Artikel "Semasa" Terkini
Inisiatif Terengganu Teroka Industri Solar Pacu Ekonomi Negeri - Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 14 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana telah berjaya meneroka potensi besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, terutamanya industri solar.
Baginda bertitah, sehingga Disember 2024, Negeri Terengganu memiliki kapasiti solar beroperasi melebihi 333 Megawatt peak (MWp), dengan pelaburan yang diterima mencecah RM1bilion, melibatkan 14 syarikat pelabur.
"Inisiatif ini bukan sahaja memberi impak positif kepada ekonomi negeri, malah turut menempatkan Negeri Terengganu di barisan hadapan dalam pembangunan tenaga hijau dan mampan.
"Dalam masa sama memacu negeri ini ke arah masa depan yang lebih hijau dan berdaya saing," titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di sini hari ini.
Titah baginda lagi, justeru itu kerajaan negeri perlu terus proaktif mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan di peringkat global, dalam usaha memperluas industri teknologi hijau ini.
Baginda bertitah, selain itu juga pembangunan infrastruktur mampan dan pemacu inovasi dalam penyelesaian tenaga bersih perlu diteruskan, bagi memastikan negeri ini kekal berada di hadapan dalam memperkasakan industri tenaga hijau untuk masa depan.
"Inisiatif ini sejajar dengan komitmen negeri untuk memperkukuh penggunaan tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga konvensional, serta membuka lebih banyak peluang ekonomi baharu yang dapat memberi manfaat kepada rakyat," titah baginda.
14 Apr 25
481
'City Night Games' Turut Diserikan Pertunjukan Gasing Tradisional
KUALA TERENGGANU, 14 April - Permainan Gasing Tradisional akan turut dipersembahkan dan akan menjadi penyeri pada acara 'City Night Games' siri dua yang bakal diadakan nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul karim berkata, pihaknya telah dikunjungi oleh jurulatih dan juga pembuat gasing, Omar Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pok Din Bagi membincangkan penganjuran pertandingan gasing yang akan menjadi salah satu acara dalam acara berprestij itu nanti.
"Pertandingan gasing ini akan dijalankan pada 19 April 2025 bermula pada 8.30 pagi di Kompleks Sukan negeri Terengganu, Gong Badak,"ujarnya dalam satu kenyataan di media sosialnya di sini, kelmarin.
Jelasnya, melalui acara itu nanti pengunjung akan dapat melihat dengan lebih dekat dan mengetahui lebih mendalam tentang permainan gasing.
"Menerusi program ini, pengunjung terutama generasi muda dapat menyaksikan keunikan sukan gasing yang merupakan sukan tradisi masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.
"Terima kasih diucapkan buat Pok Din atas kunjungan pada kali ini. Semoga dipermudahkan penganjuran pertunjukan gasing nanti," katanya.
14 Apr 25
106
Sambutan Raya Perantau Hulu Besut Meriah 2000 Hadir di Shah Alam
SHAH ALAM, 13 April – Sambutan Hari Raya Aidilfitri Perantau Peringkat DUN Hulu Besut yang berlangsung malam tadi di perkarangan Masjid Al-Ehsan, Seksyen 24, Shah Alam disambut dengan penuh kemeriahan dan semangat ukhuwah dengan menghimpunkan 2000 anak-anak perantau yang menetap di Lembah Klang.
Sekaligus Majlis yang dianjurkan Pusat Khidmat Masyarakat(ADUN) Hulu Besut itu menjadi wadah mengeratkan silaturrahim dalam kalangan perantau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua perantau yang hadir memeriahkan majlis berkenaan.
“Saya amat berbesar hati melihat kehadiran yang begitu ramai serta sambutan yang cukup meriah. Ini jelas membuktikan semangat kekeluargaan dan kasih sayang sesama anak perantau Hulu Besut masih kukuh walau berada jauh dari kampung halaman,” katanya ketika berucap dalam majlis sambutan Hari Raya tersebut, baru-baru ini.
