lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Empty Image
Sinar Ramadan Khairunnisa’ Sasar Bantu 480 Keluarga - Isteri MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu (Khairunnisa') menyasarkan agihan bantuan keperluan dapur dan wang tunai kepada 480 keluarga kurang berkemampuan dari seluruh daerah bersempena sambutan bulan Ramadan tahun ini.Pengerusinya, Tuan Faezah Tuan Abd Rahman berkata, Khairunnisa’ mengambil inisiatif mengadakan program berkenaan bagi membantu golongan yang memerlukan menikmati bulan Ramadan dengan lebih ceria dan tenang menjelang Aidilfitri.Katanya, menerusi program tersebut, Khairunnisa’ secara tidak langsung berperanan sebagai ‘ladang amal’ buat pihak yang mahu menyumbang.“Peserta yang terpilih adalah dari kalangan mereka yang sebelum ini tidak mendapat apa-apa bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) atau mana-mana pertubuhan yang cakna masyarakat.“Jadi Khairunnisa’ mengambil satu inisiatif mengadakan program Sinar Ramadan ini bagi menyalurkan sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak yang tampil memberikan dana untuk diagihkan kepada mereka yang terpilih,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sinar Ramadan Khairunnisa' Peringkat Zon Tengah yang melibatkan Parlimen Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu di Dewan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Kompleks Seri Iman, hari ini.Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun.Dalam pada itu, Tuan Faezah turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para dermawan di atas kepercayaan kepada Khairunnisa’ yang diamanahkan untuk menyampaikan sumbangan kepada mereka yang berhak.Katanya, agihan sumbangan berkenaan telah diadakan di Besut dan Setiu pada 13 Mei lalu dan akan diteruskan di Kemaman dan Dungun pada 17 Mei ini.
14 May 19
483
Empty Image
TNB Terengganu Siap Sedia Tampung Peningkatan Penggunaan Elektrik Sepanjang Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu kini keadaan bersedia untuk menampung penggunaan bekalan elektrik yang bakal meningkat berikutan kepulangan anak perantau ke Terengganu sepanjang Aidilfitri.Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) TNB Terengganu, Mohd Nazri Puteh, berkata sehingga hari ini kapasiti bekalan elektrik di Terengganu yang melebihi daripada kadar penggunaan dijangka akan meningkat sehingga 30 peratus pada musim perayaan nanti.“Kini pihak TNB sedang giat menjalankan kerja pemeriksaan dan penyelenggaraan di semua stesen bekalan elektrik miliknya, sebagai persediaan menampung peningkatan kadar penggunaan elektrik  ekoran kepulangan anak perantau ke Terengganu sepanjang Aidilfitri."TNB Terengganu juga memastikan semua anggota kerja dan keperluan genset berada dalam keadaan bersedia untuk meminimakan gangguan bekalan elektrik seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini," katanya.Beliau berkata demikian selepas majlis berbuka puasa TNB bersama warga media Terengganu di Hotel Grand Puteri, di sini, malam tadi.Dalam perkembangan yang sama, Mohd Nazri berkata, pihaknya juga menyusun jadual tugas dengan menetapkan 10 peratus daripada keseluruhan 900 kakitangan TNB di seluruh negeri untuk bertugas secara bergilir-gilir mengikut syif pada hari raya nanti terutama di lapan stesen bekalan yang terdapat di seluruh Terengganu.Dalam pada itu, beliau memberitahu, TNB turut merancang  meningkatkan kapasiti bekalannya untuk memenuhi keperluan pertambahan pengguna termasuk pelabur daripada luar negara terutama di beberapa kawasan perindustrian di Terengganu."TNB Terengganu sentiasa mengadakan perbincangan dan penyelarasan bersama kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan keupayaan infrastruktur sedia ada untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan projek pembangunan baharu kerana ia antara faktor yang boleh menarik pelabur ke Terengganu," katanya.
