Artikel "Semasa" Terkini
Kembara Warisan Berlangsung 7 September
Muzium Negeri Terengganu. Foto Ihsan - GoogleKUALA TERENGGANU, 21 Julai – Program Kembara Warisan 2019 yang dianjurkan oleh Muzium Negeri Terengganu bakal berlangsung pada 7 September ini.Program tersebut akan dijalankan di Kompleks Muzium Negeri Terengganu dan bermula pada pukul 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.Seluruh rakyat Malaysia yang mempunyai basikal serta berumur 18 tahun ke atas layak untuk menyertai program berkenaan.Yuran sebanyak RM30 dikenakan untuk setiap penyertaan dan tarikh tutup penyerahan borang adalah pada 5 September 2019.250 peserta yang terawal bakal menerima t-shirt program dan untuk pertanyaan lanjut boleh hubungi Ahmad Khairul Herman Rozali di talian 09-6231200 atau 016-9808315.
20 Jul 19
81
Kerajaan Negeri Bangun Pertanian Generasi Kedua Felda Selasih - Dr Azman Ibrahim
Dr Azman Ibrahim (berbaju kelabu) beramah mesra dengan anak-anak pelajar.Oleh: Hidayah AzlinSETIU, 20 Julai - Kerajaan negeri menyasarkan pembangunan pertanian bagi generasi kedua Felda Selasih, Jabi bagi memajukan dan meningkatkan kadar jumlah penduduk yang semakin berkurangan.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, penghijrahan penduduk ke bandar bagi mencari rezeki antara faktor pengurangan ini berlaku.“Untuk Sekolah Kebangsaan Felda Selasih ini, sebenarnya di peringkat kerajaan terdapat perancangan untuk meramaikan dewan ini sebab kapasiti dewan sekolah ini boleh memuatkan seramai lebih 90 orang daripada yang ada sekarang ini."Insya-Allah, kita dalam perancangan untuk membuka tapak rumah, tapak pertanian dengan keluasan sekitar lima ekar seorang dan tapak padang ragut untuk generasi kedua Felda Selasih,” ujarnya."Matlamat kita supaya anak-anak generasi kedua tidak pergi jauh, biar sama-sama duduk di kampung untuk bersatu membangun dan memajukan kampung yang sangat unik dan digambarkan seperti New Zealand oleh guru besar,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Science Show Universiti Sains Islam Malaysia Negeri Sembilan di Sekolah Kebangsaan Felda Selasih, di sini kelmarin.Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, usahasama pihak sekolah dalam memupuk minat pelajar terhadap ilmu Sains amat penting dengan menyedari bahawa Sains adalah antara khazanah ilmu Islam.Ianya bukan ilmu mutlak dan hak orang barat malah ia semakin mendekatkan manusia kepada Allah."Sekarang ini, pelajar sekolah di luar bandar tidak lagi melihat Sains dan Matematik ini subjek yang susah. Dulu bila disebut Sains dan Matematik, terus semua geleng kepala. Alhamdulillah, kini semua sudah mampu berdaya saing."Fakta yang ada dalam al-Quran dibuktikan melalui kajian Sains. Sebab apa ia benar? Sebab fakta yang dinyatakan itu oleh Pencipta Alam ini, Tuhan Yang Maha Mengetahui,’’ katanya.Menurut Dr Azman, pada tahun 2002 sehingga 2006, National Aeronautics and Space Administration (NASA) telah membuat kajian bagi mencabar fakta daripada al-Quran tentang jumlah hujan yang turun setiap tahun adalah kadar yang sama."Akhirnya mereka temui kebenaran fakta yang dikemukakan oleh al-Quran yang sememangnya jumlah hujan turun di muka bumi ini setiap tahun sama. Cuma yang membezakan ialah di mana dan bila ianya turun,’’ tambahnya."Kata Ibnu Abbas bagi menghuraikan makna 'dengan kadar' ini , hujan yang turun dari langit sebenarnya kadarnya sama setiap tahun. Sekiranya tidak sama, ia akan menjadikan kitaran air atas muka bumi ini menjadi tidak seimbang."Sebab itu saya sebut sekali lagi, kita jangan pisah Sains dengan agama Islam dan jangan menganggap ilmu orang lain, kita tumpang-tumpang je."Sebenarnya orang barat yang tumpang kita. Cuma dia ambil ilmu , mereka tinggal akidah. Kita nak ambil ilmu Sains dan akidah supaya ilmu yang diperoleh ini dia semakin mengukuhkah akidah," tegasnya.
