Artikel "Semasa" Terkini
Jalan Ke Jambatan Sultan Mahmud Dibuka Dua Hala
KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Jalan sehala menghala ke Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu ditukar menjadi dua hala bermula hari ini.Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Terengganu dalam satu kenyataan memberitahu, penukaran aliran lalu lintas sehala kepada dua hala yang dibuat pihaknya akan melibatkan semua pengguna.Selain itu, papan tanda lalu lintas akan dipasang di tapak jalan berkenaan sebagai panduan orang ramai.Peta aliran lalulintas yang diubah.Perubahan itu dibuat untuk memberi lebih kemudahan dan keselesaan kepada semua pengguna jalan raya.Menurut kenyataan itu juga, pengguna diharapkan agar mematuhi tanda arah dan papan tanda untuk melancarkan aliran trafik.Pengguna juga boleh menghubungi Pejabat JKR Daerah Kuala Terengganu di talian 09-6687000, faks 09-6227111 untuk sebarang pertanyaan dan aduan.
27 Feb 19
277
Maklumat Peribadi Dijamin Kerahsiaan Oleh DOSM
KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Segala maklumat peribadi hasil bancian yang dilaksanakan pegawai Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dijamin kerahsiaannya. Pengarah DOSM Negeri Terengganu, Mohd Sofi Ali berkata, kerahsiaan tersebut dijamin sebagaimana yang termaktub di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989).Katanya, DOSM mempunyai mekanisme tertentu bagi melindungi data individu dan segala maklumat yang dipungut sama ada menerusi borang soal selidik atau sebagainya adalah sulit dan tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak.“Mana-mana inivididu yang mendedahkan data yang dipungut oleh DOSM boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.“Sekiranya orang ramai merasa ragu dengan pegawai banci yang datang ke rumah, mereka boleh segera menghubungi jabatan kami untuk pengesahan,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dalam slot Wawancara TV Darul Iman yang membincangkan tajuk ‘Data Penentu Kesejahteraan Rakyat’ di Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.Dalam pada itu, Mohd Sofi berkata, DOSM sedang merancang untuk melaksanakan Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 meliputi seluruh isi rumah dan tempat kediaman seluruh negara yang dijangka akan diadakan Julai ini. “Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia yang diadakan 10 tahun sekali amat penting bagi membolehkan kerajaan mengumpul data untuk melaksanakan dasar-dasar negara. “Segala maklumat yang diperoleh melalui bancian itu akan dapat membantu dalam perancangan, penggubalan dan pelaksanaan dasar oleh kerajaan demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
27 Feb 19
77
Tiga Komponen Utama Bentuk Diri
KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Tiga komponen utama dalam membentuk diri ialah membaca, memahami al-Quran dan belajar ilmu lain yang diperlukan dalam kehidupan.Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Prof. Madya Dr. Wan Mat Sulaiman berkata, bagi mencapai matlamat yang digagaskan kerajaan, rakyat perlu mempunyai keperibadian dan jiwa yang bersih."Kita tidak akan maju, berkat dan sejahtera kalau jiwa tidak dibentuk (dan) sahsiah dengan membentuk hati. Kita mahu lihat Terengganu bersih (rohani dan jasmani) datang daripada kita," tegasnya.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah dalam Program Bicara Murni anjuran Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) di Dewan Teater, Wisma Darul Iman, di sini semalam.Dr Wan Mat berkata, soal iman dan soal keyakinan adalah datang daripada hati dan bukan daripada akal. "Kalau masih berlegar di akal kita masih lagi tak turun kepada tempat yang sepatutnya kepercayaan, kita akan merasai sesuatu itu dengan hati. Hatilah yang akan mengarahkan segala anggota kita yang lain untuk pegangan (keyakinan kita) ketika itu. Itu kita lihat perbezaan antara akal dan hati. "(Tetapi keduanya) tidak boleh dipisahkan akal memainkan peranan untuk membentuk hati. Kalau kita mempunyai daya pemikiran yang baik kita kita akan buat keputusan (yang baik) sendiri," tambah beliau.Oleh itu, katanya, anggota utama yang perlu dijaga adalah hati sebagaimana kata ulama Yusof al-Qardawi iaitu hati ialah hakikat manusia dan tempat pergantungan diri.Menurut beliau lagi, itu terbukti dalam satu hadis ‘bukankah di dalam jasad kamu ada seketul daging bila baik daging ini seluruh anggota tubuh badan kamu jadi baik dan hati baik seluruh anggota akan baik.Tambahnya lagi, apabila rosak hati semua jasad kita akan rosak dan bukankah itu kata hati. Hakikat manusia itu ialah hati manusia.