14 May 19
229
Empty Image
Ayam Gepuk Makan Sapa Larat Nangis
KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Bila bercerita soal makanan di bulan Ramadan, anda pastinya teruja untuk mencuba makanan yang sedang 'viral' terutama yang mempunyai rasa yang unik.Kali ini kami kongsikan, menu untuk mereka yang gemar kepedasan dengan citarasa Indonesia dan Malaysia yang terletak di Bazar Ramadan Syahbandar.Pengusahanya, Zulkalmul Hakem Mat Zin, 30, berkata idea untuk membawanya masuk ke Terengganu timbul apabila melihat sambutannya ketika berkunjung ke sebuah kedai yang terkenal dengan sajian ini di Kuala Lumpur."Sejak mencubanya di salah sebuah kedai yang menjual menu ini di Kuala Lumpur, saya terfikir mengapa saya tidak bawa masakan ini ke Terengganu yang rata-rata penduduknya suka makan pedas."Dan dari situ saya mula belajar  bagaimana memasaknya dari seorang kenalan di Indonesia dan mengolahnya dengan gabungan resepi dua negara," ujarnya.Ketika ditanya rahsia keenakan ayam gepuknya, beliau yang juga pemilik Restoran Singgang Budu itu berkata, ia terpulang pada cara pemprosesan pemerapan ayam dengan rempah ratus yang bermula sehari sebelum dan pagi keesokannya barulah ia direbus sebelum digoreng panas di bazar dan yang pasti sambal ayam gepuk adalah menu penting dalam penyediaan makanan ini.“Kelainan sambal ini terletak pada tahap kepedasannya. Pengunjung boleh memilih sendiri tahap kepedasan yang diinginkan sama ada tahap biasa, sederhana atau paling pedas.“Bagi yang pertama kali hendak cuba ayam gepuk ini, saya sarankan supaya pelanggan mula dengan tahap lima terlebih dulu. Bagaimanapun, jika mahu pedas lagi boleh tambah kemudian,” katanya.Mana tidaknya, lebih 20 kilogram cili padi digunakan setiap hari dan cili digiling dengan begitu teliti bagi memastikan ia hancur dan sebati bersama bahan lain seperti bawang putih, kacang, garam dan gula.Lebih istimewa, bahan-bahan tersebut digiling secara tradisional dengan menggunakan batu giling yang sering digunakan pada masa dahulu.Dengan dibantu 14 pekerja, bapa kepada dua orang anak ini mampu menjual 300 hingga 400 ekor ayam sehari dengan pembelian mengikut set lengkap antara RM8.90 hingga RM10.90 mengikut pilihan citarasa dan mampu menjana pendapatan lumayan  mencecah RM6,000 sehari.Menurutnya, harga makanannya juga berpatutan dan rasa yang enak bak kata orang ramai dengan cukup segala rasa yang diinginkan."Malah, pelanggan digalakkan datang awal untuk menikmati keenakan rasa hidangan ini. Kalau lambat, memang cepat habis."Pasti ramai yang sudah mencubanya dan rata-rata pelanggan mengakui rasa pedasnya memang ummph! hingga berpeluh satu badan," kata Zulkalmul lagi.
14 May 19
806
Empty Image
Beramallah Umpama Ramadan Ini Ramadan Terakhir - MB Terengganu
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (kiri) menyampaikan tazkirah ringkas sempena Ramadan di Masjid Kampung Pengkalan Berangan (Lama) semalam. Foto oleh - Media MBMARANG, 15 Mei - Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru seluruh umat Islam khususnya rakyat Terengganu untuk memanfaatkan bulan Ramadan yang penuh dengan kemuliaan dan kian menghampiri fasa pertengahan."Beramallah umpama Ramadan ini Ramadan yang terakhir buat kita. Belum tentu kita akan menemuinya lagi pada tahun hadapan."Sudah semestinya kita nak puasa yang lebih baik dari tahun lepas maka penghayatan dan amalan perlu seiring. Pada akhirnya kita akan bertemu dan dihisab di hadapan Allah SWT di hari akhirat kelak," pesannya ringkas.Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan di Masjid Kampung Pengkalan Berangan (Lama), di sini semalam.Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar atas kesempatan beliau menghadirkan diri dan meraikan rakyat DUN Pengkalan Berangan.Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman.
14 May 19
298
Empty Image
Terengganu FC Tersungkur Lagi
Penyokong TFC kecewa melihat pemain-pemain PJ City meraikan gol.KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Terengganu Football Club (TFC) kecundang lagi.Skuad Penyu yang melayan Petaling Jaya (PJ) City di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam mengejutkan penyokong-penyokong yang hadir apabila tewas 5-3 kepada pelawat setelah mendahului 3-0 pada babak pertama.TFC memulakan permainan dengan agresif setelah wisel ditiupkan.Pada minit ke 11, gerakan cantik gandingan Ashari Samsudin, Sanjar Shaakhmedov disudahkan dengan rembatan Tcheche Kipre yang terbias menerjah jaring.TFC menguasai permainan dengan melakukan serangan demi serangan. Segalanya tampak tidak menjadi buat TFC walaupun mendahului tiga gol.Kali ini, pemain sayap yang baru tiba dari Ultimate FC, Mohamad Nabil Latpi merembat kemas hantaran Lee Tuck ke dalam gawang pada minit ke 17' untuk jaringan 'debut'nya.Dua minit kemudian, Ashari pula meledakkan gol ketiga mencatatkan kelebihan tiga gol di separuh masa pertama.Memasuki babak kedua perlawanan, segalanya serba tidak menjadi buat tuan rumah.Nabil dikeluarkan pada separuh masa pertama tidak dapat membantu serangan pasukan.Pada minit 49', pertahanan import PJ City, Elizeu Batista mula merapatkan kedudukan dengan menampan mudah bola melepasi penjaga gola, Suffian Ab Rahman.Seterusnya, Pedro Henrique pula melakukan 'flick' menewaskan Suffian sekali lagi pada minit 56'.Seminit kemudian, satu lagi gol berjaya dihasilkan pelawat menerusi rembatan kencang Washington Dos Santos.Kebangkitan PJ City dalam masa kurang 10 minit nyata meledakkan semangat mereka untuk terus memburu jaringan.Kebangkitan PJ City kejutkan penyokong dan pasukan.Memasuki minit 77', Mohamad Zamri Ramli melenyapkan harapan TFC apabila melakukan rembatan kencang menjadikan kedudukan 4-3.Tidak cukup dengan itu, Pedro Henrique sekali lagi menambah luka tuan rumah apabila menanduk masuk gol kelima PJ City.Kekalahan tersebut mengejutkan penyokong dan rata-rata mereka melaungkan rasa tidak puas hati kepada pasukan atas keputusan yang disifatkan 'paling teruk' buat TFC.Penyokong menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pengurusan pasukan di luar stadium.
