lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Terengganu Sertai Misi Pasaran Global di Singapura
Terengganu Sertai Misi Pasaran Global di Singapura
Oleh : Daing Siti Norbaity Abd Latif KUALA TERENGGANU, 18 Mei – Kerajaan Terengganu terus memperkasa usahawan tempatan ke peringkat antarabangsa menerusi penyertaan Malaysia Fest Singapore 2025 yang akan berlangsung 31 Julai hingga 3 Ogos ini di Singapore Expo, Changi. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, festival empat hari bertemakan 'Explore the Unique Taste of Malaysia' itu bakal membuka 321 booth pameran dengan sasaran lebih 160,000 pengunjung.  Menurut Ariffin, penyertaan tersebut merupakan peluang keemasan buat usahawan Terengganu memperluas jaringan eksport serta mengembangkan produk ke peringkat global. “Saya amat yakin, penyertaan dalam festival ini akan membuka pintu kerjasama strategik antara usahawan Terengganu dan pengimport luar negara.  "Ia menjadi platform penting bagi memasarkan produk makanan, pertanian dan kraftangan Terengganu kepada pasaran luar negara, khususnya Singapura. "Ini merupakan satu lonjakan besar ke arah menjadikan produk tempatan berkualiti global,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama wakil Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Terengganu dan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) bagi membincangkan strategi penyertaan negeri dalam festival berprestij itu di Pejabat YPU, baru-baru ini. Katanya, YPU dan FAMA Terengganu menjadi agensi pemudah cara dalam mempersiapkan penyertaan usahawan ke festival berkenaan dengan penyaringan produk, latihan dan sokongan logistik. Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan negeri menerusi portfolio yang diterajuinya sentiasa memberikan komitmen dalam menyokong pembangunan ekosistem keusahawanan negeri melalui pelbagai program. "Ia termasuk bimbingan, padanan perniagaan, pengiktirafan halal, pensijilan dan bantuan promosi luar negara," ujarnya.
18 May 25
277
Hapus Sekatan Ekonomi Syria : Strategi Politik Atau Perangkap Baharu AS?
Hapus Sekatan Ekonomi Syria : Strategi Politik Atau Perangkap Baharu AS?
KUALA TERENGGANU, 17 Mei - Keputusan Amerika Syarikat untuk membatalkan sekatan ekonomi terhadap Syria selepas lebih tiga dekad menimbulkan persoalan besar tentang hala tuju geopolitik baharu di Asia Barat, khususnya terhadap dunia Islam. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri. Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, langkah yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika lawatan ke Arab Saudi itu, tidak berlaku secara percuma. Sebaliknya kata beliau, ia diyakini sebagai sebahagian daripada pelan strategik yang memberi manfaat besar kepada pihak Barat dan Zionis Israel. Muhammad Khalil menyatakan bahawa terdapat sekurang-kurangnya tiga syarat yang menjadi sebahagian daripada 'pakej' penghapusan sekatan itu "Keputusan ini bukanlah kosong dan sudah tentu mempunyai timbang balas yang mesti dibayar dengan harga yang mahal. "Sekurang-kurangnya tiga habuan yang diperolehi oleh Amerika Syarikat: pertama pemerintah Syria menerima 'Abraham Accord' dengan erti kata lain adalah keterbukaan untuk normalisasi dengan Zionis Israel.  "Kedua, "kumpulan pengganas Palestin" hendaklah dihalau keluar dari Syria dan ketiga, pembangunan infrastruktur Syria yang hancur akibat perang akan dibangunkan oleh Barat dan sekutunya," jelasnya dalam satu kenyataan baru-baru ini. Tambahnya, ketiga-tiga syarat ini menzahirkan bahawa keputusan Washington lebih bersifat strategik, bukan kemanusiaan, dan mempunyai implikasi jangka panjang terhadap politik serta prinsip umat Islam di rantau itu. Jelas beliau, Presiden Syria, Ahmad Al-Shara’a dalam kenyataan berasingan menjelaskan bahawa kerajaan kini mahu memberi tumpuan kepada pemulihan negara selepas perang saudara yang bermula sejak 2012 dan meragut ribuan nyawa. Namun, Dr. Muhammad Khalil memberi peringatan bahawa cabaran yang lebih besar sedang menanti Syria, termasuk usaha menyatukan semula pelbagai kumpulan berkepentingan yang sebelum ini bertelagah serta isu penerimaan rakyat terhadap normalisasi dengan Israel. "Cabaran dalaman ialah mengembalikan kestabilan politik dengan menyatukan pelbagai kumpulan yang mempunyai kepentingan masing-masing.  "Tidak mudah untuk rakyat Syria menerima suasana baharu khususnya normalisasi dengan Zionis Israel yang merupakan musuh tradisi sejak zaman berzaman," ulasnya. Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada Zionis Israel akan bersetuju untuk berundur dari kawasan yang dirampas di Syria, termasuk Bukit Golan dan wilayah selatan, jika benar terdapat rundingan antara AS dan Syria ke arah itu. Dalam pada itu, Dr Muhammad Khalil menyeru seluruh umat Islam agar terus mendoakan keselamatan bumi Syria dan sentiasa berwaspada terhadap permainan kuasa besar yang sering tampil dengan janji pembangunan tetapi hakikatnya membawa agenda terselindung. Sekatan ekonomi ke atas Syria mula dikuatkuasakan sejak awal 1990-an dan diperketat semasa konflik bersenjata bermula tahun 2012.  Ia melibatkan larangan import dan eksport, sekatan ke atas institusi kewangan, serta larangan pelaburan asing.
