lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Pengeluaran Padi: Terengganu Kedua Terbaik di Malaysia
Pengeluaran Padi: Terengganu Kedua Terbaik di Malaysia
KEMAMAN, 13 Mei – Terengganu kini semakin hampir menyaingi kawasan pengeluaran padi tertinggi negara apabila Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Bersepadu Terengganu Utara (IADA) KETARA di Besut berjaya mencapai purata 5.2 tan metrik sehektar, hanya sedikit di bawah rekod tertinggi nasional iaitu 5.6 tan metrik di Pulau Pinang. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata pencapaian ini menunjukkan potensi luar biasa sektor pertanian negeri yang sering dipandang kecil berbanding negeri pengeluar utama lain. "5.2 ini sebenarnya angka yang tertinggi dalam negara selepas Pulau Pinang. "Purata pengeluaran per hektar paling tinggi adalah 5.6 sahaja di IADA Pulau Pinang," katanya ketika berucap di Program Ramah Mesra dan Dialog Kelompok Tani & Pesawah Padi, di Rumah Tani Kampung Dadong, di sini baru-baru ini. Hadir sama, ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Dr. Sukati Sakka; dan Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Nazwawi Harun. Menurutnya, walaupun keluasan sawah di Vietnam dan Thailand jauh lebih luas, masing-masing 7 juta dan 9 juta hektar, serta ditanam tiga kali setahun, pendekatan Terengganu tetap pragmatik demi menjaga kelestarian. "Kita di sini nak buat Paya Dadong dan Paya Paman daripada satu kali setahun kepada dua kali setahun sahaja. "Kita tidak berhasrat untuk jadikan tiga kali setahun kerana kita faham dengan risiko bencana banjir yang dihadapi di kawasan ini," tambah beliau lagi. Beliau menegaskan bahawa musim tengkujuh yang menjadikan sawah “bertukar menjadi laut” adalah faktor utama yang menghalang penanaman sepanjang tahun. "Apabila monsun datang, semua orang kena berehat, tak boleh menanam," ujarnya.
13 May 25
3386
Perantau Jadi Penghubung Kerajaan Negeri Dengan Anak Terengganu
Perantau Jadi Penghubung Kerajaan Negeri Dengan Anak Terengganu
TAWAU, 12 Mei - Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan antara kerajaan negeri dan anak-anak Terengganu di perantauan.  Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Dato' Ariffin Deraman berkata melalui platform tersebut, pelbagai pencapaian terkini kerajaan negeri dapat dikongsi secara telus. Katanya, seperti Majlis Ramah Mesra Anak Terengganu yang diadakan setiap tahun menjadi salah satu bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat Terengganu bahawa mereka sentiasa dihargai walaupun berada jauh di seberang lautan. "Majlis ramah mesra ini patut diadakan lebih kerap bagi mempereratkan lagi hubungan antara kita semua. "Semoga ukhuwah ini terus mekar dan menjadi penghubung antara warga Terengganu di Sabah dengan tanah air tercinta," katanya kepada pemberita ketika dihubungi. Terdahulu satu Majlis Ramah Mesra Anak Terengganu dan Warga KMI Tawau Medical Centre di Tawau telah dianjurkan baru-baru ini. Dalam majlis tersebut, beliau  turut meluangkan masa bersama warga  KMI Tawau Medical Centre sebagai menghargai jasa serta dedikasi mereka yang gigih berbakti dalam sektor kesihatan. Tambahnya lagi, pujian perlu diberikan atas usaha Perantau mengadakan pelbagai program yang dapat mengumpulkan anak Terengganu sekali gus bertukar pendapat idea bagi perkembangan negeri kelahiran mereka.  Ariffin turut  memaklumkan berkenaan Pembiayaan Tabung Usahawan untuk anak Terengganu di perantauan yang menjalankan perusahaan atau perniagaan supaya merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan negeri.  
