Artikel "Semasa" Terkini
Sultan Mizan Rasmi Masjid Jambu Bongkok Terengganu
Sultan Mizan (tengah) berkenan menandatangani plak Majlis Perasmian Masjid Jambu Bongkok Marang.MARANG, 8 Februari - Sultan Terengganu Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah berkenan merasmikan Masjid Jambu Bongkok di sini semalam.Sultan Mizan mencemar duli berangkat ke masjid berkenaan diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Dewan Pangkuan Diraja Terengganu, Syeikh Harun Syeikh Ismail serta pengiring-pengiring.Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Yahaya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faizal Tun Abdul Razak dan ahli-ahli jawatankuasa majlis perasmian masjid berkenaan.Sultan Mizan mencemar duli bersalaman dengan orang ramai selepas selesai solat jumaat di Masjid Jambu Bongkok Marang.Kemudian dipohon limpah berkenan ke bawah duli Tuanku Sultan oleh Tun Faisal untuk baginda berangkat ke dalam masjid bagi mengikuti persembahan acara majlis perasmian.Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri menyembah ucapan ke bawah duli Tuanku Sultan menyentuh sejarah dan peranan masjid dalam masyarakat.Sultan Mizan bertitah menyatakan peranan masjid untuk perpaduan umat Islam dan melaksanakan aktiviti bermanfaat bagi ahli kariah setempat.Bacaan doa oleh Mufti Terengganu, Dato’ Dr Zulkifly Muda sejurus selesai Tuanku Sultan bertitah di majlis tersebut sekali gus menjadi khatib dan imam Solat Jumaat di masjid berkenaan.Seterusnya Tun Ahmad Faisal menghadap dan memohon limpah perkenan ke bawah duli Sultan Mizan untuk berangkat ke majlis jamuan tengahari.Selesai majlis itu Tuanku Sultan berangkat balik diiringi Dr Ahmad Samsuri dan Syeikh Harun serta pengiring-pengiring.
07 Feb 20
699
‘Pembinaan Surau Dan Masjid Perlu Ikut Peraturan’ - Titah Sultan Mizan
LSultan Mizan Zainal Abidin.MARANG, 8 Februari - Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah menyeru kerajaan negeri mengambil tindakan segera kepada pihak yang membina masjid dan surau serta menaik taraf surau kepada masjid tanpa mendapat kelulusan dan tidak mengikut peraturan yang sepatutnya.Sultan Mizan bertitah mengingatkan semua pihak supaya setiap pembinaan masjid, surau dan menaik taraf surau kepada masjid di negeri ini perlu sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.“Beta mengingatkan semua pihak supaya setiap pembinaan masjid, surau dan menaik taraf surau kepada masjid di negeri ini hendaklah sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.“Beta menyeru kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan mengambil tindakan segera sekiranya ada pembinaan masjid, surau atau menaik taraf surau kepada masjid tanpa mendapat kelulusan dan tidak mengikut peraturan yang sepatutnya,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Jambu Bongkok di sini semalam.Sultan Mizan (dua dari kanan) menandatangani plak perasmian Masjid Jambu Bongkok Marang.Turut hadir mengiringi keberangkatan Sultan Mizan ke masjid berkenaan, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Ahli Dewan Pangkuan Diraja Negeri, Syeikh Harun Syeikh Ismail.Sultan Mizan seterusnya menyeru agar masjid dijadikan sebagai tempat menyatupadukan ahli kariah di samping pusat pengembangan spiritual masyarakat setempat.“Beta menyeru agar kita semua berusaha bersungguh-sungguh dengan menjadikan masjid bukan hanya sebagai mercu tanda syiar umat Islam dan tempat kita melakukan solat berjemaah, membaca al-Quran, beriktikaf dan beribadah yang lain semata-mata.Sultan Mizan (tengah) bersalaman dengan orang ramai selepas selesai solat Jumaat di Masjid Jambu Bongkok Marang.“Bahkan masjid perlu dijadikan sebagai pusat kegiatan yang memberi manfaat dan tempat menyatupadukan ahli kariah serta ianya perlu dijadikan pusat pengembangan spiritual masyarakat setempat,” titah Tuanku Sultan.Sultan Mizan juga mengingatkan ahli jawatankuasa masjid agar menjalankan tanggungjawab dan amanah yang dipegang dengan memastikan semua arahan yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya JHEAT mengenai hal ehwal masjid dipatuhi dengan sebaik mungkin.“Beta berdoa supaya sumbangan bakti jawatankuasa masjid yang memastikan masjid diimarahkan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah dan dikira sebagai amal soleh.“Mengambil kesempatan pada saat ini juga beta menyeru anak mukim masjid ini agar sama-sama dapat mengimarahkan rumah Allah ini dan menjadikan masjid tempat untuk mendidik, membentuk diri kita untuk menjadi Muslim yang berjiwa murni, berakhlak terpuji dan bertakwa,” titah baginda lagi.
