Artikel "Semasa" Terkini
Belia Perlu Main Peranan Pacu Pembangunan Terengganu
Oleh: Mohd AsrafDUNGUN, 20 Januari - Golongan belia di negeri ini perlu memainkan peranan sebagai pemacu fasa kemajuan sekali gus memastikan pelbagai kejayaan dicapai di bawah pemerintahan PAS dalam jangkauan 10 tahun akan datang.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, belia kawasan Sura perlu menunjukkan contoh yang baik kepada belia tempatan, termasuk di luar Terengganu. “Gunalah fasa usia muda ini sebaik mungkin, bantu mereka yang memerlukan terutama mereka yang uzur, warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) serta guna pakai pelbagai saluran yang ditawarkan kerajaan negeri untuk tujuan itu,” katanya.Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri berkata demikian ketika berucap di Majlis Ramah Mesra Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura Bersama AJK MPKK Belia di Balairaya Kampung Molek, di sini baru-baru ini.Katanya, generasi belia hari ini perlu pantas menyerap cabaran globalisasi dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi masa kini yang menuntut belia bertindak pantas dalam memberikan maklum balas yang relevan dan positif kepada semua lapisan masyarakat .“Statistik terkini menunjukkan golongan belia membentuk 40 peratus daripada lebih 35 juta penduduk negara ini.“Sejak dulu lagi, belia adalah golongan yang menjadi fokus dalam setiap kerangka pembangunan nasional. Belia adalah aset penting yang menjadi penggerak dan pemacu kepada kemajuan dan pembangunan negara,” katanya
19 Jan 19
104
Wujud Sidang Dewan Undangan Negeri Untuk Belia Terengganu
Oleh: Muhammad Najib IsmailHULU TERENGGANU, 20 Januari - Kerajaan negeri akan mewujudkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia mirip kepada sidang DUN yang sedia ada untuk memberi ruang kepada pemimpin belia yang dipilih bagi menyampaikan suara dan pandangan mereka. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sidang DUN Belia ini akan memudahkan kerajaan mendengar pandangan dan kaedah penyelesaian isu-isu mereka.“Ahlinya ini akan dipilih dalam umur 15 hingga 30 tahun dan akan melalui beberapa saringan untuk mendapatkan yang terbaik di kalangan belia, bukan melalui undian tetapi akan ditentukan oleh pihak kerajaan melalui pemilihan berdasarkan beberapa kriteria.“Dan kita kekalkan Yang Dipertua Dewan (Speaker) yang sedia ada supaya dapat merasai suasana sebenar sidang dewan apabila bersidang,” katanya.Wan Sukairi berkata demikian dalam Majlis Dialog Kepimpinan Belia Bersama Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO di Dewan Utama Daerah Hulu Terengganu, di sini semalam.Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Saufi Mohd Ibrahim, Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu, Amirullah Othman dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) seluruh Hulu Terengganu.Menurut beliau, kerajaan negeri juga telah meluluskan Akademi Kepimpinan Belia Terengganu Sejahtera (AKIBTS) dengan memberi peruntukan RM1 juta bagi mereka membuat kursus dan program untuk melahirkan kepimpinan belia Terengganu yang sejahtera.Katanya lagi, belia adalah aset dan khazanah negara yang tidak ternilai, sekali gus menjadi pelaburan penting untuk menjamin masa depan negara dan golongan ini adalah aset penting yang akan mewarisi kepimpinan dan pembangunan masa depan, selain mampu mempengaruhi trend dan sikap masyarakat dalam sesebuah negara.“Daripada kata-kata Saidina Ali r.a. mengatakan, ‘Jika kamu mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini’ menunjukkan bahawa jatuh bangunnya sesebuah negara terletak di tangan remaja masa kini kerana mereka merupakan waris kepimpinan negara pada masa akan datang.“Oleh itu, para belia mestilah melengkapkan diri mereka dengan segala jenis ilmu pengetahuan termasuklah ilmu kepimpinan kerana menjadi tanggungjawab belia untuk membangunkan negeri kita dan dalam masa yang sama, belia haruslah mempunyai paradigma yang tinggi untuk membimbing rakan sebaya ke arah melakukan kebaikan dan memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling,” katanya.
