lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

SPM Bukan Pengakhiran, Tapi Permulaan Perjuangan Ilmu
SPM Bukan Pengakhiran, Tapi Permulaan Perjuangan Ilmu
KUALA TERENGGANU, 23 Mei – Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukanlah pengakhiran, sebaliknya merupakan permulaan kepada perjuangan yang lebih besar dalam dunia ilmu dan kehidupan. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pelajar perlu sentiasa memperbaharui niat dalam menuntut ilmu dan menjadikan usaha mereka sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. “Ilmu bukan semata-mata untuk mencari pekerjaan atau kejayaan dunia, tetapi yang lebih utama ialah untuk mengenal Allah SWT.  "Inilah yang membezakan pendidikan Islam dengan sistem Barat,” katanya ketika berucap di Majlis Apresiasi SPM Terengganu di Masjid Sultan Ismail, Chendering, semalam.  Majlis tersebut turut dihadiri imam-imam, jawatankuasa masjid, penghulu mukim, wakil JPKK serta ibu bapa dan pelajar-pelajar yang diraikan. Dr. Khalil turut mengucapkan tahniah kepada 17 para pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan serta menghargai usaha ibu bapa dan pihak masjid yang menganjurkan majlis tersebut. “Majlis seperti ini bukan sahaja mengiktiraf kejayaan akademik, tetapi juga memberi motivasi dan kekuatan rohani kepada anak-anak kita untuk melangkah ke fasa pendidikan yang lebih mencabar,” ujarnya. Tambah beliau, pihak kerajaan negeri sentiasa menyokong inisiatif yang memupuk budaya ilmu dan menggalakkan pelajar untuk terus menuntut ilmu dalam pelbagai bidang dengan niat yang ikhlas dan tujuan yang benar.
23 May 25
108
Daya Saing Usahawan Terengganu Perlu Dilebarkan ke Peringkat Antarabangsa
Daya Saing Usahawan Terengganu Perlu Dilebarkan ke Peringkat Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 22 Mei – Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan usahawan-usahawan anak tempatan  yang berpotensi untuk mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri,  Dato' Ariffin Deraman berkata kerajaan negeri sentiasa memberi galakan dan peluang kepada pengusaha perniagaan di Terengganu untuk terus mengorak langkah dalam industri masing-masing. Katanya, beliau telah melihat pelbagai jenis produk yang dihasilkan oleh usahawan tempatan yang tidak seharusnya diabaikan berkobelahan mereka. “Saya lihat banyak produk yang mempunyai potensi. Jadi kerjasama perlu dijali.kan dengan pelbagai lagi agensi lain seperti Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU)untuk merealisasikan perkara ini. “Sekiranya mereka perlukan geran atau dana untuk kembangkan produk kita ada bantuan pinjaman selain sediakan bantuan geran untuk peralatan atau bantuan pembungkusan. “Dengan cara ini kita yakin sekiranya mereka telah bersedia pentadbiran negeri akan beri peluang usahawan berjaya ini ke luar negara namun ikut skala kemampuan mereka,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. Tambah beliau,  keupayaan usahawan Terengganu  tidak boleh dinafikan kerana terdapat ramai dari kalangan mereka berjaya telah ada yang berjaya ke peringkat antarabangsa. "Sebagai contoh perniagaan Kafeteria Adeq Sue (Adeq Sue) kepunyaan anak jati Terengganu berjaya dibuka bertempat di Hotel Rehab Janadriyah Mekah, Arab Saudi. "Kafeteria itu adalah milk bekas penyerang pasukan bolasepak Terengganu Haruddin Omar bersama sepupunya Shukuriah Abd. Ghafar kini mempelawa jemaah Haji di tanah suci menikmati pelbagai jenis makanan Malaysia di situ,” ujarnya. Tambah Ariffin lagi, kerajaan negeri pasti akan memberikan sokongan dan bantuan sewajarnya kepada mereka bagi memastikan kelangsungan dan pengembangan usahawan ke peringkat yang lebih tinggi.