17 May 25
132
Tragedi FRU: 'Amaran Akhir' Buat Kementerian Pengangkutan
Tragedi FRU: 'Amaran Akhir' Buat Kementerian Pengangkutan
SETIU, 15 Mei – Tragedi menyayat hati yang mengorbankan 10 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akibat nahas melibatkan lori muatan batu perlu dilihat sebagai 'amaran terakhir' kepada Kementerian Pengangkutan untuk segera bertindak sebelum lebih banyak nyawa melayang tanpa pembelaan. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata beliau merakamkan takziah dan rasa dukacita atas insiden itu, menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar buat negara.  "Saya merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita atas kehilangan 10 anggota FRU dalam nahas yang membabitkan sebuah lori membawa muatan batu, semalam.  "Mereka adalah wira negara yang amat berharga," katanya dalam satu kenyataan media di laman sosial rasmi beliau hari ini. Menurut beliau, hasil siasatan awal polis pada 13 Mei 2025 mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada kerosakan sistem stereng lori, sekali gus menyerlahkan kelemahan penguatkuasaan keselamatan jalan raya yang masih belum ditangani secara menyeluruh.  "Tragedi ini sekali lagi menzahirkan kelemahan serius dalam aspek penguatkuasaan dan keselamatan jalan raya melibatkan kenderaan berat yang sehingga kini masih belum ditangani secara menyeluruh," tegasnya, sambil mengingatkan bahawa hanya beberapa bulan lalu, tujuh nyawa turut terkorban dalam insiden hampir serupa. Beliau turut menegaskan bahawa isu keselamatan lori berat bukan perkara baharu dan telah beberapa kali dibangkitkan dalam Parlimen, namun kerajaan masih belum menunjukkan komitmen yang jelas.  "Isu kemalangan membabitkan lori ini telah saya bangkitkan beberapa kali di Parlimen, khususnya berkaitan pemanduan berbahaya oleh pemandu lori serta isu muatan berlebihan yang tidak dikawal dengan tegas.  "Namun, usaha kerajaan dalam menangani isu ini masih belum benar-benar menunjukkan komitmen yang tuntas," kata beliau. Shaharizukirnain mengakui bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) telah memperkenalkan beberapa langkah termasuk cadangan penubuhan pasukan khas bersama agensi seperti JPJ, namun menganggap usaha itu sekadar pengulangan dasar lama tanpa pelaksanaan yang berkesan.  "Ironinya, ‘task force’ yang sama telah ditubuhkan sejak 2024 di bawah penguatkuasaan JPJ. "Meskipun pelbagai ‘task force’ ditubuhkan, masih lagi tiada penyelarasan dasar dan penguatkuasaan yang berkesan menyebabkan tragedi terus berlaku," ujarnya. Ahli Parlimen Setiu itu turut menggesa agar Kementerian mengambil tindakan serius dan menyeluruh dengan memastikan pasukan khas itu benar-benar berfungsi serta memperketat pemantauan teknikal ke atas lori berat, termasuk mewajibkan penyelenggaraan berkala dan penggunaan sistem telemetri.  "Selain mengkoordinasikan ‘task force’ tersebut dengan baik, aspek pengurusan dan pemantauan teknikal ke atas kenderaan berat juga perlu diberi perhatian.  "Ini termasuk memastikan penyelenggaraan berkala dilakukan secara konsisten serta mewajibkan penggunaan teknologi pemantauan seperti sistem telemetri bagi kenderaan berat berisiko tinggi," tambah beliau. Beliau turut menjelaskan bahawa teknologi telemetri boleh mengesan kelajuan, gaya pemanduan dan penggunaan brek secara langsung serta telah digunakan secara berkesan di negara maju seperti Jepun.  "Telemetri ialah sistem pemantauan berasaskan teknologi yang membolehkan data seperti kelajuan, penggunaan brek, dan gaya pemanduan direkod serta dihantar secara langsung (real-time) ke pusat kawalan.  "Teknologi ini telah digunakan secara meluas di negara maju seperti Jepun bagi mengesan dan mencegah pemanduan berbahaya sebelum kemalangan berlaku," jelasnya. Akhirnya, beliau menegaskan bahawa tragedi yang meragut nyawa anggota FRU ini perlu menjadi ‘wake-up call’ yang sebenar, bukan sekadar satu lagi angka dalam statistik kematian jalan raya. "Pelaksanaan menyeluruh, penyelarasan antara agensi, serta penguatkuasaan yang benar-benar tegas serta berkesan diperlukan dengan kadar segera,” ujarnya.
15 May 25
195
Bangun Awal Pagi Resepi Cemerlang SPM
Bangun Awal Pagi Resepi Cemerlang SPM
KUALA NERUS, 15 Mei – Sentiasa bangun awal pagi bagi menunaikan Solat Sunat Tahajud dan bermunajat kepada Allah menjadi rahsia Amirul Bukhari Aminuddin memperolehi Keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat 9A. Katanya, itu yang menjadi amalannya selain banyak melakukan ulang kaji secara berkala seperti melakukan latihan berdasarkan semua soalan percubaan tahun-tahun lepada bagi setiap negeri dan juga menyertai kelas tambahan di sekolah. “Saya juga mengikuti kelas tuisyen ‘brick and mortar’ bagi Bahasa Inggeris yang diajar oleh tutuor saya yang pernah mengajar di Terengganu FM melalui rancangan ‘Yes No Alright Thank You’ dan menyertai kelas atas talian bagi subjek Matematik Tambahan dan Prinsip Perakaunan,” ujarnya. Mengulas lebih lanjut, Amirul berkata sebaik menerima Keputusan itu dia sangat terharu dan bersyukur dan sangat menghargai jasa ibu bapanya serta guru-guru yang sentiasa membimbing dan mendoakan kejayaanya selama ini. “Saya merancang untuk menyambung pelajaran dalam bidang Sains Aktuari kerana saya ingin menjadi seorang aktuari sesuai dengan minat saya yang mendalam terhadap Matematik. “Sekarang saya sedang memohon biasiswa dan mencari peluang terbaik untuk meneruskan pengajian,” jelasnya. Dalam pada itu, dia menitipkan pesan kepada pelajar yang masih belum berjaya agar tidak berputus asa. “Kepada yang Berjaya jangan terlalu selesa teruskan usaha kerana ini baru permulaan dan untuk mereka yang belum mencapai Keputusan yang diharapkan, ingatlah bahawa ini bukan penamat. “Kejayaan datang dalam pelbagai bentuk, yang penting bangkit semula, belajar daripada kesilapan dan teruskan berusaha, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya,” ujarnya. Dalam pada itu, ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat akan mengadakan satu majlis khusus bagi meraikan pelajar yang cemerlang dalam SPM dalam DUN Seberang Takir.