Beliau juga merendah diri memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang penganjuran majlis tersebut, dan berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.
Dalam pada itu,Husaimi turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua perantau yang tidak dapat pulang ke kampung halaman tahun ini.
“Insya-Allah, dengan sokongan dan semangat ukhuwah yang berterusan, kita dapat menganjurkan lagi majlis seperti ini pada masa akan datang,” ujarnya lagi.
Majlis turut diserikan dengan sambutan ulang tahun kelahiran buat para perantau yang lahir pada bulan April. Husaimi mendoakan agar mereka dikurniakan kesihatan yang baik, umur yang diberkati dan sentiasa berada dalam lindungan rahmat Allah SWT.
13 Apr 25
805
"Itu Saya" - MB Terengganu Sahkan Gambar Tular
KUALA TERENGGANU, 13 April — “Pergi dan balik, dua kali saya di-‘pull aside’,” Itulah pendedahan mengejutkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang mengesahkan bahawa beliau telah ditahan sementara oleh pihak keselamatan ketika berkunjung ke Sabah, bukan sekali, tetapi dua kali berturut-turut.
Ahmad Samsuri memaklumkan bahawa detik menegangkan itu berlaku ketika beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada 6 April, dan sekali lagi ketika hendak pulang pada 7 April.
Insiden itu, katanya, menjadi pencetus kepada kenyataan rasmi beliau yang tular, satu pendedahan 18 perenggan yang dimuat naik pada 10 April lalu.
"Tulisan saya yang mengandungi 18 para/point pada Khamis (10 April) itu saya tulis setelah terjadi kes 'pull aside on hold' (ditahan sementara sebelum berlepas bagi mendapat pelepasan polis cawangan khas) adalah ketika saya ke Sabah pada Ahad (6 April) dan pulang pada Isnin (7 April).
"Pergi dan balik berlaku 'pull aside on hold'.
"Gambar (yang saya yakin diambil oleh orang awam) berkenaan adalah ketika balik pada Isnin (7 April lalu)," katanya ringkas kepada Harian Metro menerusi aplikasi WhatsApp.
Gambar yang dimaksudkan, memaparkan seorang lelaki duduk bersendirian di kawasan lapangan terbang, mula tular di media sosial sejak semalam, dipercayai dirakam oleh orang awam yang kebetulan berada di lokasi kejadian.
Lelaki dalam gambar tersebut kini disahkan adalah Samsuri sendiri.
Menurut Samsuri, sebaik tiba di balai pelepasan KKIA, beliau telah ditahan oleh beberapa pegawai keselamatan dan dibawa ke tepi untuk pemeriksaan lanjut, dipercayai berkaitan dengan status khas dalam sistem kawalan keselamatan negara.
Pendedahan ini mengesahkan dakwaan serius yang dibuat oleh Samsuri dalam kenyataan medianya sebelum ini, bertajuk “Kawalan Perjalanan TCO dan Saya”, di mana beliau mendakwa telah dilabel sebagai individu berstatus Travel Control Order (TCO) oleh satu cawangan khas sejak suku ketiga 2024.
Menurutnya, status TCO itu menyebabkan setiap pergerakan keluar-masuk beliau ke mana-mana destinasi dalam negara — termasuk Sabah dan Sarawak — tertakluk kepada tapisan dan pelepasan khas, seolah-olah beliau adalah “ancaman keselamatan”.
“Saya telah dilabel dan ditandai sebagai TCO, seolah-olah saya ini penjenayah berbahaya atau musuh negara, di tanah air saya sendiri,” katanya dalam kenyataan itu.
Beliau turut mendakwa telefon bimbitnya dipintas, pergerakannya diintip, dan komunikasi peribadinya dipantau secara berterusan, dengan alasan “demi keselamatan negara”, namun sebenarnya bermotifkan politik.
