lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Empty Image
Terengganu Laksana TPR Bantu Anak Muda Miliki Rumah
MPKK perlu salur maklumat tepat kepada masyarakat.KUALA TERENGGANU, 22 Januari - Kerajaan Terengganu merancang melaksanakan Tabung Perumahan Rakyat (TPR) bagi membantu rakyat negeri itu memiliki kediaman berikutan lonjakan harga rumah di luar kemampuan.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, seramai 36,000 penduduk Terengganu didapati benar-benar memerlukan rumah kediaman dan kebanyakannya terdiri daripada anak muda merujuk laporan penilaian yang telah dilakukan.“Ramai yang mahu membeli rumah terutama anak-anak muda tetapi tidak melepasi tahap kelayakan untuk pinjaman bank. Ini menyebabkan rumah-rumah yang sedia ada memerlukan masa yang lama untuk dijual.“Disebabkan itu, kerajaan berusaha membantu kumpulan sasar untuk mendapatkan paling minimum, sebuah rumah dengan tiga bilik,” katanya ketika menyampaikan Taklimat Bantuan Perumahan di Dewan Sivik Pasir Panjang, semalam.Taklimat tersebut diadakan bagi mempergiatkan usaha menyampaikan maklumat berkenaan bantuan perumahan rakyat melalui pemimpin masyarakat.Dr. Alias menyifatkan TPR mampu menjadi medium yang baik untuk membantu rakyat Terengganu di luar kumpulan sasar dengan penawaran pembiayaan perumahan tanpa riba.“Tabung ini masih belum dibuka tahun ini kerana kita kekurangan dana dan bakal dilaksanakan pada tahun hadapan sekiranya keadaan mengizinkan.“Bagaimanapun, pelaksanaan bantuan perumahan untuk golongan sasar tetap diteruskan dengan peruntukan yang telah disediakan kerajaan,” katanya. Kerajaan negeri dalam Bajet 2019 memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk membina rumah-rumah rakyat di bawah Skim Projek Perumahan Terengganu-ku Sejahtera (PPTS) dan Rumah Mampu Milik (RMM).Sebanyak 20,000 unit rumah akan dibina secara berperingkat dan sebanyak 1,074 unit rumah terbengkalai akan dibaiki bagi tahun 2019.“Kita sasarkan pembinaan 5,000 unit rumah setiap tahun dan permohonan boleh dilakukan secara dalam talian di laman sesawang e-perumahan.terengganu.gov.my.“Jika ada yang kurang mahir untuk membuat permohonan, rakyat boleh merujuk dan memohon bantuan MPKK dan pusat khidmat DUN (Dewan Undangan Negeri) dalam kawasan mereka,” kata Dr. Alias. Taklimat tersebut melibatkan kira-kira 100 orang ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di DUN Ladang.
22 Jan 19
118
Empty Image
Tandas Awam Rantau Abang Terengganu Terbaik Di Asia Tenggara
Foto ihsan - Majlis Perbandaran DungunDUNGUN, 22 Januari - Tandas awam di Rantau Abang menjadi satu-satunya tandas dari wilayah Pantai Timur yang diiktiraf sebagai salah satu tandas terbaik dalam kategori ASEAN Public Toilet Standard 2019-2021 sempena ASEAN Tourism Forum 2019 yang diadakan di Ha Long City, Vietnam, Jumaat lalu.Majlis penyampaian anugerah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi yang menyaksikan ia menjadi salah satu daripada lima tandas dari Malaysia yang turut terpilih dalam kategori tersebut.Tandas lain yang terpilih ialah tandas awam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tandas awam restoran Foh San dari Perak, tandas Masjid Cina Melaka, dan tandas awam Plaza Merdeka, Sarawak.Sebelum ini, tandas awam yang terletak bersebelahan Pusat Konseversi dan Penerangan Penyu Rantau Abang itu bersaing dengan 15 tandas awam lain dari seluruh Malaysia yang tercalon untuk penganugerahan itu.Fadli ketika menerima anugerah daripada Datuk Mohamaddin.Setiausaha Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Fadli Yusof Zakaria berkata, anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan kepada MPD selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menyelia tandas Rantau Abang dan juga seluruh warga Dungun.“Anugerah ini merupakan sesuatu yang membanggakan kerana ia menunjukkan bahawa rakyat Terengganu dan Dungun khususnya bersama-sama memainkan peranan dalam memastikan tandas di negeri ini sentiasa bersih serta bebas daripada vandalisme.“Ia juga dapat menyedarkan masyarakat bahawa kebersihan tandas adalah tanggungjawab kita bersama.“Saya berharap agar masyarakat dapat menggunakan harta benda awam dengan lebih berhemah supaya kemudahan yang disediakan dapat dinikmati semua,” katanya ketika mewakili Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Lizan Che Mat menerima anugerah tersebut.Bersama pemenang-pemenang anugerah dari Malaysia dalam pelbagai kategori.
