lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Empty Image
SRIDI Pencetus Kelahiran Generasi Rabbani - MB Terengganu
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama anak-anak SRIDI.MARANG, 30 April - Penubuhan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) akan menjadi pencetus kelahiran modal insan dan generasi rabbani.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, elemen pendidikan adalah asas dan aspek penting untuk membina umat serta bangsa yang hebat dalam segenap bidang.Katanya, bagi mencapai hasrat tersebut, Terengganu memperuntukkan RM7.8 juta sebagai dana permulaan untuk mendidik generasi pelapis yang bakal memimpin negeri dan negara dengan menggunakan acuan Islam.“Melalui dana itu, kita mewujudkan SRIDI di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai asas pendidikan seawal usia kanak-kanak.“Kesungguhan serta kesepakatan membangunkan anak-anak kita adalah perlu dan sangat penting bagi melahirkan modal insan yang berkualiti di Terengganu,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penubuhan SRIDI 2019 bagi DUN Pengkalan Berangan, di Binjai Rendah, di sini semalam.Merasmikan penubuhan SRIDI di DUN Pengkalan Berangan.Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri,  Satiful Bahari Mamat, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad.Hadir sama, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.Ahmad Samsuri turut menjelaskan bahawa institusi pendidikan akan dipertingkatkan kualitinya sama ada dari segi insfrastruktur ataupun pengajian untuk keselesaan warga Terengganu.Tambah beliau, pelaburan dalam bidang itu adalah untuk masa depan yang lebih gemilang bagi semua rakyat.“Dan insya-Allah kita akan pertingkatkan (SRIDI) dari tahun ke tahun, sehinggalah sasaran untuk mewujudkan SRIDI di setiap DUN tercapai dan tahun depan kita akan tubuhkan,” kata beliau lagi.Untuk rekod, sebanyak enam SRIDI  berjaya ditubuhkan pada tahun ini, dan ia telah beroperasi sejak Januari lalu.Kerajaan juga komited untuk membina tiga buah lagi SRIDI, masing-masing melibatkan DUN Kijal, Permaisuri dan Paka manakala satu Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) di DUN Ajil sedang dalam pembinaan.
29 Apr 19
1460
Empty Image
Kerajaan Negeri Kenal Pasti Kontraktor Berpotensi Sertai Projek ECRL
KUALA TERENGGANU, 29 April- Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif mengenal pasti kontraktor yang berpotensi untuk diketengahkan dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi merealisasikannya, beliau meminta pegawai berhubung dengan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Terengganu (PKMMT) untuk menyenaraikan kontraktor dan pengkhususan bidang masing-masing untuk menilai keupayaan mereka bagi menyertai projek ECRL.Ahmad Samsuri berkata, secara tidak langsung langkah itu membolehkan kerajaan negeri menjadi ‘orang tengah’ dalam berunding dengan pihak Kerajaan Pusat dan kontraktor utama bagi projek mega berkenaan.“Saya telah meminta pegawai saya berhubung dengan PKMMT untuk dapatkan pengkhususan para kontraktor di Terengganu ini.“Tujuannya bagi mendapatkan gambaran keupayaan (kontraktor) untuk terlibat dalam ECRL ini setakat mana dan bagaimana kerajaan negeri boleh mengambil langkah untuk memudahkan urusan mereka sebab ini bukan projek kerajaan negeri tetapi kita boleh membantu termasuklah proses rundingan dengan kerajaan pusat,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Terengganu (PKMMT) Kali Ke-43 di Primula Beach Hotel, di sini, hari ini.Turut hadir, Yang Dipertua PKMM Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Nasir Ibrahim Fikri.Ahmad Samsuri berkata, terdapat banyak pengkhususan yang boleh direbut oleh kontraktor tempatan termasuk melibatkan kerja-kerja awam, mekanikal atau elektrikal.“Semua ini adalah peluang untuk kontraktor-kontraktor kita. Kita nak memudahkan urusan, supaya kontraktor negeri ini yang mendapat projek di Terengganu. “Kalau syarikat kontraktor yang besar, mereka mungkin ada kepakaran dalam pelbagai perkara. Tapi, bagaimana pula dengan nasib kontraktor kita yang kecil-kecil ini? Mereka juga ada kepakaran tapi dalam satu-satu bidang tertentu. Ini yang kita nak memudahkan supaya mereka melengkapi sesama sendiri dengan menggabungkan kepakaran masing-masing,” katanya.Difahamkan, terdapat lebih 4,500 kontraktor negeri ini yang berdaftar dengan PKMMT.
