lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kes Pelajar Hilang, Kerajaan Negeri Tunggu Laporan Penuh
Kes Pelajar Hilang, Kerajaan Negeri Tunggu Laporan Penuh
KUALA TERENGGANU, 9 April – Kerajaan negeri sedang menunggu laporan penuh daripada Yayasan Terengganu berhubung kes kehilangan seorang pelajar di salah sebuah asrama di daerah ini, Sabtu sebelum boleh mengambil tindakan lanjut. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, selepas mendapat laporan tersebut pihaknya akan meneliti keperluan untuk membuat penambahbaikan untuk keselamatan pelajar. “Buat masa ini, kita doakan pelajar tersebut iaitu Muna Qaisara Muhammad Budiman, 15, ditemukan secepat mungkin dalam keadaan yang selamat. Semua pihak sedang bekerjasama membantu polis untuk mengesan pelajar tersebut. “Banyak juga pihak yang menganjurkan solat hajat dan doa selamat untuk keselamatan pelajar tersebut agar segera pulang ke pangkuan keluarganya,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman di sini, hari ini. Beliau juga berkata setiap asrama sekolah berada di bawah seliaan Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri  mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk keselamatan pelajar. Tambah Satiful Bahri lagi, penambahbaikan akan turut dilakukan dalam khidmat kaunseling di asrama sekolah bagi menjaga kebajikan para pelajar. Terdahulu, pelajar terbabit, Muna Qaisara Muhammad Budiman, kali terakhir dilihat memakai jubah berwarna merah hati dan tudung berwarna krim sebelum disedari tidak berada di asrama. Ibunya, Juliana Johari, 42, berkata, pelbagai usaha telah dilakukan oleh keluarga untuk menjejaki anaknya itu namun sehingga kini masih menemui jalan buntu. "Saya rayu kepada sesiapa yang mungkin mempunyai rakaman dashcam di sekitar laluan berhampiran kawasan sekolah di Serada agar dapat membantu kami. "Ada juga pihak yang menyebarkan maklumat palsu kononnya Muna Qaisara sudah ditemui, sedangkan ia tidak benar," katanya . Juliana berkata, mereka sekeluarga berharap agar Muna Qaisara dapat segera ditemui dalam keadaan selamat.
09 Apr 25
1208
Kuasa Pemerintahan Penting untuk Luaskan Dakwah Islam
Kuasa Pemerintahan Penting untuk Luaskan Dakwah Islam
KUALA TERENGGANU, 8 April – Kuasa pemerintahan sangat penting untuk menyebarkan dakwah Islam dengan lebih meluas dan berkesan, kata Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi. Beliau berkata, dakwah bukan hanya melalui ceramah atau tulisan, tetapi yang paling berkesan ialah dakwah melalui contoh yang baik seperti akhlak, cara hidup dan tindakan kita seharian. “Bila kita ada kuasa, kita boleh buat program-program Islam di semua peringkat seperti di masjid, surau, sekolah dan kampung."Ini yang Nabi SAW buat bila baginda berhijrah ke Madinah. Nak dapat kuasa supaya dakwah Islam dapat dijalankan dengan lebih meluas dan teratur,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika Majlis Sambutan Raya Aidilfitri Bersama Sheikh Dr. Labeb Najib Abdullah Al Yamany. Dr Khalil berkata walaupun kuasa yang ada hari ini melalui pilihan raya bukan kuasa penuh, tetapi ia tetap memberi ruang untuk laksanakan sebahagian besar agenda Islam di Terengganu. “Yang penting, kita guna kuasa yang ada sebaik mungkin.  "Kita buat sekadar yang termampu, dan insya-Allah kita akan terus usaha tambah baik dari semasa ke semasa,” katanya lagi.