22 Jan 19
531
Empty Image
Terengganu Bakal Tubuh Pusat Tahfiz Mandarin
KUALA TERENGGANU, 22 Januari - Kerajaan Negeri merancang untuk menubuhkan Pusat Tahfiz Mandarin dengan menyediakan bangunan di kawasan sekolah jenis kebangsaan cina sedia ada di negeri Terengganu.Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, di peringkat awal kerajaan negeri akan mengambil 15 orang pelajar untuk belajar bahasa Mandarin dan hafaz Al-Quran di sekolah berkenaan."Kerajaan negeri sedang mengenal pasti beberapa buah sekolah cina termasuk di Dungun dan daerah lain yang mempunyai keluasan tanah mencukupi untuk membina bangunan bagi mewujudkan pusat berkenaan."Selepas siap bangunan itu kerajaan akan segera membuka pusat tersebut kepada rakyat negeri Terengganu terutama yang berbangsa Melayu bagi merebut peluang istimewa ini," katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas bersiaran secara langsung di TV Darul Iman di pejabat Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini hari ini.Ketika bersiaran secara langsung itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Paka berkata, pelajar berkenaan akan belajar tiga bahasa termasuk bahasa Mandarin, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris di samping menghafaz Al-Quran sebanyak 30 juzu."Pengambilan pelajar pusat itu bermula dari tingkatan satu. Selepas pelajar berkenaan lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam jangka masa lima tahun, mereka akan di hantar ke China untuk belajar di institusi yang sesuai dengan pembiayaan dari kerajaan negeri," katanya.Menurut beliau cara pembelajaran di sekolah itu ialah antara lain di sebelah pagi mereka belajar bahasa terlebih dahulu dan di sebelah petang mereka belajar menghafaz al-Quran dari guru-guru yang terlatih dalam bidang-bidang ilmu berkenaan."Ini adalah usaha kerajaan negeri untuk menggabungjalinkan pendidikan konvensional dengan pendidikan Islam bagi menunjukkan bahawa kerajaan tidak mengabaikan sistem pendidikan sedia ada," jelasnya lagi.
22 Jan 19
120
Empty Image
Terengganu Bakal Terima Royalti RM1.5 Bilion
Menteri Besar bergambar bersama barisan AJK Kawat sempena kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman. KUALA TERENGGANU, 22 Januari - Kerajaan Terengganu dijangka akan menerima wang royalti atau wang tunai petroleum (WTP) berjumlah sekurang-kurangnya RM1.5 bilion pada Mac dan September ini. Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berita menggembirakan seluruh rakyat Terengganu itu membuktikan Kerajaan Pusat mengiktiraf hak negeri ini untuk menerima tuntutan sepertimana perjanjian agihan royalti minyak yang ditandatangani antara kedua belah pihak pada 1974.Katanya, perkembangan positif mengenai WTP  yang dibayar dua kali setahun sepertimana amalan biasa itu, berdasarkan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengunjungi Terengganu pada awal bulan ini. “Selepas kunjungan Perdana Menteri, kita terima makluman daripada Kementerian Kewangan bahawa keputusan dasar telah dibuat oleh kabinet, di mana wang (royalti) (Dana Khas Persekutuan) petroleum yang  kini menggunakan istilah wang tunai petroleum akan dibayar terus kepada kerajaan negeri. “Itu perkembangan yang sangat menarik dan positif kepada kita dan kita mengucapkan terima kasih kepada Pusat kerana telah mengiktiraf bahawa Terengganu berhak menerima wang tunai pertroleum sebagaimana perjanjian (agihan royalti) pada 1974,”katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media sejurus menerima kunjungan hormat daripada Ahli Jawatankuasa Kelab Media Wartawan Terengganu (Kawat) kepada Menteri Besar, di Pejabat Menteri Besar, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Dr. Samsuri berkata,  jumlah sepatutnya diterima belum dimuktamadkan bagaimanapun berdasarkan pengiraan kasar kerajaan negeri dengan mengambil kira harga minyak semasa, jumlah tuntutan sekurang-kurangnya antara RM1.5 bilion hingga RM1.6 bilion setahun.Bagaimanapun, Menteri Besar menjelaskan, Kementerian Kewangan pada masa yang sama juga meminta kerajaan negeri supaya menjelaskan hutang kepada Kerajaan Pusat menerusi pemotongan WTP  pada kadar yang tinggi sekali gus ianya memberi kesan ketika Bajet 2019 negeri yang dibentangkan pada akhir November tahun lalu itu, sedang berjalan.Susulan itu, Menteri Besar akan menemui Perdana Menteri dalam tempoh terdekat untuk menyampaikan surat rayuan supaya pemotongan hutang menerusi WTP distruktur semula dan dibuat secara berkala pada jumlah yang tidak membebankan kerajaan negeri.