“Kenapa kamu buat baik, kerana hati kamu baik. Kenapa kamu ambil rasuah, kerana hati menerima rasuah. Hati buruk, hati busuk, hati kamu rosak, tangan kamu rosak, tangan kamu ambil benda yang tak baik. Kenapa kamu pecah amanah, kerana hati kamu rosak. Kenapa kamu hasad kerana dalam hati ada hasad, hasad kepada manusia, tak boleh lebih sikit. “Kenapa kamu cinta kepada orang baik, kerana kamu nampak orang yang baik. Kamu suka kepada kebaikan. Tapi bila hati kamu rosak kamu tengok kebaikan itu satu benda yang tidak baik bagi kamu kerana kamu lihat sebaiknya,” ujarnya.Menurutnya, perbezaan di antara hati dan akal ialah faham dan ingat tanpa memahami maksudnya serta menghafal. Manakala jika membaca sesuatu pula, hati akan berfungsi.Beliau berkata, tahap ‘critical thinking’ mempunyai enam aras, pertama ialah membaca sesuatu dan cuba mengingatinya tanpa memahami maksud (remembering without understanding the meaning), kedua, membaca untuk memahami (remembering), ketiga, membaca kepada tahap `apply' (application) dan kemudian peringkat analisa serta diikuti (kelima) menilai, iaitu penilaian sesuatu benda dengan (keenam) (mengolahnya) dengan olahan yang berbeza.
27 Feb 19
99
Jom Solat Terawih ‘Dalam’ Bazar TTC Mega Raya 2019
KUALA TERENGGANU, 27 Februari- Jika sebelum ini, masyarakat Muslim mungkin berbelah bagi untuk membeli persiapan Aidilfitri sepanjang bulan Ramadan kerana lebih menumpukan untuk beribadah. Namun, kini ia bukan lagi menjadi masalah terutama buat masyarakat di Kuala Terengganu dan kawasan sekitarnya, apabila berbaki 67 hari lagi menjelang Ramadan, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) melalui anak syarikatnya, Cakna Management Sdn. Bhd. bakal menganjurkan festival Terengganu Trade Centre (TTC) Mega Raya 2019 apabila menyediakan suasana kondusif bagi pengunjung Muslim yang ingin membeli belah tanpa mengabaikan ibadah solat sunat Tarawih.Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman memberitahu, penganjur pesta jualan itu akan mengadakan solat Tarawih berjemaah di TTC sepanjang karnival berlangsung.Menurut beliau, pelaksanaan ini selaras matlamat kerajaan negeri yang meletakkan Islam sebagai asas dalam pentadbiran. “Kita akan menyediakan ruangan solat yang boleh memuatkan 300 jemaah pada satu-satu masa bagi memberi peluang kepada peniaga dan pengunjung menjalankan ibadah sunat Solat Tarawih. “Kita akan turut menyediakan seorang imam untuk mengetuai solat sepanjang karnival berlangsung,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) sambil berjanji akan turut hadir menyampaikan tazkirah sempena program tersebut.Beliau berkata demikian pada sidang media TTC Mega Raya 2019 yang diadakan di pejabat Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), di sini, baru-baru ini.Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Anuar Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif Cakna Management, Mohd Radhi Kamaruddin.Nurkhuzaini turut mengumumkan, TTC Mega Raya juga mengadakan cabutan bertuah secara mingguan dengan menawarkan hadiah berupa barangan elektrik manakala, hadiah utama berupa pakej umrah yang bakal menanti pengunjung bertuah.“Cabutan bertuah ini boleh disertai dengan setiap pembelian bernilai RM30 ke atas dalam satu resit,” katanya.Karnival berkenaan akan berlangsung selama 27 hari bermula pada 9 Mei hingga 4 Jun iaitu pada hari keempat Ramadan sehingga ke malam hari raya.Jualan pelbagai jenis barangan daripada 160 lot gerai di dalam ruang perniagaan berhawa dingin, TTC Mega Raya bakal memberikan keselesaan buat pengunjung yang datang bersama keluarga.YPU berhasrat menjadikan karnival sebagai pusat sehenti (one stop centre) kepada rakyat Terengganu untuk datang mendapatkan keperluan hari raya dengan lebih nyaman dan selesa.“Pelbagai kelengkapan persiapan Hari Raya Aidilfitri antaranya pakaian, pelbagai jenis tudung dan kuih-muih serta persiapan rumah akan dijual di sini.“Kita juga mengingatkan peniaga-peniaga yang terlibat untuk menjual dengan harga berpatutan,” katanya.TTC Mega Raya dianjurkan Cakna Management semenjak 2013. Pada tahun ini, YPU berharap dengan suasana kondusif, harga berpatutan dan aktiviti yang bersesuaian dalam bulan Ramadan, rakyat Terengganu akan menjadikan karnival berkenaan sebagai pusat tumpuan sepanjang ia berlangsung.
