Artikel "Semasa" Terkini
Star Cruise Bakal Berlabuh Di Muara Sungai Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 Mac - Kerajaan negeri meminta tempoh setahun untuk membolehkan kapal pelancongan bertaraf antarabangsa (star cruise) berlabuh di muara Sungai Terengganu, selepas jambatan angkat (draw bridge) dijangka siap Jun ini.Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, jambatan angkat setelah siap akan menjadi mercu tanda dan antara tarikan pelancong utama bagi negeri Terengganu."Semasa belum siap, draw bridge sudah menjadi tumpuan pelancong untuk melihatnya, apa lagi jika ia siap sepenuhnya nanti."Sekarang jambatan angkat itu sudah siap sebanyak 70 peratus, dalam jangkaan bulan Jun ini jambatan angkat itu akan siap sepenuhnya," jelas beliau.Ustaz Ariffin berkata demikian ketika merasmikan Matta Fair Terengganu 2019 yang julung-julung kali diadakan di Terengganu di ruang legar Paya Bunga Square, di sini semalam.Menurut beliau, sekarang pun ketika jambatan itu belum siap, videonya tular di media sosial dan ramai yang tertarik dengan kecantikan strukturnya.Katanya, sekiranya ia siap nanti jambatan itu lebih cantik dan akan menjadi destinasi pelancong utama negeri Terengganu. Turut hadir memeriahkan Matta Fair Terengganu, personaliti tv terkenal, Mat Dan.
01 Mar 19
282
Terengganu FC Lebur Hasrat Perak
Para 'pemain ke-12' bergembira dengan jaringan penyamaan Lee Tuck.KUALA TERENGGANU, 2 Mac- Terengganu Football Club (TFC) berjaya meleburkan hasrat pasukan Perak FA untuk membawa pulang kemenangan apabila merampas satu mata menerusi gol di minit-minit akhir perlawanan dalam aksi kelima Unifi Liga Super Malaysia, malam tadi.Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, jaringan penalti pada minit ke- 91 oleh Lee Andrew Tuck setelah dia dijatuhkan pertahanan Perak, berjaya menutup aksi kurang meyakinkan TFC.Pasukan tuan rumah ketinggalan pada minit ke- 71 hasil jaringan pemain import, Wander Luiz dalam perlawanan yang nyata didominasi pasukan pelawat.Namun, perubahan taktikal oleh ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim yang memasukkan Mohd Shahrul Aizad Zulkifli dan Mohamad Ashari Samsudin berjaya mengubah rentak Sang Penyu dan berhasil mengelakkan kekalahan di tangan juara Piala Malaysia 2018 itu.Pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali turut mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan dalam aksi di Kuala Terengganu itu.Tindakan beliau yang meniupkan wisel penamat sebaik sahaja tambahan masa diumumkan, menimbulkan kekeliruan dan kekecohan di kalangan pemain menyebabkan perlawanan tertunda sekitar 10 minit.Perlawanan yang bersambung sehingga jam 11.00 malam, berkesudahan seri 1-1 dengan TFC terus gagal mengutip tiga mata dalam tiga aksi di kubu sendiri musim ini.
01 Mar 19
431
THT Dan UniKL Buru Kejuaraan Piala Hoki TNB 2019
Foto ihsan - FB Malaysian Hockey ConfederationKUALA LUMPUR, 1 Mac - Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan juara bertahan Piala TNB, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kini dalam misi untuk menambah koleksi kejuaraan bagi tahun 2019 dengan kejuaraan Piala TNB 2019 yang akan berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur esok menjadi sasaran kedua-dua pasukan.Misi UniKL pastinya mahu menggapai kejuaraan berganda selepas ditabalkan sebagai Juara TNB Liga Hoki Malaysia saingan Liga Perdana sementara THT pula tentunya mahu menjadikan Piala TNB sebagai satu lagi koleksi piala mereka bagi musim ini selepas membawa membawa pulang Piala Sumbangsih pada awal Januari lalu.Bercakap ketika sidang media yang berlangsung di Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) pagi ini, pengendali UniKL, Arul Selvaraj mengakui memenangi kejohanan lebih mudah daripada mempertahankannya tambahan UniKL kemungkinan besar akan kehilangan empat tonggak import ekoran peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Hoki Eropah (EHF).