“Kita amat berharap supaya ia diberi pertimbangan serius oleh Pusat terutama Kementerian Kewangan."Kerajaan negeri juga sangat komited dan telus dalam perbelanjaan, kalau isu kebimbangan perbelanjaan itu digunakan untuk tujuan yang tidak patut, kami sangat terbuka untuk diaudit dalam apa jua cara dan saya rasa ianya tidak perlu ada kebimbangan,” katanya.Pada masa yang sama juga, beliau mahu Kerajaan Pusat menimbang seadil-adilnya permohonan penstrukturan semula pembayaran hutang itu kepada Terengganu dan juga Kelantan yang merupakan antara negeri merekodkan hutang terendah.Bagaimanapun menurut Dr. Samsuri, negeri lain yang berhutang sehingga tiga kali ganda lebih tinggi tidak pula menerima tekanan (menjelaskan hutang) sepertimana Terengganu.Malah, menurutnya lagi, mengikut rekod juga, Terengganu tidak pernah gagal membayar hutang kepada Pusat pada setiap tahun walaupun adakalanya pembayaran dalam jumlah yang kecil.Untuk rekod, sehingga kini, Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kewangan sudah membuat pembayaran secara terus sebanyak tiga kali hasil royaliti minyak berjumlah RM450 juta.
22 Jan 19
88
Empty Image
MB Terima Kunjungan 14 Delegasi Lombok Utara
Dr Ahmad Samsuri bersama delegasi dari Bupati Kabupaten Lombok Utara, Indonesia KUALA TERENGGANU, 22 Januari- Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini menerima kunjungan hormat 14 delegasi dari Bupati Kabupaten Lombok Utara, Indonesia di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman. Kunjungan delegasi yang diketuai oleh Bupati Kabupaten Lombok Utara Dr. H. Najmul Akhyar itu bagi meneroka jalinan kerjasama yang boleh dimeterai antara kedua-dua pihak.Dalam pertemuan tersebut, Dr. H Najmul memberikan taklimat kira-kira 30 minit mengenai peluang perniagaan dan pelaburan yang boleh diceburi pemain-pemain industri dari negeri ini termasuk di dalam industri perikanan dan pelancongan.Dr Ahmad Samsuri turut memberi penerangan ringkas berhubung pembangunan semasa negeri ini.Menurut beliau, terdapat beberapa persamaan antara Lombok Utara dan Terengganu termasuk dari aspek demografi masyarakat, pelancongan serta aktiviti nelayan yang merupakan antara sektor terbesar di daerah itu.Katanya, antara kerjasama yang akan diusahakan termasuk dari segi sektor pelancongan supaya pelancong-pelancong yang datang ke Lombok Utara dimaklumkan tentang potensi pelancongan Negeri Terengganu, dan begitu juga sebaliknya supaya rangkaian pelancongan kedua-dua negara lebih meluas.“Selain itu, Lombok Utara juga mempunyai industri perikanan yang besar dan kurang terdedah kepada masalah monsun sebagaimana di Terengganu.“Di negeri ini, pada bulan Oktober, November, Disember, Januari dan sampai awal Febuari, kita berdepan dengan monsun yang sedikit sebanyak menjejaskan beberapa industri di negeri ini termasuk industri pembuatan keropok, pengeluaran ikan sardin dan bekalan domestik ikan-ikan kerana kita terpaksa mengambil bekalan ikan secara sejuk beku dari luar. “Justeru, kita akan mempertimbangkan jalinan kerjasama berhubung perkara ini dengan Lombok Utara dan tindakan selanjutnya akan diambil perjalanan oleh Exco dan agensi terlibat,” ujarnya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada delegasi tersebut.Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ A. Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman serta Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim.Di samping itu katanya, wakil delegasi tersebut turut menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang pendidikan dan kerajaan negeri bersedia untuk menerima pelajar-pelajar mereka melalui program pertukaran pelajar dan sebagainya.
