lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

TIEP Sedia Sambut Kejohanan Sukan Kuda Bertaraf Global
TIEP Sedia Sambut Kejohanan Sukan Kuda Bertaraf Global
SETIU, 20 Mei - Terengganu International Endurance Park (TIEP) yang berkeluasan 47 hektar merupakan mercu tanda kebanggaan rakyat negeri ini dalam sukan kuda lasak. Kini, TIEP lebih bersedia untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa serta menjadi tuan rumah kepada lebih banyak kejohanan sukan tersebut di peringkat global. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, TIEP telah berkembang menjadi sebuah pusat berkuda bertaraf antarabangsa yang turut menawarkan kemudahan lengkap untuk penganjuran acara seperti ‘show jumping’ dan ‘dressage’. "Dua arena utama iaitu 'warm-up' dan 'competition' dilengkapi sistem penjurian moden dan mengikut piawaian antarabangsa. "Clubhouse yang dirasmikan pada hari ini pula, bakal melengkapkan lagi kemudahan bertaraf antarabangsa di TIEP serta meningkatkan keselesaan para pelumba, pengiring dan pengunjung dari dalam dan luar negara," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan persembahan ucapan sempena Majlis Perasmian TIEP dan Club House Serta Penyampaian Hadiah Karnival Bidong Flora Fest (BFF) 2025, semalam.  Majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di TIEP itu disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang telah berkenan mencemar duli. Mengulas lebih lanjut, Dr. Ahmad Samsuri berkata sehingga kini TIEP telah berjaya menjadi tuan rumah bagi 84 kejohanan di peringkat antarabangsa dan 30 kejohanan peringkat kebangsaan sejak 2004. "Ia menjadi antara lokasi sukan berkuda paling aktif dan berprestij di rantau ini dan antara kejayaan paling membanggakan ialah penganjuran FEI World Endurance Championship 2008, selain menjadi lokasi acara kuda lasak sempena sukan SEA 2017. "TIEP menyaksikan pencapaian membanggakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku merangkul pingat emas dalam cara individu 80km dan acara berpasukan,"ujarnya. Tambah beliau, TIEP juga secara konsisten menganjurkan pelbagai acara tahunan berprestij pelbagai acara tahunan seperti Sultan Mizan Cup, Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu, Piala YAB Menteri Besar Terengganu. Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah berkenan mencemar duli merasmikan TIEP dan Clubhouse serta turut berkenan menyampaikan hadiah Karnival Bidong Flora Fest. Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu; Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abdin. Turut mengiringi, paduka anakanda Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja serta YAM Tengku Puteri Daulath Raja.  
20 May 25
169
Dari Rumah Asnaf ke Sektor Minyak dan Gas
Dari Rumah Asnaf ke Sektor Minyak dan Gas
KUALA NERUS, 20 Mei – Tatkala sebahagian anak muda masih tercari-cari arah hidup, seramai 47 anak asnaf berjaya menamatkan latihan teknikal dan industri dalam Program Oil and Gas Wakalah TVET (OGWTP) di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), sekali gus membuka jalan keluar dari belenggu kemiskinan menuju masa depan yang lebih terjamin. Program selama enam bulan itu bukan sahaja membekalkan mereka dengan kemahiran dalam bidang mekanikal serta elektrikal dan instrumentasi, malah menyediakan pensijilan industri bernilai tinggi yang laku keras dalam sektor minyak dan gas, satu peluang yang sebelum ini hanya menjadi angan-angan bagi mereka yang datang dari rumah-rumah serba sederhana. Mohammad Nasrul Nafie Mohd Nasran, salah seorang graduan program, meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang menyertai program latihan yang disifatkannya sebagai luar biasa.  "Sepanjang enam bulan ini, kami menempuh pengalaman yang tak pernah kami bayangkan, dan amat bermakna," katanya penuh terharu. Bagi Iman Hakim Mohd Firuz, 24, dari Kampung Pelandan, Kuala Berang, keputusan menyertai OGWTP adalah satu anjakan besar dalam hidupnya.  "Saya mula berminat dalam bidang ini semasa kerja dulu. "Bila tahu sijil INSTEP sangat bernilai, saya terus mohon," katanya, sambil berkongsi bahawa minatnya disemai oleh pengalaman kerja serta sokongan ayahnya. Kisah Amer Mustaqim Kamaruddin, 22, dari Kampung Raja, Besut, pula mencerminkan kecekalan seorang anak buruh yang menjadikan minat terhadap kerja tangan sebagai motivasi untuk keluar dari kepompong kemiskinan.  "Saya minat baiki motor sejak sekolah.  "OGWTP ini bagi saya peluang belajar betul-betul," ujarnya. Program OGWTP adalah hasil kolaborasi INSTEP bersama Yayasan Pendidikan MAIDAM, Dana Asy-Syakirin, THRDC dan lebih 20 rakan industri, dibiayai sepenuhnya melalui dana zakat wakalah berjumlah RM2 juta.  
