lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Empty Image
Tiga Strategi Pacu Projek RMM Terengganu
Dr Alias mengatakan kerjasama dengan Kerajaan Pusat akan terus berjalan bagi membantu rakyat memiliki rumah pertama.KUALA NERUS, 26 Julai - Terengganu terus mengorak langkah dalam usaha melunaskan janji manifesto pilihan raya lalu dengan mewujudkan tiga strategi utama yang bakal merancakkan pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri itu.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak memaklumkan, strategi yang diatur pihaknya itu bakal melibatkan semua pemain perumahan di Malaysia.Jelasnya, strategi itu termasuk peruntukan dan penyediaan tanah oleh kerajaan negeri bagi mencapai matlamat untuk membina sekurang-kurangnya 20,000 RMM untuk rakyat Terengganu yang berpendapatan rendah dan sederhana sebagaimana dinyatakan dalam Bajet 2019.“Kemudian, kerajaan negeri sentiasa melakukan rundingan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Luar Bandar bagi memastikan RMM Terengganu tidak dianaktirikan.“Kita juga sedang menggalakkan kerjasama daripada agensi swasta bagi penyediaan RMM, dalam masa terdekat ini kita akan keluarkan polisi baharu yang lebih mesra pelabur dan pemaju sekali gus menarik minat mereka,” ujarnya.RMM kedua di bawah tanggungan kerajaan negeri berjaya dilaksanakan.Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah RPMM Tok Jembal, Seberang Takir, di sini semalam.Hadir sama dalam majlis itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Bentara Dalam A. Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab.Mengulas lanjut tentang strategi itu, Dr Alias berkata, hasil daripada rundingan bersama KPKT, sebanyak RM151 juta telah diluluskan bagi tujuan pembinaan RMM di dua lokasi. “Hasilnya, KPKT telah bersetuju dengan dua tapak projek RMM yang Terengganu cadangkan, iaitu di daerah Marang (250 unit) dan juga Besut (478 unit),” tambahnya.Katanya lagi, kerajaan negeri telah mengumumkan dalam Bajet 2019 untuk melaksanakan projek tersebut di empat kawasan.“Minggu sebelum ini projek RMM di Kampung Tajin telah dirasmikan, hari ini di Tok Jembal, dan selepas ini insya-Allah kita akan umumkan pembinaan di Besut dan terakhir di Gong Cengal, Kemaman," jelasnya.
25 Jul 19
71
Empty Image
Harimau : Tunggu Hasil Siasatan - MB Terengganu
Ahmad Samsuri menegaskan kerajaan negeri sentiasa memantau dari semasa ke semasa siasatan yang dijalankan Perhilitan.KUALA NERUS, 26 Julai - Kerajaan Terengganu sentiasa mengikuti perkembangan siasatan pihak berkuasa berhubung aktiviti pembalakan dan perlombongan di Bukit Besi, Dungun, yang didakwa menjadi penyebab kemusnahan habitat harimau sehingga haiwan itu tersesat ke sebuah perkampungan.Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kajian mengenai perkara itu masih lagi dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Perhutanan.Jelasnya, kerajaan negeri akan mengambil tindakan yang sesuai selepas meneliti hasil siasatan berkenaan.“Sesiapa sahaja boleh buat sebarang dakwaan, namun tindakan akan diambil selepas siasatan terperinci pihak berkuasa selesai dan kerajaan negeri mengambil berat tentang isu ini.“Kita sentiasa pantau agar semuanya mengikut piawaian dan peraturan yang ditetapkan, bukan hanya ketika berlakunya kes harimau ini sahaja,” ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah 160 Unit Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) di Tok Jembal, di sini kelmarin. Ahmad Samsuri turut berharap agar tiada mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi awal berhubung kejadian tersebut sebelum laporan siasatan penuh dilakukan Perhilitan dan Jabatan Perhutanan.Minggu lepas, penduduk Kampung Besol Lama, Bukit Besi, gempar dengan kehadiran dua ekor harimau yang dikatakan jinak kerana tidak menyerang haiwan dan manusia, malah beberapa video mengenai harimau itu juga tular di media sosial.Bagaimanapun, seekor harimau tersebut yang berjaya ditangkap disahkan mati pada awal pagi kelmarin akibat virus 'Canine Distemper', sejenis penyakit yang menyerang saluran pencernaan, pernafasan dan sistem saraf pusat haiwan.