21 Jan 19
43
Empty Image
Bapa Empat Anak Jual Donut 10 Sen
KUALA TERENGGANU, 21 Januari-  Seorang bapa kepada empat anak memanfaatkan masa terluang pada waktu malam dengan menjalankan perniagaan sambilan menjual kuih donut berharga 10 sen sebiji.Peniaga itu Idham Syafiq Darmilus, 31, menjaja donut yang dihasilkan sendiri kuih menggunakan motosikal di sekitar bandar raya ini sejak seminggu lalu dan mendapat sambutan menggalakkan kerana harganya yang murah."Saya berniaga sambil beramal, jual murah kerana saya memahami kesempitan hidup orang yang mempunyai keluarga besar," katanya ketika ditemui di Jalan Sultan Ismail di sini, semalam.Idham berkata, dia gembira dapat menjalankan perniagaan yang membantu meringankan beban orang ramai."Saya daripada keluarga yang susah dan sekarang juga masih susah justeru sangat memahami perasaan orang yang susah."Apabila saya menjual donut dengan harga yang murah itu ia secara tidak langsung membantu pelanggan yang mempunyai anak yang ramai."RM2 dan dapat 20 biji donut, justeru cukup untuk mereka yang mempunyai ramai anak," katanya yang tinggal di Kampung Jalan Banggol.Tambahnya, dia berniaga donut itu sejak 2016 di Kampung Telipot dan mempunyai gerai sendiri dengan jualan sebanyak 1,000 hingga 1,500 biji donut sehari."Memandangkan gerai itu diambil alih oleh pemiliknya, saya terpaksa berpindah ke Jalan Banggol dan berkerja di kedai makan bapa di situ."Isteri, Esah Ali, 35, dan empat anak berusia tujuh bulan hingga 15 tahun terpaksa tinggal di rumah bapa mertua di Dungun untuk sementara waktu."Saya berniaga sekarang mengumpul modal untuk menyewa rumah dan membuka gerai donut sendiri dan membawa ahli keluarga tinggal bersama," katanya. Menurutnya, dia berniaga donut dengan motosikal di Jalan Sultan Ismail itu sejak seminggu yang lalu."Saya bersyukur kerana donut saya laris dan dalam tempoh setengah jam sahaja sebanyak 400 hingga 500 biji donut terjual."Keyakinan saya ialah, apabila kita meringankan beban orang lain dengan niat yang ikhlas, Allah akan membantu memberikan kemudahan dalam segala kerja yang dilakukan," katanya.
20 Jan 19
415
Empty Image
Hadapi Cabaran Ramuan Kejayaan Ku Din
Oleh: Nooreni Abu BakarDUNGUN, 21 Januari - Cabaran dan kesusahan tidak menghalang Tengku Zainuddin Tengku Hassan, 42, atau lebih dikenali sebagai Ku Din mengorak langkah dalam perniagaan yang diusahakannya.Pemilik bengkel membaiki kereta Ku Din Wiring itu berkata, ia kerana cabaran mendatang adalah perkara baharu yang belum pernah dialami dan perlu dipelajari."Kita mestilah bersedia menghadapi cabaran di masa akan datang.“Kita perlu berani menghadapinya dan bukan anggap ia sebagai beban."Tetapi, pastikan kena ada juga orang di belakang yang sentiasa memberi kata-kata semangat dan mendorong kita untuk ke depan," nasihatnya ketika ditemui Urusetia Darul Iman (UPDI) selepas perasmian bangunan ‘Ku Din Wiring’ di Kampung Gong Pasir, Jumaat lalu.Bapa kepada enam anak itu, merupakan seorang mekanik yang berjaya dan sudah tidak asing lagi di daerah Dungun."Saya baiki kereta sudah dua puluh tahun dan mempunyai perniagaan sendiri sejak sepuluh tahun  yang lepas dengan menyewa bangunan sebagai tapak bengkel,” katanya.Bangunan dua tingkat itu yang menempatkan bengkel membaiki kereta di bahagian bawah dan ruangan pejabat di bahagian atasnya telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.Mengagumi usaha Ku Din, Wan Hassan  mengajak orang ramai  terus membantu  dan menyokong usahawan Muslim."Usahawan Muslim perlu dibantu oleh pengguna Muslim agar dapat mengukuhkan lagi ekonomi umat Islam itu sendiri,” katanya.Turut hadir dalam majlis berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun dan ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik.