22 May 25
341
Anak Jati Terengganu Buka Kafeteria di Mekah
Anak Jati Terengganu Buka Kafeteria di Mekah
KUALA TERENGGANU, 22 Mei – Berpandangan jauh dengan visi positif, Shukuriah Abd Ghafar mengambil langkah berani apabila membuka sebuah kafeteria di kota suci Mekah yang menawarkan pelbagai hidangan citarasa Malaysia dengan harga yang sangat berpatutan. Anak jati Terengganu yang merupakan Pengarah Urusan syarikat Adeq Sue Resources Sdn Bhd itu berkata, keputusan itu dibuat setelah perniagaan di Terengganu stabil dengan operasi kilang di Seberang Takir, Kuala Nerus, “Syarikat kami telah bertapak lebih 13 tahun di Terengganu hasil perkongsian bersama sepupu saya yang juga bekas pemain bola sepak terkenal negara, Hairuddin Omar. “Dan kali ini kami mengambil langkah setapak lagi ke hadapan ke pasaran global dengan pembukaan kafe tersebut yang beroperasi di Hotel Rehab Janadriyah pada tahun ini,” katanya kepada pemberita. Menurutnya, keistimewaan menu yang dihidang di café di Mekah menggunakan rempah ratus dan bahan masakan yang asli dan segar, sama seperti Malaysia. “Antara pilihan jemaah ialah nasi lemak, roti canai, nasi kerabu, nasi dagang, pulut kuning, mi goreng, lontong, laksa Penang, laksa Johor, mi rebus, mi sup dan soto. "Harga pula sangat berpatutan dengan purata 12 Saudi Riyal (SAR) dan saiz hidangan yang sesuai untuk jemaah Malaysia,”ujarnya. Kafeteria itu dibuka mulai 4.30 pagi dan ditutup pada pukul 10.30 malam mempunyai  40 orang pekerja dari pelbagai negara dan  dibantu oleh rakan kongsi yang juga anak jati Arab Saudi dalam selok belok perniagaan di tanah suci Mekah. Dalam pada itu, demi kepuasan pelanggan terutama untuk memenuhi permintaan jemaah haji Malaysia, kafeteria Adeq Sue turut menyediakan pelbagai pes sambal seperti sambal tempoyak petai, budu, sambal belacan, sambal hitam dan sambal ikan bilis. "Saya cukup berpuas hati apabila mereka yang datang menikmati hidangan di kafetaria kami tersenyum gembira dan makin ramai Jemaah-jemaah dari hotel-hotel lain datang untuk mencuba menu citarasa Malaysia,”katanya yang berhasrat membuka lebih banyak cawangan kafeteria atau restoran di sekitar Arab Saudi pada masa akan datang  
22 May 25
8581
LAMANITA Marang Cipta Peluang Baharu Wanita Dalam Bidang Pertanian
LAMANITA Marang Cipta Peluang Baharu Wanita Dalam Bidang Pertanian
Oleh : Daing Siti Norbaity Abd Latif MARANG, 22 Mei – Program LAMANITA peringkat daerah Marang membuka lembaran baharu dalam keusahawanan wanita apabila ibu tunggal dan suri rumah di daerah ini mula diterapkan dengan kemahiran pertanian secara praktikal di halaman rumah sendiri. Pengerusi KHAIRUNNISA’ Terengganu, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman berkata, LAMANITA yang membawa maksud ‘Laman Wanita’, memberi fokus kepada konsep pertanian skala kecil di sekitar kediaman sebagai sumber makanan dan pendapatan isi rumah secara lestari. Beliau menyifatkan usaha tersebut selari dengan aspirasi wanita berdikari dan produktif. “Program LAMANITA ini bukan sahaja medan mencipta peluang baharu, malah langkah untuk memperkasa wanita agar tidak hanya bergantung kepada pendapatan orang lain, sebaliknya mampu jana rezeki dari laman sendiri. “Pertanian kini adalah industri moden. Dengan ilmu dan teknologi yang betul, wanita mampu mengubah halaman rumah menjadi ladang yang menjana pendapatan,” katanya ketika berucap merasmikan Program LAMANITA Daerah Marang di Masjid Paya Resak, Bukit Payong di sini, semalam. Justeru, beliau menyeru agar peserta tidak takut gagal, sebaliknya menjadikan setiap langkah sebagai ruang belajar yang akhirnya akan membuahkan hasil. “Wanita berjaya ialah mereka yang tidak pernah berhenti mencuba. Rebut peluang ini dengan semangat dan keyakinan,” ujarnya. Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Marang, Nik Muhamad Haizul Nik Sufian berkata, Jabatan Pertanian sentiasa bersedia untuk menjadi penasihat teknikal dan rakan strategik kepada peserta program. “Kami alu-alukan jika peserta nak panggil kami turun tengok sendiri masalah di lapangan. Setiap tahun, kami anjurkan pelbagai kursus seperti baja organik yang boleh dijalankan secara ‘hands-on’ bersama komuniti,” jelasnya. Tegas beliau, pertanian memerlukan pengalaman sebenar di lapangan untuk memahami cabaran serta kenikmatan hasil tuaian sendiri. “Sayur yang ditanam sendiri bukan sahaja lebih sihat kerana bebas sisa racun, tapi beri kepuasan kepada keluarga yang menikmatinya,”katanya. Dalam pada itu, Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, program LAMANITA adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri melalui PITAS2030 bagi meningkatkan kesejahteraan wanita. “Program ini menyasarkan wanita luar bandar, khususnya suri rumah dan ibu tunggal yang ingin meningkatkan pendapatan melalui pertanian bandar dan agro-produk,” katanya.