20 Jul 19
721
Kad Sejahtera Guna Data E-Kasih - ADUN Buluh Gading
Ustaz Ridzuan Hashim (kiri) tidak melepaskan peluang mendapatkan pemeriksaan percuma.Oleh: Mohd Haniff AbasKUALA TERENGGANU, 20 Julai - Seramai 20 ribu penerima akan dipilih dari data e-Kasih pada peringkat permulaan untuk menerima Kad Sejahtera yang telah dilancarkan pada 16 Julai yang lalu.Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, program ini direalisasikan selaras dengan janji manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)."Pelaksanaannya akan menggunakan data e-Kasih dan selepas itu akan ditambah baik dari masa ke masa menepati ciri-ciri penerima yang layak.“Selepas ini kita akan perluaskan ciri-ciri penerima dan tidak bergantung kepada data e-Kasih sahaja agar lebih ramai penerima dapat menikmati Kad Sejahtera bagi yang berpendapatan RM1,750 ke bawah.“Kita nak tengok supaya program ini berjalan, selepas itu kita akan tambah baik," ujarnya.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ceramah Dan Pemeriksaan Kesihatan Percuma yang diadakan di Surau Al Amin, Taman Perumahan Awam Kos Rendah Banggol Peradong, semalam.Terdahulu, Kad Sejahtera telah dilancarkan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman dengan peruntukan sebanyak RM10.9 juta pada tahun ini dengan 20 ribu penerima bakal menerima manfaat.
20 Jul 19
216
Rumah Mampu Milik Bakal Dibina Di Marang Terengganu
Dr Alias Razak (tengah).MARANG, 20 Julai - Projek Rumah Mampu Milik (RMM) yang berharga RM68 ribu seunit di bawah seliaan kerajaan negeri bakal dibina di Bukit Gasing, di sini pada tahun ini.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, perancangan awal projek RMM melibatkan empat lokasi terpilih dan dua daripadanya di Marang serta Besut telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).Jelasnya, projek yang akan dibangunkan di dua tempat berkenaan membabitkan kos keseluruhan bernilai RM151 juta untuk tahun ini.“Pada asalnya kita bagi dua cadangan lokasi di Marang, iaitu Bukit Gasing dan Pulau Kerengga, yang dipilih adalah Bukit Gasing ini.“Dengan jumlah itu, kita yakin ia dapat menampung keperluan penduduk di Bukit Gasing khususnya dan juga daerah Marang ini untuk menjalani kehidupan seharian,” ujarnya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berucap dalam Program Marang Sihat di perkarangan Masjid Bukit Gasing, di sini hari ini.Hadir sama dalam majlis itu, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Pegawai Kesihatan Daerah Marang, Dr Tan Sin Yew dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Gasing, Ismail Ibrahim.Menurut Alias lagi, usaha tersebut membuktikan kerajaan negeri sentiasa peka dengan pembangunan luar bandar bagi memastikan kelompok itu tidak ketinggalan daripada menerima manfaat.Katanya, ia juga sekali gus akan memastikan rakyat yang berumur 21 tahun ke atas mendapatkan lot tanah atau kediaman selaras dengan manifesto yang dijanjikan.“Semoga perkara ini akan mencapai matlamat kita, iaitu untuk memberi rumah pada setiap rakyat Terengganu yang berumur 21 tahun ke atas, insya-Allah.“Kita juga akan berusaha untuk perbanyakkan lagi RMM di daerah-daerah lain tetapi kita utamakan dahulu di kawasan yang terdesak dan mudah mencari tanah,” tambah beliau.
