Artikel "Semasa" Terkini
GASTEP Juarai Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Besut
Oleh: Saifullah JusohBESUT, 13 Januari - Pasukan sepak takraw GASTEP telah menjuarai Kejohanan Sepak Takraw Terbuka Besut yang diadakan di Gelanggang Sepak Takraw Kampung Teluk Bayu.Kejohanan yang berlangsung selama dua hari berakhir semalam itu disertai oleh 58 pasukan daripada negeri ini dan Kelantan. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Haji Azbi Salleh berkata, kejohanan seperti ini diharap dapat diteruskan bagi mencungkil bakat-bakat baru dari kalangan remaja negeri ini khususnya di daerah Besut."Insya-Allah bagi pihak Penyelaras DUN Kuala Besut, kami akan berbincang bagi mengadakan lagi kejohanan sepak takraw di DUN Kuala Besut", ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.Turut hadir, Pembantu Penyelia Hal Ehwal Belia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kuala Besut, Hafiz Yusof.Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa gembira kerana kejohanan tersebut berlangsung dengan jayanya.
13 Jan 19
856
Ajak Masyarakat Cari Keredhaan Allah
Oleh: Nooreni Abu BakarDUNGUN, 13 Januari - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) disaran mengajak masyarakat melaksanakan aktiviti yang mendekatkan diri dalam mencari keredhaan Allah. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Alias Harun berkata, setiap MPKK diharap menyedari bahawa antara peranan yang perlu mereka pikul adalah untuk mengangkat Islam berada di tempat yang sepatutnya."Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripada Islam, jadi jangan kita anggap tugas sebagai MPKK hanya tugas biasa-biasa sahaja."Tetapi dengan tugas kita sebagai MPKK, kitalah yang sepatutnya mengangkat Islam supaya berada di tempatnya dan setiap kerja buat kita sentiasa mengharap redha Allah," katanya.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata demikian ketika berucap di Majlis Gotong-Royong anjuran MPKK Burung Baru, kelmarin.Program gotong-royong berkenaan adalah rutin bulanan MPKK Burung Baru dan kali ini melibatkan sekitar jalan Burung Baru dan Paya Kemudi.Katanya, beliau mengharapkan semua MPKK dapat menunjukkan semangat bagi memperjuangkan Islam dan titik peluh mereka menjadi saksi bila bertemu Allah nanti.“Saya harap agar MPKK dokumenkan aktiviti sebagai panduan kepada generasi akan datang dalam memperjuangkan Islam, seterusnya mengekalkan Kerajaan Terengganu sekarang," ujarnya.
13 Jan 19
34
Sultan Mizan Solat Jumaat Di Masjid Ar-Ridha
Sultan Mizan (tengah) mencemar duli bersalaman dengan Ustaz Mohd Nor selepas selesai solat Jumaat di Masjid Ar-Ridha Manir kelmarin.HULU TERENGGANU, 13 Januari - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billahi Shah mencemar duli mengerjakan solat Jumaat di Masjid Ar-Ridha Manir di sini kelmarin.Turut mengiringi baginda, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji A Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Haji Hilmi Harun dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Khutbah Jumaat dari mimbar masjid itu menyentuh kewajipan menutup aurat dan batas-batasnya yang wajib dipatuhi oleh umat Islam sama ada muslimin atau muslimat. Kira-kira 800 orang ahli qaryah mengerjakan solat Jumaat di masjid berkenaan bersama Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Mizan.
