Artikel "Semasa" Terkini
Penjimatan RM10 Ribu RTB Terkilan
Oleh: Alfian MamatKEMAMAN, 20 Januari - Kadar bayaran premium untuk tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan adalah pada kadar lama dengan pengurangan sebanyak RM10 ribu.Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh ketika berucap di Majlis Pengundian Lot (tapak rumah) RTB Bukit Panjang menyatakan penjimatan tersebut."Betapa bertuahnya rakyat Terengganu dengan inisiatif kerajaan negeri yang mengenakan bayaran premium pada kadar lama iaitu kadar pada tahun 2004 dengan pengurangan sebanyak kira-kira RM10 ribu."Insya-Allah selain daripada RTB ini akan mengusul lagi selepas ini penyelesaian untuk RTB yang lain iaitu RTB Bujal dan RTB Bukit Anak Dara," ujar beliau.Majlis yang diadakan di Dewan Sivik Kijal semalam dihadiri oleh 86 peserta RTB Bukit Panjang bagi fasa pertama mengundi lot masing masing.Sementara itu, Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad A. Rahman ketika berucap menyeru kepada peserta agar tidak menjual tanah yang dikurniakan, sebaliknya dimanfaatkan ianya sebaik mungkin."Saya menyeru agar tuan puan manfaatlah tanah yang dikurniakan ini dengan sebaiknya dan yang utama sekali, jangan sesekali menjual tanah ini," seru beliau.Turut hadir pada program tersebut, Penolong Pegawai Tanah Kemaman, Md. Zaid Abd Rahim, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman, Zabidin Awang, pegawai Pejabat Tanah Kemaman dan pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Kijal.
20 Jan 20
107
'G25 Tak Dengar Nasihat' - Dr Mohd Khairuddin
Dr Mohd Khairuddin (kanan) menemui penduduk di Seberang Takir dalam siri ziarah rakyat baru-baru ini.Oleh: Nizam at-TakiriKUALA NERUS, 20 Januari - Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan 'tidak berakidah' Kumpulan Bekas Penjawat Awam Kanan (G25) sambil menyifatkan mereka masih -jahil walaupun telah dinasihati oleh Mufti.Justeru beliau berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kumpulan tersebut agar orang ramai tidak terpengaruh dengan pemikiran songsang mereka.Dr Mohd Khairuddin berkata, G25 dimaklumkan telah dinasihati dalam bentuk dialog oleh salah seorang Mufti di negara ini namun mereka masih berdegil dengan kejahilan mereka mengenai agama.Katanya, mereka melihat agama dengan pandangan negatif kononnya agama menyekat kebebasan mereka dari melakukan apa sahaja yang dikehendaki. "Adalah menjadi tanggungjawab umat Islam melindungi anak-anak mereka dan orang awam yang lemah akal dari terpengaruh dengan golongan ini kerana mereka (G25) tidak mahu menerima nasihat dari pakar agama," tulis beliau dalam status Facebooknya. Baru-baru ini Kumpulan G25 telah mengeluarkan kenyataan bahawa kononnya tindakan orang Islam murtad adalah urusan mereka dengan Tuhan. Dakwaan itu telah menimbulkan kekecohan dan suasana kurang senang di kalangan umat Islam. Justeru beliau mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan tersebut.Dr Khairuddin juga menyatakan bahawa ajaran kumpulan tersebut tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan agar tidak menyesatkan akidah umat Islam.
