Artikel "Semasa" Terkini
Buku Orang Terengganu Bakal Dilancar 29 Januari Ini
Oleh: Mohd Haniff AbasKUALA TERENGGANU, 9 Januari - Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) akan melancarkan Buku Orang Terengganu, Asal Usul Arah Hidup dan Arah Tuju pada 29 Januari ini.Pengarah PPAT, Marzialina Mohamed berkata, buku setebal 500 halaman merupakan hasil tulisan Prof. Dato' Mohammad Abu Bakar dan mengambil masa sepuluh tahun untuk disiapkan.“Kandungannya menceritakan kisah yang berkait rapat dengan rakyat Terengganu dan ia meliputi banyak aspek termasuk budaya dan asal usul mereka.“Majlis pelancaran ini akan disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada tarikh berkenaan,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Temu Mesra Bersama Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, di Dewan Teater PPAT, di sini kelmarin.Sementara itu, Pengerusi PPAT, Ustaz Ridzuan Hashim ketika ditemui berkata, majlis pelancaran ini adalah sangat penting kerana buku ini menceritakan tentang perihal orang negeri Terengganu dan mengambil masa yang lama untuk disiapkan.“Jika bukan kita orang Terengganu yang memartabatkan karya tentang orang negeri kita, siapa lagi dan saya mengalu-alukan orang ramai memilikinya selepas dilancarkan nanti,” ujarnya.
09 Jan 19
35
MB Terengganu Santuni Pengunjung 'Basteng' MBKT
Dr Samsuri menemui pengunjung Tionghua di 'Basteng' MBKT.KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Kehidupan menjelang malam di Perhentian Bas Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MBKT) tidaklah semeriah perhentian bas di kota raya Kuala Lumpur kerana sehingga jam 12 malam ia menjadi lengang.Ini kerana kebanyakan bas ekspres sudah berlepas ke destinasi masing-masing.Ia menjadi sibuk dengan penumpang dan kenderaan termasuk bas dan kereta sewa serta kereta persendirian setiap hari bermula siang hari sehingga jam 11 malam ketika operasi bas mengangkut penumpang ke destinasi masing-masing.Difahamkan, bangunan hentian bas yang dikenali dengan dialek Terengganu sebagai 'basteng' itu dibina oleh kerajaan negeri dengan peruntukan tidak kurang dari RM14 juta, lebih 10 tahun lalu.Dr Samsuri (dua dari kiri) santuni peniaga roti canai 'Basteng' MBKT.Ia beroperasi menggantikan Stesen Bas Tanjung (tidak jauh dari situ) untuk kegunaan bas ekspres dan bas henti-henti yang mengambil dan menghantar penumpang di sini.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Abd Rahman mengadakan lawatan secara mengejut malam semalam di sekitar 'basteng' itu bagi meninjau permasalahan dan keperluan mendatang untuk penambahbaikannya bagi kegunaan orang ramai.Beliau diiringi oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed.Dr Samsuri (empat dari kanan) dan Tuan Faizah (empat dari kiri) bertanya khabar kepada pengunjung wanita di 'Basteng' MBKT.Dr Samsuri turut beramah mesra dengan pengunjung 'basteng' bertanya khabar sambil mendengar aduan secara langsung rakyat kepada beliau sebagai Menteri Besar Terengganu.Amalan mulia ini amat disukai oleh seluruh rakyat Terengganu yang kebanyakannya beragama Islam dan berbangsa Melayu serta rakyat bangsa lain yang turut dilayani sama rata oleh Kerajaan Terengganu.Memang menjadi kegemarannya bertemu rakyat secara langsung tanpa protokol, meninjau kehidupan rakyat termasuk pengunjung 'basteng' tersebut. Dr Samsuri (kiri) mendengar keluhan pengunjung 'Basteng' MBKT diperhatikan oleh Ahmad Shah (tengah).Ada di kalangan mereka yang berniaga sehingga larut malam demi memenuhi keperluan pelanggan dan pengunjung 'basteng' berkenaan.Dr Samsuri tidak segan silu menyantuni mereka dan merasai kesusahan berniaga dan bertanya khabar mengenai perkembangan perniagaan mereka di situ.