20 Jan 19
226
Empty Image
Syukor Kampung Boy Tambah Seri Pelancongan Terengganu
Ariffin Deraman (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan penghargaan kepada adik Syukor.KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Syukor Khamis atau lebih dikenali sebagai ‘Kampung Boy’ Terengganu akan menambahkan lagi seri sektor pelancongan negeri Terengganu.Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, Terengganu sememangnya kaya dengan tempat-tempat  menarik yang sesuai untuk dijadikan pusat pelancongan, ditambah pula dengan kemunculan Syukor Khamis ia pasti akan merancakkan lagi industri pelancongan di Terengganu . Jelasnya lagi, suasana dan persekitaran akan ditingkatkan sesuai dengan tempat-tempat pelancongan yang lain tanpa mengubah struktur asal kawasan berkenaan."Kita mempunyai pusat-pusat pelancongan yang banyak di negeri Terengganu yang akan kita garap dari semasa ke semasa."Alhamdulilah kita mendapat satu tempat yang baru, kebetulan tempat ini dalam DUN (Dewan Undangan Negeri) saya, insya-Allah kita akan cuba rancang untuk membantu (mengembangkan) lagi tempat dan suasana di kawasan tersebut," katanya.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Syukor Khamis.Turut hadir dalam majlis tersebut, bapa Syukor, Khamis Jusoh serta keluarga.Orang ramai tidak melepaskan peluang bergambar dengan 'Kampung Boy' Terengganu.Majlis Ramah Mesra Bersama Syukor Khamis ini adalah anjuran bersama MSR Event Management, Duta Ayam, Kambing Guongzhou (KBGZ), TY Hotel, CONTIXPERT, CUCKOO, RIZQ ARGO FARM, FAFA Sweet House dan The Groomerz Barbershop.Terdahulu, Syukor dan keluarganya mula menjadi tumpuan orang ramai selepas tular kemenangan jurugambar, Nazri Sulaiman.Gambar yang memaparkan keakraban Syukor bersama kerbau peliharaannya dipilih sebagai Imej Asia 2018 oleh Asia Geographic bagi kategori Jalanan atau Orang Terbaik.