Lebih mengejutkan, beliau mendedahkan bahawa beliau bukan satu-satunya tokoh pembangkang yang menerima layanan sedemikian, malah ada individu lain turut dikaitkan dengan kategori risiko tinggi dalam sistem keselamatan negara.
Samsuri menyifatkan penyalahgunaan sistem TCO sebagai satu bentuk penindasan politik moden yang semakin berleluasa, serta memberi amaran bahawa ia mungkin sedang digunakan terhadap NGO, badan bebas, dan mana-mana pihak yang tidak sehaluan dengan kuasa pemerintah.
Dengan isu ini semakin mendapat perhatian, beberapa Ahli Parlimen difahamkan sedang merancang untuk membawa perkara ini ke sidang Dewan Rakyat akan datang, bagi menuntut ketelusan dan kawalan Parlimen terhadap agensi risikan negara.
13 Apr 25
721
Tolak Sekatan Pergerakan Terhadap MB Terengganu - Khalil
KUALA TERENGGANU, 13 April - PAS Terengganu mendesak pihak yang bertanggungjawab agar menghentikan segera taktik kotor sebelum demokrasi Malaysia ranap dan hilang arah dalam jangka masa panjang.
Kelmarin, Malaysia digemparkan dengan pendedahan berani oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, bahawa beliau telah ditandai dalam sistem keselamatan negara sebagai individu berstatus TCO (Travel Control Order).
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, beliau yakin sekatan dan pemantauan sedemikian tidak dikenakan terhadap mana-mana pemimpin kerajaan atau tokoh-tokoh lain, walaupun isu keselamatan sering dijadikan alasan oleh sesetengah pihak.
“Apa yang mengejutkan banyak pihak, status ini bukan sekadar satu label, tetapi turut melibatkan tindakan luar biasa di mana seorang pemimpin tertinggi negeri yang sah dan dipilih secara demokratik dikenakan kawalan seperti seorang penjenayah, tanpa sebarang pendakwaan atau bukti salah laku jenayah.
“Pendedahan ini menunjukkan kemungkinan besar berlakunya penyalahgunaan sistem keselamatan negara sebagai alat politik untuk menekan dan mengekang suara pembangkang,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Menurut Muhammad Khalil, Ahmad Samsuri turut mendedahkan bahawa beliau ditahan setiap kali melalui kawalan sempadan, termasuk ketika ke Sabah dan Sarawak, sejak suku ketiga tahun 2024.
“Lebih membimbangkan, pergerakan dan komunikasi beliau (Ahmad Samsuri) dipercayai dipantau, diintip, dan dipintas tanpa sebarang justifikasi undang-undang yang sah. Tindakan ini merupakan satu bentuk tekanan sistemik, gangguan berterusan, dan pencabulan terhadap kebebasan peribadi.
“Situasi ini menggambarkan bahawa TCO yang dikenakan terhadap MB Terengganu bukan bersifat rutin, tetapi membawa ciri kawalan ke atas individu yang dianggap 'berbahaya' – satu tindakan yang amat tidak munasabah,” ujarnya.
Muhammad Khalil yang juga merangkap Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa Dan Hubungan Luar PAS Pusat berkata, pelanggaran terhadap prinsip demokrasi dan hak asasi yang dijamin Perlembagaan ini amat menjengkelkan, dan menjadi ancaman langsung terhadap amalan politik yang sihat, adil dan terbuka di negara ini.
“Keadaan ini bukan sekadar ancaman terhadap pemimpin pembangkang semata-mata, malah merupakan isyarat jelas bahawa rakyat biasa juga berisiko menjadi mangsa kawalan politik tersembunyi sekiranya dibiarkan berleluasa," katanya.
13 Apr 25
3261
Nelayan 'Tak Sangka' Kuala Kijal Kini Milik Rakyat
KEMAMAN, 13 April – “Tak sangka Kuala Kijal kini kembali kepada kita, ” itulah luahan syukur majoriti nelayan tempatan apabila kawasan Kuala Kijal, yang telah lebih 30 tahun berada di bawah pemilikan swasta, kini secara rasmi kembali menjadi milik Kerajaan.