19 Jan 19
45
Bayi Derita Jangkitan Kuman Paru-Paru Perlu Bantuan
Oleh: Nooreni Abu BakarDUNGUN, 20 Januari - Sepasang suami isteri tabah menjaga anak bongsu mereka yang menderita akibat jangkitan kuman pada paru-paru selepas empat bulan dilahirkan.Anak pasangan itu, Muhammad Ardani Mohd Suhaimi yang kini berusia 11 bulan dijaga rapi sepanjang masa supaya tidak terdedah dengan udara luar kerana mudah sesak nafas.Menurut ibu bayi itu, Norhidayah Jaafar, 32, ketika dilahirkan Ardani normal seperti bayi lain tetapi selepas empat bulan keadaannya berubah.“Doktor mengesahkan Ardani dijangkiti kuman pada paru-paru menyebabkannya ditahan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu selama tujuh bulan."Selepas itu doktor yang merawat memberi kebenaran untuk pulang ke rumah dengan syarat perlu menyediakan bilik khas yang dipantau doktor pakar," katanya. Beliau berkata demikian ketika dikunjungi isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Hajah Rugayah Mahmood di rumahnya di Taman Rakyat Jaya di sini, baru-baru ini.Menurut Norhidayah, anaknya bernafas dengan bantuan mesin memandangkan paru-paru yang tidak kuat."Insya-Allah, semakin besar nanti, bolehlah tak pakai mesin dan mesin ini adalah sumbangan daripada Majlis Perbandaran Dungun (MPD). “Saya terpaksa bergilir dengan suami, Mohd Suhaimi Abd Rahman, 36, mengambil cuti kerana masing-masing bekerja,” katanya yang juga seorang penjawat awam dan bertugas di Dungun.Katanya, dia bercadang memohon bantuan Tabung Darul Iman bagi meringankan beban membeli susu khas yang dianggarkan berharga RM34 untuk tempoh hanya tiga hari, ubat-ubatan dan barang keperluan lain."Vaksin untuk cegah kuman harganya RM19,000 yang mengandungi lima dos, sekarang tinggal dua dos, itu pun mendapat sumbangan MPD juga," katanya.
19 Jan 19
173
Jaga Kebersihan Rumah, Kampung Bagi Elak Wabak Denggi
Sebahagian MPKK Mengabang Tengah Hilir sedang melakukan gotong royong menurap jalan yang berlubang bagi mengelakkan takungan air.Oleh: Fidee AzizKUALA TERENGGANU, 20 Januari - Penduduk kampung terutama di kawasan yang mempunyai risiko kes wabak denggi digesa mengambil inisiatif menjaga kebersihan kawasan rumah dan kejiranan mereka.Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mengabang Tengah Hilir, Azhari Ngah berkata, penularan wabak denggi dapat diatasi sekiranya penduduk kampung mempunyai kesedaran mengekalkan kebersihan sekitar kawasan kediaman.Jelasnya, kesedaran penduduk tentang bagaimana wabak denggi tersebar ke serata tempat yang dikatakan berpunca daripada ketidakcaknaan terhadap kebersihan perlu dititikberatkan dalam kehidupan seharian.“Isu kebersihan persekitaran rumah dan kampung perlu ditangani secara bersama untuk menjamin persekitaran bebas daripada pembiakan nyamuk aedes, seterusnya dapat mencegah demam denggi.“Masalah kebersihan tidak akan selesai atau berjaya sekiranya hanya kelompok atau individu sahaja yang menjaga kebersihan halaman dan rumah mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis gotong royong, di sini, baru-baru ini.Turut hadir, ahli jawatankuasa MPKK Mengabang Tengah Hilir dan masyarakat setempat.Azhari berkata, program yang dijalankan bukan sahaja menyahut seruan kerajaan yang menjadikan kebersihan sebagai salah satu amalan seharian tetapi juga untuk mencetuskan kesedaran masyarakat tentang bahaya penularan wabak denggi."Program gotong-royong kubur dan kawasan rumah penduduk disarankan diadakan setiap bulan agar kebersihan kampung terjaga seterusnya membantu mengurangkan masalah wabak seperti denggi."Alhamdulillah, ramai yang turun untuk bersama-sama berganding bahu membersihkan kawasan kerana MPKK Tengah Hilir termasuk dalam kawasan yang aktif denggi. Insya-Allah, dengan kerjasama orang ramai program sebegini akan diteruskan lagi untuk akan datang, bukan hanya bersih, tapi juga mengeratkan ukhuwah sesama penduduk,” ujarnya.