07 Feb 20
121
Ziarah Medan Pemimpin Bantu Masyarakat
Oleh : Izzat Al-QushairiSETIU, 7 Februari - Program Ziarah Kasih dari rumah ke rumah yang dianjurkan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit menjadi medan terbaik untuk wakil rakyatnya membantu penduduk di sana.Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, pelbagai permasalahan rakyat yang melingkari isu ekonomi berjaya ditangani dengan baik melalui aktiviti tersebut"Rata-rata penghuni rumah yang kita ziarahi kebanyakannya mengalami penyakit strok, kencing manis dan masalah dalaman lain yang kronik."Sememangnya program ini wajib diadakan setiap masa, permasalahan rakyat ini adalah tanggungjawab kita bersama," katanya ketika ditemui media selepas program ziarah baru-baru ini.Menurut beliau, program rumah ke rumah yang diadakan itu mensasarkan lebih 30 buah keluarga dalam sebulan.Ziarah dilakukan ini kita rekodkan mengikut keutamaan, keperluan dan disusun berdasarkan kategori."Diharapkan agar usaha kita ini sebagai mewakili kerajaan negeri, akan memastikan mereka yang kita ziarahi akan merasai kecaknaan serta keprihatinan daripada pihak kerajaan kepada mereka,” katanya.Tambah beliau, program seumpama itu juga menjadi medium merapatkan ukhuwah antara masyarakat dan pemimpin."Berdasarkan konsep masyarakat penyayang selaras dengan Dasar Pembangunan Negara dan Wawasan 2020, ziarah akan membina sebuah komuniti sejahtera," ujarnya.
07 Feb 20
38
Pemidato Hebat Mampu Mempengaruhi Pendengar
KUALA TERENGGANU, 6 Februari - Pemidato yang hebat mampu memukau, mempengaruhi serta menaikkan semangat mereka yang mendengarnya termasuk mengubah pandangan masyarakat melalui pidato yang disampaikan.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia boleh membangkitkan masyarakat yang sedang lena malah boleh menjatuhkan kuasa yang besar dengan kehebatan yang mereka ada."Apabila kita mendengar pemidato yang hebat, maka kita merasakan seolah-olah berada di suatu tempat berbeza dan bayangkan ribuan orang sanggup menunggu untuk mendengar apa yang hendak disampaikan."Oleh itu, untuk menjadi pemidato yang hebat, tidak cukup dengan apa yang kita ketahui serta bacaan dan susunan bait-bait yang indah kerana kita perlu bersama masyarakat merasai denyut nadi rakyat, supaya dapat dirasai oleh pendengar."Sampaikan kepada masyarakat apa yang hendak disampaikan, kejutkan mereka, bangkitkan mereka dengan berita yang sahih dan jangan ada perkara-perkara yang tidak benar, yang direka, tidak jelas, fitnah dan sebagainya," katanya.Beliau berkata demikian ketika merasmikan pertandingan Pidato Piala Pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Terengganu Peringkat Kebangsaan Tahun 2020 di Dewan Konvensyen Wisma Darul Iman, di sini semalam.Turut hadir, Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Jona dan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Mohd Nizam Omar.Penganjuran kali pertama yangbertemakan 'Belia Pencetus Revolusi Negara' berjaya menarik penyertaan seramai 67 peserta yang terdiri daripada 40 pelajar sekolah menengah dan 27 kategori terbuka.Bagi kategori sekolah menengah, Yasmin Suffiyah Muhammad Ilias dari Sekolah Menengah Kebangsaan (A) Alawiyah, Kangar, Perlis dinobatkan sebagai johan.Beliau membawa pulang piala pusingan, piala iringan, piala johan, wang tunai RM800 dan sijil penyertaan.Manakala Amiruddin Abd Rahman dari Universiti Pertanian Malaysia bergelar johan bagi kategori terbuka dan membawa pulang piala pusingan, piala iringan, piala johan, wang tunai RM1,000 dan sijil penyertaan.
