - Kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali membawa keriangan kepada 62 penghuni Taman Sinar Harapan di Bukit Besar.Keceriaan jelas terpancar di wajah para penghuni dengan kedatangan pemimpin nombor satu negara itu untuk meluangkan masa seketika bersama mereka, selain meninjau prasarana termasuk asrama di pusat penjagaan yang berusia lebih tiga dekad itu.Mohd Firdaus Mohd Azmi, 15, yang tinggal di pusat jagaan itu sejak dua tahun lalu berkata, dia dan penghuni yang lain sangat teruja untuk menerima kunjungan Tun M yang pertama kali melawat negeri ini sejak kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia.“Saya sangat seronok apabila dapat tahu Perdana Menteri akan datang ke tempat kami, pagi tadi saya bangun awal pukul 5 pagi kerana tidak sabar untuk jumpa beliau.“Saya sangat kagum dengan kepimpinan Tun M, sebelum ini cuma dapat lihat di televisyen, tidak sangka pula hari ini dapat bersalaman dengan tokoh yang saya kagumi sejak kecil lagi,” ujar pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Chung Hwa Wei Sin kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Dengan kanak-Kanak Taman Sinar Harapan, sempena lawatan kerja sehari Tun M ke Terengganu, hari ini.Turut hadir, Timbalan Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Hannah Yeop, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Mohd Fazari Mohd Salleh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ A. Rahman Yahya.Sementara itu, Mohd Hadi,13, berkata lawatan Tun M menunjukkan keprihatinan beliau dan kerajaan terhadap penghuni Taman Sinar Harapan."Saya sangat gembira dan berterima kasih kerana banyak pihak yang membantu kami terutamanya perdana menteri yang turun padang melawat kami,” ujarnya yang menetap di pusat berkenaan sejak empat tahun lalu.Taman Sinar Harapan Kuala Terengganu yang ditubuhkan pada tahun 1984 bertujuan memberikan perkhidmatan penjagaan, perlindungan dan pemulihan kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) masalah pembelajaran sehingga berumur 14 tahun.Ianya mampu memuatkan sehingga 100 penghuni serta disokong kemudahan lain seperti bilik fisioterapi, hidroterapi, muzik terapi, jahitan, masakan, iqra, fardu ain serta akademik.
06 Jan 19
716
Ubah Kurikulum, Tumpuan Ajaran Islam - Tun M
KUALA NERUS, 7 Januari- Kerajaan Pusat akan melakukan beberapa perubahan dalam sistem pendidikan termasuk memberi penekanan kepada tiga aspek, iaitu penguasaan agama Islam, bahasa Inggeris serta sains dan teknologi.Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, dalam usaha memulihkan dan memajukan negara selepas pertukaran kerajaan yang baharu, tiada peranan lain yang lebih utama melainkan memperkasakan bidang pendidikan.Katanya, pendidikan akan menentukan jenis manusia yang akan menjadi warga negara pada masa akan datang dan berharap sistem yang bakal diperkenalkan itu akan dapat membentuk rakyat yang lebih berwibawa serta mampu memajukan negara dengan lebih pesat berbanding sebelum ini."Tumpuan terhadap ajaran agama amat penting terutama nilai-nilai hidup yang patut dipegang oleh orang Islam."Saya harap semua warga pendidikan akan ambil perhatian perkara ini, kita akan mengubah kurikulum dalam sekolah-sekolah supaya tumpuan diberi kepada penguasaan ajaran Islam sebenar, penguasaan bahasa Inggeris dan penguasaan sains dan teknologi."Dengan ini kita fikir kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa lain di dunia," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ambil Cakna bersama Warga Pendidik Terengganu di Tabung Haji (TH) Hotel & Convention Centre, di sini, hari ini.Turut hadir, isteri Perdana Menteri,Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman serta Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah.Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat; Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris.Majlis berkenaan turut disertai kira-kira 1,000 warga pendidik seluruh Terengganu.Tambah Tun Mahathir lagi, kerajaan perlu memainkan peranan bagi menentukan penguasaan pelbagai cabang ilmu di kalangan rakyat untuk kehidupan mereka dan juga kemajuan negara.