08 Apr 25
95
Rumah Terbuka Dun Seberang Takir Menanti Semua
Rumah Terbuka Dun Seberang Takir Menanti Semua
KUALA NERUS, 8 April – Kemeriahan Syawal masih lagi terasa dengan banyak pihak mengadakan rumah terbuka.  Tidak ketinggalan, Majlis Rumah Terbuka Dun Seberang Takir yang bakal diadakan pada 12 April dengan pelbagai menu adalah sebagai tanda kesyukuran dan bagi meraikan bulan Syawal ini bersama seluruh penduduk Seberang Takir. Ahli Dewan Undangan (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat berkata tujuan majlis itu diadakan adalah bagi berkongsi kegembiraan di samping mengeratkan hubungan silaturahim sesama rakyat. "Majlis Rumah Terbuka Dun Seberang Takir ini bakal diadakan pada hari Sabtu ini bersamaan 13 Syawal 1446 Hijrah bertujuan untuk memberi peluang kepada semua penduduk untuk meraikan kemeriahan Aidilfitri bersama-sama dengan disajikan pelbagai menu buat pengunjung.  "Selain penyediaan makanan, agihan duit raya turut diberikan kepada anak-anak yang sememangnya telah dijadikan amalan setiap kali Syawal.  "Kita mengganggarkan ramai pengunjung selain daripada agensi kerajaan," katanya lagi. Majlis akan bermula pada jam 11.00 pagi semua rakyat Dun Seberang Takir dari pelbagai peringkat umur dijemput untuk hadir bagi memeriahkan lagi rumah terbuka ini
08 Apr 25
264
Peniaga Kecil Ditipu Resit Palsu Terima Bantuan Exco
Peniaga Kecil Ditipu Resit Palsu Terima Bantuan Exco
BESUT, 7 April – Seorang peniaga kecil yang ditipu dengan resit palsu oleh beberapa pelanggan di daerah ini terharu selepas menerima bantuan daripada Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian, dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman. Terdahulu, peniaga terbabit yang berniaga makanan di Kiosk Kota Putera Square menelan pengalaman pahit apabila ditipu melalui penggunaam kod QR. Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sumbangan bagi membantu membeli peranti soundbox bagi kegunaan pembayaran digital yang lebih selamat telah disalurkan. Menurut beliau, penipuan yang dilakukan terhadap peniaga kecil ini bukan sahaja menyedihkan, tetapi juga membawa akibat buruk kepada pelaku dari sudut agama dan moral. "Mungkin kita rasa kita gembira dan berjaya menipu peniaga ini, tapi kita tahu bahawa barang yang kita makan itu jadi darah daging kita. "Walau si penipu merasa seolah berjaya memperdayakan peniaga, hakikatnya mereka sedang menzalimi diri sendiri dan keluarga dengan membawa pulang rezeki yang haram," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyantuni peniaga kecil di Kota Putera Square, disini semalam. Tambah Nurkhuzaini, amaran telah jelas disebut dalam kitab suci, bahawa setiap sen yang diperoleh dari sumber tidak halal pasti akan membawa musibah. "Dan beringatlah bahawa disebut dalam Al-Quran, setiap 1 sen apa yang kita makan dari sumber yang haram, yang layak baginya adalah api neraka.  "Beringatlah bahawa apa yang kita makan itu sebenarnya adalah musibah untuk diri sendiri dan keluarga,” ujar beliau. Kejadian menyedihkan itu berlaku ketika peniaga kecil berkenaan sedang sibuk melayani pelanggan yang berpusu-pusu sempena sambutan Aidilfitri. Malangnya, dalam kesibukan itu, hanya seorang pelanggan sahaja yang benar-benar membuat bayaran menggunakan kod QR yang sah. Dalam satu perkongsian tular di media sosial, mangsa, HusnaRadhiah Harun, meluahkan rasa kecewa apabila hampir semua pelanggan hanya berpura-pura membayar menggunakan kod QR. "Semalam berniaga, ramai minta QR. Saya dah siap print, tinggal bagi mereka scan saja," tulisnya. Menurutnya, pelanggan kemudian menunjukkan bukti kononnya bayaran berjaya, namun beliau tak sempat semak kerana sibuk menyiapkan maggi, manakala suami pula menguruskan oden. "Hanya seorang jujur. Selebihnya semua tipu resit. Raya pun sanggup menipu," luahnya. Katanya, dia baru cuba bangkit selepas tiada jualan sepanjang Ramadan, namun terpaksa telan rasa kecewa bila pulang hanya dengan RM7 hasil bayaran QR sah.
