Artikel "Semasa" Terkini
‘Nite Ride’ Rentasi Drawbridge
Wan Sukairi menunjukkan t-shirt yang bakal diperolehi peserta.KUALA TERENGGANU, 17 Julai - ‘Nite Ride’ yang berlangsung pada 23 Ogos nanti bakal merentasi ‘Drawbridge’ apabila ia dijadikan sebagai salah satu laluan dalam aktiviti berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, program bersempena Ulang Tahun Ke-20 Bank Muamalat itu dipecahkan kepada dua kategori iaitu ‘Fun Ride’ sejauh 45 kilometer dan kayuhan 10 kilometer bersama keluarga yang terbuka buat seluruh rakyat Malaysia.Jelasnya, kayuhan tersebut dijangka menghimpunkan sekitar 2,000 peminat sukan berbasikal dari seluruh negara sekali gus berjaya mempromosikan ‘Sports Tourism’ di Terengganu.“Antara keistimewaan program ini adalah ia akan melalui laluan yang melibatkan Jambatan Sultan Mahmud, Lebuh Raya Pulau Sekati dan ikonik baharu Terengganu, Drawbridge sebelum terus ke garisan penamat di Batu Buruk.“Untuk pertandingan ‘Nite Ride’ 45 kilometer ini juga, selain tarikan motosikal Y150 yang menjadi hadiah cabutan bertuah, tarikan melalui peserta juga tidak kurang hebatnya apabila Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengesahkan penyertaan,” ujarnya.Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena program ‘Nite Ride 45 Kilometers’ di Tingkat 5, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.Wan Sukairi mengajak seluruh masyarakat untuk menyertai acara ini.Hadir sama dalam majlis tersebut, Penyelaras Pengurusan Acara Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Sabri Mustaffa, serta Timbalan Pengurusan Deposit dan Pemasaran Bank Muamalat, Wan Hosni Wan Kamal.Mengulas lanjut tentang program itu, Wan Sukairi memaklumkan, penyertaan yang telah dibuka sejak 20 Jun dan akan berakhir pada 20 Julai itu sudah mencecah 1,500 penyertaan. Katanya lagi, pendaftaran dibuka tanpa mengira peringkat umur dan terdapat pakej yang tidak dikenakan sebarang yuran. “Peserta diberi pilihan sama ada mahu membuat pembayaran sebanyak RM100 atau RM50 atau tidak membuat sebarang pembayaran. “Peserta akan mendapat sehelai jersi, pingat, makanan dan cabutan bertuah untuk bayaran RM100, manakala bagi bayaran RM50 pula, t-shirt, pingat, makanan serta cabutan bertuah akan diberikan,” tambah beliau. Program tersebut juga mengetengahkan beberapa lagi kategori pertandingan, antaranya basikal berhias yang bakal menonjolkan bakat kreatif masyarakat dan akan diberikan hadiah lumayan.Orang ramai yang berminat untuk menyertai program ini boleh mendaftar secara atas talian di https://www.cognitoforms.com/NiteRite1/BANKMUAMALATNITERIDE atau menghubungi saudara Timber di 019-9285019.
17 Jul 19
282
Terengganu Peruntuk RM410,000 Program Pembangunan Tanah Terbiar
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Kerajaan negeri menerusi Jabatan Pertanian Negeri Terengganu memperuntukkan sebanyak RM410,000 bagi program pembangunan tanah terbiar tahun ini.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, berdasarkan data Bahagian Perancangan Strategik Jabatan Pertanian Malaysia, Terengganu merupakan negeri kedua tertinggi yang mengusahakan tanah terbiar.“Terengganu memiliki seramai 1,051 orang pengusaha tanah terbiar dan kita merupakan negeri kedua dari segi kejayaan mengusahakan tanah terbiar selepas daripada Pahang yang memiliki seramai 1,130 orang,” ujarnya.Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Alias Harun (PAS-Rantau Abang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, semalam.Menurut Dr. Azman, Terengganu mempunyai lebih daripada 10,000 hektar tanah terbiar dan mempunyai insentif dari segi pembangunan tanah terbiar sebanyak kadar maksimumnya RM20,000 untuk satu hektar.“Ianya boleh digunakan untuk tujuan pembersihan kawasan, penyediaan sistem perparitan, membeli utiliti sama ada baja, racun, anak pokok dan sebagainya sehinggalah kepada peringkat pemasaran,” ujarnya.