27 Feb 19
253
Umat Islam Diseru Pertahan Agama Dan Rasul
Umat Islam perlu suarakan bantahan pertahan Rasulullah SAW- Ahmad Shah.Oleh: Syed Abdul RahmanKUALA TERENGGANU, 27 Februari - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed menyeru umat Islam di negara ini bangkit menyatakan pendirian bagi mempertahankan agama dan Rasul."Ayuh semua, nyatakan pendirian kita. Pertahankan agama dan Rasul sepertimana yang telah dilakukan oleh para sahabat dan generasi terdahulu," katanya ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, di sini, hari ini.Menurut Ahmad Shah lagi, orang bukan Islam pada hari ini bukan sahaja memandang sinis kepada agama, bahkan mereka secara terang-terangan sudah berani mengeluarkan perkataan yang menghina dan memperlekehkan Nabi Muhammad SAW.Tambahnya lagi, sekiranya masyarakat Muslim masih mempunyai iman dan rasa cinta kepada agama dan Rasul, maka wajib untuk mereka bangkit mempertahankan maruah dan harga diri umat Islam sebenar."Walaupun seseorang itu banyak harta dan mempunyai pangkat yang tinggi, tetapi sekiranya tiada rasa kasih dan cinta pada agama dan Rasul, maka sia-sia dunia dan akhirat mereka,” katanya.Sehubungan itu, beliau turut merayu kepada masyarakat Muslim untuk sama-sama turun di mana-mana masjid yang menganjurkan bantahan terhadap penghinaan tersebut yang bakal diadakan pada Jumaat ini (1 Mac).Sebelum ini, seorang warga emas, Wai Foo Sing, 68, mencetuskan kemarahan umat Islam apabila memuat naik karikatur berunsur penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan Sayidatina Aishah RA di laman Facebooknya, 17 Februari lalu.Dia ditahan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dua hari kemudian dan disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.Bagaimanapun, orang ramai mula menyuarakan bantahan dan kemarahan apabila Foo Sing dibebaskan selepas hanya tiga hari direman dengan jaminan polis.
27 Feb 19
91
Masjid Kampung Seberang Takir Siap September Ini
Sekretariat PKAPKN dan Ahmad Razif tinjau proses pembinaan yang sedang berjalan.Oleh: Nizam at-TakiriKUALA NERUS, 27 Februari - Masjid baharu Kampung Seberang Takir yang kini dalam proses pembinaan, dijangka siap dibina pada September ini.Menurut Timbalan Ketua Sekretariat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN), Hafeez Sahidi, projek yang menelan belanja lebih kurang RM2 juta itu berjalan mengikut perancangan kerajaan negeri apabila mencapai 70 hingga 75 peratus siap.Beliau memaklumkan demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika Sekretariat PKAPKN melawat lokasi berkenaan bersama pegawai-pegawai kerajaan, semalam.Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, pegawai-pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seberang Takir dan pemimpin-pemimpin setempat.Pembinaan lancar mengikut jadual perancangan kerajaan Negeri.Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menyifatkan masjid tersebut bakal menjadi mercu tanda bagi rakyat Seberang Takir."Pemandangan sungai Kuala Terengganu yang menarik dari anjung tinjau masjid berkenaan bakal menggamit kehadiran orang ramai, penduduk, bahkan pelancong untuk berkunjung setelah siap nanti. "Saya harap apabila siap nanti ia berjaya dimakmurkan sebaiknya oleh rakyat ke arah merealisasikan moto kerajaan negeri Terengganu, iaitu Maju, Berkat dan Sejahtera," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.Beliau tidak hadir bersama dalam lawatan itu kerana mengikuti mesyuarat sebagai panel penasihat Kerajaan Negeri Kelantan di Kuala Lumpur.Lokasi masjid yang strategik bakal jadi tarikan pengunjung.