20 May 25
340
Pulangan Berganda: Anak Syarikat Untung, Rakyat Senang
Pulangan Berganda: Anak Syarikat Untung, Rakyat Senang
Oleh: Daing Siti Norbaity Abd Latif MARANG, 20 Mei – Pencapaian anak-anak syarikat milik Kerajaan Negeri Terengganu kini berada di tahap terbaik sekali gus mampu memberi pulangan semula kepada rakyat. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jika dibandingkan lima tahun sebelum ini, prestasi anak syarikat negeri menunjukkan peningkatan ketara termasuk TDM Berhad yang sangat  aktif membantu rakyat melalui program kebajikan. “Kalau syarikat rugi, tidak dapat bantu rakyat. Sebab itu kita tekankan anak-anak syarikat capai keuntungan maksimum, supaya hasilnya boleh dikongsi semula,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program TDM Bersama Masyarakat Rhu Rendang di Dewan Perpustakaan Marang, semalam. Program tersebut menyaksikan sumbangan disalurkan kepada penerima asnaf sekitar kawasan DUN Rhu Rendang hasil daripada wakalah zakat TDM Berhad. Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut merakamkan penghargaan kepada TDM atas usaha turun padang membantu masyarakat di peringkat akar umbi. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, program tersebut merupakan sebahagian komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat. Katanya, kejayaan syarikat bukan sekadar diukur dari segi keuntungan, tetapi juga sejauh mana manfaat yang boleh dikongsi bersama rakyat. “Kami mahu terus memartabatkan kesejahteraan komuniti, selari dengan status syarikat Patuh Syariah dan misi TDM sebagai ‘corporate citizen’,” ujarnya. Menurut beliau, program di Rhu Rendang merupakan lokasi keenam siri TDM Bersama Masyarakat, selepas DUN Kota Putera, Jerteh, Ajil, Kuala Besut dan Bukit Besi. "Antara bentuk bantuan yang disalurkan termasuk wang tunai dan barangan keperluan harian kepada asnaf yang layak," ujarnya.