22 May 25
108
Dulu Pendebat Bahasa Arab Terbaik Dunia, Kini Raih Pelajar Terbaik STAM Terengganu
Dulu Pendebat Bahasa Arab Terbaik Dunia, Kini Raih Pelajar Terbaik STAM Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Mei -Dua tahun lalu, seorang Pelajar Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Buruk pernah meraih gelaran pendebat bahasa Arab terbaik dunia di Qatar, sekali lagi mencipta kejayaan apabila muncul pelajar terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Terengganu. Wan Amzar Izzuddin Wan Mohd Azlan telah diumumkan sebagai salah seorang calon yang berjaya meraih Mumtaz Sofi (cemerlang tinggi) yang diumumkan kelmarin.  Bercita-cita untuk menjadi seorang wakil rakyat, dia berkata kejayaan itu adalah hasil sokongan berterusan daripada ibu bapa, guru, dan rakan-rakan seperjuangan serta keazamannya. Katanya, kejayaan bukan milik mereka yang berbakat semata-mata, tetapi milik mereka yang tidak pernah kenal erti putus asa. "STAM bukan sekadar ujian di atas kertas. Ia latihan untuk sabar, ikhlas, dan bertawakal dalam perjuangan ilmu. "Saya bersyukur kerana diberi peluang atas kejayaan ini dan secara tidak langsung berjaya membalas jasa semua yang percaya pada saya terutama ibu bapa, guru dan rakan-rakan. "Ingatlah kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha gigih sebagaimana ketika saya muncul pendebat bahasa Arab terbaik dunia pada 2023 selepas berjaya menewaskan 72 peserta lain termasuk negara Arab," katanya ketika ditemui. Amzar yang kini aktif memperjuangkan isu belia Terengganu terutama selepas dilantik sebagai Adun Belia Kota Putera, Besut juga turut melatih pasukan debat bahasa Arab Malaysia pada tahun ini. Sementara itu, bapanya, Wan Mohd Azlan Wan Ahmad, 54, berkata, dia begitu gembira dengan pencapaian anak kelima daripada enam beradik itu. "Namun kejayaan yang hadir memerlukan pengorbanan dan usaha berterusan tanpa rasa jemu," katanya. Selain Wan Amzar, dua lagi pelajar SMAASZA turut mengharumkan nama sekolah berkenaan selepas masing-masing turut memperoleh Mumtaz Sofi iaitu Wan Muhammad Fakhrullah dan Tuan Hafizuddin sekali gus menjadikan tiga pelajar daripada sekolah berprestij itu yang berjaya mendapat keputusan tertinggi dalam STAM 2024. Secara tidak langsung , SMAASZA terus mengekalkan reputasinya sebagai antara sekolah agama terbaik di negeri Terengganu, khususnya dalam melahirkan pelajar berilmu dan berjiwa pemimpin.
