lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Empty Image
Operasi Jejaki ‘Pak Belang’ Dipergiat
Kelibat 'Pak Belang' yang berkeliaran di kampung Besol sekitar jam 9 pagi semalam.Oleh : Adli MohamadDUNGUN, 19 Julai - Operasi mengesan dan menjejaki dua ekor harimau belang sesat yang berkeliaran di Kampung Besol, Dungun dipergiatkan dengan radius sekitar dua kilometer dari lokasi pak belang itu berkeliaran semalam.Pengarah Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof memaklumkan seramai 22 anggota Perhilitan dan empat anggota polis terlibat dalam operasi berkenaan.Menurut beliau, pihaknya telah memasang dua buah perangkap dan percaya haiwan tersebut masih lagi berada di dalam hutan berdekatan.“Kita akan jalankan operasi dan tinjauan di lapangan untuk mengenal pasti di mana harimau tersebut berada.“Tetapi buat masa ini kami masih belum dapat mengesan di mana lokasi sebenar, jadi aktiviti tinjauan dan pengawalan ini kita akan teruskan sehingga kita dapat tangkap harimau itu,” jelasnya.Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman turut serta dalam operasi tersebut.Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media semasa meninjau perjalanan operasi tersebut, di sini, hari ini.Kata Abdul Malek lagi, operasi itu akan cuba disegerakan, dan segala tindakan yang dilakukan adalah mengikut Standard Operation Procedure (SOP).Beliau juga mengingatkan semua penduduk kampung supaya menghadkan aktiviti di dalam hutan dan kebun bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.“Usaha menjejaki harimau betina dan anak jantannya dilakukan berpandukan tapak kaki haiwan itu yang ditemui dalam hutan kampung tersebut.“Penduduk juga dinasihatkan supaya tidak mendekati haiwan itu jika terserempak kerana ia perbuatan yang sangat berbahaya dan bagi mengelakkan perkara buruk berlaku,” katanya.Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi semalam, dua ekor harimau itu ditemukan berkeliaran di kawasan kampung Besol sehingga menimbulkan rasa takut dalam kalangan penduduk malah turut tular di laman sosial.
19 Jul 19
117
Empty Image
Sultan Mizan Berkenan Berangkat Meriahkan Terengganu CFA International Cat Show
KUALA NERUS, 19 Julai - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat memeriahkan Terengganu CFA International Cat Show yang akan berlangsung selama dua hari bermula 20 Julai ini di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak.Keberangkatan baginda pada hari pertama pertunjukkan kucing itu bakal diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumatnegeri, Ariffin Deraman berkata, idea penganjuran pertandingan berkenaan dicetuskan sendiri oleh Sultan dan Sultanah Terengganu.Katanya, pertunjukkan kucing bertaraf antarabangsa yang julung-julung kali diadakan di Terengganu itu dianjurkan kerajaan negeri menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Asian Abyssinian Cat Club."Pertunjukan ini bakal menonjolkan kucing-kucing pedigree dan penternak kucing terbaik di rantau ini."Seramai 90 peserta bersama lebih 140 ekor kucing dari lebih 30 jenis baka dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Korea Selatan, Mesir dan Turki akan dipertontonkan di samping kehadiran 10 hakim dan juri pertandingan kucing daripada China, Hong Kong, Jepun, Australia dan Amerika Syarikat," ujarnya.Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program tersebut di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, semalam.Ariffin berkata, program sebegini diharapkan menjadi platform kepada Kempen Beautiful Terengganu, Malaysia dalam mewujudkan kolaborasi pelancongan yang boleh dimanfaatkan oleh semua pihak di samping ianya mampu memberi persepsi poşitif kepada agenda transformasi negeri untuk memperkasakan lagi produk destinasi pelancongan negeri.