25 Jul 19
83
Empty Image
Projek ECRL Dilancarkan Semula
Dato' Seri Dr. Samsuri bersama Loke Siew Fook dan Dato' Seri Aminuddin Harun sebelum gimik pelancaran semula projek ECRL.DUNGUN, 26 Julai - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang telah terhenti lebih setahun lalu, semalam dilancarkan semula dengan memberi keutamaan kepada kerja-kerja pembinaan terowong dan jajaran yang merentasi Dungun sehingga di Mentakab, Pahang bagi enam ke 12 bulan mendatang.Menurut Menteri Pengangkutan Malaysia, Loke Siew Fook, projek itu akan  menumpukan reka bentuk dan kerja-kerja fizikal bagi pembinaan terowong sepanjang 14.13 km di 23 lokasi dan jambatan sepanjang 39.03 km di 65 lokasi sepanjang 223 km dari kedua-dua daerah tersebut. Ia merupakan jajaran asal yang tidak berubah dalam usaha penambahbaikan ECRL.“Di Terengganu sahaja, tiga buah terowong akan dibina iaitu Terowong Dungun sepanjang 871 meter, Terowong Paka sepanjang 1.104 km dan Terowong Kuantan yang merangkumi panjang 2.286 km yang turut melalui kawasan Jabor.Loke Siew Fook."Terowong ini akan dibina menggunakan kaedah “Control Blasting” atau letupan terkawal bagi kerja-kerja penembusan,” katanya dalam Majlis Pelancaran Semula Projek ECRL di Tapak Terowong Dungun, Rimba Bandar Bukit Bauk, Kuala Dungun, semalam.Majlis turut dihadiri Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Aminuddin Harun dan Duta Besar China ke Malaysia, TYT Bai Tian.Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi Negeri Pahang, Dato' Sri Norolazali Sulaiman yang mewakili Menteri Besar Pahang, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan Dan Utiliti Negeri Kelantan, Abd Rahman Yunus yang mewakili Menteri Besar Kelantan, Naib Presiden China Communication Construction Company Ltd (CCCC), Sun Ziyu serta ahli-ahli lembaga pengurusan dari Malaysia Rail Link (MRL).Kerja-kerja awal di Terowong Dungun telah dimulakan.Loke turut memaklumkan, pihak MRL dan CCCC telah pun giat menguruskan kerja-kerja awalan pelaksanaan semula projek terutamanya di jajaran yang tiada perubahan.“Bagi jajaran di seksyen A, melibatkan Kota Baharu, Kelantan ke Dungun dan jajaran Seksyen C di antara Mentakab, Pahang ke Pelabuhan Klang di Selangor yang mengalami perubahan, MRL akan menyerahkan Skim Keretapi Bersyarat untuk ECRL yang terlibat kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk dipertimbangkan. "Selain itu, penilaian awam dijangka akan bermula pada hujung tahun ini selama tiga bulan untuk orang awam menilai dan memberi maklum balas terhadap cadangan projek,” katanya.Projek ECRL yang telah digantung pelaksanaannya pada 3 Julai 2018 diteruskan selepas perjanjian tambahan dimeterai April lalu antara MRL dan CCCC dengan kos baharu bernilai RM44 bilion, pengurangan RM21.5 bilion ataupun 33 peratus  lebih rendah berbanding kos asal RM 65.5 bilion.Jajaran baharu ECRL akan melalui 20 buah stesen, di mana 14 daripadanya merupakan stesen penumpang, lima stesen gabungan penumpang dan kargo serta satu stesen untuk tujuan kargo sahaja. Terengganu akan mempunyai enam buah stesen iaitu Kampung Raja, Kuala Terengganu, Pengkalan Berangan, Dungun, Kemasik dan Chukai yang merangkumi empat stesen penumpang dan dua stesen gabungan penumpang dan kargo.Projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026 merangkumi laluan sepanjang 640 km dengan perubahan jajaran sebanyak 417 km atau 65.2 peratus daripada jajaran asal.  