“Satu kekurangan buat kami di perlawanan akhir adalah kami mungkin kehilangan khidmat empat pemain import tetapi saya masih berharap ada keajaiban yang akan berlaku dan mereka akan turun beraksi esok kerana kami telah mengemukakan rayuan untuk terus mendapatkan kidmat mereka dan masih menunggu keputusan yang akan diketahui selewat-lewatnya awal pagi esok,” ujarnya.Namun bagi kapten UniKL, Muhammad Marhan Mohd Jalil, dia dan rakan sepasukan yang telah mengetahui perkara tersebut lebih awal telah bersedia sepenuhnya untuk memberikan persembahan terbaik selain menyifatkan sekiranya kejuaraan berganda mampu diraih merka ia merupakan tanda bahawa UniKL kini dalam landasan terbaik untuk terus mencipta kejayaan demi kejayaan.“Kami telah mengetahui perkara ini lebih awal jadi setiap pemain telah bersedia sepenuhnya dan untuk aksi final apa yang perlu kami lakukan adalah beraksi dengan tahap paling terbaik selain kami mahu memburu kejuaraan serta keluar selaku juara.“Jika kami dapat menjulang kejuaraan Piala TNB esok, ia merupakan satu bonus buat kami kerana sebagai pemain apa yang kami sasarkan pastinya untuk mendapatkan kejuaraan berganda.“Jika kami berjaya melakukannya ia akan menunjukkan bahawa UniKL sememangnya fokus untuk mencipta lebih banyak kejayaan daripada tahun sebelum ini dan juga untuk masa akan datang,” jelas Marhan.Dalam pada itu, pengendali THT, I Vikneswaran tidak mengambil kira sama ada lawan mereka akan beraksi dengan khidmat empat pemain import mereka atau tidak sebaliknya mahu memikirkan perkara yang berada di dalam kawalan mereka menjelang pertemuan esok.“Kami lebih suka untuk memikirkan perkara yang berada di dalam kawalan kami jadi sama ada pemain import mereka boleh beraksi atau tidak ia bukan dalam kawalan kami dan kami tidak mahu memikirkan perkara tersebut,” jelasnya.Nada yang sama dilontarkan oleh kapten THT, Mohd Fitri Saari yang mahu rakan-rakan seperjuangan sentiasa memberikan persembahan terbaik walau apa jua kondisi pasukan lawan dan melihat pukulan sudut penalti akan menjadi salah satu senjata penting pada aksi final yang akan membantu pasukannya sama ada keluar selaku juara atau sebaliknya.“Kami tidak kisah sama ada empat pemain import mereka akan beraksi atau tidak tetapi apa yang penting untuk kami adalah beraksi pada tahap yang paling terbaik dan sebagai ketua pasukan saya selalu meningatkan rakan sepejuangan yang lain untuk sentiasa memberikan persembahan yang terbaik.“Pukulan sudut penalti merupakan satu medium yang penting untuk mendapatkan jaringan dalam sesuatu perlawanan kerana perlawanan separuh akhir kami menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi pukulan sudut penalti dan mereka juga memiliki kelebihan yang sama tetapi mereka tidak berjaya menukarnya kepada jaringan.“Bukan sahaja perlawanan tempatan tetapi untuk perlawanan bertaraf antarabangsa juga sama kerana ada ketika jaringan menerusi gol padang agak sukar untuk dilakukan, jadi pukulan sudut penalti selalunya akan membantu sesebuah pasukan sama ada mereka boleh memenangi perlawanan tersebut atau menjadi punca kekalahan,” jelas Fitri.Aksi final akan berlangsung esok di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur, bermula dengan penentuan kedudukan ketiga dan keempat akan menemukan Maybank dan TNB pada jam 3.00 petang dan diikuti pertembungan antara UniKL dan THT bagi merebut gelaran juara pada jam 5.00 petang.SUMBER: MALAYSIAN HOCKEY CONFEDERATION
01 Mar 19
298
Hukuman Lebih Berat Perlu Kepada Penghina Nabi
MARANG, 1 Mac - Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man mahukan hukuman terhadap penghina Nabi Muhammad SAW lebih keras bukan setaraf denda peminum arak. Menurut beliau, hukuman itu tidak terbatal dengan sebab pelaku itu telah bertaubat. "Ini menunjukkan betapa jahatnya penghina Nabi SAW dan kami orang Islam menjadi nyawa, diri dan harta benda kami sebagai galang ganti untuk berdepan dengan mereka, " katanya ketika berucap di Majlis Himpunan Aman bagi Membantah Penghinaan Terhadap Rasulullah SAW di perkarangan Masjid Rhu Muda di sini hari ini.Turut hadir memberi ucapan, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) , Haji Yahaya Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang, Ustaz Yusof Abdul Hadi. Himpunan tersebut berjalan serentak di masjid-masjid seluruh Terengganu dan Malaysia amnya untuk menyatakan kesatuan dalam membela agama Islam.