07 Feb 20
748
'Penuhkan Hujung Minggu Dengan Perkara Berfaedah' - ADUN Bandar
Ahmad Shah ketika menasihati pasangan yang ditahan dalam operasi minggu lalu.Oleh: Shahril NizamKUALA TERENGGANU, 7 Februari - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berharap, waktu lapang terutamanya pada hujung minggu digunakan sebaik mungkin oleh golongan belia untuk melakukan perkara-perkara berfaedah.Beliau turut mengingatkan pelaksanaan penguatkuasaan syariah melalui Operasi Amar Makruf Nahi Mungkar akan terus dilaksanakan untuk membendung golongan muda daripada terlibat dengan gejala sosial.“Apa yang kita harapkan adalah progam ini bukan sahaja sebagai satu pendekatan, nasihat kepada kumpulan ataupun pasangan yang terlibat dengan masalah sosial, tetapi juga kepada semua pasangan remaja di negeri Terengganu khususnya.“Apabila keluar ke tempat-tempat awam bersama dengan pasangan yang bukan mahram, bukan pasangan kahwinnya, mereka perlu mematuhi hukum hakam yang telah ditentukan oleh agama,” katanya.Ahmad turut mengedarkan risalah tentang gejala sosial kepada pengunjung di Pantai Batu Buruk.Menurutnya, operasi yang diadakan di Dataran Batu Buruk minggu lalu memperlihatkan beberapa pasangan telah ditahan kerana melanggar batasan dari sudut etika dan hukum syariat.Jelasnya, program kerjasama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu (IPDKT), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Lajnah Dakwah PAS Kuala Terengganu itu menjadi medan dakwah yang praktikal untuk mencegah gejala itu.Kata Ahmad Shah lagi, masalah yang menular di kalangan majoriti remaja pada masa kini berlaku kerana mereka (remaja) memang tidak memahami hukum syariat Allah SWT."Mungkin juga dari segi pengawasan ibu bapa, mereka tidak melihat perkara ini sebagai suatu yang boleh mendatangkan mudarat yang lebih besar. “Jadi, pada mereka ini perkara biasa. Dalam masa yang sama juga masyarakat kita kurang mengambil berat berhubung dengan pergaulan bebas yang boleh melanggar batas-batas syariat agama.Ahmad Shah, Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Azmi Tengah (berkemeja-T) dan Pensyarah Kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Fauzi Yusuf (berjubah hitam) menasihati pasangan yang ditahan.Beliau menyatakan, kerjasama daripada semua pihak amat penting dalam menangani masalah gejala sosial yang berlaku di kalangan belia.“Kita harap keluarga dan ibu bapa mengambil berat tentang anak-anak mereka, ke mana mereka keluar pada waktu malam dan dengan siapa mereka keluar. “Masyarakat juga hendaklah memberi kerjasama dan berperanan, jangan melihat sahaja mereka berdua-duaan. Sebaliknya, turut mencari jalan untuk memberi nasihat,” nasihatnya.Tambahnya, jika sukar melakukannya, maklumkan perkara tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab. “Insya-Allah, kalau tidak boleh 100 peratus pun, sekurang-kurangnya kita boleh mengurangkan gejala-gejala yang tidak sihat seperti ini,” katanya.