12 Jan 19
392
Rahsia Kejayaan Johan Qari Marang
Wan Amirul dari Kampung Berangan Pak Ayu, Bukit Payong, ketika menyampaikan bacaan sebelum diumumkan johan qari pada pertandingan itu. Oleh: Aziz HambaliMARANG, 13 Januari - Rahsia kejayaan johan qari Marang, Wan Amirul Syamnie Wan Rosli, 30, adalah menjaga bacaan dengan guru atau musyafahah."Alhamdulillah, saya musyafahah (bacaan secara lisan dalam keadaan berhadapan) dengan guru tanpa putus. Memang langsung tidak putus. Sentiasa pergi."Saya mengaji al-Quran bergurukan Allahyarham Tuan Guru Haji Mad Jeram Manir dan Hajjah Maznah Kuala Berang," katanya ketika ditemui sejurus menerima hadiah kemenangan di Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Marang, di Masjid Tebakang, di sini, Khamis lalu (10 Januari).Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Dan Teknologi Maklumat negeri, Sulaiman Sulong, Pegawai Daerah Marang, Mat Azmi Arshad dan Pegawai Agama Daerah Marang, Engku Omar Amiruddin Engku Ali.Wan Amirul dari Kampung Berangan Pak Ayu, Bukit Payong, meraih tempat pertama selepas memperolehi 90 mata dan bakal membawa cabaran mewakili daerah ke pertandingan peringkat negeri bermula 29 hingga 31 Januari ini. Beliau mengenepikan dua pesaing, Reemli Awang Teh, 56, yang mendapat markah 85.5 mata (kedua) dan Wan Mohamad Shahrul Azri Wan Mohd Azmi, 23 tempat ketiga dengan jumlah 84.5 mata.Sementara johan qariah pula milik Noor Syahmun Muhd Noor (89.5 mata), naib johan dimenangi oleh NurAfiffah Zaki, 23, (85.5 mata) dan tempat ketiga, Hajah Raziati Mohd Ali, 53, yang memperolehi 78.5 mata.Jemaah Hakim Majlis Tilawah Al-Quran bersepakat membahagikan markah kepada empat bahagian iaitu bahagian tajwid 35 markah, tarannum (25 markah), asohah (20 markah) dan suara 20 markah.Syahmie yang bertugas sebagai bilal di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai itu berasa begitu gembira kerana dinobatkan sebagai johan pada pertandingan kali ini.“Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah kerana telah dinobatkan sebagai johan pada malam ini. Saat ditunggu telah menjadi kenyataan. Sebenarnya saya telah menyertai pertandingan ini sudah tiga tahun lepas, tetapi mungkin belum rezeki untuk mendapat johan.“Insya-Allah apa yang juri beritahu sebentar tadi, akan saya perbaiki terutama dari segi fasohah (sebutan) yang saya agak lemah," katanya. Kedua-dua johan qari dan qariah akan mara ke peringkat negeri bertempat di Dewan Berlian, Majlis Perbandaraan Kemaman, yang berlangsung tiga hari bermula 29 Januari ini.
12 Jan 19
151
Amaran Cuaca Ribut Petir Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan notis amaran cuaca ribut petir di beberapa kawasan di Terengganu dan Sarawak.Dalam satu kenyataan hari ini, METMalaysia memaklumkan, kawasan-kawasan yang terlibat adalah Terengganu (Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun) dan Kuching, Serian serta Samarahan di Sarawak."Hujan agak banyak dan dijangka reda malam ini dan besok.Walaupun begitu, keadaan cuaca yang lembap dijangka di Negeri Terengganu dalam tempoh 16-18 Januari ini."Jabatan Meteorologi akan mengeluarkan amaran sekiranya hujan lebat berterusan dijangka berlaku,"kata kenyataan itu.Amaran Cuaca Waspada dikeluarkan berkuat kuasa sehingga petang hari ini.
12 Jan 19
242
Luncur Ombak Tarikan Sukan Air Di Terengganu
Oleh: Wan Luqman HakimKUALA TERENGGANU, 13 Januari - Ombak (beach break) yang terdapat di Pantai Batu Buruk (PBB)merupakan antara yang terbaik di Asia untuk permainan papan luncur.President PLOT (Persatuan Luncur Ombak Terengganu), Azmi Awang berkata, PBB adalah di antara ombak (beach break) yang terbaik di Asia dan ianya berbeza dengan pantai Cherating (point break) yang lebih berbahaya berbanding Pantai Batu Buruk.“Tidak mustahil kita dapat menarik pelancong dengan ombak, tapi bila datang musim lain kita perlu membawa cara yang lain untuk menarik pelancong.“Sukan ini amat dinanti-nantikan dan menjadi buah mulut oleh para peluncur dalam atau luar negara,” kata Azmi yang juga salah seorang peluncur ombak dalam senarai 10 teratas di Malaysia.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Kejohanan Luncur Ombak COMPLOT 2.0 anjuran Persatuan Luncur Ombak Terengganu (PLOT) di Pantai Batu Buruk, di sini semalam.Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibnu Amin Busu.Sementara itu, Ibnu Amin Busu berkata, Terengganu sudah popular dengan sukan musim tengkujuh iaitu Monsun Cup dan sukan papan luncur adalah di antara salah satu sukan baharu yang perlu diketengahkan.“PLOT perlu di‘legalist’ dahulu, kemudian kita boleh meneruskan langkah seterusnya dan sudah tentu MSNT akan membantu sukan ini jika ia berada dalam Sukan Olimpik.“Ia perlu dibangunkan dengan lebih agresif untuk kita memajukan sukan ini dan nama Malaysia,” ujarnya lagi.Bagi pelancong dari Jepun, Eriko yang sedang bercuti di Terengganu sejak sebulan yang lalu, dia merasa teruja dengan keindahan Pantai Batu Buruk dan sanggup datang kerana minatnya dalam sukan papan luncur.