19 Jan 20
57
Surau Banggol Indah Mula Pembinaan
Oleh: Ahmad Ezani RazaliKEMAMAN, 20 Januari - Surau Taman Banggol Indah, Chukai di sini dimulakan proses pembinaannya sebaik selesai Majlis Pecah Tanah dan Perasmian yang telah diadakan kelmarin.Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas pembinaan surau itu."Ianya merupakan satu syiar Islam, yang akan kita adakan untuk rakyat kita terutama yang berada di Taman ini."Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan terima kasih kepada badan pelaksana, MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan sebuah surau akan didirikan di Taman ini," ujarnya.Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata demikian ketika berucap merasmikan program tersebut.Sementara itu, Pengerusi MPKK Seri Berenjut, Wan Mohd Aiman Wan Samsuddin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan proses awal pembinaan surau tersebut."Terima kasih juga diucapkan kepada YB (Yang Berhormat) Hanafiah yang turut menyumbang sebanyak RM10,000 baru-baru ini."Besar hasrat kami untuk melihat pembinaan surau ini terlaksana. Kita bukan sahaja dapat beramal ibadat di sini, bahkan kita juga dapat melakukan aktiviti lain seperti usrah, kelas fardu ain dan sebagainya," katanya.Surau tersebut dijangka menelan belanja lebih RM200,000 dan mengambil masa selama tujuh hingga lapan bulan.Kepada sesiapa yang ingin turut memberikan sumbangan boleh ke akaun Bank Rakyat di atas nama:SURAU TAMAN BANGGOL INDAHNo. Akaun: 110401006659Beliau boleh dihubungi di nombor talian: 019-9538733 atau 019-9470125
19 Jan 20
509
Pemasangan Lampu Jalan Diutamakan Di Kawasan Berisiko
Dr Azman Ibrahim.Oleh : Hidayah AzlinSETIU, 20 Januari - Pemasangan lampu jalan di kawasan yang berisiko tinggi berlakunya jenayah dan kemalangan akan diberi keutamaan oleh kerajaan Terengganu berbanding lokasi biasa.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sudah menjadi hasrat kerajaan untuk menyediakan kemudahan lampu di sepanjang jalan namun ia perlu diteliti dengan rapi kerana melibatkan kos yang besar.“Perkara ini sedang kita selesaikan secara berperingkat mengikut keutamaan kerana pemasangan lampu jalan juga melibatkan kos pemasangan, kos penyelenggaraan dan bil bulanan yang perlu dijelaskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).“Tentu sekali apabila kita mengesyorkan kepada PBT untuk dipasang lampu jalan, kawasan jalan yang berisiko dan sering berlaku kemalangan akan menjadi keutamaan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.Mengulas lanjut beliau berkata, TNB adalah sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan elektrik dan tidak menjadi masalah bagi mereka untuk memasang lampu di mana-mana sahaja.Namun kata Dr Azman, perkara yang diberi pertimbangan oleh pihaknya adalah mengenai kepentingan orang ramai dan berdasarkan itu kerajaan negeri meletakkan beberapa peringkat pelaksanaan.“Bagi pemilik rumah yang ada sedikit kemampuan, saya syorkan supaya mohon lampu jalan persendirian dengan TNB yang akan dipasang pada tiang lektrik terdekat dengan rumah kita serta mengadap ke rumah kita. Bayaran RM10 sebulan akan dimasukkan terus ke dalam bil. “Ia lebih cepat dan tidak perlu menunggu giliran. Keutamaan kita sekarang ini ialah untuk terangkan jalan-jalan gelap yang melibatkan kepentingan umum terlebih dahulu.“Keperluan persendirian terpaksa diletakkan di belakang dulu untuk sementara,” tambah beliau.
19 Jan 20
229
Sambutan Hari Sayyidatina Aisyah Hangat
Oleh: Ahmad Ezani RazaliBESUT, 20 Januari - Hari Sayyidatina Aisyah Wanita Inspirasi Peringkat Daerah Besut dan Setiu mendapat sambutan hangat dengan kehadiran 1,500 orang wanita memenuhi Dewan Majlis Daerah Besut, Kampung Gong Kemuntong, kelmarin.Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat melahirkan rasa gembira dengan sambutan yang diterima itu."Syukur alhamdulillah, saya amat teruja melihat begitu ramai yang hadir pada pagi ini. Sayyidatina Aisyah Wanita Inspirasi adalah satu tema terbaik yang dipilih oleh penganjur," ujarnya.Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan program tersebut."Sudah pasti rata-rata komuniti yang berada di sekitar ini tidak mahu melepaskan peluang untuk turut serta bagi memeriahkan majlis yang julung-julung kali diadakan ini."Saya mengharapkan semua pihak dapat membuktikan komitmen dan semangat dalam sama-sama mendokong dan menjayakan program ini," tambahnya lagi.Program turut disertakan dengan forum yang menampilkan pendakwah terkenal, Ustaz Syed Norhisham Tuan Padang bergandingan dengan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato' Zailah Mohd Yusoff.Selain itu, turut diadakan gimik perasmian, anugerah tokoh ilmuwan dan usahawan wanita daerah Besut dan Setiu serta cabutan bertuah dan jamuan tengah hari.
