Artikel "Semasa" Terkini
Mulakan Amalan Bersedekah RM1 - Mohd Nor
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Umat Islam disaran untuk berbuat apa sahaja kebaikan demi mendapatkan ketenangan fikiran dan emosi supaya beroleh keberkatan Allah di dunia mahupun di akhirat.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, perbuatan itu termasuklah melalui amalan bersedekah. Melalui amalan bersedekah, ianya akan melahirkan perasaan tenang dan bahagia.“Bahkan, dengan membelanjakan harta ke arah kebaikan demi membantu orang lain pasti akan mendorong peningkatan hormon-hormon kebahagiaan dalam otak kita. Kajian sains sendiri telah membuktikan kebenaran ini,” katanya.Justeru, Mohd Nor menyarankan penjawat awam di Negeri Terengganu supaya mengamalkan sikap suka bersedekah dengan memulakan amalan menabung RM1 sehari, kemudiannya ditingkatkan mengikut nilai kemampuan."Apabila cukup sebulan atau mencukupi sasaran, agihkan duit tabungan itu kepada anak-anak yatim, orang miskin, tabung masjid atau mana-mana individu yang memerlukan.“Dengan sikap itu, kita dapat mendekatkan diri kepada Allah kerana Dia sangat menyayangi golongan hambaNya yang banyak memberi keranaNya, bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk,” katanya.Beliau berkata demikian pada Program Tazkirah Bulanan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, di sini, hari ini.Kira-kira 300 kakitangan WDI hadir pada program tersebut yang dimulai dengan solat sunat Dhuha pada jam 8.30 pagi.
20 Mar 19
99
Kuala Terengganu Kawasan Paling Gembira Di Malaysia
Pemandangan dari atas bandaraya Kuala Terengganu. Foto ihsan - GoogleKUALA LUMPUR, 21 Mac - Kuala Terengganu dikenal pasti antara 10 kawasan paling gembira di Malaysia, melebihi 90 peratus menurut Kajian Indeks Kebahagiaan Kebangsaan 2018.Antara lain termasuklah pihak berkuasa tempatan di kawasan Petaling Jaya, Manjung, Batu Gajah, Bentong, Jasin, Jeli, Segamat, Padang Terap dan Bandar Baharu.Perkara tersebut diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berdasarkan Laporan Kebahagiaan Dunia 2019 (WHR 2019).Katanya, data itu berdasarkan program Rangkaian Penunjuk Luar Bandar Malaysia (MURNInets), dan berdasarkan beberapa faktor."Ini termasuk persekitaran yang bersih dan komunikasi yang berkesan untuk menyelesaikan isu keselamatan dan gangguan."Faktor lain ialah kerjasama erat antara jiran, masyarakat dan pengurusan sampah dan sisa pepejal yang cekap," katanya.Dalam perkembangan sama, untuk rekod, Malaysia adalah negara paling gembira ke-80 di dunia. Walau bagaimanapun, ini merupakan kejatuhan besar dari tempat ke-35 pada tahun sebelumnya.Kedudukan berdasarkan tinjauan yang dijalankan pada 2018, juga menyaksikan Thailand dan Filipina mengatasi Malaysia.Terdahulu, dalam WHR 2018, Malaysia adalah negara ranking kedua tertinggi di Asia Tenggara, selepas Singapura. Singapura, yang ke-34 di WHR 2019, mengekalkan pengebilan teratasnya di Asia Tenggara, sementara Thailand dan Filipina meningkat masing-masing ke 52 dan 69.Sementara itu, Myanmar adalah negara paling rendah di Asia Tenggara, yang berada di tangga ke-131 daripada 156 negara dalam laporan itu, penerbitan tahunan Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
20 Mar 19
1580
Bulan Penghayatan Ibadah Solat Inisiatif Terengganu Bina Kesatuan Ummah
