Artikel "Semasa" Terkini
Paya Bunga Hotel Agih Bubur Lambuk Percuma Setiap Jumaat
Bubur lambuk diagihkan kepada pengguna jalan utama didepan PB Hotel.KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Hotel Paya Bunga (PB) Terengganu akan mengedarkan lebih 200 bekas bubur lambuk secara percuma pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan ini.Pengurus Besar Hotel PB, Abdul Hadi Alias berkata, buat julung kali hotel berkenaan menganjurkan program mengagihkan bubur lambuk kepada pengguna jalan utama di pekarangan hotel itu.Katanya, program itu merupakan satu pendekatan yang diambil oleh pengurusan hotel bagi mengeratkan hubungan serta mempromosikan PB Hotel Terengganu kepada masyarakat sekitar.“Edaran tersebut bermula jam 3 petang bertempat di Pekarangan Lobi Paya Bunga Hotel Terengganu dan berakhir pada pukul 4.00 petang.“Seluruh warga Terengganu yang berdekatan dijemput memeriahkan lagi program ini dan mengambil bubur lambuk yang disediakan khas oleh chef tempatan kami sebagai juadah berbuka puasa,” katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengedarkan juadah itu di pekarangan hotel itu, baru-baru ini.Sementara itu, Abdul Hadi turut berkata, pihak pengurusan dan kakitangan hotel amat terharu dengan sambutan orang ramai yang datang dan sanggup beratur untuk mengambil bubur lambuk.Jelasnya lagi, program itu mampu memberikan impak yang positif kepada masyarakat setempat serta memperkasakan lagi penjenamaan PB Hotel Terengganu sebagai hotel patuh syariah.“Ini adalah pendekatan untuk memperkasakan hotel kami, secara tidak langsung ia akan menjana ekonomi negeri kerana hotel ini adalah hotel milik kerajaan negeri” tambah beliau.
13 May 19
143
OKU Bakal Dapat Dana Raya
Dato' Tengku Hassan (tujuh dari kiri) menyantuni pelajar miskin di Stadium Negeri.KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Kerajaan negeri menyediakan dana raya untuk dua golongan yang berkelayakan termasuk golongan miskin dan orang kelainan upaya (OKU).Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, dana tersebut akan diagih kepada mereka yang berkelayakan sebelum menjelangnya Aidilfitri nanti.Justeru katanya, mereka yang dikategorikan termasuk dalam golongan tersebut boleh memaklumkan nama, alamat tempat tinggal dan nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) mereka ke pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing untuk tindakan lanjut.Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sentuhan Kasih Ramadan PETRONAS 2019, di Stadium Negeri, di sini, hari ini.Dato' Tengku Hassan (kiri) menyerahkan sumbangan dari Yayasan PETRONAS kepada pelajar kurang berkemampuan di Stadium Negeri.Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Hajah Zuraida Md Noor, Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Timur, Datuk Wan Hasnan Wan Abdullah dan Timbalan Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Terengganu Nasrul Hakim Md Noh.Dato' Tengku Hassan berkata, kerajaan Terengganu telah bersetuju untuk mengeluarkan dana raya kepada anggota keluarga yang berpendapatan RM1,100 ke bawah dan OKU tanpa mengira pendapatannya, sebelum Aidilfitri ini.Beliau yang juga ADUN Ladang berkata, kerajaan bercadang untuk menyerahkan dana raya itu kepada kira-kira 2,500 orang penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang sahaja.Dijangka tidak kurang 2,000 penerima di setiap 31 kawasan DUN lain, bakal menerima bantuan tersebut tidak lama lagi."Kita sedang mengumpul nama-nama melalui MPKK yang bekerja keras untuk mempastikan mereka berkenaan mendapat bantuan itu sebelum hari raya puasa," jelasnya.Dato' Tengku Hassan (empat dari kanan) melayani pelajar kurang berkemampuan sebelum waktu berbuka puasa di Majlis Sentuhan Kasih PETRONAS 2019 di Stadium Negeri.Menurutnya, urusan untuk mendapatkan dana itu amat mudah bergantung situasi sebenar seseorang pemohon."MPKK akan melihat kelayakan pemohon dengan syarat memberi maklumat nama, nombor kad pengenalan, alamat tempat tinggal dan nombor akaun BSN."Kerajaan negeri akan hantar wang berkenaan melalui akaun bank tersebut, tidak perlu melalui agensi lain," jelasnya.Katanya, kerajaan juga mengagihkan sebanyak 2,000 kampit beras dan kurma kepada penduduk miskin di kawasan tersebut sempena ketibaan Ramadan.Kerajaan juga memperuntukkan program membaiki rumah penduduk berpendapatan rendah, sebanyak RM11,000 sebuah manakala rumah yang perlu dibina semula dengan peruntukan RM58,000 sebuah.Antara pelajar kurang berkemampuan berbuka puasa di Majlis Sentuhan Kasih PETRONAS 2019 di Stadium Negeri."Oleh kerana banyak lagi rumah yang terpaksa dibaiki untuk tujuan menyambut hari raya maka peruntukan dikeluarkan dari ADUN Ladang sendiri."Kita telah bersetuju untuk membaiki lebih kurang 20 buah rumah serta-merta di DUN Ladang dengan nilai sebanyak RM10,000 sebuah dan kita mahu pastikan rumah berkenaan dapat digunakan untuk berhari raya," ujarnya.