18 Jul 19
339
Empty Image
Kelibat 'Pak Belang' Gemparkan Penduduk
'Pak Belang' berkeliaran di kawasan kampung.Oleh : Adli MohamadDUNGUN, 18 Julai - Kelibat dua ekor harimau belang yang ditemui berhampiran kawasan perumahan, membimbangkan penduduk di Kampung Besol, Hulu Dungun, di sini.Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, selepas menerima laporan daripada penduduk beliau segera menghubungi Jabatan Perhilitan Daerah Dungun."Ketika saya sampai di sana, wakil daripada Jabatan Perhilitan Daerah Dungun telah ada, dan segera berbincang mencari jalan penyelesaian terbaik demi menjaga keselamatan penduduk," jelasnya ketika ditemui pihak media, hari ini.Tambah Ghazali, harimau itu dipercayai sedang berkeliaran di kawasan terdekat apabila kesan tapak kakinya yang ditemui masih dalam keadaan baharu."Tidak berapa lama kemudian kami dikejutkan dengan kelibat pak belang berkenaan yang sedang bermain di belakang rumah seorang penduduk kampung," jelas Ghazali.Ghazali menunjukkan kesan tapak kaki harimau itu.Sementara itu, seorang penduduk kampung, Siti Aminah Azmi, 33, pula berkata, sewaktu sedang bersiap untuk mengambil anaknya di sekolah, dia dikejutkan dengan kehadiran harimau berkenaan berhampiran rumahnya."Saya amat takut dan segera meninggalkan rumah bersama anak saya yang berusia dua tahun dalam keadaan panik," ujarnya.Sehubungan itu, Penolong Pegawai Kehidupan Liar Daerah Dungun, Mohd Zawawi Ismail memaklumkan, pihaknya sudah menyemak data di jabatan perhilitan namun harimau tersebut tiada dalam rekod."Jika ada sudah tentu dapat dikesan melalui 'satelit kolar', kerana ia mudah dikesan, tetapi ada kemungkinan juga harimau itu tiada cip pengesan."Harimau adalah di bawah kawalan akta perlindungan kehidupan liar, yang ditempatkan di Sungkai, Perak dan tidak pernah dibebaskan," jelasnya.Tempat pertama harimau dikesan.Bercakap tentang harimau yang mengejutkan penduduk kampung Besol itu, beliau menyatakan akan cuba menghalau haiwan itu masuk ke dalam hutan dahulu."Namun ianya bergantung pada keadaan, dalam kes begini kita akan perangkap dan tangkap," ujarnya lagi.
18 Jul 19
140
Empty Image
'Raja Buah' Terengganu Luruh Ogos
Foto ihsan - GoogleKUALA TERENGGANU, 18 Julai - Jabatan Pertanian Negeri memaklumkan musim durian Terengganu dijangka mencapai kemuncak hasil bermula Ogos ini.Ketua Bahagian Penerangan dan Penilaian Jabatan Pertanian Negeri, Hamidah Abdul Hamid berkata, berdasarkan jangkaan tahun ini, daerah Besut, Kemaman dan Hulu Terengganu bakal memperoleh hasil lebih tinggi dengan pengeluaran anggaran hasil keseluruhan hampir 5,000 tan metrik (Mt).“Tahun ini, dianggarkan pengeluaran raja buah di seluruh negeri adalah sekitar 7,163.8 Mt dengan luas berhasil yang direkodkan seluas 1,336.1 Hektar (Ha).“Setakat ini, beberapa kawasan sekitar daerah Kuala Nerus dan Besut sudah mula mengeluarkan hasil, tetapi masih belum banyak,” katanya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.Hamidah turut menjelaskan, kemasukan durian-durian luar terutama daripada Johor tidak akan menyebabkan lambakan raja buah itu di pasaran.“Kita jangkakan tidak akan berlaku lambakan durian kerana hasil anggaran yang bakal diperolehi tahun ini berkurang 15 peratus berbanding tahun 2018.“Tahun lalu, tidak berlaku lambakan walaupun sebanyak 8,582.8 Mt hasil dipasarkan dengan purata jualan RM4.00 sehingga RM10.00 sekilogram,” katanya.