Mohd Nor menyampaikan penghargaan kepada panel forum sempena BPIS.HULU TERENGGANU, 20 Mac - Kerajaan Terengganu meletakkan harapan agar pelaksanaan Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) dapat melahirkan masyarakat yang bersatu padu hasil mengambil berat akan tuntutan solat, terutama memakmurkan masjid dengan solat jemaah.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan mengambil inisiatif melaksanakan program itu sempena bulan Rejab kerana di bulan berkenaan, berlakunya satu peristiwa besar iaitu Israk Mikraj."Dalam peristiwa ini, satu perkara penting telah berlaku iaitu tuntutan kefardhuan solat."Kita harap masyarakat akan merasai pentingnya ibadah solat, maka secara langsung mereka akan meninggalkan seketika pasar-pasar dan kerja mereka apabila tibanya waktu solat kerana meletakkan keutamaan solat melebihi kerja dan dunia," katanya kepada jemaah yang hadir.Solat tuntutan Allah SWT kepada individu dan kerajaan ambil tanggungjawab menghidupkan tuntutan itu.Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar menyempurnakan perasmian BPIS Peringkat Negeri Terengganu di Masjid Sultan Mahmud, di sini, semalam.Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Md. Azahar serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.Turut hadir, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.Dalam ucapannya, Mohd Nor sempat menasihatkan rakyat supaya meletakkan matlamat dan hala tuju yang benar dalam kehidupan mereka iaitu mencari redha Allah SWT.Forum Israk Mikraj serikan majlis."Semoga program-program seumpama ini dapat melahirkan insan-insan yang dekat dengan Allah SWT."Ibadah solat adalah tuntutan kepada setiap individu dan kerajaan bertanggungjawab menghidupkannya," katanya.Beliau juga berterima kasih kepada pihak yang terlibat menjayakan program tersebut."Semoga kita dikurniakan hati yang terikat dengan masjid. Ia mengikat kita untuk berjemaah dan mendekati majlis ilmu," katanya.Majlis tersebut turut diserikan dengan forum perdana yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Basri Ibrahim dan pendakwah terkemuka, Syed Norhisyam Tuan Padang.Ia turut dihadiri lebih 1,000 jemaah terdiri daripada pegawai- pegawai kerajaan negeri, penduduk setempat dan pelajar.BPIS akan dilaksanakan di seluruh Terengganu sepanjang bulan ini bagi menyemarakkan kefahaman dan kecintaan kepada ibadah yang menjadi hubungan utama antara hamba dan Tuhannya.
20 Mar 19
285
Belia 21 Tahun Diminta Daftar Sebagai Pengundi
Oleh: Nooreni Abu BakarDUNGUN, 21 Mac- Semua belia yang berusia 21 tahun ke atas dan belum mendaftar sebagai pengundi dinasihatkan agar segera berbuat demikian bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai warganegara pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, mereka diingatkan supaya jangan berlengah dan bersegera mendaftar sebagai pemilih.“Sekarang ini, kesedaran orang Melayu untuk berbuat demikian jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan bangsa lain."Jangan ambil mudah, ingatkan kepada anak-anak pentingnya mendaftar sebagai pengundi," ujarnya kepada pemberita selepas Program Ziarah ke Kampung Gong Pasir, semalam.Sementara itu, menyentuh tentang program ziarah itu beliau berkata, rutin tersebut merupakan antara aktiviti yang sering diadakan untuk menyelami kehidupan penduduk.Dalam program ziarah itu yang turut diiringi ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung tersebut, Alias dibawa ke rumah seorang ibu tunggal, Zalikha Salleh, 51 yang menjaga adiknya Ahmad Nizam, 36, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).Menurut Alias, Zalikha yang mempunyai empat anak dimana tiga daripadanya masih belajar, hanya mampu menyara keluarga dengan mengasuh dua orang kanak-kanak dengan pendapatan tidak seberapa. “Ahmad Nizam yang dijaga sejak sekian lama tidak tahu untuk menguruskan diri namun bernasib baik kerana mendapat sumbangan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM).“Justeru, bagi meringankan sedikit bebanan ibu tunggal itu, Zalikha telah dinasihatkan untuk mengisi borang e-kasih dan diminta berhubung mengenai perkara itu dengan pejabat Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN supaya kehidupan dia sekeluarga yang serba kekurangan dapat dibantu,” ujarnya Alias.