06 Feb 20
60
‘Kerajaan Terengganu Tidak Pernah Pinggir Kaum Minoriti’ - Ahmad Shah
Ahmad memberikan angpau kepada penduduk Tionghua.Oleh: Shahril NizamKUALA TERENGGANU, 6 Februari – Kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan kaum minoriti yang terdapat di Terengganu dan tidak akan sekali-kali mengenepikan kewujudan serta hak mereka.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed menyatakan rasa bertuah kerana suasana sambutan Tahun Baharu Cina di negeri itu, khususnya di Kuala Terengganu dapat disambut dalam keadaan aman dan sejahtera.“Ini semua adalah kurnian daripada Tuhan melalui kerjasama dari semua pihak. Kita mahu melihat masyarakat kita, tidak kira samada kaum Cina, Melayu dan India di sini dapat hidup dalam suasana aman damai, saling berkerjsama, hormat menghormati di antara satu sama lain.“Walaupun bilangan masyarakat Cina di Kuala Terengganu adalah minoritI, tetapi kalian adalah antara penyumbang kepada kesejahteraan dan kemajuan Negeri Terengganu. Oleh yang demikan kami tidak akan sekali-sekali melupakan kalian,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Tiong, Selasa lalu.Ahmad Shah.Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim.Hadir sama meraikan program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam kepada Menteri Besar, Dr. Balachandran Gopal Krishnan dan ADUN Wanita, Zuraida Mohd Noor serta wakil-wakil pertubuhan kaum Tionghua.Tambah Ahmad Shah, majlis yang diadakan juga merupakan bukti bahawa kerajaan yang memerintah dari Parti Islam Semalaysia (PAS) tidak mengenepikan kaum Cina, India mahupun yang lain di Negeri Terengganu.“Tuan-tuan dan puan-puan adalah rakyat negeri ini dan berhak untuk sama-sama hidup di bumi Terengganu dalam suasana aman damai dan sejahtera,” katanya.Antara kepimpinan negeri yang hadir meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama masyarakat Kampung Tiong.
06 Feb 20
89
Selepas Beruk, ADUN Beri ‘Chainsaw’ Pula Untuk Rakyat
Muhammad Khalil bersama wakil MPKK yang menerima sumbangan gergaji rantai.Oleh : Akid HafrizKUALA TERENGGANU, 6 Februari – Belum pun reda cerita Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang menghadiahkan seekor beruk untuk membantu salah seorang penduduk di sana, kini Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk pula mengagihkan gergaji rantai (chainsaw) kepada kampung-kampung di kawasannya.Kali ini, sebanyak 36 buah mesin gergaji rantai telah diagihkan kepada setiap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut untuk kemudahan masyarakat setempat.ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata agihan mesin chainsaw itu merupakan kesinambungan daripada bantuan mesin pemotong rumput yang telah diagihkan pada tahun lepas. Muhammad Khalil.“Tahun lalu, kita telah mengagihkan mesin pemotong rumput dan pada tahun ini kita bagi mesin ‘chainsaw’ pula, tidak lain untuk kemudahan MPKK bagi memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.“Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT atas perkembangan yang berlaku dalam negeri dibawah pemerintahan Menteri Besar , Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang telah berjaya membawa Terengganu ke tahap lebih baik,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis penyerahan peralatan berkenaan di Markaz Tarbiyah PAS Kuala Terengganu, semalam.Majlis penyerahan ‘chainsaw’ itu juga turut disertai Timbalan Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Batu Buruk, Mohd Soud Said dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Batu Buruk, Salleh Abdullah.Khalil menyerahkan gergaji rantai kepada salah seorang wakil MPKK sambil diperhatikan Mohd Soud (berbaju putih).
06 Feb 20
113
Pok Tar Ngecat Terima Bantuan Oksigen
Oleh: AminjiKEMAMAN, 6 Februari - Mokhtar Ismail, 70, atau lebih mesra dikenali sebagai 'Pok Tar Ngecat' yang mengalami masalah pernafasan sejak 2016 mengukir senyuman terharu dengan pemberian alat bantuan pernafasan (tabung oksigen) kepadanya.Sumbangan tersebut disampaikan oleh pasukan (team) kebajikan daripada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih bersama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Air Putih).“Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada YB (Yang Berhormat) Cikgu Razak kerana memberikan alat bantuan pernafasan ini kepada saya.“Dengan adanya bantuan ini, ia dapat mengurangkan bebanan saya menyewa alat bantuan pernafasan melalui agensi yang lain," katanya.Sementara itu, mengulas lanjut, ADUN Air Putih, Ab. Razak Ibrahim berterima kasih kepada pihak yang menyalurkan maklumat tentang Pok Tar.“Terima kasih kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bandar Cheneh Baru kerana menyalurkan maklumat kepada Team Kebajikan DUN Air Putih."Kami akan terus komited membantu pesakit yang kurang berkemampuan untuk meringankan bebanan mereka," ujarnya.