14 May 19
37
Empty Image
Lebih RM70 Ribu Untuk Sinar Ramadan - Khairunnisa'
Oleh: Dzakaria Mohd SallehSETIU, 14 Mei - Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa')  memperuntukkan lebih RM70,000 bagi membantu golongan kurang berkemampuan sempena Ramadan ini.Setiausahanya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman, berkata program bantuan yang diberi nama Sinar Ramadan bersama Khairunnisa'  itu akan melibatkan kesemua lapan parlimen."Besut dan Setiu merupakan program kita yang pertama dan akan disusuli di kawasan lain."Pada hari ini, seramai 20 penerima bantuan dari Besut dan Setiu  menerima wang tunai dan barangan keperluan bagi menampung sebahagian perbelanjaan mereka di bulan Ramadan dan persediaan menyambut Syawal nanti,"ujarnya di majlis tersebut yang diadakan di Kompleks Lukmanul Hakim, di sini,  hari ini.Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir.Tuan RoslinaTambah Tuan Roslina lagi, Khairunnisa' juga memainkan peranan dalam membantu kerajaan negeri menjayakan program yang diadakan."Matlamat Khairunnisa' ialah mengadakan aktiviti sosial dan kemasyarakatan bagi merapatkan hubungan silaturahim isteri pemimpin, ahli dan masyarakat."Kami juga menyumbang dan bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan, organisasi, institusi kerajaan dan swasta demi kepentingan dan kebajikan masyarakat,"katanya.Menurut beliau, Khairunnisa' juga berharap lebih ramai golongan yang berkemampuan dapat menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan membantu kerajaan dalam menjayakan program yang dilaksanakan.
13 May 19
67
Empty Image
'Saya Tuan Rumah, Anda Tetamu' - MB Terengganu
Oleh: Aslam WiraMARANG, 14 Mei - "Saya tuan rumah dan tuan puan adalah tetamu saya hari ini," demikian kata Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika meraikan kira-kira 600 penduduk di Majlis Iftar Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Masjid As-Salam Kijing, di sini semalam.Ketika berucap di majlis itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang amat berbesar hati meraikan mereka kerana peluang berbuka bersama rakyat itu sebagai tanda menghargai sokongan mereka terhadap kepimpinannya dalam meneraju negeri Terengganu.Beliau membayangkan bahawa jawatan, kekuatan tenaga dan usia tidak mempunyai apa-apa kelebihan di sisi Allah kerana semuanya akan dipersoalkan di akhirat nanti."Betapa besar pun kita di sisi manusia dari sudut jawatan, kekuatan tenaga, usia tua atau muda, kita adalah sama di sisi Allah. Kita akan ditanya kerja buat kita di atas dunia bila sampai waktunya.” jelas beliau.Beliau berkata, semua kurniaan itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin supaya ianya bernilai di sisi Allah.Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Pengarah Majlis Tindakan DUN, Hassan Awang dan kakitangan agensi kerajaan yang lain.Program itu adalah anjuran Pejabat DUN Rhu Rendang dan Jawatankuasa Masjid As-Salam dengan persiapan dibuat secara gotong-royong melibatkan kakitangan Pejabat DUN, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang, jawatankuasa masjid dan penduduk setempat.