20 Jan 19
246
Empty Image
Bantuan One-Off Musim Tengkujuh Untuk Nelayan Akan Dipertimbangkan
KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Kerajaan negeri akan mempertimbangkan permohonan  bantuan 'one-off' daripada para nelayan kira-kira 10 ribu nelayan yang berdaftar sebanyak RM500 seorang sempena musim tengkujuh.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, beliau memberi komitmen untuk mengangkat permohonan tersebut kepada pihak atasan.“Kita menerima permohonan daripada nelayan berkaitan dengan bantuan 'one-off' musim tengkujuh khususnya ekoran daripada pengurangan bantuan sara hidup nelayan yang sebelum ini RM300 yang diberikan Kerajaan Persekutuan dan dikurangkan kepada RM200."Saya memberikan komitmen dan tanggungjawab untuk kita angkat permohonan tersebut untuk dibincangkan secara serius bagi kita membela nasib kira-kira  10 ribu orang nelayan yang bernaung di bawah Persatuan Nelayan Negeri Terengganu,” jelasnya.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian dalam sidang media  selepas Majlis Pertemuan Bersama Nelayan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering semalam.Katanya, kerajaan negeri perlu membelanjakan sebanyak RM5 juta setahun untuk kebajikan para nelayan pada musim tengkujuh.“Permohonan (tersebut) insya-Allah kita akan bincang di peringkat  kerajaan negeri dari segi kemampuan kewangan dan sebagainya. Belum lagi diluluskan, kita baru terima permohonan dan akan dibincangkan."Apa pun dari segi dasar kerajaan negeri, memang kebajikan rakyat adalah keutamaan kita. Insya-Allah kita doakan yang terbaik,” ujarnya.sehubungan dengan itu, menurutnya, beliau telah membawa isu penahanan 12 orang nelayan ke pihak Menteri berkenaan untuk dibuat rayuan.Katanya, nelayan terbabit ditahan oleh Jabtan Perikanan kerana menggunakan pukat tunda dalam kawasan zon pantai kurang lima batu nautika di Kampung Mangkuk, Setiu.“Saya secara peribadi telah mengemukakan rayuan khusus kepada Menteri Pertanian supaya diambil perhatian danyang paling kita tekankan supaya  lesen mereka tidak dibatalkan dan  peralatan mereka tidak dirampas.“Walaupun kita simpati  dengan (mereka), kita (perlu menghormati) undang - undang yang termaktub dalam Akta Perikanan 1985," ujarnya.Dalam masa yang sama ujar beliau, kesilapan nelayan terbabit tidak dapat dielakkan daripada dikenakan kompaun berdasarkan kepada undang-undang sedia ada.Namun, beliau berharap denda yang dikenakan adalah paling minima dan tidak memberikan kesan kepada kehidupan nelayan terbabit.Hadir sama, Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Haji Zawawi Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Khalil Abdul Hadi dan Pengarah LKIM Negeri, YM Tengku Mohd Anuar.
20 Jan 19
72
Empty Image
Anis Tidak Malu Bantu Keluarga Jual Jagung Rebus
Oleh : Khalid Abdullah KEMAMAN, 21 Januari  - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili menyantuni pelajar pintar berusia 17 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Badrul Alam Shah, Kemasik yang kisahnya tular selepas dirakam netizen ketika menjual jagung rebus di hadapan sebuah bank komersial di Bandar Cukai, kelmarin.Ir Saiful memuji tindakan pelajar itu yang cekal membantu ayahnya, Asrulizam Mat Hussin, 42, demi menyara kehidupan mereka sekeluarga tanpa mengharapkan simpati masyarakat dengan meminta-minta.Pelajar itu, Nur Anis Basyirah Asrulizam, 17, ditemui di kediaman keluarga di Kampung Sarang Lang, Kemasik, di sini berkata, dia berniaga untuk membantu ayahnya mencari rezeki pada hari tidak bersekolah."Kelmarin agak perit berniaga, setelah seharian menunggu, hanya laku RM5 sahaja....pendapatan pula tidak menentu, kerap-kali modal pun tidak lepas."Biasanya saya menjual dengan harga RM5 untuk dua tongkol jagung bersaiz besar, jika kecil, tiga tongkol."Selalunya, dua tong jagung rebus siap dibawa dari rumah, setiap tong boleh diisi 25 atau 30 tongkol jagung," katanya.Sementara itu, Asrulizam berkata, anak sulungnya itu seorang yang sangat 'ringan tulang' dan tidak segan silu menawarkan diri membantunya mencari rezeki untuk keluarga."Setelah mengisi barang-barang jualan dalam kereta Proton lama kami, saya akan keluar berniaga, lokasi tentulah depan bank-bank di Bandar Cukai atau masuk berjaja di rancangan Felda di Ketengah Jaya. "Jagung biasanya saya beli terus dengan tuan kebun, kalau bukan musimnya saya beli pisang untuk dibuat kerepek dan anak-anak juga yang akan membantu menjual," katanya.Isteri Asrulizam, Rosziawati Ibrahim, 37, pula membantu merebus jagung, membuat kerepek pisang selain mengurus keperluan anak-anak."Selain Nur Anis Basyirah sebagai anak sulung, ada lima lagi cahaya mata dan yang paling kecil berusia dua tahun. Lima orang sedang bersekolah."Alhamdulillah, keluarga kami ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bantuan zakat, bolehlah menampung perbelanjaan kami anak-beranak seharian," katanya.
20 Jan 19
127