Artikel "Semasa" Terkini
Nasi Dagang Antara Masakan Istimewa Di Paya Bunga Hotel Terengganu
Mohd Fadzil mempamerkan pelbagai masakan istimewa PB Hotel.KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Paya Bunga (PB) Hotel Terengganu kini mempromosikan lebih 100 menu pelbagai jenis masakan popular termasuk nasi dagang istimewa sempena pembukaan hotel tersebut baru-baru ini. Nasi dagang itu dikawal pembikinannya oleh seorang cef khas menjadikan rasanya ekslusif dan sentiasa disebut pengunjung dan penginap hotel tersebut. Ketua cef hotel itu, Mohd Fadzil Ismail, 46, yang sudah berpengalaman selama 30 tahun dalam penyediaan masakan hotel berkata, nasi dagang PB Hotel kini antara masakan popular di kalangan pelanggan hotel itu.Pelbagai juadah istimewa disediakan oleh PB Hotel menepati cita rasa pelanggannya.Walaupun ia baru dibuka, masakan itu antara yang popular di hotel berkenaan. Kebanyakan makanan di hotel tersebut adalah hasil olahan ketua cef itu termasuk dalam masakan Terengganu, Barat dan Malaysia. Mohd Fadzil menyajikan makanan tersebut untuk dirasai sendiri oleh pemberita dan jurugambar yang dijemput khas sempena memperkenalkan masakan di hotel berkenaan di sini kelmarin. Menurut beliau, harga masakan di hotel berkenaan bermula dari RM11 hingga RM60. PB Hotel merupakan sebuah hotel patuh syariah milik Kerajaan Terengganu. Ia difahamkan menjadi tumpuan baharu penginapan bagi pengunjung yang datang untuk menikmati keindahan Bandaraya Kuala Terengganu dan kawasan sekitarnya.
19 Jan 19
1179
Terengganu Beri Peluang Bukan Melayu Islam Berkhidmat Dalam MPKK
Dr Azman Ibrahim.KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Kerajaan Terengganu memberi peluang dan ruang kepada bukan Melayu dan Islam untuk bersama terlibat dalam memimpin dan berganding bahu membangunkan negeri ini.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tiada kaum yang terpinggir atau diketepikan dalam ruang itu."Di peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), daripada keseluruhan 1,044 MPKK seluruh negeri, 18 daripadanya dipimpin oleh saudara kita dari kaum Cina."DUN (Dewan Undangan Negeri) Bandar mendahului dengan seramai 14 MPKK dipimpin kaum Cina, diikuti DUN Sura (2), sementara DUN Chukai dan DUN Tepoh masing-masing seorang MPKK yang menampilkan kaum Cina sebagai Pengerusi," katanya.Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebooknya semalam, mengulas tentang keterlibatan kaum lain dalam perkhidmatan MPKK."Negeri ini milik dan tanggungjawab kita bersama. Mari bersama kita pelihara dan laksanakan amanah kepimpinan ini sebaiknya."Dengan Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS, semua kaum dijamin hak dan keadilan," tegasnya.