16 Jul 19
248
RM30 Juta Peruntukan Baik Pulih Rumah Dan PPTS Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) dan membaik pulih rumah rakyat di Terengganu untuk tahun ini.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, jumlah maksimum untuk setiap pembaikian (baik pulih) rumah sebanyak RM11,000.“Kerajaan negeri masih lagi meneruskan peruntukan baik pulih rumah, bahkan bukan sahaja baik pulih tetapi kita juga meneruskan PPTS yang dahulunya dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT),” ujarnya.Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Bazlan Abd Rahman (BN-Batu Rakit) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, semalam.Menurut beliau, jumlah yang diberikan kepada pemohon bergantung kepada jenis kerosakan yang dibuat penilaian oleh pegawai dan juruteknik di pejabat daerah dan diselaraskan oleh Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri di kawasan masing-masing.
16 Jul 19
373
YPU Laksana Showcase Dan Klinik Usahawan Sebagai Pemudahcara
Oleh : Mustaqim AfandiBESUT, 17 Julai- Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan(YPU) melaksanakan program Showcase dan Klinik Usahawan sebagai pemudahcara dalam urusan keusahawanan anak tempatan.Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Makro dan Hal Ehwal Penjaja negeri Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata melalui program tersebut pihak kerajaan dapat mengenalpasti masalah yang dihadapi usahawan dan cuba membantu mencari jalan penyelesaian.Katanya, Terengganu adalah satu-satunya negeri yang mempunyai platform seperti ini dan seharusnya usahawan-usahawan tidak ada alasan kerana YPU telah menjadi pemudah cara dengan menghimpun semua agensi yang berkaitan usahawan supaya penyampaian maklumat tepat dan jelas dari agensi masing-masing malah mampu menarik minat orang ramai untuk menceburi bidang keusahawanan“Masalah yang dihadapi usahawan kebiasaanya adalah kewangan, sering kali kita mendengar rungutan mereka susah untuk mencari bantuan dan tidak mengetahui cara memohon mahupun pinjaman melalui saluran yang sebenar.“Contohnya sebelum ini bila kita tanya adakah mereka mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)? Mereka mengatakan belum berdaftar…Jika tidak berdaftar macam mana Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) hendak membantu mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Showcase dan Klinik Usahawan Zon Utara (Besut dan Setiu) di Dewan Besar Kota Putera Square baru-baru ini.Program ini disertai oleh kira-kira 200 usahawan terdiri daripada pelbagai peringkat daripada daerah Besut dan Setiu merupakan yang pertama di jalankan di Zon Utara meliputi daerah Besut dan Setiu. Dijangkakan program tersebut turut akan diadakan di Zon Selatan bagi Dungun dan Kemaman, manakala Zon tengah bagi Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, dan Kuala Nerus.Menurut Mohd Norkhuzaini, pihaknya akan panggil semua agensi yang terlibat untuk duduk bersama bagi membincangkan dan mencari jalan penyelesaian membantu usahawan di negeri ini dibawah satu bumbung yang dinamakan Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER).“InsyaAllah kami dari pihak kerajaan negeri akan sentiasa meningkatkan prasarana kepada usahawan yang tercicir dari masa ke semasa dan meletakkan matlamat dari bidang keusahawanan sebagai satu bidang yang penting untuk memajukan hasil kepada negeri kita,”katanya.