19 Jan 20
47
Skuad Penyelamat Pantai Akan Diperbanyak Di Lokasi Tumpuan Pelancong
Pasukan penyelamat pantai.KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu akan mewujudkan lebih banyak pasukan penyelamat pantai di beberapa lokasi tumpuan pengunjung untuk memantau keselamatan mereka.Pengarahnya Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata ketika ini pasukan penyelamat beroperasi di empat lokasi pantai tumpuan pelancong iaitu di Pantai Bukit Kluang, Besut, Taman Laut Pulau Redang, Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu dan Pantai Kekabu, Marang.“Memang kita bercadang menambah pasukan penyelamat di pantai tertentu yang jadi tumpuan pelancong mandi manda dalam masa terdekat ini antaranya di Pantai Pulau Kekabu dekat Marang.“Ia adalah permintaan Pegawai Daerah Marang (Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak) yang mahu membuka satu lagi kawasan untuk mandi manda di bahagian utara pantai itu sebagai daya tarikan pelancong,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.Beliau diminta mengulas saranan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Fadzil Mohd Akhir agar lebih banyak pasukan penyelamat pantai diwujudkan bagi mengelak kejadian lemas yang sering berlaku di pantai Terengganu sejak akhir-akhir ini berulang pada masa depan.Pada Jumaat lepas, empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Dungun dikhuatiri lemas setelah mandi manda di pantai Teluk Bidara, Dungun manakala seminggu sebelum itu, dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering ditemui lemas di Pantai Pandak.Mengulas lanjut, Che Adam berkata pasukan penyelamat pantai di empat lokasi itu hanya melakukan pemantauan secara berkala sepanjang musim tengkujuh dari Oktober hingga Mac berikutan amaran telah banyak dikeluarkan mengenai aktiviti rekreasi seperti mandi manda yang berbahaya kepada pengunjung.“Begitu juga dengan pantai lain yang agak terpencil seperti Teluk Bidara di Dungun dan Pantai Kemasik di Kemaman, ia bukan tumpuan utama pengunjung untuk mandi manda sebaliknya ramai ke sana untuk menikmati keindahan alam seperti merakam foto dan video.“Namun APM Terengganu sedia mewujudkan lebih banyak pasukan penyelamat pantai di mana-mana sahaja lokasi yang difikirkan sesuai sekiranya kerajaan negeri sedia menyalurkan peruntukan,” katanya. - BERNAMA
19 Jan 20
640
Kekalahan PH di Kimanis 'Signal' Penolakan Rakyat
Dr Mohd Khairuddin (dua dari kiri) bersama rakyat di warung hadapan Pondok Polis Seberang Takir Kuala Nerus.Oleh: Nizam at-TakiriKUALA NERUS, 20 Disember – Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan raya Kecil (PRK) di Parlimen P176 Kimanis, Sabah disifatkan sebagai satu ‘signal’ penolakan rakyat terhadap kerajaan parti itu.Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, keputusan PRK Kimanis yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menolak kerajaan baru PH termasuk Parti Warisan Sabah (WARISAN). Katanya, rakyat Malaysia mengharapkan satu ‘platform’ politik yang boleh menjamin kestabilan politik di Malaysia.Menurut beliau, politik adalah satu medium untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan hanya berpolitik demi parti sendiri serta berdendam kepada parti lain.“PRK Kimanis satu lagi pilihan raya yang menunjukkan kuasa rakyat Malaysia menolak kerajaan baru PH termasuk WARISAN.“Rakyat Malaysia mengharapkan satu wadah politik yang boleh menjamin kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan berkebajikan. Politik untuk rakyat, bukan hanya berpolitik demi parti sendiri dan dendam kepada parti lain,” kata beliau dalam status facebooknya kelmarin.Dalam pilihan raya tersebut pada Sabtu, calon BN, Datuk Mohamad Alamin telah mencatatkan kemenangan bergaya dengan memperoleh 12,706 undi.Sementara calon WARISAN, Datuk Karim Bujang hanya memperoleh 10, 677 dengan majoriti 2,029 undi.PRK Kimanis adalah PRK kelima peringkat Parlimen diadakan selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke-14.