15 May 25
172
Gajah : Konflik Haiwan, Manusia Perlu Diurus Dengan Bijak
Gajah : Konflik Haiwan, Manusia Perlu Diurus Dengan Bijak
KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Insiden menyayat hati seekor anak gajah yang mati akibat dilanggar lori ayam, disusuli dengan tindakan si ibu meratapi kematian anaknya itu, telah mencetuskan gelombang emosi dan perbincangan hangat di media sosial. Tragedi tersebut sekali lagi menyerlahkan konflik yang semakin kerap berlaku antara manusia dan hidupan liar, terutama apabila habitat haiwan terganggu akibat pembangunan dan pembukaan tanah. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, mengakui simpati terhadap kejadian tersebut namun menegaskan perlunya pendekatan yang lebih rasional dan seimbang dalam menangani isu ini. “Kita sangat sedih melihat ibu gajah yang kehilangan anak dalam kemalangan tragis ini. Namun, kita juga perlu rasional antara keperluan pergerakan manusia dan kehidupan haiwan. “Manusia perlu bergerak mencari rezeki dan gajah juga perlukan habitatnya. Kadang-kadang, konflik ini tidak dapat dielakkan – tetapi ia perlu diurus dengan bijaksana,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial semalam. Katanya lagi, dalam kontkes Terengganu keluasan Hutan Simpan Kekal (HKS) masih pada paras 42 peratus keluasan negeri dan ia memadai untuk habitat 200 ekor gajah sebagaimana data daripada Jabatan Perhilitan. "Tetapi kewujudan kebun dan ladang di kawasan pinggir hutan menjadi faktor penarik (pulling factor) yang menarik perhatian gajah ini keluar bagi mendapatkan sumnber makanan mudah dari kebun dan ladang. "Disediakan pula Santuari Gajah Tasik Kenyir Hulu Terengganu, Santuari Gajah Sungai Deka Hulu Terengganu dan Taman Negara Tasik Kenyir sebagai habitat pemuliharaan gajah, jutaan ringgit dibelanjakan setiap tahun untuk jaga gajah," tambah beliau.
15 May 25
77
Pakar Perubatan Sokong Kerajaan Pasang Papan Tanda Larang Maksiat
Pakar Perubatan Sokong Kerajaan Pasang Papan Tanda Larang Maksiat
KUALA TERENGGANU, 14 Mei – Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah menyambut baik inisiatif kerajaan negeri Terengganu yang memasang papan tanda larangan homoseksual dan maksiat di tempat-tempat awam di seluruh negeri ini. Menurut beliau, langkah tersebut merupakan pendekatan pencegahan awal yang wajar dipuji kerana dapat membendung pelbagai bentuk tingkah laku tidak bermoral yang berpotensi menjejaskan kesihatan masyarakat dan meruntuhkan institusi kekeluargaan. “Tindakan ini bukan soal menyekat hak asasi manusia seperti yang didakwa oleh segelintir pihak, termasuk beberapa peguam yang mempertikaikannya atas nama ‘kemanusiaan’. "Hakikatnya, pencegahan awal seperti ini adalah juga hak masyarakat secara kolektif untuk hidup dalam persekitaran yang sihat dan bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. Dr. Suhazeli menegaskan, maksiat bukan sekadar isu moral tetapi turut berkait rapat dengan kesihatan awam. “Apabila berlakunya gejala sosial dan perbuatan terkutuk seperti zina dan hubungan sejenis, ia boleh membawa kepada penularan penyakit kelamin, HIV dan pelbagai masalah kesihatan lain. Beban ini akhirnya akan ditanggung oleh seluruh masyarakat, bukan individu itu sahaja,” jelasnya. Tambah beliau, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun untuk merawat penyakit-penyakit yang berpunca daripada keruntuhan akhlak dan amalan hidup bebas. “Masyarakat mempunyai hak untuk menolak punca kerosakan ini dari awal. Pencegahan lebih murah dan lebih berkesan daripada rawatan,” tegasnya lagi. Sebagai contoh, katanya, terdapat hotel-hotel tertentu yang tidak membenarkan pasangan bukan mahram menginap bersama, satu bentuk inisiatif kecil tetapi memberi impak besar dalam membendung salah laku moral. “Ini bukan soal mengongkong, tetapi soal tanggungjawab sosial dan usaha bersama dalam menjaga kesucian masyarakat,” katanya. Dr. Suhazeli turut menyeru agar lebih banyak pihak termasuk sektor swasta dan masyarakat sivil menyokong dasar-dasar mencegah maksiat yang digerakkan kerajaan negeri demi masa depan generasi akan datang. Tegasnya, pihak yang mempertikaikan papan tanda larangan maksiat di Terengganu merupakan mereka yang berfikir mengikut kerangka pemikiran liberal yang menyamaratakan hak individu itu tidak boleh diganggu gugat. "Sedangkan dalam norma negara Malaysia sudah pasti ada satu hak yang lebih penting, iaitu hak masyarakat mencegah sesuatu perkara yang mendatangkan kemudaratan. "Sama ada mudarat itu terhadap masyarakat atau individu itu sendiri. Keburukan dan keroasakan akibat dari masalah norma dan sosial ini yang golongan seperti mereka tidak nampak. "Memanglah kalau ikut acuan barat, semuanya tidak menjadi masalah tetapi kita mempunyai sosio-budaya dan agama yang kebanyakan masalah moral dan sosial ini boleh mendatangkan kemudaratan yang besar," jelas beliau.