22 May 25
4093
Sultan Mizan Titah Jenama Semula Tabung Khairat Zainal Abidin
Sultan Mizan Titah Jenama Semula Tabung Khairat Zainal Abidin
KUALA TERENGGANU, 22 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agar Tabung Khairat Zainal Abidin dijenamakan semula sebagai langkah memperkukuh sumber kewangan institusi pendidikan Islam di bawah naungan baginda. "Beta akan memberikan perhatian khusus agar kemudahan infrastruktur asas dan teknologi terkini di madrasah ini sesuai dengan legasi keprihatinan Sultan Zainal Abidin ke-3 kepada ilmu dan pendidikan. "Beta ingin mencadangkan agar khairat Zainal Abidin dijenamakan semula menggabungkan instrumen wakaf, endowmen dan sedekah bagi memastikan institusi-institusi agama dibawah kerajaan beta terus berkembang maju," titah baginda. Baginda turut menekankan kepentingan kesinambungan permuafakatan antara pihak istana, pentadbir dan rakyat dalam memastikan pembangunan institusi pendidikan agama terus berkembang dan selari dengan keperluan zaman. "Pada tahun 1933, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah berkenan merasmikan bangunan baharu madrasah ini di Kampung Ladang. Sejajar dengan perkembangan sistem pendidikan pada tahun 1958,  madrasah ini dipecahkan kepada dua iaitu sekolah menengah agama Sultan Zainal Abidin Ladang bagi peringkat menengah rendah dan sekolah menengah agama atas Sultan Zainal Abidin bagi peringkat thanawi yang berpindah ke Batu Buruk. "Meneruskan kesinambungan ini pada tahun 1980, lahirlah sebuah lagi institusi pendidikan Islam untuk peringkat diploma berpayungkan nama Sultan Zainal Abidin ke-3 iaitu, KUSZA (Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin).  "Diploma pengajian Islam menjadi mata rantai yang meneruskan tradisi madrasah Sultan Zainal Abidin Al-Arabiah, sekaligus menjadi umbi dan teras kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). "Semua institusi pendidikan dibawah nama Sultan Zainal Abidin ke-3 ini harus bekerjasama erat. Mereka ibarat akar, pohon dan ranting yang tumbuh daripada benih yang sama, berkembang bersama di daerah Kuala Terengganu.  Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan pelancaran buku 'Permata Darul Iman' 100 Tahun Sekolah Menengah Agama Arab Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-63 baginda, semalam. Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan, serta paduka-paduka anakanda lain. Tabung Khairat Zainal Abidin yang ditubuhkan sejak tahun 1932 hasil muafakat antara istana, kerajaan dan rakyat, telah menjadi asas penting dalam membiayai perkembangan institusi pendidikan Islam di Terengganu termasuk Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, KUSZA, serta UniSZA.
22 May 25
137
Bantuan Khas YPU Beri Semangat Kepada Pengusaha Bujuk Corner
Bantuan Khas YPU Beri Semangat Kepada Pengusaha Bujuk Corner
MARANG, 21 Mei -  Zulkifli Ibrahim ataupun lebih dikenali sebagai Pak Zul salah seorang usahawan makanan di Terengganu melahirkan rasa teruja apabila terpilih menerima bantuan peralatan ‘Chiller’ daripada Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Ariffin Deraman. Pak Zul yang menjadi perantau hampir 50 tahun telah memulakan perniagaannya, Bujuk Corner bermula 2021 membawa rasa masakan Johor di kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu. “Alhamdulillah dengan bantuan Dato’ Ariffin itu, saya lebih bersemangat dalam bidang yang diusahakan ini, semoga rezeki saya dalam perniagaan yang diusahakan dipermudahkan lagi oleh Allah Taala,” katanya yang ditemui Ketika penyampaian Bantuan Khas  Pengerusi YPU Terengganu kepadanya baru-baru ini. Menurutnya, dia tidak menyangka masakan Johor mendapat sambutan hangat daripada warga Terengganu. “Setelah hampir 50 tahun merantau di seluruh negeri dan terakhir di Pasir Gudang, Johor Bahru, saya mula pulang ke kampung halaman. “Di sana (Johor), selain bekerja di dalam sektor minyak dan gas, saya turut menjalankan perniagaan berasaskan produk makanan Terengganu seperti nasi dagang dan keropok lekor namun apabila pulang ke kampung halaman saya membawa pula resipi dari sana ke Terengganu seperti Mee Udang Muar, Mee Rebus Johor, Roti Kacang Pool dan sebagainya yang telah menerima sambutan menggalakkan dari warga sekitar,”  Dalam pada itu, Zulkifli turut berpesan kepada usahawan muda agar merebut peluang yang ada dalam bidang perniagaan. “Saya ingin memberi semangat kepada anak muda terutamanya di Terengganu ini agar berusahalah kerana bidang perniagaan merupakan satu benda yang baik. “Saya yakin kalau anak-anak muda mempunyai minat mendalam, Insyaallah YPU boleh membantu dengan sebaik-baiknya kerana pelbagai bantuan ditawarkan oleh YPU Terengganu termasuk pembiayaan,” katanya.  