07 Apr 25
572
Lebih 3,000 Hadir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Langkap
Lebih 3,000 Hadir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Langkap
KUALA TERENGGANU, 7 April – Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap mencatat kehadiran luar biasa apabila lebih 3,000 orang hadir memeriahkan sambutan. ADUN Langkap, Azmi Maarof berkata, sambutan yang diterima amat membanggakan dan menunjukkan kesatuan erat dalam kalangan masyarakat. “Alhamdulillah, sambutan masyarakat sangat baik.  "Majlis ini berjaya mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), beliawanis, pemuda, Dewan Muslimat serta Jabatan Amal," jelasnya ketika dihubungi hari ini. Azmi menambah, majlis bermula jam 10.30 pagi hingga 2.30 petang itu berlangsung dengan penuh meriah dan teratur, menampilkan pelbagai juadah tradisional serta hidangan utama seperti gulai yang dimasak dalam tujuh kawah, hasil kerjasama antara JPKK di seluruh DUN Langkap. Menurut Azmi, penganjuran majlis seumpama ini bukan sahaja menjadi wadah untuk bermaaf-maafan dan menjalin silaturahim, malah membuka ruang kepada pemimpin untuk lebih dekat dengan masyarakat setempat. Dalam pada itu, ketika ditanya, beliau turut menyentuh tentang perancangan jangka panjang untuk membangunkan DUN Langkap, yang berasaskan sektor pertanian dan eko-pelancongan. “Kita melihat potensi besar dalam sektor pelancongan semula jadi seperti Lata Ulu Kasar dan Lata Payong.  "Ini mampu menjana pendapatan penduduk jika dibangunkan secara terancang,” katanya. Tambahnya, kerajaan juga disaran menyediakan perumahan rakyat dan pusat pengajian tinggi di daerah Setiu, yang sehingga kini masih belum memiliki institusi pendidikan tinggi. “Kita bersedia menyediakan tapak melalui pejabat tanah sekiranya kerajaan bersetuju membina pusat pengajian di kawasan ini.  "Ia akan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat Langkap,” tambahnya. Beliau turut berharap usaha ini dapat menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih bersatu padu, aman dan sejahtera.
07 Apr 25
2992
Tradisi ‘Raya Nang’ Terus Jadi Amalan Rakyat Terengganu
Tradisi ‘Raya Nang’ Terus Jadi Amalan Rakyat Terengganu
HULU TERENGGANU, 7 April - Tradisi sambutan Hari Raya Enam atau lebih dikenali sebagai ‘Raya Nang’ dalam kalangan penduduk setempat, terus menjadi amalan masyarakat di beberapa kampung sekitar Terengganu, termasuk Kampung  Durian Kassim. Setiap kali tiba 8 Syawal, penduduk di kampung ini akan menziarahi tanah perkuburan dan mengadakan majlis tahlil beramai-ramai sebagai tanda penghormatan kepada ahli keluarga dan jiran tetangga yang telah meninggal dunia. seramai 300 penduduk termasuk anak-anak perantau yang pulang ke kampung, menyertai majlis ziarah dan tahlil di tanah perkuburan pada pagi ini. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Durian Kassim, Narasid Abu Bakar berkata, meskipun ada dalam kalangan penduduk yang telah berhijrah ke bandar, sambutan tradisi ini tetap mendapat sambutan. “Kita bersyukur kerana dapat menghidupkan semula amalan ini setiap tahun, walaupun sambutan secara sederhana, ia tetap bermakna kerana ramai anak kampung yang pulang untuk bersama-sama meraikan Raya Enam,” katanya. Menurut Narasid, selepas selesai tahlil dan doa, penduduk turut menikmati juadah yang dibawa secara potluck seperti nasi dagang, ketupat dan pelbagai hidangan lain, selain bergotong-royong membersihkan kawasan perkuburan. “Selain itu, kami turut mengagihkan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir sebagai tanda keriangan sambutan,” tambahnya. Bagi Mohamad Adalam Mat Adam, 52, tradisi ini adalah warisan turun-temurun yang perlu diteruskan oleh generasi muda agar ia tidak lenyap ditelan arus moden. “Kami berharap anak-anak muda kampung akan terus menyemarakkan tradisi ini sampai bila-bila,” katanya. Hari Raya Enam biasanya disambut pada 8 Syawal sebagai penutup amalan berpuasa sunat enam hari selepas Aidilfitri, dan di sesetengah kampung, ia diraikan secara berjemaah dengan penuh makna dan kebersamaan.  