25 Jul 19
338
Empty Image
Operasi Terjah Sungai Lasir: JPNT Turun Padang
Mohd Rahim (kiri) menyatakan sesuatu agar pelesen membaik pulih semula jambatan yang dibina bagi mengelakkan air sungai Lasir terus keruh.HULU TERENGGANU, 25 Julai - Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) turun padang meninjau punca kejadian air sungai Lasir keruh  di kawasan pembalakan di hutan Hulu Terengganu hari ini.Jabatan itu membuat penyiasatan secara menyeluruh sambil mengarahkan pelesen memenuhi spesifikasi yang ditetapkan bagi menghalang kejadian itu terus berlaku.Kira-kira 20 kakitangan dengan menaiki lima buah  pacuan empat  roda diketuai Pengarah Perhutanan Negeri, Encik Mohd Rahim Rani, berlepas dari Pejabat Hutan Daerah Terengganu Barat, awal pagi ini menuju ke sungai berkenaan.Rombongan  itu sampai ke destinasi kira-kira lebih sejam perjalanan melalui lereng bukit jalan becak.Turut serta tiga kakitangan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam satu operasi dinamakan Terjah Bersama JPNT di Alur Sungai Lasir berhampiran Tasik Kenyir berikutan tular air  kawasan pelancongan itu keruh dipercayai akibat pembalakan tidak terkawal.Jambatan dibina tidak mengikut spesifikasi menyebabkan air sungai Lasir keruh.Dalam tinjauan UPDI didapati kegiatan pembalakan di alur sungai Lasir itu dihentikan sementara  sejak insiden tersebut  setelah diarah berbuat demikian oleh JPNT.Hari ini pelesen masih berusaha membaiki untuk mitigasi (mengurangkan) kesan pembalakan termasuk aliran tanah ke dalam alur sungai akibat pembinaan jambatan dan jalan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.Pelesen yang enggan namanya disebut ketika  ditemui menjelaskan bahawa jalan balak sepanjang 2 kilometer baru diguna tidak sampai sebulan setelah mula dibina Mei lalu."Ia membabitkan jejambat sepanjang 75 meter dengan kelebaran kira-kira 10 meter dengan kos keseluruhan membina jalan sebanyak RM500 ribu," jelasnya.Didapati jalan tanah merah itu terlalu lembut kerana masih baru dibina terutama ketika hujan turun hampir setiap hari sepanjang bulan Julai ini.Air hujan menyebabkan tanah liat di kawasan itu turun ke alur sungai mengakibat air sungai menjadi keruh.Warna kuning di tiang kayu (dalam bulatan merah) menunjukkan tanda zon penampan Sungai Lasir, 20 meter dari gigi air sungai berkenaan.Difahamkan pembalakan tidak sesuai dijalankan akhir tahun kerana musim tengkujuh.Didapati hanya seorang pelesen sahaja menjalankan aktiviti pembalakan di situ sebagaimana dibenarkan kerajaan.Aktiviti pembalakan di situ dibenarkan seluas 229 hektar dan kemajuan pembalakan sebanyak 40 peratus.Sementara zon penampan diukur 20 meter dari gigi air alur sungai di kedua-dua sisi.Tidak dibenarkan aktiviti pembalakan  dijalankan oleh mana-mana pihak termasuk di kawasan pelesen, di  zon penampan di bahu sungai itu.Alur sungai itu mengalir ke Sungai Lasir dan seterusnya ke Tasik Kenyir sepanjang 6 kilometer dan ia berada di pinggir kawasan pembalakan.