Ketika tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) bersama nelayan dan penduduk kampung semalam, ramai meluahkan rasa syukur dan harapan baru.
Zulkapli Johar, 63, seorang penduduk dan keluarga dari nelayan berkata pemilikan semula Kuala Kijal amat besar maknanya kepada komuniti nelayan di Kijal yang sekian lama berdepan pelbagai kekangan.
“Majlis hari ini bukan sekadar tanda syukur, tapi simbol harapan baru kepada kami.
“Setelah 30 tahun menunggu, akhirnya ada laluan yang akan dibuka khas untuk bot-bot nelayan keluar masuk ke laut. Insya-Allah, akan lebih banyak bot berlabuh di Kuala Kijal nanti,” katanya selepas Majlis berkenaan bertempat di Wakaf Kuning, Pantai Penunjuk Kijal, semalam.
Seorang lagi penduduk, Zulkifli Khadir, 58, turut menzahirkan penghargaan kepada usaha yang dipimpin oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris.
“Terima kasih kerana berjaya ambil balik Kuala Kijal. Insya-Allah, kaum-kaum nelayan boleh masuk ikut beloh nung (belah sana) pulok lepas ni.
“Dulu kita tengok je kawasan tu, sekarang milik kita balik,”ujarnya.
Terdahulu, Razali berkata, dua faktor utama menjadi pemangkin kepada keputusan kerajaan untuk mengambil semula tanah tersebut.
“Pertama, pembinaan struktur pemecah ombak (breakwater) yang bukan sahaja memberikan perlindungan kepada bot nelayan daripada ombak besar, tetapi juga menyediakan kawasan parkir bot yang lebih selamat.
“Kedua, keperluan untuk mengawal hakisan pantai yang semakin serius di Penunjuk dan Kampung Che Wan, dengan kehilangan tanah antara tujuh hingga sepuluh kaki setiap tahun,” katanya.
Tambahnya lagi, dengan adanya pemecah ombak, hakisan dapat dikawal, sekali gus memelihara keindahan pantai di Kijal.
12 Apr 25
10034
Anak Terengganu Meriahkan Sambutan Aidilfitri Perantau Di Ghomah Kendughi, Perak
PERAK, 12 April - Sambutan Hari Raya Anak Terengganu di Perak 2025 berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 450 perantau di Ghomah Kendughi, Lahat, di sini, hari ini.
Program anjuran Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU) itu menerima sambutan luar jangka daripada rakyat Terengganu yang menetap di negeri ini.
Majlis yang bermula pukul 2 petang turut diserikan dengan kehadiran kepimpinan Exco Kerajaan Negeri Terengganu, antaranya Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, Ariffin Deraman, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Datuk Razali Idris.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah yang merasmikan program tersebut berkata, inisiatif seperti ini telah dijalankan sejak tahun 2018 dan akan diteruskan di tujuh negeri lain mengikut zon dalam masa terdekat sebagai usaha menyantuni anak-anak Terengganu di perantauan.
“Sejak tahun 2018, kita sentiasa mengadakan pertemuan dengan anak-anak Terengganu di negeri-negeri lain. Program seumpama ini amat penting untuk kita kekalkan semangat kekitaan dan ukhuwah dalam kalangan warga perantau,” ujar beliau.
Majlis turut dimeriahkan dengan juadah istimewa dari Negeri Terengganu, termasuk hidangan utama nasi dagang, serta pelbagai lagi menu tradisi.
Kanak-kanak yang hadir juga menerima duit raya sebagai tanda penghargaan dan kemeriahan sambutan.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Presiden Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU), Profesor Madya Dr. Nuri Al-Amin Endut.
Salah seorang pengunjung, Arzuang Mamat, 54, anak jati Kampung Kubang Ikan yang kini menetap di Simpang Pulai sejak 25 tahun lalu menyatakan keterujaannya dapat turut serta dalam majlis ini.