18 Jul 19
280
Empty Image
Terengganu Tuan Rumah Bincang Kesengsaraan Marawi
KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Terengganu menjadi tuan rumah bagi persidangan International Conference on Marawi (ICM) yang akan berlangsung bermula 19 hingga 21 Julai ini, di Duyong Marina & Resort, Pulau Duyong.Pengerusi International Charity Conference on Marawi, Hussin Ismail berkata, masyarakat dunia antarabangsa wajar didedahkan dengan isu kesengsaraan penduduk Marawi, di Mindanao, Filipina.Ini kerana, katanya bandar Marawi yang mempunyai kira-kira 200,000 penduduk yang terlibat secara langsung menjadi mangsa perang masih tidak terbela.Menurutnya, peristiwa serangan kerajaan Filipina ke atas bandar Marawi itu berlaku pada bulan Mei 2017 lagi, atas alasan memerangi pengganas Daesh, Maute dan Abu Sayyaf.“Isu ini diangkat selepas kita (Yayasan Amal Malaysia) bermesyuarat IFRD (International Federation For Relief & Development), yang berlangsung di Istanbul tahun 2017.“Di mana pada bulan Mei 2017, berlaku satu serangan oleh tentera kerajaan Filipina ke atas bandar Marawi, yang mempunyai kira-kira 200,000 orang penduduk Marawi yang 99 peratus masyarakat muslim.“Serangan itu kononnya, memburu pengganas Daesh, Maute dan Abu Sayyaf, sekitar 200 hingga 400 orang. Penduduk awam Marawi diminta keluar sehelai sepinggang untuk sementara waktu itu menjadi berpanjangan selama dua tahun.“Bandar Marawi yang cantik itu kini hancur dan tidak boleh dimanfaat langsung dan penduduknya tidak boleh pulang ke rumah masing-masing sampai sekarang (2019),” ujarnya kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu, Seri Iman, di sini, kelmarin.Hadir sama pada sidang media itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Pusat Dakwah Serantau Yayasan Amal Malaysia, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki.Menurutnya, persidangan ICM itu di bawah IFRD yang merupakan sebuah NGO Antarabangsa yang digerakkan penubuhannya itu oleh Yayasan Amal Malaysia (Amal) terdiri dari 10 buah negara.Justeru, katanya persidangan itu bagi membuka mata masyarakat dunia antarabangsa agar melihat isu Marawi ini suatu yang penting dan perlu pembelaan.“Pertama, bagaimana kita hendak bantu dan memulihkan semula masyarakat Marawi dan pembangunan semula di Marawi itu bukan kemampuan NGO. Tujuan ICM ini untuk mengangkat kesedaran masyarakat dunia tentang isu Marawi, yang saya fikir terlalu dahsyat.“Kedua, kita hendak beri penjelasan keadaan semasa yang berlaku di Marawi dalam tempoh dua tahun ini. Ketiga, untuk hendak wujudkan suatu pertukaran maklumat tentang apa yang berlaku ini bagi menarik dukungan antarabangsa, bagi membantu memulihkan masyarakat di Marawi.“Keempat, untuk mendapatkan bantuan daripada ‘local’ mahupun antarabangsa. Di samping bekerjasama dengan kerajaan (autonomi) yang sedia ada sekarang. Marawi sekarang berada di bawah kerajaan baharu yang diberi pengiktirafan autonomi Mindanao dalam satu referendum,” jelasnya.“Kita ada lapan kertas kerja yang akan dibentangkan oleh tokoh-tokoh tertentu dengan tajuk-tajuk khusus berkaitan kes Marawi.“Kita ada lapan kertas kerja akan dibentangkan oleh tokoh-tokoh tertentu, antaranya mantan Menteri Luar Malaysia, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar, mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan daripada United Nation-Geneva (UN).“Ini julung kali dibuat untuk Marawi, pembelaan di peringkat antarabangsa. Isu Marawi ini berkait dengan dua perkara iaitu isu yang menimpa umat Islam dan isu kemanusiaan,” ujarnya.Menurutnya, isu kebajikan dan kemanusiaan Marawi itu perlu ‘dihighlightkan’ agar masyarakat di Malaysia dan seluruh dunia tahu tentang isu tersebut.SUMBER: HARAKAHDAILY 
17 Jul 19
142
Empty Image
PKM Sura Bantu Mangsa Ribut
Oleh: Mohd AsrafDUNGUN, 18 Julai - Dua buah rumah yang menjadi mangsa ribut awal pagi semalam, menerima bantuan segera daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura. Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sura Tengah, Jaidi Jusoh berkata bantuan itu melibatkan atap, kayu, dan membaiki termasuk membersih sekeliling rumah. “Setakat ini dua buah rumah terlibat telah dikenalpasti dan kita telah lapor kepada PKM DUN Sura untuk segerakan bantuan membaiki rumah,” katanya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI). Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, memaklumkan ada menerima laporan tersebut dan komited akan membantu membaiki kediaman mereka yang terjejas dengan bencana terbabit.“Alhamdulillah tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku dan kita sudah meneliti beberapa bantuan yang boleh disalur dengan kadar segera.“Kami akan mengambil tindakan terbaik dalam membantu mangsa terjejas,” maklumnya.Dalam kejadian ribut itu, beberapa bumbung rumah mangsa telah diterbangkan angin menyebabkan beberapa barangan di dalam rumah mengalami kerosakan.