20 May 25
595
Belia Terengganu Diseru Kuasai IR 4.0, AI dan Data Raya
Belia Terengganu Diseru Kuasai IR 4.0, AI dan Data Raya
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Belia Terengganu tidak boleh terus berada di zon selesa sebagai pengguna teknologi semata-mata, sebaliknya perlu tampil sebagai pencipta perubahan dalam era Industri Revolusi 4.0 (IR4.0) Yang Dipertua Dewan Belia Negeri Terengganu, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli menyeru agar generasi muda menguasai teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan data raya sebagai alat mencorak masa depan negara. "Dengan semangat generasi hebat, kita tampil sebagai generasi yang celik teknologi, progresif dan dinamik. "Dalam mendepani cabaran industri revolusi (IR) 4.0, kita sebagai wakil generasi Z, Alpha dan bakal Beta tidak boleh hanya menjadi pengguna teknologi.  "Kita mesti menjadi pencipta perubahan dengan AI, robotik dan data raya di hujung jari," katanya melalui satu ucapan dalam Persidangan Ahli Dewan Belia Negeri Terengganu, Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Siri ke-3, semalam. Tambah beliau, masa depan memerlukan keberanian dan kebijaksanaan yang mesti digilap bermula hari ini, dengan sidang ADUN Belia menjadi platform latihan untuk membina pemimpin muda yang mampu bersaing di peringkat global. Dalam ucapan tersebut, Fadhli turut menekankan kepentingan membentuk generasi belia rabbani, iaitu anak muda yang bukan sahaja celik teknologi dan progresif, tetapi juga berakar dengan nilai dan jati diri. Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia , Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), turut mengingatkan bahawa kepimpinan bukanlah ruang untuk mencari kedudukan, sebaliknya perlu berteraskan khidmat kepada masyarakat. "Dalam hadis yang diriwayatkan Ibnu Hibban, Rasulullah S.A.W. bersabda: Sebaik-baik manusia adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain. "Inilah prinsip utama kepimpinan dalam Islam bahawa setiap kuasa, kedudukan atau amanah mesti dikaitkan dengan khidmat kepada rakyat dan bukan untuk kepentingan peribadi," jelasnya. Sidang ADUN Belia Terengganu yang berlangsung hari ini menghimpunkan wakil-wakil belia dari seluruh daerah, bertujuan membina wacana idea, mencetus solusi dan menyampaikan aspirasi generasi muda kepada kerajaan negeri. "Sidang ini bukan sahaja menjadi simbol demokrasi kepada belia tetapi medan latihan sebenar untuk kita belajar memimpin, berdiskusi dan berbeza pandangan dengan penuh adab dan tanggungjawab.  "Inilah dewan anak muda iaitu dewan idea, dewan solusi dan dewan harapan. "Saya mendoakan agar segala idea dan cadangan dari sidang ini dapat dijadikan rujukan dasar oleh kerajaan negeri dan dipertimbangkan dalam pelaksanaan pembangunan belia," ujarnya. Fadhli turut merakamkan penghargaan atas pelaksanaan pelbagai program belia oleh ADUN Belia Terengganu yang telah memberi manfaat langsung kepada ribuan anak muda di negeri itu.
20 May 25
169
9 Countries Join 'Candat Sotong' in Terengganu
9 Countries Join 'Candat Sotong' in Terengganu
MARANG, 20 May – Terengganu continues to strengthen its position as a premier maritime tourism hub on Malaysia’s East Coast with the successful hosting of the Squid Jigging Programme, held as part of the 'Sail Malaysia: Passage to the East 2025' Yacht Rally. Chairman of the Terengganu State Committee on Tourism, Culture, Environment, and Climate Change, Datuk Razali Idris, said this year’s event welcomed participants from nine countries, including the United States, Kuwait, Thailand, Australia, Germany, the United Kingdom, France, South Africa, and the Philippines. “The presence of international sailors highlights Terengganu’s growing appeal as a key destination for the global yachting community,” he said. "Participants were given the rare opportunity to experience 'candat sotong', a traditional squid jigging activity, in the rich, biodiverse waters of Terengganu. "This authentic maritime experience, coupled with the state’s stunning natural landscapes and vibrant cultural heritage, further underscores Terengganu’s unique offerings for nautical tourism. “We are truly honoured to welcome sailors from around the world,” added Datuk Razali. This event not only fosters cultural exchange but also strengthens Kuala Terengganu’s role as a gateway for international maritime tourism in the region. With rising global recognition and a calendar filled with engaging marine-based activities, Terengganu is well on its way to becoming the leading maritime tourism destination on Malaysia’s East Coast, attracting seafarers, ocean enthusiasts, and adventure seekers from around the world.  