01 Mar 19
50
Ops Didik Bina Kesedaran Agama
Ops Didik di sekitar Batu Burok, Kuala Terengganu.KUALA TERENGGANU, 1 Mac - Ops Didik yang dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) secara bersepadu bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar bandaraya Kuala Terengganu berjaya membina kesedaran orang ramai terhadap syariah.Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Azmi Tengah berkata, sudah menjadi tanggungjawab pihak penguasa untuk menyelesaikan masalah sosial yang meruncing dalam kalangan masyarakat terutamanya melibatkan remaja.Jelasnya, operasi di dua tempat yang diketuai oleh pihaknya berjaya mengesan banyak pasangan yang berkelakuan dan berpakaian tidak sopan di tempat awam."Kita berharap semoga momentum mencegah mungkar ini berjalan (seperti biasa) pada masa-masa akan datang."Setakat yang saya dimaklumkan, 37 pasangan yang kita keluarkan notis untuk hadir ke pejabat agama," ujarnya. Azmi Tengah, Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengetuai Ops Didik di Pulau Warisan, di sini, semalam.Hadir sama dalam operasi itu ialah pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Nik Al-Hafiz, pegawai-pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu serta sukarelawan penguatkuasa syariah.Tambah beliau, pasangan yang ditangkap diberi notis untuk hadir ke pejabat agama daerah dalam tempoh satu minggu bagi mengikuti sesi kaunseling.Sekiranya gagal berbuat demikian, pasangan terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 34, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir )Terengganu 2001, yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM 1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali."Kita akan beri mereka satu notis untuk hadir ke pejabat pada 6 Mac untuk kita jalankan sesi kaunseling dan tazkirah."Kalau dia tak datang kaunseling kita akan 'proceed case' itu untuk didakwa di bawah seksyen 34, berkelakuan tidak sopan di tempat awam, kalau tak datang (tunai denda) kita akan keluarkan waran tangkap,". JPJ turut terlibat menjayakan operasi.Operasi bersepadu yang bermula pada pukul 9.30 malam itu dijalankan di dua lokasi berbeza iaitu di Batu Buruk dan Pulau Warisan.
01 Mar 19
248
Projek Kraf Kercut Mampu Tingkat Ekonomi Penduduk
Ustaz Hilmi meninjau hasil produk kraf selepas merasmikan Projek Kraf Kercut di Bengkel Kumpulan Bembangunan Wanita KPW Kampung Beris Tok Ku Permaisuri, di sini, semalam.Oleh: Ahmad MawardiSETIU, 27 Februari - Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pertanian Negeri Terengganu akan memastikan projek kraf kercut sebagai inisiatif membangunkan komuniti setempat terutama melahirkan wanita tani dalam arus pembangunan industri hiliran mampu meningkatkan kualiti hidup dan pendapatan keluarga.Timbalan Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Ustaz Hilmi Harun berkata, industri kraf merupakan sebahagian daripada industri kreatif negara yang perlu diambil peluang oleh masyarakat setempat untuk membaiki taraf kehidupan masing-masing."Justeru, kerajaan negeri menerusi jabatan dan agensi sebagai peneraju industri kraf negara, diharap agar terus gigih dan konsisten dalam usaha memastikan penglibatan usahawan tempatan menghasilkan produk yang berkualiti dan berdaya saing di pasaran."Usaha-usaha pengkomersilan produk kraf ini perlu terus diperkasa dan dimantapkan agar mendapat perhatian pengguna, pembeli serta pelancong dari dalam dan luar negara," ujarnya.Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Projek Kraf Kercut di Bengkel Kumpulan Bembangunan Wanita KPW Kampung Beris Tok Ku Permaisuri, di sini, semalam.Turut hadir, Timbalan Pengarah Pertanian Negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh, Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Rosman Roslan.Hilmi berkata, pelaksanaan program seumpama itu bukan sekadar dapat mengoptimumkan impak dalam memajukan rakyat secara menyeluruh, malah ianya selari dengan hasrat dan strategi kerajaan negeri untuk memperkasakan pembangunan ekonomi di luar bandar.Beliau yang juga ADUN Manir berkata, difahamkan sehingga Disember 2018, sebanyak RM74.8 juta nilai jualan produk Industri Asas Tani (IAT) berjaya dicatatkan dengan penglibatan seramai 715 usahawan IAT.Walaubagaimanapun, menurutnya nilai jualan bagi produk kraf masih jauh ketinggalan berbanding dengan hasil hiliran yang lain.Tambahnya lagi, penubuhan projek kraf itu bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada usahawan kraf malah turut memberi limpahan faedah kepada industri lain seperti pelancongan, inap desa, sektor perkhidmatan dan industri hiliran yang lain.