17 Jul 19
174
Empty Image
'Durian Jerong' Jadi Buruan
Tarmizi (kiri) bersama Sulaiman Sulong menunjukkan isi 'raja buah' yang menjadi kegilaan pengunjung.Oleh : Khairan Mat JusohMARANG, 18 Julai - Tatkala tibanya musim durian, lambakan gerai dan kebun ‘raja buah’ dalam daerah ini pastinya akan menjadi buruan pengunjung sehingga ada yang sanggup mengambil cuti kerja.Pemilik Mizi Agro Farm, Tarmizi Mamat, 31, berkata konsep kutip dan makan durian di kebun yang diperkenalkannya berjaya menarik ramai minat penggemar buah itu dari luar negeri seperti Johor, Kuala Lumpur dan Selangor. Kata anak muda dari Kampung Jerong Surau itu, kebun berkeluasan 25 ekar  yang diusahakan secara pajak itu telah penuh ditempah pada bulan ini sekaligus memberikan pulangan lumayan buatnya.“Kebanyakkan daripada pelanggan kita adalah dari jabatan-jabatan kerajaan, dan ada daripada mereka yang khususnya datang dari luar negeri sanggup mengambil cuti hanya semata-mata untuk merasai pengalaman kampung kutip dan makan 'durian Jerong' di dusun ini,” jelasnya.“Alhamdulillah, setakat untuk hari ini, tempahan sudah pun penuh bagi bulan Julai ini dan untuk bulan ogos masih lagi ada beberapa tarikh yang masih kosong,” ujarnya kepada ditemui media selepas menerima kunjungan Adun Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, di kebunnya, semalam.Menurut Tarmizi lagi, dia yang mula mengusahakan kebun secara kecil-kecilan sejak beberapa tahun lalu itu kini telah memiliki lebih 300 pokok durian berkualiti tinggi.Dalam masa yang sama, dia juga sedang membina sebuah warung berdekatan kebunnya yang menyediakan cendol durian untuk para pengunjung.“Walaupun bermula secara kecil-kecilan, saya merasa puas kerana sekarang kebun ini dipenuhi pengunjung, pada awal-awal dulu, walaupun kebun masih belum sempurna sepenuhnya, sudah ramai orang yang membuat tempahan.“Dan apabila adanya gerai cendol nanti, saya yakin kebun ini akan lebih berkembang dan meriah dengan pengungjung-pengunjung,” jelasnya.Gerai cendol durian yang akan beroperasi dalam masa terdekat.
17 Jul 19
728
Empty Image
'Terima Kasih YB' - Sahabudin
Oleh: Nizam at-TakiriKUALA NERUS, 18 Julai - “Terima kasih YB (Yang Berhormat) kerana ziarah ayah,” kata Mohd Sahabudin Mohd Rozali, 32, anak kepada pesakit jantung, Mohd Rozali Mohamad, 59, sewaktu menerima kunjungan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, di Kampung Tanjung Sabtu, baru-baru ini.“Ayah saya telah mengidap penyakit jantung sejak lapan tahun lalu dan pernah menjalani pembedahan pada tahun 2014.“Ayah juga diuji dengan penyakit kencing manis, darah tinggi, dan baru-baru ini dikejutkan dengan masalah paru-paru yang lemah,” katanya ketika ditemui di kediamannya itu.Menurut Mohd Sahabudin juga, disebabkan masalah itu, ayahnya sering mengalami masalah sesak nafas. Begitupun, dia sekeluarga gembira kerana Dr. Khairuddin sudi meluangkan masa, menziarahi mereka walaupun sibuk dengan urusan-urusan parlimen.Dalam kunjungan tersebut, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN) turut menyerahkan bantuan berupa barangan dapur dan wang tunai.Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs) DUN Buluh Gading, Md. Fauzi Mustafa serta beberapa ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Jeram dan Tanjung Sabtu.Rombongan itu juga menziarahi tiga lagi keluarga di Kampung Tanjung Sabtu dan Kampungg Jeram sebagai rutin mingguan pusat khidmat bagi membantu rakyat yang kurang bernasib baik.