20 May 25
167
RM2 Juta Bantu Anak Asnaf Terengganu Ceburi Industri Minyak dan Gas
RM2 Juta Bantu Anak Asnaf Terengganu Ceburi Industri Minyak dan Gas
KUALA NERUS, 18 Mei – Sebanyak RM2 juta dana zakat wakalah dimanfaatkan bagi membiayai latihan teknikal dan penempatan industri selama enam bulan kepada 47 anak asnaf Terengganu, sekali gus membuka peluang kerjaya dalam sektor minyak dan gas. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, program Oil and Gas Wakalah Technical and Vocational Education Training Programme (OGWTP) itu khusus untuk membantu golongan asnaf keluar daripada belenggu kemiskinan. "Pelatih yang mengikuti program ini sebahagian besarnya adalah dari kalangan anak asnaf yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan menerima bantuan zakat,” kata beliau. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup OGWTP Kumpulan 2/2024 di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, Pegawai Eksekutif Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM), Norhana Yaakub, dan Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli. Beliau turut menjelaskan, peruntukan besar hasil sumbangan zakat kakitangan PETRONAS dan kerjasama strategik bersama kerajaan negeri menjadi pemangkin kepada kejayaan program tersebut. "Saya ucapkan terima kasih kepada pihak PETRONAS, khususnya INSTEP, dan juga kepada MAIDAM. "Memang kita ada satu bajet zakat daripada MAIDAM, yang sebahagiannya zakat dari para pekerja PETRONAS, juga dengan kerjasama kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC)," jelasnya. OGWTP Kumpulan 2/2024 yang berlangsung di INSTEP menyaksikan 47 peserta menerima sijil tamat latihan dalam satu majlis penuh penghargaan. "Program ini kali kedua, program pertama selesai tahun lepas. "Seramai 47 orang menerima sijil, berkolaborasi dengan 20 syarikat untuk menawarkan peluang kerja kepada pelatih," ujarnya. Antara nilai tambah program ini ialah pensijilan industri seperti Sijil Kemahiran Pendawaian Kabel, Ujian Tanpa Musnah Tahap 2 (NDT), serta latihan Keselamatan Bekerja di Tempat Terkurung (AESP), Pengetahuan Bantuan Cemas, Latihan Keselamatan dan Kesihatan (OGSP), dan Induksi Asas Keselamatan Luar Pesisir dan Latihan Kecemasan (BOSIET), yang diperlukan oleh syarikat industri minyak dan gas. Selain itu, tempoh penempatan industri turut dilanjutkan kepada enam bulan bagi memberikan pelatih pengalaman sebenar bekerja, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam sektor yang sangat kompetitif. Program ini merupakan hasil kolaborasi INSTEP, YPM, Dana Asy-Syakirin, THRDC dan lebih 20 rakan industri, dan dijangka terus diperluas demi memberi manfaat lebih besar kepada anak-anak asnaf di seluruh Terengganu.