01 Mar 19
193
Garap Wanita Terengganu Beauty With Brain
Oleh: Dayang Syafiqah Sallehan Wahab KUALA TERENGGANU, 1 Mac - Kerajaan negeri mengambil inisiatif memartabatkan golongan wanita ke arah yang disifatkan sebagai ‘beauty with brain’ melalui penganjuran Seminar Hala Tuju Wanita Terengganu yang bakal berlangsung pada 5 Mac ini.Bertempat di Permai Hotel, Kuala Terengganu, orang ramai khususnya wanita Terengganu dijemput hadir bagi sama-sama menjayakan seminar berkenaan.Menurut Pegawai Khas Hal Ehwal Wanita Pejabat Menteri Besar Terengganu, Khairiah Mokti, seminar itu bertujuan menggarap pemikiran wanita di semua peringkat dan menggabung jalinkan semua pandangan yang diutarakan kepada satu agenda dan matlamat kerajaan negeri.Beliau yang bertindak selaku pengarah program menyatakan seminar yang bakal dianjurkan itu membantu wanita Terengganu untuk lebih memahami konsep kehidupan ke arah kesejahteraan selaras dengan agama yang diaplikasikan dalam kehidupan.“Kita ingin menyatukan pemikiran golongan wanita terutama yang berautoriti seperti doktor dan peguam untuk menghasilkan hala tuju terbaik bagi wanita Terengganu."Selain itu, ia secara tidak langsung dapat menyambung silaturahim antara pegawai-pegawai kerajaan dan orang ramai yang hadir dalam usaha merakyatkan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya ketika berucap dalam slot Suara Kita di radio Manis. FM, semalam.Khairiah turut memaklumkan, pengisian seminar akan dibentangkan tiga panel wanita daripada latar belakang berbeza terdiri daripada ahli akademik, ahli politik dan golongan professional."Pelbagai topik bakal dibincangkan antaranya ialah hal kekeluargaan, kerjaya menjurus kepada keperluan wanita selain bengkel- bengkel praktikal yang turut disajikan kepada orang ramai," katanya.
28 Feb 19
37
Tanaman Salak Dendang Perlu Dibangunkan Semula
Program Hari Bertemu Pelanggan peringkat daerah Dungun.Oleh: Adli MohamadDUNGUN, 29 Februari - Industri tanaman buah salak di Kampung Dendang, Bukit Besi perlu dipulihkan kembali kerana ianya mendatangkan pulangan yang lumayan kepada penduduk setempat.Penghulu Mukim Jerangau, Abdul Ghafar Abu Bakar berkata, tanaman buah yang juga dikenali sebagai salak dendang itu merupakan mata pencarian orang ramai.Jelasnya lagi, para petani sekitar kampung itu akan dikumpulkan agar usaha membangunkan kembali tanaman itu tercapai."Jika diusahakan semula, ianya boleh menjadi satu sumber pendapatan kepada penduduk Bukit Besi."Dan perkara ini kita nak fokuskan dan saya pun dah berbincang dengan timbalan pengawai pertanian dimana kita akan kumpulkan petani-petani salak ini untuk kita pulihkan balik," ujarnya. Pegawai penyelaras Dun Bukit Besi, Ghazali Sulaiman (kanan) melihat jualan buah kelapa.Beliau berkata demikian pada sidang media ketika program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Peringkat Daerah Dungun di Pusat Pembangunan Pertanian Jerangau, kelmarin.Hadir sama dalam majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian Daerah Dungun itu ialah Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli serta pegawai-pegawai dari pejabat pertanian daerah Dungun.Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang hadir berkata, rata-rata penduduk Bukit Besi turut berminat dalam bidang pertanian tersebut.Tambah beliau, hasrat orang ramai itu akan direalisasikan dengan adanya program Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri. Kehadiran penduduk sekitar."Dan sebagai penduduk kampung ini (pertanian) sahajalah hasil dan sumber pendapatan penduduk."Telah banyak tanah yang diusahakan oleh penduduk, dan kita sekarang dalam proses mengangkat RTB dan kita berharap agar perkara ini disegerakan oleh pihak tertentu, bagi memberi jaminan dan galakkan semangat untuk penduduk terlibat dengan pertanian," tambahnya.