06 Jan 19
73
Pondok Rela Jadi Balai Polis Mini Felda Jerangau
Oleh : Adli MohamadDUNGUN, 7 Januari- Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselmatan Rancangan (JKKR) Felda Jerangau, bersama pasukan polis beriltizam untuk meningkatkan keselamatan bagi menangani jenayah yang kian meruncing.Pengerusi MPKK Jerangau Cawangan Dua Anuar Omar berkata, Pondok Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang berada di jalan masuk utama Felda Jerangau, Bukit Besi, di sini, akan dibaik pulih dan diperkasakan peranannya untuk tujuan tersebut."Pondok Rela ini akan dijadikan sebagai balai polis mini dengan mengetatkan keselamatan dan membuka kaunter aduan yang bertujuan bagi memudahkan untuk penduduk membuat sebarang aduan jenayah yang berlaku dan berlegar di dalam kampung supaya diambil tindakan yang cepat."Selama ini, di mana tiada kawalan keselamatan yang ketat, jenayah dilihat berlaku secara berleluasa," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa meninjau pondok berkenaan, di Felda Jerangau, hari ini. Turut hadir, Pengerusi JKKKR Felda Jerangau, Abdul Razet Noordin.Anuar berkata, selain balai polis mini berkenaan, anggota keselamatan juga akan mengadakan kawalan rapi terhadap kenderaan yang keluar masuk terutama pada waktu malam dan dalam keadaan mencurigakan.Sehubungan itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, langkah yang diambil itu adalah wajar dan bertepatan dengan keadaan semasa bagi memastikan kadar jenayah dapat dibanteras menerusi kawalan keselamatan yang ketat."Dengan ketiadaan kawalan yang ketat mereka merasa lepas bebas untuk berbuat apa sahaja, segala bentuk jenayah."Malah indeks jenayah yang tinggi banyak berpunca akibat penyalahgunaan dadah. Jadi usaha ini diharap memberi wajah dan imej yang positif kepada komuniti dan kawasan setempat ini," katanya.Beliau mengharapkan agar langkah yang diambil itu akan menjernihkan kembali imej Felda Jerangau serta memastikan komuniti berada dalam keadaan aman, harmoni dan sejahtera."Ini secara tidak langsung akan menaikkan imej MPKK sebagai entiti yang cakna pada komuniti setempat. Seterusnya hasrat menjadikan DUN Bukit Besi Sejahtera, akan dapat digapai,"katanya.
06 Jan 19
878
Anggota Koperasi Kena `Sekepala'
Nurkhuzaini melihat satu projek penternakan ketika sesi dialog Pengusaha Dan Penternak Ikan Kerapu Hybrid di Kampung Air Tawar, Kuala Besut.Oleh: Afiq M. ZaidBESUT, 7 Januari - Penubuhan Koperasi yang baik memerlukan penyatuan semua ahli atau `sekepala' dengan minimum jawatankuasa penaja seramai 50 orang tanpa mengira latar perniagaan.Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan ratusan juta untuk kelangsungan koperasi di seluruh negeri."Ambo (saya) tengok kalau kita nak buat koperasi, kena ada kesatuan yang betul, sekepala, penubuhan koperasi hendak minimum (jawatankuasa penaja) 50 orang ahli, termasuklah sesiapa pun tak semestinya penternak, masuk suami isteri pun boleh. Syaratnya sekepala lah, jangan dalam tu jadi lain pula. Ada puak gerabak koperasi A, ada gerabak Koperasi B, yang itulah punca mati di tengah jalan. "Itulah bila kita pilih pimpinan tu kita perlu beri wala' (kecintaan) kepada apa yang dia buat, insyaAllah mari kat ambo, ambo boleh bantu sesuaikan dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi kemudahan-kemudahan. Dimaklumkan dana RM150 juta (untuk koperasi), berbentuk pinjaman bukan geran. Contoh koperasi baru siap semua ini terus dapat RM5,000 untuk pengurusan. Ada benda-benda begitu yang sangat mudah, peluang ada kita fikir-fikirlah kalau nak ambik jalan koperasi,"katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi dialog bersama Persatuan Pengusaha Dan Penternak Ikan Kerapu Hybrid di Kampung Air Tawar, Kuala Besut, di sini, semalam.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata, syarat penubuhan sesebuah koperasi yang paling utama adalah memerlukan tanah."Saya melihat, syarat koperasi ni mesti kena ada tanah, tanah LMS (lesen menduduki sementara) pun dah boleh permohonan dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), saya akan tulis-tulis sikit sebagai (pengesahan), SKM akan panggil saya untuk proses pengesahan dan kelulusan," katanya.