20 Jul 19
750
Sultan Mizan Cemar Duli Ke Terengganu CFA International Cat Show
Sultanah Nur Zahirah meneliti salah seekor kucing yang menyertai pertandingan.KUALA NERUS, 20 Julai - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli berangkat ke Terengganu CFA International Cat Show yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, hari ini.Keberangkatan baginda turut diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Muhammad Mua'az Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Fatimatuz Zahra Sultan Mizan Zainal Abidin.Menyambut keberangkatan baginda, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya.Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan timbalannya, Sulaiman Sulong.Sultan Mizan sukacita ketika mendukung kucing baka exotic short hair.Sebanyak 225 ekor kucing pelbagai baka daripada 140 peserta dipertandingkan dengan kehadiran 10 juri dari seluruh dunia.Program yang julung-julung kali diadakan di negeri itu merupakan anjuran bersama Jabatan Pelancongan negeri dan Asian Abyssinian Cat Club.Selain menjadi platform kepada penggemar kucing yang berpusat di pantai timur, acara itu juga mempromosikan Kempen Beautiful Terengganu, Malaysia dalam mewujudkan kolaborasi produk dan penganjuran untuk memperkasakan lagi destinasi pelancongan negeri.Sekitar 5,000 pengunjung daripada pelbagai peringkat umur menghadiri pertunjukan berkenaan di hari pertama karnival.Penganjur pertandingan menerangkan kepada Sultan Mizan berkaitan kucing-kucing yang dipertandingkan.
20 Jul 19
681
Pelantikan Rania Masih Menjadi Tanya Tanya - Shaharizukirnain
Shaharizukirnain Abd Kadir.Oleh: Dzakaria Mohd SallehKUALA TERENGGANU, 20 Julai - Pelantikan Rania Zara Medina sebagai ahli Country Coordinating Mechanism (CCM) oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boo Chye sehingga sekarang masih menjadi tanda tanya.Menurut Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, kenyataan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad yang mendakwa beliau tidak mengetahui mengenai pelantikan itu telah menimbulkan percanggahan antara keduanya.''Lebih menghairankan apabila lantikan ini juga tidak melambangkan kredibilti dan integriti yang ada pada Rania sesuai untuk jawatan tersebut. Bagaimana seorang transgender dilantik mewakili negara?"Lantikan ini jelas sekali hanya membuka ruang kepada pengiktirafan golongan ini secara berleluasa," tegasnya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.Justeru, Shaharizukirnain menggesa agar Timbalan Menteri Kesihatan yang melantik transgender tersebut membatalkan pelantikan tersebut secepat mungkin.Untuk rekod, CCM Malaysia ditubuhkan bertujuan menangani isu Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan Acquired Immune Deficiency (AIDS) melalui sumbangan daripada Global Fund, sebuah organisasi antarabangsa.Usahasama ini membabitkan penglibatan kerajaan, masyarakat, sektor swasta dan golongan pesakit.Golongan sasaran adalah pengguna dadah melalui suntikan atau 'injecting drug users' (IDUs), pekerja seks (lelaki, perempuan dan 'mak nyah') dan lelaki yang melakukan seks dengan lelaki atau “men who have sex with men' (MSM).