29 Apr 19
192
Empty Image
Terengganu Mahu Lahirkan Jurulatih Senamrobik Lelaki Bertauliah
Wan Sukairi Wan Abdullah bersama peserta kursus.Oleh: Wan Luqman HakimKEMAMAN, 29 April - Terengganu berhasrat melahirkan jurulatih senamrobik lelaki yang bertauliah bagi memperluaskan aktiviti riadah itu di Terengganu.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keperluan untuk melahirkan tenaga pengajar lelaki sangat tinggi memandangkan aktiviti kecergasan itu semakin mendapat sambutan.Katanya, Terengganu belum memiliki jurulatih lelaki yang mempunyai kelayakan untuk mengendalikan program kecergasan berbanding pengajar wanita.“Saya dimaklumkan kita tiada lagi pengajar aerobik yang terdiri daripada kaum lelaki, yang ada cuma kaum wanita sahaja.Jadi mewujudkan kelas ini untuk melahirkan jurulatih lelaki, ini adalah suatu keperluan dan satu kewajiban bagi kita di Negeri Terengganu ini kerana dasar kita adalah Islam dan kita mesti mewujudkan pengajar lelaki“Apabila pengajar perempuan ini, dibimbangi tidak mencapai tujuan (sebenar aktiviti), kerana apabila jurulatih perempuan akan berlaku situasi yang kita tidak ingini,” ujarnya.Wan Sukairi berucap pada majlis berkenaan.Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutup Program Kursus Instruktur Kecergasan Senamrobik Tahap 1 (Asas) di Kompleks Rakan Muda Kemaman, di sini, semalam.Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT), Mohd Soufi Mohd Ibrahim serta ketua-ketua agensi yang terlibat.Wan Sukairi juga bercadang untuk mengadakan satu program Fit Sunnah di setiap daerah selepas ini dengan menggunakan jurulatih yang dilahirkan daripada kursus kejurulatihan itu.Tambahnya, Program Fit Sunnah itu bakal menjadikan jurulatih lepasan kursus berkenaan lebih berpengalaman dan bersedia untuk memimpin program berlandaskan hukum syarak.“Pengajar yang lahir daripada program ini akan dihantar terus untuk mengendalikan program-program pada masa akan datang seperti Fit Sunnah.“Jadi sudah tentu mereka akan lagi terlatih dan berpengalaman apabila mengendalikan program secara terus (praktikal), tidak hanya tamat selepas kursus ini,” tambah beliau.
29 Apr 19
190
Empty Image
PINTAR Tawar Akses Dan Perkhidmatan Internet Percuma - MB Terengganu
Kemudahan dengan capaian internet berkelajuan tinggi perlu dimanfaatkan rakyat sebaiknya.KUALA TERENGGANU, 29 April - Kerajaan Terengganu membangunkan Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) untuk menawarkan kemudahan akses internet yang lebih meluas bagi rakyat negeri itu.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaksanaan PINTAR merupakan usaha untuk membantu masyarakat negeri itu memperoleh capaian internet dan mampu memanfaatkan peluang yang tersedia dalam dunia tanpa sempadan itu."Kita dalam perancangan untuk membuka 39 PINTAR di seluruh negeri dan pemilihan lokasinya akan ditentukan berdasarkan keutamaan serta keperluan," katanya ketika ditemui pemberita.PINTAR akan diperluaskan di seluruh negeri.Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) dan Kempen MyDebit di Balairaya Kampung Kepong, Alur Limbat, semalam.Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Ariffin Deraman dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil.Turut hadir ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Zulkifli Ali serta Pengerusi Payment Network Malaysia Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin.Dalam majlis berkenaan, Dr. Samsuri turut menekankan penggunaan MyDebit serta menyasarkan peningkatan jumlah pengguna dengan kad debit dan atas talian (online)."MyDebit merupakan medium paling mudah untuk melakukan urusan berkaitan kewangan melalui urusan pembayaran atas talian di mana ia akan menjimatkan masa dan tenaga."Setakat ini, sebanyak 25 agensi kerajaan telah melaksanakan penggunaan MyDebit dan ia akan terus berkembang," katanya.PINTAR adalah penjenamaan semula Pusat Komuniti Bestari (Bestari.comm) yang mengoptimumkan perkhidmatan internet dengan menyediakan capaian jalur lebar kolektif di kawasan-kawasan sukar akses.Penggunaan MyDebit jimatkan masa dan tenaga.Di peringkat permulaan, PINTAR menawarkan enam perkhidmatan iaitu e-Kerajaan, e-Pembelajaran, Perdagangan Elektronik, Pembayaran Elektronik, pembangunan Sukan Elektronik dan PINTAR POS serta akan berkembang selaras peredaran zaman.Pusat ini turut menyediakan kiosk ejen bank Agro Bank selain kursus-kursus pembangunan dan keusahawanan berasaskan atas talian supaya rakyat di kawasan kampung dapat berdiri seiring dengan mereka yang tinggal di bandar.