06 Jan 19
86
Rumah Murad Dibaik Pulih
Oleh: Abdul Hafiz GhazaliKEMAMAN, 6 Januari - Kesukaran sebuah keluarga yang tinggal di rumah pusaka uzur tanpa kemudahan tenaga elektrik dan bekalan air selama lebih 10 tahun mendapat perhatian kerajaan negeri.Rumah Murad Ahmad, 42, yang tinggal bersama isteri serta empat orang anak itu dibaik pulih dengan anggaran kos RM10,000.Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, beliau difahamkan keluarga yang boleh dianggap miskin tegar itu kini hidup tanpa bekalan elektrik sejak 10 tahun lalu.Katanya, keluarga itu ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan. Bagaimanapun jumlah tersebut tidak mampu menampung bil elektrik kerana dibelenggu kesempitan hidup.“Kerajaan mengambil cakna perihal itu dengan berusaha membaik pulih kediaman dan menghulurkan sumbangan agar Murad yang bekerja sebagai nelayan bersama keluarga dapat menjalani kehidupan lebih selesa,” katanya.
06 Jan 19
93
MB Terengganu Sambut Ketibaan PM
Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) disambut mesra Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.KUALA NERUS, 7 Januari - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali mengadakan lawatan kerja sehari ke negeri ini, hari ini.Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Sultan Mahmud kira-kira 9 pagi ini disambut oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya serta barisan kepimpinan negeri yang lain.Beliau kemudiannya mengadakan perjumpaan dengan warga pendidik di Hotel Tabung Haji Kuala Nerus sebelum menghadiri program ramah mesra dengan kanak-kanak di Taman Sinar Harapan, Bukit Besar, Kuala Terengganu.Beliau mengakhiri lawatan kerja dengan menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Penternak Dan Nelayan Terengganu di Dewan Utama Majlis Daerah Marang yang dijadualkan pada 3 petang.Kunjungan Dr. Mahathir ke Terengganu adalah yang pertama sejak kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia.
06 Jan 19
63
Selamat Datang Tun M Ke Terengganu
KUALA TERENGGANU, 7 Januari - Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali ke Terengganu hari ini."Mewakili Kerajaan Negeri Terengganu, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat (YAB) Tun Dr Mahathir Mohamad ke Terengganu Darul Iman."Diharapkan lawatan rasmi ini dapat mengeratkan hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat negeri Terengganu," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya semalam.Menurut jadual, pada jam 8.50 pagi ini Dr Samsuri bersama isteri, Tuan Faizah Ab Rahman menyambut ketibaan Perdana Menteri bersama isteri, Tun Dr. Siti Hasmah di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus.Pada jam 9.15 pagi, Menteri Besar serta isteri mengiringi Tun Dr Mahathir dan isteri bagi mengadakan perjumpaan dengan para pendidik Negeri Terengganu di sebuah hotel di Kuala Nerus.Sementara itu, pada jam 2.30 petang Dr SAM dan Tuan Faizah menyambut ketibaan Perdana Menteri dan isteri di Dewan Utama Majlis Daerah Marang, Marang bagi menyertai Majlis Ramah Mesra Bersama Para Penternak dan Nelayan Terengganu di tempat yang sama.Majlis itu berlangsung pada jam 3.00 petang.Kemudian pada jam 4.30 petang pula, mereka dijangka mengiringi Perdana Menteri dan isteri ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus mengakhiri lawatan itu.