19 Jul 19
45
'Bantu Marawi Satu Keutamaan' - Abdul Hadi Awang
Dato' Seri Abdul Hadi Awang.KUALA NERUS, 19 Julai - Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) diminta memberi tumpuan membantu negara-negara jiran bermasalah seperti Marawi, Mindanao, Filipina kerana ia merupakan satu keutamaan.Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, langkah yang diambil untuk membantu jiran serumpun itu mendapat tiga pahala termasuk kelebihan kerana menolong saudara seIslam, menghubungkan silaturrahim dan jiran tetangga.“Saya memperingatkan kepada semua NGO terbabit supaya menumpukan perhatian kepada jiran tetangga dan sahabat handai yang dekat dengan kita kerana saya dapati terlalu banyak aktiviti yang bertaburan ke sana ke mari sampai ke Afrika, sampai ke mana-mana sebab semangat tinggi sedangkan kawasan yang dekat dengan kita sendiri kita tidak bantu.“Di Filipina, Indonesia dan Rohingya, Myanmar yang dekat dengan kita tetapi kita pergi ke tempat lain jauh-jauh. Bukan tak boleh tetapi mesti mengutamakan jiran serumpun dahulu,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Marawi di Duyong Marina & Resort, di sini malam ini.Turut hadir, Pengerusi Agensi Pembangunan Bangsa Moro, Dr Saffrullah M Dipatuan dan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Haji Hussin Ismail.Dato’ Seri Abdul Hadi yang juga Presiden PAS seterusnya berkata, Filipina terjebak dalam konflik politik yang perlu diselesaikan oleh umat Islam.“Autonomi memberi ruang untuk menyatakan Islam secara damai kepada pihak yang lain khususnya rakan sebangsa.“Bandar Marawi menghadapi krisis permusuhan sesama sendiri, berlaku pengeboman di masjid bukan sahaja pasar dan hotel kira-kira dua tahun yang lalu, tidak perlu sebut nama siapa yang terlibat.“Ia mencetuskan keganasan dan pembunuhan, yang matinya orang Islam lebih ramai dari orang bukan Islam kerana sikap melampau ini,” tambahnya lagi.Bagaimanapun katanya, dengan kerjasama pelbagai pihak, permusuhan itu dapat diredakan sehingga berjaya melaksanakan autonomi di Marawi.
19 Jul 19
55
‘Pak Belang’ Tumpas
Foto ihsan - PerhilitanOleh : Adli MohamadDUNGUN, 19 Julai - Seekor harimau belang yang berkeliaran di Kampung Besol, Bukit Besi di sini sejak semalam akhirnya berjaya ditangkap di kampung tersebut petang tadi.Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ‘pak belang’ itu berjaya ditangkap oleh anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam operasi yang bermula pagi tadi.Jelasnya, keadaan itu sedikit melegakan orang kampung namun operasi mencari seekor lagi harimau tetap diteruskan.“Jabatan Perhilitan Malaysia masih lagi mengekalkan perangkap, kerana maklumat yang diterima menyatakan hanya ada seekor tertangkap, jadi seekor lagi masih berkeliaran.“Harimau pertama ditangkap selepas terkena ubat ubat pelali sebelum menembaknya dan menyebabkannya rebah dan harimau itu berada dalam keadaan sihat di bawah pemantauan Pegawai Veterinar dan kakitangan jabatan Perhilitan,” katanya semasa ditemui media dalam operasi mencari harimau itu.Jelasnya lagi, harimau yang ditangkap itu akan dibawa ke tempat dan lebih selamat untuk dirawat dan dijaga. “Haiwan itu dijangka dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) secepat mungkin,” tambahnya selepas dimaklumkan oleh Pegawai Perhilitan.Semalam, kira-kira pukul 9 pagi, dua ekor harimau itu ditemukan berkeliaran di kawasan kampung Besol sehingga menimbulkan rasa takut dalam kalangan penduduk malah turut tular di laman sosial.Sehubungan itu, satu operasi khas bagi mengesan dan menangkap harimau berkenaan telah dijalankan sejak semalam.Operasi itu melibatkan Jabatan Perhilitan Pahang, Jabatan Perhilitan Perak, Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu, Perhilitan Daerah Dungun, dan Perhilitan Daerah Kuala Berang.