25 Jul 19
203
Empty Image
Gerai Terbakar Di Hari Pertama Berniaga
Oleh: Ariss AliasSETIU, 24 Julai - "Saya sedih dengan kejadian yang berlaku kerana ini hari pertama saya memulakan jualan setelah berehat panjang setelah melahirkan anak," kata Siti Ayu Azmira, 30, setelah melihat sendiri gerai goreng pisangnya terbakar, di Kampung Pelong, semalam.Menurutnya, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang itu, dia sedang menggoreng pisang sebelum melihat api tiba-tiba menyala dari hos gas.“Saya terkejut, namun sempat mengeluarkan hos bagi mengelakkan tong gas meletup sebelum berlari keluar dan memanggil orang kampung yang berdekatan untuk membantu.“Alhamdulillah, dengan tindakan pantas mereka api dapat dipadamkan dengan menggunakan tujuh tong pemadam api kebakaran," ceritanya.Pemilik gerai itu turut memaklumkan, beberapa dokumen penting di dalam beg tangannya termasuk wang berjumlah RM600 hasil pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) tidak dapat diselamatkan."Gerai ini merupakan tempat saya mencari rezeki bersama kakak, Fatimah Muhamed, 41 yang menjual 'roti john'. Syukurlah, kerana ia tidak merebak ke gerai bersebelahan," katanya.Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Azmi Maarof telah menyampaikan bantuan segera kepada mangsa kebakaran gerai pisang goreng, Siti Ayu Azmira,30, dalam kunjungan ke rumahnya di Kampung Pelong, petang semalam.Menurutnya, bantuan berkenaan disumbangkan Pusat Khidmat DUN bagi mengurangkan beban yang ditanggung Ayu sekeluarga berikutan kehilangan mata pencarian.“Hari ini, kita cuba memberi sedikit sumbangan bagi membantu mangsa dalam tempoh sementara. Bagaimanapun, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pelong akan berusaha membantu baik pulih semula gerainya."Perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Setiu dan pegawai mereka akan datang menyiasat,” katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
24 Jul 19
28
Empty Image
Jangan Bimbang, 'Mek Belara' Beruang Matahari Kini Selamat
KUALA NERUS, 24 Julai - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu memaklumkan, beruang betina ‘Mek Belara’ seberat 70 kilogram (kg) yang masuk perangkap di kebun salah seorang peneroka Felda Belara awal pagi semalam tidak mengalami nasib yang sama seperti 'Awang Besol'.Pengarahnya, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini mengesahkan bahawa haiwan liar daripada spesies Malayan Sun Bear atau Beruang Matahari itu dalam keadaan sihat dan telah dihantar ke Taman Negara Terengganu petang semalam bagi membolehkannya hidup di habitat asal yang lebih luas. Beliau turut menyatakan, pihak PERHILITAN telah memasang dua lagi perangkap di kawasan sama untuk memerangkap dua ekor lagi mamalia berkenaan.“Berdasarkan bukti daripada laporan orang kampung, kita mengesahkan ‘Mek Belara’ merupakan salah satu daripada tiga ekor beruang yang dikesan berkeliaran dalam kawasan kebun itu sejak dua minggu lalu dan dipercayai adalah satu keluarga.“Pihak kami dengan bantuan masyarakat Felda akan memantau keadaan ini sehingga kedua-duanya ditangkap,” katanya.Dalam perkembangan sama, Dr. Abdul Malek berkata, operasi menjejak seekor lagi harimau di Besol masih diteruskan sebagai langkah keselamatan serta mengesahkan kewujudan haiwan itu sebagaimana maklumat yang diterima daripada orang ramai, baru-baru ini.
24 Jul 19
95
Empty Image
Terengganu Bina 160 Rumah Pangsa Mampu Milik Bantu B40 - MB
Ahmad Samsuri merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek RPMM Tok Jembal.KUALA NERUS, 24 Julai - Sebanyak 160 buah Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal yang bernilai RM26 juta menjadi projek terbaharu Kerajaan Terengganu bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40) memiliki rumah pertama.Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan membantu golongan berpendapatan isi rumah RM3,500 sebulan dan ke bawah untuk tinggal di rumah selesa dan mempunyai fasiliti yang mencukupi.Jelasnya, Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu Bahagian Perumahan dipertanggungjawabkan sebagai agensi pemantau untuk projek rumah berharga RM68,000 yang dijangka siap Jun 2021.“Pembinaan RPMM di atas tanah milik kerajaan yang berkeluasan 4.205 ekar itu melibatkan 160 unit rumah merangkumi tiga bilik tidur dan dua bilik air.