06 Jan 19
1311
Rakyat Terengganu Sahut Seruan 'Jumaat Hari Ilmu'
Oleh: Aziz HambaliMARANG, 4 Januari - Slogan 'Jumaat Hari Ilmu & Sabtu Hari Keluarga' yang dilancarkan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di malam ambang tahun baru 2019 baru-baru ini, mendapat sambutan rakyat negeri itu.Tinjauan di sekitar majlis ilmu di Masjid Rusila yang berlangsung Jumaat lalu mendapati rata-rata anak muda yang ditemui menyambut baik seruan MB mereka.Hafeez Ibrahim dari Kampung Pasir Nering, Kuala Berang, meluahkan rasa gembiranya dengan majlis ilmu yang diadakan pada setiap hari Jumaat itu."Syukur sangat-sangat, Muslim negeri ini dapat MB yang berjiwa Islamik. "Seruan Jumaat Hari Ilmu, akan menambahkan lagi semangat kami untuk meningkatkan pengetahuan."Terisinya hari cuti hujung minggu (Jumaat) dengan majlis-majlis ilmu, InsyaAllah akan menatijahkan semua rakyat di negeri ini menjadi rakyat yang berilmu."Rentetan daripada itu, kuliah dhuha mingguan yang diadakan di Rusila ini menjadi rutin sebahagian rakyat Terengganu seterusnya memberi peluang kepada rakyat Terengganu untuk memanfaatkan sedikit sebanyak peluang keemasan kepada mereka untuk menimba ilmu pada hari tersebut", katanya.Dalam pada itu, Dr. Hamdan yang merupakan penyampai Kuliah Dhuha pada hari tersebut menyeru para hadirin menunaikan hak Allah SWT dan manusia dalam mencari keredhaan dan keberkatan."Apabila masuk waktu solat, solatlah dengan segera. Selesai solat jenazah, tanamkan segera jenazahnya. Berhutang dengan orang, langsaikanlah dengan segera. "Begitu juga dengan hak sesama manusia. Rakyat harus diberi hak rakyat."Hak negeri yang berhak diberi, mestilah diberi. Royalti yang mesti diberi kepada negeri hendaklah ditunaikan dengan segera. Tidak kira negeri itu bangsa apa dan parti mana yang memerintah kerajaan negeri," jelasnya.
06 Jan 19
94
Stor SK Seri Payong Terbakar
Anggota Bomba sedang memadamkan kebakaran yang berlaku di stor simpanan SKSPOleh:Norekwan MamatBesut 6 Januari - Stor simpanan buku dan fail lama Sekolah Kebangsaan Seri Payong(SKSP) hangus terbakar dipercayai berpunca daripada litar pintas.Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat(JBPM) Jerteh, Ridwan Mamat berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.12 pagi dan bergegas ke lokasi bersama sembilan anggota, sebuah jentera dan sebuah tanker."Sebaik sahaja sampai ke lokasi, saya mendapati kepulan asap yang keluar daripada tingkat satu di blok pentadbiran bangunan dan dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa kebakaran berlaku di stor simpanan buku."Pihak kami terus membuat operasi pemadaman dengan menggunakan alat operasi lengkap termasuk menggunakan lampu suluh ekoran daripada asap yang tebal di dalam stor tersebut,"katanya.Beliau berkata sedemikian ketika ditemu bual pemberita selepas selesai operasi pemadaman di tempat kejadian, di sini, pagi tadi.Menurutnya, kebakaran dapat dikawal selepas 10 minit operasi pemadaman dilaksanakan.
05 Jan 19
825
Lagi Pertemuan Dr SAM -Tun M Di Putrajaya
"Terima kasih atas kesempatan bertemu dan berbincang selama 45 minit dengan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pagi tadi di Putrajaya, " tulis Dr SAM di status Facebooknya semalam. Perbezaan parti pemerintah tidak menjadi penghalang kedua-dua pemimpin ini (Gambar) untuk berbincang mengenai masalah rakyat dan keperluan negeri Terengganu. Royalti Petroleum dan Gas Terengganu adalah hak rakyat dan negeri itu yang mesti ditunaikan segera tanpa sebarang alasan untuk menghalangnya. Rakyat Terengganu dan pemimpinnya percaya semangat federalisme dan amalannya masih diteruskan dengan baik oleh Kerajaan Persekutuan tanpa memilih bulu berdasarkan kepada hak-hak negeri dalam Perjanjian Petroleum dan Gas 1974 yang ditandatangani oleh semua menteri besar termasuk dari negeri Terengganu. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dipercayai tetap dengan janjinya untuk melunaskan hak negeri Terengganu itu.Semoga pertemuan ini membuahkan hasil yang lebih positif. Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Dr SAM) sebagai ketua pentadbiran negeri sudah pasti akan terus berusaha supaya hak itu ditunaikan oleh kerajaan pusat.Dalam semua urusan negeri dan negara, kepimpinan yang sedia ada perlu sedar bahawa penyelesaian secara profesional amat didambakan rakyat supaya penyakit kepimpinan lama termasuk, tidak telus, bersikap hipokrit dan menindas negeri-negeri yang berkepentingan harus ditinggalkan. Rakyat sudah pandai menggunakan hak mereka dalam pilihan raya untuk menukar kerajaan apabila sikap sedemikian terus diamalkan oleh kepimpinan kerajaan. Justeru perbincangan dua hala antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Terengganu mesti membuahkan hasil positif bagi merealisasikan semangat federalisme itu.
04 Jan 19
220