20 Mar 19
39
Fenomena Bulan Penuh Perigee Dijangka Awal Pagi Esok
Keadaan bulan pada 7.15 petang waktu Maghrib semalam berhampiran jambatan angkat (draw bridge).KUALA LUMPUR, 20 Mac - Satu fenomena astronomi dijangka berlaku pada jam 3.48 pagi esok di mana bulan akan berada pada kedudukan paling hampir dengan bumi (perigee) kali ketiga bagi tahun ini.Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dalam satu kenyataannya berkata, ketika fenomena itu berlaku, jarak bulan dengan bumi adalah 359,377 kilometer.Katanya, bulan akan mengalami fasa bulan penuh pada jam 9.43 pagi esok."Kejadian ini dikenali sebagai Bulan Penuh Perigee bagi ahli astronomi dan istilah supermoon di kalangan masyarakat umum. Supermoon berlaku apabila bulan berada di fasa purnama dan berada pada jarak paling hampir dengan bumi dalam orbitnya.Keadaan bulan dan pemandangan Masjid Kristal pada 6.55 pagi waktu Subuh hari ini."Fenomena ini berlaku kerana bentuk orbit bulan mengelilingi bumi adalah sedikit bujur yang menyebabkan jarak antara bumi dengan bulan sentiasa berubah-ubah," katanya, hari ini.Menurutnya, keadaan bulan di kedudukan perigee ketika fasa purnama ini menyebabkan bulan kelihatan sehingga tujuh peratus lebih besar dan 15 peratus lebih cerah berbanding fasa bulan penuh lain secara purata."Saiz fizikal sebenar bulan tidak berubah sama sekali. Bagaimanapun, fenomena supermoon hanya dapat dilihat di negara-negara yang mengalami waktu malam tetapi tidak di Malaysia kerana ia berlaku pada waktu siang."Orang ramai boleh melihat fenomena Bulan Penuh Perigee pada malam 21 Mac ini," katanya.SUMBER: SINAR HARIAN
20 Mar 19
591
Keputusan Pusat Teruskan ECRL Selaras Saranan MB Terengganu
Dr. Ahmad Samsuri MokhtarKUALA TERENGGANU, 20 Mac - Langkah Kerajaan Pusat untuk meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada skala yang sesuai dengan mengadakan rundingan semula dengan China adalah selaras dengan saranan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini.Terdahulu, Dr. Ahmad Samsuri dalam satu kenyataannya (https://www.teganukita.net/2018/08/projek-ecrl-perlu-diteruskan-mb.html?m=1) pada sidang media di Majlis Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dataran Pemuda di Kampung Rhu Muda pada 22 Ogos 2018 pernah menyuarakan hasrat kerajaan negeri yang mahukan ECRL diteruskan.Beliau turut mencadangkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya meneruskan projek dengan membuat proses baharu iaitu membuka tender kepada syarikat tempatan untuk mengadakan kerjasama dengan negara luar pada kos yang munasabah.Katanya lagi, ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang amat berharap projek yang memberi manfaat kepada rakyat seperti ECRL dapat diteruskan."Walaupun projek ini terhenti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, kita berharap ia diteruskan dan menjadi pendirian PAS untuk meneruskan mana-mana projek yang dapat memberi manfaat kepada rakyat," ujarnya.Dr. Ahmad Samsuri juga berkata, amat merugikan sekiranya ECRL dihentikan terus, lebih-lebih lagi proses awal pelaksanaan projek itu sudah berjalan.“Proses awal membabitkan pembinaan laluan, stesen, terowong dan jambatan sudah pun dilakukan termasuk mengambil alih tanah.“Malah, ada terowong sudah digali sejauh 50 meter dan pada hemat saya, langkah menghentikan pelaksanaan projek ini satu kerugian," katanya lagi.Dalam pada itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan keputusan tersebut ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) mengenai status terkini projek ECRL dan sama ada kerajaan akan meneruskan projek berkenaan di persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung.Beliau turut memberi bayangan bahawa proses rundingan itu akan mengambil sedikit masa lagi dengan perlantikan Tun Daim Zainuddin sebagai Utusan Khas Perdana Menteri bagi mengetuai proses rundingan semula ECRL dengan China supaya penyelesaian 'win-win' dapat diperoleh.Katanya, hasil rundingan ini akan dimaklumkan apabila dimuktamadkan nanti.