19 May 25
942
Jemaah Haji Perlu Bawa Ubat Secukupnya Ke Tanah Suci
Jemaah Haji Perlu Bawa Ubat Secukupnya Ke Tanah Suci
KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Jemaah haji dinasihatkan untuk membawa ubat penyakit kronik dalam jumlah mencukupi bagi keseluruhan tempoh berada di Tanah Suci kerana bekalan ubat tidak akan disambung di Mekah kecuali dalam keadaan sangat terdesak. Menurut Ketua Penolong Pengarah Kanan Amalan dan Perkembangan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Mohd Syafiq Yusof, ramai jemaah masih kurang faham mengenai polisi ubat kronik semasa mengerjakan Haji. Ketua Penolong Pengarah Kanan Amalan dan Perkembangan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Mohd Syafiq Yusof "Panggilan untuk menunaikan Haji itu adalah selama 48 hari dan mungkin masa perjalanan serta transit akan memakan tempoh lebih lama. Masa yang perlu diambil kira bermula dari mula penerbangan di Terengganu sehinggalah penerbangan pulang ke Terengganu. "Rawatan memang ada disediakan di sana – hospital medan, klinik maktab – tetapi ubat kronik tidak akan disambung kecuali kes sangat mendesak kerana dos, jenama atau kandungan mungkin tidak sama.  "Ini boleh menjejaskan keberkesanan rawatan," katanya dalam program Bicara Jabatan Kerajaan terbitan TV Darul Iman, baru-baru ini. Dalam pada itu, jemaah yang mempunyai alergi terhadap ubat-ubatan seperti penicillin digesa membawa kad alahan ubat berwarna kuning yang dibekalkan oleh Tabung Haji. "Alergi ubat bukan perkara kecil. Ada jemaah yang hanya batuk ringan tetapi diberi ubat yang menyebabkan reaksi alahan kerana doktor tak tahu sejarah perubatan mereka.  "Ini boleh membawa kepada komplikasi yang serius maka kad ini penting untuk memaklumkan kepada doktor di Tanah Suci mengenai jenis ubat yang tidak boleh diambil oleh jemaah," jelasnya. Mengulas lebih lanjut, saranan untuk menyediakan ubat-ubatan asas lebih awal di tanah air sebelum berangkat ke Tanah Suci turut disebabkan kos ubat yang tinggi di Arab Saudi. Katanya, walaupun farmasi mudah diakses di sekitar Masjidilharam, harganya sangat membebankan jemaah lebih-lebih lagi dalam keadaan ringgit yang lemah. Antara ubat yang digalakkan untuk dibawa termasuk paracetamol, ubat selsema, tahan muntah, batuk, dan lozenges untuk melegakan tekak yang sering terganggu akibat cuaca panas dan kering di Tanah Suci. "Bila kita pergi ke negara Arab Saudi ini, cuacanya panas dan kering. Kita tidak dapat lari daripada perubahan cuaca dan berkemungkinan untuk mengalami  masalah kesihatan. "Sebagai contoh biasanya kita akan mengalami batuk-batuk oleh itu, ubat sakit tekak untuk melegakan tekak supaya batuk itu tidak berlarutan kerana jika dibiarkan ia mungkin berlarut dan boleh terkena jangkitan kuman," ujarnya. Dalam pada itu, Syafiq juga menyarankan agar para jemaah membawa ubat sapu atau krim pelembap kaki sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan kaki merekah atau luka akibat perjalanan jauh dalam cuaca panas di Tanah Suci.    
19 May 25
79
Sembilan Negara Sertai Candat Sotong di Terengganu Sempena Sail Malaysia
Sembilan Negara Sertai Candat Sotong di Terengganu Sempena Sail Malaysia
MARANG, 19 Mei – Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) berjaya menarik pelancong dari sembilan negara ke negeri tersebut melalui penganjuran Program Candat Sotong sempena Sail Malaysia: Passage to the East 2025 Yacht Rally yang berlangsung meriah, semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, program berkenaan melibatkan penyertaan pelayar dari Amerika Syarikat, Kuwait, Thailand, Australia, Jerman, United Kingdom, Perancis, Afrika Selatan dan Filipina. Menurutnya, program itu bukan sahaja memperkenalkan budaya tempatan, tetapi juga membantu mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan laut bertaraf dunia. “Para pelayar diberi peluang merasai sendiri pengalaman mencandat sotong, satu aktiviti tradisional yang terkenal di Terengganu. “Kami sangat berbesar hati menerima pelayar dari seluruh dunia. Diharap mereka dapat bawa pulang kenangan indah dan ceritakan keunikan Terengganu kepada orang lain,” jelasnya ketika ditemui dalam program yang diadakan di Pulau Kapas, semalam. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) Hilmi Hajijan, Wakil Persatuan Pelancongan Perkapalan dan Marin Malaysia dan Selaku Pengasas Sail Malaysia, Sazli Kamal Basha dan Ketua Penolong Pengarah (KPP) Pembangunan, YM Raja Faisal Raja Harun. Salah seorang peserta, Prof Khaled Karrai, Pesara Pensyarah dari University of Munich yang belayar dengan kapal layar SV NISMA, menyatakan beliau sangat teruja dengan pengalaman mencandat sotong dan memuji sambutan mesra rakyat tempatan. “Saya berharap program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang. “Keindahan alam semula jadi, budaya unik dan pelbagai aktiviti laut menjadikan Terengganu terus dikenali sebagai destinasi pelancongan maritim pilihan pelancong dari seluruh dunia.                    