19 Jan 20
49
Pendaftaran Pelajar Baru SMIDI Terengganu Berjalan Lancar
Ibu bapa sedang mendaftarkan anak-anak mereka di SMIDI Bandar Al-Muktafi Billah Shah Dungun hari ini.DUNGUN, 19 Januari - Pendaftaran pelajar baharu Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) hari ini berjalan lancar dengan seramai 70 orang pelajar telah berdaftar di sekolah berkenaan.Penolong Kanan Pesuruhjaya Pengurusan Akademik Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT), To' Puan Aida Tengah berkata, selepas cuti hari raya Cina nanti seramai 30 pelajar rayuan akan diberi tawaran untuk melengkap 100 pelajar mengikuti persekolahan di sekolah elit itu."Kita (Kerajaan Negeri) akan membuka empat kelas dengan kapasiti 25 orang pelajar setiap kelas, sesuai sesi pengajaran dan pembelajaran di mana jumlah pelajar yang berada dalam kelas itu tidak ramai bertepatan dengan 'standard' yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).To' Puan Aida Tengah"Hari ini para pelajar akan ditempatkan di asrama dan SMIDI adalah sekolah berasrama penuh dan sekolah elit sekaligus yang pertama diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu sebagai menunaikan manifesto kerajaan," jelasnya.Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Pendaftaran Tingkatan 1 di Dewan Besar sekolah berkenaan di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.Turut hadir di sidang media itu, Pengetua SMIDI, Wan Mohd Noor Wan Ismail.Seorang ibu mengiringi anaknya ke Dewan Pendaftaran SMIDI Bandar Al-Muktafi Billah Shah Dungun hari ini.Aida seterusnya berkata, seramai 18 orang guru berpengalaman bertugas di situ mengikut Kurikulum Bersepadu Dini (KBD).Serentak itu beliau mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas penubuhan SMIDI yang disifatkan memberi nilai tambah kepada anak-anak pelajar Terengganu untuk menempatkan diri di sekolah agama seterusnya belajar ilmu agama dengan menggunakan kitab Turath yang terkandung dalam KBD.Selain dari itu katanya, anak-anak berkenaan juga didedahkan dengan pelajaran menghafaz Al-Quran sebanyak 30 Juzu' dengan persekitaran yang sangat sesuai untuk mereka berbuat demikian.Ibu bapa dan pelajar mengaminkan doa pembukaan Majlis Pedaftaran Tingkatan 1 SMIDI."Faktor kedua adalah apabila pelajar tersebut ditempatkan di asrama penuh, mereka mempunyai masa yang sangat panjang untuk menghafaz Al-Quran dan rasanya tidak ada masalah untuk anak-anak ini berbuat demikian."Selain daripada itu guru-guru yang dibekalkan di sini adalah guru-guru yang kebanyakannya yang berpengalaman," ujarnya.Katanya, JHEAT memberi tanggungjawab kepada Cikgu Wan Mohd Noor sebagai Pengetua yang mempunyai pengalaman luas dan bertugas selama 20 tahun dengan jabatan itu.Wan Mohd Noor Wan Ismail"Beliau merupakan seorang yang sangat komited memajukan SMIDI ini untuk berada di tahap yang lebih baik dan memberi kemudahan yang terbaik kepada anak-anak pelajar."Jadi Jabatan sangat berharap dan mengalu-alukan serta berterima kasih kepada kesudian Wan Mohd Noor untuk memikul tanggungjawab ini untuk berada di SMIDI dan melancarkan program pendaftaran bermula pada hari ini, mentadbir guru-guru serta perjalanan SMIDI, mengendalikan hala tuju SMIDI sampai kepada Pengetua yang kekal akan datang," ujarnya lagi.