21 May 25
312
Lebih 100 Sukarelawan Sertai Gotong-Royong Bersih Pantai Tok Kita
Lebih 100 Sukarelawan Sertai Gotong-Royong Bersih Pantai Tok Kita
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Seramai lebih 100 orang peserta terlibat dalam Program Gotong-Royong Bersih Pantai Tok Kita anjuran EPIC Berhad dengan kerjasama Pertubuhan Cakna Kebajikan Kuala Terengganu (KT Care), beberapa hari yang lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah menghargai usaha EPIC dan KT Care atas kejayaan menganjurkan program yang berjaya mengumpulkan lebih 100 peserta dan mengutip sejumlah besar sampah yang mencemari kawasan pantai. Menurutnya, pantai merupakan salah satu aset pelancongan utama negeri Terengganu dan perlu sentiasa dijaga kebersihannya melalui penyertaan aktif masyarakat. "Alam ini amanah kita. Bersama kita lestarikan keindahannya. Teruskan usaha menjaga keindahan dan kecantikan pantai kita. "Setiap daripada kita memainkan peranan penting sama ada besar atau kecil dalam memastikan pantai kekal bersih, indah dan selamat untuk dinikmati oleh generasi sekarang dan akan datang. "Kalau orang Terengganu nak 'healing', mereka akan ke pantai. Maka, tanggungjawab untuk memastikan pantai kekal bersih adalah milik bersama. Usaha seperti ini perlu diteruskan tanpa perlu tunggu kempen besar-besaran," kata beliau melalui hantaran di laman media sosial rasminya. Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu menyaksikan kehadiran pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.  Antara yang turut serta ialah wakil Pejabat Parlimen Kuala Terengganu, Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, DUN Bandar, DUN Ladang, DUN Batu Buruk, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS), serta pelajar-pelajar cilik daripada PASTI dan Tadika Syaz. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor. Dalam pada itu, satu sesi penyerahan sumbangan kepada KT Care turut diadakan yang disampaikan oleh Pengurus Besar Undang-Undang dan Kesetiausahaan EPIC Berhad, Fairuz Idris kepada Dato' Wan Sukairi. EPIC berkata, Penganjuran ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) EPIC Berhad, yang menekankan kepentingan penjagaan alam sekitar dan memperkukuh hubungan bersama komuniti tempatan.