07 Apr 25
2781
Lebih 5,000 Hadiri Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Ajil
Lebih 5,000 Hadiri Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Ajil
HULU TERENGGANU, 7 April – Suasana meriah dan penuh kemesraan menyelubungi Dewan Sivik Ajil, apabila lebih 5,000 pengunjung hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dun Ajil semalam. Majlis yang dianjurkan saban tahun itu sekali lagi menjadi tumpuan warga setempat dan tetamu luar yang tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra sambil menikmati pelbagai juadah tradisional sempena Syawal. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim, majlis yang bermula pada jam 11 pagi  itu menjadi tumpuan penduduk dari seluruh kawasan DUN Ajil dan sekitarnya. “Saya bersyukur dengan sambutan diterima ini, ternyata lokasi ini sangat strategik kerana ia berada di tengah-tengah kawasan serta mudah diakses dari pelbagai arah. "Itulah sebabnya kita sediakan makanan lebih daripada cukup kerana kita jangka sambutan luar biasa. Lebih baik berlebihan daripada tidak mencukupi. “Saya amat menghargai usaha semua pihak yang menjayakan majlis ini daripada petugas teknikal, sukarelawan, penyedia makanan, sehinggalah pihak keselamatan. Rumah terbuka ini bukan sahaja menjadi medan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri tetapi juga lambang perpaduan masyarakat pelbagai kaum,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman. Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir, menceriakan lagi suasana sambutan Aidilfitri kali ini. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Senator Che Alias Hamid , Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri,  Ariffin Deraman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali  Sulaiman,Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail serta Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Lizan Che Mat. Mengulas lanjut, Maliaman berkata, rumah terbuka itu sudah menjadi tradisi yang dilaksanakan setiap kali Syawal menjelma sejak beliau diberi amanah sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut. “Majlis ini khusus untuk penduduk Ajil, namun saya turut mengalu-alukan kehadiran para tetamu dari luar kawasan. Inilah masa terbaik untuk kita eratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat,” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri. Majlis itu bukan sahaja menjadi platform menjalin silaturahim, malah mencerminkan budaya muhibah dan semangat perpaduan yang sentiasa utuh dalam kalangan rakyat negeri Terengganu.  
07 Apr 25
274
Qabil Irfan Raih Kemenangan Berganda di Jerez, Sepanyol
Qabil Irfan Raih Kemenangan Berganda di Jerez, Sepanyol
KUALA TERENGGANU, 7 April - Pelumba muda berbakat kelahiran Terengganu, Qabil Irfan, terus mencipta sensasi di pentas antarabangsa apabila meraih kemenangan berganda dalam perlumbaan 'ESBK Talent Cup' di Jerez, Sepanyol, semalam. Qabil menamatkan Perlumbaan 2 dengan cemerlang, sekaligus mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas menjuarai Perlumbaan 1 sehari sebelumnya. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim menyambut baik kejayaan tersebut serta merakamkan rasa bangga beliau terhadap pencapaian pelumba cilik itu. "Tahniah buat Qabil Irfan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang muncul Juara bagi kategori ESBK Talent Round 1 Race 2 hari ini di Jerez, Sepanyol. "Ia kemenangan buat kali kedua bagi Qabil selepas muncul Juara bagi Race 1 kelmarin. Qabil berjaya mengenepikan pesaing-pesaing daripada kelab permotoran negara  lain bagi cabaran pada kali ini. "Semoga dipermudahkan urusan Qabil, diberikan kekuatan untuk terus memberi saingan dan mengekalkan kejuaraan bagi edisi perlumbaan lain. Beliau berkata demikian dalam satu hantaran yang telah dikeluarkan melalui laman sosial media rasminya, semalam. Dalam pada itu, di sebalik kejayaan ini, usaha gigih turut datang daripada pasukan pengurusan Qabil. Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin, mendedahkan perancangan teliti yang dilakukan bagi memastikan Qabil mendapat tempat dalam pasukan terbaik. Menurut satu hantaran laman media sosial ZK Racing, usaha ‘mengetuk pintu’ beberapa pasukan Eropah akhirnya membuahkan hasil apabila Qabil dipilih menyertai pasukan kompetitif, VHC Racing. “Alhamdulillah, permulaan season yang baik untuk Qabil di ESBK Championship. Pasukan VHC telah memberikan motosikal yang terbaik untuk Qabil. "Kita tahu pasukan ini adalah pasukan yang kompetitif di dalam kategori ini. Jadi, pada awalnya memang saya ada berbincang dengan beberapa pasukan, bererti ini adalah motosikal yang terbaik yang kita dapat,” jelas Zulfahmi. Tambah Zulfahmi, pasukannya turut merancang beberapa sesi ujian di Eropah untuk Qabil bagi memastikan pelumba muda itu kekal konsisten sepanjang musim. Dia juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong, terutamanya ibu bapa Qabil yang menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan anak mereka berada pada tahap prestasi terbaik. Pusingan kedua ESBK akan berlangsung pada 9 hingga 11 Mei di lokasi litar yang akan diumumkan kelak.    