19 Jan 20
3280
Awasi Keselamatan, Peka Kawasan Berisiko Lemas
Orang ramai dinasihat agar tidak terpedaya dengan ombak yang kelihatan tenang.Oleh : Hidayah AzlinSETIU, 19 Januari - Orang ramai termasuk pengunjung yang bercuti di Terengganu dinasihatkan agar berhati-hati dan mengelakkan diri daripada menghampiri kawasan berisiko tinggi berlakunya lemas.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, suasana dan keadaan cuaca di negeri itu masih belum stabil dan berada dalam tempoh ‘edah’ musim tengkujuh.Katanya, ombak yang beralun tenang di permukaan laut bukanlah petanda pantai itu selamat untuk aktiviti mandi-manda kerana terdapat beberapa faktor yang boleh mengancam keselamatan pengunjung.“Keluarga yang balik bercuti di Terengganu terutamanya pada cuti Tahun Baharu Cina nanti perlu berhati-hati, sebarang aktiviti atau program seperti kem motivasi di tepi pantai, perkelahan keluarga perlu dihentikan sementara.“Musim tengkujuh di pantai timur belum berakhir walaupun laut nampak tenang, ombak besar boleh datang tanpa dijangka. Ia boleh menjadi perangkap maut kepada pengunjung.“Walaupun sekadar berada di gigi air, kuasa tarikannya boleh mengheret mangsa ke dalam laut dan merisikokan berlaku lemas sehingga meragut nyawa,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun berkata, kesemua aktiviti tersebut boleh dilakukan kembali sebaik sahaja peralihan Monsun Timur Laut (MTL) berakhir.“Biasanya bulan Mac barulah edah musim tengkujuh berakhir. Aktiviti laut dan air terjun boleh diteruskan macam biasa namun ia juga memerlukan pengawasan. “Memang malang tidak berbau tetapi jangan kita sengaja mencari malang, pekalah terhadap sebarang kemungkinan” katanya.Pada Jumaat lepas, Terengganu dikejutkan dengan kejadian empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun dikhuatiri lemas selepas ditarik ombak semasa mandi di pantai Teluk Bidara, Dungun. Manakala seminggu sebelum itu, dua pelajar Universiti Teknologi MARA Cawangan Chendering lemas di Pantai Pandak.
19 Jan 20
120
Ibu Muhammad Ikhwan Reda Pemergian Anak
KUALA TERENGGANU, 19 Januari- Walaupun masih terkejut dengan kejadian menimpa anak kami, namun saya reda dengan ketentuan Ilahi," kata Noriah Othman, 52, ibu kepada salah seorang mangsa lemas di Pantai Teluk Bidara.Anaknya Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan, 21, penuntut Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) ditemui dalam jarak lapan kilometer dari Pantai Teluk Bidara kira-kira pukul 11.35 pagi tadi.Noriah berkata, jenazah anak ketiga daripada empat beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Surau An Nur Mengabang Tengah, disini selepas solat Asar sebaik selesai bedah siasat dijalankan Unit Forensik di Hospital Dungun.Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu selepas Maghrib malam kelmarin setelah dimaklumkan rakan Politeknik arwah kepada suaminya, Ahmad Azhan Abdul Hamid, 53.“Selepas mendapat berita tersebut, kami sekeluarga terus bergegas ke lokasi kejadian,” ujarnya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui dirumahnya, hari ini.Menceritakan lanjut, Noriah berkata, arwah Ikhwan tidak menunjukkan sebarang petanda pelik sebelum meninggalkan mereka sekeluarga buat selamanya.“Cuma sejam sebelum kejadian, saya ada menelefonnya dan dia begitu bersungguh-sungguh meminta kami sekeluarga melawatnya di Politeknik pada hari Sabtu (semalam), dan saya tidak sangka itu adalah permintaan terakhirnya,” ujar Noriah.Terdahulu,empat pelajar PSMZA dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Teluk Bidara, Seberang Pintasan.Mohamad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabarudin, 21, dari Kuantan; Muhammad Zul Fahmi Zuki, 21, dari Kemaman; Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan dari Kuala Terengganu dan Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee dari Melaka, dikatakan mandi di pantai terbabit kira-kira jam 6 petang pada hari Jumaat baru-baru ini.
19 Jan 20
329