13 May 19
152
Rungutan Peniaga Bazar Ramadan Dibawa Ke Meja Rundingan
Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman.KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Rungutan peniaga tentang harga sewa tapak Ramadan akan dibawa ke meja rundingan sebelum kerajaan negeri melaksanakan formula baharu.Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman menegaskan, masalah yang berpunca daripada sistem pengurusan akan diselesaikan agar tidak berulang pada masa hadapan.Jelasnya, pihak kerajaan akan berbincang bersama wakil peniaga bagi mencari formula terbaik untuk mengatasi masalah itu seterusnya menjayakan hasrat kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat.“Tahun ini kita baru terlibat dengan pengurusan, jadi saya melihat kita perlukan lagi penambahbaikan kerana ia melibatkan banyak pihak. “Masalah berlaku apabila ‘open tender’ orang hanya memikirkan keuntungan, bukan kebajikan kepada peniaga yang menyewa tapak berkenaan.“Insya-Allah dengan input daripada persatuan penjaja, saya dan pihak keusahawanan akan bawa (isu ini) ke tengah, kita akan duduk semeja sama ada dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan keusahawanan,” katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengagihan Apron kepada peniaga bazar ramadan di Taman Shah Bandar, di sini semalam.Nurkhuzaini yang hadir mewakili Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi oleh peniaga-peniaga di bazar berkenaan.Beliau turut memberi keyakinan formula baharu yang digunakan nanti akan menyelesaikan isu tersebut dan tidak hanya menguntungkan satu pihak.“Untuk tahun ini saya rasa kita dah terlambat, jadi saya mewakili kerajaan negeri memohon maaf kepada semua peniaga kerana ada sedikit salah faham dalam masalah ini.“Insya-Allah tahun depan kita akan laksanakan dengan sistem baru yang akan diterima pakai oleh semua pihak,” tambah beliau.Dalam program itu, Nurkhuzaini sempat menyantuni peniaga dan pengunjung di bazar berkenaan dan mengagihkan lebih 70 kurma kepada peniaga di situ.
13 May 19
631
i-MiTS Diseru Ganda Usaha Bangunkan Masyarakat
Yahaya ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa i-MiTS.KUALA TERENGGANU, 13 Mei – Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) diseru melipat gandakan usaha dan kerja keras sebagai penggerak kepada masyarakat bagi merealisasikan agenda Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali berkata, tempoh satu tahun menjadi kelaziman kepada pihak pengkaji politik untuk membuat penilaian kepada sesebuah kerajaan.“Apa yang kita mahu ialah kerajaan yang dibina hari ini menjadi contoh kepada negeri-negeri lain. Sudah tentulah apa yang dicapai oleh kerajaan ini menjadi gambaran terhadap perjuangan parti pemerintah (PAS) yang telah dibuat berpuluh-puluh tahun yang lalu.“Antara yang menjadi barisan depan dalam kerajaan adalah i-MiTS sebagai jentera yang menghubungkan kerajaan dan rakyat,” katanya.Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyempurnakan Majlis Berbuka Puasa Bersama Kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), di Hotel Permai, di sini, malam tadi.Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah; Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Md Azahar dan Pengarah i-MiTS, Kamaruzzaman Abdullah.Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak dan Pengerusi jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar.Yahaya yang hadir bersama isteri , Zarani Othman, turut mengingatkan kakitangan i-MiTS supaya tidak leka dan terlalu selesa dengan suasana semasa.“Umumnya mengatakan bahawa kerajaan kita adalah kerajaan yang baik. Tetapi kita tak boleh selesa dengan apa yang disebutkan.“Masih banyak ruang-ruang yang perlu diperkemaskan dalam membina kekuatan yang ada,” katanya.i-MiTS diwujudkan pada Julai 2018 dengan kekuatan 427 kakitangan di seluruh 32 DUN Terengganu menyasarkan aktiviti pembangunan belia dan golongan berpendapatan rendah (B40).