19 Jul 19
33
Berikutan Air Sungai Lasir Keruh: Kegiatan Pembalakan Dihentikan Sementara
Jambatan dibina tidak ikut spesifikasi ditetapkan. Foto Ihsan dari JPNTKUALA TERENGGANU, 19 Julai – Kerajaan Negeri telah dimaklum mengenai air sungai Lasir, Tasik Kenyir Hulu Terengganu didapati keruh kerana aktiviti pembalakan tidak mematuhi spesifikasi Garis Panduan Jalan Hutan 2010 (Pindaan 2013) yang disyaratkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT).Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri difahamkan JPNT telah menjalankan penyiasatan dan mengarahkan operasi pembalakan pelesen di kawasan tersebut dihentikan sementara agar spesifikasi dipatuhi.Katanya, kekeruhan air Sungai Lasir itu berlaku ekoran daripada aktiviti pembinaan jalan hutan dan sebuah jambatan melintasi anak sungai ke kawasan kelulusan membalak di Kompartmen 20 GS Hulu Terengganu tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.“Saya menerima laporan bahawa pihak pelesen gagal mematuhi sepenuhnya spesifikasi pembinaan jambatan berdasarkan Garis Panduan Jalan Hutan 2010 (Pindaan 2013) yang disyaratkan oleh JPNT,” katanya ketika dihubungi hari ini.Ustaz Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata, JPNT telah menahan sementara semua aktiviti pembalakan di kawasan tersebut dan mengarahkan pihak pelesen supaya melaksanakan kerja pemulihan serta merta dan mengambil langkah mitigasi (mengurangkan) kesan aktiviti terbabit. Katanya, jabatan itu telah mengarahkan supaya pihak pelesen mengatasi isu hakisan tanah jambatan ke dalam anak sungai sekali gus memastikan impak kekeruhan air sungai dapat diminimakan.“Lokasi kompartmen itu berada di hulu anak sungai yang mengalir ke Sungai Lasir dan terdapat lebihan tanah hasil kerja tanah pembinaan jalan dan jambatan kemudian mengalir ke sungai (anak sungai Lasir) ketika berlakunya hujan.Jalan balak dibina menuju ke Kompartmen 20 GS Hulu Terengganu tidak mengikut peraturan. Foto Ihsan dari JPNT.“Seterusnya mengalir ke Sungai Lasir dan terus ke Tasik Kenyir melalui kawasan Air Terjun Lasir,” jelasnya.Menurutnya air keruh itu terjadi apabila hujan lebat turun di kawasan lesen pembalakan berkaitan. Katanya, jabatan berkenaan akan sentiasa memantau pelaksanaan langkah pemulihan oleh pihak pelesen tersebut sebelum membenarkan semula aktiviti pembalakan.Sementara itu pemilik ‘houseboat’ akan dipanggil untuk menghentikan sementara penghantaran pelancong ke detinasi berhampiran agar tidak timbul tanggapan negatif terhadap industri pelancongan di Tasik Kenyir.
19 Jul 19
613
MB Terengganu 'Gateh' Aplikasi Saranan Gaya Hidup Sihat
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tidak ketinggalan mengamalkan aktiviti sihat dan beriadah selaras dengan saranan pentadbiran pimpinannya untuk membudayakan gaya hidup sihat di kalangan rakyat Terengganu.Petang semalam, beliau bersama Kateh Cycling Community melakukan kayuhan santai di sekitar bandaraya Kuala Terengganu.Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa,Dr. Azman Ibrahim; Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI), Mohd Soud Said serta Pengarah Urus Setia Belia, Sukan & NGO, Nasir Abdul Razak. Kayuhan sejauh 37 km itu bermula dari Batu Burok melalui Jambatan Pulau Sekati dan pulang semula melalui Jalan Kota Bharu- Kuala Terengganu (KB-KT) merentasi Jambatan Sultan Mahmud. Berbasikal sememangnya menjadi antara aktiviti riadah utama rakyat Terengganu selain 'kabat' atau mendaki bukit dan berjoging.Aktiviti berkenaan juga secara tidak langsung memupuk minat remaja untuk menceburi sukan berbasikal secara profesional.Lebih-lebih lagi dengan kejayaan pasukan negeri, Terengganu Cycling Team (TSG) dan pelumba negara, Azizulhasni Awang di peringkat antarabangsa.Dalam aktiviti yang itu disertai sekitar 20 penunggang itu, Dr. Samsuri turut menerima jersi rasmi Kateh Cycling Community yang disampaikan Wan Sukairi.
19 Jul 19
403