13 May 19
54
Empty Image
ATC Mercu Tanda Baharu Hulu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Pusat Dagangan Ajil (ATC) kini menjadi mercu tanda baharu  Hulu Terengganu apabila kompleks rumah kedai yang bernilai RM 18.25 juta itu mula beroperasi.Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim berkata, bangunan tersebut disewa oleh beberapa syarikat perniagaan.“Bangunan ATC yang kita rasmi ini antaranya menempatkan Pasaraya Sabasun.“ATC sekarang ini sedang dipenuhi oleh peniaga. Kalau di bawah, semua memang dah ada penyewa termasuk Sabasun. Cuma kita sekarang ini sedang tarik bank untuk buka cawangan di sini,” jelasnya.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Karnival Pendidikan Sifar Keciciran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), di sini, baru-baru ini.Menurutnya, beliau sedang merancang dan merangka pembangunan yang memfokuskan pembangunan institusi pendidikan untuk masyarakat Ajil.“Sasaran saya adalah untuk membangunkan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) setempat dan setaraf sekolah bersepadu menggunakan fasiliti, padang dan kemudahan yang sama cuma diuruskan oleh dua pengurusan yang berbeza.“Sebab saya nampak kalau di Hulu Terengganu, Kuala Berang dan Telemong sudah ada mercu institusi pendidikan. Di Ajil yang merupakan laluan masuk dari Kuala Lumpur, Kuantan, Kota Bharu  ke Kuala Terengganu melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), tiada lagi pembangunan,” ujarnya.Maliaman berkata, pembangunan yang sedang berjalan sekarang adalah Masjid Ajil yang bernilai RM12 juta.Bangunan ATC tersebut mula diwartakan pada 2006 dan siap sepenuhnya sebelum diserahkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) kepada Majlis Daerah Hulu Terengganu.Selepas 10 tahun berlalu, premis perkedaian itu dirasmikan pada 27 April lalu oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat.
13 May 19
1705
Empty Image
Sekampit Beras, Sekilo Minyak Masak Sempena Ramadan
Oleh: Saifullah JusohBESUT, 14 Mei - Seramai 250 orang penduduk dari lima kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut menerima bantuan sekampit beras dan sekilo minyak masak sempena Ramadan.Sumbangan menerusi Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Besut kepada golongan yang kurang berkemampuan dan miskin itu melibatkan Kampung Pekan Lama, Pekan Baru, Kampung Tengah, Kampung Pantai dan Kampung Pengkalan Atap.Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Haji Azbi Salleh berkata, sumbangan itu sebagai  meringankan beban penduduk yang berkelayakan menerima bantuan bagi menyambut bulan Ramadan tahun ini."Sempena menyambut bulan Ramadan, saya juga ingin berpesan kepada semua agar melipatgandakan ibadat supaya ianya menjadi Ramadan yang terbaik buat kita."Saya juga ingin berpesan, bersederhanalah dalam membeli juadah berbuka puasa dan jangan membazir,"katanya selepas menyampaian sumbangan itu, di Surau Warisan, Kampung Pekan Lama, di sini, semalam.Turut hadir, Pegawai Khas Penyelaras DUN Kuala Besut, Mohd Sulaiman dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pekan Lama, Kampung Tengah, Kampung Pantai dan Kampung Pengkalan Atap.
13 May 19
89
Empty Image
RM16 Juta Dana Raya Terengganu Tahun Ini
Hanafiah Mat.KEMAMAN, 14 Mei - Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM16 juta untuk Dana Raya menjelang Aidilfitri, Jun depan.Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Haji Hanafiah Mat berkata, peruntukan itu dikira berdasarkan jumlah keseluruhan 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu .Katanya, setiap DUN diperuntukkan sebanyak RM500,000 dengan jumlah penerima maksima adalah seramai 2,500 orang.Katanya, setiap pemohon pula diberi RM200 seorang, bergantung kepada arahan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan dana berkenaan dijangka akan dimasukkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) pada 28 dan 29 Mei ini.Justeru beliau meminta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) di setiap DUN segera mengumpulkan maklumat penerima dana berkenaan untuk proses permohonan mulai hari ini.Ketika dihubungi hari ini, Haji Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata, syarat penerima dana tersebut ialah pemohon mesti berpendapatan RM1,100 atau ke bawah manakala orang kelainan upaya (OKU) turut berhak memohon dana tersebut tanpa syarat pendapatan."Kerajaan negeri akan membekalkan senarai iDana tahun lalu untuk rujukan dan memilih mereka  yang berkelayakan sahaja untuk diproses bagi mendapatkan dana tersebut," katanya.Katanya, maklumat yang diperlukan ialah nama, nombor kad pengenalan, alamat tempat tinggal dan nombor akaun BSN."Setelah diperoleh dengan lengkap, nama-nama berkenaan akan dimasukkan ke dalam pengkalan data portal iDana Kerajaan Terengganu oleh MPKK dan i-MiTS," jelasnya.Beliau berkata, pihak SUK yang menguruskan portal itu akan memproses untuk membayar dana tersebut kepada pemohon yang layak sebanyak RM200 seorang melalui akaun bank masing-masing.
13 May 19
106