19 Jan 19
142
PASTI Fasa Awal Pendidikan Agama - Isteri MB
Oleh: Aslam WiraMARANG, 15 Januari - Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) adalah peringkat dan fasa pendidikan awal anak-anak di mana mereka diperkenalkan dengan asas pendidikan agama yang berteraskan al-Quran dan as-sunnah.Isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman berkata, usaha untuk mendidik anak-anak dapat membantu mereka berhadapan dengan masyarakat di fasa seterusnya, kerana mereka sudah ada bekalan dan asas agama."PASTI akan berterusan memberi khidmat terbaik dari masa ke masa dan tidak akan terhenti perkhidmatannya. Malah akan sentiasa mendapat perhatian dan tempat di kalangan masyarakat dan ibu bapa sendiri."Saya berharap dengan ilmu yang dibekalkan di PASTI, ianya akan berterusan dan kekal dalam jiwa anak-anak," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas kunjungan mahabbah ke lima buah PASTI di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang melibatkan PASTI Seberang Marang, Bukit Gasing, Batangan, Pulau Kerengga dan Kelulut baru-baru ini (15 Januari).Kunjungan tersebut bertujuan untuk menyantuni guru-guru dan anak-anak pelajar PASTI yang semakin bertambah bilangan saban tahun.“Saya ingin mengucapkan syabas kepada guru-guru PASTI, walaupun mereka dibayar dengan gaji yang sangat kecil, tetapi mereka tidak pernah berputus asa menyampaikan ilmu bermanfaat kepada anak-anak kita."Semoga Tuhan membalas penat lelah mereka dengan saham-saham tersebut dalam melahirkan anak-anak yang beragama dan berintelektual," tambahnya.Turut serta dalam kunjungan itu, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang, Haji Mohamad Embong dan Penyelaras PASTI DUN Rhu Rendang, Ahmad Nazirul Ismail.
19 Jan 19
69
Cuti Jumaat Hilangkan Resah Majikan Dan Pekerja
Ustaz Mohd Nor Hamzah.Oleh: Nasir AbdullahKUALA TERENGGANU, 19 Januari - Kerajaan Persekutuan disaran untuk menyelaraskan cuti mingguan pada Jumaat sebagai satu langkah bijak bagi menangani masalah dan keresahan yang dihadapi majikan dan pekerja.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, keresahan yang timbul ialah majikan akan merasakan kerugian jika waktu rehat yang diberikan lebih lama daripada hari-hari biasa."Keadaan menjadi lebih teruk kerana kesesakan jalan raya, yang akan melambatkan pekerja kembali ke pejabat," katanya.Menurutnya, di pihak pekerja pula merasa tertekan kerana terpaksa pulang tergesa-gesa ke tempat kerja mereka kerana masa yang singkat sekali gus untuk mengelakkan konflik dengan majikan."Dilema ini boleh diatasi dengan memberikan keadaan menang-menang iaitu menyelaraskan cuti mingguan itu kepada Jumaat dan Sabtu, kerana pada hari Ahad, tiada kewajipan solat seperti Jumaat," jelasnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita hari ini, sebagai menyokong cadangan daripada PAS Kelantan.PAS Kelantan semalam, melalui Ketua Penerangannya, Dato’ Nassuruddin Daud mencadangkan agar cuti mingguan diselaraskan bagi memudahkan majikan dan pekerja menunaikan amanah masing-masing."Walaupun bekerja pada hari Jumaat bukanlah suatu dosa, tetapi ada hukum berkaitan jual beli ketika solat Jumaat berlangsung," kata Nassuruddin ketika menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu semalam.Mohd Nor yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu turut menyarankan agar kerajaan negeri lain mengikut jejak langkah Kelantan dan Terengganu yang menjadikan hari Sabtu sebagai hari keluarga.“Kerajaan Terengganu baru-baru ini telah mengikut jejak langkah Kelantan dengan mengisytiharkan Jumaat sebagai hari ilmu dan Sabtu sebagai hari keluarga."Kita memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada rakyat untuk mengikuti kuliah ilmu di beberapa tempat yang dikhaskan oleh kerajaan pada hari Jumaat, kerana bagi kerajaan, ilmu amat penting untuk diberikan kepada rakyat."Manakala pada hari Sabtu pula, banyak tempat-tempat menarik di Terengganu untuk dijadikan lokasi perkelahan bersama keluarga atau apa-apa akitiviti lain untuk mengeratkan hubungan mereka, dan menjana ekonomi peniaga-peniaga tempatan,” ujarnya.Beliau yakin hal ini tidak akan menjadi polemik keagamaan kerana Malaysia mempunyai hampir 70 peratus penduduk beragama Islam, maka ianya adalah munasabah dilaksanakan dan Islam juga adalah agama rasmi negara.Selain Kelantan dan Terengganu, Kedah dan Johor juga menetapkan cuti rasmi mingguan negeri pada hari Jumaat dan beliau percaya ia boleh dikembangkan lagi ke negeri-negeri lain.
