lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Empty Image
Sidang DUN : Terengganu Lulus 4 Projek RMM Bernilai RM10 Juta
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.KUALA TERENGGANU,  2 April - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan projek Rumah Mampu Milik (RMM) sebanyak RM10 juta untuk empat kawasan di negeri Terengganu.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setiap kawasan masing-masing mendapat peruntukan sebanyak RM2.5 juta. Katanya,  kawasan tersebut ialah Rancangan Perumahan Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal,  Kuala Nerus,  Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin,  Hulu Terengganu,  (RMM) Tempinis,  Besut dan RMM Gong Chengal,  Kemaman. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura,  Haji Wan Hapandi Wan Nik dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu  Ke-14, di sini hari ini. Haji Wan Apandi ingin tahu status pembinaan RMM yang telah diputuskan pada sidang DUN lepas di empat kawasan dan jumlah peruntukan projek tersebut. Dr Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang seterusnya berkata,  sehingga Mac tahun ini,  dua tender projek telah pun ditutup iaitu projek RPMM Tok Jembal,  Kuala Nerus dan RMM Tajin,  Hulu Terengganu. "Manakala RMM Tempinis,  Besut berada dalam penyelaras pra-pelaksanaan dan RMM Gong Chengal (II),  Kemaman akan diteliti pelaksanaannya dari semasa ke semasa," ujarnya.
02 Apr 19
43
Empty Image
Sidang DUN : Kos Pembangunan Tenaga Ke Lembah Silika RM311.3 Juta
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.KUALA TERENGGANU, 2 April - Kos pembangunan tenaga ke Lembah Silika Terengganu (TSV), Jambu Bongkok Marang diumumkan berjumlah RM311.3 juta.Ini termasuk, pengambilan balik tanah (30 meter x 32 kilometer) dengan nilai RM51.3 juta dan kos projek (termasuk kos tanah sehingga 2019) sebanyak RM260 juta.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata,  PETRONAS dengan kerjasama Terengganu Inc Sdn. Bhd. dalam peringkat penyediaan dokumen untuk dihantar kepada Suruhanjaya Tenaga  bagi membangunkan pembangunan tenaga ke Lembah Silika Terengganu (TSV), Jambu Bongkok, Marang.Dr Ahmad Samsuri berkata, antara dokumen penting yang diperlukan adalah surat niat (LOI)  daripada pihak pelabur yang akan membuka kilang dan beroperasi di lembah tersebut.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Batu Buruk,  Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di DUN Terengganu, di sini hari ini.Muhammad Khalil dalam soalannya bertanyakan tentang hasil kajian dan penilaian teknikal yang telah diperoleh kerajaan berkenaan pembangunan tenaga ke TSV.Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata,  antara maklumat teknikal yang diperoleh termasuk jarak laluan paip gas dari Paka,  Dungun iaitu sejauh 32 km.Sementara keperluan tenaga (elektrik) pula katanya,  berjumlah sebanyak 150 Mega Watt,  keperluan gas (kilang) sebanyak 60 juta kaki padu standard setiap hari (million standard cubic feet per day) serta diameter paip gas sepanjang 36" x 28 km dan 10" x 4 km.