09 Jan 19
115
Tanah RTB Akan Dipulangkan Sebelum Ogos Ini
Oleh: Hidayah AzlinSETIU, 10 Januari - Pemulangan semula tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) akan direalisasikan selewat-lewatnya hujung tahun ini, sebagaimana janji dalam manifesto PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, janji yang dibuat dalam manifesto lalu bukan sekadar 'omong kosong' yang hanya menarik pengundi semata-mata, sebaliknya satu perkara yang akan dilunaskan demi kepentingan rakyat terutama melibatkan tanah RTB di DUN itu."Sasaran kita sebelum Ogos 2019 kita akan memulangkan tanah RTB kepada tuan tanah pemilik asal zaman 1999 hingga 2004 sebagaimana janji dalam manifesto PAS Terengganu. Ianya mampu dilaksanakan dan bukan omong kosong."Walaupun agak susah dan rumit untuk menyelesaikan isu tanah ini, ada kalanya kita perlu bekerja dengan rileks dan santai," jelasnya lagi.Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri berkata demikian ketika ditemui selepas perbincangan bersama Pegawai-pegawai Pejabat Tanah dan beberapa orang Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang terlibat di Kedai Sate Jabi, di sini, petang semalam.Menurut beliau lagi, pihaknya akan bekerja keras demi menjayakan sasaran itu dengan sokongan daripada semua jawatankuasa MPKK yang komited.Beliau juga menegaskan, gerak kerja dan pengurusan pentadbiran di DUN Jabi mempunyai cara tersendiri yang pastinya akan berusaha untuk membangunkan kawasan setempat sepertimana sudah dirancang tanpa meminggirkan kepentingan mana-mana pihak.
09 Jan 19
47
Umat Islam Harus Fahami Isi Al-Quran - Dr Alias
Dr. Alias bersama qari-qari yang bertanding.Oleh: Safwan SyakirKUALA NERUS, 9 Januari - Umat islam digalakkan menghayati intisari al-Quran dalam kehidupan seharian mereka.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, tidak cukup sekadar membaca sahaja tetapi kitab suci itu mesti dihayati untuk memahami kalam yang telah dinukilkan Allah SWT kepada hamba-Nya."Rahsia kejayaan umat Islam terdahulu adalah mereka berpegang teguh dengan ajaran Islam sebagaimana diajarkan Rasulullah SAW," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Tilawah Al Quran Peringkat Kuala Nerus di Masjid Mengabang Telipot, semalam.Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada qari dan qariah yang bertanding."Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada johan qari dan qariah serta semua peserta yang terlibat dan berharap semoga wakil daripada Kuala Nerus terus cemerlang ke peringkat seterusnya dan meningkatkan lagi mutu pembacaan."Harapan saya, dengan adanya pertandingan sebegini generasi hari ini khususnya golongan muda akan lebih berminat mendalami ilmu al-Quran dengan penuh iltizam," katanya lagi.Seramai lapan orang peserta telah mengambil bahagian terdiri daripada lima qari dan tiga qariah.Johan qari, Mohd Farizul Abu Khari dan qariah, Fatimah Embong berjaya menggondol gelaran johan pertandingan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, sijil penghargaan dan piala pusingan.Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato' Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.