12 May 25
349
Exco Terengganu Tamatkan MBA, Kongsi Pentas Dengan Dua Anak
Exco Terengganu Tamatkan MBA, Kongsi Pentas Dengan Dua Anak
SHAH ALAM, 12 Mei – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris, berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, sekali gus membuktikan bahawa usia bukan halangan untuk terus menimba ilmu. Lebih istimewa, beliau bergraduasi bersama dua orang anaknya, Mohd Alinur Haqqim, 36 dan Nur Aisyah Hanim, 34, yang turut menerima ijazah dalam bidang yang sama pada Majlis Konvokesyen ke-101 UiTM semalam. Razali, 59, berkata beliau memulakan pengajian MBA pada tahun 2021 ketika masih memegang jawatan sebagai Senator di Dewan Negara. “Walaupun ketika itu, jadual saya sangat sibuk dengan pelbagai tugas rasmi, namun dengan izin Allah SWT, saya berjaya tamatkan pengajian ini. “Saya juga sempat menangguh satu semester untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri pada Ogos 2023, di mana saya bertanding sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada hari ini. Sebagai Exco Pelancongan dan Wakil Rakyat Kijal, Razali berharap ilmu yang diperoleh dalam bidang pentadbiran perniagaan ini dapat dimanfaatkan untuk memajukan sektor pelancongan dan pembangunan negeri Terengganu secara keseluruhan. “Saya berharap ilmu yang saya peroleh dapat digunakan untuk membantu menguruskan negeri dan memberi manfaat kepada masyarakat. “Saya berharap golongan muda agar tidak berputus asa mengejar ilmu walaupun mungkin menghadapi cabaran di awal perjalanan mereka,” ujarnya. Menurutnya, kegagalan awal tidak bermakna gagal selama-lamanya. Teruskan berusaha.  
12 May 25
885
RM1.5 Juta Dibelanja Naik Taraf, Infrastruktur Sawah
RM1.5 Juta Dibelanja Naik Taraf, Infrastruktur Sawah
KEMAMAN, 11 Mei – Lebih RM1.5 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Terengganu sejak 2019 bagi menaik taraf sistem pengairan dan infrastruktur pertanian di Paya Dadong dan Paya Paman, namun hakikatnya, jika tiada beras, tiada siapa dapat menjamah nasi, walaupun wang berbillion di tangan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, keseluruhan jumlah tersebut merangkumi peruntukan dari kerajaan negeri, persekutuan dan pelbagai sumber lain bagi membina pagar, jalan ladang serta sistem pengairan moden. "Kalau dicampur, sebanyak RM1.576 juta telah kita salurkan di Paya Dadong dalam tempoh enam tahun, dan kalau dibahagi kepada 19 orang peserta, akan jadi RM82 ribu seorang. "Baik kita bahagi duit, tak payah tanam padi, tapi kalau tiada beras, macam mana kita nak makan nasi?,” katanya, sebagai sindiran kepada pandangan yang menganggap pertanian sebagai beban perbelanjaan. Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Ramah Mesra dan Dialog Kelompok Tani & Pesawah Padi, di Rumah Tani Kampung Dadong, di sini hari ini. Turut hadir, ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Dr. Sukati Sakka; dan Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Nazwawi Harun. Menurut beliau, peruntukan tambahan sebanyak RM500 ribu turut disalurkan di kawasan Paya Paman yang hanya mempunyai enam peserta, menjadikan peruntukan per individu lebih tinggi, namun prinsip kerajaan tetap sama, galakkan kerja, bukan beri tunai. "Kalau kita bahagi kepada enam peserta, setiap orang akan dapat RM83 ribu, tapi kita tak buat begitu sebab kita nak tuan puan terus berusaha," katanya. Dr. Azman turut mendedahkan pengalaman peribadinya sewaktu mula menjadi Exco pada tahun 2018, apabila didatangi seorang penasihat kanan kepada pemimpin negara mempersoalkan keutamaan kerajaan negeri dalam sektor penanaman padi. "Dia kata petani tetap miskin, lebih baik beli saja beras dari luar, tak perlu subsidi, tak perlu tali air, tak perlu buat empangan dan jalan ladang," katanya memetik perbualan tersebut. Namun katanya, realiti dunia menunjukkan bahawa wang semata-mata tidak mampu menyelamatkan negara ketika krisis makanan, apatah lagi jika negara pengeluar menutup pintu eksport. "Saya kata, kita boleh beli kalau ada orang nak jual, tapi kalau sampai masa kita ada duit tapi tiada siapa nak jual, kita boleh beli tak?" katanya tegas. Beliau menegaskan, negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam sendiri pernah menyekat eksport beras sehingga keperluan domestik mereka mencukupi. "Polisi mana-mana negara mesti mencukupkan makanan untuk rakyat dulu sebelum dibenar eksport," jelasnya. Azman menyimpulkan bahawa dalam krisis sebenar, kekayaan bukan lagi pada wang, tetapi pada makanan yang cukup untuk rakyat. "Orang bijak pernah kata, ketika krisis makanan, orang paling kaya ialah orang yang ada makanan," ujarnya.  