02 Apr 19
49
Empty Image
Sidang DUN : Terengganu Sebulat Suara Kecam Tragedi Gaza Dan Bukit Golan
KUALA TERENGGANU, 2 April - Ahli sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini sebulat suara mengutuk sekeras-kerasnya dua tragedi besar yang telah menimpa umat Islam di Timur Tengah saat ini.Kedua-dua tragedi tersebut melibatkan serangan negara Israel ke atas saudara Islam di Gaza dan juga tindakan melampaui batas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang melanggar undang-undang antarabangsa dengan menandatangani pengisytiharan Bukit Golan yang dijajah dari tangan Syria sebagai milik negara haram Zionis.Ketetapan itu diperoleh selepas usul tergempar mengutuk serangan pengganas itu dicadangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md. Noor yang menegaskan, serangan tersebut tiada tujuan lain melainkan untuk menanam kebencian dan mendorong keganasan di serata dunia.Meskipun berbeza pandangan dan fahaman politik, namun penyokong kerajaan dan wakil pembangkang senada mengutuk keras kejadian berkenaan menerusi usul tergempar itu.Zuraida Md. Noor berkata, kedua-dua peristiwa itu sangat mencalar maruah umat Islam.“Langkah presiden Trump sama seperti sebelum ini dengan mengiktiraf Baitul Maqdis, tempat suci ketiga orang Islam sebagai ibu negara haram Israel pada Disember 2017.“Sebagaimana status Baitul Maqdis yang mana hakikatnya dijajah oleh Israel, begitu juga dengan Bukit Golan. Ibarat melakukan jenayah di siang hari,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini pagi tadi.Katanya, tindakan keji itu jelas melanggar dua resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu Resolusi Majlis Keselamatan 497 dan Resolusi 242.  “Resolusi Majlis Keselamatan 497 jelas menyatakan bahawa keputusan Israel untuk melaksanakan undang-undang bidang kuasa dan pentadbiran di bawah wilayah Bukit Golan milik Syria yang diduduki adalah batal dan tidak sah serta tidak mempunyai kesan perundangan antarabangsa.“Manakala Resolusi Majlis Keselamatan 242 memberi panduan jelas bahawa wilayah yang dirampas melalui peperangan adalah tidak sah untuk dimasukkan sebagai wilayah milik negara yang menjajah berkenaan,” ujarnya.Zuraida berkata, alasan kononnya bakal menjadi sasaran untuk melancarkan serangan AS ke atas Israel, amat hipokrit.“Mengapa mereka tergamak berdiam diri saat Zionis Israel melakukan jenayah kemanusiaan dengan mengebom orang awam Palestin yang tidak bersalah yang dikepung di Gaza.“Sekali lagi saya menyeru agar kita seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu menunjukkan solidariti bersama-sama saudara kita di Gaza dan Bukit Golan dengan mengecam keras pencabulan hak asasi manusia dan pelanggaran undang-undang antarabangsa,” ujarnya.
02 Apr 19
41
Empty Image
Sidang DUN : Pembangkang Terengganu Sahut Agenda Penyatuan Ummah
KUALA TERENGGANU, 2 April - Agenda penyatuan ummah untuk berjuang membela nasib orang Melayu dan Islam disahut baik oleh pihak pembangkang Kerajaan Terengganu.Wakil BN-Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata, konsep penyatuan ummah diterima baik bukan sahaja di peringkat pucuk pimpinan malahan peringkat akar umbi.“Bila orang kata konsep penyatuan ummah ini dijadikan suatu gelombang dalam masyarakat kita, orang yang berbual di kedai kopi kata pemimpin atasan tidak ada masalah, kita di kampung ni rasa berat, tetapi tidak sebenarnya, di kampung pun boleh menerima penyatuan ummah.“Di kawasan saya, pemuda UMNO buat lawatan kasih rumah ke rumah bersama pemuda PAS untuk jalankan program bersama. Ini menandakan konsep penyatuan ummah ini perlu kita jadikan satu asas untuk menyatu padukan masyarakat.“Orang atas tiada masalah, orang kampung pun boleh terima, lupakan masa yang lalu. Kita bina bersama untuk masa hadapan yang lebih bersatu,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
02 Apr 19
39
Empty Image
Pameran Kelingkan, Rahsia Di Sebalik Tudung Emas
KUALA TERENGGANU, 2 April - Hampir 200 seni sulaman kelingkan yang bernilai antara RM500 hingga RM32,000 dipamerkan pada Pameran Kelingkan, Rahsia Di Sebalik Tudung Emas anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu.Pengarahnya, Che Muhammad Azmi Ngah berkata, pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan program itu kerana mahu memperkenalkan kepada masyarakat setempat, selain ingin membantu mereka yang meminati seni sulaman bagi menceburi bidang itu.Katanya, beliau percaya, pastinya ramai yang tidak mengenali keunikan seni sulaman kelingkan yang hampir 300 tahun sudah bertapak di beberapa negeri termasuk Terengganu.“Malangnya di Terengganu, seni itu sudah pupus, tiada generasi yang mahu menyambungnya kecuali ada sebilangan kecil pengusaha di Kelantan, Selangor danSarawak yang masih kekal.“Menyedari hakikat itu, pihak kami terpanggil menganjur pameran itu dengan mengadakan kerjasama dengan pengumpul koleksi kelingkan, John Ang dari Amerika,” katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kelingkan, di Muzium Negeri, Losong, di sini hari ini. Majlis itu dirasmikan isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Tuan Abd Rahman.Tuan Faizah berkata, hanya mereka yang mengetahui keindahan dan keunikan sulaman kelingkan sanggup menempah material berkenaan.“Ini kerana harga sehelai selendang yang telah dijahit sulaman kelingkan ialah antara RM500 sehingga RM5,000 bergantung pada ketebalan motif,” katanya.Sementara itu, John Ang berkata, terdapat beberapa motif kelingkan iaitu sembilu kasih, teratai, cempaka, bunga cengkih, cempaka hitam, bunga semangat, bunga matahari, semalu, bunga ros bersegi dan banyak lagi.Katanya, corak yang ingin disulam pada kain akan dilukis di atas kertas sebelum diletakkan di bawah kain bagi tujuan menyulam dan teknik jahitan sulaman itu dikenali sebagai tikam tembus. ''Untuk siapkan sehelai selendang mengambil masa sebulan ke atas, bergantung kepada motif. ''Sulaman akan dijahit di atas kain chiffon, kain kapas atau voile kerana kain jenis ini lembut. Pelanggan akan menempah selendang panjang hingga ke paras pinggang, selendang pendek yang menutupi bahu atau tudung berbentuk empat segi,'' katanya.