14 May 25
181
Peruntukan RM200,000 Disalur Selesai Masalah Laluan Pejalan Kaki Pulau Kapas
Peruntukan RM200,000 Disalur Selesai Masalah Laluan Pejalan Kaki Pulau Kapas
MARANG, 14 Mei – Peruntukan sebanyak RM200,000 bagi membaik pulih Projek Laluan Pejalan Kaki Fasa 2 di Pulau Kapas sudah diluluskan melalui Majlis Daerah Marang (MDM). Yang Dipertua MDM, Khairil Anuar Sheikh Mahmood berkata, projek tersebut dilaksanakan di bawah inisiatif Projek Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naiktaraf (PPUN) Negeri Terengganu dalam kadar segera. "Kerja-kerja baik pulih merangkumi kerja awalan, pemulihan struktur laluan, pembaikan pagar keselamatan, kerja mengecat serta pemasangan plak projek. “Selain memastikan laluan ini lebih selamat dan selesa untuk pengunjung, projek ini juga selari dengan imej Pulau Kapas sebagai salah satu destinasi pelancongan utama negeri,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja dan tinjauan projek di Pengairan Pulau Kapas baru-baru ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris, serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan. Dalam pada itu Razali berkata, Pulau Kapas yang menerima ribuan pengunjung setiap tahun memerlukan penyelenggaraan kemudahan awam yang baik bagi memastikan pengalaman pelancongan yang berkualiti. “Projek ini dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan tempatan, selain merangsang pertumbuhan ekonomi komuniti setempat melalui peningkatan jumlah pelawat ke Pulau Kapas. "Selain itu, ia sebagai salah satu usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh infrastruktur pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026)," ujarnya.  
14 May 25
301
Pelajar 14 Tahun Mati Lemas
Pelajar 14 Tahun Mati Lemas
KEMAMAN,14 Mei - Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditemui lemas selepas tergelincir ke dalam sungai ketika cuba melepaskan mata kail yang tersangkut. Ketika kejadian di Kampung Padang Kemunting, Kijal, pada Isnin empat rakannya hanya mampu melihat kerana keadaan sungai yang terlalu dalam. Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, mangsa, Mohamad Shahrizuan Hafizi Mohamad Azli, 14, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal, disahkan meninggal dunia di Hospital Kemaman pada jam 7.37 malam semalam. Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat rakannya berusia antara 11 hingga 15 tahun keluar memancing sekitar jam 11 pagi. “Ketika sedang memancing, mata kail milik mangsa tersangkut pada sebatang kayu di dalam sungai. “Mangsa kemudian turun ke dalam air untuk melepaskan mata kail tersebut, namun dipercayai tergelincir dan lemas. “Rakan-rakan mangsa yang melihat kejadian itu tidak berani terjun kerana air terlalu dalam, lalu segera meminta bantuan penduduk kampung,” katanya menurut laporan berita Sinar Harian semalam. Tambah beliau, seorang penduduk bertindak pantas terjun ke sungai untuk menyelamatkan mangsa dan membawanya ke tebing sebelum memberikan bantuan pernafasan (CPR) sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat. “Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kemaman dengan bantuan pasukan penyelamat, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada malam kejadian,” katanya lagi.