06 Feb 20
181
Lebih 20,000 Bakal Banjiri Himpunan Daie Ummah Nusantara Terengganu
KUALA TERENGGANU, 6 Februari - Himpunan Daie Ummah Nusantara Terengganu Sejahtera yang menampilkan dua tokoh dakwah kesayangan ummah di negara ini dijangka mampu menarik minat kira-kira 20,000 peminat dan penduduk.Dua tokoh terkemuka itu adalah Ustaz Abdul Somad, berasal dari Indonesia dan Ustaz Azhar Idrus.Program anjuran Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT) itu bermula kira-kira jam 7.00 malam, sebelum berakhir pada 12.00 tengah malam.Lokasi himpunan diadakan di Dataran Drawbridge, Hujung Tanjung Seberang Takir, Kuala Nerus pada 8 Februari (Sabtu) ini. Pengarah DUAT, Muhammad Ramlan Mahmood, Ustaz Abdul Somad dan Ustaz Azhar Idrus adalah tokoh yang sudah dikenali ramai dan disegani pelbagai pihak.“Jadi untuk mencapai sasaran lebih 20,000 pengunjung untuk hadir ke himpunan itu insya-Allah tidak menjadi masalah.“Berdasarkan pengisian yang dirancangkan, program itu akan dimulakan dengan Kuliah Maghrib yang disampaikan Ustaz Azhar Idrus sebelum berakhir dengan acara kemuncak iaitu Ceramah Perdana oleh Ustaz Abdul Somad,” katanya.Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung melalui TV Darul Iman di Pejabat Urusetia Penerangan Darul Iman, petang ini.Himpunan itu dijangka dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
06 Feb 20
116
Terengganu Bincang Manfaat Maksima Lembah Silika
Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.KEMAMAN, 6 Februari - Kerajaan negeri akan memperincikan perbincangan mengenai hala tuju berkait projek silika di negeri Terengganu ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dibuat pertimbangan selanjutnya.Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, apa yang dibincangkan akan diperkemaskan dalam merangka langkah seterusnya yang boleh diambil untuk memperkasakan projek Lembah Silika Terengganu.“Pebincangan hala tuju ini menjelaskan bagaimana negeri boleh mengambil manfaat semaksima mungkin dalam urusan silika dan mendatangkan kebaikan kepada rakyat Terengganu.“Kita dalam peringkat akhir untuk memperkemaskan projek ini supaya manfaat yang diperoleh Kerajaan Terengganu adalah maksima dan mengurangkan masalah yang timbul dari segi alam sekitar,” katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas sesi taklimat tersebut di Kijal, di sini hari ini.Beliau menjelaskan, proses yang dilaksanakan kilang pemprosesan pasir silika di Bari, Setiu setakat ini hanya berlangsung pada satu peringkat dan bukan sepenuhnya kepada penghasilan produk.“Setakat ini, yang sedia ada dan telah beroperasi adalah di Setiu di mana mereka mengambil silika serta diproses, sempurnakan lalu dijual kepada pembeli-pembeli iaitu syarikat-syarikat yang berkait dengan penggunaan silika.“Kita sedang berbincang dengan syarikat-syarikat yang boleh menghasilkan produk akhir supaya aktiviti itu tidak tertumpu kepada proses silika semata-mata, tetapi lebih daripada itu," katanya.Berdasarkan rekod, projek silika yang dibangunkan Kumpulan Terengganu Silica Consortium Sdn. Bhd. (TSC) sejak 2017 itu mencatatkan pengeluaran bahan galian yang telah mencecah 500,000 tan metrik sehingga kini.
06 Feb 20
163