02 Apr 19
728
Empty Image
Sidang DUN : Kos Baik Pulih Stadium Sultan Mizan Sama Nilai Bina Stadium Baru
KUALA TERENGGANU, 2 April - Kerajaan negeri terpaksa menangguhkan pelaksanaan fasa utama membaik pulih Stadium Sultan Mizan, Gong Badak terutama melibatkan kerosakan bumbung utamanya yang runtuh berikutan kos yang terlampau tinggi.Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Hishamuddin Abd Karim berkata, kerja membaik pulih stadium pelbagai guna yang boleh menampung 50,000 penonton itu terpaksa dikaji semula berikutan kos yang  terpaksa ditanggung amat besar, iaitu hampir RM100 juta dan peruntukan berkenaan bersamaan dengan pembinaan satu stadium baharu."Berdasarkan siasatan yang kita buat dengan dua kes istimewa ini termasuk isu bas amfibia, sememangnya kita terkejut dengan penemuan hasilnya.“Bila dengar tentang anggaran kos dari Jabatan Kerja Raya (JKR) yang memaklumkan bahawa dengan kos baik pulih RM100 juta yang mana boleh membina sebuah stadium baru, jadi kita telah mengesyorkan kepada pihak kerajaan negeri supaya JKR memperhalusi semua sekali kos baik pulih dan selepas itu buat perbandingan dengan membina sebuah stadium baharu,’’ ujarnya.Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Meyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Terengganu Ke-14, di Wisma Darul Iman, hari ini.Jelasnya, selepas mendapat laporan daripada JKR, pihak kerajaan negeri akan membuat keputusan terbaik mengenai stadium tersebut, namun dalam masa yang sama ia masih boleh digunakan setelah baik pulih padang bola siap pada September.‘’Namun begitu, fasiliti lain seperti tempat bermain squash, boling dan bilik VIP belum dibaik pulih kerana ia memerlukan kos yang tinggi untuk dibaiki.“Jadi kita ambil keputusan untuk hentikan baik pulih semua sekali termasuk bumbung RM30 juta dengan menamatkan kontraktor yang terlibat. Sehingga hari ini, ia masih dibekukan sementara menunggu hasrat seterusnya dari pihak kerajaan,’’ katanya lagi.Untuk rekod, stadium terbesar di Pantai Timur yang dirancang sebagai mercu tanda pembangunan sukan itu dibina dengan kos dikatakan mencecah hampir RM300 juta dan dirasmikan pada Mei 2008.Ia menjadi lokasi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun itu yang menyaksikan Terengganu selaku tuan rumah bangkit sebagai kuasa baharu sukan negara sehingga kini mela­lui hasil program pemba­ngunan atletnya.Stadium yang pertama di Asia menggunakan rekaan bumbung tanpa sokongan tiang itu menyembah bumi pada 2 Jun 2009, selepas tidak sampai setahun digunakan.