28 Apr 19
258
Empty Image
Terengganu Serius Nilai Integriti - MB
KUALA TERENGGANU, 28 April - Kerajaan Terengganu akan bertegas dan tidak memandang remeh setiap isu melibatkan integriti dalam kalangan penjawat awam di negeri ini.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sudah tentu pihak kerajaan juga akan memperhalusi dan melaksanakan penambahbaikan yang berterusan bagi menghalang perkara tersebut daripada berlaku.“Kita akan  tengok  apa jua ruang untuk tutup perkara yang boleh mengganggu kestabilan integriti.“Segalanya boleh berlaku dan  penyalahgunaan ini perlu  dihindarkan sama sekali. Itu sebagai suatu ingatan kepada semua dalam apa jua perkara,” jelasnya.Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Taklimat Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Bersama Pentadbiran Kerajaan Terengganu 2019 di Tingkat 17, Wisma Darul Iman, hari ini.Menurutnya, taklimat tersebut adalah asas utama yang dibuat oleh mana-mana organisasi di awal pemerintahan sama ada kerajaan atau pun syarikat.“Kalau kita tengok lantikan penjawat (sama ada) di peringkat pegawai tadbir di negeri ataupun Persekutuan, kursus mengenai SPRM dan akta yang berkaitan keselamatan dalam negara serta berkait dengan polis adalah sebahagian daripada tajuk induksi," ujarnya.Justeru itu, beliau mengingatkan kepada semua pegawai kerajaan di semua peringkat agar mengambil serius mengena perkara tersebut.“Saya akan bincang dengan  negeri lain juga yang di bawah pemerintahan PAS  seperti Kelantan dan akan dapat arahan daripada  pimpinan PAS Pusat apa langkah seterusnya supaya (semua) sejajar dengan apa jua tindakan,” katanya.
28 Apr 19
33
Empty Image
ECRL: Patuhi Undang-undang Negara
MB (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penduduk dalam Program Kayuhan 'Community Ride’ sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Yang Ke-212 di Dataran Pusat Pembangunan Komuniti E-Tani (PUKET) Batu Rakit.KUALA NERUS, 28 April - Kerajaan negeri meminta semua pihak yang terlibat dengan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur atau 'East Coast Rail Link' (ECRL), mematuhi undang-undang negara yang sedia ada supaya projek itu berjalan dengan baik tanpa ada pertikaian dari segi pematuhan undang-undang.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri berkata, beliau percaya semua pematuhan kepada undang-undang perlu dilaksanakan termasuk apa-apa syarat kelulusan pembinaan dan sebagainya."Jadi mana-mana pihak tidak boleh melupakan dari segi aspek undang-undang," katanya ketika ditanya pemberita selepas merasmikan Program Kayuhan 'Community Ride’ sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Yang Ke-212 di Dataran Pusat Pembangunan Komuniti E-Tani (PUKET) Batu Rakit, di sini semalam.Mengulas lanjut mengenai Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) itu beliau berkata, ianya adalah perkongsian kerjasama pembinaan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dengan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd."Semua itu dari segi pembinaan dan perkara berkaitan dengannya. Ada pun hal yang bersangkutan dengan tanah dan yang berkaitan dengannya, itu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri."Tidak ada mana-mana pihak di pihak pembinaan itu sama ada MRL ataupun CCC boleh mengambil bahan-bahan galian di negeri Terengganu," tegas beliau.Secara keseluruhannya kata beliau pembinaan berskala besar itu, dengan kedua-dua belah pihak perlu mematuhi segala aspek perundangan yang ada dalam negara dan negeri Terengganu."Ini termasuk dari segi undang-undang boroh dan perkara-perkara lain yang terlibat dengan soal teknikal," katanya.Sebagai makluman, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) adalah entiti Kementerian Kewangan (MOF Inc) Malaysia yang mentadbir projek tersebut.MRL akan memainkan peranan penting dalam melibatkan pihak berkepentingan ECRL, termasuk Kerajaan Malaysia, kontraktor, rakan kongsi, dan komuniti yang lebih luas di Malaysia.MRL adalah pemilik projek ECRL - sebuah projek kereta api elektrik yang dirancang Kerajaan Malaysia yang menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur (Kelantan, Terengganu, Pahang) ke Lembah Klang, manakala CCC adalah sebuah syarikat gergasi dari China.Sementara itu ECRL rangkaian landasan keretapi yang menghubungkan ibu negara, pusat bandar utama, hub industri, pelabuhan, lapangan terbang, dan zon pelancongan dan bertukar-tukar dengan laluan kereta api sedia ada di Semenanjung Malaysia.ECRL adalah sebahagian daripada Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dirancang bertujuan untuk mencapai pertumbuhan dan pembangunan yang adil di antara Pantai Timur dan Barat Semenanjung Malaysia.