12 May 19
119
`Rugi Kalau Dok Cuba,' Akok Pandan Cicit Pok Chang
Muhammad Zhafran (kiri) bersama adiknya Muaz menunjukkan akok pandan asli yang menjadi tarikan pengunjung di Bazar Ramadan Batu BurokKUALA TERENGGANU, 13 Mei - Ramadan adalah bulan rezeki kepada peniaga yang bijak dan rajin berusaha untuk meraih pendapatan berlipat kali ganda.Buktinya, dua anak muda yang merupakan adik beradik mengusahakan perniagaan kuih akok pandan asli sejak dua tahun lalu mampu memperoleh pendapatan RM400 hingga RM450 sehari hasil jualan lebih 500 biji dalam masa dua hingga tiga jam di Bazar Ramadan Batu Burok.Muhammad Zhafran Zainuddin, 24, yang dibantu adiknya Muaz Zainuddin, 18, berkata, keistimewaan kuih tradisional yang terkenal di kalangan masyarakat tempatan itu apabila ia dibakar terus di lokasi dan dijual dalam keadaan masih panas mengeluarkan aroma yang memikat rasa pelanggan.Katanya lagi, ramuan asal untuk menghasilkan kuih Akok Pandan Cicit Pok Chang (sempena nama moyang mereka) itu dikongsi kenalannya dari Kelantan dengan hanya menggunakan bahan-bahan seperti tepung, telur, gula pasir dan santan tetapi diolah semula oleh ibunya, Adibah Abd Rashid, 50, yang sememangnya meminati pembuatan kuih-muih tradisional."Alhamdulillah, walaupun berdepan kesulitan pada awalnya, namun berkat kesabaran dan usaha tanpa henti, hampir sebulan juga untuk betul-betul mahir membuat kuih akok berkenaan terutama dari segi rasa dengan sentiasa meminta komen dan bertanya pelanggan mengenai rasa sebelum mak berjaya menghasilkan kuih akok pandan yang setanding dengan penjual di Kelantan.“Setiap hari kami mampu menjual 500 kuih akok pandan bermula 3 hingga 5.30 petang .Kebiasaannya orang ramai datang selepas waktu bekerja dan mereka sanggup beratur panjang asalkan dapat merasai kuih ini sebagai juadah berbuka puasa," katanya ketika ditemui, di tapak jualan itu, hari ini.Menurut Zhafran, kelebihan akok yang kurang manis menjadi satu tarikan tambahan kepada peminat kuih tradisional turun-temurun yang popular di negeri Pantai Timur.“Ia berbeza dengan akok tradisional Terengganu yang lebih manis dan dan bagi mereka yang tidak suka rasa telur akan memilih akok pandan kerana rasanya yang lemak manis dan lebih wangi walaupun masih menggunakan bahan yang sama.“Harganya pula tidak terlalu mahal dan boleh dinikmati semua pelanggan, ia dijual dengan harga RM2 untuk tiga biji dan RM5 untuk lapan biji,”ujarnya lagiKini Muhammad Zhafran dan adiknya, Muaz boleh tersenyum puas apabila perniagaan kuih akok pandan asli semakin mendapat tempat di kalangan penggemarnya sekali gus mengubah kehidupan mereka sekeluarga.