02 Apr 19
690
Empty Image
Lahir 'Ulama Rabbani' Di Kalangan Umat
KUALA TERENGGANU, 2 April -Ulama Syria, Sheikh Mustofa Dib Al Bugha berharap agar ada di kalangan umat Islam mampu menjadi 'ulama rabbani' yang mengkaji al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain.Menurutnya, sepatutnya setiap individu muslim menjadi orang alim, namun begitu Allah SWT sudah menetapkan bahawa ada yang mampu dan ada pula sebaliknya."Maka perlu ada pengkhususan, ada yang mendalami hukum (syariah), ada yang pakar dalam hadis (Nabi SAW), ilmu perubatan dan sebagainya,"Apa sahaja ilmu yang diperlukan dalam kehidupan kita ini," ujarnya.Beliau yang juga seorang ulama terkemuka berkata demikian dalam program Wacana Perdana di Dewan Auditorium, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.Beliau mendedahkan, hadis Nabi SAW menyatakan terdapat lebih daripada 70 cabang iman."Cabang iman yang paling tinggi adalah mengucap dua kalimah syahadah manakala yang paling akhir sekali membuang kotoran daripada laluan manusia."Ia menunjukkan bahawa ilmu syarak dan hadis itu luas bahkan umat Islam mempelajari serta mengajarnya adalah satu ibadah,"  jelasnya.Oleh itu, kata beliau, seorang ulama rabbani wajib memahami isi kandungan al-Quran, namun tidak semestinya menghafal semua."Sepatutnya  kita cuba  memahami apakah (isi yang) hendak  disampaikan kemudian amalkan sebelum disampaikan  kepada orang lain.“Janganlah kita tidak mengotakan apa yang kita  kata seterusnya ada ramai manusia  jadi ketagih dengan  alat perhubungan moden ini (contohnya) telefon. Ini sedikit sebanyak mengganggu proses pengajian. Kita yang nak jadi ulama rabbani ini kena ambil ingatan,” katanya.Justeru itu, tegasnya, mereka yang menjadi ulama rabbani hendaklah belajar cara penyampaian dengan berhikmah tanpa mencederakan perasaan sesiapa."Dalam bab dunia, biar orang cari kita, bukan kita cari orang. Kita kena berdakwah dengan cara terbaik dan bijaksana dan menjadi 'al-Quran yang bergerak',” tambahnya.
01 Apr 19
663
Empty Image
Sidang DUN : Sasaran 5 Juta Pelancong Masih Relevan
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.KUALA TERENGGANU,  2 April - Kerajaan negeri menyifatkan sasaran untuk mencapai 5 juta pelancong ke Terengganu menjelang tahun 2020, masih relevan.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu berdasarkan pencapaian statistik kedatangan pelancong sebanyak 4.79 juta tahun lalu."Pencapaian statistik kedatangan pelancong sebanyak 4.79 juta pada tahun 2018 menunjukkan sasaran untuk mencapai 5 juta pada tahun 2020 adalah relevan," ujarnya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di DUN Terengganu, di sini hari ini.Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menjalankan aktiviti promosi seperti pengiklanan di enam lapangan terbang di semenanjung Malaysia, kerjasama bersama radio,  menggalakkan penggambaran perfileman, kerjasama bersama perantau dan melantik Mat Dan sebagai ikon pelancongan negeri Terengganu.Selain itu katanya, kerajaan negeri bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)  dalam program usaha sama empat negeri (Terengganu,  Kelantan,  Pahang dan Johor)  iaitu East Coast Tourism Council (ECTC) dalam membangunkan dan mempakejkan produk-produk pelancongan yang terdapat di negeri Terengganu.