16 Jul 19
62
Jaga Kesihatan, Patuhi Peraturan Di Tanah Suci - Titah Sultan Mizan
Sultan Mizan bersalaman dengan jemaah haji.KUALA NERUS, 17 Julai - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengingatkan jemaah haji dari negeri ini supaya sentiasa menjaga kesihatan diri dan mematuhi arahan pihak berkuasa Arab Saudi.Titah baginda, selain menumpukan sepenuh perhatian semasa menunaikan haji, kebersihan dan kesihatan diri yang baik juga akan melahirkan kesempurnaan dalam ibadat tersebut.“Beta merakamkan ucapan tahniah dan menyeru semua bakal jemaah haji bersyukur kerana terpilih sebagai tetamu Allah SWT untuk mengerjakan ibadat haji tahun ini.“Semoga semua jemaah haji yang terpilih menunaikan Rukun Islam kelima tahun ini dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam melaksanakan ibadat haji,” titah baginda.Baginda bertitah demikian ketika berangkat mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan pertama bakal jemaah haji seramai 150 orang melibatkan 66 lelaki dan 84 wanita di Tabung Haji (TH) Hotel & Convention Centre, di sini semalam.Turut berkenan berangkat mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.Hadir sama, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, Pengurus Besar Simpanan dan Pengeluaran TH, Mohd Ridzuan Wahi dan Pengarah TH negeri, Datuk Mohyen Mosman.Penerbangan pertama membawa kumpulan jemaah haji itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 1 pagi sebelum menyambung penerbangan ke Madinah pada jam 5.10 pagi.Seramai 1,350 bakal jemaah haji dari seluruh negeri ini terpilih untuk menunaikan ibadat haji tahun ini dan sebanyak sembilan penerbangan disediakan TH.Sultan Mizan turut menghargai komitmen TH dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah haji setiap tahun.“Beta berharap usaha memantapkan pengurusan haji akan diteruskan supaya pengurusan haji negara sentiasa berada di tahap cemerlang dan menjadi contoh kepada negara Islam di seluruh dunia.
16 Jul 19
68
Terengganu Negeri Pertama Wujud Jawatan Timbalan Ketua Pendaftar
Oleh : Mohd Haniff AbasKUALA TERENGGANU, 17 Julai - Terengganu menjadi negeri pertama di Malaysia yang mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Pendaftar apabila meluluskan satu rang undang-undang baharu berkaitan pindaan Enakmen Undang - Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017.Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, pindaan ini melibatkan seksyen 27 yang bertujuan mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Pendaftar bagi melaksanakan tugas-tugas Ketua Pendaftar.Jealsnya, ia khusus dalam hal mendaftarkan perceraian dan mengeluarkan surat perakuan cerai dan ianya masih tertakluk kepada syarat-syarat sebagaimana termaktub pada enakmen ibu seksyen 52(6) (pindaan) 2019.“Syabas dan tahniah kepada kerajaan negeri kerana dengan pindaan ini, Terengganu merupakan negeri pertama di Malaysia yang mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Pendaftar.“Ini dapat memastikan urusan pendaftaran cerai dan pengeluaran surat perakuan cerai dapat berjalan lancar dan efektif terutama berkaitan kuasa menandatangani dan mendaftarkan surat perakuan cerai.Dengan ini, surat perakuan cerai dapat dikeluarkan dan diserahkan kepada pemohon dalam tempoh waktu yang ditetapkan,”katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ditangguhkan semalam.Rang undang - undang yang bernama Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu)(Pindaan) 2019 ini telah diluluskan dengan mendapat sokongan sebulat suara dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas Tahun 2019 yang bersidang selama dua hari bermula 15 hingga 16 Julai di Wisma Darul Iman.Mengulas tentang pindaan enakmen ini, Ridzuan menegaskan bahawa ini menunjukkan betapa serius dan tingginya komitmen kerajaan negeri dalam usaha untuk memartabat dan memperkasakan lagi perlaksanaan syariat Islam di Terengganu.
16 Jul 19
195
Terengganu Kaji Kaedah Dalamkan Pelabuhan Chendering
Azman Ibrahim.KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Kerajaan Terengganu sedang mengkaji kaedah terbaik untuk mendalamkan dan menaik taraf pelabuhan Chendering yang berada di bawah selian Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi nelayan.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, formula baharu dirangka berikutan kos untuk tujuan itu adalah sekitar RM23 juta dan ia berada di luar kemampuan kerajaan negeri buat masa ini. Jelasnya, masalah tersebut berpunca daripada pemendapan pasir mengakibatkan air menjadi cetek dan menyukarkan bot untuk berlabuh terutamanya bot laut.“Kerajaan negeri dicadang untuk membuka tawaran bagi pengalihan pasir kepada pihak yang berminat, dengan syarat kajian hidrologi harus disempurnakan dahulu oleh Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dan juga kajian struktur pelabuhan dari Jabatan Kerja Raya (JKR). “Jadi melalui langkah diambil ini, kos kepada kerajaan negeri akan dijimatkan dan dalam masa yang sama boleh menambah hasil negeri dalam bentuk cukai pengalihan pasir,” ujarnya.Muhammad Khalil Abdul Hadi.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi pada Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belas di Wisma Darul Iman, semalam.Tambah Azman lagi, mendapan pasir mengakibatkan benteng pemecah ombak rendah dan dilepasi oleh ombak. Katanya, masalah pelabuhan itu turut mengakibatkan pemilik bot mengalihkan operasi mereka ke Tok Bali, Kelantan dan Pelabuhan Perikanan Kuantan, Pahang.“Kita terpaksa mengambil respon ini apabila tiada tindakan drastik daripada pihak Kerajaan Pusat untuk mendalamkan dan juga menaik taraf infrastruktur-infrastruktur lain.“Antara yang menjadi sungutan nelayan seperti kilang air batu yang tidak mampu memberi bekalan yang mencukupi kepada nelayan. Kita sudah turun berbincang dengan pihak persatuan nelayan,” tambah beliau lagi.