18 Jan 19
139
Hakisan Pantai Bari Kecil Dapat Perhatian Kerajaan
Oleh: Dzakaria Mohd SallehSETIU, 19 Januari - Kebimbangan penduduk terhadap hakisan pantai di Kampung Bari Kecil, Permaisuri mendapat perhatian Kerajaan Negeri Terengganu.Kunjungan Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir ke pesisir pantai tersebut Selasa lalu, memperlihatkan keadaan pantai yang semakin teruk terhakis."Banyak pokok-pokok didapati tumbang akibat hakisan pantai. "Saya juga dimaklumkan tandas yang dibina Majlis Daerah Setiu (MDS) di sini sudah terhakis dan tidak kelihatan lagi," katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.Beliau yang diiringi Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A. Rahman dan Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bari Kecil menyatakan komitmen menyampaikan aduan ke agensi terbabit iaitu Jabatan Parit dan Saliran (JPS) untuk membuat pemantauan."Kita akan mengetengahkan hal ini dalam mesyuarat jawatankuasa tindakan daerah Setiu yang bakal diadakan dalam masa terdekat untuk kita selesaikan permasalahan yang berlaku," katanya.Sementara itu Pengerusi MPKK Bari Kecil, Omar Abdul Rahman turut gusar dengan hakisan di pantai mereka yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini."Buat masa ini, pokok Rhu yang ditanam oleh Jabatan Perhutanan Malaysia, satu wakaf (pondok) awam dan satu lagi wakaf milik Majlis Daerah di kawasan ini telah tumbang dan runtuh disapu ombak," katanya sambil berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan sewajarnya.
18 Jan 19
775
Perubahan Posisi Semarak Idea Baharu
Oleh: Muhammad Husaif MamatKUALA TERENGGANU, 19 Januari - Kerajaan negeri akan meneruskan momentum kecemerlangan negeri melalui perubahan posisi dalaman yang berlaku.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perubahan posisi secara konstruktif akan mewujudkan persekitaran dan gaya kerja yang baharu dan secara tidak langsung menyemarakkan lagi idea-idea yang segar untuk kebaikan rakyat negeri Terengganu."Tahun 2019 adalah tahun yang penuh dengan cabaran dan kejutan, prestasi ekonomi dunia yang tidak menentu akan memberikan kesan kepada negara dan seharusnya kita bersedia dengan inisiatif yang lebih segar."Saya mengharapkan dengan kepercayaan di jawatan yang baharu ditambah dengan semangat tahun baharu akan membuahkan hasil-hasil dan inisiatif yang lebih segar," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Serah Tugas Pegawai Kanan dan Angkat Sumpah Pihak Berkuasa Tempatan Negeri, baru-baru ini.Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya serta Penasihat Undang-undang Negeri, Azhar Abdul Hamid.Seramai 95 pegawai tadbir pelbagai peringkat termasuk 16 pegawai kanan kerajaan negeri terlibat dalam pertukaran berkuatkuasa baru-baru ini.Antara yang terlibat dalam pertukaran posisi itu ialah Samiun Salleh yang ditukarkan dari jawatan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kepada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).Jawatan Datuk Bandar MBKT akan digantikan oleh Shahidan Embok yang merupakan Pegawai Daerah/Pentadbir Tanah Besut.Pegawai Daerah/Pentadbir Tanah Marang, Mat Azmi Arshad pula bakal bertugas sebagai Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu.Manakala, Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Ahmad Azmi Md. Salleh menjawat jawatan Pengarah Yayasan Islam Terengganu.