09 Jan 19
166
Yayasan Terengganu Taja Pelajar Darul Huffaz TATI Skill
KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu akan menaja anak Terengganu yang melanjutkan pelajaran di Darul Huffaz TATI Skill (DHTS) bertempat di TATI Skill Sdn. Bhd., Jalan Panchor, Teluk Kalong, Kemaman.Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, DHTS yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu menawarkan mata pelajaran sama seperti aliran sekolah arus perdana selain memfokuskan bidang sains teknikal (tujuh subjek) dan pengurusan dan perniagaan (enam subjek). DHTS telah memulakan sesi pembelajaran pertama pada 1 Januari lalu dengan pengambilan 40 pelajar.“Walau bagaimanapun, jumlah pelajar di kalangan anak Terengganu masih tidak sampai separuh daripada yang mendaftar sedangkan kita tawarkan tempat minima untuk 100 pelajar tahun ini.“Justeru, saya mengharapkan anak-anak Terengganu di luar sana ambil peluang ini, malah pihak Yayasan Terengganu juga bersetuju untuk memberi penajaan kepada pelajar yang layak,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, hari ini. Satiful berkata, pendaftaran untuk kemasukan ke DHTS dilanjutkan sehingga 31 Januari khusus buat pelajar dari madrasah dan pondok di seluruh Terengganu.Kerajaan negeri berhasrat menjadikan DHTS sebagai pusat persediaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) utama di Terengganu khususnya kepada pelajar tahfiz dan pondok dengan menawarkan kaedah pembelajaran akademik yang sistematik.Pelajar yang berminat boleh hubungi pejabat DHTS di talian 09-860 1103 atau 010-921 1245.
09 Jan 19
362
Permohonan Zakat MAIDAM Dibuka Untuk Penuntut IPT Dalam Dan Luar Negara
Dato' Haji Osman Muda.Berita baik untuk anak Terengganu yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara.Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyediakan Bantuan Zakat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) bermula 1 Januari sehingga 31 Mac 2019.Penghantaran dokumen (hardcopy) berkaitan perlu dibuat sebelum atau pada 31 Mac 2019. Permohonan dalam negara dan luar negara perlu dicetak dan dihantar ke Ibu Pejabat MAIDAM, Kuala Terengganu.Syarat umum permohonan adalah termasuk beragama Islam dan merupakan rakyat negeri Terengganu yang menetap di Terengganu atau pemastautin tetap tidak kurang dari tiga tahun berturut-turut sebelum melanjutkan pengajian.Pemohon masih dalam tempoh pengajian atau penambahan semester serta slip gaji atau penyata pendapatan pemohon samada bekerja atau tidak bekerja.Bagi syarat khas penuntut IPT dalam negara, pemohon perlulah menyediakan surat pengesahan pengajian tahun semasa daripada Hal Ehwal Pelajar (HEP).Pointer Purata Nilai Gred (GPA) 3.00 ke atas bagi keputusan peperiksaan Semester 1 Sesi 2018/2019 yang mesti disahkan oleh Bahagian Akademik IPT berkenaan.Pelajar Diploma dan Ijazah boleh memohon sekiranya ada atau tiada pinjaman mahupun pembiayaan dan tidak bekerja manakala pelajar Sijil, Ijazah Sarjana (Master) dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) hanya boleh memohon sekiranya tiada pinjaman, pembiayaan, dermasiswa, biasiswa, MyBrain, MyPhD atau tidak bekerja.Syarat khusus penuntut IPT luar negara pula adalah mengemukakan surat pengesahan pengajian tahun semasa daripada Atase Pendidikan Negeri Terengganu, Jabatan Penuntut Malaysia atau Kedutaan Besar Malaysia.Pemohon juga tiada pinjaman, pembiayaan, dermasiswa, biasiswa atau tidak bekerja. Di samping itu, pemohon perlu membawa keputusan peperiksaan semua semester atau tahun pengajian.Syarat penuh, maklumat lanjut dan cara mohon boleh layari www.maidam.gov.my. Permohonan boleh dibuat secara atas talian 'online' pada pautan www.espmb.com/maidam_zakat/.