16 Jul 19
375
'Anak Jati' Taruhan Terengganu FC 2020
Hishamuddin sasar majoriti bakat anak negeri barisi TFC 1 dan TFC 2. KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Terengganu Football Club (TFC) bakal menampilkan lebih ramai pemain anak negeri itu dalam saingan musim hadapan.Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim menyasarkan sekitar 80 ke 85 peratus ‘ubi’ hasil pembangunan negeri itu akan membarisi skuad Terengganu FC 1 dan Terengganu FC 2 dalam saingan musim baharu nanti.“Kita berhasrat menggunakan majoriti pemain terdiri daripada anak Terengganu sebagai salah satu usaha mengangkat bakat-bakat muda kita yang semakin menyerlah dalam pelbagai peringkat.“Lebih-lebih lagi dengan perkembangan yang berlaku pertengahan musim ini, di mana beberapa pemain yang dimanfaatkan dari kelab ‘feeder’ menunjukkan hasil positif,” katanya ketika ditemui selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di Wisma Darul Iman, semalam.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh bagaimanapun menegaskan kekal dengan pendirian tidak mencampuri pengurusan pasukan di bawah pemangku jurulatih, Nafuzi Zain.“Sewaktu mengambil alih PBSNT tahun lalu, ketua jurulatih ketika itu, Irfan Bakti Abu Salim kurang cenderung membariskan ‘anak jati’ dan kita hormati keputusannya.Barisan pemain TFC 4 yang berjuang dalam saingan Piala Belia 2019. Foto: Media TFC.“Sebaliknya, Nafuzi kali ini lebih optimis mengetengahkan bakat muda negeri, disebabkan itu kita menyuarakan hasrat ini dan disambut baik olehnya,” katanya.Mohammad Rahmat Makasuf menjadi pemain terbaru yang dinaikkan daripada Terengganu FC 2 musim ini selepas Abdul Shukor Jusoh dan Muhamad Hafizal.Manakala, Shahrin Sapien, Muhamad Fauzi, Haidir Husani dan Izzan Syahmir Mustafa terpilih mewakili Terengganu FC 1 pada awal musim. Hari ini, PBSNT mengumumkan tiga pemain Skuad Terengganu FC 4 berusia bawah 18 tahun iaitu Muhd Muslihuddin Atiq Mat Zahid, Muhd Rahadi Azli Rahalim dan Muhammad Azam Azmi Murad yang disenaraikan menyertai kem latihan dan pemilihan pusat skuad B-18 Kebangsaan bermula 20 Julai ini, menjelang kejohanan B-18 AFF 2019 di Vietnam. Skuad yang mereka wakili juga menunjukkan prestasi terbaik apabila layak ke peringkat suku akhir Piala Belia 2019 setelah memungut 49 mata dalam saingan kumpulan jauh meninggalkan pasukan di tangga kedua dengan jarak 16 mata dengan rekod 16 kemenangan, 1 seri dan hanya 1 kekalahan dengan baki dua perlawanan di tangan.Manakala, Terengganu FC 3 mengukuhkan langkah dalam saingan Piala Presiden 2019 setelah menewaskan Kelantan B-21, 3-1 untuk berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan 39 mata, sembilan mata di belakang pendahulu, PKNS FC.Barisan pemain TFC 3 dalam saingan Piala Presiden 2019. Foto: Media TFC.