07 Apr 25
223
Wakil Rakyat Kemaman Santuni Komuniti Hospital
Wakil Rakyat Kemaman Santuni Komuniti Hospital
KEMAMAN, 6 April - Semua wakil rakyat di daerah Kemaman turun padang menziarahi Hospital Kemaman sempena sambutan Hari Raya, baru-baru ini. Kunjungan tersebut melibatkan wakil rakyat di Parlimen Kemaman iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, ADUN Chukai, Hanafiah Mat, ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dan ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam yang bersama-sama menyantuni pesakit serta petugas kesihatan di hospital berkenaan.   Turut bersama dalam rombongan tersebut Ahli Dewan Negara, Senator Che Alias Hamid. Menurut Razali, lawatan itu bertujuan memberikan sokongan moral kepada pesakit dan petugas yang tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga.   "Kami turut menyampaikan sumbangan dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pesakit yang menerima rawatan. "Selain menghargai jasa serta pengorbanan petugas kesihatan yang bertugas pada musim perayaan," katanya kepada pemberita selepas lawatan tersebut. Turut hadir adalah pegawai perubatan serta kakitangan hospital yang menyambut baik inisiatif wakil rakyat dalam mendekati komuniti setempat.   Razali berkata pihaknya mahu memastikan mereka yang berada di hospital tetap merasai kemeriahan Hari Raya seperti orang biasa yang lain. "Inisiatif ini juga merupakan acara tahunan sekali gus tanda keprihatinan dan penghargaan kami terhadap mereka. "Lawatan berakhir dengan sesi ramah mesra dan doa agar semua pesakit diberikan kesembuhan segera," ujarnya.  
06 Apr 25
153
Sumber Air Sumbang RM25 Juta Kepada Hasil Baharu Terengganu
Sumber Air Sumbang RM25 Juta Kepada Hasil Baharu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 6 April - Agensi di bawah kerajaan negeri, Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT) berjaya menjana lebih RM25 juta hasil baharu buat negeri Terengganu. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setelah hampir lima tahun penubuhan, LAUT telah berjaya menyalurkan hasil sebanyak itu bagi 2024 kepada Kerajaan Negeri. "Kerajaan Negeri akan menggunakan hasi ini sebagai memenuhi komitmen dalam meningkatkan usaha-usaha pemuliharaan dan pemeliharaan sumber air yang menjadi pemangkin kepada ekonomi berasaskan sumber air," katanya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan melalui laman sosial rasminya, hari ini. Dalam pada itu, beliau juga sempat merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan pencapaian itu.  "Tahniah kepada pengurusan dan kakitangan LAUT.  "Terima kasih buat ahli mesyuarat yang hadir bagi memastikan perancangan memperkasakan LAUT dapat berjalan dengan baik," ujarnya. Sebelum ini, kerajaan negeri juga telah menjangkakan pendapatan sebanyak RM32 juta pada tahun 2025 hasil pelaksanaan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020 menerusi agensi tersebut. Untuk rekod, LAUT merupakan sebuah agensi bertanggungjawab memelihara dan memulihara sumber air, lembangan sungai, perairan pantai dan alam sekitarnya. Antara perkhidmatan tersenarai di bawah jurisdikasi LAUT merupakan perlesenan untuk pengabstrakan air dan aktiviti penggubahan sumber. Selain itu, agensi tersebut juga melakukan penguatkuasaan dalam mengawal selia sumber air serta menjaga kelestarian kuantiti dan kualiti air.
06 Apr 25
1143