11 May 25
150
Lebih 200 Peserta Turut Ke Laut Candat Sotong
Lebih 200 Peserta Turut Ke Laut Candat Sotong
MARANG, 11 Mei – Lebih 200 peserta termasuk pelancong asing turun ke laut bagi menyertai Program Candat Sotong Terengganu 2025 yang berlangsung meriah di Jeti Pelancongan Marang, baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, program tersebut bukan sahaja menghidupkan suasana musim candat, malah turut mempromosikan budaya tradisi nelayan Terengganu kepada masyarakat luar. "Sebanyak 21 bot nelayan digunakan bagi membawa para peserta ke perairan Marang untuk aktiviti mencandat sotong yang menjadi tarikan unik pelancongan maritim negeri ini. "Tahun ini, tema ‘Pakat Maghi Candat Sotong 2025’ berjaya tarik ramai peserta termasuk penggiat media sosial dan wartawan luar negara,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Candat Sotong Terengganu 2025 bertempat di Jeti Marang, kelmarin. Turut hadir, Timbalannya, Sulaiman Sulong dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan. Razali berkata, musim candat sotong yang berlangsung dari April hingga Ogos tahun ini dijangka melibatkan lebih 3,000 bot, dengan kehadiran kira-kira 30,000 pelancong ke perairan Terengganu. "Pogram ini mampu menjana lebih RM7.5 juta kepada ekonomi tempatan termasuk pengusaha bot, pemilik penginapan dan peniaga kecil. "Pelancaran musim candat kali ini juga dilihat sebagai langkah awal Terengganu menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan menjadikan aktiviti laut sebagai tarikan utama pelancong," ujarnya.  
11 May 25
338
Sultan Mizan Berangkat Ke Forum Agama Bersama Warga Setiu
Sultan Mizan Berangkat Ke Forum Agama Bersama Warga Setiu
SETIU, 10 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Forum Agama Sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-63 tahun semalam.  Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Program yang berlangsung di Tapak Pasar Pagi Bandar Permaisuri, Setiu, dihadiri peserta pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada penjawat awam, pelajar-pelajar serta masyarakat setempat. Forum bertajuk 'Akidah Islamiyyah: Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah' itu menampilkan Tuan Zakaria Othman sebagai moderator bersama tiga ahli panel terdiri daripada Zul Ramli Mohmmed Razak, Dato’  Kamarudin Abdullah, dan Prof. Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail al-Qudsy. Antara intipati forum yang berlangsung selama dua jam itu ialah penekanan terhadap asas keteguhan akidah yang menjadi kunci kepada pengukuhan keimanan kepada Allah S.W.T. bagi umat Islam. Dalam pada itu, salah seorang pengunjung yang hadir, Atiekah Ali, 27, menyatakan keterujaannya melihat penyertaan daripada penduduk daerah Setiu dalam menghadiri majlis ilmu khususnya di Bandar Permaisuri pada malam itu tadi. "Sepanjang hidup saya di Permaisuri, ini adalah merupakan kali pertama saya merasai sendiri pengalaman di mana ramai orang berkumpul untuk menghadiri program seperti ini dan paling istimewa, Sultan sendiri turun (datang) ke sini. "Mungkin sebelum ini saya terlepas pandang akan anjuran program sedemikian di kawasan ini (Bandar Permaisuri), namun saya masih merasa kagum melihat bilangan ramai orang bersungguh-sungguh untuk hadir.   Dia yang merupakan seorang usahawan di kawasan berhampiran tapak majlis tersebut berkata demikian ketika ditemui oleh pihak Urus Setia Darul Iman, di sini, semalam.  