19 May 25
1819
SUK Terengganu Rai Pegawai  Bersara dan Bertukar
SUK Terengganu Rai Pegawai  Bersara dan Bertukar
KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Kerajaan Negeri meraikan pegawai dan ketua jabatan yang telah bersara dan bertukar sepanjang tahun 2025 dalam suatu majlis penuh meriah, di sini hari ini. Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Nara Setia berkata, majlis tersebut menandakan penghargaan kerajaan negeri terhadap mereka di atas sumbangan dan masa yang dihabiskan bersama dalam menempuh pelbagai cabaran sepanjang perkhidmatan. “Bagi pihak Kerajaan Negeri dan Perkhidmatan Awam Negeri Terengganu, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ketua-ketua Jabatan yang bertukar.  “Khidmat bakti tuan-tuan dan puan-puan sepanjang berada di negeri Terengganu tidak akan kami lupakan.  “Semestinya kehadiran tuan puan di negeri Terengganu ini telah menyumbangkan sebahagian daripada perancangan pembangunan negeri Terengganu dan telah memberikan manfaat kepada rakyat Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian di Majlis Meraikan Persaraan Dan Pertukaran Pegawai/Ketua Jabatan Peringkat Negeri Terengganu  Tahun 2025 di Hotel Paya Bunga, di sini hari ini. Dalam majlis tersebut seramai 13 orang Ketua Jabatan telah bersara dan lapan orang telah bertukar keluar dari negeri Terengganu sejak akhir 2024 hingga awal 2025 telah diraikan.  Dalam masa sama, Dato’ Nara Setia juga berkata pengalaman serta pengetahuan yang telah ditimba dan dikecapi sepanjang bergelar kakitangan awam patut dijadikan sebagai contoh kepada yang masih berkhidmat.  
19 May 25
1932
Penjawat Awam Perlu Ada Sikap ‘Sense Of Urgency’
Penjawat Awam Perlu Ada Sikap ‘Sense Of Urgency’
KUALA TERENGGANU, 19 Mei – Penjawat awam di negeri ini khususnya warga kerja Wisma Darul Iman perlu mempunyai sikap ‘sense of urgency’ atau sikap yang mempunyai tindakan segera bagi memastikan setiap perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar dan efektif. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia berkata, penjawat awam juga seharusnya berusaha untuk membuat pembaharuan agar sentiasa responsif, relevan dan berkesan dalam memenuhi keperluan serta harapan rakyat. “Kita juga hendaklah sentiasa berusaha untuk berubah antaranya berkaitan dengan sikap ketulaan iaitu suka bertangguh. “Jangan suka bertangguh dalam menyelesaikan kerja harian kita. Kalau ada masalah segera berbincang sesama rakan sekerja mahupun dengan pihak atasan agar setiap permasalahan terutamanya yang melibatkan kepentingan rakyat dapat diselesaikan dengan segera,” ujarnya.   Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Dan Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini. Dalam  pada itu, beliau turut mengingatkan semua warga kerja Wisma Darul Iman agar menjaga imej serta etika berpakaian sebagai penjawat awam.  
19 May 25
136