21 May 25
111
Terengganu, CelcomDigi Jalin Kerjasama Perkasa Sukan Kuda Lasak
Terengganu, CelcomDigi Jalin Kerjasama Perkasa Sukan Kuda Lasak
SETIU, 20 Mei – Kerajaan negeri Terengganu dan CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) menjalin kerjasama strategik bagi memperkasa sukan kuda lasak dan ekuestrian melalui platform Arena CelcomDigi serta memacu usaha pendigitalan negeri. Kerjasama tersebut diumumkan sempena Majlis Perasmian Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) dan Clubhouse yang telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, bersempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda yang ke-63. Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, kerjasama bernilai RM3 juta itu bukan sahaja melibatkan penajaan pasukan dan acara, malah turut merangkumi usaha menaik taraf infrastruktur digital dan kemudahan sukan di TIEP. “Kami amat komited dalam usaha pembangunan dan pendigitalan negeri, selaras dengan peranan kami sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama di Terengganu. “Melalui kerjasama ini, kami menyokong pembangunan sukan kuda lasak dan ekuestrian yang berpotensi menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri. “Kami amat berbangga dengan pasukan tempatan bertaraf dunia yang bertanding di pentas antarabangsa dalam sukan ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini. Beliau turut yakin bahawa pelaburan melalui usaha berterusan ini akan membawa impak positif kepada pembangunan negeri secara menyeluruh, khususnya dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat serta merancakkan ekonomi pelancongan. “Arena CelcomDigi merupakan satu inisiatif yang menyokong perkembangan pelbagai jenis sukan di Malaysia, dan platform ini juga mampu meningkatkan kesedaran terhadap sukan kuda lasak dan ekuestrian serta menggalakkan penyertaan lebih ramai, terutamanya dalam kalangan anak muda,” ujarnya. Tambah beliau, sejak penggabungan Celcom dan Digi tiga tahun lalu, lebih RM300 juta telah dilaburkan di Terengganu yang merangkumi pembinaan dan naik taraf infrastruktur digital serta penambahbaikan akses kesalinghubungan untuk komuniti dan perusahaan tempatan. “Dengan kehadiran fizikal yang meluas melalui 400 cawangan runcit serta bilangan pengguna melebihi dua pertiga penduduk tempatan, kerjasama strategik ini membuka peluang kepada CelcomDigi untuk menyumbang ke arah pemerkasaan masyarakat Terengganu secara mampan dan mengukuhkan ekonomi tempatan,” katanya.
21 May 25
151
Sultan Mizan Rasmi Buku 'Permata Darul Iman'
Sultan Mizan Rasmi Buku 'Permata Darul Iman'
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan pelancaran buku 'Permata Darul Iman' 100 Tahun Sekolah Menengah Agama Arab Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-63 baginda, hari ini. Berlangsung di sekolah berkenaan, keberangkatan tiba baginda diiringi Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda,  Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Utama Raja, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja serta YAM Tengku Puteri Daulath Raja. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Turut hadir, Yang Di-Pertua Persatuan Alumni Pelajar-pelajar SMAASZA, Tan Sri Dato' Dr. Mohd Yusoff Md Nor. Mengenang perjalanan penubuhan SMAASZA oleh al-marhum Sultan Zainal Abidin ke-3, baginda bertitah agar kedaulatan negeri Terengganu sebagai negeri 'islamiyyah' (islamik) terus berkembang sebagai negeri yang yang dihormati. "100 tahun perjalanan ini menuntut kita untuk bermuhasabah dan merangkakan wawasan yang lebih cemerlang demi masa hadapan. Pendidikan agama dan bahasa Arab adalah tunjang jati diri rakyat ini dari generasi ke generasi . "Beta amat terharu mengenang keperibadian dan jasa besar moyang beta, al-marhum Sultan Zainal Abidin ke-3. Baginda bukan sekadar pemerintah tetapi juga pelita ilmu yang menyinari negeri ini dengan kebijaksaan, keadilan dan keprihatinan terhadap rakyat jelata. "Menjadi legasi tauladan yang menyatukan kepimpinan ulama dan umarah sepanjang zaman, beta amat mencemburui tangkai kebajikan yang mengiringi tradisi ilmu alam melayu Islam nusantara di negeri beta ini. "Moga ia terus berkembang demi kesejahteraan dan kedaulatan negeri Terengganu Darul Iman," titah baginda sebelum menyempurnakan gimik perasmian buku 'Permata Darul Iman', pagi tadi. Sultan Mizan berkenan meluangkan masa selama satu jam bersama rakyat jelata yang hadir dan meninjau pameran sejarah penubuhan sekolah itu di Dewan Fikri SMAASZA. Majlis yang berlangsung di perkarangan SMAASZA sebentar tadi juga dimeriahkan dengan kehadiran daripada kalangan penjawat awam serta warga SMAASZA termasuk alumni lepasan sekolah agama tersebut. Buku 'Permata Darul Iman' merupakan sebuah penerbitan istimewa yang merakamkan sejarah penubuhan, pencapaian dan peranan besar SMAASZA dalam pembangunan pendidikan agama dan sosial khususnya di negeri Terengganu.  Penulisan memperincikan salasilah institusi pengajian tahap menengah rendah dan atas tersebut merupakan hasil kajian, dokumentasi dan penghargaan kepada sumbangan institusi itu sepanjang satu abad yang lalu.  
20 May 25
724