14 May 25
333
Dari Dapur ke Laut : Gadis Terengganu Turun Candat
Dari Dapur ke Laut : Gadis Terengganu Turun Candat
KUALA TERENGGANU, 22 Mei – Wanita muda Terengganu terus membuktikan keupayaan mereka meneroka dunia luar dengan berani melalui program lasak terbaharu, ‘Jom Candat Pulak’. inisiatif sulung yang diperkenalkan selepas kejayaan mendaki pelbagai puncak gunung dan bukit sebelum ini. Ketua Ameerah Fan Club (AFC) Terengganu, Asma Wahap, berkata seramai 30 peserta wanita berusia antara 18 hingga 40 tahun menyertai program yang dianjurkan bersama Ameerah Terengganu. “Tiga buah bot telah disediakan dan dijadualkan berlayar pada petang Khamis, 22 Mei, dan pulang ke darat pada pagi Jumaat, 23 Mei, insya-Allah. "Setiap bot dilengkapi kemudahan asas termasuk tandas dan ruang rehat bagi memastikan keselesaan peserta,” katanya ketika dihubungi. Menurut Asma, program tersebut bukan sekadar memperkenalkan aktiviti mencandat sotong sebagai hobi, tetapi sebagai medium untuk membina jati diri, daya tahan fizikal dan mental, serta memperkukuh semangat berpasukan dan ukhuwah dalam suasana yang mencabar dan luar kebiasaan. “Kami ingin mencabar stereotaip bahawa aktiviti lasak bukan hanya milik kaum lelaki. Ini adalah ruang bagi wanita muda mengekspresikan minat mereka dalam aktiviti luar, tanpa perlu menyembunyikan kekuatan sebenar yang mereka miliki,” ujar beliau. Jelasnya, lebih daripada sekadar program santai di laut, 'Jom Candat Pulak' membawa mesej besar wanita muda Terengganu tidak gentar untuk menongkah arus, menolak sempadan norma dan membuka jalan untuk generasi baharu lebih yakin mencabar diri dalam ruang-ruang yang jarang diteroka. Ujar beliau, program berkenaan juga dijadikan projek rintis dengan harapan ia akan diperluas ke peringkat kawasan dan DUN pada masa akan datang. “Kami amat mengharapkan sokongan berterusan daripada masyarakat dan kepimpinan setempat agar usaha memartabatkan peranan wanita melalui aktiviti sihat dan berimpak tinggi ini dapat diteruskan secara lebih menyeluruh,” tambah Asma.    
13 May 25
1034
Terengganu Jadi Tuan Rumah SDSI 2.0 Wilayah Timur
Terengganu Jadi Tuan Rumah SDSI 2.0 Wilayah Timur
TAWAU, 13 Mei - Terengganu bakal menjadi  tuan rumah bagi program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2.0 peringkat Wilayah Timur yang akan berlangsung pada 31 Julai hingga 2 Ogos di Terengganu Trade Centre (TTC). Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman berkata, SDSI 2.0 selama tiga hari itu merupakan inisiatif bagi mengetengahkan produk usahawan dari Terengganu, Kelantan dan Pahang di bawah satu bumbung.  Katanya, program dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bakal menampilkan keunikan tersendiri dengan menghimpunkan pelbagai produk unik yang menjadi identiti sesebuah daerah dan negeri. “Dengan adanya showcase ini pembeli, ejen pemasaran, stokis dan lain-lain dapat mewujudkan jaringan perniagaan, sekali gus mengembangkan lagi pasaran produk mereka. “Saya berharap agar Showcase ini dapat dilaksanakan dengan lancar penyertaan para usahawan dan dimeriahkan dengan kehadiran segenap lapisan masyarakat.  “Semoga pelaksanaan SDSI 2.0 dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang dan melonjakkan industri-industri yang mencerminkan keistimewaan sesebuah daerah di seluruh negara,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi. Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pelancaran SDSI 2.0 Peringkat Wilayah Borneo di Tawau yang turut menampilkan penyertaan tiga usahawan dari Terengganu iaitu Tokku Lekor, Sutera Spa dan Azzira Craft. Dalam masa sama, beliau berharap lebih ramai usahawan Terengganu akan menyertai program-program yang mampu mengangkat ekonomi mereka dengan lebih jauh. Tambah Ariffin lagi, ia juga membuktikan kerajaan negeri sentiasa komited dalam membangunkan usahawan dan terus menyokong mereka menerusi pelbagai inisiatif. Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan orang ramai berkunjung ke Showcase SDSI 2.0 untuk merasai keunikan dan kemeriahan acara ini melalui aktiviti jualan pelbagai produk dan menu oleh usahawan SDSI daripada Wilayah Timur.
13 May 25
1032