18 Jan 19
94
Jalinan Belia-Veteran Terengganu Cipta Keharmonian
MARANG, 19 Januari - Kerjasama dan gabung jalin hubungan antara belia dan 'orang lama' akan mewujudkan suasana harmoni dan kesepakatan dalam sesebuah kampung.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah mengingatkan, penglibatan kedua pihak mampu menjadi contoh terbaik dalam pembangunan anak muda."Ia akan menjadi satu contoh yang baik kepada belia daerah ini untuk melihat pembangunan dan usahasama sedia ada," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai majlis dialog sempena Program Jelajah Belia Terengganu Sejahtera Peringkat Daerah Marang di Dewan Majlis Daerah Marang, semalam.Program tersebut bermula sejak awal pagi lagi dengan konvoi bermotosikal ke kampung-kampung berhampiran untuk melihat pembangunan dan aktiviti belia di kawasan tersebut.Wan Sukairi juga menyeru belia Marang agar mengambil peluang memanfaatkan bantuan yang disalurkan kerajaan negeri kepada belia."Mana-mana belia yang berminat dalam apa juga bidang, kerajaan boleh bantu menyediakan kemudahan daripada sudut pengetahuan, kemudahan modal dan sebagainya."Apa yang kita mahu, belia Terengganu menjadi belia dan beliawanis yang mampu mencipta sejarah tersendiri untuk diri mereka sendiri dan dalam masa yang sama membawa kebaikan kepada agama, bangsa, negeri dan negara," katanya.Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Belia Negeri, Amirullah Othman turut menyambut sokongan yang disampaikan kerajaan negeri."Terima kasih atas sokongan daripada kerajaan dan Pegawai Daerah kepada belia daerah ini."Saya percaya belia Marang akan terus berdaya saing dan menjadi pelapis terbaik kepimpinan akan datang," katanya.Program yang berakhir sekitar jam enam petang itu turut dihadiri Pegawai Daerah Marang yang baharu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Mohd Saufi Mohd Ibrahim.
18 Jan 19
129
TV Darul Iman Anjur Pertandingan 'Contest: Like, Share & Win'
KUALA TERENGGANU, 17 Januari - TV Darul Iman melancarkan pertandingan 'Contest: Like, Share & Win' bermula kelmarin sehingga 27 Januari ini, satu pertandingan julung-julung kali diadakan di bawah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).Ia bertujuan untuk menyegerakan penyampaian maklumat Kerajaan Terengganu kepada orang awam melalui pertandingan tersebut.Urusetia pertandingan berkenaan, Wan Noor Hidayah Wan Isma'on berkata, sesiapa yang mendapat 'like and share' tertinggi bakal mendapat tiga hadiah istimewa.Bagi pemenang pertama, akan mendapat hadiah penginapan satu malam di Paya Bunga Hotel.Pemenang kedua pula akan dihadiahkan sehelai baju jersi terbaru Terengganu FC Musim 2019 manakala pemenang ketiga mendapat baucer RM50 daripada Chicken Cottage."Pertandingan ini tidak terhad, semua boleh menyertainya kecuali kakitangan UPDI," jelasnya ketika bercakap kepada pemberita di sini hari ini.Katanya, sebagai syarat pertandingan, orang ramai perlu menyebarkan video Rangkuman Tujuh Bulan Pentadbiran Kerajaan Baharu Negeri Terengganu Darul Iman yang disiarkan di page facebook TV Darul Iman di link https://www.facebook.com/TvDI3/videos/2297795947133504/.Di samping itu mereka yang terbabit perlu membuat 'like and follow page' media kerajaan negeri itu di link https://www.facebook.com/TvDI3/serta membuat 'hashtag' #ContestTVDarulIman."Terima kasih kerana terus menyokong TV Darul Iman, selamat mencuba semua, semoga berjaya," kata Wan Noor Hidayah.