“Kerajaan tidak hanya menyediakan tempat tinggal semata-mata, malah menyediakan pelbagai kemudahan asas seperti tempat letak kereta, dewan serbaguna, surau, tadika, gerai, taman permainan dan kawasan rekreasi untuk kemudahan dan keselesaan para penduduk,” ujarnya.RPMM dibina di atas tanah kerajaan dijangka memberi manfaat kepada 160 keluarga.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah RPMM Tok Jembal, Seberang Takir, di sini hari ini.Hadir sama dalam majlis itu, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Bentara Dalam A. Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Terengganu (Pengurusan), Tengku Bijaya Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab.Sementara itu, Ahmad Samsuri memberitahu, kerajaan negeri sentiasa meneliti keluhan rakyat di seluruh daerah yang masih belum memiliki kediaman dan perkara itu sedang diambil perjalanan oleh wakil rakyat masing-masing.“Kita sedar rumah dan tanah merupakan dua isu yang sangat mendesak kepada rakyat dan antara keluhan yang dialami sejak puluhan tahun lalu.“Permintaan untuk rumah tinggi tetapi kita mengalami kesukaran mencari kawasan yang bersesuaian terutama di kawasan padat penduduk seperti di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Justeru pencarian bagi menentukan tanah bersesuaian menyebabkan proses itu memakan sedikit masa,” tambah beliau.Penerima Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) bersama Jadual 5A yang mereka peroleh sekali gus menjadi bukti komitmen Terengganu untuk menunaikan janji.Untuk rekod, projek RPMM itu merupakan projek Rumah Mampu Milik (RMM) kedua selepas RMM Kampung Tajin yang dirasmikan awal bulan lalu.Kerajaan menyasarkan untuk membina lebih 20,000 unit RMM untuk seluruh rakyat negeri Terengganu dengan membabitkan empat lokasi terpilih..
24 Jul 19
1041
Empty Image
Penduduk Besol Kembali Aman
Awang Besol. Foto ihsan - PERHILITANOleh: Adli MohamadDUNGUN, 24 Julai- Penduduk Kampung Besol yang terdiri daripada 20 keluarga kini kembali menjalani kehidupan seperti biasa tanpa diiringi lagi kebimbangan sebagaimana ketika kejadian harimau belang sesat berkeliaran di kampung itu, baru-baru ini.Harimau berkenaan yang dikenali "Awang Besol”yang ditangkap Jabatan Perlindungan Haiwan dan Hidupan Liar (Perhilitan) pada 19 Julai lalu selepas berkeliaran di sekitar Kampung Besol Lama, disahkan mati di Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak kira-kira jam 5.30 pagi, semalam.Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Besol, Nasharuddin Salleh berkata, kini penduduk sudah mula berani menghantar anak ke sekolah dan keluar bekerja seperti biasa."Ianya tidak seperti pada awalnya, dimana penduduk sangat bimbang untuk keluar dari rumah dan kehidupan mereka agak terganggu dengan kehadiran harimau berkenaan, bagaimanapun kini keadaan semakin baik,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman mengulas mengenai keadaan dan keselamatan penduduk Kampung Besol.Sebagai Pengerusi MPKK Besol, beliau menzahirkan rasa syukur kerana kampung berkenaan kembali selamat.Dalam perkembangan sama, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, pencarian seekor lagi harimau sebagaimana yang didakwa oleh penduduk diteruskan."Saya telah bertindak menghubungi Pegawai Perhilitan Daerah menyatakan pencarian harimau diteruskan dengan dikecilkan anggota operasi."Ketika mula-mula operasi Jumaat yang lalu ianya terdiri daripada 22 anggota, selepas tertangkapnya harimau yang dikenali 'Awang Besol' maka anggota dikecilkan kepada 16 orang, dan sekarang ini hanya tinggal anggota perhilitan daerah sahaja seramai tiga orang yang masih tinggal bagi menjejaki yang seekor lagi," ujarnya.Katanya, menurut pihak perhilitan daerah pada ketika ini masih belum ditemui kesan ataupun tapak baru yang dilalui oleh harimau terbabit dan sekiranya masih belum menjumpai jejak operasi berkenaan akan berakhir pada minggu ini. Menurut beliau, kematian ‘Awang Besol’ yang telah ditangkap oleh pihak perhilitan baru-baru ini dan telah disahkan meninggal semalam sememangnya meninggalkan satu kesan abadi kepada penduduk. "Ianya adalah satu sejarah buat DUN Bukit Besi, kehadirannya seketika namun memberi makna yang tersendiri, seolah-olah menghantar mesej ataupun pesanan kepada masyarakat dunia bahawa kehadirannya mungkin bagi meminta perlindungan," jelasnya.Sehubungan itu, beliau selaku Penyelaras DUN berkenaan berterima kasih kepada pihak terlibat iaitu Jabatan Perhilitan Negara Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan semua yang telah bertungkus lumus mengembalikan serta berusaha bagi meletakkan kampung berkenaan kembali selamat.