26 Feb 19
773
4 Beradik Bertekad Tunai Hasrat Arwah Ibu
Oleh: Mohd AsrafDUNGUN, 27 Februari - Empat beradik bertekad menunaikan hasrat arwah ibu menginfaqkan rantai emas bagi kegunaan orang ramai sekali gus menggunakan hasil jualannya untuk membeli sebuah katil nursing bagi kegunaan pesakit kronik.Mereka yang kebanyakannya kakitangan kerajaan dan swasta membeli sebuah katil berkenaan melalui sebuah syarikat perniagaan dengan nilai RM3,300.00 kemudian menyerahkannya kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura untuk tujuan tersebut.Wakil mereka Nurul Aisyah Mustaffa, 30, Penyelia Asrama Sekolah Menengah Teknik Kuantan, Pahang dan pasangannya Muhammad Sufian Yusuff, 33, Penolong Jurutera di Kompleks Mahkamah Kuantan, Pahang menyerahkan katil berkenaan kepada Penyelia Hal Ehwal Masyarakat, Institut Modal Insan Sejahtera (i-MiTS), Mohd Yusof Ismail di Pejabat DUN berkenaan di sini 23 Februari lalu.Katil berkenaan berukuran tujuh kali empat kaki dan tinggi, tiga setengah kaki untuk kegunaan pesakit strok kerana ada kemudahan untuk mengiringkan badan. Nurul Aisyah ketika ditanya pemberita, berkata beliau dan tiga adik beradik yang lain sudah lama berhasrat untuk menyumbangkan katil nursing itu kepada DUN Sura bagi kegunaan pesakit tersebut.“Selepas kematian arwah emak (Rokiah Idris), saya berbincang dengan kakak untuk sedekah jariah bagi emak kami dan katil ini adalah keputusan sebulat suara kami untuk tujuan itu,” katanya. Adik beradik beliau itu ialah Noradawiyyah Mustaffa, 40, Pegawai Kewangan Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, Nurul Najmiah Mustaffa, 39, Guru Sekolah Kebangsaan Batu 7, Dungun dan Muhammad Mustaffa, 36, Guru Memandu di sebuah syarikat sekolah memandu di Bukit Besi, Dungun.Sementara itu Mohd Yusof ketika ditemui berkata Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura mengucapkan terima kasih atas sumbangan itu dan akan dimanfaatkan untuk pesakit berkenaan.“Kami berterima kasih kepada Puan Nurul Aisyah dan keluarga yang berbesar hati menginfaqkan katil ini untuk kegunaan kebajikan.“Saya mengalu alukan kepada sesiapa sahaja yang ingin menyumbang untuk keperluan masyarakat di Dun Sura ini,” tambah beliau. Sementara itu, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura telah memperuntukkan sebanyak RM15,000 sebulan untuk membantu lebih 180 keluarga yang memerlukan bantuan kebajikan setiap bulan di DUN berkenaan.
26 Feb 19
60
Hubungan Baik Kerajaan Negeri, Persekutuan Harus Dikekalkan - MB Terengganu
Dr. Samsuri perjelas hubungan baik mampu memberi manfaat besar kepada rakyat.MARANG, 27 Februari - Kerajaan negeri berharap hubungan baik bersama Kerajaan Persekutuan dapat dikekalkan.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hubungan positif kedua-dua pihak mampu memberi manfaat yang besar kepada rakyat.“Jika kita boleh mengekalkan hubungan sebegini, kedua-dua pihak iaitu Persekutuan dan negeri akan mendapat manfaat secara bersama."Paling penting, ia memberi manfaat besar kepada rakyat Terengganu,” katanya ketika menjawab persoalan yang dikemukakan dalam program MB Maghi Kapung Kite di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM), di sini, baru-baru ini.Dr. Samsuri berkata, apa yang berlaku membuktikan terdapat cara lebih baik yang boleh dilakukan kedua-dua pihak berbanding puluhan tahun dahulu.“Jadi, saya meminta supaya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertimbangkan perkara tersebut dan beliau terima apa yang diminta,” katanya.Dr. Samsuri menegaskan, usaha secara berperingkat dilakukan dan setelah itu, Kerajaan Terengganu memperoleh apa yang diperlukan.Bagi tahun 2018, Terengganu menerima keseluruhan royalti berjumlah RM1.26 bilion selepas ditolak hutang negeri kepada Persekutuan berjumlah RM60 juta.Namun, Terengganu dijangkakan bakal menerima jumlah hampir sama bagi tahun ini. Dalam pada itu, beliau yang mengetuai pentadbiran negeri Terengganu nyata berpuas hati dengan prestasi Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang dilantik (Exco) sepanjang 10 bulan pemerintahan kerajaan baharu itu.“Saya sangat berpuas hati dengan mereka. Masing-masing tahu tentang tugas dan tanggungjawab serta bekerja dengan begitu keras sekali.“Saya rasa bukan saya seorang yang menilai, rakyat boleh melihat bagaimana komitmen daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program berkenaan.MB Maghi Kapung Kite merupakan program siri jelajah penerangan berkaitan Bajet 2019. Siri kedua kali ini diadakan di daerah Marang selepas yang pertama untuk daerah Besut dan Setiu pada awal Februari lalu.Program kali ini dihadiri sekitar 1,000 penduduk setempat terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat.