08 Jan 19
83
Harap Terima Baki Royalti Bulan Ini - MB Terengganu
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Kerajaan negeri berharap bayaran baki jumlah royalti minyak yang masih tertunggak dapat diselesaikan kerajaan pusat sebelum akhir bulan ini.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun ianya adalah jumlah royalti tahun lalu namun bayarannya masih boleh dibuat tahun ini."Kita harap pembayaran itu dapat diselesaikan dalam Januari ini."Harapan kita sangat tinggi bukan sahaja di pihak kerajaan negeri malah rakyat Terengganu sendiri," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir baru-baru ini yang mengatakan baki royalti minyak untuk Terengganu hanya akan disalurkan apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai sumber kewangan secukupnya.Malah Tun M turut berkata, kerajaan juga tidak mensasarkan tempoh bagi pembayaran untuk baki royalti yang masih tertunggak itu.Ditanya butiran pertemuan bersama Perdana Menteri di Putrajaya baru-baru ini, katanya isu mengenai bayaran royalti Terengganu ada dibincangkan bersama.“Dalam pertemuan tersebut, perkara itu (baki royalti) sudah dibincangkan namun kerajaan negeri masih menunggu butiran lanjut berkenaan mengenainya,” ujarnya.
08 Jan 19
59
Permohonan Lesen Motosikal Percuma Dibuka Mulai Februari Ini
Wan Sukairi menunjukkan poster hebahan untuk memohon lesen motosikal.KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Kerajaan negeri akan merealisasikan pemberian lesen motosikal secara percuma kepada golongan belia bermula Februari ini sepertimana Manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah mensasarkan 25,000 belia dan beliawanis yang berumur antara 16 hingga 40 tahun akan mendapat manfaat daripada Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) yang digerakkan bagi meringankan bebanan keluarga.Katanya, permohonan melalui dalam talian dan secara manual akan mula dibuka 1 Februari hingga 1 Mac depan bagi membolehkan proses seterusnya berjalan lancar.“Mulai1 Februari 2019, kita akan mulakan proses pendaftaran semua mereka yang layak untuk menyertai program lesen percuma ini di mana pendaftaran dibuka selama sebulan.“Pada bulan ini juga kita akan mengadakan mesyuarat akhir dengan semua agensi yang terlibat di dalam pelaksanaan program ini dan mengiklankan melalui web, online dan juga mengedarkan borang secara manual kepada seluruh Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kawasan masing-masing.“Semua peserta boleh hantar borang yang diisi secara manual dan online kepada MPKK, Pejabat DUN dan i-MiTS berdekatan,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN), di Wisma Darul Iman, hari ini.Wan Sukairi berkata, setelah selesai urusan permohonanan, pendaftaran dan lain-lain, pihaknya menjangkakan peserta yang layak akan diberikan baucer pada 15 April ini untuk dibawa ke Institut Memandu yang akan mendaftarkan mereka sebagai pelatih bagi menduduki peperiksaan dan menjalani latihan sehinggalah mereka lulus dan mendapat lesen motosikal B2.Katanya, peserta LMTS juga akan dilindungi takaful selama setahun setelah berjaya memiliki lesen motosikal masing-masing.Menurut beliau, menerusi pembentangan Bajet 2019, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM7 juta bagi bantuan mendapatkan lesen motosikal untuk golongan belia.