28 Apr 19
79
Empty Image
Pencerobohan Nelayan Asing: RM2.35 Juta Hasil Kes Mahkamah Selesai
Hasil Pencerobohan Nelayan Vietnam dipamerkan kepada media Di Jeti APMM Kuala Terengganu hari ini.KUALA TERENGGANU, 28 April - Kes Pencerobohan Nelayan Asing di Perairan Malaysia yang telah selesai di mahkamah menghasilkan denda sebanyak RM2.35 juta dan kos penahan bot sebanyak RM350 ribu sehingga akhir bulan ini.Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata berdasarkan statistik operasi Maritim Terengganu dan Zon Maritim Kemaman mulai bulan Januari hingga April tahun ini, sebanyak 533 buah vessel telah diperiksa dan 32 daripadanya bersangkut kes yang membabitkan anggaran rampasan sebanyak RM32 juta.Menurutnya, seramai 240 nelayan warga Vietnam telah dimasukkan ke lokap Maritim Negeri."Selain itu, kes-kes mahkamah yang selesai telah berjaya memperolehi hasil denda sebanyak RM2,349,900 dan juga kos penahanan bot sebanyak RM350 ribu," jelasnya.Muhammad Suffi berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini hari ini.Katanya, sementara itu, pada 25 dan 26 April lalu Maritim Malaysia melalui asetnya Kapal Maritim (KM) Pekan berjaya menawan dan memberkas sebanyak enam bot bersama 63 nelayan termasuk tekong, kesemua warga Vietnam dalam satu operasi agensi tersebut.Bot-bot berkenaan katanya, ditahan di sekitar 51 hingga 153 batu nautika dari sini.Menurut beliau selain itu turut dirampas 1,700 kilogram (kg) ikan campur, 1,300 kg ikan baja, 80 kg sotong kering, 7 ribu liter minyak diesel dan peralatan menangkap ikan."Kesemua mempunyai nilai anggaran sebanyak RM6 juta. Kesemua bot dan hasil rampasan bersama nelayan Vietnam ini telah dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu pada awal pagi 27 April (semalam) dan akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985."Dakwaan akan dibuat kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa lesen yang sah dan kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia," jelasnya.Menurutnya dakwaan juga akan dibuat di bawah Seksyen 14 (3) (b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan huruf, nombor atau lain-lain cara pengenalan sesuatu vessel penangkapan ikan yang lain.Mereka juga turut didakwa di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan dan juga Seksyen 6 (1) (c), Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.Jelasnya lagi operasi membanteras kegiatan pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam ini akan diteruskan tanpa henti dan Maritim Malaysia juga akan menggunakan pelbagai kaedah pelaksanaan operasi bagi melindungi hasil laut dan khazanah daripada dicuri dan dirompak oleh nelayan-nelayan asing.
28 Apr 19
292
Empty Image
3,000 Rakyat Terengganu Takluk Bukit Seluruh Negeri
Ariffin Deraman (dua dari kiri) bersama pihak penganjur. Foto oleh - Abu UbaidahKUALA TERENGGANU, 28 April - Lebih 3,000 warga Terengganu menakluki lapan bukit di seluruh negeri secara serentak bagi mempromosikan lokasi rekreasi di Hari Mendaki Bukit Terengganu atau Terengganu Hills Day (THD) 2019 semalam.Lokasi lain yang menjalankan program itu termasuk Bukit Harimau Menangis di Kemaman, Bukit Bauk di Dungun, Bukit Batu Singa di Marang, Bukit Besar di Kuala Terengganu, Bukit DO, Hulu Terengganu, Bukit Jong dan Bukit Maras di Kuala Nerus serta Bukit Keluang di Besut.Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, aktiviti yang julung kalinya diadakan itu menawarkan pilihan kepada rakyat tempatan untuk beriadah di bukit-bukit sekitar kawasan mereka.Jelasnya, program itu juga dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya menjaga alam sekitar selain merupakan aktiviti kesihatan.“Alhamdulillah di Bukit Besar, lebih 500 orang yang turut serta dalam program ini dan seluruh Terengganu yang ada lapan daerah, saya difahamkan penyertaan lebih 3,000 orang.“Program ini sangat bagus kerana membantu orang ramai tidak kira lapisan umur untuk kekal sihat,” ujarnya.Beliau turut berharap agar program itu dijadikan acara tahunan bersama kerajaan negeri pada masa akan datang demi merancakkan suasana pelancongan dan sukan rekreasi negeri itu.“Saya mengharapkan kepada pihak penganjur (BB Hikers) dan seluruh kumpulan lain seluruh negeri supaya menjadikan acara ini sebagai acara tahunan," jelasnya.