12 Jan 19
952
Peserta Bertudung Juara Luncur Ombak Wanita
Mona Rasidah Abdul Rashid dalam saingn kejohanan luncur ombak COMPLOT 2.0 anjuran Persatuan Luncur Ombak Terengganu (PLOT) semalam.Oleh: Wan Luqman HakimKUALA TERENGGANU, 13 Januari - Mona Rasidah Abdul Rashid, 33, membuktikan penampilan bertudung bukan halangan untuk golongan hawa menceburi sukan luncur ombak.Anak jati Kampung Selamat, Kuantan, Pahang ini berkata, pakaian patuh syariah tidak menjejaskan prestasinya malah, memberi lebih keselesaan dan keyakinan ketika meluncur.Lebih manis, Mona Rasidah yang merupakan satu-satunya peserta wanita bertudung dalam kejohanan luncur ombak COMPLOT 2.0 anjuran Persatuan Luncur Ombak Terengganu (PLOT) di Pantai Batu Buruk di sini berjaya mengetepikan peserta lain apabila dinobatkan sebagai juara kategori terbuka wanita."Bagi saya, pemakaian hijab untuk sukan ekstrem 'surfing' ini tidak langsung menghalang saya. Saya tidak melepaskan hijab ini kerana ia amat selamat. Sebelum ini saya tidak berhijab, tapi selepas berhijab, saya lebih yakin bahawa ia selamat."Apabila tidak berhijab, rambut akan mengganggu penglihatan dan muka. Adakalanya ia membuatkan kita sukar untuk bernafas. Jadi bila kita berhijab, alhamdulillah ia menjadi selesa dan selamat," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis penyampaian hadiah kejohanan itu, di sini petang semalam.Hadiah kepada peserta disampaikan oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibnu Amin Busu.Mona Rasidah memberitahu, kejayaan terbaharu itu merupakan yang keempat selepas kemenangannya dalam kejohanan luncur ombak di Pulau Tioman dan Terengganu sebelum ini.Dia yang menceburi sukan air itu sejak 2010 berkata, minatnya timbul selepas melihat kalangan rakan lelakinya di kampung meluncur ombak."Rumah saya dekat dengan pantai dan bila tengok ramai rakan sekampung meluncur di Pantai Teluk Cempedak, timbul keinginan untuk turut sama jadi peluncur."Apabila sudah selalu berlatih, perlahan-lahan saya dapat mengatasi rasa takut dengan ombak dan akhirnya lebih yakin untuk mengawal situasi," katanya.
12 Jan 19
149
Sagu Hati Untuk Kelahiran Anak Pasangan Poligami
Wan Sukairi (tiga dari kiri) bersama anak Terengganu di Pasir Gudang, Johor semalam.PASIR GUDANG, 13 Januari - Rakyat Terengganu termasuk yang berpoligami berhak mendapat sagu hati kelahiran anak pertama sehingga seramai mungkin pada kadar RM100 hingga RM500 bagi setiap kelahiran. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bagi kelahiran anak pertama sehingga keenam sama ada dari isteri pertama atau kedua, mereka berhak mendapat sagu hati sebanyak RM100 seorang. Sementara anak ketujuh pula jelasnya, mendapat RM200, anak kelapan (RM300), anak kesembilan (RM400) dan anak ke-10 (RM500).Wan Sukairi (kanan) bersalaman dengan Haji Abdullah di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang malan semalam."Setiap kelahiran selebihnya diberikan sagu hati RM500 bagi menggalakkan rakyat Terengganu melahirkan ramai anak," katanya ketika menjawab soalan anak Terengganu di Johor di Majlis Ramah Mesra Bersama Exco di sebuah restoran di Bandar Seri Alam, di sini semalam.Kira-kira 500 orang anak perantau Terengganu di Johor hadir di majlis berkenaan. Turut hadir Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Haji Mohd Soud Said, Pesuruhjaya PAS Johor, Haji Abdullah Husain dan Ketua Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU), Haji Zulkifli Ibrahim. Ustaz Wan Sukairi berkata, setakat ini kerajaan negeri tidak mengambil kira jumlah keseluruhan kelahiran anak baharu dari pasangan berpoligami itu untuk diberi sagu hati berkenaan.Wan Sukairi menyampaikan hadiah kepada seorang anak Terengganu di Pasir Gudang, malam semalam."Kita tidak mengira sekali gus jumlah anak yang lahir dari isteri pertama dan kedua tetapi kita mengambil kira jumlah kelahiran anak secara berasingan," ujarnya. Kerajaan negeri juga menerima beberapa cadangan termasuk sambungan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dari Kuantan ke Johor untuk kemudahan anak-anak Terengganu di negeri itu pulang ke kampung halaman mereka. Begitu juga dengan cadangan penerbangan sebuah syarikat penerbangan dari Terengganu ke Johor perlu disambung semula setelah dihentikan tahun ini.Wan Sukairi (tengah) bergambar bersama anak Terengganu di Pasir Gudang, Johor malam semalam."Saya baru menerima maklumat mengenainya dan saya akan rujuk kepada Exco Pelancongan mengenai perkara ini," jelas beliau. Dalam pada itu, rakyat Terengganu di perantauan turut mendapat hak untuk mendapat kemudahan yang hampir sama dengan anak negeri yang bermastautin dalam aspek mendapat lot tanah, peluang pekerjaan dan lain-lain. Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, anak negeri di perantauan juga berhak mendapat satu lot tanah untuk tapak rumah kediaman dari kerajaan negeri bagi mereka yang belum memiliki tanah berkenaan. Mereka juga berhak mendapat satu lot tanah pertanian bagi mereka yang bekerja sebagai petani. Di samping itu, katanya, anak perantau juga berpeluang mendapat pekerjaan di Terengganu dalam industri silika yang akan dibuka tidak lama lagi.