16 Jul 19
1378
Seni Halus, Sukan Tradisi 'Pucuk Muda' Pelancongan Terengganu
Wan Sukairi nyata kesediaan semarak sukan-sukan lama.KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Pelan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman untuk mengetengahkan perusahaan seni halus dan tradisional sebagai salah satu aspek tarikan pelancong ke Terengganu disambut baik Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.Mengulas keputusan tersebut, Wan Sukairi turut menyatakan kesediaan mengangkat sukan-sukan tradisi menjadi elemen penting dalam pelancongan negeri.“Kita akan menghidupkan kembali sukan-sukan lama lebih-lebih lagi sebahagiannya mempunyai kaitan dengan sukan-sukan moden.“Saya jangka pada awal tahun 2020, kita akan mengadakan program-program sukan tradisi ini di seluruh kampung dalam Terengganu,” katanya.Beliau berkata demikian selepas ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Pelancaran Kad Sejahtera di Wisma Darul Iman, hari ini.Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berharap agar usaha itu berfungsi sebagai antara aspek yang mengangkat Terengganu sebagai negeri penuh budaya dengan identiti tersendiri.Mohd Nurkhuzaini ketika menjawab soalan lisan ADUN Wanita.Dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belas hari ini, Mohd Nurkhuzaini yang menjawab soalan ADUN Wanita, Zuraida Md. Noor menjelaskan, seni halus dan tradisional memliki potensi untuk dibangunkan.“Justeru, pihak kami melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) telah mendaftarkan Perbadanan Harta Intelek (myIPO) bagi industri tembaga, batik, songket dan sebagainya bagi menjayakan hasrat ini.“Kami turut bekerjasama dengan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) mencari pewaris yang menyambung kesinambungan seni tembaga negeri itu,” katanya.
16 Jul 19
120
ECRL : Terengganu Mahu Bina ‘Spur Line’ Chukai-Kemaman - MB
Kerajaan negeri sentiasa berunding dengan KerajaanPusat bagi memastikan yang terbaik untuk rakyat.KUALA TERENGGANU, 16 Julai - Kerajaan Terengganu bercadang untuk membina ‘spur line’ di lokasi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Chukai, sekali gus berpeluang merancakkan perkembangan ekonomi di negeri itu.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif yang masih di peringkat perbincangan itu secara dasarnya akan menguntungkan anak syarikat Kerajaan Terengganu terutamanya Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC).Jelasnya, jajaran baharu yang akan dilancarkan kelak juga akan turut dikaji bersama EPIC bagi merangka potensi pembangunan ekonomi supaya dapat meningkatkan taraf pendapatan penduduk setempat dengan pembinaan kawasan industri.“Kita berbincang dengan Kerajaan Pusat bagi mewujudkan ‘spur line’ dari hentian Chukai ke pelabuhan Kemaman, dipercayai ia dapat memangkin pembangunan Pelabuhan Kemaman dengan lebih pesat apabila berlakunya kenaikan kuantiti kargo, keuntungan kos pengendalian dan kadar penggunaan pelabuhan yang maksimum.“Pihak kerajaan negeri juga yakin dengan penambahan ‘spur line’ ini akan dapat meningkatkan minat pelabur-pelabur baharu ke Terengganu dan menambahkan keyakinan pelabur sedia ada untuk mengembangkan perniagaan mereka,” ujarnya.Ir Saiful Azmi.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili pada Sidang Dewan Undangan Negeri Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, hari ini.Dalam masa yang sama, Ahmad Samsuri turut berkata, jumlah stesen ECRL dalam jajaran baharu yang bakal dilancarkan sudah berada di peringkat akhir semakan.Katanya lagi, jajaran baharu itu juga perlu sejajar dengan perancangan kerajaan negeri supaya rakyat mendapat manfaat yang setimpal dengan projek ECRL.“Jumlah stesen bagi jajaran baharu adalah enam berbanding lapan sebelum ini, jadi kita akan bincang balik dan kita tak mahu kerana mahukan jimatkan kos, kita buat projek yang tidak memberi pulangan berguna pada rakyat.“Itulah yang sedang kita rundingkan dan tekankan dengan mereka, kerana kita ada perancangan tersendiri di setiap daerah terlibat,” tambah beliau.
16 Jul 19
1072