28 Apr 19
244
Empty Image
Kebor Air FC Bawa Pulang Piala YB ADUN Buluh Gading
Oleh: Mohd Haniff AbasKUALA NERUS, 28 April - Pasukan Kebor Air FC muncul juara dalam perlawanan akhir menentang Buluh Gading Dewan FC  pada kejohanan bola sepak 11 sebelah tertutup Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading dan membawa pulang Piala Yang Berhormat Ridzuan Hashim, baru-baru ini (24 April).Perlawanan sengit itu tamat pada minit ke-90 dengan keputusan penuh seri 1-1 dan pengadil terpaksa membuat keputusan mengadakan sepakan penalti lima lawan lima dan kemenangan akhirnya berpihak kepada Kebor Air FC 5-4.ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, kejohanan ini mengambil masa hampir dua bulan dengan 38 perlawanan keseluruhannya di lima padang iaitu Padang Bola Tetambah, Kesom Haji Husin, Kesom Che Nordin, Jeram dan Banggol Tuan Muda dan disertai oleh 23 pasukan yang bermain setiap hujung minggu.“Kejohanan ini julung-julung kali diadakan dan kita akan menjadikannya sebagai acara tahunan kerana sambutannya sangat menggalakkan terutamanya dari golongan muda.“Syabas dan tahniah kepada pasukan Kebor Air FC yang telah menjadi juara pada kejohanan kali ini. Pasukan lain juga masih berpeluang untuk menjadi juara pada kejohanan yang akan datang.“Syabas dan tahniah juga kepada semua pemain yang telah menunjukkan tahap disiplin yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung tanpa ada insiden-insiden yang tidak diingini berlaku seperti pergaduhan dan seumpamanya walaupun kadang-kadang ada provokasi dari pihak penyokong masing-masing,” ujar beliau ketika ditemubual selepas tamat perlawanan akhir di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Terengganu.Ridzuan berterima kasih kepada Penyelaras Pemuda DUN Buluh Gading selaku penganjur atas kejayaan cemerlang dalam mengendalikan kejohanan tersebut. Kejayaan itu pastinya adalah hasil dari kerjasama dan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pemuda walaupun ianya agak mencabar.“Syabas juga saya ucapkan kepada Buluh Gading Dewan FC yang menduduki tempat kedua, Banggol Peradong FC tempat ketiga dan Tanjung Sabtu FC yang menduduki tempat keempat,” tambah beliau lagi.Kejohanan ini menawarkan hadiah utama berupa tunai sebanyak RM3 ribu, pingat dan piala pusingan, tempat kedua RM2 ribu berserta pingat, tempat ketiga RM1 ribu berserta pingat dan tempat keempat RM700 beserta pingat.
28 Apr 19
551
Empty Image
Kes Rasuah Libatkan Penjawat Awam Terengganu Terkawal
KUALA TERENGGANU, 28 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menegaskan bahawa penglibatan penjawat awam negeri ini dalam gejala rasuah masih terkawal.Pengarah SPRM Terengganu, Mohd. Zaki Hassan berkata, 10 tangkapan dicatatkan bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.Katanya, SPRM Terengganu akan terus berusaha meningkatkan tahap kesedaran untuk memastikan statistik penjawat awam terlibat dalam gejala rasuah dapat dibendung pada masa hadapan.“Sepuluh individu itu termasuk seorang ahli politik telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah. Lain-lain enam orang melibatkan pegawai kerajaan, seorang melibatkan orang awam dan dua lagi melibatkan pekerja swasta.“Kesalahan yang dikesan di negeri ini kebiasaannya melibatkan menerima suapan dan salah guna kuasa,bagaimanapun penglibatan rasuah di kalangan penjawat awam di Terengganu adalah terkawal,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Taklimat Khas SPRM Terengganu Bersama Pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu yang turut dihadiri Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, hari ini.Katanya, pemantauan terhadap agensi-agensi kerajaan akan terus dilaksanakan tetapi secara umumnya gejala rasuah di pejabat kerajaan di negeri ini sama ada melibatkan kakitangan awam negeri mahupun pusat masih dalam kedudukan terkawal.
28 Apr 19
64