12 May 19
1140
Fizi’s Babershop Tawarkan Khidmat Percuma Untuk OKU
Oleh: Hidayah AzlinSETIU, 12 Mei - Kedai gunting rambut milik seorang pemuda di Kampung Tasik Mengkuang, Kerandang, Jabi, Fizi’s Babershop menawarkan khidmat percuma kepada pelanggan orang kurang upaya (OKU) yang berminat mendapatkan perkhidmatan di kedainya. Peniaga berkenaan, Mohd Hafizi Wan Mat, 27 berkata, selain mencari rezeki yang halal untuk menyara diri dan keluarga, dia memanfaatkan kemahirannya itu untuk memmbuat amalan sebagai bekalan akhirat kelak."Siapa pun kita, kerja apa yang kita lakukan, selitkanlah untuk mereka yang kurang berupaya agar mereka terasa dihargai,"katanya.Hafizi tidak menjangkakan kerja yang mula dilakukan sejak dua tahun lalu sebagai sampingan kini menjadi pekerjaan tetap dan makin maju.Perniagaannya beroperasi bermula jam 1.30 petang sehingga 6 petang dan pada sebelah malam bermula 8.15 malam sehingga 12.30 pagi setiap hari kecuali Rabu dan Jumaat dibuka hanya pada sebelah malam sahaja. Namun, sepanjang Ramadan terdapat perubahan jadual operasi.Dalam pada itu, ketika dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim dia berasa sungguh bertuah dan dihargai dengan kesudian seorang pemimpin negeri yang sanggup mendapatkan perkhidmatan di kedainya itu.“Saya sungguh berbangga seorang Exco Terengganu sudi mendapatkan khidmat daripada saya dan mempromosikan bisnes anak-anak muda seperti saya ini. Sangat menghargai. Orang ramai dijemput datang berkunjung, insyaAllah harga berpatutan,’’ katanya lagi.Menurut Dr Azman pula, pelbagai kerja boleh diceburi selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam sama ada dalam sektor pertanian, perniagaan, perkhidmatan dan pelbagai lagi yang boleh menjana pendapatan halal dan berkat.Katanya, masyarakat kini perlu mengubah pandangan negatif terhadap anak muda kerana terdapat ramai golongan itu yang mampu berusaha untuk meletakkan diri masing-masing di tempat yang terbaik."Siapa kata anak muda kita pemalas? Fizi’s Barber Shop bekerja sehingga tengah malam mencari rezeki halal,"Bekerja dan bersainglah dengan sihat dalam berusaha meningkatkan mutu kerja masing-masing samada di mana-mana peringkat sekalipun," katanya selepas mendapatkan khidmat gunting rambut di kedai itu, malam tadi.Di samping itu, beliau juga mengingatkan ibu bapa supaya memainkan peranan dengan memberi sokongan dan dorongan kepada anak-anak agar tidak putus asa dalam mencari rezeki yang halal untuk diri dan keluarga.
11 May 19
162
Dr. Samsuri Jelaskan Pertemuan Dengan PM
KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 10 Mei lalu bertujuan berbincang pelbagai perkara berkaitan kepentingan negeri Terengganu.Menurut Ahmad Samsuri, pertemuan empat mata selama sejam itu mendapat respon positif daripada Tun Dr. Mahathir walaupun tiada apa-apa keputusan dicapai pada pertemuan tersebut.Ahmad Samsuri berkata, secara umumnya ia adalah perbincangan yang sangat menarik dan positif terhadap apa jua yang diutarakan termasuklah pandangan dari Perdana Menteri sendiri yang mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam proses memperkasa ekonomi masyarakat.“Antara perkara yang disentuh termasuklah tentang bagaimana kita seharusnya mengambil langkah untuk memperkukuhkan ekonomi masyarakat terutamanya masyarakat desa yang memerlukan satu lonjakan dalam tindakan daripada pihak kerajaan sama ada pihak kerajaan negeri ataupun pusat.“Dengan mengambil kira bahawa kedudukan negeri Terengganu yang menerima wang tunai petroleum atau royalti sejak tahun 70-an lagi, tetapi tidak banyak berubah dari segi pergerakan terhadap struktur masyarakat seperti data kemiskinan dan sebagainya itu yang tidak begitu pantas berbanding dengan apa sepatutnya setelah negeri ini menerima wang petroleum sejak sekian lama,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Publisiti & Penyertaan Awam Laporan Pemeriksaan Draf Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050 (Kajian Semula) di Wisma Darul Iman, hari ini.Turut hadir, Ketua Pengarah PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa), Dato’ TPr. Rokibah Abdul Latif, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd. Zahari Md. Azahar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak.Katanya, setiap pandangan yang diberikan oleh Perdana Menteri akan diperhalusi oleh kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat negeri ini.Sementara itu, dalam status yang dimuat naik di akaun facebook dan instagram miliknya dua hari lalu, beliau turut menjelaskan perkara lain yang dibincangkan antaranya hala tuju pelaburan luar dengan Terengganu selain projek di bawah Rolling Plan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) di bawah Teras V.Begitu juga berkaitan isu wang tunai petroleum, baki pinjaman oleh pihak Kerajaan Persekutuan untuk projek Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), projek Khazanah di Terengganu dan pemerkasaan ekonomi penduduk tempatan."Terima kasih atas panduan dan pandangan dari YAB (Yang Amat Berhormat) Perdana Menteri."Semoga rayuan kami rakyat Terengganu diberi pertimbangan yang adil dan sewajarnya," tulisnya lagi.