19 Jan 19
394
Tingkat Kecaknaan, Azam Baru MPKK Felda Jerangau
Oleh: Adli MohamadDUNGUN, 20 Januari - Beriltizam dan bertekad meningkatkan kecaknaan terhadap penduduk menjadi azam baharu bagi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Jerangau.Setiausaha MPKK Felda Jerangau, Rosalan Jusoh berkata, segala aspek perkhidmatan kepada masyarakat sewajarnya dipertingkatkan."Iaitu dengan cara menyelesaikan secara tuntas dan cepat segala permasalahan."Yang mana tidak boleh disegerakan, kita akan cuba bawa ke mesyuarat dengan memastikan langkah seterusnya dapat diatur dan dapat diselesaikan dengan jalan yang terbaik."Untuk memastikan MPKK dapat memberi khidmat dan kecaknaan yang baik dan secara menyeluruh, kita telah menetapkan matlamat untuk dicapai," ujarnya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Gotong-Royong Menebang Pokok Besar di Felda Jerangau, semalam.Roslan berkata, sebagai contoh, kecaknaan dan tindakan segera adalah sebagaimana gotong royong menebang pokok pada hari berkenaan."Kita telah menerima aduan di mana pokok besar ini boleh mengundang bahaya dan perlu pada tindakan segera,” ujarnya.Sementara itu, Pengerusi MPKK Felda Jerangau B, Anuar Omar berkata, kebiasaannya segala yang diputuskan akan melibatkan kesepakatan ketiga-tiga cawangan di Felda Jerangau."Kita akan cuba mengurangkan jurang perbezaan dengan mengambil pendekatan segala aktiviti dan gerak kerja akan diputuskan secara bersama."Hasil kesepakatan bersama ini barulah setiap sesuatu yang sukar itu menjadi senang dan mudah demi memastikan masyarakat akan sentiasa hidup dalam keadaan tenang dan harmoni," ujarnya.
19 Jan 19
118
4X4 Bukan Sekadar Hobi
Oleh : Amiirullah MansorDUNGUN, 20 Januari - Kelab Peminat Pacuan 4 Roda Dungun (PADAT 4X4) mengambil kira agenda tarbiah yang melibatkan masyarakat, bukan hanya sekadar hobi semata-mata. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, walaupun ia sekadar hobi tetapi tujuan dan fungsinya adalah untuk mendekatkan diri dengan masyarakat sekali gus kepada Allah."Sebab itu kelab ini berada di bawah tarbiah walaupun ia sepatutnya di bawah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). “Kempen kita kerajaan negeri adalah menyerap segala aktiviti NGO seperti ini kepada syariah berbudaya supaya selari dengan syariah Islam," ujarnya ketika berucap di Majlis Makan Malam Tahunan PADAT di Sura Permai Homestay Sura Hujung Dungun, kelmarin.Menurut beliau, kelab terbabit juga memberi kepentingan kepada kerja-kerja amal melibatkan masyarakat seperti bencana banjir yang sering berlaku di sekitar daerah ini. "Kita mengambil contoh berlaku banjir di Kemaman, Kelantan, dan Paka sendiri, kelab inilah yang banyak membantu meringankan beban orang ramai.“Ketika terputus hubungan komunikasi, 'walkie-talkie' bagi setiap ahli NGO inilah yang menghubungkan segala maklumat ke kawasan dalaman yang terputus talian ketika itu,” ujarnya.Satiful berkata, Kelab 4X4 ini bukan hanya di hutan tetapi di bandar kerana banyak manfaat yang boleh menghubungkan antara satu sama lain. "Dan pada baru-baru ini, semasa persiapan banjir juga telah kita 'standby' ahli-ahli kelab ini untuk bersedia memberi khidmat bantuan dan sebagainya,” ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, dengan adanya kelab tersebut sedikit sebanyak dapat menarik pelancong-pelancong luar ke negeri Terengganu yang mempunyai sumber alam semula jadi yang cantik."Terengganu ini mempunyai sungai, pantai, air terjun yang tinggi, tumbuh-tumbuhan dan kayu-kayu yang besar yang boleh menaikkan imej negeri dengan peranan kelab PADAT ini," ujarnya.Katanya, kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu dengan memberikan sokongan fizikal dan mental ke arah mencapai matlamat yang dikongsikan bersama ini.