26 Feb 19
82
Membangun Seimbang, Fizikal Dan Modal Insan
KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Kerajaan Terengganu mahu membangunkan negeri yang seimbang sama ada dari segi pembangunan fizikal mahupun modal insan.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ianya menepati visi dan misi dalam pembangunan desa di negeri tesebut.“Program-program pembangunan desa yang dirancang ini untuk dibangunkan secara fizikal dan dalam masa yang sama kita membangunkan manusia.“Dalam konteks negeri Terengganu, sebahagian besar daripada penduduk kita sebenarnya tinggal di kawasan luar bandar,” jelasnya.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat bersama Jabatan Perhilitan di Wisma Darul Iman, kelmarin.Menurutnya, peruntukan pembangunan daripada kerajaan disalurkan kepada rakyat melalui wakil rakyat di kawasan masing-masing.“Dalam konteks kerajaan negeri, peruntukan pembangunan yang disalurkan melalui wakil rakyat ini adalah apa yang kita gunakan untuk kemudahan asas penduduk yang cuba diselesaikan secara berperingkat,” ujarnya.Justeru itu, Dr Azman berkata, kerajaan juga akan bekerjasama dengan agensi lain untuk meminimakan masalah sosial di kalangan masyarakat. “Kerajaan negeri melalui pelbagai agensi sama ada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) ataupun Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-Mits) bertindak membangunkan masyarakat selaras dengan slogan Terengganu iaitu sebuah negeri yang bukan setakat kita nak maju, tetapi dalam masa yang sama kita nak berkat dan sejahtera,” katanya.Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu, Rahmah Illias dan Timbalannya, Ahmad Kamsul Alias.
26 Feb 19
90
Babi Antara Punca Kemalangan Dan Kerosakan Tanaman Di Bukit Besi
Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman menziarahi mangsa kemalangan.Oleh: Adli MohamadDUNGUN, 26 Februari - Babi liar yang berkeliaran di sekitar Bukit Besi antara punca berlakunya kemalangan dan kemusnahan tanaman di Kampung Besol, di sini.Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, masalah berkenaan boleh meragut nyawa dan menjejaskan sumber pendapatan orang ramai.Jelasnya, haiwan tersebut yang melintasi jalan utama turut merosakkan kebun-kebun kecil penduduk setempat sehingga menyebabkan banyak kerugian yang dialami oleh mereka."Babi ini melintasi jalan-jalan utama, setakat ini dalam tahun ini sahaja bermula Januari telah berlaku lima hingga enam kes kemalangan."Bukan sahaja mendatangkan kerugian kerana kerosakan tanaman sebaliknya mendatangkan bahaya pula kepada penunggang motor, kereta dan sebagainya," ujar beliau.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, semasa menziarahi dan memberi sumbangan kepada mangsa yang terlibat dalam kemalangan dengan babi, pada Ahad lalu.Tambah beliau, perbincangan dengan pihak-pihak tertentu akan diadakan bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan.Mangsa kemalangan, Rozanah Mamat menceritakan detik-detik cemas semasa dilanggar"Kita akan adakan perjumpaan dengan semua pihak untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu masyarakat di sini," tambahnya.Sementara itu, mangsa kemalangan, Rozanah Mamat, 37, berkata, dia disondol haiwan tersebut sehingga cedera pada tulang rusuk dan pengsan di tempat kejadian."Ketika itu saya menjerit meminta tolong daripada orang ramai yang berada berdekatan."Saya telah dibawa ke hospital dan baru sahaja keluar dari wad. Masih dalam keadaan kesihatan yang tidak baik, dan masih belum boleh melakukan sebarang pekerjaan," jelasnya.Susulan daripada kes itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Besol berkata, beliau akan berusaha untuk menyelesaikan masalah itu dan amat berterima kasih atas kecaknaan dan keprihatinan daripada pihak Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi."Semoga perancangan untuk membasmi babi akan diambil dengan jalan yang terbaik dalam memastikan kesejahteraan penduduk," jelas beliau.
26 Feb 19
64