11 May 19
175
PITAS 2030 Dalam Rancangan Struktur Terengganu 2050 - MB
KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Kerajaan negeri akan mengambil kira dasar Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 dalam pelaksanaan Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050 yang sedang dirangka ketika ini.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, model polisi dan pentadbiran jangka panjang bagi menjadikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera menjelang 2030 itu akan diperincikan bagi membolehkan peranannya diharmonikan dengan Rancangan Struktur tersebut.Katanya, selain pandangan rakyat, maklum balas dan perancangan pihak berkepentingan termasuk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menerusi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut diberi perhatian oleh kerajaan negeri. “Pandangan itu akan diperincikan, diperhalusi dan diambil kira dalam menyediakan Rancangan Struktur sebenar.“Yang penting adalah kita mendapat pandangan daripada rakyat dan dalam masa sama maklum balas serta perancangan daripada pihak lain seperti ECER dan MRL termasuk dasar serta falsafah kerajaan negeri melalui PITAS 2030 yang akan turut diambil kira dalam memastikan rancangan ini bertepatan dengan apa yang diperlukan kerajaan negeri,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Publisiti & Penyertaan Awam dan Laporan Pemeriksaan Draf Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050 (Kajian Semula) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.Turut hadir, Ketua Pengarah PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa), Dato’ TPr. Rokibah Abdul Latif, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd. Zahari Md. Azahar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak.Menurut Ahmad Samsuri, semua pihak yang berkepentingan diberi peluang untuk meneliti, menyemak dan mengemukakan maklum balas terhadap Draf Rancangan Struktur itu dalam tempoh empat minggu bermula awal bulan ini hingga 2 Jun depan.Katanya, semakan boleh dibuat di 10 lokasi iaitu di Pejabat PLANMalaysia (Tingkat 4, Wisma Negeri), lobi utama semua tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT), lobi Wisma Darul Iman dan lobi utama Pusat Transformasi Bandar (UTC).Sementara itu, Rokibah berkata, Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050 dijangka dapat disiapkan pada Oktober depan dan akan sekali lagi dibawa bagi dibentangkan kepada orang awam untuk pandangan dan bantahan.“Draf ini antara lain mencadangkan konsep dan strategi pembangunan untuk mengukuhkan wilayah di Terengganu. Kita mengetengahkan Kuala Terengganu sebagai zon promosi pembangunan dan akan turut membangunkan bersama wilayah Utara membabitkan Setiu dan Besut di samping Barat (Hulu Terengganu) dan Selatan (Kemaman dan Dungun).“Kita juga mengenal pasti kawasan yang sesuai atau tidak sesuai untuk dibangunkan dan apakah strategi untuk mengatasi isu termasuk banjir dan lain-lain di samping mengambil kira manfaat projek ECRL yang akan diteruskan bagi membolehkan kita menjana pembangunan di Terengganu,” katanya.
11 May 19
831
Isteri Ustaz Wan Sukairi Rai 60 Penduduk Paloh Sempena Ramadan
Dr Fadzilah Ismail (kiri) menyampaikan sumbangan sempena Ramadan kepada salah seorang penerima. Foto oleh - Wan Luqmanul HakimOleh: Azizah MahmoodKUALA TERENGGANU, 12 Mei - Isteri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Dr Fadzilah Ismail meraikan 60 orang penduduk kurang berkemampuan di Kampung Paloh kelmarin.Dr Fadzilah berkata, antara lain, platform Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat yang dinamakan Khairunnisa' Terengganu yang turut dianggotai beliau berfungsi untuk membantu tugas suami mereka berdepan dengan pelbagai lapisan rakyat.Malah, ia juga menunjukkan sikap kebertanggungjawaban yang kuat isteri wakil rakyat terhadap peranan suami tanpa mengira waktu, apatah lagi pada Ramadan, bulan yang diraikan dan memupuk kasih sayang sesama umat Islam.
11 May 19
1531
Peranan Ibu Penting Dalam Menjayakan Moto Terengganu - MB
KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengiktiraf peranan kaum ibu dalam institusi keluarga termasuk merealisasikan moto negeri 'Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera'.Katanya, sebagai ketua kerajaan, beliau mengiktiraf peranan ibu dalam institusi keluarga sambil menyifatkannya sebagai amat besar dan cukup penting dalam merealisasikan moto kerajaan negeri itu."Juga terima kasih buat ummi saya, Puan Hajjah Safiah Abd Latif atas jasa, kesabaran dan pengorbanan yang tidak tertulis nilainya. Ibu, anda adalah segalanya."Selamat Hari Ibu kepada semua insan yang bergelar ibu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika meraikan Hari Ibu dalam status Instagram dan Facebooknya hari ini.
11 May 19
272