19 Jan 19
74
12 Nelayan Langgar Undang-Undang Ditahan
Oleh: Hidayah AzlinSETIU, 20 Januari - Tindakan 12 nelayan menggunakan pukat tunda dalam kawasan zon pantai kurang lima batu nautika di sini ditahan oleh Jabatan Perikanan di Kampung Mangkuk.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, perbuatan menggunakan pukat tunda merupakan kesalahan serius di bawah Akta Perikanan yang membolehkan lesen dibatalkan serta bot dan peralatan dirampas."Menitis air mata saya kalau bot dan peralatan mereka dirampas. Macam mana mereka nak cari rezeki walaupun mereka dah buat silap," ujarnya dipetik dalam laman sosial Facebook miliknya.Menurut beliau, walaupun ada peruntukan yang membolehkan nelayan diberi lesen sementara untuk menggunakan pukat tunda di kawasan zon nelayan pantai di musim tengkujuh, tetapi pemberian lesen ini terpaksa dibekukan demi menjaga sumber perikanan dan kepentingan pihak lain."Kita sangat memahami suasana musim tengkujuh di mana nelayan tidak berani untuk pergi jauh ke tengah laut."Semua aspek ini saya ambil kira sebaiknya. Sumber perikanan kita nak jaga supaya tidak musnah, nelayan pun kita nak jaga."Yang dilarang hanya pukat tunda. Kaedah menangkap ikan cara lain tidak dilarang sama sekali,” ujarnya.Dr Azman menyatakan inilah dilema yang terpaksa dihadapi oleh pemimpin dalam menjalankan tanggungjawab."Undang-undang kita nak tegakkan dalam masa yang sama kita sangat simpati dengan nelayan pantai yang kerjanya sekadar cukup makan sahaja," ujarnya.Menurutnya, kes tangkapan ini bukan lagi bidang kuasa kerajaan negeri atau Jabatan Perikanan Negeri tetapi di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA)."Saya dah nasihatkan nelayan yang ditangkap supaya buat rayuan kepada Menteri MOA dan saya juga akan susuli dengan rayuan secara peribadi dengan Menteri MOA."Salah tetap salah. Tapi undang-undang memberikan ruang untuk dikemukakan rayuan. Kita gunakan ruang ini semoga ianya memberi kebaikan kepada semua."Dengan sedaya yang mampu, saya akan payung rakyat yang berada di bawah tanggungjawab kita," ujarnya.
19 Jan 19
60
i-MiTS Sahut Cabaran Laksana 1,234 Program
Ustaz Kamaruzaman Abdullah.KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) menjadikan moto 'Menggapai Impian Bersama' untuk mencapai visi dan misinya bermula 1 Julai tahun lalu.Pengarahnya, Ustaz Kamaruzaman Abdullah berkata, i-MiTS membawa visi menyebarluaskan dan menerapkan dasar kerajaan kepada rakyat iaitu Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.Katanya, i-MiTS melalui misinya berhasrat untuk menerapkan kefahaman berteraskan kesyumulan Islam terhadap jentera kerajaan dan rakyat melalui program-program pembinaan modal insan.Ini termasuk memperkasakan jiwa jentera kerajaan dan rakyat bagi menyokong dan mendokong aspirasi kerajaan dan rakyat Terengganu.Selain itu katanya, ia juga berhasrat merakyatkan program-program dakwah dan pembinaan modal insan di samping merancang dan melaksanakan program bina semangat, latihan kecemerlangan, seminar dan perkongsian strategik.Di samping itu katanya, i-MiTS turut berusaha mengumpul dan menganalisa data-data berkaitan Kerajaan Terengganu seterusnya memberi respon terbaik terhadap keperluan, rungutan dan permasalahan orang ramai.Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran i-MiTS di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini baru-baru ini.Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji A Rahman Yahya, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said.Katanya, sebanyak 839 program telah dibuat oleh pihak i-MiTS di seluruh negeri Terengganu.Ini termasuk bengkel kepimpinan, sukan, kuliah, ceramah hari kebesaran Islam, program gunting rambut, mini karnival, retreat, mesra anak yatim, program khitan perdana, pertandingan boling, CSR (Corporate Social Responsibility), program bersih pantai, sambutan hari kemerdekaan, riadah bersama Menteri Besar, program Saidatina Aisyah dan lain-lain.Menurut beliau, jumlah semua program kerjasama yang telah dibuat adalah sebanyak 395 program. Jumlah keseluruhan program yang telah digerakkan oleh i-MiTS adalah sebanyak 1,234 membabitkan seramai hampir 172,000 orang dengan purata penglibatan orang ramai seramai 140 orang untuk satu program."Setelah dibuat perkiraan lengkap, pihak i-MiTS telah menyantuni seramai 6.9 peratus daripada keseluruhan rakyat negeri Terengganu yang berjumlah seramai 1.2 juta orang," jelas beliau.Menurutnya lagi, kakitangan i-MiTS di seluruh Terengganu berjumlah seramai 418 orang termasuk 26 orang yang bertugas di Wisma Darul Iman.Katanya, i-MiTS turut mengadakan program kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perangkaan Malaysia Terengganu, Jabatan Pertanian, Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM), Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan lain-lain.Program penyantunan pula dibuat mengikut pecahan gerak kerja unit dalam i-MiTS termasuk Hal Ehwal Zakat, Unit Hal Ehwal Belia, Unit Hal Ehwal Beliawanis, Unit Korporat dan Tugas-tugas Khas, Unit IT dan Media Baru, Unit Mahasiswa dan lain-lain."Program yang diurusetiakan oleh i-MiTS sendiri termasuk Madinah Ramadhan, Kursus Pengurusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Sambutan Ambang Merdeka, Musafir Maulid dan Sambutan Awal Tahun Baru 2019."Selain itu i-MiTS mengatur program kolaborasi bersama dengan jabatan kerajaan (G to G). Antara jabatan terbabit termasuk Jabatan Mufti dengan mengadakan Muzakarah Perundangan Negeri Terengganu," ujarnya.Katanya, i-MiTS turut bekerjasama dengan Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dalam Sambutan Hari Arafah, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui aktiviti Road Tour Kesihatan berkait dengan penyakit berjangkit dan lain-lain.Menurutnya, gerak kerja i-MiTS mulai 1 Julai tahun lalu sangat mencabar dan menuntut kerjasama daripada semua pihak."Semoga kerjasama yang terjalin dapat diteruskan di masa akan datang demi kesejahteraan dan kesenangan rakyat negeri Terengganu," ujarnya.
19 Jan 19
283
i-MiTS Mata Dan Telinga Kerajaan Terengganu
Dr Ahmad Samsuri ketika berucap melancarkan i-MiTS di Dewan Besar, Wisma Darul Iman baru-baru ini.KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) adalah sebagai agen penggerak dan penyebar dasar kerajaan di seluruh negeri Terengganu.Justeru segala visi dan misi i-MiTS seharusnya dilaksanakan kakitangannya secara kolektif di semua peringkat.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, i-MiTS merupakan agen penggerak yang akan menyebarluaskan dan menerapkan dasar Terengganu, Maju, Berkat dan Sejahtera kepada seluruh rakyat negeri Terengganu."Dasar-dasar kerajaan negeri harus juga difahami dengan sepenuhnya oleh jentera i-MiTS, menjadi penyampai dan ajen penerangan kepada rakyat berkait dengan program dan aktiviti yang dijalankan oleh kerajaan," jelasnya.Dr Ahmad Samsuri (kanan) ketika menyempurnakan gimik pelancaran logo i-MiTS di Dewan Besar Wisma Darul Iman baru-baru ini.Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran i-MiTS di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini baru-baru ini.Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Haji A Rahman Yahya, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pegawai-pegawai tinggi kerajaan, Pengarah i-MiTS, Ustaz Kamaruzaman Abdullah dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said.Dr Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang berkata, kerajaan telah bersetuju untuk menempatkan kakitangan i-MiTS di seluruh Pusat Khidmat DUN untuk menjadi kaki dan tangan serta mata dan telinga bagi mendengar segala keluhan dan keperluan rakyat di peringkat bawah."Seterusnya mengambil tindakan sewajarnya terhadap apa jua permasalahan yang diajukan oleh mereka. Peranan utama i-MiTS sebagaimana yang