28 Feb 19
321
ADUN Bukan Pegawai Kebajikan Masyarakat
KEMAMAN, 1 Mac - Wakil rakyat Terengganu perlu membina jati diri masing-masing sebagai ahli badan perundangan agar masyarakat tidak menyifatkan mereka hanya sebagai pegawai kebajikan masyarakat semata-mata.Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Haji Yahaya Ali berkata, wakil rakyat Terengganu khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu mempertingkatkan diri dengan menimba ilmu dan pengalaman sehingga sampai peringkat berupaya mengemukakan usul persendirian (private members bill) dalam persidangan DUN."Kita mengharapkan di masa akan datang akan ada wakil rakyat berupaya membawa private members bill di DUN sebagaimana di Parlimen pernah dibawa Usul Pindaan Rang Undang-undang 355 (RUU355) tidak lama dulu," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemantapan dan Retreat DUN Terengganu di Darul Iman Training Centre (DITC) Teluk Kalong di sini baru-baru ini.Turut hadir, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli-ahli Jawatankuasa Terpilih DUN, Ahli-ahli Panel Penyelidik DUN, Setiausaha DUN, Zulkifly Isa dan kakitangan DUN.Haji Yahaya berkata, ADUN memikul tugas yang besar untuk menjadikan DUN sebagai badan legislatif yang aktif, cemerlang dan gemilang lebih baik dari DUN yang lain di seluruh negara."Orang melihat ahli-ahli Yang Berhormat bukan sekadar meluluskan, meminda, memansuhkan sesuatu rang undang-undang (enakmen) tetapi orang melihat kehebatan mereka dalam penglibatan secara langsung dalam perbahasan di persidangan DUN," jelasnya.Katanya, ini bermakna wakil rakyat Terengganu tidak lagi dilihat sebagai wakil rakyat yang seringkali dihubungkaitkan dengan tugas sebagai pegawai kebajikan masyarakat semata-mata."Mereka tidak hanya sekadar mengambil tahu hal ehwal rakyat termasuk kemiskinan, musibah, perumahan dan pelbagai masalah rakyat yang tidak pernah selesai tetapi mereka perlu ingat bahawa mereka adalah ahli badan legislatif."Kita adalah salah satu cabang kerajaan, antara tiga cabang terpenting sesebuah kerajaan itu termasuk badan eksekutif, perundangan dan kehakiman," jelasnya lagi.Katanya, ADUN di Malaysia mungkin masih terkongkong dengan tugasan mereka sebagai wakil rakyat, tidak seperti di negara Barat, mereka melaksanakan tugas utama mereka dengan baik sebagai ahli badan perundangan yang banyak membuat kajian, penyelidikan, home work untuk menggubal undang-undang bagi kepentingan rakyat.Justeru katanya, ADUN Terengganu perlu fokus dan berfikir bagaimana menjadikan diri mereka sebagai anggota badan legislatif yang terbaik.
28 Feb 19
66
Tindakan Tegas Terhadap Individu Hina Agama
Oleh: Syed KamalKUALA TERENGGANU, 28 Febuari - Kerajaan seharusnya mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang semakin berani menyentuh sensitiviti agama seperti penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW yang berlaku baru-baru ini.Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim berkata, umat Islam perlu bersatu dan bergerak ke hadapan untuk menunjukkan bantahan supaya kerajaan memandang serius dan bertegas terhadap apa jua unsur penghinaan kepada agama Islam.“Umat Islam perlu mempamerkan bantahan dan pendirian agar kerajaan bertindak tegas terhadap perbuatan menghina agama Islam yang semakin menjadi-jadi akhir ini," ujarnya.Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Terengganu, hari ini.Sehubungan itu, Ahmad Amzad yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu menyeru seluruh umat Islam terutamanya rakyat Kuala Terengganu agar sama-sama menyertai Himpunan Aman Membantah Penghinaan kepada Rasulullah SAW di seluruh negara pada esok (1 Mac).Menurut beliau, bagi kawasan Kuala Terengganu, bantahan akan berlangsung di Masjid Al Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang), Kuala Terengganu, bermula selepas solat Jumaat.“Saya menyeru kepada seluruh umat Islam untuk menyahut seruan ini dan berkumpul di Masjid Al Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang), Kuala Terengganu," katanya.
28 Feb 19
22