“Majlis ini sungguh bermakna buat kami. Terima kasih kepada PERANTAU Perak dan pihak urusetia dari Terengganu yang menganjurkan program. Sebelum ini saya rasa macam tak ramai orang Terengganu di Perak, rupa-rupanya ramai,” katanya yang kini bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Rapat.
Sementara itu, Roslam Mohd, 56, Pengerusi PERANTAU Perak yang berasal dari Kampung Gong Balai, Marang, meluahkan rasa syukur atas sambutan luar biasa yang diterima.
“Kita hanya jangka sekitar 300 orang sahaja, namun penyertaan mencecah 450 orang. Pendaftaran hanya dibuka selama tiga hari dan terus penuh. Anak-anak perantau sangat teruja apabila kepimpinan kerajaan negeri sendiri hadir menyantuni kami,” ujarnya.
Tambah beliau, PERANTAU Perak aktif menganjurkan pelbagai program sepanjang tahun dan tidak hanya tertumpu kepada sambutan perayaan.
"Sebelum Ramadan, kita anjurkan pertandingan boling. Lepas ini, kita rancang beli lembu untuk buat jamuan korban bersama anak-anak perantau di sini. Kita ingin terus menghidupkan semangat kekeluargaan walaupun jauh dari kampung halaman,” katanya.
12 Apr 25
3591
Terengganu Bakal Wujud IMTIAZ International School di Selangor
KUALA TERENGGANU, 12 April - Sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri, IMTIAZ International School bakal ditubuhkan pada tahun 2026 di Pantai Barat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata bangunan kolej yang dibina khas itu dicadangkan untuk didirikan di lokasi yang strategik di tengah-tengah kawasan sibuk Petaling Jaya, Selangor.
"Ia adalah hasrat kerajaan negeri, justeru itu satu lawatan tapak cadangan untuk penubuhan Sekolah Imtiaz International School di Seksyen 19, Petaling Jaya diadakan untuk melihat kesesuaian untuk dibangunkan sekolah tersebut.
"Bangunan tersebut telah direka bentuk dan dilengkapi mengikut keperluan universiti," katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya semalam.
Menurut beliau, bangunan tersebut sepatutnya diduduki oleh Asia Metropolitan University, namun selepas isu covid dan disebabkan perubahan dalam rancangan perniagaan mereka, bangunan ini terbiar begituvshj.
Tambahnya lagi, bangunan tersebut belum pernah diduduki sejak ia diubah suai dan semua perabot, kelengkapan serta kerja-kerja ubah suai adalah serba baharu.
12 Apr 25
2189
'Saya Dikawal Seperti Seorang Penjenayah' - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 April - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa beliau telah dilabel dan ditandai sebagai 'TCO' dalam sistem kawalan sempadan, oleh satu pihak cawangan khusus sejak pertengahan tahun 2024.
Katanya, cara tersebut membuatkan beliau seolah-olah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan satu sindiket dan gangster, atau persona non grata di tanah air sendiri.
Ahmad Samsuri berkata beliau sangat kecewa dengan keadaan tersebut.
"Ia bukan sekadar label, tetapi saya 'ditahan' dan dibawa ke tepi, satu panggilan akan dibuat dan perlu mendapat persetujuan satu cawangan khusus sebelum dibenarkan keluar dari kawalan sempadan, untuk setiap kali keluar-masuk sempadan, walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga tahun 2024.
"Ke mana saya pergi, siapa yang saya temui, dan apa yang saya perbualkan, semuanya menjadi perhatian pihak tertentu dan perlu dilaporkan oleh satu cawangan khusus kepada pihak political master atau operator utamanya.
"Inilah realiti harian yang saya hadapi. Dengan perkembangan teknologi canggih hari ini, mereka mungkin juga cuba mengetahui isi perbualan saya dengan individu tertentu, terutama pimpinan politik.
"Adakah telefon saya dipintas? Sudah tentu, 100 peratus," katanya dalam satu kenyataan media hari ni.