16 Jan 19
355
JKSTR Tetapkan KPI Selesaikan Kes Perbicaraan
KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKSTF) menetapkan tempoh sekurang-kurangnya enam bulan sebagai sistem petunjuk prestasi utama (KPI) untuk menyelesaikan kes perbicaraan di Mahkamah Syariah Terengganu. Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd. Zakri Wan Mohd berkata, jika melebihi tempoh itu, hakim syarie yang bertanggungjawab perlu memberi perjelasan secara bertulis.Katanya, beberapa langkah perlu diambil kira jika mahu tempoh itu ditepati oleh hakim yang bertanggungjawab agar tidak dibebani dengan pelbagai perkara yang remeh dan setiap kes perlu dibicarakan sebaik-baiknya dan betul-betul bersedia.“Kebiasaannya perjalanan kes perbicaraan yang berlarutan sehingga dua hingga tiga tahun, hakim perlu mengambil tahu pelbagai perkara, termasuk surat saman sudah diterima pesalah atau sebaliknya.“Pada masa sama, pesalah enggan memberi kerjasama, selain pengadu gagal membawa saksi yang sepatutnya,” katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pertemuan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali Bersama Ketua Hakim Syarie di Bilik Mesyuarat JKSTR, petang semalam.Wan Mohd Zakri berkata, pihaknya ada merancang untuk melihat secara keseluruhan bentuk hukuman dan jumlah denda yang bakal dikenakan bertujuan mengelak pesalah melakukan jenayah syariah yang sama. Katanya, hukuman itu bukan sahaja untuk melanjutkan tempoh dipenjarakan malah jumlah sebatan yang perlu dikaji.“Pihak kami mengakui hukuman sedia ada yang dikenakan terhadap pesalah syariah agak ringan sehingga mendorong pesalah melakukan kesalahan sama.“Sebaliknya, apabila kami mengambil tindakan tegas dengan mengenakan hukuman sebat terhadap seorang janda atas kesalahan melancurkan diri baru-baru ini, ada segelintir individu menyatakan hukuman itu sebagai tidak berperikemanusiaan.“Bagaimanapun situasi itu tidak menjejaskan reputasi kami dalam menjalankan tanggungjawab yang ditetapkan terhadap pesalah, “ katanya.Menurutnya, pada masa sama, dia menyokong dan perlu dipercepatkan hukuman di bawah Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.“Saya lihat hukuman yang ditetapkan di bawah RUU 355 sangat memadai dengan setiap kesalahan yang dilakukan,” katanya.
16 Jan 19
227
Kanopi Kecil Jadi Pusat Pertemuan Dengan Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 17 Januari - Kanopi kecil di pasar Kampung Tiong, di sini, menjadi medan pertemuan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Cina dengan penduduk seawal pagi bagi berkongsi dan mendapatkan maklumat mengenai pelbagai isu setempat.Pengerusi MPKK berkenaan, Chua Kim Huat atau lebih dikenali Jefri Chua berkata, dia akan keluar dan duduk seawal jam 7 pagi.“Saya bertugas di sini seawal 7 pagi untuk kemudahan (masyarakat) DUN (Dewan Undangan Negeri) Bandar khususnya Parlimen Kuala Terengganu.“Saya memberi perkhidmatan 100 peratus kepada mereka, ada yang berpuas hati dengan 'pejabat bergerak' yang saya buka setiap pagi di pasar pagi Kampung Tiong untuk kemudahan (rakyat) di bandar. Saya wakil kerajaan di sini bagi perkhidmatan semaksimum mungkin kepada masyarakat Bandar khususnya Parlimen Kuala Terengganu," jelasnya.Beliau yang juga Timbalan Dewan Himpunan Penyokong PAS Negeri Terengganu berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kampung Cina, semalam.Tambahnya, semua orang haruslah dibantu tanpa mengira bangsa, agama dan politik.Beliau menjelaskan, masyarakat perlu memahami dan mendapat input yang betul mengenai kerajaan serta pentadbiran masa kini menerusi MPKK.Jefri Chua juga berharap agar rakyat sentiasa menyokong kerajaan yang memerintah pada hari ini.
16 Jan 19
548