20 Mar 19
45
Penantian Rumah Terbengkalai Padang Setengge Terengganu Bakal Berakhir - MB
HULU TERENGGANU, 20 Mac - Selepas penantian hampir 10 tahun, akhirnya seramai 234 pembeli yang teraniaya dan terlibat dalam isu rumah terbengkalai di Perumahan Mampu Milik Padang Setengge Fasa 3 dan 4 kini mampu mengukir senyuman apabila projek itu akan disiapkan pada awal tahun depan.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya komited untuk menyiapkan projek berkenaan bagi memastikan pembeli mendapat rumah yang siap sepenuhnya.Katanya lagi, projek ini asalnya adalah projek penswastaan negeri melalui Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu dan pemaju terdahulu tidak dapat menyiapkannya sehingga terbengkalai sejak sekian lama."Proses penyelesaiannya dilakukan mengikut undang-undang selepas kes syarikat kontrator terdahulu selesai di mahkamah pada Oktober lepas."Selepas kes diselesaikan, pihak kami berbincang dengan melantik kontraktor baharu yang akan memulakan kerja-kerja awal pada April dan dijangkan mengambil masa lapan hingga 12 bulan untuk disiapkan," ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ke tapak projek perumahan Padang Setengge, sempena program MB Mari Kampung Kite di Kuala Berang, di sini hari ini.Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato' A. Rahman Yahya, Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhyiddin Abd Rashid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh.Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said @Mat Ali.Menurut Ahmad Samsuri, keputusan baharu ini telah dibuat dan beliau akan memastikan ianya tidak bercanggah dengan undang-undang yang ada termasuk tidak membebankan pembeli dengan kos tambahan."Anggaran kos pembaikian 234 buah rumah terbengkalai ini antara RM8.5 hingga RM10 juta bergantung kepada keadaan rumah dan keperluan. Bagi memastikan projek ini berjalan mengikut prosedur, kita akan lantik konsultan untuk memantau perjalanannya supaya dapat disiapkan tanpa masalah."Tidak ada kos tambahan yang dikenakan kepada pembeli dan semuanya akan ditanggung oleh kerajaan negeri melalui pihak Lembaga Tabung Amanah Warisan," katanya lagi.Difahamkan, projek di kawasan perumahan Padang Setengge bagi fasa tiga dan empat itu dilaksanakan secara berperingkat bermula sekitar 2011 melibatkan 234 unit rumah dan berdasarkan jadual, pemaju sepatutnya menyerahkan kunci kepada pembeli pada Ogos 2014 namun gagal dilaksanakan.Sebanyak lebih 100 unit rumah di Fasa 4 selepas itu ditinggalkan terbengkalai oleh sub-kontraktor dalam keadaan 75 hingga 80 peratus siap kerana kegagalan SePurnama sebagai kontraktor utama projek tersebut dalam melunaskan hutang kepada sub-kontraktor yang telah melaburkan sebahagian besar modal untuk menyiapkan projek perumahan tersebut.Akibat dari itu, berlakulah saman-menyaman di antara sub-kontraktor dan kontraktor utama sehingga mahkamah memutuskan kontrak kepada SePurnama batal dan syarikat tersebut diisytihar muflis oleh insolvensi dan yang menjadi mangsa adalah pembeli yang terpaksa menanggung beban.
20 Mar 19
1063
Kerajaan Negeri Sedia Pertimbang Hasrat Rakyat - MB Terengganu
HULU TERENGGANU, 20 Mac - Kerajaan negeri sedia membuat pertimbangan tentang keperluan rakyat melalui program turun padang dalam siri 'Menteri Besar Mari Kampung Kite' yang kini sedang berjalan di seluruh daerah di Terengganu.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan membuat pertimbangan sebaiknya tentang hasrat rakyat yang disuarakan sepanjang perjalanan majlis itu."Pihak kami sedia melihat, buat pertimbangan tentang mana-mana hasrat yang disuarakan oleh rakyat, mana yang boleh diawalkan atau dilewatkan mengikut kesuaian."Dalam siri turun padang dan berjumpa rakyat, segala respon rakyat akan diambil catatannya dan akan dirangka perancangan untuk dilaksanakan jika munasabah dan boleh dibuat," ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program MB Mari Kampung Kite di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, Kuala Berang, di sini hari ini.Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato' A. Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Md Azhar, Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhyiddin Abd Rashid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh, ADUN Ajil, Ustaz Maliaman Kassim dan Pegawai Daerah, Johan Ibrahim.Hadir sama, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said @Mat Ali, ketua-ketua jabatan dan pengerusi dan ahli-ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) daerah Hulu Terengganu.Menurutnya lagi, pembangunan di Hulu Terengganu tidak pernah ditinggalkan bahkan daerah itu merupakan pelengkap kepada negeri Terengganu.Program tersebut adalah siri yang keempat yang diadakan selepas diadakan di daerah Besut, Setiu, Marang, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu yang menjadi medium pemimpin negeri menerima kritikan dan menerangkan pelaksanaan pembangunan oleh kerajaan kepada rakyat.