Tambahnya, setiap pergerakan walaupun di atas urusan peribadi ia tetap dipantau oleh pihak tertentu.
"Bagaimana saya tahu semua ini? Sebenarnya, kita tidak perlu pun menjadi pintar untuk mengenal pastinya, dengan beberapa ujian dan umpanan mudah, perkara akan jelas seperti siang yang terang benderang.
"Kita tidak perlu mempunyai ilmu 'counter-surveillance' untuk mengenal pasti anasir yang memantau kita kerana kehadiran operatif dan elemen mereka adalah sangat ketara dan mudah dikenal pasti menerusi pemilihan kenderaan yang mereka gunakan, kereta yang statik, cara mereka berkomunikasi, pejalan kaki (spotter) dan sebagainya," ujarnya lagi.
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata perkara tersebut berlaku adalah hanya untuk meredakan paranoia segelintir pihak, yang tanpa ada keperluan untuk merasakan tidak stabil dan terancam.
Tambahnya lagi, ada seorang lagi tokoh utama pembangkang yang juga berdepan dengan label tier TCO tersebut.
"Sudah tentu saya dan rakan berkenaan tidak akan berdiam diri.
"Penyalahgunaan sumber kerajaan sebagai senjata politik seperti ini satu trend yang merosakkan kebebasan peribadi dan merubah struktur negara yang sepatutnya bersifat adil," ujarnya.
Jelas beliau, negara ini tidak akan maju jika suara yang berbeza terus dibungkam, dan kuasa digunakan untuk menakut-nakutkan rakyat.
"Hanya dengan keberanian untuk berubah dan keterbukaan menerima pandangan yang pelbagai, barulah kita dapat melangkah ke arah sebuah
Malaysia yang lebih adil, inklusif, dan benar-benar sejahtera untuk semua etnik, bangsa dan anutan agama yang ingin hidup dalam keamanan dan
Malaysia yang sejahtera," katanya.
Dalam sistem keselamatan negara, 'TCO' merujuk kepada 'Travel Control Office/Order' oleh pihak berkuasa, satu bentuk penandaan terhadap individu yang dianggap berisiko oleh pihak tertentu, walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah.
Status ini membolehkan segala pergerakan, komunikasi, dan interaksi seseorang dipantau secara menyeluruh, senyap, dan berterusan atas nama 'untuk keselamatan negara' atau 'untuk kestabilan politik'.
10 Apr 25
723
Terengganu Bakal Laksana Gerbang Pembayaran Baharu
KUALA TERENGGANU, 10 April - Usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh ekonomi digital bakal menunjukkan perkembangan positif melalui pelaksanaan Terengganu Payment Gateway.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata perkembangan bagi pelaksaan gerbang pembayaran baharu itu kini telah memasuki fasa akhir perbincangan.
"Alhamdulillah, hari ini saya dan pihak Tajdid (TAJDID Corporation Sdn. Bhd.) telah menerima penerangan mendalam daripada Berry Pay berkenaan pelaksanaan Terengganu Payment Gateway.
"Insya-Allah, projek ini telah mencapai tahap akhir perbincangan dan akan diangkat untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa negeri.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran laman sosial media rasmi rasminya, semalam.
“Inisiatif ini diyakini mampu membuka satu lagi sumber pendapatan baharu yang akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi negeri Terengganu.
"Mari kita doakan agar segala urusan dipermudahkan dan dapat dilaksanakan dengan jayanya," ujar beliau.
Usaha ini juga selari dengan aspirasi negeri untuk menjadi antara peneraju pendigitalan sektor awam di Malaysia, sejajar dengan pelan Smart Terengganu 2040.
Jika diluluskan dan dilaksanakan dalam masa terdekat, Terengganu Payment Gateway berpotensi menjadi pemangkin kepada pelbagai peluang ekonomi baharu, terutamanya dalam bidang keusahawanan, pelaburan digital, dan pemerkasaan ekonomi setempat.
10 Apr 25
4096