17 Jul 19
89
Empty Image
GATRET Medan Pertempuran Gasing
Liga GATRET himpun masyarakat bersama.KUALA NERUS, 18 Julai - Liga Gasing Tradisional Terengganu (GATRET) membuka semula lembaran budaya ‘orang-orang lama’ di kawasan Tepoh.Penganjur kejohanan, Omar Ahmad atau lebih mesra dikenali sebagai Pok Din, 64, menyatakan pertandingan itu dianjurkan bertujuan menghidupkan semula permainan gasing tradisional Terengganu yang semakin dilupakan.“Liga ini berlangsung setiap Sabtu bermula Jun lalu dan akan berakhir pada September nanti melibatkan sebanyak 11 pasukan terdiri dari kampung-kampung sekitar Tepoh dan Batu Rakit.“GATRET yang telah berjalan selama tiga tahun menyaksikan ramai pemain lama ‘turun tangan’ mempertontonkan sukan tradisi ini kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui di Gelanggang Gasing  Pasar Kedai Tepoh, baru-baru ini.Pok Din juga merupakan jurulatih dan pembuat gasing.Beliau menyifatkan pertandingan itu turut memupuk semangat harmoni dalam masyarakat.“Mana tidaknya, satu pasukan memerlukan 25 orang pemain terdiri daripada pelbagai peringkat umur.“Secara tidak langsung, ia membina jalinan ukhuwah sekali gus menghangatkan suasana setiap kali pertandingan berlangsung,” katanya.Pok Din turut berharap acara berkenaan dapat diangkat sebagai salah satu tarikan pelancongan negeri berikutan keunikan gasing tradisional itu sendiri.“Gasing leper atau gasing pangkah Terengganu ini memiliki kelainan tersendiri. Sepanjang saya bermain dalam dunia gasing, gasing bentuk ini tidak dijumpai lagi di negeri lain."Malah, dalam Terengganu sendiri hanya masyarakat Tepoh, Batu Rakit dan beberapa kawasan dalam Parlimen Kuala Nerus yang mahir bermain gasing jenis ini,” katanya.GATRET mengadakan dua perlawanan setiap minggu bermula jam 8.30 pagi sehingga 3.30 petang.Gasing diletakkan atas pinggan kaca yang berminyak menjadikannya bertahan lebih lama.
17 Jul 19
929
Pindaan Enakmen Keluarga Islam Selesai Masalah Perceraian - ADUN Wanita Terengganu
Pindaan Enakmen Keluarga Islam Selesai Masalah Perceraian - ADUN Wanita Terengganu
Zuraida Md Noor. KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Rang Undang-Undang (RUU) baharu berkaitan pindaan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 mampu menyelesaikan pelbagai masalah perceraian apabila diluluskan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata, pindaan itu melibatkan seksyen 27 yang bertujuan mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Pendaftar bagi melaksanakan tugas-tugas Ketua Pendaftar.   Jelasnya, lambakan dokumen yang perlu diuruskan dengan segera terutamanya apabila keuzuran dan ‘ketidakupayaan’ Ketua Pendaftar untuk menandatangani dokumen berkaitan menyebabkan berlaku tunggakan Surat Perakuan Cerai (SPC)   “Ini menyebabkan Bahagian Undang-Undang Keluarga Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menghadapi masalah mengeluarkan surat perakuan cerai. Apatah lagi, secara purata sehari, sebanyak 10 permohonan cerai dikemukakan termasuk permohonan cerai taklik dan perceraian luar mahkamah.   “Juga tiada apa-apa peruntukan dalam Enakmen Ibu yang memberi kuasa kepada Ketua Pendaftar untuk menurunkan kuasanya kepada orang lain,” ujarnya.   Beliau berkata demikian ketika berbahas menyokong pindaan usul berkenaan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, semalam.   Mengulas lanjut tentang kesan jika enakmen itu tidak dipinda, beliau menegaskan akan berlaku implikasi besar yang akan menambahkan lagi masalah dan beban keluarga.   Katanya, antara masalah yang akan timbul ialah pemohon tidak dapat memohon untuk berkahwin semula atau berkahwin lain memandangkan proses memohon kebenaran berkahwin perlu dilampirkan bersama SPC.   “Pemohon tidak dapat memohon Bantuan Sara hidup (BSH), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) dalam masa yang ditetapkan memandangkan pihak berkuasa menghendaki lampiran SPC jika pemohon berstatus ibu atau bapa tunggal.   “Urusan persekolahan anak juga akan terkesan jika penjaga membuat pemohonan pertukaran sekolah dan bantuan sekolah kerana perkara-perkara ini perlulah dikepilkan bersama SPC,” tambah beliau.   RUU yang bernama Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) (Pindaan) 2019 itu telah diluluskan sebulat suara dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14 Tahun 2019, semalam.
17 Jul 19
431