10 May 25
1022
Terengganu Tegas Larang Homoseksual
Terengganu Tegas Larang Homoseksual
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Kerajaan negeri menegaskan bahawa larangan terhadap perlakuan homoseksual menerusi papan tanda yang dipasang di laluan utama berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) adalah sebahagian daripada pendekatan dakwah berteraskan prinsip 'amar makruf nahi mungkar'. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, inisiatif oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu disokong penuh sebagai satu usaha mendidik masyarakat agar menjauhi perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT berdasarkan dalil-dalil jelas daripada Al-Quran dan Sunnah. "Larangan terhadap homoseksual bukanlah perkara baharu dalam Islam. Ia telah disebut dalam banyak ayat Al-Quran, termasuk kisah kaum Nabi Lut AS, yang dihancurkan kerana mengamalkan perbuatan songsang tersebut. "Menegur kesalahan dan mencegah kemungkaran adalah sebahagian daripada kasih sayang terhadap manusia, agar mereka tidak terus berada dalam kesesatan. "Maka, sebagai umat Islam yang bertanggungjawab, masyarakat perlu menzahirkan penolakan terhadap perbuatan mungkar ini secara hikmah dan tegas. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang telah dikeluarkan melalui laman sosial media rasminya, semalam. Khalil juga menolak dakwaan bahawa papan tanda tersebut merupakan satu bentuk diskriminasi terhadap golongan minoriti dan menegaskan bahawa ia bukan soal membenci individu, tetapi membenci perbuatan yang bertentangan dengan fitrah dan syariat. Jelasnya, dakwah memerlukan pendekatan yang memandu manusia ke arah kebaikan, dan langkah seperti ini adalah salah satu usaha berterusan kerajaan negeri untuk membina masyarakat yang sejahtera dan diberkati. "Kerajaan negeri menyeru semua pihak agar memahami konteks dakwah ini dengan hati terbuka dan tidak mempolitikkan atau memutarbelitkan mesej yang ingin disampaikan," ujarnya. Tambah beliau, Terengganu sebagai negeri yang memartabatkan syariat Islam akan terus mengangkat usaha pencegahan, pendidikan dan penerangan dalam membina masyarakat yang patuh kepada ajaran agama. Terdahulu, seorang ahli akademik tempatan telah mempersoalkan keputusan yang telah diambil oleh kerajaan negeri dan menyifatkan tindakan itu sebagai 'pengendorsan kebencian yang berbahaya'.
10 May 25
399
Sultan Mizan Hadir Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat Di Setiu
Sultan Mizan Hadir Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat Di Setiu
SETIU, 10 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli ke Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu. Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Sultanah Nur Zahirah; Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka-paduka anakanda. Turut mengiringi, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia dan barisan-barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu. Majlis juga diserikan dengan persembahan kebudayaan daripada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), dendangan nyanyian daripada artis tempatan serta tarian tradisional pelajar Sekolah Kebangsaan Tanjung Gelam. Jamuan yang berlangsung di Kompleks Sukan Sungai Tarom, Bandar Permaisuri, Setiu itu dihadiri lebih ribuan pengunjung yang terdiri daripada penjawat awam, pelajar-pelajar serta masyarakat setempat.      