01 Apr 19
90
Empty Image
Sidang DUN : Projek Pertanian Rimbunan Kaseh Rantau Abang Terengganu Dimajukan Kembali
Dr. Azman Ibrahim.KUALA TERENGGANU, 2 April - Kerajaan negeri akan memajukan kembali aktiviti ekonomi berasaskan pertanian di Tapak Rimbunan Kaseh, Rantau Abang dalam masa terdekat selepas dihentikan pada April 2017.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr. Azman Ibrahim berkata, Kerajaan Terengganu bersama IRIS Corporation Berhad (IRIS) selaku badan pelaksana asal kini dalam proses memulihkan kembali aset yang rosak.Jelasnya, pihak kerajaan juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi merancang strategi baharu yang lebih berkesan untuk membangunkan tapak itu di samping menyelesaikan segala masalah yang berbangkit.“Kerosakan yang berlaku pada aset akan diperbaiki menggunakan wang jaminan projek daripada IRIS yang ada pada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) tanpa menggunakan dana kerajaan negeri dan insya-Allah proses pembaikan akan siap menjelang bulan Jun akan datang,”.“Kita memandang ke hadapan untuk mengambil alih pengurusan program rimbunan kaseh dan satu jawatankuasa khas rimbunan kaseh telah ditubuhkan oleh kerajaan negeri pada 5 Disember 2018 ,” jelasnya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Terengganu Keempat Belas di Wisma Darul Iman, di sini pagi tadi. Sidang DUN Terengganu.Dr. Azman turut berkata, pembaharuan program itu akan meliputi dua segmen utama iaitu isu kebajikan peserta dan pelan pembangunan program.Ujarnya, isu pemilikan rumah peserta dan strategi untuk memajukan kembali tapak berkenaan akan diselesaikan secepat mungkin tanpa mengabaikan segala aspek.“Kerajaan telah buat keputusan, kesemua 85 peserta yang menetap di rumah dalam program rimbunan kaseh ini akan terus diberikan kebenaran tinggal dan mereka tidak akan dikeluarkan kecuali mereka memilih untuk keluar.“Segmen kedua bagi memajukan projek ini, pada 2 Januari 2019 kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Terengganu (UPEN) telah menghantar surat tawaran kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk mengoperasikan insfrastruktur pertanian yang ada dalam program rimbunan kaseh ini.“Dan pihak LPP menyambut baik dan dalam rangka untuk menyiapkan kertas cadangan bagaimana pelan mereka untuk membangunkan projek ini,” tambah beliau.Projek Rimbunan Kaseh merupakan program yang merangkumi beberapa komponen utama iaitu 100 buah rumah, 26 ‘Greenhouse’ Struktur Pelindung Hujan (SPH), 400 tangki penternakan ikan serta ladang tanaman Limau Kasturi dan Golden Melon.
01 Apr 19
403
Empty Image
Sidang DUN : Terengganu Tolak Pembelian Bas Amfibia
Ariffin ketika menjawab soalan berkaitan bas Amfibia yang diajukan oleh ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim. KUALA TERENGGANU, 2 April - Kerajaan Terengganu mempertimbang untuk menolak kontrak projek bas Amfibia (Amphicoach) kerana kelewatan projek berkenaan serta keadaan bas tersebut yang tidak menepati spesifikasi dan skop kontrak yang telah ditentukan.Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, tempoh kontrak yang diberikan kepada kontraktor, Alam Perkasa Technology Sdn. Bhd. iaitu daripada 1 Januari 2015 sehingga 30 Ogos 2015 sudah lama berakhir. “Sehingga kini, kita telah mengeluarkan  Perakuan Kelambatan dan Lanjutan Masa (EOT) yang keenam pada 5 Oktober 2017 kepada kontraktor dan kita tidak akan mengeluarkan EOT baharu.“Pegawai penguasa yang menilai Amphicoach tersebut tahun lalu iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesyorkan kerajaan menolak kontrak ini dengan mengambil kira saranan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Laut Malaysia selepas mendapati bas ini tidak boleh digunakan atas faktor keselamatan,” katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Meyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Terengganu Keempat Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.Ariffin turut memaklumkan, baki kontrak bernilai RM336,350 yang tinggal tidak perlu dibayar kepada kontraktor.Sidang DUN berjalan aman dan lancar.“Walaupun bayaran masih berbaki, tetapi mengikut klausa Gantirugi Tetap (LAD) kepada pihak kontraktor bernilai RM1,100 sehari, pihak kontraktor perlu membayar kerajaan negeri sebanyak RM596,563 kerana kelewatan selama 542 hari.“Kos keseluruhan kontrak bernilai RM3.08 juta dan kita telah membayar sebanyak RM 2.7 juta. Mengikut kaedahnya, jika kita menolak pembelian ini, bayaran tersebut perlu dipulangkan semula,” katanya.Bagaimanapun katanya, urusan itu akan diserahkan kepada Pegawai Undang-Undang negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid.Ariffin juga berjanji akan membawa perkara itu ke dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diselesaikan secepat mungkin.Amphicoach merupakan bas ‘dua alam’ yang ditempah oleh kerajaan negeri pada tahun 2014 dan bertujuan merancakkan industri pelancongan selain bagi kegunaan ketika musim banjir.Bas berkenaan bagaimanapun hanya tiba pada Januari tahun lalu, lewat tiga tahun dari tarikh asal dan rosak ketika ujian percubaan kali kedua pada Mac 2018 di Sungai Terengganu dan kini ditempatkan di pejabat JKR Terengganu.
01 Apr 19
92