23 Jul 19
214
Empty Image
Ibu Tunggal Digalak Ceburi Industri Kulinari 'Frozen Food'
Oleh: Adli MohamadDUNGUN, 24 Julai - Ibu tunggal dan suri rumah diminta menceburkan diri dalam industri kulinari 'frozen food' termasuk membuat roti canai bagi menambah pendapatan keluarga.Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ghazali Sulaiman berkata, perniagaan pembuatan roti canai secara sejuk beku atau 'frozen' adalah satu bidang perniagaan yang sesuai untuk diceburi kerana ia bermula dari rumah."Penyediaannya tersangat mudah kerana mereka tidak perlu menyewa mana-mana kedai ataupun premis perniagaan, proses hanya dibuat di rumah."Promosikan roti canai sejuk beku ini boleh dibuat melalui media sosial, dan ianya amat berbaloi dan lumayan hasilnya jika kena caranya,"jelas beliau.Ghazali berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup Bengkel Pembuatan Roti Canai dan Roti Canai 'Frozen', di Pusat Komuniti Desa (PKD) Felda Jerangau di sini baru-baru ini.Program anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), memberi manfaat kepada 30 orang peserta bagi meningkatkan ilmu, kemahiran dan pengalaman dalam bidang tersebut.Sementara itu, seorang peniaga gerai makan di Felda Jerangau, Mohd Radzi Mat Lela, 41 berkata, ilmu yang diperolehinya itu akan digunakan untuk menambahkan kepelbagaian jualan di gerainya."Sebelum ini gerai saya hanya menjual mee sup celup, pisang goreng dan air balang. Namun setelah mengikuti kursus yang dianjurkan oleh YPU ini memberikan saya satu keyakinan untuk menceburi bidang ini sebagai tambahan."Kursus ini juga mengajar saya, bagaimana cara membuat roti canai berkualiti sesuai dengan harga yang dibayar pelanggan dan memuaskan hati mereka," jelas beliau.
23 Jul 19
92
Empty Image
Kerajaan Pusat Digesa Haramkan “Ghost Candy” Dan Vape Kepada Pelajar Sekolah - Shaharizukirnain
KUALA TERENGGANU, 24 Julai - Kerajaan Pusat digesa mengharamkan penjualan ‘Ghost Candy’ kepada pelajar sekolah khususnya bagi menghalang anak muda membudayakan tabiat merokok selain  boleh memudaratkan kesihatan.Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata sehingga kini, kerajaan hanya mengeluarkan kenyataan menghentikan penjualan ‘Ghost Candy’.Katanya, namun begitu masih belum ada apa-apa arahan bagi mengharamkan pengambilan gula-gula berkenaan kepada pelajar sekolah sedangkan jelas sekali pengambilan produk tersebut boleh membawa kepada tabiat serta ketagihan merokok pada usia muda.“Saya mencadangkan agar larangan pengambilan vape di tempat awam dapat dijalankan sebagaimana pengharaman rokok. Ini kerana menurut kajian yang dijalankan oleh Pusat Racun Negara, vape mengandungi Nikotin penyebab ketagihan malah setiap 40mg kandungannya boleh menyebabkan kematian.“Larangan ini juga sebagai usaha mendidik masyarakat menghindari vape sekaligus mampu membuang tabiat berani pelajar menghisap vape secara terbuka,”ujarnya dalam satu kenyataan semalam.Beliau juga mendesak kerajaan supaya segera mengharamkan penjualan ‘Ghost Candy’ serta mengeluarkan akta kawal selia Vape secepat mungkin berikutan beberapa hari yang lepas tular gambar dan video pelajar sekolah darjah empat dan lima dengan bangganya menghisap ‘Ghost Candy’ dan juga vape yang sangat membimbangkan.
23 Jul 19
127