10 May 25
1543
Sultanah Nur Zahirah Berkenan Berangkat Ke Hospital Setiu
Sultanah Nur Zahirah Berkenan Berangkat Ke Hospital Setiu
SETIU, 10 Mei - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke Hospital Kluster Setiu, Terengganu, bersempena sambutan ulang tahun ke-63 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, kelmarin.  Mengiringi baginda, paduka anakanda-anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja serta diiringi isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman. Keberangkatan tiba Sultanah turut disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Hospital Setiu, Dr. W. Md Shihabudin Wan Mamat. Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik. Sultanah Nur Zahirah berkenan meluangkan masa selama satu jam meninjau wad kanak-kanak dan wad bersalin di hospital berkenaan. Dalam masa sama, baginda turut beramah mesra bersama pesakit dan kakitangan perubatan, selain menyantuni ibu-ibu yang sedang menerima rawatan selepas melahirkan anak. Sejak penubuhannya, Hospital Setiu telah berkembang dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan, termasuk unit kecemasan dan trauma, hemodialisis, klinik pakar, serta wad bersalin dan pediatrik, menjadikannya pusat rujukan penting di kawasan tersebut, memberi akses mudah bagi penduduk tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada hospital di daerah lain Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Hospital Setiu mula dibina pada Oktober tahun 2000 di bawah Projek Rancangan Malaysia ke – 7. Ia merupakan 'Turnkey Project' dengan kos pembinaan sebanyak RM65,662,790. Memulakan operasinya pada 7 Disember 2003 dengan pembukaan unit kecemasan, diikuti dengan pembukaan wad perempuan pada Januari 2004, wad lelaki pada April 2004 dan wad kanak-kanak pada Oktober 2004 manakala, dewan bersalin pula telah dibuka kepada pesakit mulai 9 Mei tahun yang sama. Meliputi kawasan seluas 8.3 hektar dari 16.2 hektar luas kawasan dengan jarak dua kilometer dari Bandar Permaisuri, ia berada dengan jarak 72 kilometer dari daerah Kuala Terengganu dan 40 kilometer dari Jertih, Besut.  
10 May 25
366
Wanita Teraju Pertanian Negeri
Wanita Teraju Pertanian Negeri
KUALA TERENGGANU, 8 Mei – Kerajaan Terengganu komited memperkasa wanita, terutama suri rumah dan ibu tunggal, dengan membuka peluang menceburi bidang pertanian secara tersusun dan berfokus. Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, inisiatif tersebut sejajar dengan wawasan kerajaan negeri yang ingin memartabatkan sektor pertanian sebagai penyumbang utama pembangunan negeri secara lestari dan mesra alam. “Melalui program Lamanita yang dilaksanakan di peringkat daerah, kita menyediakan ruang kepada wanita untuk menimba ilmu dan kemahiran baru dalam bidang pertanian. "Di samping menjana pendapatan isi rumah melalui aktiviti di halaman sendiri,”jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Lamanita Daerah Kuala Terengganu, di Pusat Pertanian Bandar, Kuala Terengganu, pada semalam.  Menurut beliau, program Lamanita yang julung kali diadakan itu melibatkan penyertaan dari kaum wanita di lapan daerah di seluruh Terengganu. “Lamanita sangat sesuai untuk suri rumah kerana ia bukan sahaja memupuk minat dalam bidang pertanian, malah dapat meningkatkan pendapatan isi rumah melalui aktiviti pertanian di halaman kita sendiri," tambah beliau. Tuan Roslina turut menyeru semua pihak untuk bersatu padu menyokong usaha kerajaan dalam memperkasakan wanita melalui ilmu, kemahiran dan akhlak terpuji. "Program ini adalah sokongan kita kepada kerajaan negeri yang mana  kerajaan sentiasa mewar-warkan membantu kerajaan dalam membangunkan sektor pertanian yang lestari dan mesra alam. "Dengan ilmu yang kita ada dengan apa yang kita laksanakan di peringkat halaman rumah  masing-masing. "Kita mengharapkan program akan terus maju ke hadapan untuk jadi  satu aktiviti keusahawan para wanita di negeri Terengganu," ujarnya. Beliau menambah, visi dan misi Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) adalah melahirkan golongan wanita berilmu yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri secara holistik. Katanya, program ini menjadi platform penting dalam mendidik komuniti agar lebih aktif dan produktif, sekaligus menjadikan pertanian sebagai satu budaya baharu dalam kehidupan seharian rakyat Terengganu.
09 May 25
801