dibentangkan oleh Pengarah i-MiTS sangat jelas kepada kita."Iaitu sebagai pembina modal insan (membina manusia) bukan membina bangunan atau persatuan semata-mata," ujarnya.Kehadiran sempena Majlis Pelancaran i-MiTS di Dewan Besar Wisma Darul Iman baru-baru ini. Katanya, sebanyak 395 program dilaksanakan melibatkan lebih 171,000 rakyat negeri Terengganu yang telah disantuni oleh seluruh jentera i-MiTS dari Wisma Darul Iman sehingga ke seluruh DUN.Menurut beliau, pembangunan modal insan merupakan satu perkara asas dalam apa jua pembinaan mana-mana tamadun."Membaca Kitab 'Al-Muqaddimah' karangan Ibnu Khaldun yang juga dikaji oleh para pengkaji dari negara Barat, pakar-pakar sosiologi dan 'government' di negara Barat telah menjadikan Kitab Al-Muqaddimah ini sebagai teras yang telah diperincikan oleh Ibnu Khaldun," jelasnya.Bagaimanapun katanya, kepentingan pembinaan manusia (Human Capital) sebagai teras yang sangat penting dalam membentuk sebuah ketamadunan apa lagi dalam konteks sebuah kerajaan sama ada di peringkat Kerajaaan Pusat ataupun kerajaan negeri sehingga sampai ke peringkat DUN tidak diambil kira oleh Barat.Ini termasuklah teras ibadah, khilafah dan amanah sebagaimana dijelaskan oleh ulama tersohor dari India, Abu Hasan Ali An-Nadawi.Tambahnya, membangunkan modal insan adalah suatu asas yang sangat penting yang akan menimbulkan keharmonian yang tercipta daripada kefahaman yang jelas dengan objektif i-MiTS."Fikrah Islam ini haruslah diresapkan ke dalam jiwa dan pemikiran rakyat negeri Terengganu agar kita mampu mempunyai rakyat bersifat 'abid' (hamba kepada Allah) dan juga sifat khalifah (pemimpin di dunia)," ujarnya lagi.
19 Jan 19
588
Satu Silat Identiti Terengganu Bakal Ditubuhkan
Haji Yahaya (tengah) bercakap kepada media.KUALA NERUS, 19 Januari - Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Terengganu akan berusaha mewujudkan suatu jenis silat bercirikan identiti Terengganu dan akan diperkenalkan pada satu masa nanti.Yang Dipertua PESAKA Terengganu, Yahaya Ali berkata, bagaimanapun persatuan itu tidak menentukan 'time frame' (jangka masa) tertentu untuk mewujudkan seni silat tersebut."Kita meraikan seni silat yang sedia ada di negeri ini dan akan turut mempopularkan satu silat yang berasal dari Terengganu dan dapat diterima oleh semua pihak," katanya kepada pemberita di sidang media selepas mesyuarat kali pertama persatuan itu di Bilik Mesyuarat Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di sini petang tadi.Haji Yahaya (tiga dari kiri) sedang mempengerusikan Mesyuarat PESAKA Kali Pertama, di MSNT.Terdahulu, beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri berkata, persatuan tersebut akan berusaha memastikan persatuan seni silat di setiap daerah berdaftar dengan pihak berkenaan."Jika ada yang belum berdaftar ataupun yang sudah berdaftar tetapi tempoh pendaftarannya telah tamat, kita akan hidupkan."Ini kerja jangka panjang, kita tidak boleh bergerak atas nama negeri untuk terus aktif ke daerah-daerah dan kampung-kampung. Mesti ada penyelarasan daripada persatuan induk dengan persatuan itu dan akan diberi tugas ke peringkat daerah-daerah, barulah kita boleh bergerak secara lebih teratur," jelas beliau.Katanya, wujudnya satu persatuan seni silat di peringkat daerah adalah penting untuk tujuan tersebut.Yahaya turut berkata, semua seni silat di Terengganu mesti selari dengan ajaran Islam dan menjadi aktiviti sukan yang diminati oleh semua pihak khususnya generasi muda."Kita mahu generasi muda menjadikan seni silat sebagai satu kegiatan penting mereka untuk memastikan masa mereka tidak dihabiskan untuk aktiviti yang tidak berfaedah," ujarnya.Dalam pada itu, PESAKA Terengganu berhasrat untuk menguasai kejohanan-kejohanan besar dalam dan luar negara."PESAKA seharusnya bergerak lebih aktif ke hadapan dan diharapkan mendapat kerjasama daripada semua pihak," ujarnya lagi.
19 Jan 19
334