20 Mar 19
50
Manifesto Terlaksana, RM15 Juta Bantu Usahawan
Oleh: Aslam WiraMARANG, 20 Mac - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu memperuntukkan kira-kira RM15 juta untuk disalurkan kepada usahawan khususnya Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di seluruh Terengganu bagi melaksanakan pelbagai perniagaan.Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman berkata, peruntukan itu akan diagihkan kepada individu yang benar-benar layak dan berpotensi tanpa mengira fahaman politik.Katanya, melalui manifesto dalam PRU14 yang lepas, PAS ada berjanji sekiranya diberi amanah oleh rakyat, pihaknya mahu mewujudkan satu tabung keusahawanan yang berjumlah RM10 juta, bagaimanapun jumlah itu dinaikkan kepada RM15 juta dalam Belanjawan 2019.“Peruntukan dan inisiatif yang diberikan oleh kerajaan negeri bukan sahaja ingin melahirkan usahawan baru, tetapi juga mahu lahirkan usahawan yang berjaya dan bertakwa kepada Allah,” katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Mini Karnival Keusahawanan di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini kelmarin.Dalam perkembangan sama, beliau telah mengagihkan bantuan pinjaman modal peringkat Parlimen Marang yang diberikan kepada 12 orang usahawan melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) bernilai di antara RM 7,000 sehingga RM 10,000.Antara agensi yang terlibat adalah YPU, YPK, Peladang, Perikanan, Pertanian, YaPEIM, Veterinar, FAMA dan Pos Malaysia yang memberi penjelasan berkaitan peluang dan pembiyaan atau pinjaman bagi membantu usahawan yang ingin memulakan perniagaan mereka.
20 Mar 19
117
Terengganu Gerakkan Dakwah Tutup Aurat Secara Sempurna
KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Kerajaan negeri mahu menggerakkan usaha dakwah secara berterusan dengan memberi tumpuan mengajak individu beragama Islam khususnya golongan wanita menutup aurat dengan sempurna.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, kempen menutup aurat dengan sempurna telah dimulakan dengan penganjuran program Terengganu Hijab Day pada awal Februari lalu."Kempen ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan muda mengenai kewajipan menutup aurat mengikut syariat Islam.“Kita juga adakan dakwah jalanan (street dakwah) dengan mengedar risalah-risalah tentang aurat, pakaian yang digariskan oleh Islam dan lain-lain lagi sebagai usaha menyampaikan tarbiyah kepada kumpulan sasaran.“Sebenarnya selain kesedaran diri sendiri, peranan ibu bapa, guru dan masyarakat sangat penting untuk mendidik anak-anak supaya menutup aurat dengan sempurna,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Jelajah Untukmu Wanita Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Masjid Al-Hijrah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, hari ini.Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed, Pegawai Khas Hal Ehwal Wanita Pejabat Menteri Besar, Khairiah Mokti, Pendakwah Bebas, Datuk Dr. Norhafizah Musa dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) PPR Hiliran, Zamri Awang.Katanya, kempen-kempen menutup aurat yang diadakan lebih kepada proses mendidik masyarakat selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menggalakkan rakyat agar sentiasa mematuhi ajaran agama.Sementara itu, Zuraida berkata, kerajaan negeri juga tidak menolak hiburan, tetapi komited memastikan bentuk hiburan di negeri ini bertepatan dengan syariat Islam bagi mencegah berlakunya perkara-perkara yang boleh mencemari nilai-nilai Islam.“Kerja dakwah adalah berterusan, dan kita akan perbanyakkan lagi program-program berbentuk ilmiah di samping tidak menyekat program yang berbentuk hiburan tetapi perlulah mematuhi syarat yang ditetapkan,” ujarnya.
19 Mar 19
768