08 Jan 19
46
RM3 Juta Untuk Mantapkan Pasukan Hoki Terengganu
Ustaz Wan Sukairi (dua dari kanan) mempamerkan jersi baru pasukan THT di Hotel Permai Kuala Terengganu malam kelmarin.KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Kerajaan negeri dengan kerjasama anak-anak syarikat kerajaan (GLC) dan swasta memberi komitmen menyediakan peruntukan kira-kira RM3 juta bagi pembangunan sukan hoki Terengganu pada tahun ini.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pasukan hoki Terengganu memerlukan tidak kurang RM3 juta untuk menguruskan pasukan bagi mencapai kejayaan dalam pelbagai kejohanan musim ini.Katanya, pasukan hoki Terengganu mempunyai 10 pemain import, masing-masing lima orang untuk pasukan lelaki dan wanita.Ustaz Wan Sukairi (tengah) bersama pasukan THT di Hotel Permai Kuala Terengganu malam kelmarin.Menurut beliau, mereka terdiri daripada pemain profesional dari Korea Selatan, Khazakhstan, India, Wales dan Argentina yang membarisi kesebelasan pasukan hoki lelaki dan wanita Terengganu.Ustaz Wan Sukairi berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi, Memperkenalkan Penaja dan Pemain Terengganu Hockey Team (THT) dan Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) untuk Kejohanan Hoki Malaysia TNB 2019 di Hotel Permai di sini malam kelmarin.Bagi memantapkan pasukan, THT mempertaruhkan dua pemain import dari Argentina dan Korea Selatan termasuk Pablo Javier Travisan, Gonzalo Merino, Jung Manjae dan Jang Jonghyun. Sementara pemain dari Wales ialah Ant Daniel Kyriakides.Tiga pemain import dari India dipertaruhkan untuk pasukan TLHT termasuk Man Meet Kaur, Jaswinder Kaur dan Jaspreet Kaur selain Domashneva Vera dari Wales dan Bakhavaddin Glizal dari Khazakhstan.Ustaz Wan Sukairi (tengah) bergambar bersama pasukan TLHT di Hotel Permai Kuala Terengganu malam kelmarin.Pemain-pemain tersebut akan menambahkan lagi keupayaan pasukan menandingi pasukan lain di persada hoki Malaysia.THT menyenaraikan seramai 32 pemain manakala TLHT seramai 22 pemain. Kedua-dua pasukan berkenaan masing-masing dilatih oleh Vikneswaran Iswarapatham dan Iman Gobinathan.Cabaran pertama pasukan THT ialah Liga Hoki Malaysia dengan perlawanan Piala Sumbangsih bertemu UniKL di Stadium Batu Buruk, di sini 11 Januari ini.
08 Jan 19
244
Khairunnisa Dan NGO Bantu Madrasah Anak Yatim
Oleh: Nooreni Abu BakarKEMAMAN, 9 Januari - Nasib malang yang menimpa Madrasah Anak Yatim Hafizatul Quran yang telah musnah di dalam kebakaran tidak berapa lama dahulu mendapat simpati dua badan bukan kerajaan (NGO).Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa) bersama Pertubuhan Cakna Anak Yatim tampil membantu dengan menghulurkan bantuan makanan dan lain-lain keperluan bagi meringankan beban mereka.Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Hajah Rugayah Mahmood berkata, kunjungan serta bantuan dihulurkan dengan rasa keprihatinan terhadap anak-anak yatim yang kehilangan tempat tinggal setelah terbakar baru-baru ini.“Atas rasa prihatin kepada anak-anak yatim, beberapa NGO termasuk Khairunnisa tampil membantu dengan mengadakan ziarah ke madrasah sementara yang terletak tidak jauh dari tempat asal. "Madrasah ini hanya menerima anak-anak yatim yang kematian ayah dan dibuka untuk pelajar perempuan sahaja. Setakat ini saya dimaklumkan terdapat 12 orang pelajar berusia antara 10 hingga 17 tahun di madrasah ini dari sekitar Kemaman," ujarnya yang juga ahli jawatankuasa Khairunnisa kepada pemberita, di sini semalam.Mereka turut memberi sumbangan untuk menampung menyiapkan bangunan madrasah yang baharu di samping barangan keperluan dapur.Sementara itu, seorang lagi ahli jawatankuasanya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, Khairunnisa akan menumpukan lokasi ziarah kepada pusat-pusat yang memerlukan bantuan di lapan parlimen yang terdapat di negeri ini."Khairunnisa dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan akan sentiasa membantu menjaga kebajikan rakyat," katanya.
08 Jan 19
413