12 Jan 19
71
Futsal Business Challenge Himpun Usahawan Kuala Terengganu
Narin FC juara edisi pertama FBC.KUALA NERUS, 12 Januari - Futsal Business Challenge (FBC) 2019 Piala Exco Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri yang dianjurkan di ASC Sports Gong Badak hari ini berjaya menghimpunkan usahawan-usahawan sekitar Kuala Terengganu.Pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Engku Mohd Hairulnizam Tuan Ahmad berkata, aktiviti tersebut membawa pendekatan baharu untuk usahawan negeri itu."Untuk pergi lebih jauh, seorang usahawan bukan hanya perlu ada modal tetapi kena kenal usahawan lain dan belajar antara satu sama lain."Kita tengok selain berniaga, mereka ini sebenarnya perlu ada jaringan hubungan antara usahawan."Justeru, antara cara untuk kenal dan merapatkan hubungan mereka adalah dengan sukan."Di bawah Exco kita sekarang iaitu Yang Berhormat Mohd Khuzaini Ab Rahman, kita berjaya laksanakan aktiviti ini dan kita harap ia bukan yang terakhir."Dapat dilihat hari ini suasana sangat meriah dan memberangsangkan."Ini sebagai permulaan dan kita bercadang melaksanakannya di setiap daerah," katanya ketika ditemui pemberita dalam program tersebut.Sebanyak 28 pasukan terdiri daripada syarikat-syarikat bertanding selain mengukuhkan kesefahaman dalam pasukan dan syarikat masing-masing melalui aktiviti santai itu.FBC 2019 dimenangi oleh Narin FC daripada NFK Prima Farm yang membawa pulang piala pusingan, medal dan hadiah berupa barangan tajaan syarikat-syarikat terlibat.
12 Jan 19
134
Syukor Khamis Kampung Boy Terengganu
Foto - Pok AbbasKUALA TERENGGANU, 12 Januari - Khamis Jusoh, 63, dan anaknya, Muhammad Syukor Khamis, 14, menjadi tumpuan orang ramai selepas tular kerana keakraban anak lelakinya bersama haiwan kesayangan mereka.Ditanya mengenai kesediaannya bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menaikkan nama Terengganu, beliau menyatakan keterbukaannya menerima kedatangan pelbagai pihak."Selagi saya ada, tidak menjadi masalah. Semua ini untuk mewarisi apa (keunikan) yang kita ada, saya tidak keberatan menerima kerjasama daripada kerajaan atau sesiapa pun."Cuma, jika betul berlaku kerjasama seperti dalam bidang pelancongan, sumbangan itu perlu ada bagi menyediakan tempat yang sesuai untuk pelancong yang datang," katanya dalam pertemuan di Kampung Kubang Bujuk itu.Bapa kepada lapan orang anak itu turut berharap dapat mewariskan perusahaan haiwan ternakan kepada anak-anaknya untuk diteruskan."Saya bermain dengan haiwan ini daripada kecil, sekitar umur 5 hingga 6 tahun sudah mengikut ayah ke kandang menguruskannya dan kerbau-kerbau ini sebahagiannya diwarisi daripada ayah saya."Anak-anak saya semua rapat dengan haiwan peliharaan ini."Bagaimanapun, harap kalau boleh mewarisi pun kepada Syukor lah kerana dia dilihat lebih berminat dalam bidang ini berbanding abang dan kakaknya yang lain," katanya.Khamis memiliki sekitar 115 ekor kerbau selain lembu, kambing dan ayam. Perusahaan tersebut dijalankan sepenuh masa dengan dibantu anak-anaknya.Keluarganya mula menjadi tumpuan selepas tular kemenangan jurugambar, Nazri Sulaiman yang memaparkan keakraban Syukor dan kerbau peliharaannya yang dipilih sebagai Imej Asia 2018 oleh Asia Geographic bagi kategori Jalanan atau Orang Terbaik.
12 Jan 19
1194